Memaparkan catatan dengan label Hotel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hotel. Papar semua catatan

Somerset Damansara Uptown

 Semasa entri 29 Ramadan yang lepas, saya ada sebut yang saya sekeluarga beraya di KL tahun ini, kan. Alhamdulillah, pada 20 Mac bersamaan 30 Ramadan yang lepas, trafik lancar sepanjang perjalanan. Memang berlawanan dengan trafik berlawanan di sebelah, memang penuh, bumper to bumper, orang nak ke utara. Walaupun Waze suruh ikut lebuhraya utara selatan, tapi suami lebih suka ikut jalan Tanjung Karang. Okay jer. Bukan kelam kabut pun nak sampai. 

Semua orang pakat dok tidur dalam kereta. Saya bila tersedar je, tanya suami okay ke. Takut dia mengantuk bawa kereta waktu puasa. Dia kata dia okay. Ye la, dia buat kopi waktu sahur. Alhamdulillah, kami selamat sampai lokasi hotel lebih awal. 

Apa-apa cari tandas dulu, hotel ini lokasinya di atas Starling Mall. Masuk mall untuk ke tandas. 

Eh, bukan hotel sebenarnya, service apartments. Kakak sulung saya tempah 2 rumah. Satu rumah kecil, satu rumah besar. Somerset Damansara Uptown Petaling Jaya adalah bangunan 24 tingkat service apartment, diuruskan oleh The Ascott Limited.

Kakak sulung suruh saya dan suami duduk asing. Ye la, kalau kami duduk sekali, dia kena pakai tudung sepanjang masa, sebab suami saya ada. Itulah dia tempah dua rumah. Rumah jenis studio apartment, tak ada bilik pun yang saya dan suami duduk ni. Jom tengok...

Almari besor

Itu beg saya, sudah letak, baru ingat nak ambil gambar almari. Ada bathrobe untuk dua orang, sepasang slippers dan mesin timbang berat. Berat masa puasa, 58kg. Berat masa raya, 60kg. Kih kih kih...

Katil saiz King

Besor katilnya. Orang sebelah menguit atau beralih kedudukan, kita tak rasa. Bantal empuk. Pengsan bila baring je atas katil ni. Tak sedar diri tidur. Alhamdulillah. Kedut cadar, suami sudah landing, baru saya ingat nak ambil gambar katil. Suami sambil membebel, bangun juga sekejap, dia kata ape entah saya ni, semua benda nak ambil gambar. 😁

Bilik ayor

Besor la, bilik ayor dia. Pengudaraan tiptop.

Shower

Shower atas dan shower pegang. Ayor kuat. Puas mandi. Sabun ada, syampoo ada. Tulisan pada botol kecil, mata rabun. Lantak la pakai syampoo ke, sabun kaa... dua-dua wangi.

Buka pintu rumah, masuk dapur dulu.

Beg Amirul dalam gambar. Saya tanya reception, boleh tak check-in awal, baru sampai dari Perak. Baik orang reception tu cakap, boleh. Walaupun baru pukul 2.30 waktu itu. Sebab rumah ini kakak saya tempah di bawah nama saya, jadi, boleh check-in. Anak-anak duduk serumah dengan aunty dia orang. Kakak saya belum sampai, jadi anak-anak lepak rumah kami dulu.

Kaunter dapur ada bekal yang saya bawa dari Perak. Juadah buat berbuka. Dapur ada microwave, ada dapur jenis induction. Periuk ada, semua alat memasak seperti senduk, sudu, garfu, semua lengkap. Cerek ada, toaster ada. 

TV duduk tengah-tengah antara katil dan ruang tamu.

Studio apartment tiada bilik. TV besar. Aircond kuat.

Meja kerja

Ruang tamu ada sofa.

Ironing board dan iron.

Semua benda tersembunyi dalam almari. Masa kakak saya dah masuk rumah sebelah, pukul 5 pagi dia hantar Amirul pinjam kami punya ironing board. Sebab kakak tak jumpa ironing board depa duduk mana. Kita ingat dinding cermin. Tapi cermin boleh buka, sebagai tempat storage. Kena explore, raba-raba dinding, baru tahu ada nampak benda yang disimpan dalam. 

Selain ironing board, hari terakhir baru kakak saya jumpa coffee machine, dok sembunyi dalam kabinet dapur. Haha... hadoi... saya okay, sebab saya suka explore benda, itu yang saya jumpa toaster dalam dapur kami. Rumah kakak sebelah, ada mesin basuh yang ada dryer. Tudia laaa... 24 jam kakak saya dok basuh kain. 😅

Apa tu... pandangan dari tingkap apartment?

Itulah dewan sekolah saya, Sekolah Menengah Damansara Utama. Sekarang nama dia dah jadi Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama. Saya sekolah sini dari 1990-1995. Dewan sekolah di atas, tempat saya jawap soalan SPM. Masa saya mula pindah sekolah ke sini dari Aloq Setaq, saya alami kejutan budaya, tau! Sebab semua orang cakap English kat sini.. saya mana reti speaking London. Jawap periksa reti. Nak cakap, tergagap-gagap. Tapi pelan-pelan saya belajar. Kalau tak speaking, kang takde kawan. Sampai paper English SPM dapat A1 la. Tapi sekolah saja lah kat Damansara Utama, saya dan keluarga tinggal di rumah kawasan kampung di Kampung Sungai Kayu Ara. Nanti saya cerita lagi tau, sejarah tempat ini dalam hidup saya, di lain entri. Ini entri nak cerita pasal rumah kami duduk masa raya ni. Hehe...

Hall di laluan antara apartment.

Berkarpet. Kedengaran muzik latar di speaker, lagu-lagu raya berkumandang dengan lembut, volume minimum, tidak kuat. Di dinding, ada banyak hasil seni tergantung sepanjang dinding laluan. Nak naik ke apartment, ada kad yang kena tap yang bawa kita ke tingkat kita saja, selain tingkat lobi, parking dan shopping mall. 

Mesin penapis air

Ambil air minum di sini. Tiada diberi air mineral botol dalam bilik. Hotel ini mesra alam. Dia bagi jug kaca besar di setiap rumah untuk isi air minum sendiri. Lampu dan aircond dalam apartment pun, walaupun tak cabut kad kuasa di bilik itu, akan padam sendiri, bila tak ada orang dalam sekian waktu. Kalau keluar sekejap, power still on. Ada sekali kami keluar beraya, power off. 

Ambil gambar sekolah saya dari cermin hujung hall.

Sekolah saya sudah berubah. Kantin sudah jadi 2 tingkat. Pokok besar banyak. Dulu, tak ada pokok antara blok. Kenangan bila tengok sekolah tempat saya belajar selama 5 tahun. Orang lain semua lepas PMR masuk asrama penuh, saya stay di sekolah ini, tak kemana. Huhu...

Mesin kopi
Mesin kopi dalam apartment kakak yang dia baru jumpa di hari terakhir duduk. 😅 Katrij kopi (katrij ke, orang panggil? Macam printer pulak). Entah, yang kita letak di mesin untuk hasilkan kopi itu pun banyak. Aduhh... kalau tahu, dari hari pertama udah bancuh kopi, guna sampai habis. Walaupun cute, kena masukkan air di belakang. Kopi dia boleh tahan sedap. 

Cafe tempat sarapan

Minta maaf, sebab sepanjang duduk sini, saya tak ada ambil gambar makanan waktu sarapan. Standard sarapan di hotel la ye, semua ada, seperti English breakfast, sarapan melayu macam nasi goreng, bihun, mee, bubur, bijirin, roti dan pastries, sama macam hotel-hotel lain. Alhamdulillah. Penginapan termasuk sarapan.

Hari terakhir baru ambil gambar kenangan.

Apartment kakak, ambil extra bed, jadi sarapan untuk 6 orang. Hari pertama kakak kedua join, hari terakhir, kakak sulung yang turun. Sarapan turun juga, sebab sudah termasuk. Lepas sarapan bawah, naik atas rumah, makan lagi, lauk raya. Mana tak gendut.

Alhamdulillah. Di sinilah kami menginap dari 20-22 Mac 2026 yang lepas. Bapa kami pun tinggal di Rawang. Itu yang kami beraya di bandar. Senang nak tengok orang tua. Syukur Alhamdulillah. Somerset Damansara Uptown ini memang lokasi strategik, keliling ada banyak kedai kopi dan port makanan sedap. 

Baik. Jumpa lagi. 💗

Share:

Mood down dan check-in hotel Rawang

 Jumaat, 30 Januari 2026 - Pukul 3 petang, saya pergi hospital, ada temujanji jumpa doktor. Ada ambil darah untuk check kolesterol lama sudah. Sudah jumpa doktor sebelum ini. Tapi doktor semasa temujanji sebelum ini tidak bincang pun tentang keputusan darah untuk kolesterol, doktor bagitahu keputusan untuk tiroid saja. 

Kali ini, jumpa doktor lain pula. Bincang pula keputusan darah untuk kolesterol yang tidak diberitahu oleh doktor sebelum ini. Jadi, result darah lama. Pernah ambil untuk check kolesterol pertama kali, bacaan tinggi, 8. Result darah lama yang baru diberitahu oleh doktor, meningkat kepada 10. Saya tak bagitahu doktor pun yang tarikh ambil darah itu lama (Err... dia tak check ke, tarikh pada slip result itu bila). Saya ada ambil darah di klinik panel untuk check, level kolesterol saya okay. Tapi saya diamkan saja. Saya malas nak lawan cakap doktor, nanti panjang cerita. Tapi doktor berjaya menakutkan saya dan merendahkan semangat saya. Doktor siap tukar ubat kolesterol saya kepada dos yang lebih tinggi. Saya tak bagitahu yang saya tak makan pun ubat kolesterol, statin itu. Saya cerita di sini la, untuk rekod saya. Macam tak best sebab tukar-tukar doktor waktu temujanji. 

Tapi cakap doktor memang mudah mempengaruhi mood kita. Bila result kita okay, doktor tak pernah puji kita, contoh cakap,"You did a great job, makan ubat." Tapi bila result kita tak okay, marah kita, suruh kita bersenam, suruh kita makan yang rebus rebus dan kukus saja. Mood saya ke laut dalam lepas jumpa doktor. Tapi hidup perlu diteruskan. 

Selepas selesai jumpa doktor, saya dan suami bertolak ke Rawang. Ada jemputan kenduri keesokan harinya. 

Kami check-in hotel di Rawang pada hari Jumaat, 30 Januari dan check out esoknya. Nama hotel, the Leverage Business Hotel, Rawang. Hotel ini ditempah oleh kakak sulung saya, bagi pihak saya. Lokasi berdekatan dengan tempat kenduri nanti. Kenduri saudara sebelah bapa. Jom tengok bilik hotel.

A selfie of me
Muka senyum, dalam hati siapa yang tahu

Ada cermin di balik pintu. Itu yang selfie sekeping.

Bilik air hotel
Bilik air

Shower rendah ada, shower tinggi pun ada. Air kuat. Sabun botol besar ada, lengkap semua.

Sinki di luar
Yap, sink di luar

Tepi sink itu, ada hair dryer dan sabun juga. Saya pun tak tahu mana satu botol sabun ke, syampoo ke, tulisan kecil je. Ada partition antara bilik air dan tandas.

Tiada almari, cuma tempat gantung dan hanger
Tiada closet, cuma tempat gantung dan hanger.

TV dan bahagian depan katil
TV dan bahagian depan katil.

Tuala ada diberi.

Katil yang luas
Katil yang luas

Katil besar dan selesa, sedap tidur. Malam tu, lepas makan malam ada bancuh kopi secawan. Saya ingat nak layan drama atas katil. Baru landing atas katil dan ZZZZ... tak sedar diri bila masa belayar. Kopi minum esok pagi. Macam cerita P. Ramlee, minum kopi semalam.

Katil dalam bilik hotel
Ambil dari sudut lain pula, bahagian katil


Meja kerja, cerek elektrik, perkakasan buat kopi, dan safety box
Meja kerja, cerek elektrik, perkakasan buat kopi, dan safety box.

Cerek elektrik dalam bilik hotel
Cerek elektrik

Perkakasan nak buat kopi. Air mineral, tisu, ada ashtray
Perkakasan nak buat kopi. Air mineral, tisu, ada ashtray.

Stationery set
Ini jarang dilihat.

Ada set sampul surat, kertas A4 dengan letterhead hotel, kertas tulis nota dan pensel. Sudah jarang tengok hotel beri stationery set ni. Hotel dulu-dulu ada. Saya bawa balik kertas nota kecil dan pensel. Yang saya tak guna, saya tak ambil. Lepas tu baru teringat, nama hotel, Leverage Business Hotel. Sesuai untuk orang yang ada urusan kerja atau kursus, untuk menginap di hotel ini.

Lobi hotel
Lobi hotel

Hotel walaupun cuma dua tingkat dan terletak di bangunan rumah kedai, tetapi ada lif. 

Kemudahan di lobi hotel Leverage Business Hotel, Rawang
Kemudahan di lobi

Mesin penapis air di tingkat bawah. Microwave juga ada, di lobi.

Cawangan the Leverage Business Hotel
Cawangan the Leverage Business Hotel

Ada cawangan di Kuala Kedah, Mergong, dan Kuantan. Bila saya google, ada juga cawangan di Skudai, dan KL.

View pagi di luar hotel
View pagi di luar hotel

Lokasi hotel sangat baik. Keliling hotel ada banyak kedai makan. Ada Zus dan Kenangan Coffee juga, satu barisan dengan hotel. Dekat pasaraya Lotus. Dalam gambar di atas, boleh nampak Rawang Bypass, iaitu Jalan Pintasan Rawang yang dikenali dengan jejambat setinggi 58.2 meter (tertinggi di Malaysia) dan rekabentuk mesra alam yang melindungi pokok Giam Kanching, sejenis pokok hutan tebal dan spesies pokok terancam di Taman Warisan Negeri Selangor.

Okay. Sambung di lain entri, cerita trip pendek ke Rawang ini.

Jumpa lagi. 💗

Share:

Hotel BB Gerik Perak

 Ahad, 25 Januari 2026 - Sudah sampai di Perak, tapi kami tidak terus pulang ke rumah. Kami singgah Gerik, dan cari tempat bermalam. Waktu pun sudah pukul 6 petang. Ada beberapa pilihan, tapi kami pilih yang hotel bajet saja, di tengah bandar. Supaya mudah nak cari tempat makan.

Ini pertama kali kami singgah Pekan Gerik. Biasanya, kami lalu saja. Pekan Gerik ini, selalu menjadi tempat singgah isi minyak atau solat, kalau dalam perjalanan dari Kelantan, balik ke Perak. 

Hotel bajet ada beberapa tempat di Pekan Gerik. Tapi, kami pilih yang ini. Tiada tempahan, masuk saja bertanya, ada tak bilik kosong untuk dua orang.

Bangunan rumah kedai terletaknya lokasi hotel BB Gerik
Bangunan rumah kedai lokasi hotel.

Bawah tu, ada kedai pakaian. Saya yang naik bertanya. Tinggi tangga di laluan naik ke hotel itu. Alhamdulillah, ada bilik kosong. 

BB Hotel, diusahakan oleh Bangat Berkat Sendirian Berhad. 

Laluan naik ke hotel BB Gerik
Laluan naik ke hotel.

Hotel ini, sesuai untuk pengembara yang melawat Hutan Belum atau Tasik Temenggor. Ada paparan di dinding receptionist hotel, yang menawarkan trip ke Betong, pakej hiking di Gerik, pakej untuk Royal Belum Houseboat, pakej naik Gunung Bubu, Gunung Kerunai, Gunung Alai, dan Gunung Papulut. 

Pakej hiking Hotel BB

Pakej hiking lagi BB Hotel Gerik

Ini memang hotel hikers ni. Nombor untuk dihubungi semua ada, melalui hotel ini. 

Kami tidaklah berminat. Cuma nak berehat berlunjur saja untuk malam hari. 

Bahagian receptionist Hotel BB
Bahagian receptionist Hotel BB

Ada vibe ala-ala rumah kedai zaman dulu. Masa bujang dulu, saya pernah duduk menyewa ramai-ramai, di rumah kedai beginilah. 

Ruang legar Tingkat 1, Hotel BB
Ruang legar Tingkat 1, Hotel BB.

Tiada orang lain waktu kami check-in. Ada beberapa bilik kosong di Tingkat 1. Saya ingat nak request bilik mengadap jalanraya, tapi adik receptionist kata, bilik mengadap jalanraya, adalah bilik famili. Oh, okay. 

Ada bilik lagi di tingkat atas
Bila tengok atas, ada bilik lagi.

Kami dapat bilik di bahagian tengah, tiada tingkap. Tingkap mengadap ruang legar dalam bangunan. 

Ini bilik kami

Standard bilik Queen. Bilik ber-aircond, Wifi percuma, TV, dan bilik air. Harga RM99 untuk semalam. Alhamdulillah. Dapat tempat untuk berehat dan bermalam. Hotel paling basic la ni, dalam perjalanan roadtrip kami ini. Semua ada kemudahan asas, mencukupi, termasuk tuala dan sabun segala. 

Kot ada pembaca yang berminat untuk naik gunung sekitar Gerik, boleh hubungi hotel ini, ya. 

Jumpa lagi. 💗

Share:

Sarapan hotel Kota Bharu

 Ahad, 25 Januari 2026 - Masa memang berlalu pantas bila kita sedang berseronok, lagi-lagi sedang bercuti. Seronok dapat lari dari rutin seharian. Kalaulah boleh hari-hari begini. Enjoy betul hidup. Berangan itu percuma. 😁 

Hari sebelumnya, kami masuk hotel di Kota Bharu. Duduk hotel mahal sikit ni, yang bagusnya, sekali dengan sarapan. Lain kali tak mahu dah duduk hotel yang ada sarapan sekali. Sebab datang Kelantan, haruslah pergi makan nasi berlauk pagi-pagi. Apedaaa... rasa ralat di situ, sebab ini pertama kali turun Kelantan, tapi tak makan nasi berlauk.

Tak apa. Jomlah tengok sarapan kami di buffet hotel. Kami turun sarapan hampir pukul 8 pagi.

Roti bakar sekeping dan omelette
Roti bakar sekeping, dan omelette.

Roti bakar sapu butter. Omelette letak black pepper.

Nasi kerabu hotel Grand Riverview Kota Bharu
Nasi kerabu

Tiada nasi lemak. Tapi, ada nasi kerabu. Pinggan di atas, suami yang ambil. Lauk daging. Lembut dagingnya. Nasi biru ada, bawah rencah-rencah tu. Suami ambil sikit je nasi. Tapi seperti biasa, saya ada tax sikit. Sedap, nasi kerabu hotel. 😋

Chicken slice dan sosej
Chicken slice dan sosej

Pusingan kedua, saya ambil seperti di atas. Kongsi makan dengan suami.

Kopi, teh tarik, jus guava dan air suam.
Kopi, teh tarik, jus guava dan air suam

Saya bantai minum air manis sepanjang perjalanan roadtrip ini. Ambil teh tarik, ok! Kopinya walaupun sudah siap dibancuh di dalam bekas tahan panas, ia adalah kopi kosong. Tambah gula sendiri. Saya sudah bertahun tak minum teh tarik. Nikmat, dapat minum panas-panas. Saya minum dua cawan ok, teh tarik! 😍

Bihun goreng, timun dan puding roti
Bihun goreng, timun dan puding roti.

Dua-dua sedap, bihun goreng dan puding roti. 

Waffle bersama syrup
Tiba-tiba ternampak waffle.

Waffle sudah siap buat. Jadi, agak sejuk. Letak maple syrup sikit. Ok jer. Lama juga tak makan waffle. 

Bihun sup
Bihun sup

Suami sejak duduk hotel ni, dia jadi rajin mencelur mi atau bihun. Mangkuk bihun sup di atas, dia yang ambil. Banyak bahan sampingan dan sayur lebih dari bihun. 

Alhamdulillah. Rezeki dapat makan sedap, buffet sarapan di hotel. Sepanjang sedang bersarapan, dapat perhati orang lalu lalang di laluan riadah tepi sungai Kelantan. Saya dan suami pernah lalu laluan yang sama, beberapa tahun lepas. Sudah semakin ramai orang beriadah tepi sungai. 

Ok. Sambung di lain entri, ya. Jumpa lagi. 💗

Share:

Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu

 Jumaat, 23 Januari 2026 - Masa saya lepak di Pantai Batu Buruk, menantikan suami selesai solat Jumaat, saya ada browse beberapa pilihan hotel untuk kami inap. Patutnya, saya percaya naluri pertama saya. Yang first instinct selalunya, betul kan. Tapi tak payahlah nak sesal-sesal. Saya tukar pilihan sebab masa kami lalu jalan untuk ke hotel pilihan pertama, jalan itu sesak. Rupanya pada hari Jumaat, hari orang tak bekerja, semua orang berpusu-pusu ke mall. Hairan juga kami, jalan sesak itu nak ke mana. Rupanya, bila tengok papan tanda, jalan sesak itu menuju ke KTCC Mall. Sebab hotel pilihan pertama dekat kawasan situ, saya pun beralih ke hotel pilihan kedua.

Bukan hotel kami masuk ini kurang best, tapi agak lama, banding hotel pilihan pertama tadi. Takpe, semua sudah tertulis. Jom tengok hotel apa kami check-in. Seperti biasa, tiada tempahan. Masuk saja, tanya ada bilik untuk dua orang tak. Parking kereta ada disediakan untuk penginap, berhadapan hotel. The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu, nama diberi.

Bilik dua orang di the Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu.
Pandangan dari pintu bilik

Keluasan bilik agak sederhana, nak kata kecil tidak, besar pun tidak. Asal ada ruang nak bentang sejadah solat, orait la.

Bilik air dan tandas sekali
Bilik air dan tandas sekali.

Kebersihan pun memuaskan. 

Sabun dan syampoo di ruangan shower
Sabun dan syampoo tergantung di ruangan shower.

Kemudahan asas ada dan lengkap. Air pun kuat.

Bilik dua orang the Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu
Macam agak romantik dan kelam gitu..

Katil selesa. Tiada masalah. Bantal dia bagi dua biji seorang, campur extra cushion.

Meja kerja dan TV
Meja kerja dan TV.

Ada free Wifi dan agak laju juga.

Kelengkapan membuat kopi dan air mineral
Kelengkapan membuat kopi dan air mineral.

Lengkap kelengkapan dan selesa. Alhamdulillah. Kelihatan secawan kopi Zus di situ. Beli di Dungun, sampai Kuala Terengganu, kopi tak habis lagi.

the Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu.
Ambil gambar hotel waktu petang semasa kami keluar.

Lokasi hotel dekat dengan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. Cantik masjidnya, masjid warna putih. Kalau jalan kaki ke Pasar Payang, dalam 10 minit berjalan di celah-celah bangunan. Masa kami duduk hotel ini, saya boleh dengar azan dari 2 masjid. Alhamdulillah. Suka. Tak perlu nak adjust lokasi pada app Waktu Solat di telefon pun, sebab dapat dengar azan.

Penginapan sekali dengan sarapan. Ater, dah sampai hotel, sudah selesai solat jamak, nak nyongket mana tu? Sambung lain entri ya. 

Jumpa lagi. 💗

Share: