Memaparkan catatan dengan label Mengopi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mengopi. Papar semua catatan

Mengopi di Bundut Coffee Seri Manjung

 Sudah lama kami tak pergi mengopi di satu tempat ini, iaitu Bundut Coffee. Sebab cafe ini buka petang. Kami selalu mengopi waktu pagi. Lagi satu, sebab tempat ini open tidak ada aircond, itu yang panas nak minum di situ petang-petang. 

Tempat lain mungkin hujan waktu petang. Tapi kawasan saya ini, tak hujan, sudah lama. Memang ada awan mendung, tapi hujan di tempat lain. Angin kuat bawa awan mendung pergi. 

Tapi pada 9 Julai yang lepas, cuaca agak berangin dan mendung, ronda punya ronda naik kereta cari tempat nak lepak, akhirnya kami berhenti di sini. Lagi pun, tak ramai orang. Baguslah. 

Saya pernah cerita tentang Bundut Coffee cawangan Seri Manjung ini di entri ini dan ini

Bagi negeri Perak, selain di Manjung, Bundut Coffee juga punyai cawangan di Seri Iskandar dan Station 18, Ipoh.

Jom tengok kami pesan apa pada hari itu.

Americano panas dan sejuk, wantan goreng dan roti bakar
Americano panas dan sejuk, wantan goreng dan roti bakar.

Seperti biasa, americano kami tak ada gula. Roti bakar tu, cicah dalam kopi panas, aummmm! 😋 Lega, rasa lapang dada, menikmati kopi panas. Wantan goreng itu, intinya bebola ikan, bukan udang. Tapi okay la, boleh tahan sedap. Garing, krup krap krup krap makan.

Saya masih belum cuba minuman signature Bundut Coffee, iaitu kopi candu. Selalu terlupa nak pesan yang itu, sebab sudah biasa minum americano. 

Dia punya menu kopi saja ada macam-macam. Idok ler kita larat nak mencuba semua. Kopi jenis klasik, jenis frappe, minuman bukan kopi dan minuman jus pun ada di cafe ini. 

Wantan goreng Bundut Coffee Seri Manjung
Close-up sikit gambar wantan goreng.

Ada enam ketul wantan. Saya makan tiga biji, suami makan tiga biji. Sos cili sebagai pencicah.

Roti bakar Bundut Coffee Seri Manjung
Roti bakar

Ada banyak juga menu makanan di sini. Antaranya chilli pan mee (saya pernah cuba sekali dulu, okaylah rasanya), chicken chop, nasi goreng chicken chop, lamb chop, aneka pasta, snek dan kudap-kudapan seperti chicken tenders, fries, potato wedges, nuggets, dan pelbagai pencuci mulut seperti mini pancakes, croffle dan brownies. 

Masa kami mengopi pada hari itu, saya perasan ada orang selang beberapa meja, makan nasi goreng. Nampak agak besar juga portion-nya. 

Saya dan suami suka minum kopi
Kami suka mengopi. 😊

Selain cawangan di Manjung ini, kami pernah pergi Bundut Coffee cawangan Seri Iskandar. Masa itu, kami dalam perjalanan dari Ipoh, mahu pulang ke Lumut. Singgah Seri Iskandar, beli kopi.

Anak bulu yang menyibuk waktu kami sedang mengopi
Si Puteh, datang cakap Hi.

Si Puteh ni, naik atas meja, duduk hujung, tak kacau kami pun.

Bagi anak bulu makan, tapi ia sudah kenyang
Bagi dia rasa wantan dan roti sikit.

Puteh tak makan pun. Lepas bersihkan diri, Puteh tidur je. Saya tanya suami, nak bawa Puteh balik rumah tak, boleh tolong jaga rumah tangkap tikus. Suami kata, tak payahlah. Hehe... saja tanya.

Di Bundut Coffee ini, kita kena buat pesanan di kaunter, dan bayar terus. Dia akan beri buzzer bila pesanan kita sudah siap. Makanan di tempat lain, order kopi di tempat lain, tapi sebelah menyebelah saja, cuma berlainan kontena. 

Tempat duduk pun banyak. 

Bundut Coffee buka setiap hari bermula 3 petang hingga 12 tengah malam. Tutup setiap hari Isnin.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Salam hari Jumaat yang mulia. 

Share:

Sticker baru Zus

 Zus Buddy sticker ni, dia bagi percuma je, walau kita cuma beli secawan kopi. Bergantung kepada stok masih ada. Blogger BK, dapat masa beli mineral water je. 😊

Masih ingat dulu, edisi zus buddy sebelum ini, saya sanggup beli air sampai 3, nak bagi cukup RM25 ke atas, supaya dapat plushie buddy ni.

Kali ni, kena beli set makanan Kinda Adult Meal harga RM32.90 baru boleh dapat zus Buddy, edisi Work-in-progress. Memang tak la, ye. 

Ini pun, sebab saya beli kopi untuk suami. Masa hari Isnin, beli secawan americano ais.

Sticker Zus Dream Edition
Dapat sticker Dream Edition

Comel la. Remember your dream, let it lead you.

Keesokan harinya, beli latte ais pula, untuk suami. Rezeki, boleh dapat sticker berbeza.

Sticker Zus Work Edition
Work Edition
Pandai orang yang design sticker ni. Do you remember... the reason you started? Merujuk kepada gambar sticker di atas, tengok si Porta Pal tu, dia cakap,"This is Fine, I'm Fine", tapi tengah terbakor. Hehe..  Lagi satu comel yang si Bean Boss tu, dia kata,"My life support = Coffee". Huhu... betul la tu, pada penggemar kopi, lepas pekena kopi je, baru semangat nak buat kerja.

Selain dua watak Porta Pal dan Bean Boss, watak lain dalam Zus Buddy kali ini adalah Blue Buddy, Pinky Boo, Choco Chipster, Frappe Fren, Zen Cha dan Mama Puff. Comel betul. Itu baru tengok sticker, kalau dapat plushie dia mesti lagi comel.
Cuma kali ini, saya tak kumpul la plushie tu, kena beli meal mahal. Zaman kena berjimat ni. Ini pun rezeki dapat kumpul sticker yang berlainan, walau pun tak ada niat nak kumpul.

Koleksi sticker Zus saya
Koleksi sticker Zus dalam simpanan saya.

Ada yang Butterbear, Projek Sembang Sembang (Raya) dan BB (Balang Baik) Sticker. Saya ada guna yang sticker Zus Buddy tahun lepas. 

Tampal pada casing handphone

Yang "No talk Me, I angy" dan "Emotionally Fragile. Please Handle with Care". Huhu... suka yang Zus Buddy sticker ni. Semua watak comel, dan ia juga mengekspresikan emosi dengan cara yang comel juga. Seolah watak itu sendiri yang bercakap dalam bahasa ia, dengan pelatnya. 

Okay la. Sekian. Salam hari Sabtu, kome. Nak ke mana tu? Jaga diri, dan stay safe.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Mengopi malam

 Ada dua kejadian saya dan keluarga pergi mengopi di 989 Kopi Lumut. Kedua-duanya waktu malam. 

22 Mei 2026

Satu keluarga pergi, termasuk anak-anak. Gambar gelap. Amirul yang ambil gambar. 

Empat air, satu scone, di 989 Kopi Lumut
Empat air, satu scone.

Dari kiri, americano iced, chocolate iced, vanilla milk dan americano panas. Hafizan tak pesan air, dia bawa tumbler air masak dia.

Rasberry scone satu, kongsi makan anak beranak.

Sejujurnya, saya kurang suka dah datang sini sebab kopi panas dia guna gelas kecil. Dulu, dia letak dalam cawan ada pemegang. Tak berbaloi dengan harga.

Meat lover pizza 989 Kopi Lumut
Pesan pizza satu

Meat Lover pizza, harga RM30. Mahal juga pizzanya. Tapi sedap la. Tak kedekut cheese.

8 Jun 2026

Tapi datang sini lagi. Kali ini, berdua saja dengan suami. Amirul dan Hafizan sudah pulang ke sarang. Sulaiman pula keluar dengan kawan-kawan. 

Kopi, croissant dan brownie di 989 Kopi Lumut
Pesanan kami

Suami minum latte iced, saya hazelnut latte panas. Pesan juga croissant dan brownie.

Saya sudah 4 hari tidak minum kopi sebelum itu. Ha ah, sudah kurangkan tabiat mengopi setiap hari. Hari biasa di rumah, saya minum teh hijau atau air lemon.

Sudah ada kemajuan 989 Kopi Lumut ni. Ramai orang mengopi malam-malam, walau weekday. 

Alhamdulillah, sedap semuanya makanan di sini. 

Baik. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Pertama kali cuba Kopi Rakyat

Cerita pada 8 Mei yang lepas. Baru buka, kedai Kopi Rakyat di Aeon Mall Seri Manjung. Kopi Rakyat ini adalah jenama tempatan. 

Biji kopinya berasal dari Johor. Saya ada perasan juga bila datang ke sini, tapi tak pernah cuba. Pada hari itu, suami off kerja, jadi bolehlah kami lepak-lepak mencuba kopi.

Kopi Rakyat Aeon Mall Seri Manjung
Ada seorang saja pekerja

Kedainya ada jual pelbagai jenis kopi, minuman non-coffee, pelbagai roti dan pastries. Lepas buat pesanan di kaunter, kami pun duduk. Tak ada pelanggan lain, kami saja, pukul 10 pagi sudah terpacak di mall. 

Hadiah cabutan bertuah Kopi Rakyat
Hadiah motor

Kalau belanja cecah RM30, layak untuk masuk cabutan bertuah. Kena upload video menikmati kopi dan upload di Instagram atau TikTok. Peraduan hingga 31 Mei. Kami tak layak masuk sebab kami cuma belanja RM18.

Sementara tunggu kopi siap, main handphone dulu
Suamiku sementara tunggu kopi siap

Patutnya kena ambil di sudut Pick-up di kaunter. Tapi adik tu hantar sampai ke meja kami, sebab tengok kami ni dah tua kot. Masa nak pesan kopi sebelum tu pun, lama berdiri depan dia, tak tahu nak pesan kopi apa. 😅

Kopi Rakyat pesanan kami
Kopi siap! 

Suami pesan latte ais dan saya pesan.. sebenarnya saya lupa saya pesan kopi apa. Resit sudah hilang, tapi rasanya saya pesan kopi klasik O. Dua-dua tanpa gula. Lawa dia punya cawan. 

Pesan pau perasa ayam bbq juga.

Kongsi makan sebiji pau dengan suamiku. Kopi dia sangat pekat. Sudahlah kosong. Memang terbeliak biji mata saya sampai ke malam. 😂 Pada pendapat saya, rasa kopinya ada sedikit persamaan macam kopi Saigon.  Lain kali bolehlah cuba pesan kopi lain pula. Sebab pesan kopi kosong, memang tak sedap. Americano saya biasa minum di kedai lain, semuanya sedap ditelan walau tanpa gula. Yang ini, rasa terseksa sikit nak habiskan secawan. Ada pilihan untuk kita bila beli kopi di sini, sama ada nak gula extra, normal, half atau slight. 

Sekian cerita pertama kali kami mengopi di Kopi Rakyat. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗 Selamat berehat di hujung minggu.

Share:

Apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti

Semalam di tempat saya, hujan lebat berserta guruh dan kilat. Waktu malam bila hujan lebat, memang sedap tidur. 

Entri kali ini, cerita pada 24 April 2026 yang lepas. Pada hari itu, saya goreng spagetti saja.

Spagetti goreng with olive oil
Masak spagetti goreng

Simple saja. Ada letak patti burger daging yang dipotong kecil, juga ketulan ayam. Guna extra virgin olive oil untuk masak. 

Pukul 3 petang, saya ada temujanji jumpa doktor di hospital. Keputusan ujian darah, not yet there, tapi menuju ke arah itu. Saya pun tak tahu nak cakap camana. Keputusan kolesterol yang tinggi, semakin membaik sebenarnya. Tapi belum cukup baik. Pada saya okay, sebab ia ambil masa, kan. Jumpa doktor lain pula. Tak pernah dapat doktor yang sama. Saya tengah mencuba la, ni. Tapi doktor tak nampak usaha saya. Doktor cuma nampak result darah saya. Tinggi, tapi tidaklah setinggi sebelum ini. Saya cakap dengan dia, doktor sebelum ini cakap macamana. Dia kata, no such thing pula. Huh.. macam tu la ya, bila lain-lain doktor. Bila saya tanya lebih lanjut, dia kata jangan tanya benda yang tiada kaitan. Saya pun senyap la. Tak berkata apa-apa lagi. Pengalaman yang tak best. Saya berharap saya dapat buat ujian kesihatan di tempat lain. Saya berharap saya dapat jumpa doktor yang boleh beri nasihat tentang pemakanan, kesihatan, dan gaya hidup, bukan saja beri ubat segera, short-cut, untuk lariskan syarikat farmaseutikal.

Lepas selesai di hospital, saya dan suami pergi mengopi di Le Bean Cafe. Kali kedua kami datang sini. Masa mengopi kali pertama, ada saya kongsikan di sini 👉 Mengopi di Le Bean Cafe.

Seperti biasa, lepas jumpa doktor hospital, mood memang akan jatuh. Jadi, saya makan apa saya nak la. Cheat meal. 

Taufufa original di Le Bean Cafe
Taufufa original seorang satu.

Sebelum ini, kami pernah cuba taufufa gula melaka. Ini, perasa original. Di sini, boleh letak topping atas taufufa. Ye la, macam-macam makanan orang zaman sekarang. Letak whipped cream la, chocolate la, tapi kami makan yang original saja.

Taufufa original di Le Bean Cafe
Gambar dekat taufufa.
Makan taufufa yang sejuk di hari yang panas terik di luar, memang nikmat ya. 😋 Alhamdulillah.

Latte ais dan americano panas.
Latte ais dan americano panas.

Dua-dua kopi tanpa gula. Sesi bercerita dan luahan hati apa dirasa, perancangan seterusnya, tindakan yang patut diambil dan sebagainya, sepasang suami isteri di kedai kopi. 

Selain kami, ada lagi seorang pelanggan lain sedang mengopi tidak jauh dari tempat kami. 

Ham and cheese bagel
Ham and cheese bagel

Yang ini, kami kongsi berdua, makan. Semua sedap. Mengopi di sini pun selesa, sebab tempat ber-aircond. Petang Jumaat itu, kurang pelanggan. Masa kami pergi kali pertama dulu, ramai juga.

Harga hidangan kami:

2 taufufa original RM9.00

1 latte ais RM11

1 americano panas RM9

1 Ham and cheese Bagel RM13

Kopi dia agak mahal, kan. Jumlah harga RM42.

Syukur Alhamdulillah, atas segala rezeki dan nikmat Allah.

Salam Jumaat kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Hari terakhir bulan Mac

Kome tak rasa ke, macam bulan Mac yang lepas sangat panjang? 😁 Tak habis-habis lagi cerita bulan Mac saya ni. Padahal hari ini sudah 11 April. Minta maaf, ya. 

Alkisah pada 31 Mac 2026 yang lepas, bersamaan 11 Syawal 1447H, saya ikut suami pergi beli sarapan di luar. Biasanya, memang kami beli nasi sudah siap dibungkus, di Bukit Permata. Situ memang jadi tumpuan orang, sebab nasi berlauknya harga berpatutan. Lagi pun, sebab ianya sudah siap dibungkus, orang cuma ambil dan bayar. Sangat menyenangkan bagi mereka yang dalam perjalanan nak ke tempat kerja awal pagi.

Lepas beli nasi, saya order kopi Zus. Kalau pesan di app, Buy 3, free 1, setiap hari Selasa.

Hazelnut latte panas untuk Mama, latte iced untuk bapa budak, mango creamie untuk Sulaiman dan spanish latte untuk Amirul. Missing Hafizan. Apa khabor Hafizan. Bila kita makan sedap, selalu teringat dekat anak di asrama, makan apa la dia.

Masih di dalam mood "I-want-to-eat-everything-because-tomorrow-kena-start-jaga-makan", ada beli kuih juga masa beli nasi untuk sarapan tadi. Tempat yang sama je.

Kuih-muih yang dibeli

Beli:

🍒 roti sosej goreng mini, 2 ketul.

🍒 Pau goreng seketul (dalam inti kacang)

🍒 Apam sebiji

🍒 Kuih ketayap dua ketul

🍒 Karipap kentang 3 ketul

🍒 Karipap sardin 3 ketul.

Kami kongsi makan anak-beranak. Tak adalah makan sekaligus. Dari sarapan, membawa ke tengahari, kuih-kuih ni.

Pinggan sarapan saya

Balik rumah, sarapan nasi berlauk ayam gulai. Sebungkus nasi berlauk harga RM4.50. Nasi banyak, ayam ada 2 ketul. Ada sambal lada sedap.😋 Situ sajalah yang masih jual nasi berlauk sedap dengan harga empat ringgit setengah. Lain tempat, sudah harga 6 ringgit, 7 ringgit. Itu pasal kalau pergi lewat je, memang habis nasi berlauk. Tinggal nasi lemak je di Noreez's Breakfast di Bukit Permata tu. Situ semua bungkus je, tak ada tempat makan.

Lepas sarapan, saya masuk dapur, masak ikan kerisi goreng berlada.

Letak kacang panjang juga

Sulaiman tak berapa suka ikan kerisi. Dia lebih prefer ikan keli berlada. Tapi ikan kerisi, kegemaran suami saya. Tukar-tukar la, menu. Hari ni lauk kegemaran bapa budak, lain hari, lauk kegemaran anak-anak pula. 

Syukur Alhamdulillah. 

Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga camana teman-teman bloggers semua boleh update blog setiap hari. Saya tak mampu. Kerja-kerja domestik begini pun sudah cukup banyak, luar rumah, dalam rumah, kadang saya tak sempat nak tengok handphone pun. Adeh...

Okaylah. Selamat berehat pada yang bercuti ya. Hari Sabtu hari ni. Jumpa lagi. 💗

Share:

Aktiviti Tahun Baru

Akhirnya, masuk cerita tahun baru. Saya catch-up draft entri, dengan men-schedule dua entri pada satu hari. 😊 

Entri kali ini, cerita apa saya buat pada cuti umum Tahun Baru yang lepas, tanggal 1 Januari 2026. Pada pagi itu, saya tidak keluar rumah berkebun pun. Lepas subuh, saya masuk dapur. Sediakan sarapan. 

Nasi goreng kampung tanpa kangkung
Nasi goreng kampung tanpa kangkung

Sarapan membawa ke makan tengahari, nasi goreng kampung ini. 

Ulam timun dan telur goreng mata
Ulam timun dan telur goreng mata

Hitam pula telur goreng. 

Kuih karipap dan popia goreng
Kuih suami beli

Suami saya balik kerja shif malam, minta dia belikan kuih saja. Dia beli karipap dengan apa entah, nampak macam popia goreng tapi tak bulat dan flat saja, dalam gambar di atas. Boleh la. Hafizan makan kebanyakan kuih.

Kuih koci, kasturi dan lompang atau kosui
Ini kuih orang tua pula, suami beli.

Dua ketul kuih koci, kasturi dan kuih lompang atau kosui tapi dah rupa macam kuih lapis diselaputi kelapa.

Buat kopi di rumah
Buat kopi di rumah saja

Alhamdulillah, azam tahun baru saya, untuk kurangkan belanja beli kopi di luar. Cukup-cukup la tu, perhabis duit enjoy minum kopi luar. Saya sudah uninstall app Zus. Tapi app 7-Eleven masih ada. Tapi takpe la, sebab kopi Family Mart dan 7-Eleven murah sikit. Itu pun kalau masuk beli roti saja, saya beli. 
Rasa berkat dan nikmat, bila masak di rumah, dan bancuh air sendiri di rumah. Tahun ini, saya hendak lebih berjimat. Simpan duit, untuk pergi haji. 

Marathon Stranger Things
Marathon Stranger Things

Siri Stranger Things ini telah tiba di kemuncaknya. Final episod. Habis sudah. Tiada lagi sambungan. Bagi yang mengikuti siri ini, boleh tengok pelakon-pelakonnya terlibat sedari mereka kecil-kecil lagi, hinggalah mereka besar panjang. Saya ikuti siri Stranger Things ini dari musim pertama lagi. Pandai pula Neflix keluarkan bahagian demi bahagian, tidak sekaligus, nak bagi orang tertunggu-tunggu untuk musim akhir ini. 

Tolak benda yang tidak elok seperti seorang gay dan yang lain-lain, cerita omputih kan. Tolak unsur negatif, dari segi mesej yang disampaikan, memang ada mesej tersendiri yang bagus, seperti semangat setiakawan, terima diri seadanya, tidak perlu malu akan kekurangan diri, kena yakin dan berani, begitu. 

Itulah saya ni, lebih suka layan cerita tak betul atau fantasi dari KDrama. Kalau genre hantu, seram, misteri, siasat menyiasat, saya suka. 

Begitulah aktiviti semasa tahun baru yang lepas. 

Selamat tahun baru 2026 pada semua pembaca sekalian. Harap belum terlambat untuk saya mengucapnya. Semoga kita diberi kekuatan untuk ubah menjadi diri kita yang lebih baik. Kuncinya adalah konsisten. Jangan hangat-hangat tahi ayam, awal tahun saja buat. Lama-lama jadi lemau. Nasihat untuk diri saya sendiri. Selain azam untuk lebih berjimat, saya juga ingin jaga solat, jaga aurat dan jaga kesihatan. Kita lebih kuat sebenarnya dari apa yang kita sangka. Semangat! 💪

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Mengopi di 989 Kopi

 Assalamualaikum, semua...

Hari ini adalah hari ke-364 pada tahun ini. Tahun baru menjelang tiba. Ramai yang ambil cuti pergi jalan-jalan. Hati-hati di jalanraya ya, bila memandu.

Pada 17 Disember 2025 yang lepas, saya dan suami pergi mengopi di tempat kegemaran kami, iaitu 989 Kopi, Lumut.

Tapi mungkin nak kena keluarkan dari senarai port mengopi feveret kot. Sebab cawan americano panas dia sudah mengecil.

Latte ais dan americano panas 989 Kopi Lumut.
Sudah minum separuh baru ingat nak ambil gambar.

Suami saya minum latte ais dan saya americano panas. Saya tegur adik barista tu, "Aik.. dah guna cawan baru." 

"Ye kak," dia jawap sambil tersenyum. 

Hmmm... saya sedikit old fashion. Pada pendapat saya, kopi panas seharusnya dihidang dalam cawan, bukan gelas kecil seperti di atas. Pemegang pun tak ada. Agaknya itu pasal dia buat americano saya suam pada hari itu. Kalau panas melebor, macamana nak minum? Sedangkan saya suka hirup kopi panas sikit-sikit dari cawan. Entahlah. Tak tahu nak cakap. Sebelum ini, mereka hidangkan minuman panas dalam cawan berpiring. Boleh klik entri lama-lama saya, banyak kali saya share mengopi di sini.

Kalau malas basuh cawan, letak dalam take-away cup pun takpa, untuk minuman panas. Ini, buat americano panas dalam gelas kecil? 😕

Pizza 989 Kopi Lumut
Order pizza juga

Nasib baik chicken pepperoni pizza dia sedap. Datang petang selepas pukul 6, ada menu pizza ini. Pizzanya dibakar dalam tempat grill yang bertutup. Gebu je dia punya crust. 😋

Itulah last kami mengopi di 989 Kopi. Tak pergi dah. Kalau tak seminggu, ada sekali pergi. Tak puas minum kopi dalam gelas cinonet. Baik buat kopi di rumah saja. 

Sekian perkongsian. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Mengopi di Bask Bear

 Assalamualaikum, semua...

Cerita kami pergi mengopi di Bask Bear, pada 16 Disember 2025 yang lepas. Jarang sekali kami pergi Bask Bear ini. Kalau tak silap, ini baru kali kedua kami mengopi di dalam premis. Ada sekali long time ago, saya cuma bungkus kopi di Bask Bear, itu pun cawangan yang di Kampar. Oh, ada sekali juga saya masuk dalam Bask Bear cawangan Seri Iskandar, sangat besar di dalam, selesa untuk melepak sambil mengopi. Waktu itu, saya cuma bungkus kopi dan makanan. Hafizan yang ajak, sebab dia suka roti bakar dari Bask Bear ini.

Hari itu, saja je, cari tempat mengopi sejuk yang ada aircond. Lokasi Bask Bear di Manjung Point.

Mengopi di Bask Bear Manjung Point
Minum petang kami.

Suami seperti biasa, kopi ais dan saya, kopi panas. Order roti bakar juga.

Resit mengopi di Bask Bear
Resit

Americano panas harga RM8.40.

Caffe Latte Iced harga RM9.91

Cheese Melt Toast harga RM5.57

Ada tax, harga RM1.42

Americano panas agak mahal, berbanding Zus.

Tulisan di dinding dalam premis Bask Bear
Tulisan di dinding

Mungkin masa kedai ini mula dibuka, unik, kopi yang guna gula aren. Tapi sekarang, kopi gula aren ini, boleh juga dibeli di 7-Eleven. 

Tempat duduk dalam Bask Bear
Tiada orang.

Waktu kami datang, tiada orang yang mengopi di dalam. Tapi ada saja orang keluar masuk pick-up kopi, rasanya mereka pesan menggunakan app Bask Bear. 

Tulisan di dinding dalam premis Bask Bear
Tulisan di dinding sebelah sini pula.

Bahagian kaunter dan pintu masuk Bask Bear cawangan Manjung Point.
Bahagian kaunter dan pintu masuk

Keratan rentas Cheese Melt Bask Bear
Keratas rentas Cheese Melt

Nak juga pesan makanan. Padahal roti bakar begini, boleh dibuat di rumah saja, kan. 🙈

Semasa di kaunter ada perasan banyak juga makanan boleh dipesan, seperti mac and cheese, crispy burger, muffin, roti bakar atau toastie, nasi pun ada, ayam goreng tanpa tulang, dan fries. Ada banyak jenis la boleh dipilih.

Tempat duduk sofa dalam Bask Bear Manjung Point.
Ada sofa

Rekabentuk sofa klasik, macam sofa zaman dulu. Tapi selesa juga. Suami sibuk dengan game bolanya. Tapi kan, saya nak cakap di sini, kopi dia pada saya, kurang sikit. Tapi benda itu subjektif. Saya banyak pesan americano panas. Yang Bask Bear dan Gigi Coffee punya americano kurang sedap di tekak saya. 

Orait. Jumpa lagi. 💗

Share:

Untuk terakhir kali

Assalamualaikum, semua...

Cerita saya dan suami pergi mengopi buat kali terakhir di Richiamo Coffee, pada 11 Disember 2025 yang lepas. Cafe ini akan ditutup. Semasa saya taip entri ini, saya sendiri tidak pasti sama ada masih beroperasi atau tidak. Saya tanya pada staff yang bertugas, sebab saya tengok ada nota kedai untuk disewa. Memang betul adik Richiamo cakap. Cafe akan ditutup. 

Selain kopi, makanan masih boleh order tak, saya tanya pada adik tu. Dia kata, muffin saja yang ada. Percuma.

Masa nak buat bayaran pun, hanya QR code dan cashless payment sahaja diterima. Bayaran secara tunai sudah tak boleh.

Sayu pula tengok pastries semua sudah tak ada. Chiller dia kosong.

Americano panas kosong, latte ais kosong dan muffin blueberry sebiji.
Americano panas kosong, latte ais kosong dan muffin blueberry sebiji.

Saya minta buatkan kopi dalam cawan take-away, sebab tak dapat duduk mengopi lama pada petang itu. 

Blueberry muffin
Blueberry muffin

Pertama dan terakhir kali makan blueberry muffin di Richiamo Coffee.

Close-up cawan kopi kami
Close-up minuman kami.

Bye, Richiamo Coffee. Boleh jumpa lagi ke? 

Selfie di Richiamo Coffee yang bakal tutup
Akan merindui mengopi sambil duduk di kerusi sofa selesa ini

Kopi dia sedap je. Makanan pun. Kenapa tak dapat bertahan ye? Tempat pun selesa untuk mengopi. Wallahualam...

Pakaikan cup sleeve kait pada cawan kopi yang panas
Pakaikan baju kait pada cawan sebab kopi masih panas.

Kami kena gerak. Ada urusan cari barang. Tak dapat lepak mengopi lama.

Muffin percuma bila beli dua cawan kopi
Muffin percuma hari itu.

Sudah ada makluman kedai untuk disewa. Ada nombor telefon tuan kedai. Ada nota muffin atau pie percuma jika beli dua cawan kopi.

Awalnya ada dua cawangan Richiamo di Manjung. Yang pertama di Stesen Shell berdekatan Aeon Mall Seri Manjung. Satu lagi di Stesen Petronas Teluk Muruh. Yang di Stesen Shell tutup dulu. Terbaru yang di sini pun ditutup juga. Sedih pula rasa. Tak dapat rasa salted egg croissant buat kali terakhir. 
Terima kasih, Richiamo Coffee.


Share lagu Untuk Terakhir Kali oleh Marsha. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Brew kopi dari rumah

 Assalamualaikum, semua...

Saya beli cerek untuk buat kopi di rumah. Nama cerek yang boleh letak atas api ini ialah Tazze Moka Pot. Ramai peminum kopi pakai cerek kopi ini. Cerek ini brew kopi menggunakan vapor pressure dan haba. Saya pun tak faham juga camana mekanisme alat ini. Tapi saya buat carian dulu, macamana cara nak hasilkan kopi sedap dari rumah macam di kedai kopi, dan ini adalah alat paling berpatutan mengikut kemampuan saya. Malah, saya tertengok video seorang rider yang peminum kopi juga menggunakan moka pot ini masa sedang berehat. Dia sedang ride ke Kelantan, berhenti untuk makan. Dia guna moka pot, masak atas dapur yang macam penunu bunsen itu sampai kopi terhasil. Dia lagilah, penunggang motor, mana boleh bawa barang banyak, semua alat jenis compact tapi functional.

Saya pesan moka pot dari shopee. Barang sampai rumah 5 Disember 2025 yang lepas.

Moka pot untuk buat kopi di rumah.
Tadaaa.... inilah dia, moka pot.

Harga RM11. Moka pot ini dibuat dari aluminium. Tapi bukan nipis macam tin aluminium itu. Ia agak tebal supaya dapat tahan haba api. Design moka pot ini mengikut stail klasik Itali dan digunakan untuk membuat kopi seperti espresso. 

Moka pot untuk buat kopi dari rumah
Close-up moka pot, dikeluarkan dari kotak.

Lagi satu sebab kenapa saya beli sebab masa saya buat carian itu, ada barista cakap untuk hasilkan kopi sedap, "You don't boil your coffee. You steam it". 
Cara tradisional yang saya terfikir sebelum ini adalah kita didihkan air dalam periuk, dan masukkan serbuk kopi. Tak salah, tapi mengikut kata pakar kopi, kita sudah cemarkan rasa kopi itu. Rasa kopi itu berbeza bila kita steam.

Tiga bahagian utama dalam moka pot
Terdiri dari 3 bahagian

Ada cawan untuk isi air bawah (kiri sekali dalam gambar di atas). Bahagian tengah, yang ada lubang-lubang penapis itu untuk isi serbuk kopi. Bahagian atas cawan tempat kopi keluar.
Yang penapis tengah itulah yang kita biasa tengok kalau barista buat kopi guna mesin kopi yang besar itu, dia ketuk-ketuk keluarkan serbuk kopi. Sekali isi, sekali hasilkan kopi, dan terus buang serbuknya. 

Cubaan pertama buat kopi guna moka pot
Cubaan pertama buat kopi guna moka pot.

Saya baru ada peluang untuk guna dapur kecil di bahagian tengah. Dapur arwah mak saya ini, ada tiga dapur gas, di kiri kanan yang saiz standard orang guna untuk masak itu. Di tengahnya, ada dapur gas kecil sedikit, yang saya tak pernah guna. Sebab moka pot ini kecil. Lagi kecil dari periuk comel yang guna untuk masak maggi tu, jadi sesuai guna atas dapur gas kecil. Patut makcik rider itu buat kopi guna dapur portable macam penunu Bunsen itu. Hehe.. Tak ambil masa lama pun untuk hasilkan kopi. Bunyi air mendidih, kopi pun keluar.

Saya rekod video masa air kopi sudah hampir siap. 

Saya guna serbuk kopi Acheh yang kak Amie bagi. Kopi tak akan melimpah keluar dari cawan atas, sebab cawan bawah itu, bila kita isi air secukupnya, memang sekadar cukup untuk kopi keluar ke cawan atas. 


Sikit je, sebab ukuran moka pot yang saya beli dari shopee, untuk tiga cawan kopi espresso. Kalau minum macam itu saja, memang kow kopinya, terbeliak biji mata, kome. Jadi, saya tambah air. Baru rasa macam americano yang selalu beli di zus. Wuhuuuu.... Syok dapat buat kopi sendiri dari rumah! Sekarang baru saya faham. Patut kalau beli espresso di kedai kopi, cawannya kecil saja. Itu adalah hasil yang kita dapat bila kita brew kopi. Campur air sikit, barulah rasa macam americano. 

Alhamdulillah. Nikmat. Saya sudah banyak kali guna moka pot ini di rumah untuk buat kopi. Ada sekali suami cadang, guna serbuk Nescafe, boleh juga, jadi... Rasa saja lain, banding guna serbuk kopi. 

Orait. Sekian cerita tentang saya buat kopi dari rumah. 

Jumpa lagi, ye. 

Share: