Saturday, December 13, 2025

Beli dua pokok bunga

Assalamualaikum, semua...

Ada satu hari tu, suami ikut jalan dalam, pandu kereta melalui taman perumahan di Sitiawan. Bawa slow la, sebab bila lalu kawasan perumahan ada bonggol di jalanraya. Ternampak satu rumah. Rumah teres lot tepi. Cantik rumahnya, sebab penuh bunga berwarna-warni. Ada tanam dalam pasu, ada tanam di tanah. Ada bunga merah, pink, biru, ungu, bermacam-macam warna. Lawa giler, bagi saya. Saya tahu, bukan senang nak membela pokok bunga cantik macam itu. Tapi itulah yang saya nak, impian saya. Penuh bunga-bunga cantik di laman rumah. 

Pada 4 Disember 2025 yang lepas, saya singgah Bujang Garden. Saja, jalan-jalan tengok bunga. Saya mencari pokok yang tahan panas, senang jaga, berbunga, tapi kalau tak berbunga pun tak apa lah, ada daun yang rimbun. Pusing punya pusing, saya pilih dua pokok.

Salvia farinacea
Salvia ungu

Nama saintifik Salvia farinacea. Tanaman yang agak mudah dijaga, menurut Google AI, dan tahan lasak, sesuai untuk iklim panas. Serangga seperti lebah, rama-rama dan burung madu suka pokok ini kerana bunga pokok ini kaya dengan nektar. Ada pelbagai variasi pokok salvia, ada sesetengahnya boleh dimakan dan digunakan untuk perasa. Yang saya beli ini, saya tak tahu la boleh makan ke idok.

Brother yang jaga nursery cakap, tak perlu siram setiap hari. Mengikut AI, siram kira-kira sekali seminggu. Biarkan tanah kering di antara sesi penyiraman untuk elak air berlebihan, kerana ia lebih suka keadaan kering sedikit.

Pemangkasan berkala boleh menggalakkan pertumbuhan yang sihat dan lebih banyak bunga. Daun dari beberapa jenis salvia yang wangi boleh digunakan untuk dibuat potpourri. Saya lupa nak cium pokok salvia yang saya beli ada bau ke idok. Esok la saya tengok. Sekarang pokok ini saya sudah pindahkan ke pasu lebih besar. 

Pokok dahlia
Pokok dahlia

Nama saintifik Dahlia pinnata. Pokok ini tahan panas tetapi sensitif kepada kekeringan melampau. Siram pokok secara mendalam 2 hingga 3 kali seminggu apabila pokok sudah matang dan dalam musim kemarau. 
Elakkan menyiram daun atau bunga untuk mencegah penyakit kulat, sebaliknya siram terus ke paras tanah. Pokok ini masih dalam pasu asal dari nursery, saya belum pindahkan lagi ke pasu lebih besar.
Saya sibuk menebas rumput minggu ini. Hari ini hujan pula, jadi cuti berkebun. 

Sudah 9 hari sejak saya bawa balik dua pokok bunga ini dari nursery. Keduanya masih hidup, setakat ini, Alhamdulillah.  

Harga dua pokok bunga saya beli dari Bujang Garden ialah RM30. Semoga kedua pokok tumbuh dengan sihat dan keluarkan bunga cantik-cantik dengan warna yang terang supaya laman rumah saya tambah ceria dan berseri-seri. 🥰

Saja je, rekodkan di blog. Jadi, saya tahu bila saya beli. Kot umur pokok tak panjang pun, ada rekod saya beli pokok apa. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, December 12, 2025

Sarapan di Kafe Kg

 Assalamualaikum, semua...

Entri kali ini, saya nak kongsikan tempat saya dan suami pergi sarapan pada 4 Disember 2025 yang lepas. Kami ada perasan satu tempat ini, kalau tidak ikut highway WCE, lalu jalan lama ikut Ayer Tawar, Perak. Atas sikit melepasi pekan, ada nampak lampu-lampu macam kedai makan tepi jalan. Hari itu, suami saya masih hari off. Jadi, jomlah kita cuba sarapan port baru.

Kafe Kg
Kafe Kg nama tempatnya.

Kg itu, saya rasa singkatan untuk Kampung. Memang suasana dalam kampung kedai makannya. Di tempat parking ada surau. Nampak ayam juga berkeliaran. Masa kami sampai, masih awal. Dalam pukul 7 lebih camtu. Pilih tempat duduk, dan tuan kedai datang bawa menu dan tanya nak makan apa. Masih old school. Hehe..

Kafe Kg Ayer Tawar, Perak.
Tempat makanan disediakan dan kaunter bayaran di sebelah kanan.

Kami duduk di meja berpayung depan kaunter dan tempat masak. Pagi itu agak mendung. Banyak pokok-pokok besar. Rasa redup tempat ini, macam dalam hutan. 

Antara menu yang ada ialah nasi lemak, set roti bakar dan roti arab. Kedai ini dibuka dua sesi, pagi untuk sarapan dibuka dari 7 hingga 11 pagi. Sesi petang pula dari 6.30 petang ke 11.30 malam. Kafe tutup setiap Isnin. Saya rujuk di google, menu malam dia, ada nasi goreng ayam crispy, burger, charkuetiau dan mi kari.

Tempat duduk yang banyak di Kafe Kg Ayer Tawar
Tempat duduk sebelah kiri kami.

Tempat basuh tangan, sinkinya adalah kuali, dalam gambar di atas.

Teh o panas kosong dan kopi ginseng kosong.
Teh o panas kosong dan kopi ginseng kosong.

Pesanan suami sampai dulu.

Nasi lemak telur mata
Nasi lemak telur mata.

Saya makan separuh nasi lemak suami. Cukup aroma nasinya, dari halia. Santan dalam nasi lemak pun ada rasa. Sambal sedap. Macam orang masak untuk makan di rumah, bukan untuk niaga. Ada papadom beberapa keping.

Jambatan kecil di Kafe Kg, Ayer Tawar
Ini laluan pada mereka yang parking di tepi jalan

Di belakang kami ada jambatan kecil.

Tempat makan yang luas di Kafe Kg, Ayer Tawar
Tempat makan di sebelah kanan kami.

Ada tempat makan boleh duduk bersila di pondok bumbung biru itu. Sebelahnya, tempat air disediakan. Boleh nampak telur separuh masak yang saya pesan, ada di situ, belum siap. Dia guna bekas kuning yang letak air panas itu, macam dekat mamak.

Roti bakar telur goyang di Kafe Kg, Ayer Tawar
Saya pesan roti bakar telur goyang.

Sampai saja, suami makan dulu separuh. Alhamdulillah. Tempat makan yang redup dan tenang, di samping makanan yang sedap.

Lain kali boleh cuba yang sesi petang pula kot singgah sini.


Sekian perkongsian.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Thursday, December 11, 2025

Laksa johor dan kacang pool

 Assalamualaikum, semua...

Cerita saya dan suami bersarapan di Kluang Road Cafe, Seri Manjung, pada 3 Disember 2025 yang lepas. Kalau google cafe ini, akan keluar Permanently closed. Memang cafe ini sudah tutup di lokasi lama, dan berpindah ke sebelah Restoran Walid Ummi. Nak buat bayaran pun di Restoran Walid Ummi. Perusahaan keluarga, saya rasa. Lama sudah kami tak datang sini.

Kluang Road Cafe ini banyak menyajikan makanan dari Johor seperti lontong darat, nasi ambeng, mee bandung muor, kacang pool daging dan laksa johor. Juga banyak lagi menu lain seperti roti bakar, roti goyang Kluang Baru, mi kari, soto ayam dan lain-lain.

Bila suami saya tak kerja, memang biasanya saya tak IF. Lagi-lagi kalau ada urusan di luar. 

Laksa johor
Laksa johor

Kalau sarapan sini, mestilah pesan laksa johor. Terbaik, laksa johor dia. 👍😋

Gambar semasa menggaul laksa johor
Gambar semasa suami gaul laksa johor dia.

Seperti biasa, kami saling tukar hidangan, jadi boleh rasa sama-sama. 

Kacang pool Kluang Road Cafe, Seri Manjung
Saya pesan kacang pool

Ini lagi satu hidangan mesti cuba kalau datang makan sini. Tebal roti bakarnya. Memang kenyang, walaupun share makan dua orang. Alhamdulillah. Rejeki, sarapan sedap itu hari.

Kluang Road Cafe buka setiap Sabtu hingga Khamis, dari pukul 8 pagi hingga 3 petang. Cafe tutup setiap Jumaat.

Kome hari ni, sarapan apa?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, December 10, 2025

Urut

 Assalamualaikum, semua...

Kisah pada 2 Disember 2025 yang lepas. Jumpa kerusi urut sedemikian rupa di Lotus's Manjung. Orang pun tak ramai. Menarik untuk dicuba. Macam duduk dalam cubicle. Agak bertutup di kiri kanan dan atas. Macam ada privacy sikit.

Kerusi urut masuk duit di Lotus's Manjung
Jom kita try

Harga RM3 untuk 6 minit. Ada dua buah kerusi urut. Suami sebelah, saya sebelah. 

Ada aircond dalam kerusi urut
Bila sudah duduk, dongak ke atas.

Ada aircond di dalam. Sedap kena urut. Selesa pula tu dan sejuk sebab ada aircond menghala direct ke muka. Rasa nak tertidur masa dia urut. Dari tengkuk belakang, belakang badan, lengan, peha, kaki di betis, masya-Allah, syok rasa. Kalaulah ada kerusi urut begini sebiji di rumah. Lokasi kerusi berhadapan tempat permainan indoor budak-budak. Itu ada signboard babyland dalam gambar di atas.

Lepas diurut, kami masuk pasaraya, beli barang dapur sikit. Lepas tu, beli kopi. 

Americano dan latte ais Gigi Coffee
Minum di food court

Suami minum latte ais, saya americano panas. Kopi panas lagi, melebor (orang Perak kata), jadi buka penutup cawan supaya cepat sejuk. Saya pergi cari tudung raya sementara itu. Suami duduk situ, main handphone. Tak lama pun, lima minit je pergi beli tudung. Sebab sudah aim kedai dan nampak dari luar tudung apa nak. Hehe.. baju raya sudah ada untuk tema raya tahun ini, cadang pakai baju tahun lepas-lepas saja. Tudung saja tak ada warna yang dikehendaki. 

Ok. Jumpa lagi. 💗

Tuesday, December 9, 2025

ChubbyBara

 Assalamualaikum, semua...

Bagi pembeli kopi Zus, sekarang tengah musim si ChubbyBara ni. Kisah pada 1 Disember yang lepas. Seperti biasa, saya beli kopi americano. Dapat cup sleeve yang panjang ini, tapi dia bagi begitu je. Eh, betul ke, cup sleeve fungsi dia? Saya pun tak tahu la. Saya letak pada cawan kopi, sebab macam payah nak pegang kalau tak letak pada cawan kopi kita. Nak sumbat dalam handbag pun macam panjang.

Chubbybara pada cawan kopi
Ha, gulung dia, letak pada cawan kopi.

Montel menatang ini. Cup sleeve paling besar pernah dapat, Zus bagi. Sudah dapat banyak, cup sleeve ini. Dekat rumah pun ada dua keping. Betul juga cakap BK, rupa si ChubbyBara ni, macam unta kemurungan. 

ChubbyBara pada cawan kopi
Pusing cawan kopi menghala ke sini pula

Bila pusing cawan kopi pun, masih nampak chubbyBara yang gemuk dan kemurungan itu. Macam dia mengintai di balik cawan. Saya dan suami lepak minum kopi di food court Aeon Mall Seri Manjung. Kami sudah makan di rumah, tapi suami nak juga benda ringan nak makan. 

Garlic bread di food court Aeon Mall Seri Manjung
Dia pergi kat tempat western food dan order garlic bread.

Atas garlic bread itu, garlic dicincang halus dan diletak atas roti. Butter tak rasa, rasanya dia tak letak pun, letak bawang putih sahaja. Nasib baik sebab bawang putih baik untuk turunkan kolesterol. Makan juga. Rasanya, dulu tak adalah begini rupa garlic bread dia. Nak jimat kos kot.

Mushroom soup food court Aeon Mall Seri Manjung
Cicah mushroom soup

Mushroom sup segar dan panas dari dalam tin rasanya. Ok je. Alhamdulillah.

Banyak merchandise menarik bagi yang suka mengumpul bila ada promosi Zus ini. Tapi saya tak dapat join la untuk ChubbyBara Series ini, sebab minuman dia semua manis. Saya kurang minat minuman chocolate, walaupun ramai cakap yang Finally Pistachio Chocolate itu sedap. Di bawah Chocolate ChubbyBara Series ini juga, ada kek chocolate kunafa, yang kandungan dia sama macam minuman itu, iaitu chocolate dan pistachio. Haa... yang minat, boleh la beli. Saya tak boleh, tengah stop benda manis-manis ni. Masih setia dengan americano tanpa gula itu. 

Ok la. Jumpa lagi, ye. 💗

Sambal tumis ikan bilis petai

 Assalamualaikum, semua..

Perkongsian apa saya masak pada 1 Disember 2025 yang lepas.

Ikan rebus goreng
Ikan rebus goreng

Ikan rebus beli di pasar pagi Sabtu, Bota Kanan, Perak. 

Sambal tumis ikan bilis petai
Sambal tumis ikan bilis petai

Suami siang (siang ke? Macam siang ikan pula, padahal petai) petai masak dengan kulit-kulit. Kalau buka kulit dan belah petai, buat sambal tumis macam ni, biasanya cerry berry, bagi kamilah. Bila makan petai dengan kulit-kulit, ok pula, tiada cerry berry. Cuma kerap buang air kecil.

Lama sudah tak masak sambal tumis ikan bilis petai ini. Beli petai sejambak besar, harga RM10. Itu pun, tak masak semua. Ada dua tangkai lagi dalam peti ais. Suami kata nak bawa ofis, makan dengan nasi, tapi dia lupa. Dia boleh makan petai mentah, saya tak boleh. Kena buat sambal tumis juga.

Makan malam saya, ikan rebus goreng, telur rebus dan sambal tumis ikan bilis bersama petai.
Makan malam saya

Makan ikan rebus goreng, telur rebus dan sambal tumis. Alhamdulillah, masak sendiri di rumah rasa nikmat, walaupun lauk simple dan sikit je. Saya baru nak mula semula jaga makan. Masuk bulan baru kan, Disember. Sebelum itu, sudah banyak hari makan macam bela saka. Rasa lain macam bila badan pun sudah keluar signal berat. Itulah masalahnya saya ini. Nak turun berat lambat. Nak naik berat, cepat saja. Berat sudah 59kg, last sekali timbang. Sebelum berat masuk bermula angka 6 semula, baiklah kembali ke pangkal jalan.

Sekian. Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, December 8, 2025

Makan di Ayam Penyet Malindo

 Assalamualaikum, semua...

Cerita pada 27 November 2025 yang lepas. Ada urusan di Tronoh. Lepas selesai urusan suami, cari tempat makan. Kami pergi bertiga. Amirul pun sempat juga ikut, walaupun malam itu, dia kena naik bas ke KL. Dari KL, esoknya baru dia naik bas balik Dungun. Jumpa Restoran Ayam Penyet Malindo. Lokasi di tepi jalan utama saja.

Menu makanan Ayam Penyet Malindo
Menu makanan Ayam Penyet Malindo

Ada nasi ayam penyet biasa, yang special, nasi ikan keli penyet, talapia penyet, set sup tulang dengan nasi dan sup daging dengan nasi. 

Mana asal nama ayam penyet itu? Menurut encik gemini, ia merujuk kepada ayam digoreng, kemudian dihempuk atau ditekan sedikit menggunakan lesung batu, sebelum disajikan bersama nasi, sambal pedas, tempe, tauhu dan ulam-ulaman, menjadikannya empuk dan menyerap sambal dengan lebih baik. Hidangan ini berasal dari Jawa Timur, Indonesia, dan dibawa ke Malaysia oleh pendatang Jawa.

Kakak yang hulurkan menu ini, dari cara percakapannya, bunyi macam orang Indonesia.

Menu ala carte Ayam Penyet Malindo, Tronoh.
Ada menu ala carte juga

Macam kedai tomyam, ada masakan goreng-goreng juga.

Saya order ayam penyet biasa. Suami order sup daging dan nasi. Amirul order nasi goreng kampung.

Nasi ayam penyet biasa
Nasi ayam penyet biasa.

Ada keropok. Sedap, nasi dan lauk, pada tekak saya. Sambal pedas. Tapi ada sup, jadi imbanglah rasa pedas tu. Boleh terima. Portion nasi pun banyak.

Sup daging Ayam Penyet Malindo
Sup daging suami

Tak nampak daging. Sekejap, ya.

Daging dalam sup daging Ayam Penyet Malindo, Tronoh.
Haa.. tudia..

Suami cakap, dia lebih suka sup kedai di Kuala Kangsar lagi. Ok.

Nasi goreng kampung di Ayam Penyet Malindo, Tronoh.
Nasi goreng kampung Amirul.

Tengah makan, hujan pun turun. Walaupun hujan, berpeluh Amirul. Nasi goreng dia pedas, rasanya.

Ayam Penyet Malindo, Tronoh Cafe.
Inilah kedainya, Ayam Penyet Malindo, Tronoh Cafe.

Alhamdulillah. Selesai menjamu selera, kami redah hujan nak masuk kereta. Amirul teringat tertinggal gula-gula atas meja. Dia keluar balik, pergi ambil. 

Saya suka juga nasi ayam penyet ini. Sama macam nasi ayam, pun suka. Sebab ia satu hidangan lengkap. Nasi ayam gepuk pun suka. Semualah suka, tak ada yang tak suka. 🤭

Sekian perkongsian. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Sunday, December 7, 2025

Mengopi di Kopitopedia

 Assalamualaikum, semua... Salam hujung minggu...

Pada 25 November yang lepas, saya, suami dan anak sulung, Amirul, pergi jalan-jalan cari kopi. Amirul balik sekejap, UiTM cuti, waktu itu. Dia balik naik bas. Masa itu, kami baru lepas makan tengahari yang agak lewat juga, di rumah. Menggunakan google maps, buat carian 'kopi near me' dan pilih tempat baru yang kami tak pernah pergi untuk mengopi. 

Sampai saja di cafe, kami terus pilih meja dan duduk. Ada adik cafe datang bawa buku menu dan borang pesanan. Kita isi apa kita nak, dan kembalikan di kaunter. Cafe Kopitopedia ini ada makanan berat juga. Selain side dish seperti kentang goreng, potato wedges, nugget tempura dan croffle pelbagai jenis. Menu berat dia pula termasuklah chicken chop, nasi lemak, dan ramen. Ada hidangan set termasuk air, ada yang ala carte. Minuman frappe pun ada, yogurt dan coconut shake. Minuman bukan kopi pun ada seperti coklat dan jus buah.

Americano panas tanpa gula dan roti bakar
Americano panas tanpa gula dan roti bakar.

Waktu kami datang, hujan baru berhenti. Jadi, sedap dapat minum americano panas bersama roti bakar. Pesan 2 set roti bakar, yang disapu kaya dan coklat.

Pemandangan bukit hijau depan cafe Kopitopedia
Depan cafe ada pemandangan bukit hijau

Suami saya minum latte ais. Amirul minum jus oren. Seperti biasa bila Amirul balik, pok pek pok pek dok cerita macam-macam. Ada banyak tempat duduk. Cafe ini terbuka. Kami duduk bawah bumbung, depan portable aircond. Ada tempat duduk di luar, bawah payung.

Cuaca mendung waktu mengopi di Kopitopedia
Cuaca yang masih mendung

Meja di bawah payung sana, jenis meja yang orang bawa pergi berkhemah itu, yang boleh dilipat.

Ambil gambar kenangan sewaktu mengopi di Kopitopedia
Ambil gambar kenangan.

Saya ajak suami dan Amirul buat muka ketat macam Uncle Gedek. Tapi macam tak jadi. Suami je jadi muka ketat. Amirul gelak dah kenapa pula nak buat muka ketat, dia tanya. Saya pun nak tersenyum juga. 

Cafe Kopitopedia
Gambar ambil waktu nak balik.

Bila kami nak balik, ada pelanggan lain datang. Pertama kali datang sini, lain kali boleh repeat datang, cuba menu berat dia pula. Cawan americano dia besar, puas sikit minum kopi sini. Belakang cafe, bukit. Lokasi Kopitopedia ini, di sebelah Restoran D'Warisan, Padang Tembak, Lumut, Perak.



Waktu saya taip entri ini, Amirul sudah balik Dungun, pada 27 November yang lepas. Banyak sudah tempat kami mengopi. Bila kita cuba pelbagai tempat, boleh buat perbandingan harga dan pilih lokasi kita suka berdasarkan keadaan cuaca. Misalnya, kalau hari panas, cari cafe yang ada aircond. Ha, camtu. 

Orait. Jumpa lagi, ye. 💗

Saturday, December 6, 2025

Masak apa tu

 Assalamualaikum, semua...

Entri kali ini, saya nak kongsikan masakan pada 25 November 2025 yang lepas.

Merujuk kepada entri Terima Hadiah dari Fanny, salah satu hadiahnya adalah Sambal Korek dalam gambar di bawah. Sudah cuba makan. Memang sedap, sambalnya. 😋 Dari segi kepedasan, saya boleh terima, tetapi kesian pula suami saya makan sambal ini, peluh mencurah-curah keluar dari kepalanya yang tiada rambut itu. 

Oleh itu, perlu rasanya saya ubahsuai tahap kepedasan sambal Fanny bagi. Saya tambah bawang merah dikisar dengan tomato dan masak semula. Saya tambah telur rebus dan kentang goreng wedges.

Sambal telur rebus dengan kentang
Terhasillah sambal telur rebus dengan kentang.

Hari tu, mood rajin memasak ON. Jadi, saya tambah lauk protein lain. 

Ikan kerisi goreng
Ikan kerisi goreng

Masak juga satu hidangan sayur.

Kobis masak lemak putih
Kobis masak lemak putih

Alhamdulillah... nikmat rasanya bila makan masakan masak sendiri dari rumah ni. Esok hari Ahad, cadangnya nak keluar beli barang dapur sikit. Kome apa plan di hujung minggu?
Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Review buku Tenanglah Hati

 Assalamualaikum, semua...

Buku ini adalah buku pertama yang saya pinjam dari Perpustakaan Komuniti Aeon Manjung. Saya pinjam pada 17 November 2025 yang lepas dan sudah pun pulangkan sebelum masuk bulan Disember. Saya kena ambil time off dari aktiviti blogging, untuk baca sampai habis. Saya tahu, kalau saya berhenti baca sekerat jalan, mesti susah nak sambung sampai habis. Jadi, sementara momentum masih ada, saya teruskan baca.

Tajuk buku Tenanglah Hati karya Reyna Ibrahim. Buku motivasi dan nasihat, ada menyentuh tentang depresi dan cara mencari ketenangan masa kita hadapi ujian dalam hidup.

Tenanglah Hati karya Reyna Ibrahim
Cover depan buku Tenanglah Hati.

Ada satu bahagian itu, terkena batang hidung saya sendiri. Bila dah terkena, bergenang juga mataku dengan airmata, terus termenangis. Nasib baik saya sedang baca seorang diri dalam bilik. 

Ada dikongsikan juga kisah hidup individu yang alami situasi sukar dan buat kita sedar diri yang walaupun kita rasa kita ditimpa ujian susah, ada orang lain lagiiiii susah dari kita. Kena syukur, ok.

Buku yang dicadangkan bagus untuk merawat hati
Penulis ada beri cadangan buku yang elok dibaca untuk merawat hati.

Ayat yang digunakan dalam buku ini, mudah faham, bagi saya. Baguslah. Penulis juga menggunakan kata-kata yang boleh buat hati kita jadi sejuk dan kita rasa, mesti usaha untuk berdamai dengan diri sendiri dan takdir hidup kita.

Potongan doa yang baik untuk diamalkan
Beberapa potong doa yang boleh kita look up dalam AlQuran.

Penulis juga ada sebut tentang mendekatkan diri dengan Allah. Yang ini, saya setuju sangat. Bila ingat Allah selalu, hati akan tenang. Ada juga contoh surah yang boleh kita amalkan.

Surah Al-Insyirah
Surah Al-Insyirah, Surah Kelapangan Hati.

Sudah tertulis saya ternampak buku ini di perpustakaan dan meminjamnya. Memang tepatlah masanya bagi saya. Sebab saya punya angin kus-kus pun semenjak dua menjak ini bukan main kuat lagi tiupannya, sehingga satu hari, termeletus sikit. Selalu doa agar Allah tenangkan hati saya, selain usaha juga untuk dekatkan diri denganNya. Hati kita pun Allah yang pegang. Buku yang sangat bagus bagi saya, secara peribadi. 

Sekian perkongsian. Nanti bila free, Insya-Allah, akan ke perpustakaan untuk pinjam buku lagi. 

Jumpa lagi. Hari ini lepas Zohor, suami ajak pergi kenduri rumah kawan dia. Masih belum dapat blogwalking ke rumah kawan-kawan. Nanti saya lapang sikit, saya jalan-jalan ke blog kome, ye. 

Selamat hujung minggu.

Jumpa lagi. 💗

Friday, December 5, 2025

Sedap

 Assalamualaikum...

Saya ambil gambar ini pada 22 November 2025 yang lepas. 

Bubblegum Sofuto FamilyMart
Bubblegum Sofuto FamilyMart

Hari sebelumnya, saya ada cuba bubblegum sofuto ini. Sofuto ialah perkataan Jepun bermaksud soft cream. Masa saya beli sofuto, adik FamilyMart ini cakap, beli 1 sofuto cone, percuma 1. Jadi, dapatlah dua, satu untuk saya, satu untuk suami. Saya perhati je adik itu buat. Dia buka satu paket kecil kemudian tabur atas sofuto. Sekali jilat, terasa macam kembali ke zaman saya budak dulu. Sebab apa? Serbuk itu adalah popping candy. 

Siapa dulu pernah makan, gula-gula letup-letup yang rupa dia macam serbuk, bila kita makan, kita tunggang terus masuk mulut dari paket. Lepas tu, letusan-letusan kecil meletup dalam mulut. Selalunya, kongsi dengan kawan-kawan. Letak kat tapak tangan sikit, ngap masuk mulut. Tak tahu nak terangkan macamana, letupan-letupan kecil itu. Siapa yang pernah makan, tahulah, ha.. itulah dia, atas sofuto ini.

Gambar pun saya tak ambil, sebab sedap sangat menikmati bubblegum sofuto ini. Sambil pejam-pejam mata gitu. Sesekali bila dapat benda manis memang syok. 😋

Saya tak pasti samana ada sekarang masih ada atau tak perasa ini sebab semalam saya tengok di FamilyMart, sudah bertukar ke Pistachio Sofuto pula. Banyak-banyak perasa, saya rasa yang perasa bubblegum itulah yang sofuto paling sedap saya pernah beli dari FamilyMart. 

Sekian perkongsian. Salam Jumaat yang mulia.

Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, December 4, 2025

Melawan kemalasan

 Assalamualaikum, semua...

Cerita pada 20 November yang lepas.  Pagi, selepas Sulaiman ke sekolah, saya pergi berjalan di Padang Astaka, Sitiawan. Sudah jarang pergi jalan pagi. Mode malas ON. Lagi pun, banyak hari waktu pagi, hujan. Ye la tu, kan, kalau tak hujan pun, pergi ke jalan waktu pagi? Huu.. Pagi tu, kena seret kaki juga. Menyampah, tapi bila fikir makan banyak dan badan rasa macam berat, jalanlah juga slow-slow.

Rekod berjalan pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Satu jam berjalan lenggang kangkung itik pulang petang

Pokok besar di tepi padang
Pokok besar di tepi padang seberang jalan

Cantik juga cuaca. Bila sudah habis jalan barulah rasa nasib baik aku keluar berjalan. Rasa happy sikit. Barulah ada semangat nak memasak.

Ikan keli berlada
Ikan keli berlado

Sulaiman punya lauk kegemaran. Rasa macam hari tu saya ada update blog, masak ikan keli berlada juga. Oh, itu kejadian pada awal bulan. Ini, akhir bulan November.

Sayur kacang buncis dan carrot pecah telur.
Sayur kacang buncis dan carrot pecah telur.

Alhamdulillah. 

Salah satu kaedah untuk melawan kemalasan bagi saya adalah paksa diri untuk mula. Korang pula camana? Semoga kita tetap bersemangat buat benda-benda bermanfaat dan siapkan kerja kita sehari-hari. 

Doa atasi rasa malas
Jumpa doa atasi rasa malas

Ok. Jumpa lagi. 💗

Wednesday, December 3, 2025

Wordless Wednesday - Biskut Timbang

 

Lokasi di sebuah kedai runcit di Kuala Kangsar
Lokasi di sebuah kedai runcit di Kuala Kangsar. Pilih biskut mana ye...


Boleh beli biskut ikut berat atau berapa ringgit nak
Boleh beli ikut berat (berapa gram) atau berapa ringgit nak.


Saya beli tiga jenis. Biskut ada icing balas atas tu, sejak kecil lagi suka.
Saya beli tiga jenis. Biskut ada icing balang atas tu, sejak kecil lagi suka.