Wednesday, April 22, 2026

Misi tebas rumput di laluan berbata

 Assalamualaikum...

Haa... ini salah satu misi saya di bulan April. Untuk buang rumput di laluan ini. Saya sudah mulakan sejak 1 April. Sebelum ini, tidak kelihatan langsung laluan berbatu-bata ini, kerana sudah penuh dengan rumput. 

Misi saya, untuk keluarkan semula. Apa guna letak batu bata tapi tak tunjuk, ye tak. Sepatutnya, rumput carpet saja yang tumbuh di celah-celah bahagian tertentu di laluan tersebut. Tapi, kini rumput carpet sudah kurang tumbuh, sudah didominasi oleh rumput liar yang tebal dan entah rumput spesies mana lagi, termasuklah pokok semalu dan lalang. 

Pada 4 April barulah saya ingat nak ambil gambar.

Alihkan buaian ke sini, sebab nak menebas di bahagian sinun pula.

Barulah boleh duduk di buaian santai-santai tanpa ada rasa gatal di kaki, kena rumput panjang. Ambil masa, sebab tebal rumput. Saya guna alat sabit untuk buang rumput degil yang punya akar panjang.

Tidak ada sesiapa yang akan buat ini. Suami saya memang sibuk lepas raya, banyak kena masuk overtime. 

Gambar 5 April

Ini juga salah satu cara saya boleh habiskan masa dengan cepat, jadi saya tidak rasa lapar dan boleh buat IF. Saya mula kerja pukul 7 dan masuk rumah pukul 10 pagi.

Banyak kali juga terkejut, sebab lipan keluar semasa kerja menebas rumput. Lipan besar, lipan kecil. Boleh dikatakan hari-hari jumpa lipan. Boleh bayangkan, kalau keadaan rumput masih panjang dan ada kaki duduk di buaian itu dan lipan keluar? Hmmm... itulah salah satu lagi sebab kena pastikan rumah tak jadi semak, sebab adanya serangga atau binatang berbisa.

7 April

Sebelum ini, biasanya guna khidmat mesin rumput saja. Jadi, rumput pendek, tapi tetap ada, melindungi kawasan batu-bata ini. Sekarang sudah clearkan rumput, nampak lain sikitlah keadaan. Ada rasa puas di situ. 😊

8 April
Rumput yang dibuang, kena kumpul satu tempat. Kemudian, masukkan dalam plastik hitam. Letak luar rumah, sebab ada lori akan kutip segala sisa kebun. Tidak boleh buat pembakaran terbuka di sini.

9 April
Rumah lama, retak sana-sini. Ada kuari, selalu buat kerja letup-letup bukit, sejak zaman berzaman. Orang yang tinggal dekat kuari, ada komplen tentang habuk dari kuari, saya baca di group mukabuku penduduk tempatan. Rumah saya pula, retak sana-sini. Seram jugalah. Orang aircond pernah cakap, yang rumah kami ni macam senget, sebab dia ada guna alat ruler tu, untuk ukur lurus ke tak waktu pasang aircond.
Pada 9 April, saya kena stop menebas sebab hujan turun. 

10 April
Siap kerja! Alhamdulillah. Kalau saya tak jaga rumah arwah mama saya ni, siapa lagi. Suami kata, biar je rumput panjang supaya boleh upah orang. Kalau saya dah menebas, macam tak berbaloi nak panggil orang, sebab kawasan tak besar sangat. Hmmm... tak apalah. Saya boleh bersenam bila menebas ni. Keluar peluh dan senaman otot lengan. 

Berjaya juga misi saya. Itulah, bukan setakat bercucuk-tanam, kerja-kerja menebas dan menjaga landskap rumah supaya kemas dan bersih pun kerja saya juga. Itu yang saya jadi kurang masa untuk me time dan berblog, sebab sudah penat. 

Selagi terdaya, saya akan buat sendiri. Rasa macam kurang best sebab kita duduk di rumah peninggalan orang tua, dan kita biar je semak samun naik sana sini. 

So sekarang sudah settle laluan batu-bata ini, saya cuma maintain sajalah, supaya rumput tak naik seperti sebelum ini. Sekarang saya dah pindah kerja menebas ke kawasan lapang dekat pokok besar dan beralih ke tepi rumah bila matahari naik tinggi. 

Orait. Sekian laporan seorang tukang kebun jadian. 
Jumpa lagi, ya. 💗

No comments:

Post a Comment