Sabtu, 27 Jun 2026

Bokashi Bin

Kesinambungan dari misi saya untuk menggunakan sisa dapur sebagai baja, saya telah buat beberapa carian. 

Baca juga πŸ‘‰ Cerita tempat kompos yang lepas

Saya jumpa alat atau mesin yang beberapa teman blogger ada sebutkan, iaitu mesin kompos sisa makanan (food waste composter). Memang kagum dengan alat tersebut, yang berfungsi dengan mengisar, mengeringkan, dan menguraikan sisa makanan secara automatik dalam masa 2 hingga 24 jam. Hasilnya adalah baja organik kering yang kaya dengan nutrien untuk kesuburan tanaman. Tapi, harganya pun 'kagum' juga. 😁 Patutlah boleh dapat pelepasan cukai kalau ada alat tersebut.

Oleh kerana saya baru nak bermula, tak mahulah keluar bajet yang tinggi. Oh, saya juga ada selidik tentang kaedah tanam sisa dapur dalam tanah, seperti yang teman blogger ada sebutkan, yang ditunjuk oleh seorang pempengaruh di TikTok. Menarik kaedahnya, dan antara pilihan untuk sayalah yang boleh diamalkan.

Satu lagi cara yang berpatutan dengan bajet saya adalah dengan menggunakan bokashi bin. Oleh itu, saya pun beli di shopee. Selamat sampai di rumah. Dalam entri ini, saya nak ceritakan tentang bokashi bin. Kalau ada barang dan alat, boleh buat sendiri di rumah tong ini. Tapi saya kekurangan bahan, itu yang saya beli saja. Harga untuk satu set tong dan alat lain yang saya beli di shopee ini adalah sekitar RM60.

Apa itu Bokashi Bin

Bokashi dalam bahasa Jepun bermaksud "bahan organik yang diperam atau ditapai".

Sistem bokashi bin adalah kaedah pengkomposan dari Jepun yang menggunakan proses penapaian anaerobik (tanpa udara) untuk menukar sisa makanan menjadi baja organik. 

Kaedah ini sesuai untuk kediaman kecil kerana ia tidak berbau busuk dan boleh memproses hampir semua jenis sisa dapur.

Bahan sisa dapur yang boleh dimasukkan dalam bokashi bin
Ada tertera bahan boleh masukkan dalam bokashi bin.

Apa yang boleh dimasukkan (boleh dikompos)

Berbeza dengan kompos biasa, sistem bokashi boleh menerima sisa yang lebih pelbagai:

🌸 Sisa tumbuhan: Buah-buahan (termasuk kulit), sayur-sayuran, dan bunga potong.

🌸 Produk haiwan: Daging, ikan, tenusu (keju/yogurt), kulit telur dan tulang-tulang kecil.

🌸 Karbohidrat: Roti, bijirin, nasi dan pasta.

🌸 Lain-lain: Serbuk kopi, penapis kopi dan uncang teh.

Apa yang TIDAK boleh dimasukkan:

Jangan masukkan bahan bukan organik atau bahan yang boleh merosakkan proses penapaian:

Bahan bukan organik: Logam, kaca, plastik, pita pelekat, getah dan lampin.

Bahan kimia: Minyak, bahan kimia dan styroform.

Sisa tercemar: Makanan yang sudah terlalu berkulat atau busuk (boleh merosakkan bakteria baik dalam tong)

Dalam set bokashi bin yang saya beli, ada 2 lapisan tong (tong di atas ada penapis lubang-lubang, sementara tong di bawah untuk menakung air kompos dan ada lubang untuk dipasang kepala paip), bokashi bran dan kepala paip untuk saya pasang pada tong di bawah. 

Bokashi bran dan kepala paip untuk dipasang pada tong bawah
Bokashi bran dan kepala paip 

Cara menggunakan tong bokashi

1. Potong sisa: Potong sisa makanan kepada saiz kecil untuk mempercepatkan proses.

2. Tabur dedak (bokashi bran): Setiap kali sisa makanan ditambah, taburkan bokashi bran (dedak yang mengandungi mikrob EM) di atasnya.

3. Padatkan: Tekan sisa makanan untuk mengeluarkan udara.

4. Tutup rapat: Pastikan penutup kedap udara bagi memastikan proses penapaian berjalan lancar.

5. Tuai "teh bokashi": Setiap 2 hari, buang cecair melalui paip di bawah tong. Cecair ini boleh dicairkan dengan air untuk dijadikan baja cecair tanaman.

6. Peram: Setelah tong penuh, biarkan ia tertutup selama dua hingga 3 minggu sebelum menanam sisa tersebut ke dalam tanah untuk penguraian lengkap.

Saya pasang sendiri je, kepala paip itu. Ada getah untuk bahagian luar dan dalam tong, supaya kepala paip yang kita pasangkan pada tong bawah adalah ketat.

Bokashi bin yang sudah siap dipasang
Tadaaa... siap untuk digunakan.

Yang merah atas tong itu, adalah alat buka penutup tong atas. Kalau cuba buka dengan tangan, memang boleh sakit jari sebab ketat. Jadi, ada alat seperti apit-G di atas. 

Saya musykil juga apa sebenarnya kandungan dedak atau bokashi bran itu.

Bokashi bran atau dedak bokashi 

Ia adalah bahan utama dalam sistem kompos bokashi yang berfungsi sebagai "agen penapaian" untuk mengurai sisa makanan tanpa bau busuk. 

Kandungan utama bokashi bran

Dedak bokashi biasanya diperbuat daripada campuran tiga bahan utama:

πŸ‚ Bahan pembawa: Biasanya menggunakan dedak padi atau serbuk gergaji gandum.

πŸ‚ Mikroorganisma Efektif (EM-1): Bakteria baik (seperti bakteria asid laktik, yis, dan bakteria fotosintetik) yang menukarkan sisa makanan menjadi kompos.

πŸ‚ Sumber tenaga: Air dan molasses (gula merah cair) untuk memberi tenaga kepada bakteria tersebut.

Bau bokashi bran ini, macam lebih kurang bau campuran yis yang kita biar atas meja supaya ia berbuih itu, sebelum kita campur ia dalam adunan tepung nak buat donut. 😊

Letak bokashi bin di bahagian belakang rumah
Letak di bahagian belakang rumah

Tiap-tiap hari sebelum maghrib, saya akan masukkan sampah sisa dapur dalam tong bokashi ini. Jika sisa dapur tidak banyak, saya kumpul dua hari, baru masukkan. Sudah lebih seminggu saya buat. Tong sampah di rumah pun jadi tahan lama, maksud saya, tiada semut, sebab sisa dapur saya asingkan. 

Siap sedia tong bokashi dengan penyiram pokok
Siap siaga dengan penyiram pokok

Saya sudah beli penyiram pokok, bila ada air teh bokashi ini, boleh campur air dan siram pada pokok. Tetapi hingga kini, tong ini masih kering. Ye la, baru seminggu lebih. Sisa dapur saya pula jenis kering. Seminggu dua lepas, banyak urusan di luar, dapur pula tidak berasap. Tiada bahan basah. 

Alhamdulillah, tercapai misi saya untuk menggunakan sisa dapur. Walau belum jadi kompos lagi. Masih in progress. Ada rasa seronok, kerana kita menggunakan sisa dapur sepenuhnya. 😊

Baiklah. Jumpa lagi, ya. πŸ’—

34 ulasan:

  1. Hosp pun ada buat projek kompos ni. Ada beberapa jela jadi projek rintis. Taktau la sejauh mana kejayaan tu. Ada mesin khas juga. Hosp kan banyak juga sisa makanan pesakit tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah, baguslah. πŸ‘ Hospital memang patut ada mesin khas, jadi senang nak proses sisa makanan pesakit yang banyak.

      Padam
  2. Bagusnya Tot ada inisiatif macam ni. Macam sy ni fikir nak mudah jer, cuma sy asingkan sampah dapur dengan sampah kering, tu jer la mampu sy lakukan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itu pun dah cukup bagus, SK. Memudahkan kerja kontraktor angkut sampah. πŸ‘

      Padam
  3. Ya, saya pernah baca ttg bokashi bin ni.. nanti Nur share ye progress/update ke. Kot bermanfaat Sy pun nak beli. Sbb sayang sbnrnya nak buang gitu je sisa dapur, byk manfaat esp utk berkebun.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Baik, PH, Insya-Allah. Tanam je dalam tanah pun boleh, PH. Saya rasa lepas habis bokashi bran ni, saya nak stop dulu. Nak guna kaedah tanam terus dalam tanah. Malas pula nak kena repeat beli bakteria baik dia tu.

      Padam
  4. Kreatif, rajin dan sabarnya tot buat semua ni, kalau saya dah jauh ke laut dalam .. hihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Oh, ini cara nak suburkan tanaman tanpa keluar bajet tinggi beli baja mahal, Aynora. Itulah kerja saya, tukang kebun jadian. 😁

      Padam
  5. Uncle baru tahu wujudnya benda alah ni....

    BalasPadam
  6. Hehe bekasnya sekali pandang bekas air pula.
    Menarik, pertama kali tahu pasal bokashi bin ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Macam bekas tong cat, NA. Hehe.. Sebenarnya, bekas bokashi yang ori, lain sikit. Tapi tong ni pun okay juga, lebih besar, boleh muat lebih banyak.

      Padam
  7. Composting is a good thing, and I applaud you for your efforts in this!

    BalasPadam
  8. Wow…kagum dengan usaha awak Nur πŸ‘πŸ½
    Bagus dapat buat gini, memang dapat kurangkan buang sampah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, Ujie. Suka, sebenarnya. Dah tua-tua baru belajar benda ni. Huhu...

      Padam
  9. Bagus initiatif ni.. cuma kena rajin lah kan huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul, hari-hari kena letak sisa dapur dalam tong tu. Kadang memang ada rasa malas juga.

      Padam
  10. Molek sungguh usaha Tot ni. Boleh geng dengan seorang sunbae KSarie yang telah pencen itu. Rajin sungguh dia buat baja kompos, etc. KSarie tumpang happy baca semua inisiatif Tot sebab daku tahu daku ini pemalasnya tidak boleh dibawa berbincangπŸ˜…

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah.. ye ke... kalau dekat, boleh bertukar-tukar fikiran.
      Hehe... saya pun baru nak belajar ni, KSarie. 😊

      Padam
  11. Bagus kak Nur..rajin pun iye juga.. Linda pernah nampak reels, kalau ada laman rumah bertanah, dia buat satu ruang untuk baja kompos ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul, Linda. Sebab kompos ni berguna sangat, untuk menyuburkan tanaman kita.

      Padam
  12. nah ini beberapa orang di sini saya lihat pakai cara ini kak.... memang lebih lama, tapi lebih murah lah kan... dan nanti bentuknya cairan.. menarik.. cuma utk saya yg rumahnya tak ada halaman kurang sesuai... bingung nak letak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ye la. Bergantung pada jenis rumah juga, untuk guna bokashi bin ini, kan. Tambahan pula, hasil kompos dari bokashi bin ini harus ditanam, jadi memang rumah perlu ada tanah dan halaman kalau mahu guna kaedah ini.

      Padam
  13. Menarik ni..saya selama ni letak dlm bekas polistreen...dlm tu letak tanah...segala jenis pokok tumbuh...sekarang yg paling tggi pokok betik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah, bagus juga ikut cara Sueann. Memang subur kalau kita gunakan sisa dapur sebagai baja. πŸ‘

      Padam
  14. wahh menarik tu. mak saya pun simpan sisa makanan utk dibuat kompos. nanti boleh belikan ni utk mak lah :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh jer, Mazni. Tapi macam leceh sikit. Sebab kena letak bokashi bran tu.

      Padam
  15. Bagus betul inisiatif ni, sekurang-kurangnya sisa dapur tak terbuang. Menarik betul bila tahu tong sampah dalam rumah pun jadi tak berbau dan tak dihurung semut sebab sisa basah dah diasingkan. Berbaloi sangat pelaburan RM60 tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, SA. Alhamdulillah. Memang jadi semangat untuk asingkan sampah, sebab tahu sisa dapur ni memang baja yang baik untuk tanaman.

      Padam
  16. Bagus Nur, teruskan. Pernah nampak bin ni tapi tak berani nak beli. Menanam ala2 touch n go hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, Mulan. Hehe.. tak beli pun takpe, sebab lepas sudah beberapa minggu guna ni, saya rasa macam leceh sikit. Tanpa bin pun, kita boleh je tanam sisa dapur dalam tanah. 😊

      Padam
  17. Ada tengok kat TT, mereka buat kompos dari bahan buangan dapur juga. Lepas tu tanam dalam tanah. Tanaman mereka subur sungguh. Terus relate dengan apa Nur tulis.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ha ah, Faa. Guna hasil sisa dapur memang boleh suburkan tanaman kita. Sampah rumah pun jadi kurang.

      Padam