Maggi goreng, sandwich telur dan rumusan Ogos

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog yang saya kasihi sekalian... 😊

Sudah pun masuk cerita bulan September. Entri kali ini, saya nak cerita kejadian pada hari Selasa, 1 September 2026 yang lepas. 

Pagi-pagi, saya sudah berlarian di padang.

Aktiviti berjalan pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 59 minit dengan jarak 4.64 kilometer.

Solo briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan. Selepas selesai berjalan, saya singgah pasaraya Econsave, beli roti dan mayonis. Ada budak request nak makan sandwich. Mayonis dalam peti ais sudah expired. 

Econsave ini, lokasinya dalam perjalanan saya nak balik rumah juga. Suka pasaraya yang buka awal pagi ini. 

Sampai saja di rumah, saya mula memasak di dapur.

Maggi goreng
Maggi goreng, you...

Tudia... tak masak nasi. Hari tu, kita makan maggi... saya pun sudah lupa jenama dan perisa apa saya masak ini. Kosong je rupa magginya. Tapi ada rasa, siap kena kurangkan perencah. Kalau letak semua perencah, boleh masin, kan.

Sandwich telur rebus
Sandwich telur rebus

Dapat dua bekas sandwich. Saya gunakan roti gardenia panjang, tinggal dua keping roti saja lagi baki yang tinggal.

Nak tahu tak, suatu masa dahulu, saya pernah jual sandwich, tau. Masa tu, tinggal di Setapak. Saya buat sandwich telur, bungkus plastik, dan letak di warung roti canai dekat rumah. Pagi-pagi suami pergi hantar sandwich. Tengahari, saya pergi ambil bakul isi sandwich itu dan duit hasil jualan dari tokei warung roti canai. Kadang habis sandwich dijual, kadang tak habis, saya bawa balik, makan sendiri. Masa itu, anak sulung umur 1 tahun. Hidup susah waktu tu, sebab suami tak dapat buat overtime. Gaji basic berapalah sangat. Pengalaman berharga dalam hidup saya. 

Eh, sudah tu, mengenang kisah silam. Saya nak kongsikan juga rumusan aktiviti riadah saya, sepanjang bulan Ogos yang baru berlalu. Jom tengok. 

Aktiviti berlari di bulan Ogos 2026
Aktiviti berlari di bulan Ogos 2026

Jumlah jarak lari: 40.4 kilometer

Lari ini, bila guna walking pad dalam rumah, ya. Dalam rumah tiada GPS, jadi saya kena set aktiviti treadmill. Namun begitu, saya tidaklah berlari. Jalan laju saja. 

Aktiviti berjalan Ogos 2026
Aktiviti berjalan Ogos 2026

Jumlah jarak berjalan: 64.7 kilometer

Bila keluar rumah, barulah saya set aktiviti berjalan atau walking pada jam sukan.

Jumlah langkah bulan Ogos 2026
Jumlah langkah bulan Ogos 2026

Jumlah langkah Ogos adalah sebanyak 283,324. 

Walaupun tidak sampai 300,000 langkah, saya berpuas hati dan berbangga terhadap diri sendiri, sebab saya berjaya melawan kemalasan keluar rumah dan berjalan. Alhamdulillah, Allah bagi sihat dan boleh berjalan riadah di luar.

Bolehkah saya mengatasi rekod berjalan Ogos ini di bulan September? Tak tahu lagi, kita tunggu dan lihat. Tapi bulan September banyak hari jerebu. Memang banyak hari tak keluar rumah. Nantilah saya akan kongsi bila sudah habis bulan ini.

Majulah sukan untuk diri sendiri. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Ikan goreng kicap

Yay, akhirnya sampai ke entri terakhir untuk cerita bulan Ogos. Ya Allah, slownya.. apa taknya, satu hari satu entri saja publish di blog. Hehe.. sabor je la, ya. 

Entri kali ini, saya nak ceritakan kejadian pada hari Isnin, 31 Ogos yang lepas. 

Semasa saya pandu kereta menuju ke padang, kereta saya saja atas jalanraya. Pelik juga, mana pergi semua orang? Saya boleh lupa yang hari itu adalah cuti umum Kemerdekaan Negara kita. 😅 Kalau ingat, baik saya jalan atas walking pad saja di rumah, sambil tengok Perarakan Hari Kemerdekaan di TV. Tapi tak apalah, sudah terlanjur pun bawa kereta ini.

Solo briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan. Suami kerja. Kerja shif begitulah. Orang lain cuti umum boleh bercuti. Tapi suami saya bekerja.

Saya tak bawa handphone juga semasa berjalan, jadi tiada gambar diambil. Sori, ya. Malas nak berat-berat bawa pouch pinggang. Melenggang kangkung itik pulang petang lagi best.

Ramai juga orang beriadah di padang.

Aktiviti berjalan pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 54 minit, dengan jarak 4.43 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah pinjamkan. Semasa dalam perjalanan balik, saya singgah beli roti di FamilyMart. Biasalah, bila anak-anak tiga orang ada di rumah, stok makanan ready to eat kena sentiasa ada, gitu, jadi, anak-anak ada benda nak makan sementara mama dia orang ni ber-me-time atau berkebun di luar. 

Balik rumah, saya masuk dapur dan mula memasak. Ajom tengok, lauk apa pula di Hari Merdeka ini.

Telur dadar
Telur dadar

Hari sebelumnya udah telur dadar gulung korea, hari itu kita buat telur dadar biasa sajalah. Siap potong ala-ala pizza. 😁

Ikan goreng kicap
Ikan goreng kicap

Sikit je pun buat kuah kicap. Setakat tumis bawang dengan cili api hijau, masukkan kicap manis Cap Kipas Udang, bila udah mesra, kita tuangkan atas ikan yang sudah siap digoreng. 
Saya nak cakap di sini, yang kicap Kipas Udang ni memang sedap ya, tak boleh challenge jenama lain. Sebab saya juga ada cuba jenama lain, tak sama rasa macam kicap kipas udang. Tapi itulah, saya pun tak selalu beli, sebab harga dia sedikit mahal banding jenama lagi satu itu yang saya biasa beli. 

Ayam goreng
Ayam goreng

Dua ketul je goreng ayam goreng, khas untuk budak yang kurang suka makan ikan. 

Sup petola dengan kobis
Sup petola sudah beranak

Isi sup yang masak hari sebelumnya sudah berkurang, jadi saya campur kobis panjang. Turut kelihatan dalam periuk sup, terung pipit pun saya masukkan sekali. Petik je dekat pokok terung pipit luar rumah. Sekali pandang nampak macam kacang pis, tapi bukan, terung pipit. Bila makan, hujung-hujungnya ada rasa pahit sikit.

Telur dadar, sup petola dan kobis, ikan goreng kicap dan ayam goreng
Lauk pada hari itu

Alhamdulillah. Rasa syok dan damai rasa di hati bila masak di rumah ini. Walaupun lauk biasa-biasa saja.

Pinggan makan saya, nasi dengan lauk ikan goreng kicap
Pinggan saya

Nikmat. 😋 Senang rupanya nak bahagia. Bila kita rasa cukup dan bersyukur dengan rezeki yang ada. 

Buat kopi di rumah
Buat kopi di rumah

Hari-hari beli kopi luar, boleh koyak poket. Sesekali kita buat kopi di rumah saja. Guna moka pot, dan serbuk kopi Arabica Gayo pemberian Kak Amie. 

Oh, tiada masalah terlepas tengok perarakan merdeka pagi itu. Ada ulangan, tengok sama-sama suami later on pada hari tersebut, bila dia balik kerja. 

Baiklah, sekian cerita.
Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Telur dadar gulung Korea

 Hari ini, ada gangguna bekalan air di banyak kawasan sekitar daerah Manjung, dari 9 pagi hingga 10 malam. Jadi saya bangun awal pagi tadi, untuk siapkan lauk tengahari dan malam. Bertabahlah kita.

Entri kali ini saya nak ceritakan kejadian briskwalk pada hari Ahad, 30 Ogos 2026 yang lepas. Saya biasanya sebelum keluar rumah, saya akan jenguk anak-anak di bilik, saja tengok dia orang buat apa. Saya akan ajak juga dia orang ikut sekali. Biasanya anak-anak akan menolak tapi pada hari itu, budak Hafizan kata okay. 😊

Jadi, pada pagi itu, saya pergi briskwalk di Esplanade Lumut dengan anak kedua, Hafizan.

Rekod aktiviti briskwalk menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 1 jam 4 minit, dengan jarak 3.95 kilometer.

Selepas berjalan, Hafizan ingin guna peralatan bersenam yang biasanya ada di taman rekreasi. Tapi di Esplanade Lumut, sudah bertukar peralatannya. Monkey bar pun sudah tidak ada. 

Jadi, saya pandu ke taman permainan berdekatan rumah, cari monkey bar supaya Hafizan boleh bersenam.

Selfie sementara anak sedang workout menggunakan monkey bar
Hafizan tengah buat pull-up di belakang

Mama ambil video Hafizan buat pull-up, ya. 😊

Mama tak buat ke? Bertuah mama nak bergayut. Tangan pun tak kuat. Kome boleh bergayut dan menyeberang di monkey bar tak, dari satu hujung ke hujung lagi satu? 

Saya tak boleh, walaupun masa saya kecil dulu. Masa saya belajar di ITM Jengka, saya ada masuk Kesatria, masa ujian kecergasan berkumpulan, saya kena jalan atas monkey bar, bukan bergayut. Hahaha.. adeh...

Sementara budak Hafizan bersenam bahagian upper body, Mama duduk di buaian dan slowjog sekejap di sekeliling taman permainan.

Sambung briskwalk di taman permainan perumahan
Tak sampai 5 minit slowjog, Hafizan sudah siap.

Kami balik rumah. Saya terus siram pokok. Kemudian, masuk dapur, masak. Jom tengok saya masak apa pada hari itu.

Telur dadar gulung korea
Telur dadar gulung korea

Macam-macam sudah menu berasaskan telur saya buat. Dari telur rebus, telur goreng mata, poached egg dan kali ini saya cuba telur dadar gulung style korea pula. Dalam bancuhan telur yang dipukul, saya campur cili merah dan bawang dicincang halus.

Saya kongsikan cara buat telur dadar gulung Korea ini, ya.

Telur dadar gulung Korea

Bahan-bahan
🌷 3 hingga 4 biji telur
🌷 1 batang daun bawang (dihiris halus)
🌷 1/2 batang lobak merah (dicincang atau diparut halus)
🌷 Sedikit garam dan lada putih/hitam secukup rasa
🌷 Sedikit minyak masak untuk disapu pada kuali

Cara-cara
1. Pukul telur: Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Masukkan daun bawang, lobak merah, garam dan serbuk lada putih. Pukul sekata.

2. Panaskan kuali: Panaskan kuali leper anti melekat (non-stick pan) dengan api perlahan. Sapu minyak sedikit.

3. Tuang lapisan pertama: Tuang sesenduk nipis bancuhan telur dan ratakan ke seluruh permukaan kuali. 

4. Gulung perlahan: Apabila bahagian bawah telur mula masak tetapi atasnya masih lembab, gulung perlahan-lahan dari satu sisi ke tengah.

5. Tambah adunan: Tarik gulungan telur ke tepi kuali. Tuang lagi sedikit bancuhan telur di ruang kosong, pastikan ia bercantum dengan hujung gulungan tadi.

6. Ulang proses: Ulang langkah menggulung dan menuang baki telur sehingga habis.

7. Siap dipotong: Angkat gulungan telur dengan berhati-hati ke pinggan, biarkan sejuk sedikit, kemudian potong serong atau melintang ikut saiz kesukaan kita sendiri.

Banyak video di youtube ajar bagaimana nak buat telur dadar gulung korea ini. Kome google saja, ya. Sebab bancuhan telur dadar itu, terpulang pada kita sendiri, nak letak apa. Cuma cara masak saja berbeza. Kena tuang sikit-sikit dan nipis, supaya kita boleh gulung hingga jadi tebal.

Udang goreng kunyit
Udang goreng kunyit

Ini lauk kegemaran saya sejak kecil, selain sotong masak hitam. 😋

Sup suhun, fucuk dan petola
Sup fucuk, suhun dan petola

Saya ada campur sekali terung pipit dalam sup petola di atas. Sup tidak tumis. Rebus air saja dan campur sayur-sayur yang ada.

Budu
Budu


Udang goreng kunyit, sup petola, budu dan telur dadar gulung korea
Lauk kami

Dengan periuk-periuk sup naik atas meja. 🙈 Turut kelihatan dalam gambar di atas, kopi o ais suami. Saya brew sekali kopi di rumah. Alhamdulillah atas rezeki dariNya. 😋

Sesenduk nasi bersama sup petola, udang goreng kunyit dan telur dadar gulung korea
Pinggan saya

Ada sesenduk nasi tau, di bawah sayur itu. Lauk udang kunyit ada, mana boleh tak makan nasi. Yummy.. 

Baiklah. Sekian untuk kali ini.

Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Briskwalk dan cara hilangkan angin meroyan

 Alhamdulillah, sudah dua hari hujan. Sejuk sikit suasana. Jerebu pun semakin kurang. Tinggal 10 kawasan di Sarawak saja yang masih IPU tidak sihat. Bertabah ya, orang Sarawak. 

Cerita saya pergi jalan pagi pada hari Sabtu, 29 Ogos 2026 yang lepas. Pandu kereta pergi ke padang Sitiawan. Anak-anak tiga orang ada di rumah. Suami saya belum balik kerja, shif malam.

Pada pagi itu, saya tidak bawa handphone waktu berjalan. Jadi, tak ambil apa-apa gambar. Kadang tu, memang malas nak pakai pouch di pinggang itu. Ringan sikit nak bergerak.

Aktiviti briskwalk pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 54 minit, dengan jarak 4.58 kilometer.

Kadang hanya berjalan laju. Ada kalanya, saya slowjog. 

Briskwalk sehingga 7 ribu langkah saja
7,064 langkah

Saya pusing padang 2 kali. Saya sempat tiba di rumah sebelum suami habis kerja pukul 8 pagi. Suami tahu saya keluar rumah jalan pagi. Dia yang suruh saya keluar. Ambil angin pagi. Dia tahu kalau saya tak keluar, angin meroyan mulalah merasuk fikiran isteri dia. 🤭 

Lepas suami balik kerja, kami pergi pasar minggu Batu 10, Lekir, cari barang makan dan ikan serta sayur.

Saya nak ceritakan sedikit macamana saya atasi perasaan asyik nak naik angin dan sensitif tak tentu pasal, angkara hormon pra-menopause ini. Saya sudah tidak alami hot flashes itu, dan saya tidak alami masalah sukar untuk tidur malam atau berpeluh waktu malam. Cuma angin meroyan itulah yang selalu melanda, dan saya nak cakap dekat sini, bukan calang-calang anginnya itu, tau. Angkara benda kecil pun boleh terasa nak bertukar hijau, sebab benda kecil pun, airmata meleleh keluar tiba-tiba, tak kira di rumah ke, khalayak ramai ke, bila nak keluar, ia keluar saja. Bagi sayalah. Orang lain, saya tak tahu.  Kena bersyukur banyak-banyaklah, kalau suami atau orang terdekat kita boleh bersabar dengan angin kita ini. Saya tidak hairan bila sudah tua-tua ni, ada pasangan boleh bercerai-berai sebab perubahan hormon wanita ini. Itu tidak termasuk lagi dalam hubungan suami isteri. Yang itu, tak payahlah saya sentuh, sebab nanti jadi kategori 18-SX pula blog saya ini. Hehe.. 

Camana pun, saya cuma nak kongsi apa yang berkesan untuk saya dalam menangani hormon turun naik dan mudah naik angin ini. Mungkin ada pembaca yang alami juga boleh cuba dan berkesan untuk anda. 

1. Jaga solat. 

Letak Allah nombor satu dalam hidup. Solat awal waktu. Cakap memang senang, tapi menjaga solat itu bukanlah semudah kita bercakap, lagi-lagi kalau kita sedang travelling dan tidak berada di rumah. Perbaiki ini dulu. Kualiti solat pun jaga. Perbaiki bacaan. Ambil masa dan jangan kelam kabut nak cepat siap solat. Mesti doa. Walaupun sebenarnya Allah tahu apa dalam hati kita, tapi still cakap saja dengan Dia apa dalam fikiran kita dan minta apa yang kita nak. Minta Dia beri kita kesabaran dan kekuatan. 

2. Mengaji hari-hari.

Ubat la, ayat Quran itu. Boleh hilangkan perasaan melankolia. Serius, tak tipu. Tak penting berapa banyak kita boleh baca. Baca satu muka surat, separuh mukasurat, terpulang. Tapi mengajilah hari-hari. 

3. Banyakkan solat sunat.

Islam itu kan mudah saja. Bila nak kentut, kentut je la. Selalu nak menahan-nahan bila solat, sayang solat batal, terkepit-kepit berdiri menahan kentut, baik lepaskan saja. Lepas tu, pergi ambil wuduk dan solat semula. 

Mengantuk pun sama. Saya lepas maghrib memang selalu mengantuk. Tak payah nak tahan-tahan tunggu Isyak dulu baru nak tidur. Sebab mengantuk sangat, tidur je la. End up solat Isyak tengah malam. Kadang pukul 1 pagi. Kadang pukul 3 pagi. Tapi lepas Isyak lewat tu, cuba buat solat tahajud sekali. Ini lagi satu magik la, solat tahajud ini. Saya tak tipu. Semua benda jadi senang. Kadang rasa pelik sangat, eh, syok nya, benda kita sangka berat, boleh berlaku, magiknya solat tahajud itu.

Solat sunat dhuha pun sama. Kita selalu ingat nanti masa tak cukup, kerja rumah banyak lagi belum siap. Tapi percayalah, bila kita tinggal sekejap urusan dunia, untuk solat, Allah ganti benda lagi baik untuk kita. Saya bersyukur sebab saya suri rumah, boleh ambil waktu untuk dhuha. Kome yang kerja pejabat, jangan buat waktu kerja, tau. Waktu kerja, kena kerja dengan amanah, supaya gaji itu berkat. Boleh buat hujung minggu atau bila hari tak kerja.

4. Ambil masa untuk me time.

Kalau macam saya yang suri rumah ini, memang kena keluar rumah la. Break sekejap dari kerja di rumah. Bukan lama pun dalam sehari. Beza sebenanya, bila kita dapat ambil masa untuk diri sendiri, buat apa kita suka. Shopping barang dapur pun boleh jamu mata. Tengok barang segar di pasar pun, boleh rasa suka. Buatlah apa-apalah yang kita suka, terpulang pada diri masing-masing.

Itu sajalah yang saya amalkan, yang buat saya bertambah okay. Tidaklah nama hidup jika kita tidak diuji, kan. Lagi-lagi orang paling dekat dengan kitalah yang selalu menguji kesabaran dan melukakan hati kita. Kenalah buat sesuatu, gali dalam diri, cari semula semangat yang hilang itu. 

Bagi yang alami fasa seperti saya, saya harap anda bersabar banyak-banyak. Teruskan saja melangkah, pilih untuk gembira. 😊

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Berjalan satu hari

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang saya hormati sekalian... 😊

Entri kali ini, saya nak ceritakan perkara yang berlaku pada hari Jumaat, 28 Ogos 2026 yang lepas. Cerita satu hari, tau. Dari pagi sampai ke malam. Hehe... kalau nak tahu apa yang berlaku, jom tengok.

Jalan pagi

Suami off kerja pada hari tersebut. Jadi, kami keluar briskwalk di Esplanade Lumut. Berdua lebih baik. Tapi kalau suami kerja, solo pun jalan juga. Cuma saya tukar-tukar tempat berjalan. Ikut mood.

Rekod aktiviti brisk walk menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan sejauh 4.64 kilometer selama 1 jam 10 minit.

Ada tertera waktu saya mula aktiviti briskwalk, pukul 6.46 pagi. Awal mula, awal boleh balik.

Lumut International Yatch Club
Lumut International Yatch Club

Bangunan tinggal. Dulu-dulu memang berfungsi, dan ada banyak bot datang berlabuh di jeti depan yatch club ini. Tak tahu kenapa. Tempat ini besar, lengkap dengan kolam renang. Umpama hotel. Mungkin kos pengurusan atau ada masalah lain. Ada tertera papan tanda juga, bangunan ini diletak di tanah persendirian hak milik satu syarikat, yang saya tak perlu tulislah di sini. 

Nak tahu tak... saya pernah menyimpan angan-angan. Kalau saya banyak duit, saya nak beli tempat ini, dan uruskan macam mak Forrest Gump buat. Buat macam bed and breakfast. Sebab rumah besar dan ada banyak bilik. Orang luar yang bawa bot boleh berlabuh di jeti. Boleh tinggal sementara nak pergi bercuti di atas darat. Berangan itu percuma. 😊

Sayang kan, tempat besar dan cantik, tapi sudah tidak diuruskan. Memang bila briskwalk di Esplanade Lumut, anda akan melalui kawasan yacht club ini. Dulu ada pengawal jaga, sekarang sudah tiada.

Sarapan

Hari off suami, memang cenderung untuk makan awal. IF pun terbang dibawa angin lalu. Selepas jalan pagi, ronda-ronda cari ilham hendak sarapan di mana. Jumpalah orang jual nasi kuning Kedah di tepi jalan. Pertama kali nampak, berhenti beli dan boleh makan di rumah.

Nasi kuning lauk daging kicap
Saya punya nasi kuning, lauk daging kicap.

Banyaknya nasi dia... Harga sebungkus RM3. Suami ambil lauk lain, saya pun tak ingat. Beli tiga bungkus, untuk saya, suami dan budak Amirul. Okayla kan, walaupun dagingnya cuma beberapa ketul dalam gambar di atas, berpadananlah dengan harganya. Alhamdulillah... 😋

Mouse baru

Selepas sarapan, sempat on laptop sebentar, untuk update blog. Merasmikan wireless mouse baru beli hari sebelumnya. Beli di MR.DIY. Berfungsi dengan baik. Sebelum ini, saya pakai mouse ada cable. 

Mouse baru saya
Comel tak, mouse baru saya? 

Pergi Ipoh

Lepas solat Jumaat, saya, suami dan Amirul bertolak ke Ipoh, ambil budak berdua dari politeknik. Mereka cuti seminggu. Rekod paling lama, Hafizan tidak balik rumah selama 5 minggu. 

Hafizan agak sibuk bila masuk semester 5 ini. Dia ada naik bas pergi KL, rombongan cik kiah, ambil kursus CompTIA Security+. Alhamdulillah, lulus. Hafizan cerita, dia study banyak jam untuk kertas itu. Sebab kadar kelulusan pun agak tinggi, ada beberapa kawan dia yang turut pergi, tapi tak lulus. Kalau ambil sendiri sijil ini, agak mahal harganya, Alhamdulillah, bawah politeknik, ada harga subsidi sikit. Syukur, boleh menambah baik diploma budak ini. 

Duduk di barisan belakang kereta Alza
Mama duduk di barisan paling belakang

Siapa orang kaki paling pendek dalam family? Dialah kena duduk seat paling belakang. Anak-anak semua kaki panjang-panjang, boleh sakit kaki sebab tempat duduk belakang dalam kereta ini, paling sempit ruangan kakinya. Mama selesa dan siap terlelap pula, sebab ada kipas kecil bapa budak pasang di belakang. Udah macam rumah pun ada kereta ni. Bantal pun ada. 

Makan malam

Selepas ambil anak-anak politeknik, singgah makan malam di Restoran Nan Tomyam dekat Siputeh.

Oyen dekat kedai Nan Tomyam Siputeh
Kucing dekat kedai tomyam

Alhamdulillah. Tak ambil pula gambar makanan. Masing-masing kelaparan, gitu. 

Manjung Night Market

Selamat sampai Manjung, hantar anak-anak balik rumah. Lepas solat, kami suami isteri keluar semula, saja jalan-jalan di night market, ada satu tempat nampak orang berniaga di tepi jalan utama semasa dalam perjalanan balik rumah tadi.

Bulan di langit
Bulan di langit

Dekat saja di hadapan Aeon Mall Seri Manjung. Kami baru perasan. Boleh jadi baru juga dibuat, Manjung Night Market ini. Ada banyak gerai jualan, dari makanan, pakaian, kopi, aksesori, produk kesihatan dan macam-macam. 

Suami terbeli kacang pistachio dan gajus. Mixed nut pun beli juga.

Mengopi di 989 Kopi

Lepas jalan-jalan tengok barang, kami lepak berdua di 989 Kopi di pekan Lumut. 

Eh, dekat kawasan sini pun ada juga banyak gerai jualan. Kami baru tahu, rupanya Friday night di Manjung, agak happening juga. Kami jarang keluar malam. 

Kopi dua, lemon butter cake dan brownie
Kopi dua, lemon butter cake dan brownie.

Saya bawa buku Travelog Haji seperti dalam gambar di atas, dalam handbag. Bila ada peluang, saya baca, sikit-sikit. Buku ini pemberian teman blogger yang dikasihi, yang namanya beliau minta saya tidak perlu kongsi di blog. 😊 Terima kasih banyak, tau, beliau beri saya banyak hadiah selain buku, ada telekung Siti Khadijah, beg, stokin, dan beberapa hadiah cenderahati comel. Semoga Allah murahkan rezeki kawan blogger ini, dan beliau sihat-sihat selalu. 🤲

Night flea market di hadapan 989 Kopi
Night flea market di hadapan 989 Kopi

Macam-macam produk jualan ada. Pakaian pun jenis fesyen orang-orang muda pakai sekarang. Banyak vendor yang membawa meja kerusi jualan sendiri dan berjualan sekitar taman permainan di hadapan cafe ini. 

Buskers pun ada. Jadi saya tidak dapat fokus baca. Ulang baca perenggan sama berulang kali. 😂 Tutup buku, sambung baca di rumah. Terus menikmati kopi panas sambil melihat gelagat orang lalu lalang.

Laman Karya Lumut
Laman Karya Lumut

Nampak tak, meriah sampai ke kawasan Laman Karya Lumut yang lokasinya berdekatan dengan cafe 989 Kopi ini. Ramai orang Manjung suka keluar malam-malam rupanya. Di Laman Karya Lumut itupun ada Larwoot Cafe dan Kopikoi Cafe. Dua-dua kami belum sempat cuba lagi. Lain kali boleh try.

Alhamdulillah. Satu hari berjalan-jalan. Penat, tapi suka dapat lihat pemandangan yang jarang dapat tengok. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Saya Join Segmen Mencari Blogger Aktif di Beeha Azman

 Jalan-jalan di blog kawan-kawan, saya terperasan yang saya telah di-tag oleh blogger Katalora untuk sertai segmen ini. Jadi, ayuhlah kita.. 😊

Banner segmen Saya Join Segmen Mencari Blogger Aktif di Beeha Azman
Banner segmen

Saya sudah pun follow blog Sis Beeha Azman.

Saya ingin tag pembaca entri ini, yang belum join segmen ini, jika berminat, marilah join ya. Boleh klik banner segmen di atas untuk turut serta. 

Tarikh tutup segmen ini adalah pada 30 Oktober 2026.

Bagus juga kita menambah jaringan kawan baru dalam dunia blog ini.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Lauk ringkas

 Ini kesinambungan aktiviti memasak di dapur pula, dari entri berkebun sebelum ini. 

Jom tengok saya masak apa hari hari Khamis, 27 Ogos 2026 yang lepas. Saya masak lauk yang senang dimasak dan cepat siap.

Ikan goreng
Ikan goreng

Ikan yang sudah diperap dengan serbuk kunyit, separuhnya saya bakar seperti dalam entri ini, dan separuh lagi saya goreng sahaja.

Ayam pad kra pao

Ada ayam kisar yang sudah keras kejung dalam fridge. Tidak ada rupa langsung macam masak pad kra pao seperti di kedai. Saya pula tidak ke pasaraya untuk beli daun selasih. Kicap pula macam terlebih masuk saja. Tapi, boleh la, guna bahan apa yang ada di rumah. Saya pernah kongsi resepi masak pad kra pao di blog ini. Boleh klik sini 👉 Masak Pad Kra Pao

Gambar dalam entri link saya bagi itu, lebih cantik kejadian lauk pad kra pao-nya. 😁

Telur goreng, ikan goreng, ayam pad kra pao dan scrambled egg
Apa yang saya masak

Telur goreng, ikan goreng, ayam pad kra pao dan scrambled egg. Itulah, bukan hari-hari rajin buat lauk rebus dan bakar. Ada hari, lauk asal siap dan cepat boleh dimakan gitu. 
Saya tidak makan sarapan. Intermittent fasting sampai ke tengahari. Jadi, makan tengahari terus.

Makanan tengahari saya, telur hancur dan ulam raja
My lunch

Scrambled egg dengan ulam raja. Alhamdulillah, atas nikmat sihat, dan rezeki dariNya. 

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Cabut rumput juga satu terapi

 Sebelum ini pagi-pagi, memang dalam dilema bagi saya. Nak keluar pergi padang untuk briskwalk kah, atau stay di rumah dan berkebun. Tapi sekarang ini, sebab subuh masuk awal, jadi saya boleh keluar rumah awal untuk briskwalk. Hmmm... dalam 6.45 pagi, boleh keluar rumah. 

Saya pula berjalan tidaklah lama. Cuba untuk habiskan tujuh ribu langkah dalam masa kurang 1 jam. Cepat sampai, cepat boleh habis briskwalk. Asalkan saya tidak singgah mana-mana contohnya ke pasar atau pasaraya, saya akan tiba di rumah awal, jadi saya boleh terus berkebun. 

Jadi, itulah yang saya buat pada hari Khamis, 27 Ogos yang lepas. Lainlah kalau cuaca terang-terang hujan, memang confirm stay di rumah dan on walking pad saja. Atau cuaca jerebu dan IPU tidak sihat, pun duduk rumah saja. 

Jom tengok apa benda saya buat untuk aktiviti berkebun pada hari tersebut.

Nak kata tanah luas, tidak juga. Nak kata sekangkang kera pun tidak juga. Sebab ada sesetengah kawasan di halaman rumah saya, rumput memang tebal. Memang tak mampu saya nak usahakan seorang diri. Jika suami off kerja, dan dia mood rajin, memang dia akan potong rumput guna mesin rumput. 

Bolehlah dibahagikan halaman rumah untuk berkebun ini kepada beberapa bahagian. Pada hari tersebut, saya usahakan di bahagian tepi rumah. 

Semak di bahagian tepi rumah, gambar sebelum mencabut rumput
Gambar sebelum

Semak tak? Hahaha... itulah yang terjadi bila seminggu dua minggu tak mencabut rumput. Rumput memang cepat naik. Sabit pun belum beli lagi pada hari itu, jadi saya cabut rumput guna tangan saja. Pokok ulam raja yang sudah tua, saya cabut. Yang anak pokok, pun saya clearkan juga. Walaupun saya cabut, saya tidak buang. Saya ambil, cuci, simpan dalam peti ais, buat ulam makan dengan nasi.
Kawasan dalam gambar di atas boleh dikatakan agak subur. Sebab saya ada campur tanah hitam. Jadi, saya ingat nak tanam sayur, itu yang perlu clearkan segala semak dan rumput.

Selepas aktiviti cabut rumput
Gambar selepas

Saya duduk atas kerusi pendek dan kecil (stool). Tidaklah lenguh kaki sebab bertinggung atau bercangkung. Malah, kerja mencabut rumput sebenarnya adalah terapi bagi saya. Hendak mula memang malas. Tapi bila sudah mula, susah untuk berhenti. Berhentilah kadang kala seketika, untuk minum air dahaga. Lepas tu, akan sambung semula.
Sekarang bila kawasan sudah clear tanpa rumput, boleh nampak, pokok yang ada di dalam kawasan tersebut. Ada pokok ros kampung dalam pasu, ada pokok buah naga, ada pokok melur, pokok betik dan kunyit.
Pokok kunyit sudah tua. Daun sudah perang. Tapi saya tidak korek untuk ambil kunyitnya. Tiada keperluan. Macam lengkuas juga, saya ambil bila saya nak guna untuk masak saja. 

Kunyit terkeluar dari tanah
Kunyit terkeluar

Kunyit ada yang terkeluar dari tanah, tak perlu korek pun sebenarnya. 

Kunyit terkeluar dari tanah
Lagi kunyit terkeluar

Bila saya sudah siap mencabut rumput, saya tidak terus menyemai biji benih sayur yang hendak ditanam. Hari mulai panas, saya kena sambung kerja hari lain, sebab masa untuk masuk dapur memasak pula. Tapi sebelum itu, saya perlu protect kawasan yang sudah dibersihkan supaya tiada haiwan berbulu buat onar tinggalkan najis toksik yang boleh cemar tanah di kawasan tersebut.

Tutup tanah dengan jaring supaya kucing tidak berak
Tutup tanah dengan jaring

Supaya kucing jiran tidak berak. 😊
Baiklah. Sambung di entri lain. Adakah betul saya tanam sayur di kawasan terbabit? Atau saya tanam pokok bungakah? Bersambung, biar ada elemen misteri sikit. Hehe...
Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Jalan tengok burung, urusan rasmi dan tengok barang

Lambat betul saya update cerita di blog. Cerita bulan Ogos pun tak habis lagi. Takpelah, slow-slow. Saya sekarang sudah stop main Farmville. Jadi, dapatlah luang lebih masa dengan balas komen kawan-kawan dan blogwalking. Selagi boleh dan tiada terjadi lagi kejadian yang tak boleh komen macam hari tu, baiklah kita manfaatkan masa yang ada. Sebab saya juga buat based on notifikasi yang masuk melalui email. Saya mulakan dengan entri lama-lama dulu, mengikut kronologi tarikh. Bila sudah balas komen di entri tersebut, barulah saya delete email notifikasi. Lega bila tengok email tinggal satu page. Kalau tak, kena sambung ke page berikutnya sebab banyak sangat yang belum dibalas komennya. Memang cara saya begitu, dari dulu. Hehe..

Baiklah. Kali ini punya entri saya nak ceritakan tentang aktiviti jalan pagi di Esplanade Lumut, pada hari Rabu, 26 Ogos 2026 yang lepas. Solo je, suami belum habis kerja, dia buat overtime. Saya drive pergi Esplanade. Ajak budak Amirul tu, memang idok ler dia nak teman mamanya. 

Burung enggang atas pokok
Burung enggang atas pokok

Tinggi nun di atas pokok yang tinggi. Saya kena zoom-in telefon zaman tok kadok saya ini. Maaflah, sebab tak berapa sharp gambar. Itu je yang termampu diambil dan paling okay antara banyak-banyak snap. Kalau kome perasan, ada dua ekor dalam gambar di atas. Besar tau, saiz burung ni. Saya pernah waktu jalan, burung ini melintas terbang atas kepala, masya-Allah, bunyi sayap dia terbang macam helikopter. Dekat Pulau Pangkor ada banyak burung hornbill ini. Dekat Lumut, kalau hari bertuah, boleh nampak juga di Esplanade, dekat pokok-pokok besar.

Sunrise di Esplanade Lumut
Mesti nak ambil gambar matahari naik

Masa ini, jerebu tidak teruk. Cuma bahang panas saja terasa. 

Pokok besar bunga ungu
Cantik tengok pokok besar bunga ungu ini.

Ambil masa jalan-jalan tengok pokok, sapa ucapan 'selamat pagi' dengan nyonya-nyonya yang hari-hari berjalan di Esplanade, tengok laut, tengok kucing, tengok burung. Syukur Alhamdulillah, atas nikmat sihat. Dapat keluar rumah ambil angin pagi, tinggal sekejap kerja di rumah itu, enjoying my 'me time'.

Kucing comel di Esplanade
Hello, kucing

Suka kacau budak bulu di sini. Elok kucing tu duduk rileks tutup mata, kita pergi cucuk dia, usik. Terus dia tengok kita muka macam di atas. Hehehe... saja, kacau awak, jangan marah. 😁

Rekod berjalan pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Jalan selama 1 jam 16 minit, dengan jarak 4.64 kilometer.

Tengok burung bangau hitam tu, sedang cari makan di pinggir pantai. Turut kelihatan, tayar besar pun ada. Entah bilalah orang kita nak berhenti buang benda-benda sampah ke dalam laut ini. 

Selepas jalan pagi, saya pergi ke pejabat penghulu untuk cop dokumen salinan diakui sah. Saya isi borang bantuan one-off Yayasan Perak pula, untuk Sulaiman. Itu hari, bantuan Majlis Agama Islam Perak. Untuk Yayasan Perak ini, pemohon kena 18 tahun ke atas, itu yang saya baru buat, selepas Sulaiman sudah cukup umur, beberapa hari sebelumnya, harijadi dia. Dapat atau tidak, tolak ke tepi. Kita mohon je dulu. Untuk dermasiswa JPA pun mohon juga. Selagi ada bantuan dan kita menepati syarat-syarat permohonan, kita cuba. Semoga ada rezeki untuk Sulaiman. 

Puan Penghulu tiada di pejabat, dia ada urusan di Lekir. Pembantunya minta tinggalkan dokumen dan datang ambil kemudian. Saya tengok, bersusun juga dokumen atas tray untuk pengesahan. Baiklah. 

Selepas itu, saya pergi kedai serbaneka CU di Teluk Muroh. Masuk saja kedai, kuat bebenor orang kedai pasang lagu Korea. 

Promosi Oreo
Ada promosi Oreo

Satu oreo harga RM4.50. Kalau beli dua Oreo Kpop Series, dapat harga RM8. Beli untuk anak di rumah. Tapi mama pun boleh tumpang sebiji dua, buat rasa-rasa. 🙈 

Air Zus botol
Air Zus botol, beli dua.

Zus perisa kopitiam latte dan buttercreme latte. Setiap satu harga RM4. 

Tengok dekat botol kopitiam latte itu, tertulis "Manis macam janji ex you", pada perisa buttercream pula tertulis "Butter late than never". Hehe... Dua-dua ini mama tak minum, beli untuk budak Amirul. Mama masih setia dengan americano kosong.

Lepas tu, saya pun balik rumah. 

Update dokumen yang ditinggalkan di Pejabat Penghulu tadi, lepas zohor saya pergi ambil, sebab sudah siap cop dan tandatangan Puan Penghulu. Alhamdulillah. 

Semalam, saya jalan walking pad saja dalam rumah, sebab indeks pencemaran udara (IPU) jerebu agak teruk, paras tidak sihat. Hari ini pun tidak pergi berjalan. Aiyaaa.... bosannya tidak dapat jalan luar tengok pokok dan burung.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share: