Saturday, February 7, 2026

Aktiviti Kuala Terengganu

 Sabtu, 24 Januari 2026 - Lepas sarapan di hotel, saya dan suami menaiki kereta ke Jeti Bot Penambang Seberang Takir. Tunggu kawan suami, kalau ada rezeki, nak naik bot. Lokasi jeti ini, di belakang Masjid Kampung Seberang Takir.

Pemandangan dari Jeti Seberang Takir
Pemandangan dari Jeti Seberang Takir

Jeti bersejarah ini telah beroperasi sejak tahun 1930-an. Ia menghubungkan Kampung Seberang Takir dengan pusat bandar Kuala Terengganu. Perjalanan naik bot ambil masa 10 minit saja. 

Bot penambang ke seberang
Kelihatan bot terawal baru berlepas dari jeti ke seberang.

Lagi satu info, boleh sewa bot dengan kadar RM80 untuk satu jam perjalanan. Laluan khas ini, penumpang akan dibawa menikmati tarikan utama di sepanjang sungai termasuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Masjid Kristal, dan bersiar-siar di Perkampungan Nelayan Pulau Duyong.

Kenangan di jeti Penambang Seberang Takir
Selpiaq sekeping, sementara tunggu orang.

Tapi nampaknya, tak ada rezeki kami naik bot. Kami tunggu kawan suami sampai sudah 1 jam, tengok-tengok dia ada urusan penting tiba-tiba. Dan bot yang dia punya pula ada trip angkut barang. Tak apa, lain kalilah. Kami pun tidaklah beriya sangat nak naik bot. Kawan suami yang ajak. Kami ikut saja. Tak apa, tak apa. Ada hikmahnya tu. Takut kang nanti terkejar-kejar pula, nak check-out hotel pula pukul 12 tengahari, takut tak sempat. Insya-Allah, lain kali, kalau ada rezeki, ya.

Sebab tak dapat naik bot, kawan suami bawa kami ke kedai keropok lekor milik keluarga isterinya. Dekat-dekat situ juga. Masya-Allah, ini lagi bagus! Keropok lekor Terengganu memang sedap la ya, terasa-rasa ikannya. 

Anak kawan suami, sedang menggentel keropok.

Ha ah, anaknya, yang sedang tunggu keputusan SPM, bantu kedai ibu saudaranya, dapatlah upah harian. Isi ikan yang telah dikisar, digentel bulat-bulat, dengan tepung sikit, untuk elak lekat, dan kemudian direbus.

Keropok lekor yang baru digoreng
Ini yang fresh baru gentel, terus digoreng

Keropok lekor segar, kome! Walaupun waktu masih awal pagi, dalam pukul 9 lebih, sudah ada pelanggan tunggu depan kedai. Nak beli keropok lekor baru siap diproses. Kami pun dapat merasa sebungkus. Masya-Allah, lembut dan sedaplah! 😋 

Di samping itu, saya ada juga membeli keropok lekor yang sudah dalam pembungkusan vakuum (mengeluarkan udara) yang boleh tahan lebih lama, kalau tidak simpan dalam peti ais. Boleh tahan 2 hari, kata akak tuan kedai. Sebab kami pun masih dalam perjalanan. Juga beberapa bungkus keropok keping mentah, dan yang sedia untuk dimakan pun ada. Borong keropok kami di sini. Alhamdulillah.

Selepas itu, kawan suami yang bertindak seperti pemandu pelancong, membawa kami ke Pasar Kedai Payang. Ada kawasan yang boleh parking, bayar terus RM2 masa nak masuk. Waktu pagi, jadi banyak lagi parking kosong. 

Pasar Kedai Payang
Tadaaa.... 

Ini pertama kali saya sampai ke Pasar Kedai Payang. Ada bahagian basah, ada bahagian jual produk kering. Kelihatan kawan suami dan isterinya dalam gambar di atas. Usaha deme, bawa kami jalan-jalan. 

T-Shirt Terengganu untuk anak-anak
Ini T-Shirt Terengganu untuk anak-anak.

Selain T-Shirt Terengganu di atas, saya ada beli juga fridge magnet dan keychain, dan sebuah beg tangan. Jalan-jalan tengok periuk-periuk. Memang menarik. Kena pejam mata, takut terbeli. Mangkuk tingkat pun lawa-lawa la, design. Aduh... geram tengok. Sebab ada orang Terengganu ikut dan tolong tawar-menawar, harga beg anyam yang saya beli RM50, boleh dapat RM35 jer. Seronoknya!

Lagi satu, isteri kawan suami beritahu, emas Terengganu tak sama macam emas Kelantan. Bagi yang suka emas, ada kedai emas juga di tingkat bawah. Tengok-tengok kalau berminat. 

Selepas habis shopping di Pasar Kedai Payang, kami pulang semula ke hotel. Parking saja di ruangan parking, tapi tidak terus check-out. Kawan suami dan isterinya bawa kami jalan kaki ke belakang hotel saja, pergi Terminal Bas Kuala Terengganu. Minum sekejap di medan selera. Kemudian, naik atas, bahagian orang jual tudung-tudung dan pakaian. Saya terbeli tudung bawal 5 helai, dan tudung sarung, 4 helai. Hahahaha... suka, suka! 😍 Tudung bawal tu harga display RM15 sehelai, saya dapat RM10 sehelai. Isteri kawan suami yang saya panggil Kak Nora,  tolong tawar-menawar dengan makcik tudung. 😁

Alhamdulillah. Banyak betul saya shopping di KT. Suami geleng-geleng kepala tengok hasil belian saya. Beg pun beranak. Ater... bukan selalu, kan. Sini tudung dia lain pula, kain lembut je. Masya-Allah, kalau tak beli karang, terbayang-bayang tak boleh tidur. Baiklah beli, dan nanti kita duduk rumah diam-diam ya.

Sekian aktiviti kami sebelum kami check-out hotel pada waktu tengahari. Alhamdulillah, rezeki ada kawan suami yang bawa kami jalan-jalan, beli keropok dan shopping. Panjang umur, kita jumpa lagi, ya. 

Ok. Sambung cerita roadtrip di lain entri ya. 

Jumpa lagi. 💗

No comments:

Post a Comment