Thursday, April 30, 2026

Kemaskini entri lama dan bereksperimen

April 30, 2026 30 Comments

Saya dalam proses membaik pulih blog saya ini. Cuba untuk perbaiki mana yang patut. 

Blog saya ini tidak diindeks oleh google. Sebenarnya, saya rasa agak malas untuk buat juga. Lebih senang update blog untuk suka-suka, tanpa ambil tahu hal-hal teknikal di belakang sebuah blog.

Tapi, rasa kurang best bila orang buat carian blog kita, tapi blog kita tidak tersenarai di google. Saya pun tak pasti apa sebabnya. 

Boleh jumpa blog saya, tapi melalui blog orang lain. 

Masa mula saya buat blog ini, saya ada kacau setting asal. Mungkin sebab itu, kot. Atau juga kandungan entri yang terlalu ringkas, mungkin.

Tapi sekarang saya dalam progress untuk belajar selok-belok blog ini. Kalau anda singgah dan nampak lain macam sikit, atau lari paparan, minta maaf ya. 😁

Orang kata, tak ada kerja, cari kerja. Kerja berlambak, tapi saja tambah kerja bagi serabut lagi. Hehe..

Saya cuba perbaiki entri lama, dan hantar request untuk diindeks, melalui Google Search Console. Baru testing satu entri. Saya rancang untuk buat hari-hari, jika punya waktu.

Kemaskini entri lama, dan publish entri baru. Boleh ke? Entah. Saya cubalah ya. 

Pokok buah naga keluar buah sulung.

Suka bila pokok kita tanam keluar buah atau bunga. 😍

Kenapa saya kemaskini entri lama

10 entri evergreen, yang topik orang selalu cari, adalah lebih bagus dari 100 entri diari harian. Kenalah cuba perbaiki mana yang kurang dan salah. Cuba dan ikhtiar.

Saya ingin tingkatkan pendapatan melalui Google Adsense. Sekarang ada, tapi nak cerita ke? Malulah!

Hehe... Okaylah. Sebulan pendapatan blog saya ini cuma 1 dolar saja. 🙈

Ye la, blog ini pun masih baru. 

Belajar Ilmu Baru Dunia Blog

Cara kita menulis entri pun main peranan juga. Kena guna keyword yang orang selalu cari. Bukan senang, ya. Sebab selama ini, saya cuma menulis ikut suka hati. Suka-suka, mengisi masa lapang. 

Niche Blog dan Cabaran Berblogging

Saya rasa, blog saya ini lebih kepada diari seorang surirumah yang suka berkebun 🌹, kopi ☕ dan bersenam 🏃. Saya ingin tambah entri tentang berkebun, tapi saya sendiri kurang ilmu berkebun. Masih belajar. Saya bukan pakar. Apa yang saya kongsikan, adalah pengalaman saya sendiri. Tidak pernah ambil kursus tanaman dan sebagainya.

Tapi sebagaimana memasak, saya juga rasa berkebun ini, semua orang boleh buat. Lagi-lagi zaman sekarang, semua maklumat di hujung jari. Cuma mungkin kena dengan minat kita atau tak, itu saja. Nak atau tak nak.

Lagi satu cabaran, kurang masa menghadap blog. Banyak betul kerja rumahtangga yang perlu buat dulu. 

Jadi, memang akan ambil masa untuk perbaiki blog ini. Insya-Allah, saya buat bila punya waktu. Sikit-sikit. Kalau satu hari, dapat perbaiki satu entri lama, okay lah tu, kot.

Nanti saya blogwalking slow-slow ya, ke rumah kawan-kawan.

Jumpa lagi. 💗

Sunday, April 26, 2026

Asal kain jadi jubah

April 26, 2026 46 Comments

 Pada hari Isnin, 20 April yang lepas, saya pergi ambil baju yang telah siap di tailor. 

Kain pemberian Kak Notie, dari Giveaway Baju Raya Berlace yang diadakan pada Januari lepas. Masa dapat kain, sudah terlewat untuk hantar ke tailor sebab masa itu sudah tutup tempahan untuk baju raya. Jadi, lepas raya, barulah saya hantar. 

Alhamdulillah, siap mengikut jadual. Masuk saja ke kedai, saya beri slip yang ada nombor tempahan saya. Nyonya tukang jahit cari antara baju-baju yang telah siap digantung di rak. Saya tak perasan, rupanya, jubah saya tergantung paling hadapan sekali.

Saya pun cakap pada nyonya tu,"Eh, itu, baju saya, paling depan!"

Saya tak perasan sebab nampak lawa. Betul ke ni, baju saya. Tapi rasa betul dah. Nyonya itu check, ha, betul la, itulah jubah yang saya tempah. 

Bila kita rujuk gambar kain dalam handphone, lain. 

Bila kita tengok bila jadi pakaian, lain pula rupanya. 😁

Warna macam pink belacan atau dusty pink. Boleh jadi juga macam warna peach. Lighting pun main peranan juga. Dalam rumah saya pula bila ambil gambar, gelap. Kena buka semua lampu, barulah jelas.

Tadaaa....

Lace dijahit di bahagian depan saja. Tak banyak pun bahagian lace itu. Tak cukup untuk jahit keliling bahagian bawah kain.

Bahagian belakang yang kosong.

Tapi pada saya, tetap cantik. Tak kan nak gantung saja. Marilah kita cuba pakai. 

Ambil gambar di luar la, cahaya semulajadi. Waktu kejadian, sudah waktu petang. 

Close-up sikit bahagian lace di depan.

Elok aunty tukang jahit itu jahit. Patut arwah mak saya dulu hantar baju kedai dia. Tadi masa ambil baju pun, ada perasan banyak baju tempahan telah siap yang digantung. Bila tempah, siap on time. Kualiti jahitan pun bagus.

Masa saya hantar kain tempoh hari, dia tanya banyak benda. Masa ukur, nak labuh kain sampai mana? Saya kata, tak mahulah sampai menyapu lantai. Dia buat betul macam yang kita nak.

Lace itu pun dia tanya, kita nak letak mana. Memang letak di bawah. Tapi masa itu, tak boleh agak panjang lace itu. Saya cuma cakap kalau cukup, selain letak di bahagian bawah kain, kalau ada ekstra, boleh letak di hujung lengan. Tapi ini pun sudah cukup cantik bagi saya.

Ambil dari tepi, lace di depan saja.

Suami saya cakap, saya tak pernah ada baju warna macam ni. Ha ah. Betul. Semua jubah saya warna hitam. Ada dua helai jubah warna putih, itupun jubah yang saya pakai masa umrah saja, bila di sini, sudah tak pakai. Sebab warna putih tu, kurang suka. Nanti cepat kotor. Cuma jubah hitam saja saya pakai.

Makcik posing ala ala model muslimah.

Alhamdulillah. Terima kasih pada kak Notie, atas pemberian kain yang cantik ini. Lembut je. Selesa dan sedap dipakai. 🥰 Semoga kak Notie sihat-sihat selalu dan murah rezeki. 

Baiklah. Selamat berehat di hujung minggu kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Saturday, April 25, 2026

Pelbagai gambar makanan

April 25, 2026 38 Comments
Kadang tu, suka ambil gambar makanan. Saja, untuk rekod dan tak lupa makan mana sedap. Tapi, sebab sekeping saja gambarnya, jadi nak buat entri khas untuknya macam tak tahu nak tulis apa pula.

Jadi, saya rangkumkanlah banyak-banyak gambar makanan dalam entri ini.

Bukan semua saya masak di rumah. Ada yang saya beli di luar.

Nasi ayam geprek, pilih ayam bakar

Saya beli di pasar malam pada 5 April 2026. Harga RM12. Gendut kekenyangan, sebab portion yang besar. Sambal sangat pedas. Saya setakat dip dip je timun ke, tauhu dan tempe dalam sambal sikit-sikit dan makan dengan nasi. 
Harga nasi okay bagi saya memandangkan rasa agak sedap. Perapan ayam bakar pun cukup rasa.

Telor goreng masak sos, lauk 9 April 2026.

Lauk berasaskan telur adalah yang paling senang nak disediakan. Campur sayur carrot dan kacang panjang, masak dengan sos tomato, cili dan tiram sikit. 😋

Lauk 13 April 2026. Sambal telur rebus.

Lagi lauk berasaskan telur. Sambalnya, saya kisar cili kering semata, tanpa guna bawang pun. Itu pasal dalam gambar nampak merah bebenor. Berasap, makan dengan nasi. 😅

Makan tengahari 17 April 2026

Setelah sekian lama tak makan roti. Ada beli roti gardenia hijau yang wheat tu. Saya bakar dulu roti guna toaster. Roti bakar cicah asam pedas ayam je. Tak cukup dua keping. Tambah lagi dua keping roti. Nikmat sungguh, lagi pun lauk asam pedas yang dimasak hari sebelumnya. Bila panaskan, lagi bertambah kick!

Sarapan pada 18 April 2026

Roti canai 2 keping, cicah asam pedas (lagi). Ambil 2 ketul ayam asam pedas. Walaupun roti canai bungkus dari kedai telah diberi kuah dhal dan kari. Saya tetap cicah dengan kuah asam pedas masak sendiri juga. Alhamdulillah.. 😋

Sarapan 19 April 2026

Roti whole wheat. Bakar. Ada patti burger daging, telur goreng, tomato dan timun di dalam. Buat dua set. Jadi, makan 4 keping roti. Gendut. 

Sarapan 20 April

Sandwich telur dan patti daging, ada tomato dan timun. Kali ini, buat satu set saja. Habiskan roti whole wheat. Kulit roti pun makan, tak ada masalah. Ada orang, tak suka bahagian kulit roti.

Haaa.. itulah cerita gambar makanan. Nanti kot ambil lagi gambar makanan, saya akan kumpul-kumpul dan buat dalam satu entri.

Baiklah. Jumpa lagi ya. Kome makan apa hari ni? 💗

Segmen Pencarian Bloglist Aynorablogs.com Tahun 2026

April 25, 2026 30 Comments

Assalamualaikum, semua... Salam Sabtu...

Saya pun ingin turut sama memeriahkan segmen kawan baru kita ni. Kawan blogger baru bagi saya. Tapi beliau telah mula berblog sejak 2011. Wah... 


Pada yang belum join, bolehlah klik banner di atas, ya. 

Di samping tambah kenalan blogger, bolehlah kita luaskan jaringan sesama bloggers semua.

Marilah kita join beramai-ramai dan menyokong antara satu sama lain untuk hidupkan dunia blog. 

Okay. Jumpa lagi. 💗

Friday, April 24, 2026

Munge-munge cinta dan masak apa

April 24, 2026 34 Comments

 Assalamualaikum dan halo... salam Jumaat yang mulia kepada pembaca blogku yang saya hormati sekalian... 

Cerita pada hari Khamis, 16 April 2026 yang lepas. Seperti biasa, pagi-pagi, saya berkebun sekejap, siram pokok dan sebagainya. Banyak pula bunga-bunga yang ada, jadi haruslah kita ambil gambar kenangan. Jom tengok, jom...

Bunga ros kuning

Pokok ros kuning inilah yang paling sihat antara pokok-pokok ros yang saya ada. Ia selalu keluar bunga. 😍
Bougainvillea atau bunga kertas putih

Pokok bunga kertas adalah pokok yang tahan lasak dan panas. Bila musim panas, lagi banyak bunga keluar.

Bunga kertas ungu


Bunga kertas merah jambu dan jingga

Saya fikir nak tambah lagi koleksi pokok bunga kertas, tapi tak pergi-pergi lagi ke nursery pokok bunga. Nak cari warna yang belum ada.

Bunga melati Thailand atau Thai Jasmine


Bunga kertas jingga atau peach

Bunga-bunga yang pelbagai warna ini memang menceriakan halaman rumah. Kalau boleh, saya nak tambah lagi tumbuhan berbunga, biar jadi macam taman bunga. Hehe... 

Lepas berkebun, saya masuk dapur dan masak lauk pada hari itu.
Saya masak asam pedas ayam. Ikut resepi kak Amie. Walaupun dalam resepi itu, kak Amie guna ikan mabung, saya guna ayam. Tapi asam pedasnya tetap sedap dan menyengat! Lagi pun di rumah saya, banyak sangat daun kesum. Itu yang dapat idea masak asam pedas. 😋

Asam pedas ayam

Nak kata guna ayam seekor, tak juga. Sebab saya ada asingkan bahagian ayam yang banyak isi. Saya potong kecil untuk guna kalau nak masak bihun ke, spagetti ke, atau mi. 

Alhamdulillah. Hari ni, tak tahu lagi nak masak apa. 

Semoga segala urusan anda semua pada hari ini dipermudahkan, ya.

Jumpa lagi. 💗

Thursday, April 23, 2026

Jogging sabtu dan sarapan apa

April 23, 2026 33 Comments

 Cerita pada 11 April 2026 yang lepas. Pagi-pagi, pergi jogging dengan suami, di Padang Astaka, Sitiawan. 

View langit pagi yang tak jemu dipandang.

Sudah lama tak pergi jogging di padang. Asyik menebas di rumah dan kalau berjalan pun, guna walking pad saja di rumah. Kadang kala perlu keluar juga, tengok pemandangan, tengok orang. 

Kuat suara deme ni menyembang.. 

Ada benda yang saya nampak, buat rasa tenteram dan damai di hati. Salah satunya, ada uncle cina dan uncle India ini, borak dalam Bahasa Malaysia. Kuat deme ni bersembang. Boleh dengar dengan jelas, dia orang cerita tentang perang di Iran, minyak, dan lain-lain lagi. Tapi bukan butiran bualan tu yang saya nak cakap, tapi dia orang cakap melayu fasih sangat. 

Sengaja saya perlahankan langkah saya, supaya group uncle-uncle ni boleh potong. Bila dia orang potong, barulah boleh nampak, oh, cina dengan india yang bercakap. Elok betul bahasa dia orang. Benda macam ni, jarang-jarang boleh nampak. 🥰

Perkara kedua, ada seorang bapa ini, bawa motor, ada 3 anak kecil. Dia bawa motor masuk padang sampai ke tengah, kemudian berhenti. Si bapa dukung yang baby, pegang tangan anak yang tengah. Jalan tengah padang. Anak paling sulung masih duduk atas motor. Si bapa ajak si abang sulung turun, join jalan-jalan di padang. 

Anaknya pun turun dari motor. Dia orang empat beranak jalan-jalan di tengah. Jauh dari laluan orang yang mengelilingi padang. Tapi saya masih boleh nampak. Anak kedua sangat happy, berlari-larian. Anak-anak kecil memang mudah terhibur, kan. 🥰

Sempat berlarian selama 1 jam 16 minit, dengan jarak 7.02 km.

Alhamdulillah, syukur atas nikmat sihat. Dapat release tension juga, bila keluar berjalan-jalan, hirup udara segar pagi-pagi. 

Lepas jogging, apa lagi... kami cari sarapan la. Hehe..

Beberapa hari lepas, saya ada up entri suami bungkus makanan nasi kerabu dan nasi berlauk, kan. Kami tuju ke kedai itu, berdekatan Marina Island, dekat Teluk Batik.

Nasi berlauk untuk saya.

Kalau saya kena makan nasi berlauk setiap hari, saya okay je. Lagi-lagi gulai dia tu, guna rempah dari Kelantan. Tak sama macam kita masak kari guna rempah Adabi ke, Baba's ke, memang tak sama. Ada pula sambal lada dan ulam timun, memang ngam sangat! 😋

Sudah tahu nama kedai.

Gambar dari google Maps

Ramai orang hari tu, pada hari Sabtu. Jadi kita pun segan nak ambil gambar. Tapi ada banyak tempat duduk. Cuma agak panas makan di kedai, kena duduk dekat tempat yang ada kipas. Jumpa dah, kedai nasi sedap dengan harga berpatutan. 

Orait. Jumpa lagi, ye.💗

Wednesday, April 22, 2026

Misi tebas rumput di laluan berbata

April 22, 2026 20 Comments

 Assalamualaikum...

Haa... ini salah satu misi saya di bulan April. Untuk buang rumput di laluan ini. Saya sudah mulakan sejak 1 April. Sebelum ini, tidak kelihatan langsung laluan berbatu-bata ini, kerana sudah penuh dengan rumput. 

Misi saya, untuk keluarkan semula. Apa guna letak batu bata tapi tak tunjuk, ye tak. Sepatutnya, rumput carpet saja yang tumbuh di celah-celah bahagian tertentu di laluan tersebut. Tapi, kini rumput carpet sudah kurang tumbuh, sudah didominasi oleh rumput liar yang tebal dan entah rumput spesies mana lagi, termasuklah pokok semalu dan lalang. 

Pada 4 April barulah saya ingat nak ambil gambar.

Alihkan buaian ke sini, sebab nak menebas di bahagian sinun pula.

Barulah boleh duduk di buaian santai-santai tanpa ada rasa gatal di kaki, kena rumput panjang. Ambil masa, sebab tebal rumput. Saya guna alat sabit untuk buang rumput degil yang punya akar panjang.

Tidak ada sesiapa yang akan buat ini. Suami saya memang sibuk lepas raya, banyak kena masuk overtime. 

Gambar 5 April

Ini juga salah satu cara saya boleh habiskan masa dengan cepat, jadi saya tidak rasa lapar dan boleh buat IF. Saya mula kerja pukul 7 dan masuk rumah pukul 10 pagi.

Banyak kali juga terkejut, sebab lipan keluar semasa kerja menebas rumput. Lipan besar, lipan kecil. Boleh dikatakan hari-hari jumpa lipan. Boleh bayangkan, kalau keadaan rumput masih panjang dan ada kaki duduk di buaian itu dan lipan keluar? Hmmm... itulah salah satu lagi sebab kena pastikan rumah tak jadi semak, sebab adanya serangga atau binatang berbisa.

7 April

Sebelum ini, biasanya guna khidmat mesin rumput saja. Jadi, rumput pendek, tapi tetap ada, melindungi kawasan batu-bata ini. Sekarang sudah clearkan rumput, nampak lain sikitlah keadaan. Ada rasa puas di situ. 😊

8 April
Rumput yang dibuang, kena kumpul satu tempat. Kemudian, masukkan dalam plastik hitam. Letak luar rumah, sebab ada lori akan kutip segala sisa kebun. Tidak boleh buat pembakaran terbuka di sini.

9 April
Rumah lama, retak sana-sini. Ada kuari, selalu buat kerja letup-letup bukit, sejak zaman berzaman. Orang yang tinggal dekat kuari, ada komplen tentang habuk dari kuari, saya baca di group mukabuku penduduk tempatan. Rumah saya pula, retak sana-sini. Seram jugalah. Orang aircond pernah cakap, yang rumah kami ni macam senget, sebab dia ada guna alat ruler tu, untuk ukur lurus ke tak waktu pasang aircond.
Pada 9 April, saya kena stop menebas sebab hujan turun. 

10 April
Siap kerja! Alhamdulillah. Kalau saya tak jaga rumah arwah mama saya ni, siapa lagi. Suami kata, biar je rumput panjang supaya boleh upah orang. Kalau saya dah menebas, macam tak berbaloi nak panggil orang, sebab kawasan tak besar sangat. Hmmm... tak apalah. Saya boleh bersenam bila menebas ni. Keluar peluh dan senaman otot lengan. 

Berjaya juga misi saya. Itulah, bukan setakat bercucuk-tanam, kerja-kerja menebas dan menjaga landskap rumah supaya kemas dan bersih pun kerja saya juga. Itu yang saya jadi kurang masa untuk me time dan berblog, sebab sudah penat. 

Selagi terdaya, saya akan buat sendiri. Rasa macam kurang best sebab kita duduk di rumah peninggalan orang tua, dan kita biar je semak samun naik sana sini. 

So sekarang sudah settle laluan batu-bata ini, saya cuma maintain sajalah, supaya rumput tak naik seperti sebelum ini. Sekarang saya dah pindah kerja menebas ke kawasan lapang dekat pokok besar dan beralih ke tepi rumah bila matahari naik tinggi. 

Orait. Sekian laporan seorang tukang kebun jadian. 
Jumpa lagi, ya. 💗

Tuesday, April 21, 2026

Makannn je...

April 21, 2026 26 Comments

Kadang tu, tak tahu nak cerita apa. Kali ini, saya cerita pasal makanan la, ye. 

Alkisah pada hari Selasa, 7 April 2026 yang lepas, suami saya bawa balik sarapan yang dibungkus dari kedai baru.

Eh, bukan kedai baru. Cuma kedai yang kami tak pernah cuba, baru tahu, rekomen dari kawan ofis suami.

Entah nama kedai apa, lupa pula. Tapi sejak suami bawa balik sarapan itu, kami ada repeat makan di kedainya. 

Jom tengok suami bawa balik apa.

Nasi kerabu daging

Nasi kerabu harga RM10. Besar portion, kan. Ada solok lada juga. Memang gendut la, nak habiskan.

Untuk saya

Nasi berlauk ayam bakar harga RM7. Pun banyak juga nasi.

Sedap kedua-duanya. Itu yang di lain hari, kami pergi makan di kedai pula. Cuma rasanya, lebih selesa bungkus makan di rumah, sebab agak panas masa makan di kedai.

Pada hari yang sama, saya masak, untuk makan malam. Tudia lah, sebab makan banyak, tengahari pun masih kenyang. Jadi kita makan malam terus la, di waktu petang.

Timun dan sambal belacan.

Lama tak buat sambal belacan. Saya kisar je, malas nak menumbuk, sambalnya.

Kari ayam

Saya masak kari ayam, letak kentang juga.

Alhamdulillah. Rezeki pada hari itu. 

Okay. Sekian cerita.

Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, April 20, 2026

Cerita Isnin

April 20, 2026 31 Comments

 Assalamualaikum, semua... minggu baru, semoga kita semua kuat dan bersemangat untuk bekerja.. 💪

Entri ini, cerita yang berlaku pada hari Isnin (kebetulan sama, hari cerita dan hari publish entri), 6 April 2026 bersamaan 17 Syawal 1447H yang lepas.

Pada waktu pagi, saya pergi jogging di Padang Astaka, Sitiawan. Pakai tudung baru, ada saya cerita dalam entri sebelum ini.

Aktiviti dan peta yang sempat disimpan oleh jam.

Jarak cuma dapat 5.9 km sahaja, kerana jam saya mati. Saya tak caj jam, sebab masih ada dua bar. Tapi okaylah, sebab boleh riadah sampai 1 jam 6 minit, sebelum jam mati.

Kemudian, saya beli kopi Zus. Selepas itu, beli bungkus nasi berlauk kak Za untuk sarapan.

Balik rumah, saya bungkus barang Amirul. Dia mesti ada tertinggal benda punya, jadi mamalah tukang pos. Barang tinggal ada satu saja, iaitu cable extension, tapi pos kotak besar, mestilah ada barang-barang tambahan, makanan, kopi, dan lain-lain. Hehe..

Bungkusan untuk Amirul

Saya tanya pada kerani pejabat pos, boleh keluar duit ASB tak?

Dia cakap, sebab masih pagi, tak cukup cash. Orait.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Daerah Manjung.

Selesai urusan pejabat pos, kami pergi bayar zakat. Suami saja masuk dalam. Saya tunggu dalam kereta. Tapi, tak lama pun urusan. Alhamdulillah, berjalan lancar.

Cenderahati dapat bayar zakat

Suami dapat tumbler khas, ada logo Zakat Perak. Comel tumbler-nya.

Selesai urusan bayar zakat, kami pergi Maybank pula. Saya tak boleh bawa keluar duit ASD Sulaiman. Nama Sulaiman sudah tiada bawah nama mama. Kalau nak keluar, Sulaiman kena buat sendiri. Sebab umur. Lagi 4 bulan Sulaiman akan cukup 18 tahun. Kalau ikut harijadi, belum cukup. Sistem Maybank macam tu, orang banker tu cakap. Dalam tempoh 6 bulan sebelum birthday, penama tu float je, tak boleh buat apa-apa urusan perbankan. Hari sebelumnya pun ada kes sama, di mana budak belum cukup 18 tahun tak boleh buka akaun atas nama sendiri. Dia kena tunggu sehari selepas birthday dia untuk buat.

Huh. Macam-macam. Saya rasa, bank lain okay kot. Sebab anak kedua, Hafizan, pernah buka akaun Bank Islam, sebelum dia 18 tahun, memang guna nama bapa, tapi ada nama dia sendiri. Bila dah cukup umur, automatik tukar nama dia. Entah. Saya pun dah lupa macamana. 

Sulaiman berhajat nak keluar duit Amanah Saham Didik dia sikit, sebab dia nak beli handphone baru. Telefon dia sudah uzur sesangat. Sebab malas nak pergi bank lagi, mama pinjamkan duit mama la, untuk beli handphone baru. Alhamdulillah, sudah selesai di hari lain, dia beli telefon Infinix. Senyum sampai ke telinga dia.

Lepas zohor, saya pergi hantar kain yang hadiah dari kak Notie ke tailor.

Kain berlace

Baju raya berlace ini, saya dapat bulan Januari lepas. Tapi waktu itu, tukang jahit semua sudah tutup order untuk baju raya. Itu yang saya baru nak hantar.

Lama saya tak pergi hantar tempah baju ni. Kali terakhir, sebelum covid. Saya pergi tempat sama yang arwah mama saya suka pergi. Jadi, kena ambil ukuran la, sebab sudah lama. Rekod pun sudah ke mana pergi. 

Aunty ambil ukuran tu kemudian tanya nak letak bahagian lace di mana. Dia bawa keluar kain, letak lace atas kain. Letak di bahagian bawah. Saya tempah jubah. Hehe...

Harga tempahan pakaian di kedai aunty Gally.

Bapakk, baju kurung biasa harga RM80. Menyesal aku tak belajar menjahit dulu. Peh.. memang boleh buat duit kalau tahu menjahit pakaian ni. Ada simbol plus plus di papan tanda di atas tu. Sebab jubah itu ada tambah lace, jumlah harga adalah RM120. Saya sudah bayar penuh.

Insya-Allah, siap hari ini, hari saya publish entri ini. Nanti petang, saya akan pergi pick-up. 

Itulah ceritanya. Urusan pada suatu hari Isnin di awal bulan lalu. 

Semoga hari anda pada hari ini berjalan dengan lancar. Semangat! 

Jumpa lagi. 💗

Sunday, April 19, 2026

Beli tudung baru

April 19, 2026 30 Comments

Cerita pada 5 April 2026 yang lepas. Saya ada beli tudung baru, dari shopee. Pada hari itu, selamat sampai ke rumah. Beli 4 helai. 

Tudung bawal lazy. Jenis sarung saja. Kain mosscrepe. Bidang 45.

Warna hitam, coffee, dark gray dan brown.

Tak menarik sungguh la, warna yang saya pilih, merujuk kepada gambar di atas. Itulah warna-warna yang saya suka. Warna earth colors. 

Harga lain-lain pula, bergantung pada warna.

Tudung warna brown harga RM3.30

Tudung warna dark gray berharga RM5.66

Tudung warna coffee dan hitam berharga RM8.99 setiap satu.

Murah, bagi saya. 

Jahitan mesin jahit bergumpal, pada tudung warna brown.

Patutlah murah. Jahitan pun tak berapa cantik. Huhu... 

Saya review tudung ni, cakap benda betul. Tapi saya masih bagi 4 bintang dari 5 bintang. Cuma saya ada cakap mutu jahitan boleh diperbaiki.

Bila saya pakai tudung baru, saya suka berdiri depan cermin dan belakang saya, pintu rumah. Bila buka pintu, cahaya dari luar masuk. Bila tengok cermin, saya akan nampak tudung ini jarang atau tidak sebab cahaya di belakang.

Dukacita dimaklumkan, boleh nampak bayang leher. 😒 Hmmm....

Ambil gambar lepas larian pagi, pakai tudung baru.

Nampak okay. Kena pakai anak tudung di dalam. Sebab tudung bergerak ke hadapan. Bolehlah pakai tudung ini buat berkebun. 

Kain yang saya rasa tidak jarang adalah dari denim. Kome pernah pakai tudung kain denim? Bukan tebal macam jeans tu sangat. Tapi still tebal juga, banding tudung kain lain. Bila pakai banyak kali dan basuh banyak kali, barulah rasa selesa. Juga tidak jarang, dan ironless. 

Sudah malas nak beli tudung online. Inilah yang terakhir beli. Memang boleh pakai inner leher. Tapi waktu cuaca panas ni, tidaklah saya suka sangat. Berpeluh dan agak merimaskan juga.

Kadang rasa macam nak beli tudung macam tudung sekolah tu, dua lapis, kain koshibo.

🌸Tudung yang muslimah compliance adalah hijab yang menutup aurat dengan sempurna mengikut garis panduan Islam. Ciri-cirinya termasuk labuh menutup dada, tidak jarang, tidak ketat, dan tidak menyerupai pakaian bukan muslim. 

🌸 Material tudung dari jenis tidak jarang, kain tebal dan tidak menampakkan rambut atau leher.

🌸 Gaya tudung pula ringkas, tidak berlebihan atau bertujuan untuk menunjuk-nunjuk (tabarruj).

Saya suka tudung instant atau sarung, yang dari jenis kurang iron, untuk pemakaian harian dan travel.

Bawal empat segi pun pakai juga, sekali-sekala.

Okay. Salam hujung minggu kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Friday, April 17, 2026

Tengok Gremlins

April 17, 2026 27 Comments

Baru-baru ni, semasa 5 April 2026 yang lepas, masa preview percuma pakej HBO masih ada untuk pelanggan Unifi TV, saya tertengok la filem Gremlins, di saluran Cinemax. 

Siapa pernah tengok filem ini, sila angkat tangan?

Bagus, bermakna anda sudah tua! 😂

Yang belum pernah tengok, memang logik pun, filem lama ni, tahun 1984. Lebih kurang macam filem E.T. Penerbit pun sama, Steven Spielberg.

Cerita dia berkisarkan tentang binatang kecil gebu gebas comel yang jenisnya dipanggil Mogwai. Memang cute, macam kucing. Tapi nak membela mogwai ini ada pantang larangnya. Kalau langgar, makhluk mogwai ini bertukar jadi makhluk lain bernama Gremlins yang lebih ganas, suka buat huru-hara dan menakutkan juga.

Gremlin yang jahat

Dulu masa saya kecil, arwah opah saya tolong rekod semasa filem ini ditayangkan. Guna pemain VCR. Kalau ada kartun ke, muzik-muzik ke, opah saya akan telefon rumah, tanya, nak record ke? Ha, terer tak opah saya? Lepas rekod sesuatu, arwah opah saya akan siap labelkan, dan susun pita VHS dalam almari di rak TV, dan kami akan tengok satu-satu, bila balik kampung masa cuti sekolah.

Kenapa tak tengok sendiri di TV, kena opah pula tolong rekodkan? Sebab masa itu, saya dan keluarga tinggal di Arau dan Kangar, Perlis. Siaran TV tak berapa jelas. TV3 memang tak jelas langsung, masa itu memang baru lagi wujud siaran itu. TV1 dan TV2 saja siaran yang boleh tengok. Lebih jelas, cerita dari Thailand. Kalau cerita Thailand, memang selalu juga tengok. Takut tau, cerita hantu siam. 

Gizmo yang comel

Inilah makhluk mogwai bernama Gizmo, yang dihadiahkan oleh bapak Billy kepada anaknya. Dapat dari orang tua misteri, dari kedai antik di Chinatown. 

Zaman dulu punya filem, mana wujud lagi CGI, jadi not bad lah, kesan khas filem ini. Tahukah anda, semua Gremlins dan Gizmo dalam filem ini adalah patung (animatronics) yang sangat detail. Pergerakan mereka nampak hidup dan mempunyai personaliti tersendiri.

Pantang larang membela mogwai ialah:

🐻 Tak boleh kena cahaya terang, seperti lampu terang. Kalau kena cahaya matahari, boleh mati.

🐻 Tak boleh kena air. Kalau kena air, makhluk ini akan beranak dan membiak dengan cepat.

🐻 Tak boleh makan selepas tengah malam. Kalau buat juga, boleh membiak menjadi Gremlins yang ganas dan jahat.

Penuh panggung wayang dengan menatang Gremlins

Memang kena hapuskan la, menatang yang ganas ini semua. Sebab habis restoran, tempat awam, berantakan dek menatang ini. 

Gizmo naik kereta mainan

Gizmo ni, tolong tuan dia, nak hapuskan Gremlins yang telah menjajah pekan dia orang. 

Watak Gizmo ni, budak-budak memang suka, sebab ia comel. Walaupun kawan-kawan dia berubah jadi jahat, Gizmo tetap baik, berani, dan sentiasa cuba tolong tuannya, Billy.

Gremlin berjambul putih ini, Stripe, ketua segala Gremlins la.

Bila dia masuk kedai hardware, habis semua alat dia guna, nak hapuskan orang yang cuba bunuh dia. Sungguh licik menatang ini.

Nasib baik semua menatang jahat berkumpul di satu tempat. Dengan letupkan tempat itu, hapuslah sudah ancaman. 

Tapi tak boleh la bela si mogwai ini, sebab susah, takut terjadi lagi kejadian yang tak diingini. Jadi, kena pulangkan dia balik kepada tuan asal.

Bye bye, Billy.

Comel je. Waktu si Billy sibuk nak selamatkan keluarga dia, si Gizmo ni duduk dalam backpack Billy. 

Filem ini menghiburkan, balance antara seram dan lawak. Kita gelak tengok gelagat nakal Gremlins. Contohnya, semasa mereka tengok cerita Snow White dalam wayang, atau bermain kad. Tapi, ada juga babak yang ngeri dan mengejutkan.

Kembalikan semula kepada orang tua ini.

The end. Sudah lama saya tak tengok cerita ini. Sejak dari zaman budak. 

Kome ada ke, filem lama kegemaran atau kenangan tonton waktu kecil? Cer citer, cer citer.

Salam hari Jumaat. Jumpa lagi, ye. 💗