Monday, January 12, 2026

Jalan pagi UTP dan sarapan apa

Pada 6 Januari 2026 yang lepas, saya dan suami pergi jalan pagi di UTP, Seri Iskandar, Perak. Jauh tu, kami pergi. Saja, sebab suami hari off. Anak kedua, Hafizan pun ikut sekali. Anak bongsu, Sulaiman tak ikut, sebab dia sudah janji dengan kawan nak briskwalk di Esplanade Lumut. 

Jom tengok pemandangan jalan pagi di Taman UTP, singkatan untuk Universiti Teknologi Petronas. Orang awam boleh masuk percuma saja. 

Tasik UTP, Seri Iskandar, Perak
Tenang tengok tasik

Sesekali tukar angin. Biasanya, jalan pagi di padang. Kali ini, dapat tengok pemandangan tasik yang luas ini. Cuaca pagi itu agak mendung, tidak panas sangat. Saya berjalan saja dulu, sambil sembang dengan Hafizan. Bila sampai tempat peralatan bersenam yang disediakan, Hafizan berhenti sekejap mencuba. 

Pokok kiambang
Pokok kiambang

Alhamdulillah. Untung orang yang tinggal berdekatan. Dapat riadah di taman yang luas seperti ini. Kalau tak mahu berjalan atau jogging pun, boleh saja duduk-duduk di kerusi yang disediakan. Tempat sesuai untuk tenangkan fikiran.

Burung bangau mencari makan di tasik UTP
Lihat burung bangau mencari makan di tasik

Saya selang seli antara berjalan dan slowjogging. Udara pagi segar dan nyaman. Banyak pokok-pokok besar. Ada kawasan teduh juga. Sambil berjalan, boleh jumpa arca dinasour, monumen, batu dan meteorit untuk tujuan pengetahuan.

Duduk bawah pokok sambil tengok tasik yang tenang
Duduk bawah pokok sambil tengok tasik

Saya pusing dua pusingan paling besar. Saya sampai dulu di kawasan hampir dengan tempat parking kereta. Sementara tunggu suami dan Hafizan sampai, saya duduk dulu bawah pokok. Alhamdulillah. Setelah lama saya cuma berjalan dan tidak berlari, saya rasa bersyukur sebab boleh slowjogging tanpa ada rasa sakit lutut. Perlahan-lahan saja. Kalau orang jalan laju, mesti boleh potong saya yang sedang slowjogging.

Suami dan anak. Rekod jalan pagi menggunakan garmin connect
Haa.. sampai pun suami dan Hafizan

Jalan pagi selama 49 minit, dengan jarak 4.04 kilometer. Alhamdulillah. Lepas tu, singgah di stesen minyak di tepi UTP, nak guna tandas.

Pokok-pokok tanaman di laluan nak ke tandas stesen minyak UTP
Pokok-pokok tanaman di laluan nak ke tandas stesen minyak

Tandas stesen minyak paling aman dan menenangkan, sebab banyak pokok-pokok kecik dalam pasu. Selain muzik alam yang berkumandang, rasa tenang saja, nak membuang air. 😊

Kemudian, suami ajak sarapan di Restoran Bunda, Seri Iskandar. Sini banyak pilihan nasi dan lauk pauk. Tapi saya tak ambil nasi pagi itu. Terliur tengok teman bloggers kongsi tentang soto, saya pun pesan soto. 

Soto dengan sambal kicap Restoran Bunda, Seri Iskandar
Soto dengan sambal kicap

Ada dua biji begedil dalam soto. Sedap, di tekak saya ini. Setelah dicampur cili kicap, lega dapat hirup panas-panas. 
Nasi kerabu di Restoran Bunda, Seri Iskandar, Perak
Suami makan nasi kerabu

Nampak sedap nasi kerabu suami ambil sendiri ini. Makanan di sini semua ambil sendiri, yang nasi dan lauk pauk. Lepas ambil, bayar di kaunter. Air balangnya sekali bayar, tapi percuma untuk refill. Kedai besar dan banyak tempat duduk.

Hafizan tak makan di kedai, cuma minum air. Tapi kami bungkus dua set nasi berlauk ayam goreng crispy. Hafizan makan di rumah saja. 

Alhamdulillah. Sekian cerita berjalan pagi dan sarapan kami pada hari Selasa lepas. 

Jumpa lagi, ye. 💗

2 comments: