Memaparkan catatan dengan label Road Trip. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Road Trip. Papar semua catatan

Penutup dan Rumusan Roadtrip Pantai Timur

 Ini post terakhir tentang cerita Roadtrip Pantai Timur.

Hari Terakhir

Isnin, 26 Januari 2026 - Kami tak check-out hotel lagi, tapi pergi cari sarapan di sekitar pekan Gerik. Jumpa satu kedai makan buka, berhampiran lampu isyarat di jalan utama nak ke keluar pekan. 

Nama restoran, Sri Ratna Tanduk Rusa. Mungkin mengambil nama sempena replika tanduk rusa yang ada berhampiran restoran. 

Sudah banyak hidangan atas meja seperti nasi, mi dan bihun goreng, dan lauk pauk atas meja. Orang pun sudah ramai menjamu selera. 

Ada seorang pakcik tua ni, macam baru balik dari masjid. Jalan slow slow je, tapi tersenyum je tengok kami. Comei pakcik. Dia tegur suami,"Dari mana?" Macam tertulis kat dahi ni, kita orang luar, dan orang boleh nampak. Suami cakaplah,"Kami dari Kelantan, nak balik Lumut." Hui... jauh jalan, pakcik comei kata, sambil tersenyum. Pakcik comei bungkus makanan bawa balik.

Saya ambil nasi goreng dan telur dadar. Suami pergi tambah sambal ikan bilis petai dalam pinggan saya. Saya dari hari tu di Ana Ikan Bakar Kuantan, menahan keinginan nak makan petai. Tapi tak boleh, sebab lepas makan petai saya selalu sakit perut. Pagi itu, lantak ko la perut, sudah nak balik rumah, saya pun makan la.

Nasi goreng, telur dadar tebal dan sambal ikan bilis petai.
Nasi goreng, telur dadar tebal dan sambal ikan bilis petai.

Sedap, wei... sampai dah separuh makan baru teringat, aku belum ambil gambar la. 😁 Alhamdulillah, lepas makan, kami kemas apa patut di hotel, melepaskan hajat, check-out hotel, singgah Zus cawangan Gerik, beli kopi, dan mulakan perjalanan balik rumah Lumut. 

Selamat sampai dalam 2-3 jam kemudian, ikut jalan lama. 

Rumusan Roadtrip Pantai Timur

🌸 Perjalanan roadtrip kami selama 6 hari, 5 malam. 

🌸 Satu malam di Pahang, dua malam di Terengganu, satu malam di Kelantan, dan satu malam di Perak.

🌸 Dari Perak, ke Pahang, Terengganu, Kelantan, dan kembali ke Perak, jumlah jarak sejauh 1,248 kilometer.

🌸 Ketiga-tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan ada sejarah masing-masing dalam hidup saya.

🌸 Pahang, tempat saya belajar, sebulan tinggal di Kuantan, tiga tahun saya di Jengka.

🌸 Terengganu, tempat anak sulung belajar, di Dungun. Tapi lain-lain tempat saya tak pernah sampai lagi. 

🌸 Kelantan, kampung suami saya di Tumpat. Mungkin lain kali ada lebih masa, boleh explore tempat-tempat menarik di Kelantan pula. Hari tu, kami cuma ziarah keluarga. Walaupun orang tua sudah tiada, adik-beradik masih ada. 

Syukur Alhamdulillah, happy kami, sepanjang roadtrip ini. 🥰 Kali ini, kami duduk hotel. Lain kali, suami merancang untuk modify kereta, kami tidur dalam kereta saja, mungkin bermalam di tapak perkhemahan. Nak ubahsuai kereta pun perlu bajet, kita buat slow-slow ikut kemampuan. 

Jadi, roadtrip seterusnya, nak ke mana pula? Utara? Selatan? Zon tengah? Hehe... tak tahu lagi. Tengok lah seru datang pergi mana, dan rezeki banyak mana. Kami ni jenis old fashion sikit. Orang naik kereta, kami suka jalan kaki. Orang naik kapal terbang, kami suka naik kereta. Kalau boleh, nak naik pengangkutan awam saja, seperti bas atau keretapi untuk explore kawasan menarik di negara kita.

Sekian cerita Roadtrip Pantai Timur kami. Terima kasih, kerana anda sudi baca. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Roadtrip Pantai Timur: Kota Bharu - Gerik

Ahad, 25 Januari 2026 - Sambung perjalanan Roadtrip Pantai Timur. Kami bertolak dari hotel Kota Bharu dalam tengahari. Trafik ok. Banyak kereta, tapi trafik berjalan. 

Pukul 2 petang, kami singgah masjid sekejap. Solat jamak. 

Masjid Mukim Batang Merbau, Tanah Merah, Kelantan.

Masjid ini, bahagian tepinya, sedang dalam pembinaan. Ada perkara pelik berlaku di sini. Lepas selesai solat, saya tengok ada orang lelaki perhatikan saya. Saya rasa, pakcik tu mungkin sedang tengok atau mencari isterinya, kot. Tapi kalau dah tak ada, tak perlulah perhati lama-lama bahagian orang perempuan solat, kan. Ini, lama dia perhati. Saya pun tak buka la telekung saya, sebab saya nampak pakcik tu dok tengok lama. Walaupun ada partition atau dinding pembahagi itu, antara ruang solat lelaki dan wanita, tetapi di bahagian atas, ada ruang transparent, jadi kita boleh nampak orang lelaki solat, dan orang lelaki pun, kalau tengok, mesti nampak orang perempuan solat, kan. Waktu itu, cuma ada saya seorang saja pun, muslimat di bahagian orang perempuan. Apa entah. 

Selagi pakcik itu berdiri situ perhati, selagi itulah saya tak buka telekung saya. Adalah 2-3 minit juga. Tiba pintu buka. Ada orang lelaki lain masuk nak solat, baru pakcik tu blah. Lepas pakcik tu blah, baru laju-laju saya buka telekung, betulkan tudung segala. On the way keluar, ada makcik baru nak masuk ruang solat wanita. Ini kot, isteri pakcik tu. Lama bebenor pakcik tu tunggu, mungkin makcik pergi toilet dulu kot. Seram juga bila mengenangkan. Saya cakap kat suami saya yang sudah tunggu luar, atas kerusi, ada orang laki intai tempat orang perempuan. Suami cakap, orang tu cari bini dia kot.

Saya pula nak ke tandas, tapi tak jumpa. Tandas orang perempuan di belakang masjid rupanya. Terus suami tunggu saya tepi toilet, sampai selesai.

Bila keluar pagar masjid, tengok ada kedai makan pula di sebelah. Apa lagi, jom la, isi perut dulu.

Sungguh sopan makcik kedai. Sebab konsep kedai dia, dia tolong cedukkan. Ramai dah beratur menunggu nasi, tapi makcik seorang saja yang tolong ceduk nasi dan lauk. Kalau tukar konsep layan diri, mesti tak ada ramai yang beratur. Kami pula selalu bawa orang. Tadi masa mula singgah, tak ada orang. Bila kami tunggu nasi, eh.... tiber bersusun pula kereta depan kedai makan makcik ini. 

Nasi berlauk ayam gulai dan sayur kacang panjang
Nasi lauk ayam gulai dan sayur kacang panjang.

Alhamdulillah, sedap. Lupa ambil gambar nasi suami. Dia ambil lauk ikan pedas, tak silap. 

Selesai makan, kami meneruskan perjalanan. Kami singgah Nasken Coffee di Jeli, beli kopi. Sedap, baru segar biji mata, dapat hirup kopi panas. 

Ambil masa lebih kurang tiga jam untuk sampai Petronas Jeli dari Kota Bharu. Haa... lama kan, nak keluar dari negeri Kelantan, tak keluar keluar. Banyak juga kereta, walaupun trafik berjalan. Singgah solat, makan dan beli kopi lagi. Hehe...

Kami tiba di Gerik, Perak pukul 6 petang. Kami tak teruskan perjalanan balik rumah, walaupun sudah sampai Perak. Saja, ambil masa nak rehat. Jom kita check-in hotel. 

Sambung lain entri. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Hotel Grand Riverview Kota Bharu

 Sabtu, 24 Januari 2026 - Alhamdulillah, kami selamat sampai Kota Bharu waktu petang. Dari awal, sudah aim hotel yang saya pernah duduk, suatu waktu dahulu. Bila entah, sekejap, nak kira, lebih 20 tahun dulu, masa itu, saya baru kahwin. Kenduri belah suami, kenduri sambut menantu. Rombongan saya, arwah mama dan bapa saya, dari KL, kami menginap di hotel ini la dulu. Jadi, saja, nak mengimbau kenangan lama. Kami pun terus tuju ke hotel ini, dan bertanya ada kekosongan atau tidak untuk dua orang.

Ada, Alhamdulillah... jom masuk tengok bilik.

Mula-mula tunjuk bilik air dulu. 

Bilik air Hotel Grand Riverview Kota Bharu
Ok sangat bilik airnya.

Basic toiletries semua ada, dalam tiub kecil. Ok la, mencukupi untuk kami yang nak duduk sehari saja.

Ada bathtub dalam bilik air Hotel Grand Riverview Kota Bahru
Ada bathtub

Kebersihan bilik air memuaskan. 

Ruang shower bertutup dalam bilik air Hotel Grand Riverview, Kota Bharu
Ruang shower bertutup

Saya tak ingat sama ada ruangan shower ini dulu ada atau tidak. Rasa macam dulu shower di bathtub tu saja. Apa-apa pun, okay je.

Pandangan dari pintu masuk bilik, Hotel Grand Riverview, Kota Bharu
Pandangan dari pintu masuk bilik

Rasa macam dia sudah ganti karpet baru, kot. Hujung sana, dekat tingkap, saya masih ingat, dulu ada dua sofa mengapit sebuah meja kopi. Saya ingat, sebab waktu itu, abang ipar ada datang melawat kami di bilik dan dia duduk menyembang dari sofa itu. Sebab sudah tak ada, bilik nampak lebih besar. 

Bilik untuk dua orang, Hotel Grand Riverview, Kota Bharu
Bilik katil queen atau king sebuah tak ada, tinggal bilik dua katil.

Okay je. Dapat tidur dengan selesa, sudah cukup buat kami.

Ruangan TV dan meja kerja dalam bilik Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.
Ruangan TV dan meja kerja

Saya suka bilik yang ada meja kerja. Sebab dekat situlah saya boleh duduk upload gambar yang diambil pada satu hari, edit atau resize gambar dan upload di draft blog. 😊

Sunset view dari bilikHotel Grand Riverview, Kota Bharu.
View dari tingkap kami.

Lokasi hotel di sebelah sungai Kelantan. Sangat cantik, pada waktu petang. Dapat tengok sunset dari bilik saja.

Sunset view dari bilik Hotel Grand Riverview, Kota Bharu
Ambil lagi view dari sudut lain pula

Tenang je, hotel ini. Tengok pemandangan pun cantik. Sesekali ada bot kecil, lalu.

Kelengkapan membuat kopi dan teh
Kelengkapan membuat kopi dan teh

Air mineral dalam botol turut disediakan.

Seterika dan ironing board dalam kabinet pakaian.

Nampak antik pula ironing board itu. Tapi saya tak guna pun sepanjang roadtrip. Semua pakaian dan tudung saya ironless.
Alhamdulillah, suka dapat duduk di hotel ini. Masih bertahan setelah sekian lama. Tidak rasa macam bilik lama, sebab banyak peralatan sudah ganti baru dalam bilik. Baguslah.
Lepas maghrib dan solat jamak, kami turun, cari tempat nak makan malam.

Ada cermin dalam lif
Ada cermin, dalam lif.

Kami cuma berjalan kaki keluar cari tempat makan. Tapi di kawasan sekitar hotel, banyak tempat sedang dalam pembinaan, seperti sedang buat tempat pejalan kaki. Tempat yang kami pernah makan ikan bekok tepi jalan dulu pun, sudah tak beroperasi. Jadi, kami kembali ke hotel, suami nak ambil kereta saja, di ruangan parking hotel, sebab penat pula nak jalan jauh malam-malam. Saya tunggu di lobi hotel, sementara suami ambil kereta di parking bawah tanah hotel.

Lobi Hotel Grand Riverview, Kota Bharu
Lobi hotel yang luas dan lapang.

Lepas kami naik kereta tu, baru nampak yang ada satu tempat di tengah Kota Bharu tu, dia kumpul semua peniaga makan di situ. Memang ramai orang situ. Tapi kami tak pergilah tempat yang ramai orang. Susah nak cari tempat parking. Kami pergi makan jauh sikit, dekat kawasan Lotus Kota Bharu.

Sambung entri lain ya. Jumpa lagi. 💗
Share:

Roadtrip Pantai Timur: Kuala Terengganu - Kota Bharu

 Saya dilanda angin malas giler, semenjak dua menjak ini. Malas untuk update blog. Ish, tak tahulah apa nak jadi dengan saya ini. Maafkan saya, ya. Slow-slow, saya cuba untuk bangkit semula ni. Jomlah saya sambung cerita roadtrip yang saya belum habis cerita. 

Sabtu, 24 Januari 2026 - Setelah check-out dari hotel, kami sambung perjalanan roadtrip kami ke negeri Kelantan. Babai Terengganu, negeri yang aman makmur dengan laut yang cantik. Panjang umur, kita jumpa lagi ya, Ganu Kiter...

Alkisah hari tu, masa kami dari Dungun ke Kuala Terengganu, sebab berjalan hari Jumaat, banyak kedai tepi jalan yang tutup. Ada lalu kedai roti paung, tapi tutup belaka. Ini kali, bila jumpa saja, haruslah berhenti. Tak pernah rasa. Baca tentang roti paung ni, dari blog Mazni.

Eh, kebetulan, kedai yang jual roti paung itu, tak jauh dari situ, ada kedai kopi juga. Jadi, belilah keduanya, buat bekal makan dalam kereta. 

Roti paung asli
Roti paung perasa asli.

RM4 sebiji. Saya beli perasa biasa dan yang marjerin. Ada banyak perasa lain. Yang ada kacang di dalam, yang kaya dan lain-lain, saya pun tak perhati semua. Dua jenis roti paung, jumlah harga RM8. Lembut bebenor roti paung ini. Pekena pula dengan kopi panas. Peh.. tak boleh berhenti kami makan. Habis wei. Alhamdulillah.

Suami pandu kereta santai-santai saja. Nak kata laju, tak laju, slow pun tidak. Sambil menikmati pemandangan tepi laut. 

Kami singgah Pantai Penarik, Setiu. Pantai paling cantik. Angin kuat. 

Pantai Penarik, Setiu, Terengganu
Indahnya pemandangan di sini. 😍

Masa duduk lepak layan perasaan tengok laut, ada peniaga jual aiskrim naik motor lalu. Saya tahan, nak beli. Orang aiskrim tu tahu kita orang luar. Dia tanya, saya dari mana? Saya cakap dari Perak. Sambil sembang dengan dia, dia tak berhenti scoop aiskrim satu demi satu atas kon aiskrim. Saya tegur dia, banyaknya letak! 

Dia bagi banyak scoop, sampai tinggi aiskrim kita jadinya. Dia kata, ha.. baru boleh kenyang. 😂 Baiknya. Pandai pula dia balut kon aiskrim dengan tisu tebal, sebab aiskrim tinggi. Cuaca walau berangin tepi laut, tapi panas. Aiskrim mudah cair. Semoga murah rezeki penjual aiskrim baik hati, cedok banyak aiskrim scoop untuk kami.

Laut Terengganu yang cantik
Boleh duduk sini lama la, tengok laut.

Kalau tak mengenangkan perjalanan kami masih jauh, mahu je kami lepak situ lama lagi. Syok, sebab angin kuat. Suka saya dengan majlis perbandaran sini. Orang ramai boleh tengok laut cantik percuma. Di tempat saya, contoh macam Teluk Batik, kalau nak jejak kaki tepi pantai, kena bayar tiket masuk. 🙈

Acik selfie pakai tudung sarung baru beli
Acik selfie pakai tudung sarung baru beli di Kuala Terengganu.

Rasa macam nak pindah duduk Terengganu, la. Hehe.. saya upload video pemandangan tepi laut yang cantik ini, sebagai kenangan.


Tidak lama lepas tu, kami pun teruskan perjalanan.

Lalu Besut, dan masuk negeri Kelantan. Ikut Pantai Tok Bali, Bachok, sampai Kota Bharu. Check-in hotel di Kota Bharu di petang hari.

Jarak perjalanan yang direkodkan oleh meter kereta, 164 kilometer untuk perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pada hari itu. Alhamdulillah, selamat sampai ke negeri terakhir dalam roadtrip Pantai Timur kami. Saya sambung di lain entri, ya.

Jumpa lagi. 💗

Share:

Aktiviti Kuala Terengganu

 Sabtu, 24 Januari 2026 - Lepas sarapan di hotel, saya dan suami menaiki kereta ke Jeti Bot Penambang Seberang Takir. Tunggu kawan suami, kalau ada rezeki, nak naik bot. Lokasi jeti ini, di belakang Masjid Kampung Seberang Takir.

Pemandangan dari Jeti Seberang Takir
Pemandangan dari Jeti Seberang Takir

Jeti bersejarah ini telah beroperasi sejak tahun 1930-an. Ia menghubungkan Kampung Seberang Takir dengan pusat bandar Kuala Terengganu. Perjalanan naik bot ambil masa 10 minit saja. 

Bot penambang ke seberang
Kelihatan bot terawal baru berlepas dari jeti ke seberang.

Lagi satu info, boleh sewa bot dengan kadar RM80 untuk satu jam perjalanan. Laluan khas ini, penumpang akan dibawa menikmati tarikan utama di sepanjang sungai termasuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Masjid Kristal, dan bersiar-siar di Perkampungan Nelayan Pulau Duyong.

Kenangan di jeti Penambang Seberang Takir
Selpiaq sekeping, sementara tunggu orang.

Tapi nampaknya, tak ada rezeki kami naik bot. Kami tunggu kawan suami sampai sudah 1 jam, tengok-tengok dia ada urusan penting tiba-tiba. Dan bot yang dia punya pula ada trip angkut barang. Tak apa, lain kalilah. Kami pun tidaklah beriya sangat nak naik bot. Kawan suami yang ajak. Kami ikut saja. Tak apa, tak apa. Ada hikmahnya tu. Takut kang nanti terkejar-kejar pula, nak check-out hotel pula pukul 12 tengahari, takut tak sempat. Insya-Allah, lain kali, kalau ada rezeki, ya.

Sebab tak dapat naik bot, kawan suami bawa kami ke kedai keropok lekor milik keluarga isterinya. Dekat-dekat situ juga. Masya-Allah, ini lagi bagus! Keropok lekor Terengganu memang sedap la ya, terasa-rasa ikannya. 

Anak kawan suami, sedang menggentel keropok.

Ha ah, anaknya, yang sedang tunggu keputusan SPM, bantu kedai ibu saudaranya, dapatlah upah harian. Isi ikan yang telah dikisar, digentel bulat-bulat, dengan tepung sikit, untuk elak lekat, dan kemudian direbus.

Keropok lekor yang baru digoreng
Ini yang fresh baru gentel, terus digoreng

Keropok lekor segar, kome! Walaupun waktu masih awal pagi, dalam pukul 9 lebih, sudah ada pelanggan tunggu depan kedai. Nak beli keropok lekor baru siap diproses. Kami pun dapat merasa sebungkus. Masya-Allah, lembut dan sedaplah! 😋 

Di samping itu, saya ada juga membeli keropok lekor yang sudah dalam pembungkusan vakuum (dikeluarkan udara) yang boleh tahan lebih lama, kalau tidak simpan dalam peti ais. Boleh tahan 2 hari, kata akak tuan kedai. Sebab kami pun masih dalam perjalanan. Juga beberapa bungkus keropok keping mentah, dan yang sedia untuk dimakan pun ada. Borong keropok kami di sini. Alhamdulillah.

Selepas itu, kawan suami yang bertindak seperti pemandu pelancong, membawa kami ke Pasar Kedai Payang. Ada kawasan yang boleh parking, bayar terus RM2 masa nak masuk. Waktu pagi, jadi banyak lagi parking kosong. 

Pasar Kedai Payang
Tadaaa.... 

Ini pertama kali saya sampai ke Pasar Kedai Payang. Ada bahagian basah, ada bahagian jual produk kering. Kelihatan kawan suami dan isterinya dalam gambar di atas. Usaha deme, bawa kami jalan-jalan. 

T-Shirt Terengganu untuk anak-anak
Ini T-Shirt Terengganu untuk anak-anak.

Selain T-Shirt Terengganu di atas, saya ada beli juga fridge magnet dan keychain, dan sebuah beg tangan. Jalan-jalan tengok periuk-periuk. Memang menarik. Kena pejam mata, takut terbeli. Mangkuk tingkat pun lawa-lawa la, design. Aduh... geram tengok. Sebab ada orang Terengganu ikut dan tolong tawar-menawar, harga beg anyam yang saya beli RM50, boleh dapat RM35 jer. Seronoknya!

Lagi satu, isteri kawan suami beritahu, emas Terengganu tak sama macam emas Kelantan. Bagi yang suka emas, ada kedai emas juga di tingkat bawah. Tengok-tengok kalau berminat. 

Selepas habis shopping di Pasar Kedai Payang, kami pulang semula ke hotel. Parking saja di ruangan parking, tapi tidak terus check-out. Kawan suami dan isterinya bawa kami jalan kaki ke belakang hotel saja, pergi Terminal Bas Kuala Terengganu. Minum sekejap di medan selera. Kemudian, naik atas, bahagian orang jual tudung-tudung dan pakaian. Saya terbeli tudung bawal 5 helai, dan tudung sarung, 4 helai. Hahahaha... suka, suka! 😍 Tudung bawal tu harga display RM15 sehelai, saya dapat RM10 sehelai. Isteri kawan suami yang saya panggil Kak Nora,  tolong tawar-menawar dengan makcik tudung. 😁

Alhamdulillah. Banyak betul saya shopping di KT. Suami geleng-geleng kepala tengok hasil belian saya. Beg pun beranak. Ater... bukan selalu, kan. Sini tudung dia lain pula, kain lembut je. Masya-Allah, kalau tak beli karang, terbayang-bayang tak boleh tidur. Baiklah beli, dan nanti kita duduk rumah diam-diam ya.

Sekian aktiviti kami sebelum kami check-out hotel pada waktu tengahari. Alhamdulillah, rezeki ada kawan suami yang bawa kami jalan-jalan, beli keropok dan shopping. Panjang umur, kita jumpa lagi, ya. 

Ok. Sambung cerita roadtrip di lain entri ya. 

Jumpa lagi. 💗
Share:

Jalan-jalan Kuala Terengganu

 Jumaat, 23 Januari 2026 - Kami berjalan kaki saja dari hotel. Buka saja Google Maps. Bila kita jalan kaki dan ikut celah-celah bangunan, ada benda rare kita boleh nampak. Kami lalu sebuah rumah lama yang kiri kanan rumahnya adalah kedai, tapi lokasi tengah bandar. Wah... cantik pula rumahnya. Kami lalu petang, tuan rumah sedang berkebun di luar. Pemandangan jarang dilihat. 

Dari jauh boleh nampak Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge. Situlah kami tuju. Jumpa pasaraya Econsave, yang sebelahnya, ada pasar malam. Ramailah orang. Mujur kami jalan kaki. Jadi, tidak perlu fikir soal parking. Dari hotel ke lokasi kami ambil gambar di bawah, iaitu di Jalan Pesisir Payang, tidak sampai satu kilometer pun. 

Jambatan Angkat Kuala Terengganu
Cantiknya Drawbridge

Selama ini, dok tengok dan baca orang sampai. Kali ni, barulah kami berpeluang lihat sendiri di depan mata. Kalau runnners, memang biasa tengok orang berlari atas jambatan itu. Boleh berjalan, sebab ada laluan untuk pejalan kaki, boleh lintas ke seberang ikut Drawbridge. Seberang Kuala Terengganu, orang panggil Seberang Takir, di mana banyak food truck dan tempat makan yang orang ramai boleh beli dan makan di padang. 
Setelah beberapa ketika tengok jambatan dari jauh, kami sambung berjalan ke Mayang Mall. Ia adalah shopping mall terbaru di Kuala Terengganu.

Replika Batu Bersurat depan Mayang Mall, Kuala Terengganu
Ambil gambar depan replika Batu Bersurat depan Mayang Mall

Ada penerangan tentang sejarah Batu Bersurat itu. Boleh baca. 

Besar sungguh Mayang Mall ini. Dan menarik sebab ada Sogo! Ha, kalau tak boleh pergi KL, boleh mai Kuala Terengganu, kalau nak shopping di Sogo. Tudung jangan cerita la, macam-macam jenis ada dalam tu, macam-macam brand ada. Pendek kata, bawak pitih je. Tempat makan pun berlambak-lambak, kedai barang berjenama pun ada. 

Kami masuk jalan-jalan dari satu tingkat ke tingkat, explore apa yang ada. Saja, makan angin tempat aircond.

Drawbridge Kuala Terengganu
Ambil gambar Drawbridge dari pintu tepi Mayang Mall.

Tidak jauh dari situ, terletaknya KTCC Mall. Ramai yang lebih prefer KTCC Mall dari Mayang Mall, berdasarkan keadaan trafik pada masa itu.

Tahukah anda, rekabentuk Drawbridge Kuala Terengganu ini mendapat ilham daripada Tower Bridge di London. Di jejantas atas jambatan itu, boleh rujuk gambar di atas, ada premis perniagaan dan tempat makan juga, orang kata. Tapi kami tak naik atas tu. Lain kali la, ye.

Depan Mayang Mall, Kuala Terengganu
Selpiaq depan Mayang Mall pula

Alhamdulillah, jalan kaki ini membantu bila kita on roadtrip, untuk bakar kalori, sebab nanti, kita nak makan benda sedap-sedap. No diet diet. Hehe..

Berjalan di Kuala Terengganu
Tiga aktiviti berjalan di Kuala Terengganu pada petang itu.

Berjalan dari hotel, dan jalan balik semula ke hotel. Bila nak sampai maghrib, kami pun balik la. Settlekan yang wajib, sebelum keluar semula sebelah malam. Makan time. Hmmm.... nak makan di mana ya? Tunggu...

Sambung entri seterusnya. Jumpa lagi. 💗

Share:

Roadtrip Pantai Timur: Dungun - Kuala Terengganu

 Jumaat, 23 Januari 2026 - Lepas check-out dari hotel, kami teruskan perjalanan roadtrip ke Kuala Terengganu (KT). Kali terakhir saya sampai KT adalah masa saya sekolah rendah, bercuti dengan keluarga. Jadi, memang sudah bertahun-tahunlah tak datang. Kami ikut Laluan Persekutuan 3, iaitu jalanraya tepi pantai.

Excited, sebab berpuluh tahun tak sampai. Tapi sebab hari Jumaat, banyak kedai sepanjang perjalanan yang tutup. 

Atas Jambatan Kuala Dungun
Lalu Jambatan Kuala Dungun

Lalu banyak resort-resort tepi pantai. Laut di Terengganu paling cantik, dengan warna laut yang hijau dan ombak yang kuat. Cantik sangat pemandangan sepanjang perjalanan.

Ada perasan beberapa buah kedai keropok lekor segar. Tapi kami tak berhenti. Lalu Rantau Abang, pun tak berhenti juga. Tapi bila sampai Marang, kami berhenti la sekejap, tengok laut.

Tandas Awam Pantai Rekreasi Kelulut
Rasanya ini dinding tandas awam, tapi tutup waktu kami berhenti. 

Trafik ada banyak kenderaan, tapi ok jer, berjalan.

Pantai Rekreasi Kelulut
Pantai Rekreasi Kelulut

Kedai yang celup tepung semua tutup, hari Jumaat. Lain kali nak lalu sini, jangan hari Jumaat, ya. Hehe..

Sampai dah Kuala Terengganu
Sampai dah, Kuala Terengganu. 

Roadtrip paling pendek la, jarak pada hari itu cuma 77 kilometer. 

Dekat saja rupanya Dungun dengan Kuala Terengganu itu. Kalau tahu, kami lepak-lepak dulu di Dungun, petang baru bertolak.

Saya lepak di Pantai Batu Buruk, sementara suami tunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Tak boleh check-in hotel lagi, waktu masih awal. Nak ke tandas awam pun, tandas awam tutup hari Jumaat. Lepas solat Jumaat, beratur orang nak masuk tandas awam. Tu dia... takpelah, saya pergi tandas stesen minyak saja. 

Saya cerita tentang hotel kami check-in dalam entri seterusnya.

Hari ni, waktu saya taip entri ini, rumah saya ada bekalan gangguan air, sampai esok pagi, dalam notis makluman. Kami dah siap simpan air beberapa tong. Saya bangun pukul 3 pagi, masak, sebab gangguan mula 7 pagi. Tudia.... awal bebenor dia nak tutup air. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Jalan pagi Dungun

 Tiba-tiba mood update blog hilang. Banyak main tukar-tukar template semenjak tidak update entri baru. Tiba-tiba rasa serabut dengan template lama. Ambil keputusan tukar yang lebih simple yang blogger sediakan saja. Terima kasih kepada kawan-kawan yang masih tinggal komen di blog saya ini, walaupun saya belum kunjung balas ke blog anda. Saya hargai sangat. 🤗

Ini sedang paksa diri, menaip entri baru. Baiklah, saya sambung cerita roadtrip Pantai Timur tempoh hari, ya. 

Jumaat, 23 Januari 2026 - Pagi lepas Subuh, salin baju untuk berjalan tepi pantai. Haruslah, sebab tempat cantik. Mana boleh lepaskan peluang duduk saja dalam bilik hotel. Syukur Alhamdulillah, rezeki dapat tengok pemandangan langit cantik waktu pagi. 

Pemandangan langit pagi depan hotel Permata Resort, Dungun
Pemandangan waktu pagi depan hotel

Ini sudah beberapa kali kami berjalan pagi di kawasan riadah tepi Jalan Pantai Sura, Dungun ini. Bagus betul pihak berkuasa tempatan kawasan ini, sediakan tempat riadah yang selesa dan luas untuk orang ramai. Terbaik! 👍

Laut yang cantik di Jalan Pantai Sura, Dungun
Laut yang cantik. 

Ombak kuat, memang tak boleh mandi. Kuat bunyi deruan ombak menghempas pantai. Terasa nak duduk lama-lama situ, tengok laut jer. Saya dan suami jalan slow-slow saja. Sekejap saya berhenti ambil gambar. Sekejap kami berjalan semula, di laluan pejalan kaki yang disediakan.

Pantai Teluk Lipat, Dungun
Sampai ke Pantai Teluk Lipat

Hari Jumaat di Terengganu, macam hari Ahad di negeri lain. Orang tak bekerja. Jadi, ramai yang keluar beriadah, bawa keluarga bersama. Jadi memang meriah sepanjang laluan riadah yang disediakan. Awal pagi memang kurang orang. Tapi makin bertambah cerah, makin ramai kelihatan. 

Laluan riadah di sepanjang Jalan Pantai Sura
Laluan riadah yang selesa, luas dan panjang sepanjang Jalan Pantai Sura.

Jalan sambil tengok laut. Memang tak jemu, dan mendamaikan jiwa. Tidak perlu buat laluan berbatu. Memadai dengan jalan tar biasa. Sebab saya biasa jogging di laluan berbatu atau jalan dari batu-bata, ia keras dan kurang mesra lutut bagi orang yang ada masalah lutut. Itu yang saya suka pihak berkuasa tempatan di sini. Bijak buat kawasan riadah begini. 

Kawasan banyak pokok ru di Jalan Pantai Sura
Masuk ke kawasan pokok ru

Memang lokasi sesuai bergambar, cantik kawasannya. Masa kali terakhir kami datang tahun lepas tak silap ke, dua tahun lepas, entah, saya sendiri sudah lupa bila last kami sampai Dungun, kawasan laluan berkayu ini masih dalam pembinaan. Sekarang sudah siap.

Kawasan banyak pokok ru di Jalan Pantai Sura
Bersih dan tenang tengok banyak pokok

Tempat duduk tepi pantai
Ada tempat duduk tepi pantai

Macam cengkerang kura-kura. Angin pula bertiup kuat dan sejuk suasana.

Matahari naik
Matahari naik

Jomlah kita berhenti sekejap, tengok matahari naik. Subhanallah... 

Us, berjalan tepi pantai
Selpiaq sekeping

Tak lama, kami kembali berjalan. Kami tak pergi sampai ke hujung pun. Niat memang nak berjalan sambil cari sarapan. Bila jumpa kedai yang buka, kami pun berhenti, lintas jalan, dan pergi beli sarapan.

Bungkusan sarapan sambil jalan pagi
Tudiaa....

Suami beli nasi dagang sampai empat bungkus dan nasi kerabu sebungkus. Sebab saiz agak comel. Kuih pun ada. Masa pergi, tangan kosong. Balik, jinjing plastik seorang satu. Ada 2-3 orang yang berselisih dengan kami, senyum jer dan menegur, wah... dah siap beli. 😁 

Slowjogging di laluan riadah Jalan Pantai Sura
Suami ambil gambar saya tengah slowjogging

Ada kucing ikut, sebab dia boleh bau menarik dari plastik saya bawa, kot. Tak nampak pula dalam gambar, plastik kuih yang saya bawa. Nampak bontot jer besar dari belakang.

Saya sampai dulu depan hotel kami inap. Tengok suami jauh di belakang. Rupa-rupanya, dia boleh terserempak dengan kawan yang dia sudah tak jumpa lebih kurang 20 tahun. Masya-Allah... itu yang dia lambat sampai tu. Sembang dan bertukar nombor dengan kawan lama.

Riadah di Jalan Pantai Sura
Riadah di Jalan Pantai Sura

Jalan campur slowjogging selama 1 jam 19 minit, sejauh 5.16 kilometer. Banyak kalori terbakar. Baguslah, sebab nanti nak makan banyak. Huhuhu.... 

Nasi dagang comel
Nasi dagang comel

Comel sikit saiz dia, banding nasi dagang bungkus di tempat kami. Dibalut dengan daun pisang sedemikian rupa. Sebab sampai empat bungkus suami beli, kami tak adalah beli nasi lemak sambal ikan tongkol. Itu lagi satu hidangan sedap, kalau kami sampai Dungun.

Nasi dagang bungkus Dungun
Dapat telur ikan! 😋

Sedapnya, nasi dagang dia, cukup rasa segala. Amirul datang hotel, join kami sarapan. Ada extra nasi dan kuih, Amirul bawa balik rumah sewa. Babai, anak mama. Nanti belajar rajin-rajin untuk periksa. Kita jumpa Insya-Allah, bulan puasa. 

Kami check-out Permata Resort, Kuala Dungun dalam pukul 10 pagi lebih kurang. Kami teruskan perjalanan ke... ke mana? Tunggu entri berikutnya... 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Permata Resort, Kuala Dungun.

 Khamis, 22 Januari 2026, Sampai saja Kuala Dungun, kami cari hotel-hotel di tepi pantai. Sudah beberapa kali kami sampai Kuala Dungun ni, sebab Amirul belajar di Uitm. Tapi ini pertama kali nak cuba duduk di hotel tepi laut. Sampai di Permata Resort, berhenti kereta, saya tanya dalam, ada bilik kosong untuk tiga orang tak. Ada, Alhamdulillah. Terus bayar dan check-in. Kami tak buat tempahan dulu, main jalan jer. Saja je la, ambil katil extra, kot budak Amirul nak tidur sekali, sebab dia memang suka berkepit je. 

Jom masuk tengok dalam hotel camana. Kami dapat bilik di blok hadapan, mengadap laut. Alhamdulillah. 😍 Di bahagian belakang juga ada bilik, tapi view kolam renang. Saya tak tahu menahu langsung tentang resort ini. Suami dah cakap, di belakang ada bilik lagi. Tapi saya tak explore langsung. Masa nak taip entri ini, saya google, baru tahu. Haha... amenda entah.

Gambar oleh pengunjung, review di Google
Gambar dari review di Google.

Cantik, kalau duduk belakang. Duduk blok depan pun cantik. Meh tengok bilik. 

Ada ruang tamu bila buka pintu hotel
Buka pintu, ada ruang tamu.

Tengok TV dekat ruang tamu saja. Sofa dan meja kopi juga ada. Juga, bilik ini attach dengan bilik sebelah, ada pintu di ruang tamu yang kami kunci. Suami ingat, pintu almari, itu dia buka. Tengok-tengok, bilik sebelah. Nasib baik bilik sebelah kosong.

Penginapan untuk dua orang
Katil queen satu, single satu.

Tengok-tengok budak Amirul sibuk. Ada tugasan kena hantar keesokan harinya. Jadi, dia tak sempat nak bermalam dengan kami. Takpelah. Biarlah anak selesaikan kerja dia. Lain kali ya, Amirul.

Cerek untuk buat kopi dan air mineral.
Cerek untuk buat kopi dan air mineral.

Bilik tidur pun besar. Kemudahan asas pun lengkap. Aircond ada dua biji, satu di ruang tamu, satu lagi di dalam bilik.

Bilik air dan tandas sekali
Bilik air dan tandas sekali.

Bilik air besar.

Tandas dan ada pemanas air
Tandas dan ada pemanas air

Bersih dan lengkap ada tuala.

Ada ironing board, iron dan Ridsect dalam almari.
Ada ironing board, iron dan Ridsect dalam almari.

Suami kata, ada nyamuk. Tapi seekor je la, saya nampak, waktu malam.

Blok hadapan Permata Resort
Bilik kami di hujung, tingkat bawah, blok depan.

Ada kerusi, boleh duduk situ, tengok laut. Sejuk saja sini. Maksud saya, angin yang bertiup tepi pantai tu, angin sejuk. Ini berbeza berbanding tempat saya, kalau saya morning walk di Esplanade Lumut, angin pun tak ada. Kalau petang, baru ada angin. Itu pun, angin panas. Itulah bezanya mengadap Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Permata Resort, lokasi tepi jalan saja, Jalan Pantai Sura
Permata Resort, lokasi tepi jalan saja, Jalan Pantai Sura.

Damainya rasa kami duduk di sini. Rasa macam nak pindah duduk Terengganu, ler. Saya suka Terengganu! 🥰

View laut dari bilik.
View laut dari bilik.

Cantik Permata Resort ni. Kami suka. Boleh repeat lain kali, kalau datang Dungun lagi. Harga untuk bilik kami, RM190 satu malam. Alhamdulillah. Rezeki dapat duduk hotel tepi laut. 

Nak tahu tak, masa dalam perjalanan baru sampai Dungun, saya nampak Amirul bawa kereta. Saya tunjuk pada suami,"Eh, tu, Amirul!" Walaupun dia sedang memandu, saya cam kereta yang dia bawa tu. Kereta zaman lari saya. Kereta comel. Masuk je hotel, saya wassap Amirul. Selang beberapa minit, dia pun datang. Lepak di bilik. Orait la.

Jumpa lagi ya, sambung lain entri. 💗
Share: