Memaparkan catatan dengan label My Family. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label My Family. Papar semua catatan

Menyantuni Walimatulurus Aqilah dan Hausen

 Pada hari Sabtu, 11 Julai 2026 yang lepas, saya dan suami bertolak ke Kuala Lumpur, untuk hadiri kenduri anak sulung sepupu suami saya. Kami bertolak dari Lumut lebih kurang jam 8 pagi dan selamat sampai ke lokasi kenduri dalam jam 11.30 pagi. Suami bawa kereta santai-santai saja. 

Lokasi kenduri di Amarin Mall, Seri Kembangan, Selangor. Nak masuk ke dewan kenduri harus menerusi mall. 

Asiana Grand Hall Cheras, Amerin Mall, Seri Kembangan, Selangor.
Asiana Grand Hall nama dewan

Pertama kali kami sampai ke sini. Jalan raya semua bertingket-tingket. Padahal dulu zaman keluarga saya tinggal di quarters UPM, waktu itu bapa saya belum pencen, semua jalan straight forward je dengan trafik light. Kawasan Seri Kembangan dan Mines itu memang dah biasa. Tapi perkembangan pesat jalan raya itu, wow... memang kena bergantung pada google maps la, boleh sesat bagi orang kampung macam kami ini. Hehe.. eh, saya tak malu cakap saya orang kampung. Memang rumah saya kategori luar bandar pun. Mana ada jalanraya sesak ni semua. Tapi sampai KL, memang kenyang makan jem. 😁

Walimatulurus Aqilah dan Hausen
Walimatulurus Aqilah dan Hausen

Unik nama pengantin lelaki. Sudah agak ramai walaupun baru jam 11.30 pagi. Bila masuk dalam, oh, ahli keluarga pengantin perempuan rupanya. Masih banyak tempat duduk kosong dalam dewan pengantin.

Bunga-bunga atas siling dewan pengantin Asiana Grand Hall Cheras, Amarin Mall
Bunga-bunga atas siling

Cantiknya suasana dalam dewan majlis kenduri ini. Tak jemu mata memandang.

Dari pintu masuk hingga ke pelamin ada bunga-bunga putih dalam Asiana Grand Hall Cheras, Amerin Mall, Seri Kembangan
Dari pintu masuk hingga ke pelamin ada bunga-bunga putih.

Sejuk pula tu, aircond kuat. Memang selesa. Setelah berjumpa ibubapa pengantin, kami pergi ambil makanan dulu. Nanti karang makin ramai orang. Apa-apa hal, kita makan duluuu....

Nasi minyak dan lauk-pauk kenduri
Pinggan saya

Nasi minyak, ada lauk dalca terung, rendang ayam, daging hitam, masak lemak nanas dan ikan masin, sambal belacan dan ulam kacang botol. Semua sedap. 😋

Ada sepupu suami duduk semeja dengan kami. Suami sambil makan, sambil sembang dengan ahli keluarga sepupu. Jadi, sayalah yang kena explore ambil makanan lain, setelah selesai makan nasi. 

Pencuci mulut dan kuih-muih yang ada di majlis kenduri
Pencuci mulut dan kuih-muih yang ada.

Ada kuih talam keladi, kek pandan (kek ada banyak jenis, saya ambik kek pandan saja sepotong, nak merasa), kuih kaswi pandan dan kuih ulat bulu, yang warna ungu diselaputi kelapa. Dalamnya ada inti kacang merah. 

Teh tarik dan nescafe tarik di kenduri kahwin
Ini saya suka, lepas makan, kita minum air panas.

Saya ambil teh tarik dan nescafe tarik. Panas melebor lagi. Itu yang isi separuh cawan saja. Isi penuh kang camana nak bawa, meja duduk jauh dari stesen air panas. Haip, tak boleh minum banyak-banyak, air manis. Tapi syok weiii... pekena nescafe tarik! Terbeliak biji mata. Segar rasanya.

Manggis dan rambutan di kenduri kahwin
Manggis dan rambutan pun ada

Rambutan gading lagi. Bapa pengantin walaupun seorang guru, punya perniagaan sampingan iaitu menjual buah. Nasib baik dia tak bawa buah durian sekali masuk. 

Lepas tu, cari lagi apa benda nak makan. Suami suruh saya pergi jalan-jalan sampai ke luar dewan.

Bubur pulut hitam di kenduri kahwin
Bubur pulut hitam

Bubur ni, sedap juga. Kami makan kongsi berdua. Saya boleh makan, tapi kurang gemar sikit. Masa sedang menikmati hidangan, rombongan pengantin pun sampai. Eh, tak tahu pula tempat duduk kami ini dalam laluan pengantin. Ingat kan, pengantin masuk ikut laluan lagi satu yang ada pintu gerbang bunga-bunga. Okay, bagus juga pengantin lalu sebelah meja kami saja, boleh ambil gambar.

Pasangan pengantin masuk ke dewan kenduri
Cerianya pengantin.

Semasa majlis kenduri ini, kami dapat jumpa ramai saudara-mara belah suami saya. Termasuk yang jadi pengapit masa kami kahwin dulu-dulu pun ada. Haha.. makin lama, makin ramai keluarga yang datang. Termasuk yang dari Kelantan pun ada. Jauh deme datang, untuk memeriahkan majlis kenduri ini.

Pasangan pengantin, Nik Nor Aqilah dan Hausen Shwahiri
Pasangan pengantin, Nik Nor Aqilah dan Hausen Shwahiri

Sama cantik, sama padan, pasangan pengantin. Selamat melayari alam rumahtangga dan semoga kekal bahagia hingga ke jannah. 

Kami bersama abang dan kakak ipar
Dari kiri, suami, saya, Kak Yah dan PokWi.

PokWi adalah abang suami saya. Mereka bertolak dari Tumpat hari sebelumnya, dan bermalam di homestay dekat Gombak, tak silap. Mereka datang dengan anak menantu dan cucu. Sebab ramai yang datang, saya undur diri ke luar dewan. Suami pun nak keluar beri laluan kepada keluarga yang baru sampai untuk duduk. Tapi dia selalu kena tahan, ada saja jumpa saudara yang ajak menyembang. Haha..

Makan yongtaufu di kenduri kahwin
Saya jumpa stesen yongtaufu di luar dewan. 😋

Saya makan seorang saja ni. Sebab suami asyik kena tahan dek saudara dia, tak dapat keluar dewan. Di luar dewan ada photo booth untuk orang bergambar. Juga ada satu stesen ada telefon antik yang boleh beri orang ramai rakam video mesej ucapan selamat untuk pasangan pengantin. Wow... saya segan nak ambil gambar stesen telefon antik itu, sebab ada saja orang di situ.

Bila suami akhirnya dapat keluar dewan, dia pergi stesen aiskrim pula. 

Suami di stesen aiskrim di kenduri kahwin
Suami di stesen aiskrim

Tak ramai budak-budak pun. Suami tanya orang aiskrim itu, boleh ke ambil? Dia jawap, ambil je la, dua tiga aiskrim pun boleh. Sebelah stesen aiskrim itu, stesen yongtaufu.

Makan aiskrim di kenduri kahwin
Dah jilat banyak kali baru ingat nak ambil gambar aiskrim.

Oh, ada kerusi yang disusun di luar dewan. Jadi, tetamu yang masih tak mahu pulang setelah makan, boleh lepak luar, duduk makan di luar dewan. 
Sebab cuaca sedang hujan dan berangin, jadi, tidaklah panas berada di luar dewan. Agak selesa juga.
Dekat luar ini pun, kami berjumpa ramai saudara-mara suami yang baru sampai. Belum masuk dewan makan, udah berborak lama di luar. Maklumlah, lama tak berjumpa. Masa inilah peluang bertanya khabar. Lain kali bila balik Kelantan, ada saudara offer duduk rumah dia orang. Kami biasa duduk hotel, sebab rumah Mek sudah kasi orang sewa. Haa.. ada orang dah offer duduk free tu, kalau balik kampung, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. 🥰

Gambar kenangan sebelum balik
Ini masa kami nak balik

Paling lama kami hadiri kenduri kahwin. Sampai pukul 11.30 pagi. Pukul 1 kami masih di sini. Apa taknya, dok menyembang dengan saudara-mara. Saya cakap pada suami, kita stay sampai pukul 2 sajalah. Jadi, boleh terus check-in hotel kami seberang jalan dari Amarin Mall ini saja. 

Goodie bag majlis kahwin
Ini goodie bag

Beg anyaman kedua-duanya. Ada dua jenis. Yang kiri lebih besar sikit dari yang kanan. Ada saya cerita di bawah, isi kandungan goodie bag. Saya suka beg anyaman. Apa-apa hasil kraftangan yang dijadikan beg, memang saya suka dan simpan buat koleksi.

Masa duduk di luar, ada ketika tempat photo booth itu tiada orang, maka kami pun ambil gambar. Mula-mula kami berdua saja. Lepas tu, dengan ramai lah saudara-mara semua ambil gambar bersama. Boleh scan QR Code, jadi selain yang dicetak, dapat dalam soft-copy juga, boleh forward di WhatsApp. Gambar beberapa keping, dicompile jadi video pendek, saya attach di bawah.

Okay la tu. Sebelum minta diri, salam dengan semua saudara-mara, bertukar nombor telefon dengan saudara yang sudah lama tak berjumpa. Semoga silaturrahim antara keluarga terus terjalin. 

Kami dengan ibubapa pengantin perempuan
Kami dengan ibubapa pengantin perempuan.

Jumpa setahun sekali pun payah. Kadang dapat jumpa di Kelantan, ketika raya. Sepupu suami ini tinggal di Kajang. Itu yang waktu kami kahwin 25 tahun yang lepas, keluarga suami belah KL ini la yang banyak membantu, sebab keluarga saya ketika itu tinggal di Serdang, Selangor. Lepas bapa saya pencen kerja, barulah keluarga saya berpindah ke Perak, sebab arwah ibu saya asal Perak.

Barang-barang dalam goodie bag kenduri kahwin
Antara kandungan goodie bag

Ini apa yang tinggal. Kebanyakannya kami sudah makan dalam kereta, semasa dalam perjalanan balik Perak keesokan harinya. Hehe... Yang besar ada keropok keping ready to eat. Tiada dalam gambar la, sudah habis makan. Antara barang yang diberi termasuklah dodol yang dibungkus dalam bekas kecil-kecil. Dodol baru buat, lembut jer, senang nak telan. Beza tau, dodol baru siap masak dengan dodol lama siap. Sedap giler! Itu yang saya tak sempat nak ambil gambar. Dodol perasa durian pun ada. Bukan lempuk. Nampak macam sama, tapi rasa dodol dan lempuk, berbeza. 
Dalam gambar di atas, ada dodol perisa pandan sebutir. Yang warna-warni tu, sejenis kuih dari kelapa. Mengikut google Lense, nama kuih asal Kelantan ini adalah Gelembung Buaya. Kuih atau pemanis mulut tradisi Kelantan yang dibuat dari tepung pulut dan kelapa. Ada juga orang panggil dodol kelapa parut.
Barang lain dalam goodie bag, ada tisu meja dan telur rebus. 
Alhamdulillah. Dapat hadir kenduri kahwin anak sepupu suamiku.

Lepas habis kenduri, kami pergi check-in hotel yang bertentangan saja dari lokasi kenduri ini. Saya sambung lain entri ya. 

Jumpa lagi. 💗
Share:

Hantar Sulaiman

 Semalam, 20 Jun 2026, kami pergi hantar anak bongsu, Sulaiman, daftar masuk Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh. Sulaiman punya sesi pendaftaran adalah pada pukul 10.30 pagi hingga 12 tengahari. Pihak PUO sudah tetapkan beberapa sesi pendaftaran untuk pelajar diploma, mengikut kursus. Kalau semua daftar sekaligus, mahu sesak juga kan, dalam tu. 

Dari Lumut, kami bertolak pukul 8 pagi lebih. Sampai dalam 15 minit sebelum 10.30 pagi. Walaupun banyak kereta di hujung minggu, tapi berjalan je trafik. Itu pun, ada singgah toilet break di stesen minyak.

Hantar Sulaiman daftar PUO
Lepas parking kereta, ambil gambar dulu, kenangan.

Untuk pelajar lelaki, rambut kena pendek. Atas no mata mesin - 3, belakang no mata mesin - 2. Bagi yang tidak mengikut piawaian, kena beratur, dia tolong potong pendek sebelum dibenarkan daftar. 

Ini pengalaman kedua kami hantar anak masuk PUO. Masa Hafizan (anak kedua) dulu, memang panjang barisan budak kena potong rambut, tapi semalam nampaknya ramai sudah cakna akan peraturan PUO ni. Ada yang kena, tapi tak panjang macam zaman daftar Hafizan dua tahun lepas.

Macam rekruit nak masuk askar pula, ya. Tapi sekejap saja, nanti lepas minggu orientasi habis, pelajar lelaki boleh rambut seperti biasa, asalkan pendek.

Daftar untuk pendaftaran mengikut kursus
Beratur nak masuk dewan untuk daftar mengikut kursus.

Masa selesai daftar tu, Sulaiman cerita, ada pegawai yang jaga salah satu stesen pendaftaran tanya Sulaiman, "Kenapa dengan rambut awak?" 

Sulaiman jawap,"Bapa saya botak, sejak muda. Saya ikut gen bapa". Tergelak orang tu. 

Ibubapa yang hantar anak daftar PUO
Sementara pelajar masuk dewan untuk daftar, ibubapa duduk di khemah ibubapa.

Ada taklimat sikit dan soal jawap antara ibubapa dan pihak PUO. Pelajar baru yang daftar diploma saja ada lebih 2 ribu orang. Rupanya, ada pelajar yang hanya ditawar belajar tanpa dapat asrama. Tapi pihak PUO usahakan juga agar semua pelajar baru semester 1 ini dapat penempatan asrama. Itu yang pelajar lama seperti Hafizan ditolak keluar dari asrama lama seberang jalan tu. Malah, budak MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) pun kena sewa luar juga. Gitu, ceritanya.

Lepas selesai daftar, ibubapa boleh teruskan hantar anak ke asrama, tapi cuma diberi masa 3 minit untuk drop-off barang anak. Pemandu kereta tidak dibenarkan turun untuk membantu. Sebab kereta perlu bergerak, nak beri ruang pada kereta ibubapa lain yang dalam barisan.

Alhamdulillah, rezeki Sulaiman, dapat bilik tingkat bawah. Peh.. tak payah naik-naik tangga. Baru saja ingat Sulaiman boleh bersenam kot dapat tingkat tinggi macam Hafizan dulu, masa dia duduk asrama dalam, dapat tingkat 2. Selain itu, pihak PUO sudah tetapkan nombor katil, jadi tak boleh nak chop chop tempat siapa sampai awal, ambil katil tepi tingkap dulu ke apa. Semua telah ditetapkan tempat. 

Mama dan ada urusetia tolong angkat barang dari kereta ke lobi asrama. 

Selfie dengan anak bongsu yang daftar PUO
Selpiaq sekeping, sebagai kenangan.

Masa Sulaiman sibuk angkut barang bilik, sempat ada ibu ni mengadu dengan saya, "Dulu tak ada pun had masa ni". Ye betul, dua tiga tahun lepas zaman Hafizan, kami siap boleh lepak cafe lepas anak masukkan barang ke bilik. Sempat lah makan nasi dulu dengan anak. Tapi baru berdiri sekejap, urusetia datang, tolong alih kereta, pakcik. 

Sebelum kami berlalu pergi, sempatlah group hug kami satu keluarga. Babai anak mama. Belajar rajin-rajin, sembahyang, tau. 

Kami pun berlalu keluar kawasan. Masa sampai di Taman Botani, masih di Ipoh, sebab kami singgah Zus, beli kopi, Sulaiman cakap, boleh outing, masuk sebelum 6 petang. Aik... jadi kami suruh Sulaiman tunggu dekat pagar gate B. Ibubapa bila keluar memang tak boleh masuk dah, sebab lepas tengahari, ada sesi kursus lain pula untuk mendaftar.

Lepas ambil Sulaiman, kami ke Aeon Mall Kinta City. Bolehlah singgah supermarket beli sabun cuci baju. Itu je barang dia belum cukup. Sempat makan tengahari bersama di medan selera.

Nasi goreng daging
Saya makan nasi goreng daging

Ada sup kosong diberi sekali. Saya dan suami baru break IF, first meal of the day, pukul 1. Alhamdulillah. Sedap, makanan beli di sini. Orang pun ramai. Memang meriah Aeon sini. 

Lepas beli sabun cuci baju, kami pun balik, hantar Sulaiman ke PUO semula. Tak adalah nak tunggu sampai pukul 6 petang. Orait la tu, rezeki dapat makan bersama. 

Masa hantar dekat pintu pagar B itu, ada kereta ibubapa lain yang hantar anak baru masuk. Kereta depan ni, nampak mak dia lap airmata, lepas anak berlalu pergi. Alamak... tapi saya control je, tolonglah tolonglah, janganlah jangkit kat aku. Depan anak kena beri dia sokongan dan galakan. Kita nangis dalam hati je, okay.

Insya-Allah, Sulaiman akan baik-baik saja. Lepas balik bilik, Sulaiman kemas barang dia, pasang cadar apa semua. Sebab kami ada pengalaman dulu, cadar kena beli saiz super single. Kalau cadar single biasa, memang tak muat sebab tilam asrama jenis tebal. Semua okay. Beg travel pula, saya bagi Sulaiman pakai beg umrah je. Sulaiman pun okay dia kata, tak perlu beli beg travel baru sebab beg mama tu pun besar, boleh muat banyak barang dan ada roda empat tayar. Lagilah senang, tolak je, beg berjalan.

Saya dan suami masih borak dengan Sulaiman melalui whatsapp, sambil berhenti solat jamak di surau stesen minyak Shell. Masih di Ipoh.

Dia letak emoji budak nangis pula 😢

Tipulah kalau tak sedih, wei. Baby saya paling kecil, budak Sulaiman ni.

Sulaiman masa baby, dengan arwah Opah
Sulaiman masa baby, dengan arwah Opah. Gambar tahun 2009.

Ini pertama kali baby mama ni duduk jauh. Kesemua tiga-tiga anak saya, masa lanjutkan pelajaran lepas SPM, baru tinggalkan rumah. Mereka tidak masuk asrama waktu sekolah menengah. Sunyi dan rindu rasa malam semalam. Hafizan yang waktu ini sedang cuti sebelum masuk semester baru, pun kata pagi ini, rumah nampak pelik. Sebab selalu kalau bangun pagi, mesti ada Sulaiman duduk dekat komputer di ruang tamu itu. Pagi ini, cuma nampak kerusi kosong. Huwaaa..... mama nangis dalam hati. Semoga Allah beri saya ketabahan dan redha, Sulaiman pun kuat dan tabah, belajar berdikari dan boleh belajar dengan baik. Semangat! 💪

Insya-Allah, dia okay. Sulaiman pandai cari makan, dan dia tidak cerewet. Lain anak, lain perangai. Semalam pun dia ada whatsapp pukul 8 malam, dia di cafe, dengan kawan-kawan. 

Kucing dekat cafe
Sulaiman hantar gambar kucing dekat cafe

Insya-Allah, semua akan baik-baik saja. Selamat sudah, hantar anak bongsu sambung belajar. Syukur Alhamdulillah.

Baik. Semoga hari minggu anda semua ceria dan selamat beristirehat di samping keluarga.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Cerita Papa dan Kami

Cerita Papa 

Pada 8 Mei yang lepas, harijadi bapa saya. Kakak sulung bawa Papa pergi sarapan di Kedai Atok Legacy di Rawang. Saya pun pernah sarapan sini, kakak yang bawa, ada saya cerita di entri ini 👉 Sarapan di Kedai Atok Legacy.

Harijadi Papa saya pada 8 haribulan, sementara harijadi saya pula 20 Mei. 😊 Papa saya memang menetap di Rawang. Selepas pemergian Mama saya, Papa saya berkahwin dengan makcik. Lepas tu, ada tinggal di Teluk Intan, kemudian di Chenderong Balai, juga di Perak. Tapi berpindah ke Rawang, untuk memudahkan urusan rawatan makcik di hospital Serdang.

Papa menyambut harijadi yang ke-79 tahun baru-baru ini. 

Papa sarapan lontong darat
Papa pesan lontong darat

Kegemaran Papa saya, antaranya, lontong. Minuman pula, teh tarik. Kakak beli tiramisu juga untuk Papa. Pertama kali Papa cuba makan tiramisu. Kakak siap ambil video. 😁

Beberapa minit kemudian...


Kali terakhir masa saya berkesempatan sembang dengan Papa di rumahnya, saya ada bertanya khabar dia, dan sebagainya. Saya tanya keputusan ujian darah di hospital dia macamana. Dia kata, semua ok. Doktor siap puji lagi dia, cakap very good la result pakcik! Hehe.. padahal bapa saya suka minum teh tarik kalau keluar bersarapan di luar.

Ini membangkitkan rasa jeles dan musykil di hati saya. Saya ini, dah la tak makan dan minum benda manis, tapi result kolesterol saya tinggi, tapi bapa saya yang suka makan benda manis ni, result boleh okay saja. Ye, saya tahu, banyak faktor yang boleh buat kolesterol kita tinggi. Inflamation dalam badan, tabiat pemakanan yang suka ambil makanan berproses, dan banyak faktor lain. Tapi saya sajalah, sekadar berborak dengan Papa. Saya pun tanya Papa, camana result kolesterol Papa boleh normal?

Papa pun cerita, seminggu sebelum appoinment nak jumpa doktor, hari-hari dia minum air rendaman daun pokok belalai gajah. Hehe.. lepas tu, saya pun teringat la pada arwah Mama saya dulu pun ada buat benda sama. Waktu pagi, Mama rendam cawan air panas ada 2-3 helai daun pokok belalai gajah. Tapi tengahari atau petang baru dia minum. Sebab Mama tak suka air itu ada rasa kurang sedap, setiap kali lepas minum, Mama akan makan coklat macam kitkat, untuk hilangkan rasa tak sedap dalam mulut tu. Hehe.. jadi, tak jadilah ya. Sebab ambil benda manis. 

Bapa saya boleh tahan, minum saja, dia kata hari-hari. Itu yang result darah dia semua normal. Wah... menarik untuk dicuba, petua ini. Saya tulis di sini sebagai perkongsian sesama pembaca blog ini. Minum air daun pokok belalai gajah, ya. 

Papa masih pandu kereta 3 kali seminggu ke pusat dialisis di bandar Rawang, untuk bawa Makcik buat dialisis. Sesekali waktu pagi, Papa ke masjid. Cuma Papa sudah tak memandu jarak jauh. Sebab kami melarang Papa, risau keselamatannya. Tapi Papa kadang senyap-senyap saja, pergi kenduri di Segamat, drive sendiri, pergi beraya di Taiping, waktu raya puasa hari tu. Steady bapakku, semoga Papa terus sihat dan kuat. 

Cerita kami

Itu cerita Papa. Cerita saya dan suami di Perak pula, pada hari tersebut, kami pergi sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut ala Thai di Pekan Lumut. Jom tengok kami makan apa. 

Pinggan sarapan saya
Pinggan saya

Nasi putih sesenduk bersama ikan masak pindang, acar timun (acar nasi dagang) sebab lauk sayur dia belum siap, itu aje sayur yang ada, begedil dan sambal belacan. Begedil celup telur yang dipukul dan digoreng sungguhlah sedap. Lepas tu, saya boleh pula musykil camana kolesterol boleh tinggi, sedangkan suka makan makanan bergoreng, ye tak? Hehe.. teruk betul saya ni. 

Pinggan sarapan suami saya
Pinggan sarapan suami

Nasi putih tenggelam di bawah lauk daging goreng kunyit yang banyaknya dia ambil, dengan acar timun juga, dan sambal belacan. 

Alhamdulillah, sedap sarapan di sini. Lauk semua ada rasa.

Balik rumah, berkebun, menebas dan siram pokok sekejap sebelum cuaca panas. 

Daun pokok belalai gajah, rendam dengan air panas
Rendam air daun pokok belalai gajah

Saya minum secawan teh daun belalai gajah. Gambar di atas, pertama kali saya cuba minum. Saya tak terus minum, sebab saya guna air panas. Tunggu suam airnya, baru saya cuba. Ha ah, ada rasa kurang sedap sikit. Tapi demi khasiatnya, saya telan juga, dengan daun-daun sekali. Hahaha... pengaruh Papa saya.

Sekian cerita pada 8 Mei yang lepas.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Share:

Rezeki anak dapat Anugerah

Cerita pada hari Isnin, 20 April 2026 yang lepas. Hafizan dapat Anugerah Ketua Jabatan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Ibubapa tak dijemput pun. Tapi Hafizan ada kongsi gambar. 

Saya pernah kongsi kejayaan Hafizan masa semester 1 di sini 👉 Kejayaan yang Tidak Diduga.

Hafizan ini, anak kedua saya. Masa memang pantas berlalu. Sekarang Hafizan sudah berada di semester 4. Anugerah yang dia dapat ini, untuk keputusan periksa semester 3. Syukur Alhamdulillah.

Tumbler Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Tumbler Anugerah Ketua Jabatan.

Tertera tulisan Anugerah Ketua Jabatan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sesi 2025/2026. Putih suci tumbler-nya. 

Hafizan kata, simpan di rumah. Kalau mama nak pakai, pakailah. Dia punya botol air, besar punya. Yang kecil ini, susah kena refill selalu.

Tumbler Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Elok saya tengok, penutupnya. Sudah simpan dalam almari. Mama pun pakai botol air besar punya. Hehe... kot buat air halia panas ke, bolehlah guna tumbler ni.

Sijil penghargaan Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar
Sijil Penghargaan

Sudah selamat simpan dalam folder sijil.

Gambar masa terima anugerah, tak ada. Gambar beramai-ramai semua penerima ada. Jadi, mama tak kongsilah ya. 

Tapi minggu sebelum berlangsungnya majlis itu, Hafizan minta beli kemeja lengan panjang hitam. Nak buat pakai semasa majlis. Mama pergi kedai Pusat Pakaian Sin Chow, tempat biasa cari barang keperluan sekolah anak. Anak pula tak ikut. 

Bapa budak suruh ambil kemeja saiz M. Mama pula kata, mana muat. Hafizan badan sado. Kena ambil saiz L. Belilah saiz L. Nyonya kedai cakap tak apa, kalau salah saiz, boleh tukar. Jangan buang resit. 

Test baju baru beli

Haaa... muat pun baju kemeja, saiz L. Ambil gambar, tunjuk pada bapa budak yang sudah pergi kerja. Baju raya anak-anak pun mama yang beli. Bapak budak sediakan ongkosnya saja. Saiz-saiz anak semua, mama tahulah. 😜

Alhamdulillah. Semoga anak-anak belajar dengan rajin. Kadang deme ni, kuat main game. Tengah malam berjaga. Siang siang tidur, jadi burung hantu. Bila mama tegur, terkenyup (loghat Perak maksud merajuk) pula. Sabor je la.

Syukur Alhamdulillah. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Sulaiman lulus SPM

 Dah lega ke tu? Hehe... sibuk pula saya hari ni. Anak yang dapat result SPM, mak budak yang sibuk. Sulaiman keluar ke sekolah, ambil result, pukul 10 pagi tadi. Tapi, dia sudah check dari rumah. Sebelum keluar rumah, Sulaiman cakap, dia ada gagal satu paper, Matematik Tambahan.

Saya okay. Saya peluk dia, cakap saya terima apa saja result dia. Berapa banyak dia usaha, banyak itulah yang dia dapat, kan. 

Masa Sulaiman baby. 

Masa dia pergi sekolah, saya sedang sibuk memasak. Eh, banyak pula whatsapp masuk. Saudara-mara yang selama ini tak pernah bertanya khabar, boleh pula tanya result anak kita dapat berapa. Aik... ingat ke, bila dapat duit KWSP je orang contact kita, bila anak dapat result SPM pun, orang contact kita juga.

Senang je. Saya cakap, tak tahu.

Tapi saya check juga online. Sebab budak Sulaiman tu, balik sekolah lambat. Dia ambil dokumen lengkap di sekolah, sijil berhenti sekolah, slip keputusan, dan semua benda. Dia sembang dengan cikgu-cikgu. Dengan cikgu Addmaths dia yang paper dia gagal pun, dia sembang juga.

Tapi, saya okay, tau. Sebab apa? Sebab banyak betul peningkatan banding result percubaan SPM dia. 

Kerja saya bila anak SPM, adalah kira markah merit anak, dan senaraikan kursus yang dia layak untuk apply di UPU, based on markah merit dia. 

Markah merit Sulaiman untuk percubaan, 40 plus je. Banyak kursus sijil. Tapi saya tak sedih, sebab saya tahu, benda ini akan naik. Nanti akan berubah bila keputusan SPM keluar.

Tapi memang beza banyak la. Dengan keluarnya keputusan SPM Sulaiman ni, markah merit dia naik ke 60 plus. Jadi, lebih banyak la kursus yang dia layak apply. Syukur Alhamdulillah. 

Sulaiman punya result, semua huruf ada, dari A sampai G. 😁

Bila di slip keputusan itu tertulis, layak dapat sijil, saya dah bersyukur dah. Alhamdulillah. 😍🤲🥰

Sudah siap kerja saya menyenaraikan senarai kursus dia layak apply. Sekarang terpulang pada dia, nak pilih dan susun mana satu, ikut minat dia. Kita hanya boleh galakkan dan beri nasihat sedikit sebanyak. 

Lain anak, lain minatnya. Sulaiman ni, dia suka bahagian elektrik dan elektronik, mekanik dan aircond. Saya okay, sebab bidang kerja macam tu la, yang orang mesti pakai, tak kira ekonomi meleset ke, perubahan cuaca ke, orang tetap hantar baiki kereta dan pasang aircond di mana-mana. Memang tangan kerja kotor, dan persekitaran panas, tak macam orang kerja pejabat, tapi asalkan anak boleh cari rezeki halal di masa depan dia, dapat sara hidup sendiri, saya sudah cukup happy. 

Orait. Ingat tau, jangan bandingkan result anak kita dengan adik-beradik dia, dengan kawan-kawan dia, dengan saudara-mara kita, dengan result kita dulu. Dia dah cuba yang terbaik la tu. Terima seadanya. 

Cepatnya masa itu berlalu. Anak-anak dah besar. Semua dah habis sekolah. Semoga Sulaiman dapat peluang melanjutkan pelajaran ke bidang yang dia suka.

Semoga anak-anak kawan blogger semua, anak Puan Hazel, anak Ammi, anak Mummy Ayu, siapa lagi.. semua anak-anak yang dapat keputusan SPM hari ni, dapat terus belajar atau lakukan apa saja yang disukai dan berjaya dunia akhirat. 🤲

Syukur Alhamdulillah. Jumpa lagi. 💗

Share:

Aktiviti raya pertama

 Sabtu, 1 Syawal 1447H, bersamaan 21 Mac 2026, tidak ada banyak aktiviti pun yang nak dibuat yang melibatkan raya. Selain ziarah papa dan makcik di rumah Rawang, saudara-mara yang lain tak ada di Lembah Klang. Ada saudara, tapi mereka semua tidak available pada hari itu, untuk kita datang bertandang. Jadi, saya dan keluarga cuma lepak di homestay. 

Oleh kerana lokasi apartment di atas mall, saya pergi berjalan di mall, saja meng-explore, sorang-sorang, lepas Asar. Starling Mall itu, ada Decathlon juga, tapi kecil dan pada hari saya pergi tengok, macam semak pula. Mesti sebab ramai pekerja cuti hari raya. Tak tersusun baju yang orang cuba, tergantung di rak. 

Ada kedai Le Gourmet juga, yang menjual perkakasan memasak seperti periuk, segala mak nenek gajet memasak. Saya tengok dari luar kedai saja. Saya takut nak masuk. Dekat rumah saya ada satu periuk Le Gourmet. Memang selalu pakai, sebab periuk kualiti baik, harga pun.... boleh tahan la ya. Di saat zaman perang di Timur Tengah dan kita harus berjimat ini, saya pun ambil langkah berjaga-jaga dengan tidak masuk kedai ini. Pejam mata, pejam mata... bahaya.... 

Dari satu tingkat ke satu tingkat saya berjalan. Satu terapi bagi saya. Saya memang suka berjalan seorang diri. Oleh kerana di kawasan saya, tiada Jaya Grocer, maka saya tidak melepaskan peluang lah untuk masuk ke Jaya Grocer. Selama ini, baca kawan-kawan blogger cerita saja. Kali ni, pertama kali saya masuk. Memang elok supermarketnya, macam-macam barang ada. Barang yang tidak dijual di pasaraya di rumah saya. Maklumlah, saya duduk luar bandar. Buah-buahan dan sayuran segar, seronoknya tengok jamu mata. 😍

Beli ramen cup sebab Hafizan request.

Duduk homestay yang ada kemudahan dapur dan microwave ini, tak sah la kalau tak masak maggi cawan, ye dak. Beli juga mee segera dalam cawan. 

Eh eh... lama juga saya berjalan dalam mall sampai cukup 10 ribu langkah. Lepas tu, saya join kakak-kakak dan anak-anak yang nak mandi kolam renang. 

Saya tukang jaga barang dia orang je. Tiada pakaian renang. 

Elok cuaca macam nak hujan petang itu.

Angin bertiup sekali-sekala. Orang pula tak ramai yang mandi di pool. Ada seorang ayah dengan anak perempuan kecil sedang mandi, tapi di tempat cetek untuk kanak-kanak. Swimming pool Somerset ini, berada di tingkat 6, satu level dengan reception, residents lounge dan gym.


Seronok dia orang jadi dugong

Pemandangan bangunan tinggi seperti apartment dan bangunan pejabat, di kawasan bandar Petaling Jaya.

Boleh nampak pelangi tak?

Bila ada pelangi, maknanya ada titisan air di awan tu. Tak lama kemudian, angin bertiup membawa awan mendung ke tempat kami dan hujan mulai turun.

Saya masih duduk tepi kolam, sebab ada payung piknik besar di tempat saya duduk. Jadi, barang-barang seperti pakaian dan tuala, tak basah. 

On your mark, get set, go!

Siap lumba berenang lagi deme ni. Siapa boleh selam paling lama. Belajar teknik apungkan diri, dan sebagainya. Bila anak-anak seronok, saya pun tumpang seronok. Jarang-jarang anak saya mandi kolam renang ni. Dulu masa dia orang kecil, selalu. Walaupun tempat tinggal saya dengan laut tak jauh, tapi dia orang tak minat mandi laut.

Lepas mandi, naik atas homestay, semua lapar. Pakat sambung makan juadah raya. Malam itu pengsan awal. Ada perancangan untuk workout di gym, tapi semua orang hanyut awal sebab keletihan berenang macam dugong.

Okay. Sekian cerita aktiviti petang raya pertama kami.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Raya Puasa

Tanggal 21 Mac 2026, umat Islam seluruh Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri. Hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Syukur Alhamdulillah, dapat jumpa keluarga yang selama ini jauh. 

Pagi raya itu, kami berjalan beramai-ramai satu keluarga, dari homestay ke masjid.

Dalam pukul 7.15 pagi kami keluar.

Awal, sebab kakak sulung yang pernah beraya di kawasan ini, cakap, nanti nak kena berebut tempat dengan pekerja asing yang tidak pulang beraya.

Jalan kaki lebih senang, tak perlu risau parking.

Lagi satu keluar awal, sebab kami jalan santai-santai saja. Ambil masa lah nak sampai, walaupun masjid tak berapa jauh pun dari lokasi homestay.

Sudah sampai.

Masjid Al-Mujahideen, Damansara Utama. Solat tahiyatul masjid, solat dhuha, dan takbir raya sebelum solat hari raya Aidilfitri. Penuh masjid. Sampai ke luar, jemaah. Kena bentang tikar banyak saf. Ada penduduk tempatan, tapi warga luar seperti dari Indonesia dan Bangladesh dan negara lain juga ramai. Nasib baik kami sampai awal. Ruang solat wanita di tingkat atas. Bila habis solat, sesak bahagian tangga. 
Lebih kurang setengah kilometer jarak dari homestay ke masjid.

Pergi, ikut jalan lain. Balik, ikut jalan lain. Alhamdulillah, pagi raya itu, cuaca tidak panas sangat. 

Lepas solat, kami singgah sarapan dulu di cafe hotel yang letaknya dalam mall. Sudah termasuk dalam penginapan, haruslah sarapan. Sempat minum kopi dan sarapan ala western saya di hari pertama. 

Selepas bersarapan, kami naik atas, yang perempuan salin pakaian raya, yang lelaki baru nak pakai sampin dan sebagainya, dan berayalah kami, bermaaf-maafan sesama kita.

Ada banyak gambar raya ni. Saya letak sebahagian sajalah. 

Anak kedua, Hafizan, sedang beraya dengan bapaknya.

Giliran anak bongsu, Sulaiman pula.

Anak sulung, Amirul, dengan saya.

Hafizan ni masa minta maaf, ayat digunakan Bahasa Malaysia lengkap, macam skrip drama pun ada.

Anak mama paling bongsu..

Jom ambil gambar kenangan semua orang, gaya sopan.

Free style satu.

Kami tiga beradik, dari kiri Atam, Kok dan saya.

Sudah bergambar dalam rumah, kita pergi outdoor pula. Haruslah gunakan lokasi yang ada. Hehe...

Ini dalam residents Lounge.

Besar lounge ini. Ada tempat boleh buat kerja, macam pejabat. Boleh buat meeting, sebab meja besar. Kalau budak sekolah nak study sebab ada keluarga bising macam kami, boleh turun bawah, study sini.

Tepi swimming pool.

Cuaca mulai terik. Nak buka mata pun payah. Tapi demi gambar raya, kita gagahi jua...

Gambar kami lima beranak.

Cantik lokasi luar yang di tingkat enam Somerset ini. Ada kolam renang, taman dan pokok-pokok besar di luar. Kemudahan gym pun ada.

Ya Allah, budak-budak ni kan...

Walaupun atas bangunan, elok taman dan landskap yang ada. Ada sudut taman herba macam pokok kari, pokok kunyit, pandan, dan banyak lagi, tapi lupa pula nak ambil gambar.

Samalah, mak bapak pun kepala ting tong juga.

Pose romantik dilupa jangan.

Langit cantik, sedikit berawan. Alhamdulillah, syukur. 
Dalam pukul 11 pagi, kami ke Rawang, pergi beraya rumah bapa kami.

Sori, terpaksa tutup gambar makcik, sebab aurat.

Makcik pun tak berapa sihat tapi hari raya dan anak-anaknya ada, nampak dia gagahi juga, pakaian raya pun tak disarung. Tapi tak penting pun, asal dapat jumpa dan sembang, dan beraya sesama kita. Menu rumah papa adalah laksa johor, nasi himpit dan kuah kacang. Syukur Alhamdulillah, dapat jumpa orang tua. Lama juga lepak rumah papa. 

Sekian cerita aktiviti kami pada pagi hingga tengahari raya pertama. Nanti sambung lain entri pula.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share: