Isnin, 31 Ogos 2026

Berita gembira dan nasi goreng petai

Cerita pada hari Rabu, 5 Ogos 2026 yang lepas. 

Saya check laman web Majlis Agama Islam Perak (MAIP), permohonan bantuan one-off untuk budak Sulaiman diluluskan. Alhamdulillah, syukur. 🤲 Bolehlah Sulaiman guna buat belanja harian dia di poli.   

Gembira untuk Sulaiman. Terus pergi briskwalk di padang, seperti biasa.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan
Jalan pagi selama 56 minit, dengan jarak 4.54 kilometer.

Langit cepat cerah dan cuaca jadi panas. Saya biasa jalan sampai cukup 7 ribu langkah saja. 

Balik rumah, saya siram pokok.

Kemudian, masuk dapur, masak. Suami saya pergi servis kereta di bengkel. Jom tengok saya masak apa pada hari tersebut.

Sayur campur dengan cendawan
Sayur campur dengan cendawan.

Ada carrot, tomato dan kacang panjang, dengan cendawan tiram. Mesti ada lauk sayur. Kalau tak masak sayur, potong timun pun sudah okay, atau petik ulam raja dekat kebun. 

Nasi goreng petai
Nasi goreng petai

Haha... kalau ada petai di rumah, kalau tak masak sambal tumis, mesti nak kena buat nasi goreng juga. 😋 Letak juga kacang panjang potong kecil dalam nasi goreng. Nyum nyumm....

Makan nasi goreng petai, telur rebus dan sayur campur
Pinggan saya

Saya IF. First meal of the day pukul 12 tengahari. Alhamdulillah. Sudah tak tahu nak makan mana kalau makan di luar. Baik masak sendiri saja di rumah. 
Salam Hari Kemerdekaan pada semua pembaca sekalian. Selamat bercuti bersama keluarga. 
Jumpa lagi, ya. 💗

Ahad, 30 Ogos 2026

Wira kena towing

 Masa musim percutian ini, kurang sikit orang blogwalking, ya. Saya sendiri pun, macam terhad masa untuk online. Ye lah, anak-anak tiga orang ada di rumah. Kerja saya memasak je. Tak pun, habiskan masa dengan dia orang. Sementara anak-anak ada di rumah ni. Nanti dah balik asrama, rindu pula dengan dia orang. Hehe...

Jom tengok cerita pada hari Selasa, 4 Ogos 2026 yang lepas. Pagi-pagi, pergi briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan, Perak.
Berjalan selama 56 minit, dengan jarak sejauh 4.58 kilometer.

Alhamdulillah. Langit pagi cantik. Bila jalan luar, rasa happy, dapat tengok pokok, langit, dan orang. 

Suami cerita, kereta Wira rosak clutch. Semasa kejadian, suami saya on the way balik, habis kerja pukul 12 malam. Kereta Wira tu, manual. Tak boleh masuk gear bila berhenti di trafik light. Jadi, suami saya call kawan-kawan ofisnya, tolong tolak kereta ke tepi jalan.

Pagi itu, selepas briskwalk, kami pergi tempat kejadian.

Cari dalam group penduduk setempat kawasan kami, nombor telefon trak tunda. Dapat, terus tunda kereta Wira ke bengkel kereta.


Saya sertakan video kereta Wira naik trak tunda. 

Selepas hantar Wira pergi bengkel berdekatan rumah, kami pergi sarapan di Lumut Hotspot. Jom tengok kami pesan apa.

Air kosong dan kopi o panas kosong di Lumut Hotspot.
Air kosong untuk suami dan kopi o panas kosong untuk saya.

Walau minta kosong, dia tetap beri gula, dalam bungkusan.

Telur separuh masak di Lumut Hotspot
Telur separuh masak, suami nak makan.

Nasi goreng kampung dan telur goreng mata di Lumut Hotspot.
Nasi goreng kampung, telur goreng mata.

Rasa makanan semua sedap. Kami sudah beberapa kali datang sarapan sini. Tapi kali ini, ada benda kurang best berlaku. Nasi goreng suami sudah habis, tapi sarapan saya belum sampai. 
Saya panggil adik yang bekerja, bertanya pesanan saya. Barulah dia pergi ambil. Sudah siap, tapi dia tak hantar ke meja.

Big breakfast di Lumut Hotspot
Saya pesan set Big breakfast

Tiba-tiba rasa nak merajuk la, sebab dia lambat hantar pesanan saya. Huhu... tapi makanan dia sedap. Itulah kali terakhir kami pergi makan situ. Sejak itu, tidak pergi lagi. 

Tapi set big breakfast ini memang sedap. Ada salad, mashed potato, telur omelette, garlic bread, sosej, baked beans dan chicken slice. Memang mengenyangkan. 

Alhamdulillah. Lepas makan saja, kami balik rumah dulu. Lepas kereta Wira siap dibaiki, barulah saya hantar suami ke bengkel untuk bawa balik Wira.

Kereta antik. Kereta tu memang suami pakai untuk pergi balik office. Saya tak drive kereta Wira, sebab sudah lupa bawa kereta manual. Pernah cadang pada suami untuk jual, tapi suami kata, sayang. Hmmm.... 

Okaylah. Jumpa lagi, ya. 💗

Sabtu, 29 Ogos 2026

Briskwalk, tengok pokok dan masak apa

 Selamat bercuti kepada semua pembaca sekalian. Cuti sekolah seminggu. Anak-anak saya di politeknik pun cuti juga seminggu. Cukup korum di rumah. Riuh-rendah dalam kereta semalam, sebab ambil Hafizan dan Sulaiman dari Ipoh. Alhamdulillah. 

Entri kali ini, saya nak kongsikan cerita pada hari Isnin, 3 Ogos yang lepas. 

Jalan pagi

Pagi-pagi, pergi briskwalk dengan suami di Padang Astaka, Sitiawan.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan, Perak, sejauh lebih kurang 4 kilometer
Rekod aktiviti dari jam

Jarak berjalan: 4.33 kilometer

Masa: 51 minit 48 saat

Saya briskwalk dengan handswing sekali. Semangat! Bila berjalan dengan hayunan tangan, kita jadi lebih laju, banding jalan lengkang kangkung itik pulang petang. 😁

Selfie lepas morning briskwalk
Pakcik tu sedang bersihkan rumput dari kasut jalan.

Kita orang memang ada standby berus untuk bersihkan rumput yang melekat pada kasut sukan. Ada orang memang kurang suka berjalan di padang, sebab kasut jadi mudah kotor. Tapi bagi kami, sini tempat paling lembut pada lutut, berbanding tempat jalan yang lain.

Singgah stesen minyak

Lepas briskwalk, nak balik rumah, tapi singgah stesen minyak sekejap, suami sakit perut.

Dekat stesen minyak, ada Family Mart. Ambil gambar di bawah.

Promosi waktu membeli di FamilyMart
Saya tepek di sini, untuk rujukan saya. 

Ada adik pekerja FamilyMart cawangan Lumut selalu bagitahu saya, waktu terbaik untuk beli onigiri. Tapi saya selalu lupa. End up beli onigiri bila harga dia mahal, RM5. Kalau kita beli ikut waktu dalam promosi, ada potongan harga.

Jadual promosi FamilyMart "All Day Jimat Deals":
🌸 6 hingga 10 pagi (waktu sarapan): Sandwich & Breakfast Muffin pada harga RM4.90
🌸 10 pagi hingga 2 petang (waktu makan tengahari): Onigiri terpilih pada harga RM3.90
🌸 2 hingga 6 petang (waktu minum petang): Lemonade & Ice Lemon Tea serendah RM1.90
🌸 6 petang hingga 10 malam (waktu makan malam): Onigiri terplih pada harga RM3.90
🌸 10 malam hingga 2 pagi (waktu supper): Diskaun 20% untuk pembelian roti atau biskut yang kedua.

Jenguk kebun kecil

Sampai di rumah, sebelum masuk rumah, tengok pokok-pokok di halaman dulu.

Bunga raya putih kembang lagi
Bunga raya putih kembang lagi.

Silih berganti kembang. Layu sekuntum, esoknya kembang baru. Ada sekali, sampai 3 kuntum bunga raya kembang sekali. Suka tengok. 😍

Saya ada ikut nasihat dari Puan Ujie, tentang pokok bunga rain lily. Boleh baca sini 👉 Eksperimen Potong Daun Rain Lily

Sebelum ini, pokok rain lily di rumah sudah lama tinggal daun saja, lama tidak keluarkan bunga. Daunnya pula rupa macam daun bawang. Saya potong bahagian atas, dan betul, memang pokok ini mula keluar bunga.

Pokok rain lily keluar bunga setelah dipotong daun atas separuh
Gambar diambil 3 Ogos


Bunga rain lily keluar lebih banyak setelah dicantas daunnya
Gambar pada 5 Ogos

Alhamdulillah. Terima kasih pada Puan Ujie yang kongsikan tentang pokok rain lily ini. Saya bercadang untuk pindahkan pokok ini ke pasu lebih besar atau tanam atas tanah terus. Insya-Allah. Tapi belum buat lagi. Sebab cuaca panas, agak malas berkebun.

Terung pipit
Terung pipit

Banyak sangat keluar terung pipit ni.

Pokok terung pipit di rumah
Inilah pokok terung pipit

Pokok ini lebih tinggi dari saya. Huhu... kutiplah semua terung pipit yang ada.

Kutip terung pipit untuk sedekah pada officemates suami
Kumpulkan dalam plastik

Sedekah pada kawan-kawan pejabat suami saya. Bukan terung pipit saja, ada lagi kutipan...

Kutip limau kasturi untuk sedekah pada officemates suami
Limau kasturi

Rezeki sama-sama dikongsi. 

Saya ada bertanya pada seorang brother penjual di pasar, berkenaan limau kasturi. Boleh letak di kedainya lain kali, tapi dia nak yang warna hijau saja. Limau kasturi hijau boleh tahan 3 hari di kedai. Itu pun kalau lain kali nak cuba nasib jual hasil kebun di pasar. Hehe, saja bertanya. 

Masak apa

Sayur sawi dan cendawan
Sayur sawi dan cendawan

Saya masak sayur saja. Lauk sup ayam masih ada. Lauk sambal petai ikan bilis pun ada. Panaskan saja. 

First meal of the day, break IF, makan sayur dan lauk saja, tanpa nasi
Pinggan saya

First meal of the day. Break IF pukul 10 pagi. Ada sambal tumis, ayam dan kentang dari sup, dua biji telur rebus, dan sayur. Alhamdulillah. 

Salam hari Sabtu. Selamat berehat di hujung minggu kepada semua pembaca blog yang saya kasihi sekalian. Hati-hati di jalanraya, jika dalam perjalanan balik kampung atau pergi bercuti.

Jumpa lagi, ya. 💗

Jumaat, 28 Ogos 2026

Masak apa Jumaat terakhir di bulan Julai

 Akhirnya saya sudah sampai entri terakhir cerita di bulan Julai. Bulan Ogos punya cerita belum masuk, tapi sekarang pun sudah penghujung Ogos. Acaner tu? Ni punca sebab hilang masuk gua hari tu la, bertapa. Huhu.. Takpelah, walaupun cerita sudah lama berlalu, saya share juga ya, di blog, sebagai rekod dan kenangan. 😊

Entri kali ini, saya nak cerita tentang apa saya masak, pada hari Jumaat, 31 Julai yang lalu. Eh, kebetulan sama pula dengan hari saya nak publish, hari ini pun hari Jumaat. Hehe... jom tengok.

Sayur sawi tumis
Sayur sawi tumis

Sebenarnya, saya jarang sekali masak sayur berdaun ini. Kebanyakan sayur yang saya beli adalah sayur jenis keras yang tahan lama seperti brokoli, kobis bulat dan lobak merah. Tapi sebab saya ada terbaca, yang kita kena lebihkan pengambilan sayur hijau lebih banyak, jadi itulah, saya pun belilah sawi dekat pasar. 

Pada hari itu, saya tumis ikan bilis dengan bawang putih guna olive oil. Kemudian masukkan sayur sawi. Letak sos tiram sesudu kecil dan garam bukit secubit. Siap! Senang je, masak sayur.

Sup ayam
Sup ayam

Saya tak tumis pun. Saya cuma didihkan air dalam periuk, letak perencah sup siam. Lepas tu, saya masukkan ayam, kentang, tomato. Biar je sampai masak. Pun senang masak juga sebab sup tanpa tumis. Nak kurangkan penggunaan minyak.

Sambal tumis ikan bilis petai
Sambal tumis ikan bilis petai

Masak sambal kena guna minyak juga. Takpelah, untuk satu lauk ini saja kita guna. Ha ah, ada beli petai. Itu yang masak sambal tumis dengan bilis. Campur sekali kacang panjang sikit, dalam sambal. Sedap, sedap, Alhamdulillah! 😋

Pinggan saya

Itu yang suami saya larang saya masak sambal tumis tu. Sebab kalau ada sambal petai, dia makan nasi bertambah. Hehe.. Yor lantak perut dia maju ke hadapan. Alaaa.. nanti kita pergi briskwalk ya, abeku cayang. 

Saya je yang tak makan nasi. Bila di rumah sajalah boleh tak ambil nasi. Saya ada rebus telur juga. Tapi ada karbohidrat juga dalam pinggan saya, itu ada ambil kentang. Okaylah. 

Walaupun demikian, saya tidaklah konsisten tidak ambil nasi. Kadang saya ambil juga, sesenduk. Ikut mood. Huhu...

Bila masak di rumah, kita boleh kawal portion makanan dan cara kita memasak. Rasa seronok tengok ahli keluarga selera makan hasil air tangan kita. Alhamdulillah. 

Saya tidak nafikan, bila angin meroyan saya datang, jadi malas gila untuk memasak. Ada hari, rasa rindu nak merasa air tangan orang tua. Tapi kena paksa diri jugalah untuk memulakan. Sama macam jalan pagi pun ada hari kita rasa malas, kan. Tapi bila sudah melangkah keluar rumah, okay je bila berjalan. Macam tu juga untuk memasak. Bila malas, buatlah apa-apa untuk menaikkan mood kita. Hidup kita, kita je yang boleh switch on mood tu. Nak pasang lagu ke di dapur. Kadang saya berlakon konon saya depan camera, dan saya sedang jadi host rancangan masakan. "Kemudian kita masukkan garam dan perasa ya, dalam masakan kita, puan-puan". Haha... gila, cakap sorang-sorang kat dapur. Lantak pi la. Asalkan happy, dan dapur berasap. 

Baiklah. Salam hari Jumaat yang mulia kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Khamis, 27 Ogos 2026

Makan tengahari di Cili Village

 Pada hari Selasa, 28 Julai 2026, saya dan suami pergi makan tengahari di Restoran Cili Village. Ini pertama kali kami cuba makan sini. 

Restoran ini membawakan konsep lauk kampung, makanan melayu serta masakan padang.

Restoran Cili Village, Lumut, Perak
Restoran Cili Village

Sudah ada agak ramai pengunjung. Waktu itu, belum pukul 1 tengahari. Depan restoran, ada ruang parkir yang agak luas. Lokasi restoran ini, terletak di simpang lampu isyarat nak ke Teluk Batik. Memang tak boleh miss punya lah. 

Bila melangkah masuk saja, sudah ada banyak lauk-pauk tersedia. Bersusun cantik atas meja lauk, dari depan sampai ke belakang. Hehe.. Ada juga kiosk-kiosk kecil, yang sediakan makanan selain nasi dan lauk pauk. 

Menu sampingan yang ditawarkan termasuklah nasi ayam, mi kari, laksa, bakso, nasi lemak, lontong, kuih-muih,  ABC, cendol dan lain-lain.

Ruang makan pula ada di tempat terbuka di ruang utama. Ada juga ruang berhawa dingin.

Kami duduk luar la, ruang makan terbuka. Tempat duduk banyak dan luas. Kalau nak makan nasi dan lauk-pauk, konsep layan diri. 

Lepas ambil nasi, berpusing-pusing meja lauk, nak pilih pun rambang mata, sebab banyak sangat lauk.

Nasi lauk sayur lemak labu, sambal belacan dan sambal jawa.
Pinggan suami saya.

Suami ambil lauk pucuk manis dan labu masak lemak, sambal goreng jawa dan sambal apa ye, sudah lupa. Bukan sambal belacan. Sambal saja, ada banyak jenis. Sambal tempoyak, sambal belacan, budu, macam-macam.

Ikan bawal emas dibakar dan bersambal
Ikan bawal emas bakar dan bersambal

Ikan bakar semua sudah bungkus plastik seperti gambar di atas. Harga pun sudah tertera. Ada juga set ikan bakar yang sudah ada sambal kicap, macam-macam ikan ada.

Daging dendeng balado
Daging dendeng balado

Yang ini sedap. Saya suka. Dia sudah siap sediakan bersusun dalam piring kecil. Rasanya, lauk yang best seller kot. Jadi, orang senang nak ambil.

Nasi putih kuah lemak, pucuk paku masak lemak dan sambal tempoyak
Pinggan saya

Saya ambil nasi separuh, letak kuah lemak sikit, dan pucuk paku masak lemak dan sambal tempoyak.

Semua lauk sedap dan cukup rasa. 😋 Memang boleh datang lagi lain kali, kalau tak masak di rumah. Sebab ada banyak lauk kampung yang saya tak reti masak. Contohnya, macam masak lemak rebung, gulai urat pun ada, dan macam-macam lagilah.

Harga makanan tengahari dan air kami pada hari itu adalah RM48 semuanya. Alhamdulillah.

Cili Village

Alamat: A1888, Teluk Muroh, 32200 Lumut, Perak.

Buka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 4 petang. Tutup setiap Isnin.

Kot kome datang Lumut atau nak pergi Pangkor, boleh singgah.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Rabu, 26 Ogos 2026

Pokok ros sakit

 Kejadian pada 29 Julai 2026 yang lepas. 

Bukan semua bunga ros pada pokok terkesan. Kadang ada bunga yang kembang elok, ada juga kudup bunga ros yang langsung tidak kembang, dan berwarna coklat.

Bila jadi begini, memang boleh luntur semangat nak membela pokok ros ini. 

Saya duduk depan pokok ros, dan perhati serangga apa yang ada pada pokok. Saya nampak ada serangga kecil macam labah-labah.

Kudup bunga ros yang tidak mengembang. Ada hama labah-labah
Kudup bunga yang tidak mengembang.

Serangga itu halussss saja, dan ia ada jaringan benang halus seperti sarang labah-labah. Mengikut hasil carian saya, ia adalah hama labah-labah (spider mites).

Hama ini sangat gemar menyerang pokok ros ketika cuaca panas dan kering. Ia menghisap cecair pokok, menyebabkan daun ros bertukar kekuningan, kelihatan kusam berhabuk, dan kudup bunga menjadi kering serta gagal mengembang.

Bunga ros tidak kembang sempurna dan warna keperangan
Bunga kembang sedikit, tapi warna keperangan.

Bunga di atas terjadi pada pokok ros kuning. Kesian tengok. 

Saya buang dan memangkas daun-daun atau kudup bunga yang sudah rosak, kemudian buang terus, supaya hama tidak berpindah ke pokok lain.

Saya sembur dengan neem oil yang ada dijual di kedai Eco. 

Saya ada ternampak orang jual baja ke, racun pokok ros ini di shopee. Di pasar minggu pun ada. Nantilah, saya akan beli. 

Pada waktu kejadian, sebab cuaca panas, saya kurang rajin duduk luar rumah berkebun. 

Dulu rajin juga siram air basuhan beras pada pokok, tapi sekarang memang malas sungguh. 

Semasa saya taip entri ini, keadaan pokok ros semakin pulih. Tapi ada juga pokok yang terkesan teruk, batang utama pokok ada tompok-tompok hitam. Saya baru pegang batang, macam mudah tercabut dari tanah. Bukan saya tarik pun, pokok jadi kering macam hampir mati. Tamat riwayat satu pokok ros. 

Saya biar saja dulu. Tunggu mood berkebun kembali. 

Sekian laporan aktiviti tengok pokok. Baiklah. Semoga segala urusan anda semua pada hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ya. 💗

Selasa, 25 Ogos 2026

Salam Maulidur Rasul

 Cuti umum hari ini, ya. Dari awal pagi, saya boleh dengar bunyi hujan. Syukur Alhamdulillah. Sebab di tempat saya, sudah lama sangat tak hujan. Cuaca pula mendung dan redup sehingga saya taip entri ini. Tidak berkebun saya. 

Tapi sempat join Ustazah Asma' Harun selawat 100 kali, live tadi. 

Ustazah Asma Harun live sempena Maulidur Rasul, selamat 100 kali

Suka pula dengar ceramah ustazah online. Dekat youtube ada banyak. 

Hari ini, Maulidur Rasul, 12 Rabiulawal dalam kalendar hijrah, hari memperingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

Selain memperbanyakkan selawat, cara elok untuk kita zahirkan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW adalah dengan menghidupkan sunnah Baginda. 

Kita hari-hari selalu sibuk, kan. Tapi sebenarnya, tugas harian kita itu, adalah ibadah dan pahala sunnah yang besar. Niat lah, sebelum buat apa-apa, baca Bismillah... dan kerana Allah. 

Itu sebenarnya cara saya bila malas buat kerja di rumah. Tapi kalau kita niat ibadah, Insya-Allah, jadi rajin, tau, silap-silap, susah pula nak berhenti buat kerja. Contohnya, sebelum nak vakum habuk, baca,"Sahaja aku vakum rumah supaya rumah bersih dan suci, kerana Allah Taala". Macam lawak, kan, sebelum bersihkan rumah pun baca niat. Tapi betul, okay. Cara itu berkesan bagi saya untuk lawan malas. Kalau kome malas buat kerja, boleh cuba. 😁

Apa lagi ya, nak share sempena Maulidur Rasul hari ini? Teringat masa pergi umrah, lalu depan kubah hijau Masjid Nabawi, dalam hati mesti rasa sayu. Kubah hijau ini adalah kawasan yang menempatkan makam Nabi Muhammad SAW, serta dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Saya depan kubah hijau, Masjid Nabawi, Madinah.
Kenangan manis dan tak dapat dilupakan

Susah nak terangkan perasaan bila lalu depan kubah hijau ini. Semoga dapat sampai lagi satu hari. Rindu rasanya. 🤍

Saya kongsikan 5 sunnah ringkas yang kita boleh amalkan di rumah.

1. Memulakan urusan dengan Bismillah...

Rasulullah SAW ajar kita untuk sentiasa menyebut nama Allah dalam setiap perkara. Sebelum mula kerja, baca "Bismillah..". Bukan saja boleh dapat pahala, malah membawa keberkatan dalam hasil kerja kita.

2. Senyum.

Rasullullah SAW bersabda bahawa senyuman itu adalah sedekah. Tengok pasangan kita, senyum. Tengok anak-anak senyum. Itulah, kadang-kadang kita lupa nak senyum, kan. Tengok muka orang pun kadang naik menyampah. Teruk betul aku ni. 

3. Mengemas dan jaga kebersihan rumah

Baginda SAW sangat mencintai kebersihan dan baginda selalu tolong isteri dalam kerja-kerja di rumah. Rumah yang bersih juga akan menjemput malaikat rahmat masuk dalam rumah.

4. Jaga adab dan sunnah ketika makan bersama

Baca doa makan, guna tangan kanan, ambil makanan yang paling dekat dahulu, habiskan makanan tanpa membazir. Jilat jari selepas makan pun satu sunnah juga.

5. Baca surah Al-Mulk sebelum tidur

Me-time dengan Al-Quran. Amalkan baca surah Al-Mulk. Rasulullah SAW pernah kata, bahawa surah ini menjadi penyelamat dan pelindung dari azab kubur. 

Salam Maulidur Rasul kepada semua pembaca semua. Selamat beristirehat di rumah, sempena cuti umum ini. Suami saya kerja. Tapi saya tak keseorangan, anak sulung ada di rumah. Dia masih cuti akhir semester.

Semoga kehidupan kita sentiasa dipenuhi dengan cahaya sunnah Rasulullah SAW.

Jumpa lagi, ya. 💗

Isnin, 24 Ogos 2026

Minum petang di Noah Roastery Cafe

 Pada petang Isnin, 27 Julai yang lepas, saya dan suami pergi minum petang di Noah Roastery Cafe di Sitiawan, Perak. Ini kunjungan pertama kali kami ke cafe ini. Biasa nampak bila pergi Sitiawan, cuma tidak pernah singgah. Saya sedikit skeptikal dengan nama cafe ini. Tapi bila saya buat carian, ada sijil halal rupanya. Baiklah. Jom kita cuba.

Noah Roastery terletak di dalam satu bangunan berkaca stand alone, dia sebiji je duduk tepi jalan. Bentuk bangunan macam barn, tapi glass house. Haha... gitulah pada pendapat saya.

Apabila masuk menerusi pintu tepi, rasa, Wahh.... lain dari yang lain ni. Cantik tempatnya. Pengunjung akan melangkah masuk dengan pijak simen berbentuk empat segi yang disusun teratur diapit dengan batu-batuan kecil. Saya huraikan ya, entah kenapa saya segan nak ambil gambar sebab ada orang dekat situ. 

Belah kanan, ada display banyak roti, umpama di kedai roti atau bakeri. Bila teruskan melangkah masuk, jumpa kaunter dan cake display pula. Tempat duduk sangat luas dan banyak pilihan tempat duduk.

Noah Roastery Cafe, Sitiawan.
Kaunter utama. Gambar dari google.

Di sinilah boleh buat bayaran, pesanan, dan boleh lihat pekerja membuat kopi.

Pokok-pokok hidup dalam Noah Roastery Cafe, Sitiawan.
Dari tempat duduk kami

Ada banyak pokok-pokok hidup. Kami duduk di tempat ada meja untuk empat orang. Ada juga tempat bersofa. Ada juga tempat yang kerusi dan meja tinggi. Terpulanglah kita nak duduk di mana. 

Ada pekerja datang bawa menu. Kami tulis pesanan pada kertas pesanan. Lepas itu, macam tiada pekerja pula untuk dipanggil bila sudah siap tulis pesanan kami. Saya pun bawa kertas pesanan bersama buku menu ke kaunter utama, dan terus buat bayaran. 

Mengadap jalan utama Sitiawan, di dalam Noah Roasteri Cafe
Ini mengadap bahagian depan cafe. 

Boleh lihat trafik jalan utama. Nampak juga Wisma Ganda (bangunan warna kuning seberang jalan), yang sudah lama wujud di Sitiawan ini. Cuma dulu berfungsi sebagai pusat membeli-belah yang ada Parkson Grand, kedai muzik, kedai baju, dan sebagainya. Sekarang sudah sepi, cuma ada kedai jual air kelapa rasanya, di aras bawahnya.

Noah Roastery Cafe Sitiawan ada sijil halal.
Banner sijil halal digantung pada dinding cermin depan cafe.

Kan.. bentuk bangunan macam barn. Tapi glass house. Unik.

Bakeri roti di dalam Noah Roasteri Cafe, Sitiawan.
Inilah bahagian dalam kedai yang ada jual roti, seperti dalam bakeri.

Bila sudah habis makan, baru saya ambil gambar di atas. Sebab sudah tiada orang. Hehe..

Waktu kami sampai itu, selepas waktu Asar. Jadi, minum petang merangkap makan malam sekali la. Last meal of the day. 

Kopi hitam panas dan cappuccino sejuk di Noah Roasteri Cafe
Kopi hitam panas dan cappuccino sejuk

Yang ini, jangan tiru kami, tau. Kami memang peminum kopi tegar. Minum petang pun, malam boleh hanyut tidur, tiada masalah. Sebab kerja keras kot, tukang kebun, badan letih (blueekk... 😝 macamlah awak sorang kerja keras, ye dak). Kedua kopi di atas, tanpa gula. 

Sourdough toast Noah Roastery Cafe, Sitiawan.
Sourdough toast

Ini pertama kali kami cuba makan roti sourdough. 

Roti sourdough adalah sejenis roti yang dibuat dari tepung yang telah difermentasi dengan lactobacili dan ragi. Ia alternatif lebih sihat berbanding roti putih. Oleh itu, roti sourdough ada kandungan probiotik, baik untuk usus dan perut. Tiada pengawet dan pewarna digunakan. Gluten lebih rendah. Betul ke? Kalau salah, tolong betulkan ya.

Sebab dibakar, agak keras la, dan rangup. Sapu pula kaya dan butter dibuat sendiri oleh pihak cafe. Kaya warna hijau itu rasa macam jem tradisional yang ada rasa kelapa, telur dan pandan. Butter itu pula, ada rasa sedikit masam, macam rasa keju.

Saya juga celup roti bakar sourdough itu dalam kopi panas saya, supaya lembut sikit untuk ditelan, terutama bahagian tepi roti bakar. Untuk orang tua, macam kurang sesuai kot, order roti ini yang dibakar, sebab keras. Dah la saya lupa yang saya baru juga buat rawatan gigi lima hari sebelum itu, jadi banyak mengulum roti dulu, baru dapat telan.

Living house fried rice di Noah Roastery Cafe, Sitiawan.
Living house fried rice.

Nasi goreng signature cafe. Ada kepingan ayam digoreng, bersama telur goreng mata. Ada papadom dan timun. Sambal pun ada. Bila hidangan ini sampai, suami saya cakap, haa.. elok ada sambal. Sebab biasa bila dia makan nasi goreng kedai tomyam, kalau tak diberi, suami akan minta sambal belacan.

Seperti biasa, hidangan kami kongsi-kongsi makan berdua, jadi boleh sama-sama merasa.

Enjoying food at Noah Roastery Cafe, Sitiawan.
Sungguh semangat pakcik ini makan nasi goreng.

Alhamdulillah, rasa makanan boleh diterima. Tapi suami saya kata, nasi goreng kampung kedai tomyam Nurhayati Maju dekat rumah lebih sedap. Ye la, kan kegemaran suami, nasi goreng kampung dia, mana boleh challenge, hehe...

Overall, satu tempat makan yang sesuai dikunjungi seisi keluarga, sebab menu dia ada macam-macam juga, contohnya nasi lemak, pastries seperti croissant, pancake, set sarapan, set sandwich, mihun, muffin, macam-macam lah. 

Nampak macam agak panas, sebab ruang yang besar seperti gudang dan bercermin pula. Tapi, kami rasa selesa sepanjang duduk di dalam cafe. Aircond banyak dan besar. Mungkin juga sebab kami datang waktu petang. Kalau waktu pagi untuk sarapan, boleh jadi silau kot, lain kali boleh cuba.

Noah Roastery Cafe, Sitiawan, Perak.
Gambar ambil dari tempat parkir kereta.

Kali ini, saya ada simpan resit makan di sini. Jom tengok.

☕ Living house fried rice RM18.90

☕ Sourdough toast RM9

☕ Cappuccino iced RM12

☕ Coffee black hot RM8

Jumlah harga, RM47.90

Agak pricey sikit la. Standard americano kosong kalau cafe lain di tempat saya, RM6 secawan, lebih kurang. 

Baik. Sekian laporan minum petang kami.

Noah Roastery Cafe

Alamat: Lot 41&42, Jalan Raja Omar, Sitiawan, Perak.

Buka setiap hari, dari 8.30 pagi hingga 10 malam.

Jumpa lagi, ya. 💗

Ahad, 23 Ogos 2026

Bermalas-malasan di hari Ahad

 Saya ada beberapa draft entries helok tersimpan. Saya publish satu, satu, ya.  Walaupun cerita bulan Julai. 🙈

Kebetulan hari ini sama dengan hari draft post ini, iaitu hari Ahad. Cerita pada 26 Julai yang lepas. 

Nasi berlauk ayam gulai
Nasi berlauk ayam gulai

Ini sarapan saya. Suami saya bungkuskan nasi berlauk di atas di Restoran Selero Kito, Teluk Muroh. Sedapnya macam gini 👍👍

Hari Ahad, dapur rumah tutup. Hari untuk berlunjur depan TV, berehat, baca surat khabar.

Mingguan Malaysia dengan sisipan Pancaindera
Mingguan Malaysia dengan sisipan Pancaindera.

Ini pembawaan dari arwah mama saya. Hari Ahad saja, beli surat khabar, baca gosip artis, katanya. 🤭

Memang syok, macam 'Mem besar', baca surat khabar depan TV, selesa duduk di sofa, bersama secawan kopi, bungkus dari Zus. 

Memang tidak buat kerjalah ya, hari Ahad. Siram pokok pun tidak. Hehe..

Waktu petang lepas Asar pula, kami pergi pasar malam, jalan-jalan tengok orang, tengok makanan apa menarik, nak dibuat makan malam.

Nasi kerabu ikan goreng
Suami beli nasi kerabu ikan goreng

Nasi kerabu Cik Sue ini dikatakan ada di setiap pasar malam beberapa lokasi di Manjung, dan sentiasa ramai orang beratur. Ada potongan limau nipis, diberi sama. Ada lebih kurang rasa segar makan nasi kerabu ini bila sudah perah limau nipis. 

Nasi ayam gepuk
Saya makan nasi ayam gepuk

Atau nasi ayam geprek ke? Entah, saya pun dah lupa, sebab saya cuma upload gambar saja dalam draft entri. Lupa tulis nama hidangan dan harga. Tapi saya ingat sambal dia tu. Saya tengok, kenapa lain macam? Rupanya yang bahagian atas itu, yang kacang gajus ditumbuk, diletak di atas sambal. Kalau cicah tauhu sampai ke bawah bekas sambal kecil itu, memang rasalah kepedasannya. Kicap diberi dalam sachet, saya koyakkan dan tuang atas nasi. Memang pedas, tapi sedap. 😋

Alhamdulillah, rezeki dapat makan sedap-sedap dan boleh beristirehat di hujung minggu.

Harap hujung minggu anda semua indah-indah belaka.. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Sabtu, 22 Ogos 2026

Sabar dan terus bertahan

 Entri terakhir saya pada 9 Ogos yang lepas. Sudah 12 hari blog ini sunyi tanpa update. Bagi pembaca yang sudah kenal lama saya, terutama dari blog lama saya, mesti tahu kot, yang saya kadang-kadang akan ada masa saya senyap di blog. Masa untuk saya 'bertapa, masuk gua'. 

Benda ini berulang. Selagi situasi ini saya hadapi, selagi itulah masa itu akan terus tiba dan memaksa saya memencilkan diri. Tapi sebab sudah alami beberapa kali, saya cuba hadapi situasi yang berlaku dari sudut berbeza. Perasan tak, saya guna perkataan situasi, dan bukan masalah. Sebab ia lebih kepada perkara yang akan berlalu. Kalau masalah, kena selesaikan. 

Tapi, agak sulit untuk saya ceritakan di sini. Sebab ia melibatkan aib. Tapi sebab saya perlu keluarkan dari fikiran, saya pun buatlah carian tentang situasi yang saya hadapi ini. 

Rupanya, bukan saya seorang yang alami. Ramai lagi yang hadapi situasi macam saya. Jadi, agak membantulah, bila mana saya boleh membaca pendapat pakar atau orang yang lebih arif dalam hal ini. Alhamdulillah. 

Saya tak boleh tukar situasi itu. Ia akan terus berulang. Tapi saya boleh tukar cara saya respond terhadap perkara itu. 

Macam aircond yang bocor, selalu ada air keluar dari aircond, kan. Kita pun tadah guna baldi, tempat air menitik jatuh itu. Setitik demi setitik, lama-lama baldi pun hampir penuh. Kita kena keluarkan air dari baldi itu, dan kembali letakkan baldi kosong semula di tempat air bocor. Macam itulah situasi yang saya alami. Saya perlu 'masuk gua' sebentar untuk redakan gelodak perasaan yang hampir meletup supaya saya boleh teruskan hidup saya dengan aman dan kembali normal.

Sudah lama saya alami benda ini. Benda berulang. Bila saya ambil masa bertapa sekejap, saya akan okay. 

Saya hanging on
Ok, kenapa tangan kiri tu nampak pelik? Pakaian pula macam agak ketat. Seluar tidak longgar. Imej oleh chatGPT

Saya sudah lama bertahan, dengan kudrat yang ada, hanging on. Saya tak boleh pergi ke atas, sebab saya tak ada sayap. Saya boleh lepaskan tangan saya dan jatuh ke bawah. Sebab bawah sana, ada lagi dahan lain yang lebih kuat, untuk saya berpaut. Atau boleh jadi juga ada jaring macam orang sarkas main trapeze tu, ada jaring keselamatan yang boleh tangkap saya dari jatuh sampai ke bawah. Macam-macam kemungkinan ada di bawah. Kita mana tahu kan, semuanya kuasa Allah.

Sejujurnya, saya pernah lepaskan tangan saya dulu. Tapi tengok-tengok ada dahan lebih kuat di bawah untuk saya bergayut, dan itulah saya sedang buat sekarang. 

Dari hasil carian saya juga, seorang ustaz ada bagitahu, yang situasi saya alami itu, ada jalan keluar. Tak salah pun untuk saya pilih jalan keluar itu. Sebab dalam situasi tersebut, bukan tanggungjawab saya pun. 

Jadi, sekarang ada dua benda saya kena buat hari-hari. Pertama, sebab saya sudah tak ada kalenjar tiroid macam orang normal, saya bergantung pada ubat untuk badan saya fungsi dengan normal macam orang lain, supaya metabolisme dan hormon berjalan dengan baik. Ini sangatlah sukar bagi saya. Tambahan pula, saya sedang masuk fasa pra-menopause. Sudah 6 bulan saya tak datang bulan. Dia punya emosi tu, macam orang meroyan la! Fikiran suka fikir jauh dan bukan-bukan. Perkara kedua, situasi yang saya alami inilah. Sebenarnya, ia perkara kecil, tapi besar.

Walaupun ia kecil bagi sesetengah orang, kumpul hari-hari jadi banyak juga. Jadi itulah saya kena tutup mata, dan fikir benda yang ada, bukan benda yang tidak ada. Syukuri benda lain yang ada, rezeki dalam banyak perkara dalam hidup. Banyak sangat, tak terhitung rezeki dariNya.

Ustaz itu juga kata, kalau boleh bersabar, sabarlah. 

Dalam Al-Quran, perkataan sabar itu disebut sebanyak 90 kali. Ia adalah ujian dari Allah. Orang yang bersabar akan mendapat ganjaran di akhirat nanti. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153, yang bermaksud, "Bersabarlah, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar."

Sayangnya Allah pada kita, sehinggakan orang yang sabar dijamin tidak akan rugi. 

Itulah satu hikmah situasi ini berlaku pada saya. Sebab iman kita turun naik, bila rasa macam nak terpesong saja, seolah satu peringatan dari Dia, tarik saya semula ke jalan yang betul. 

Itulah yang saya buat. Berserah padaNya. Doa, hari-hari doa. Sampai mati, doa, Ustaz cakap. Fokus perbaiki diri sendiri, jadi diri sendiri versi terbaik yang kita boleh capai. Insya-Allah.

Saya tak boleh cerita benda ini pada orang. Saya pernah hadapi dan suarakan pada pihak berkenaan. Terus terjadi konflik. Sejak itu, saya ambil pendekatan berdiam diri dan berdoa saja. Eh, tapi ada seorang hamba Allah tahu akan situasi yang saya hadapi ini. Bukan saya yang cerita pada dia. Tapi Allah izinkan dia nampak dengan mata dia. Orang itu kata pada saya,"Beratnya ujian Allah bagi pada hang, Tot." 

Nasib baik waktu itu di khalayak ramai. Airmata dah bertakung, tapi sebab orang ramai, dia jadi tertahan sikit nak keluar. Kalau berdua saja dengan orang itu, mahu berjurai hujan lebat keluar sampai banjir. Huk huk... please help me. Ish, saya 48 tahun. Saya nak hidup happy juga. 

Sebenarnya, sepanjang saya tidak update blog, rasa ringan sikit kepala saya. Kurang satu benda nak fikir. Hehe.. sori. 

Tak apa, jangan risau saya, ya. Saya okay je. Saya nak jadikan Al-Quran kawan baik saya. 

Macam aircond bocor tadi. Bila sudah cukup duit nak baiki, selesailah masalah bocor. Kalau mampu, siap boleh beli baru. Kalau belum cukup pitih, terpaksalah guna baldi dulu tadah air.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Ahad, 9 Ogos 2026

Bunga raya putih

Saya ada beli dan tanam pokok bunga raya. Masa saya beli, kecil saja pokoknya. Saya pindahkan dari polibeg ke pasu seramik yang kosong di rumah. 

Masa saya awal beli, pokok itu tidak berbunga. Saya pun tidak bertanya pada orang di nursery pokok itu, bunganya nanti warna apa. Pakai beli saja. 

Pada hari Ahad, 26 Julai 2026 yang lepas, pokok telah mengeluarkan bunga buat pertama kalinya. 😍

Bunga raya warna putih
Bunga raya warna putih

Gambar di atas saya ambil pada waktu pagi. 

Saya mencari pokok bunga yang tahan lasak terhadap penyakit. Sudah penat mencantas dan menyembur minyak neem pada pokok ros, tapi tetap bunga tidak berkembang dengan baik, macam zaman dulu-dulu. Kembang, tapi terencat kadang-kadang itu, atau layu sebelum mekar. Sementara itu, saya pun belilah pokok bunga raya kampung ini.

Pokok bunga raya ini suka tempat panas terik. Jadi, tak ada masalahlah dengan cuaca panas membahang sekarang. Bila tanah dalam pasu nampak kering, saya pun siramlah.

Bunga raya putih
Gambar ambil waktu petang.

Ada dua kategori utama jenis bunga raya.

1) Bunga raya kampung (Tradisional): Mempunyai kelopak tunggal yang ringkas (seperti warna merah asli bunga kebangsaan, atau warna putih pusat merah seperti bunga raya di atas). 

2) Bunga raya hibrid (Siam/Hawaii): Mempunyai saiz bunga yang jauh lebih besar, kelopak berlapis-lapis seperti bunga ros, dan kombinasi warna hiasan yang unik. Contohnya, campuran oren, ungu, coklat, atau pink. 

Setakat ini, saya ada satu saja pokok bunga raya ini. Sejak tarikh gambar ini diambil, pokok ini sudah 2-3 kali keluar bunga baru. Suka saya menengoknya. Belum bercadang untuk menambah sebarang pokok bunga lagi. 

Tambahan pula, sekarang ini, musim panas. Mood nak berkebun pun jadi kurang, sebab tak tahan bahang cuaca. Setakat siram pokok sajalah, lepas tu cepat-cepat mahu masuk rumah, sebab berpeluh-peluh, okay, buat kerja di luar. Kering tekak. 

Baiklah. Sekian update ringkas aktiviti berkebun di rumah.

Jumpa lagi, ya. 💗