Pergi bazar tapi masak juga
Semalam, Sabtu, 10 Ramadan 1447 Hijrah, saya dan suami pergi bazar ramadan awal. Awal tu, dalam pukul 4 petang. Biasanya, kalau kami pergi bazar, lepas Asar. Tapi memandangkan semalam hari minggu dan tak mahu bersesak, kami keluar awal.
Bukan nak cari makan sangat. Tapi lebih kepada nak jalan-jalan ke bazar ramadan yang ada paling banyak penyewa antara bazar-bazar lain di daerah Manjung, iaitu bazar ramadan di Manjung Point. Sini juga lokasi bazar raya. Tapi kami tak masuk pun ke bazar raya, cuma bazar ramadan.
Panas. Kulit rasa terbakar bila pergi pukul 4 petang. Beli apa ya? Hmmm... Beli ayam percik dua batang, ikan keli berlada dua ekor, takoyaki, kebab daging, popia basah dan goreng dan lauk paru goreng berlada.
Ayam percik, ikan keli dan paru terus masuk dalam peti ais, nak buat lauk sahur. Takoyaki, kebab dan popia makan waktu berbuka.
Sampai di rumah, Asar dulu. Pastu masuk dapur. Suami saya hari off kerja. Dia masak nasi goreng untuk berbuka.
Nasi goreng yang suami saya masak nampak lebih menarik dari yang saya buat. 😁 Habis satu kuali. Jadi, confirm sedap la ye. Amirul makan bertambah. Suami pun. Atau boleh jadi juga dia orang ni sudah bosan makan nasi putih, jadi bila ada nasi goreng, lebih selera nak makan.
Saya tak makan nasi. Jadi, hidangan asing untuk saya, yang saya masak sendiri.
Lapisan paling bawah adalah salad dan tomato. Kemudian ada telur dadar yang ada ketulan daging. Yang hitam-hitam pada telur dadar tu adalah bawang putih hangus. 😅 Ada gangguan sikit je waktu masak, sudah cukup buat benda hangus, lepas tu guna pula api besar. Tapi okay je. Boleh makan.
Alhamdulillah. Missing Hafizan di rumah. Dia tak balik hujung minggu ni, sebab ada tugasan kena buat.
Iran kena serang dengan US. Seram. Semoga Allah selamatkan semua muslim seluruh dunia. 🤲
Jumpa lagi. 💗

