Friday, January 30, 2026

Rumah sewa Amirul

 Khamis, 22 Januari 2026 - Amirul lepak di bilik hotel kami beberapa ketika. Sebab hari Khamis dan sudah petang, saya cadangkan kami cari makan di pasar malam saja. Semua cakap ok. Kami naik kereta Viva yang Amirul bawa. 

Amirul sudah jadi orang Dungun. Dia lalu ikut jalan celah-celah bangunan dan bawa kereta laju je. Beberapa kali saya ingatkan cer bawa slow sikit. Hee... budak ni. Lepas tu, lampu minyak sudah blink blink, bapak budak sudah mulai risau. Apehe ni... biar kereta tak ada minyak macam tu. Orang kalau tinggal dua bar paling kurang, elok la pergi isi terus. Pok pek pok pek bapak budak membebel. Amirul jawap kalau lampu minyak blink blink kan ada 5 kilometer lagi dalam tangki boleh pergi. Jauh tu. Ya Allah, anak bertuah...

Pergi stesen minyak dulu, isi minyak kereta. Dia tutup pintu kereta hempas je. Pong sana, pang sini, tutup tempat isi minyak kereta tu. Kasor bebenor ler... lepas tu komplen kenapa kereta tu keluar bunyi itu, keluar bunyi ini. Masa saya bawa kereta Viva tu, di Perak, saya pakai pergi jalan pagi dan ke pasar je. Elok kereta tu. Dapat dekat budak Amirul, Allahuakbar... 

Lepas isi minyak kereta, pergi singgah rumah sewa Amirul dan kawan-kawan. Dia nak angkat kain jemuran.

Pokok ros depan rumah
Depan rumah sewa, ada pokok ros

Tuan rumah tanam. Tapi sebab budak-budak student yang duduk, tak terjaga pokoknya. Tengoklah motor bersusun beratur di garaj rumah. Ada 20 orang ok, duduk di rumah ini. Bilik tak silap, ada 5 ke, 6 buah. Tapi memang besar rumahnya, rumah banglo. Amirul pun tinggal lagi 2 semester nak habis di Uitm, Insya-Allah, semester kedua dia kena duduk luar, tak dapat dah duduk dalam.

Melawat anak di rumah sewa
Anak bujang nuuu... tengah angkat kain

Sudah besar anakku ini. Dah tak ada rupa budak dah. Rupa orang dewasa sudah. Umur pun sudah 23 tahun. Saya waktu umur 23 tahun, dah nikah dah. Huhu..

Saya tak masuk dalam rumah sewa Amirul pun. Duduk luar je. Tengok-tengok, ada ulat bulu besar ok, di luar rumah Amirul!

Kucing gebu
Ni ha, ulat bulunya! 😁

Budak-budak bujang ni, bagi makan dan bela, seekor kucing. Tengok-tengok, beranak pula. Anak kucing ada 3 ekor, semua gebu gebas. 

Anak kucing comel
Eh eh.. tak takut orang budak ini.

Mana leher awak? Dari muka terus ke badan ni. Sangat fluffy. Udah rope ulat bulu, membulat jer, bila berjalan main-main di celah-celah rak kasut di luar rumah.

Lepas Amirul angkat kain jemuran, kami pergi pasar malam di bandar Dungun. Suami beli nasi dagang ler.. ish ish.. beratur waktu membeli. Tapi worth it sangat, tak sama, ok, nasi dagang tempat kita dengan nasi dagang jual di Terengganu ni. Huuu.... Amirul beli makanan dia la. Murah la, harga makanan di pasar malam. Tiga mangkuk benda cucuk-cucuk Amirul beli. 3 mangkuk, bukan 3 lidi, seperti kulit ayam, paru ayam dan apa entah satu lagi dia beli. Ish ish ish... saya cakap jangan makan selalu, kolesterol tinggi belaka tu. Amirul cakap, waktu muda lah nak enjoy makan. Huh..

Maaf, tiada gambar makanan beli di pasar malam. Kerana kami semua lapar dan tak dapat menahan sabar, makan, tak ingat dah nak ambil-ambil gambar ni. Huhu. Oh, kerepok lekor sana terbaikkkkkk! 👍😋 Rasa ikan, takde rasa tepung macam keropok lekor sini. Saya terbeli dua helai baju di pasar malam. Satu baju, RM10 je. Hehe.. 

Amirul makan bersama kami di bilik hotel. Selesai makan nak maghrib, dia pun balik. Tak tidur dengan kami pun. Dia ada assignment kena siapkan untuk hantar esok. 

Alhamdulillah... sambung lain entri pula ya. 

Hujung minggu ini, long weekend ya, cuti berganda Hari Thaipusam dan Hari Wilayah bagi yang kerja di KL. Ada yang nak pergi bercuti ke tu, atau balik kampung? Semoga dipermudahkan urusan pembaca sekalian dan jaga diri dan keluarga. 

Jumpa lagi. 💗

Thursday, January 29, 2026

Permata Resort, Kuala Dungun.

 Khamis, 22 Januari 2026, Sampai saja Kuala Dungun, kami cari hotel-hotel di tepi pantai. Sudah beberapa kali kami sampai Kuala Dungun ni, sebab Amirul belajar di Uitm. Tapi ini pertama kali nak cuba duduk di hotel tepi laut. Sampai di Permata Resort, berhenti kereta, saya tanya dalam, ada bilik kosong untuk tiga orang tak. Ada, Alhamdulillah. Terus bayar dan check-in. Kami tak buat tempahan dulu, main jalan jer. Saja je la, ambil katil extra, kot budak Amirul nak tidur sekali, sebab dia memang suka berkepit je. 

Jom masuk tengok dalam hotel camana. Kami dapat bilik di blok hadapan, mengadap laut. Alhamdulillah. 😍 Di bahagian belakang juga ada bilik, tapi view kolam renang. Saya tak tahu menahu langsung tentang resort ini. Suami dah cakap, di belakang ada bilik lagi. Tapi saya tak explore langsung. Masa nak taip entri ini, saya google, baru tahu. Haha... amenda entah.

Gambar oleh pengunjung, review di Google
Gambar dari review di Google.

Cantik, kalau duduk belakang. Duduk blok depan pun cantik. Meh tengok bilik. 

Ada ruang tamu bila buka pintu hotel
Buka pintu, ada ruang tamu.

Tengok TV dekat ruang tamu saja. Sofa dan meja kopi juga ada. Juga, bilik ini attach dengan bilik sebelah, ada pintu di ruang tamu yang kami kunci. Suami ingat, pintu almari, itu dia buka. Tengok-tengok, bilik sebelah. Nasib baik bilik sebelah kosong.

Penginapan untuk dua orang
Katil queen satu, single satu.

Tengok-tengok budak Amirul sibuk. Ada tugasan kena hantar keesokan harinya. Jadi, dia tak sempat nak bermalam dengan kami. Takpelah. Biarlah anak selesaikan kerja dia. Lain kali ya, Amirul.

Cerek untuk buat kopi dan air mineral.
Cerek untuk buat kopi dan air mineral.

Bilik tidur pun besar. Kemudahan asas pun lengkap. Aircond ada dua biji, satu di ruang tamu, satu lagi di dalam bilik.

Bilik air dan tandas sekali
Bilik air dan tandas sekali.

Bilik air besar.

Tandas dan ada pemanas air
Tandas dan ada pemanas air

Bersih dan lengkap ada tuala.

Ada ironing board, iron dan Ridsect dalam almari.
Ada ironing board, iron dan Ridsect dalam almari.

Suami kata, ada nyamuk. Tapi seekor je la, saya nampak, waktu malam.

Blok hadapan Permata Resort
Bilik kami di hujung, tingkat bawah, blok depan.

Ada kerusi, boleh duduk situ, tengok laut. Sejuk saja sini. Maksud saya, angin yang bertiup tepi pantai tu, angin sejuk. Ini berbeza berbanding tempat saya, kalau saya morning walk di Esplanade Lumut, angin pun tak ada. Kalau petang, baru ada angin. Itu pun, angin panas. Itulah bezanya mengadap Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Permata Resort, lokasi tepi jalan saja, Jalan Pantai Sura
Permata Resort, lokasi tepi jalan saja, Jalan Pantai Sura.

Damainya rasa kami duduk di sini. Rasa macam nak pindah duduk Terengganu, ler. Saya suka Terengganu! 🥰

View laut dari bilik.
View laut dari bilik.

Cantik Permata Resort ni. Kami suka. Boleh repeat lain kali, kalau datang Dungun lagi. Harga untuk bilik kami, RM190 satu malam. Alhamdulillah. Rezeki dapat duduk hotel tepi laut. 

Nak tahu tak, masa dalam perjalanan baru sampai Dungun, saya nampak Amirul bawa kereta. Saya tunjuk pada suami,"Eh, tu, Amirul!" Walaupun dia sedang memandu, saya cam kereta yang dia bawa tu. Kereta zaman lari saya. Kereta comel. Masuk je hotel, saya wassap Amirul. Selang beberapa minit, dia pun datang. Lepak di bilik. Orait la.

Jumpa lagi ya, sambung lain entri. 💗

Wednesday, January 28, 2026

Roadtrip Pantai Timur: Kuantan - Kuala Dungun

 Khamis, 22 Januari 2026 - Kami check-out Swiss-Belhotel, Kuantan, pukul 11 pagi. Seterusnya, kami ikut jalan biasa tepi pantai untuk ke Terengganu. Kami lalu Jalan Persekutuan, melalui Balok, Cherating, simpang ke Pelabuhan Kuantan, kawasan perindustrian Kuantan, Chukai, dan Kerteh.

Anak sulung saya, Amirul, belajar di Uitm Dungun. Wassap dia, tanya dia nak kirim apa-apa barang tak. Dia kirim minyak rambut. Itu yang singgah Mesra Mall.

Singgah Mesra Mall
Singgah Mesra Mall

Saya suka la, Mesra Mall ni. Walaupun setingkat saja, tapi lengkap, semua kedai ada. Saya terbeli pakaian dalam di Young Hearts dalam Mesra Mall. Ada offer. Orang pompuan, memang pantang, kan tengok tawaran menarik jualan murah. Pertama kali cuba bra jenama ini. Saja beli lebih, jadi tak perlulah ke dobi nanti untuk cuci pakaian. Aman damai sungguh mall ini. Beli kopi Zus juga di sini, di medan selera mall. 

Ruang luar tepi Mesra Mall
Ruang luar tepi Mesra Mall

Tempat parking pun banyak di luar. Atau mungkin sebab kami singgah di hari orang bekerja kot, jadi tak ramai orang. Baju-baju kat dalam tu, lawa-lawa. Nasib baik saya tak terbeli. Berkenan juga ada baju muslimah yang set blouse dan kain. Tapi kena sabor, simpan duit, perjalanan jauh lagi.

Dari luar memang nampak kecil saja Mesra Mall ni. Tapi mall ini ada panggung wayang, pusat bowling, gelanggang skuasy dan futsal, medan selera dan banyak kedai barang jenama yang biasa kita jumpa di mall biasa. Sejarahnya, mall ini dibangunkan oleh KLCC Holdings, melalui dua anak syarikatnya, pada tahun 2008, untuk kemudahan orang ramai dan kakitangan Petronas pada waktu itu untuk membeli-belah. Hasil carian google.

Selesai beli kopi Zus, kami pun teruskan perjalanan.

Kompleks Operasi Petronas
Kompleks Operasi Petronas 

Bila lalu tempat api-api keluar ni, mercu tanda Kerteh la ya. Luas betul tempatnya, di kiri dan kanan jalan. 

Tempat api keluar
Lagi tempat api keluar

Maaflah, saya ni jakun sikit. Pertama kali sampai ke sini. Tengok api keluar je, ambil gambar. 😁 Memang pelancong betul. Negara kita sendiri, Semenanjung Malaysia, tapi tak pernah sampai. Banyak syarikat Petronas di situ, dari gas, terminal minyak, chemical, dan lain-lain.
Ater, jom la kita singgah masjid dulu, solat jamak.

Ruang solat muslimat Masjid Taman Hadhari Paka
Ruang solat muslimat

Tak ada orang. Waktu saya masuk, ada seorang muslimat baru keluar. Waktu itu, sudah pukul dua lebih. Besar juga masjidnya, dan sangat selesa.

Masjid kami singgah solat
Ini gambar masjid kami singgah solat.

Luas, sesuai untuk orang dalam musafir. Pondok-pondok rehat juga ada disediakan di perkarangan kawasan masjid. Apa nama masjid ni?

Masjid Taman Hadhari, Paka, Terengganu.

Alhamdulillah, kami selamat tiba Kuala Dungun pukul 3.30 petang. Konsep roadtrip kami, tiada reservation, tuju saja hotel banyak-banyak tepi laut di Kuala Dungun itu. Jalan pula ikut jalan biasa, tidak guna lebuhraya dan tol. Cerita hotel dalam entri seterusnya. 

Jarak roadtrip dari Kuantan ke Kuala Dungun yang direkodkan oleh meter kereta adalah 140km. Dari Pahang, sampai dah, Ganu kiter... kita tengok penyu telur.. 🎵

Sambung lain hari. Jumpa lagi. 💗

Tuesday, January 27, 2026

Bocor pulak dah

 Selasa, 27 Januari 2026 - Saya sudah selamat sampai di rumah Manjung semalam lagi. Tapi biasalah, lepas selesai travelling, banyak kerja tertunggak nak kena buat, contohnya basuh baju, kemas rumah, dan lain-lain. Nanti saya cuba blogwalking slow-slow ke blog kawan-kawan bila sudah free sikit, ya. Rindulah, nak baca cerita terbaru teman bloggers semua.

Semalam masa sampai rumah Manjung, ada perasan air sedikit di dinding bilik atas. Ini masalah berulang. Selagi ada kucing suka naik atas siling rumah, memang akan jadi begini. 

Biasanya tidak berlaku. Tapi kalau kucing ganas, langgar paip dekat atas tu, bocor la. Yang ini, bukan dari tangki. Banyak saluran paip dekat atas bumbung.

Paip atas bocor
Air turun melalui plaster ceiling

Suami saya yang baiki. Dia ada belajar plumbing dulu, semasa di IKM. Masa dia pergi kedai hardware pagi tadi nak beli connector paip, dia kata nipis benor paip orang jual sekarang. Paip sekarang, tak sama macam paip zaman dulu. Kualiti sangat rendah. Rumah kami ni tepi laut, banyak benda mudah mereput. Kalau baldi letak luar, memang senang jadi nipis dan bocor. Macam itulah paip atas bumbung rumah. Lagilah atas tu, sangat panas, ya. Semua benda mudah mereput.

Saya pun tak tahulah. Nak teruskan jaga rumah arwah mama saya ini, maintenance tinggi juga. Tapi terus bertahan, Insya-Allah, sampai habis waktu kami jaga rumah ini, sebelum adik beradik lain pula take over jaga.

So macamana pendapat anda? Punca kucing. Bukan kucing kami. Rumah kami sudah tiada kucing. Kucing jiran tetangga. Itulah, papa saya pun buat awning keliling rumah. Patutnya, tak perlu sampai keliling. Ia memudahkan kucing untuk naik dari tembok pagar keliling rumah. Dulu masa awal masuk rumah ni, geram rasa nak cabut awning tepi dan belakang rumah. 

Itulah besar tanggungjawab bela kucing ni. Belum masuk pokok bunga mati kena berak dek kucing jiran. Yang itu, saya tak pernah berkira. Sebab pokok adalah pokok. Bila mati, boleh beli baru. Tapi kos buruh lebih mahal dari kos sparepart kena beli dalam kes bocor ni. Kesian suami, kena panjat atas tu. Ia bukan kerja seorang. Saya pun terlibat sama, bila dia duduk atas, saya kena jaga tutup dan buka paip utama luar rumah. Kadang kena buka air dalam bilik air, nak tengok air dari luar boleh naik ke tangki tanpa bocor lain pula. Begitulah. 

Kalau nak cerita pasal kucing ni, memang panjang jadinya. Saya percaya, teman bloggers semua yang ada bela kucing semua ok. Cuma jiran kami ni la. Boleh datang rumah kita untuk berak, lepas tu balik rumah dia. Boleh la rujuk ceramah ustaz mana-mana, apa hukumnya. Contohnya pokok yang mati akibat diberak oleh kucing kita, kira hutang tu, nanti di akhirat, kena bayar. Dekat dunia, tuan kucing buat dek je. Kami pernah cakap sebab kucing punya angkara, siling bocor pada jiran belakang, siap beri bukti gambar kucing dia atas siling, tapi dia cakap balik, kucing mana ada akal. Betul, kucing tak de akal. Tapi awak tuan kucing ada akai ka... takdaq? Hahaha... baiklah. Dah bagitahu. Kalau tak nak ambil apa-apa tindakan jaga kucing, masih lepas buat onar rumah kami, jangan lah marah pula kalau kami buat operasi catch and release semula, demi kemakmuran rumah arwah peninggalan mama saya ini. 

Kome rasa camana? Syukur Alhamdulillah, sudah baiki. Nasib baik juga air turun tidak banyak, setakat meleleh di dinding. Nasib baik juga kami sudah berada di rumah, sudah balik dari roadtrip. 

Sekian drama sebab hari ini. Harap hari anda semua baik-baik dan ceria belaka.

Jumpa lagi, ya. 💗

Monday, January 26, 2026

Sarapan di hotel

 Khamis, 22 Januari 2026 - Sarapan pagi di hotel. Penginapan termasuk breakfast. Turun dari bilik agak lambat juga, pukul 8 pagi lebih kurang. 

Pagi udara sejuk dan berangin. Itu yang lain, banding laut di tempat saya, panas dan tidak berangin waktu pagi. 

Ambil gambar kenangan sekeping
Ambil gambar kenangan dulu, tepi laut.

Itulah paling cerah. Sebab matahari kat belakang. Yang lain-lain lagi gelap.

Pinggan pertama suami
Pinggan pertama suami

Tiada nasi lemak. Tapi ada nasi kerabu. Suami ambil. Saya rasa sikit. Sedap. Ayam tu, in between, nak kata ayam percik, ada rasa rendang. Nak kata ayam rendang, ada rasa percik.

Pinggan pertama saya
Pinggan pertama saya

Saya ambil baked beans, sosej, roti bakar, kentang wedges, pastry seketul dan roti bakar sekeping.

Telur omelette
Ambil omelette juga.

Minta tolong suami ambilkan. Dengan sos dia letak.

Kopi hotel
Kopi, haruslah.

Ada 3 mesin kopi, tekan saja mahu kopi apa.

Pinggan kedua saya
Pinggan kedua saya

Ambil roti bun sebiji, nak makan colek ayam rendang tapi ada rasa macam percik itu. Ambil juga tembikai, salad dan baby tomato. 

Meja menghadap laut
Kami makan di luar.

Ada disediakan 2 khemah di luar. Udara sejuk. Tidak panas sangat. Meja mengadap laut. Dalam, ada meja kosong, tapi sengaja duduk luar.

Pinggan ketiga saya
Pinggan ketiga saya

Roti kukus dan kaya. Makan kongsi-kongsi dengan suami.

Hidangan kedua suami. Bubur
Hidangan kedua suami

Ambil bubur dan letak segala rencahnya seperti chili oil, ikan bilis, telur masin hancur, kacang, sambal hitam dan lain- lain. Suami makan separuh, saya makan separuh.

Kucing hotel
Ada budak bulu datang nak bermanja

Kucing hotel. Dia tak mahu makan, bagi dia ayam sikit. Saja nak berkawan.

Kucing nak bergaduh
"Ko jangan berani datang dekat", kata si kucing hitam ni pada kucing nun di hujung sana.

Siap berbunyi-bunyi si citam ni, tunjuk dia abang kawasan situ. Kucing sana tu tertunduk-tunduk jalan slow- slow.

Selfiaq satu
Selpiaq satu!

Alhamdulillah, syukur, dapat makan sedap-sedap. Hotel ni lengkap. Ada kedai runcit di bawah. Angin pun sentiasa bertiup. Hotel yang besar dan tinggi, lokasi tepi laut. Kalau nak bercuti, memang sesuai. Harga sajalah mahal sikit, RM290 semalam. Tapi tengoklah bilik dia besar mana dan kelengkapan yang ada.

Ok la. Sambung entri lain. Jumpa lagi, ye. 😊

Sunday, January 25, 2026

Makan malam Kuantan

 Rabu, 21 Januari 2026 - Cari kedai untuk makan malam. Jalan kaki saja dari hotel, lepas maghrib. Nampak Restoran Ana Ikan Bakar Petai. Pernah baca tentang restoran ini dari blog teman bloggers. Ramai juga orang, tapi ada banyak tempat duduk. Restorannya sangat luas   juga.

Ana Ikan Bakar Petai
Jalan kaki dari hotel

Yang lawaknya, kami tak pesan menu seafood atau ikan bakar petai. Sebab kami on roadtrip, risau sakit perut makan petai atau makanan laut. 

Ambil air kosong
Suami ambil air kosong layan diri

Ada banyak orang datang menjual barang dari meja ke meja. Sekejap orang jual kerepek datang ke meja, sambil bawa tester. Sekejap lagi, orang datang ke meja, jual panipuri. 

Air kelapa
Suami pesan ayaq nyoq, RM7.

Dia bagi sekali sudu. Boleh korek isi. Banyak air kelapa. 

Orang jual meja ke meja
Antara barang beli dari orang jual meja ke meja.

Beli kerepek dan gula-gula kacang tumbuk. Kerepek tu, satu tong itu harga RM20. Sedap, bila makan, susah nak berhenti.

Nasi goreng biasa
Saya pesan nasi goreng biasa.

Sedap, nasi gorengnya.

Nasi goreng kampung
Suami pesan nasi goreng kampung.

Pun sedap juga.

Ayam goreng kunyit
Ayam goreng kunyit

Sedap, tak sama macam ayam goreng kunyit biasa beli di kedai kami selalu makan di Perak. Ayamnya lembut saja, tidak overcooked.

Sambal belacan
Sambal belacan

Suami suka pesan sambal belacan bila pesan nasi goreng kampung.

Telur dadar
Telur dadar

Lain macam rupa telur dadar dia. Tapi ok jer.

Alhamdulillah. Semua makanan sedap. Harga makan malam kami, RM24.

Lepas makan, balik bilik hotel, terus tidur. Bagus juga kami jalan kaki. Sebab lepas makan, perut gendut sudah. Berjalan lepas makan rasa ok sikit.

Sekian cerita makan malam kami. Sambung nanti pula ya. Jumpa lagi. 😊

Saturday, January 24, 2026

Swiss-Belhotel Kuantan

 Rabu, 21 Januari 2026 - Kuantan alami banyak perubahan. Jauh beza antara apa yang masih dalam ingatan saya kali terakhir saya pergi Kuantan. Saya ingat lagi Plaza Teruntum. Dulu masa zaman saya duduk di Jengka, saya suka pergi Kuantan dulu kalau tiket bas habis. Sebab dari Kuantan, akan ada banyak tiket bas ke KL. Masa itu, bapa saya belum pencen, masih bekerja di UPM. 

Kami tak buat apa-apa tempahan hotel. Ingat nak duduk hotel cantik sikit, tapi tidaklah mahal sangat. Itu yang saya bagitahu suami pergi sini. Suami pula bawa ID pekerja, dapat corporate rate. Ada diskaun sikit, Alhamdulillah.

Dapat bilik tingkat 11, bilik mengadap laut. Jom tengok.

Ruang dapur, meja makan nasi pintu bilik air.
Masuk pintu, toleh kiri, nampak ruangan ini.

Mini dapur, ada sinki dan peti ais kecil dalam kabinet bawah. Ada meja makan dengan kerusi tinggi. Pintu ke bilik air dan tandas.

Bilik air dan shower
Bilik air, ada shower, tiada bathtub.

Masih ok. Sebab rain shower besar atas kepala.

Tandas ada bidet di tepi
Tandas, ada bidet di tepi.

Cermin make-up tu pun ada. Hair dryer pun ada.

Kemudahan buat kopi
Air mineral, cerek elektrik, cawan buat kopi dan teh.

Lengkap semua. Suami ada buat kopi. Saya sakit kepala berdenyut-denyut. Lepas mandi pun tak hilang sakit. Dehidration kot. Bila minum air waktu travelling, berhenti sokmo toilet break. Kalau tak cukup air minum, boleh sakit kepala pula. Campur sebab kena tukar spek baru tu la. 

Katil besar dan selesa
Katil selesa.

Sedap tido. Pengsan kan, jauh naik kereta. Walau pun bukan kita yang drive. 

Ruang bekerja dan menonton tv
Ruang bekerja dan menonton TV.

Besar bilik. Boleh berjoget la laki bini. 

Pemandangan dari bilik
Pemandangan dari bilik

Air laut tengah surut. Cantiknya. Rindu tengok Laut China Selatan. Rumah saya, laut mengadap Selat Melaka.

Pemandangan dari tingkap hotel
Boleh nampak pool di bawah.

View dari bilik pun sangat cantik. Alhamdulillah. Rasa sangat seronok dapat bercuti.

Bilik yang luas dan lengkap
Ada iron dan ironing board di almari sana.

Tapi saya tak guna pun. Bawa pakaian dan tudung yang ironless.

Suka meja makan dan kerusi tinggi ini.

Nanti rumah pencen di kampung, nak buat meja makan macam tu la. Simple je.

Slippers dan laundry bag
Slippers dan laundry bag

Lengkap semua. Alhamdulillah.

Cicak pun ada.

Cicak keluar dari bawah katil. Saya terpijak dia sikit. Lepas tu, dia jadi bodoh dan pura-pura mati. Cakap pada suami. Suami sepak cicak bawah katil semula. Selang beberapa minit, cicak keluar semula dari bawah katil dengan lajunya. Suami sepak cicak keluar bilik hotel. Ok. Selamat.

Sekian cerita bilik hotel yang cantik dan selesa. Saya suka. Alhamdulillah. Rezeki.

Jumpa lagi. 😊