Review Glad2Glow Mugwort Clay Stick Hijau

Salam 25 Ramadan 1447 H.

Saya memang mudah diracun. Jangkit dari blogger Linda. Pada suatu petang di bulan puasa, masa beli vitamin kiriman anak kedua, Hafizan, di Guardian, saya ternampak produk ini, lalu terbeli. 

Comel je, kecil.

Hasil kumpul point melalui app Guardian, saya dapat tolak RM4 dari jumlah harga yang saya beli pada hari itu.

Nama produk: Glad2Glow Mugwort Salicylic Acid Acne Clay Stick

Saya cuba pakai lepas cuci muka, di malam hari. Mula-mula, saya ingat nak cuba pakai di hidung saja. Nasihat dari kawan baik saya, ChatGPT. Kulit saya jenis kulit sensitif. Dia nasihat saya supaya:

🌼 Cuci muka dahulu.

🌼 Sapu nipis di bahagian hidung saja.

🌼 Tunggu lebih kurang 8 minit.

🌼 Bilas sebelum kering sangat.

🌼 Pakai pelembab

🌼 Kalau esoknya kulit rasa okay, tak pedih, tak merah, makanya kulit saya boleh terima produk ini.

Tapi saya tak dengar cakap chatGPT. 😜 Saya tepek seluruh muka. Sapuan light. Setakat meliputi seluruh kawasan muka dengan nipis.

Saya basuh selepas 8 minit. Kemudian, saya lap muka dengan tuala muka bersih.

Akhir sekali, saya pakai pelembab seperti biasa. 

Esoknya, rasa kulit muka saya lebih lembab. 😍 Saya tak ada rasa pedih atau panas pada muka. Oraitlah, baru cuba sekali. Seeloknya, seminggu sekali saja guna, macam scrub juga, claystick ini.

Kandungan produk ini.

Untuk info, bahan salicylic acid dalam clay mask ini bantu larutkan minyak dalam pori, sementara clay menyerap minyak berlebihan. Bila pori dah bersih, blackhead boleh keluar perlahan-lahan atau jadi lebih mudah dibersihkan.

💡Satu tips yang ramai orang tak tahu, clay stick macam ini sebenarnya lebih baik kalau sapu nipis dan fokus kawasan hidung sahaja. Hidung ialah tempat paling banyak blackhead. 

Selain warna hijau yang saya beli ini, ada juga claystick dari jenama yang sama, berwarna pink dan kelabu. 

Claystick warna hijau ini fungsinya untuk membersihkan, kurangkan kemerahan, mengawal lebihan minyak, menjadikan ia sesuai untuk acne-prone dan kulit jenis sensitif.

Boleh bawa waktu travel juga, sebab produk ini saiz sangat kecil, muat dalam handbag (25g). 

Lagi satu, saya rasa, senang untuk apply pada muka. Tangan tidak comot. 

Okay. Sekian review saya. Sebelum anda berminat untuk beli, buat research dulu ya, untuk tahu warna apa sesuai untuk kulit muka anda: 

🌸 Claystick warna pink ada niacinamide untuk kulit kusam, noda hitam dan kulit tidak sekata.

🍀 Claystick warna hijau ada mugwort untuk kulit berjerawat, kulit sensitif dan kemerahan.

❤ Claystick warna kelabu ada volcano untuk blackhead dan whitehead, kulit berminyak dan kemerahan.

Selamat berhujung minggu, semua. Jumpa lagi. 💗

Share:

Sahur 21 Ramadan

Cerita sahur pada 11 Mac 2026 bersamaan 21 Ramadan 1447 H.

Daging goreng kunyit tinggal secoet

Daging kunyit ini saya masak siang hari dan menjadi lauk berbuka. Bakinya saya panaskan, cukuplah untuk kami anak beranak makan.

Salad dan tomato cherry

Ini pinggan saya, tapi tak adalah makan salad saja. Kongsi ayam dengan suami.

Ayam bahagian chicken chop

Pertama kali beli ayam yang sudah diperap di supermarket Aeon. Saya goreng saja dalam kuali, guna minyak sedikit. 

Suami saya masak nasi goreng. Lupa ambil gambar. Dia cuma masukkan telur dan perencah nasi goreng Seri Aji. Dengan kuali naik atas meja. Laju je Amirul dan Sulaiman ambil. Nampak sangat dah tak ada selera makan nasi putih. Dapat nasi goreng panas-panas barulah selera nak bersahur. 😋

Alhamdulillah. 
Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Daging goreng kunyit

Cerita pada hari Isnin, 9 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447 H.

Pagi, saya keluar rumah, siram pokok. Tak berkebun pun. Malas sungguh.

Bendi sebatang

Mesti nak tunjuk juga. Sehari, sebatang. Ada hari, dapat tuai dua batang. Biasanya, saya akan masukkan dalam hidangan yang saya masak. Sebatang pun tak apa, masuk juga.

Masak daging goreng kunyit

Kelihatan dalam gambar di atas, ada bendi sebatang kena campak dalam periuk.

Saya masak lauk daging goreng kunyit ini, guna pressure cooker je. Suami saya beli daging di Econsave, minggu sebelumnya. Daging lembu import. 

Masuk dulu daging yang telah dipotong kecil dalam pressure cooker dengan asam keping, serai dan serbuk kunyit sesudu. Guna fungsi masak daging.

Bila sudah siap, saya guna fungsi stir fry sampai air kering. Eh, tak, saya keluarkan sikit air rebusan daging tu, sejukkan dan simpan freezer. Air rebusan daging tu, saya baca, buat sup, jadi sangat flavourful, itu yang saya simpan.

Bila daging yang dimasak guna fungsi stir-fry itu sudah kering, saya masukkan minyak masak sikit. Masukkan segala jenis sayur yang ada, iaitu carrot, bendi sebatang dan cili padi. Juga bawang dan daun kari. Malangnya tak ada kacang panjang. Malas keluar beli. Guna apa yang ada saja.

Alhamdulillah, lauk berbuka pada hari itu. 😋

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Lama tak jenguk pokok

Cerita pada 6 Mac 2026 yang lepas.

Di bulan puasa ini, saya belum sekali pun keluar tengok kebun kecil saya. Malas bebenor. Lepas tu, nak jimat tenaga sebab puasa. Kalau duduk luar rumah lama-lama, risau dahaga pula. Kalau berkebun hari biasa bukan di bulan puasa, memang saya selalunya letak botol air di luar rumah supaya senang nak minum.

Hujan pun jarang sekali turun. Kesian pula tengok pokok. Pada hari itu, saya keluar jugalah tengok pokok sekejap.

Ambil dua biji bendi

Ada bendi tua, dah keras. Saya biarkan dipokok. Nanti boleh jadikan benih.

Hello, awak...

Setia pokok ros kuning ini keluar bunga. Walau pun tuan dia malas siram pokok hari-hari.

Sebab rumput di laluan saya tengok pokok pun mulai panjang, saya menebas sikit guna sabit. 

Mealybug atau saya panggil bena putih

Laju betul tau, menatang ni buat kerja. Dekat pokok ros jepun. 

Sejenis perosak tanaman. Mealybug ini dibawa oleh semut. Jadi, perlu cari laluan semut dan hapuskan, mengikut si gemini. 

Banyaklah juga dekat satu pasu

Saya sudah buang. Saya kerat di mana ada bena putih tu, dan buang. Harap nanti cambah baru, tak ada la lagi. 

Itulah, baru lebih kurang 2 minggu tak jenguk pokok, sudah ada serangga perosak ni. 

Jadilah hari tu, saya berkebun dari jam 7 hingga 9 pagi. Kena jimat tenaga juga. Banyak lagi kerja lain perlu buat, nanti tak larat pula nak memasak.

Orait. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Kelas mengaji dan pembuka selera

Assalamualaikum, semua...

Cerita pada 7 Mac 2026 yang lepas.

Ikan belanak masam yang digoreng

Penambah selera makan, bila tak lalu makan nasi waktu sahur. Amirul request mama tolong gorengkan.

Kalau tak makan nasi pula waktu bersahur, sejenis yang hanya ratah lauk, bila cubit sikit isi ikan belanak ni, masya-Allah... masin! 😁 Baru terbeliak biji mata masa sahur. 

Imej dibuat oleh chatGPT

Saja gatal, suruh chatGPT buat cover fail mengaji. Nota mengaji semakin tebal. Sudah sampai huruf ‌ ص. 

Barulah semangat sikit bila nota sudah tersusun dan mudah dirujuk bila perlu.

Ada beberapa huruf saya salah sebut. Baru tahu bila tua-tua ni. Bila ada ustazah suruh buka webcam, nak tengok lidah kita terkeluar ke, sebutan ada bunyi angin, ke.. dan lain-lain lagi. Ada kala rasa slow sebab lambat pick-up. Terima kasih kepada ustazah yang banyak bersabar dengan saya yang slow ini.

Cabarannya untuk betulkan yang biasa. 

Okay. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Ayam padprik

 Saya sudah siap membalas semua komen dan kunjung balas ke blog kawan-kawan. Fuh.. banyaknya! Naik juling biji mata. 😅

Banyak juga benda yang saya dapat tahu bila baca blog kawan-kawan ni. Contohnya, macam kena submit e-filing. Terlepas pandang pula. Selalu suami saya yang suka submit awal ni. Suami saya lupa agaknya. 

Semalam saya masak lauk ayam padprik.

Jadi, macam kedai tomyam punya. 😋Chewah. Banyak saya masak, guna bahagian dada ayam. Habiskan stok ayam dalam peti ais. Ada lagi lauk ni lepas sahur pagi tadi. Boleh la panaskan untuk berbuka nanti. 

Saya tak ada idea nak tulis apa lagi. Nak chill chill je. Sebenarnya, hidup kita ni senang saja, kan. Tak tahulah kenapa manusia ni suka buat benda jadi complicated. Saya nak slow down sikit, la. Mungkin nak cuti blog kot, nak fokus bulan puasa ni. Boleh tak?  Entri pendek sajalah hari ni. 

Apapun yang anda sedang buat, saya doakan agar semuanya dipermudahkan. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Juadah berbuka 13 Ramadan

 14 Ramadan 1447 H.

Mood update blog kembali ke lautan dalam. Semalam satu hari saya tak update blog. Saya ambil masa untuk rehat. Nanti saya balas komen dan singgah blog kawan-kawan, ya. Apakah solusi bila tengah tiada mood untuk buat apa-apa? Kena paksa diri, kan. Kita buat je. Tak pun, tidur. 😊

Roti john crispy, RM12

Petang semalam beli di gerai burger depan kawasan perumahan saya. Hari biasa, dia punya burger ayam crispy biasa dan sos korea memang best seller. Bulan puasa, dia tambah menu roti john pelbagai jenis. Pandai anak muda sekarang niaga. Boleh order di whatsapp dulu, dah siap, boleh pergi ambil. 

Maggi goreng Ibumie

Sulaiman bosan makan nasi agaknya. Dia masak sendiri maggi goreng di atas. Pukul 7 malam dia masuk dapur. 

Salad telur rebus dan ayam

Tinggal baki tiga ketul ayam goreng berlengas dalam peti ais. Saya masukkan dalam salad. Hidangan berbuka saya. Alhamdulillah. 
Semalam angin kuat, sampai tingkap di ruang tamu boleh terbuka sendiri. Gerhana bulan, ada kawan-kawan dapat tengok gerhana bulan semalam? Sebab cuaca tak mengizinkan, saya pun tak ke masjid. Saya penakut sikit bawa kereta malam-malam kalau hujan dan angin kuat. 

Hafizan share video, tapi sana hujan lagi lebat, sampai angin buat tingkap terbuka.


Bilik dia di PUO Ipoh, ada tingkap tak ada selak, bangunan lama.
Ok, sambung gambar makanan berbuka semula.

Samosa 
Beli samosa frozen di kedai Eco Sitiawan. Ada satu saja cawangan kedai Eco yang ada jual makanan frozen. Ada 4 biji samosa dalam satu paket. Ok, rasanya. Boleh la, kalau malas pi bazar ramadan beli kuih.

Karipap
Karipap frozen kedai Eco. Rupa cantik. Tapi kurang sedap. Kena bawa keluar inti karipap baru boleh makan. Lain kali kalau beli kuih frozen kedai Eco, beli samosa saja, karipap tak payah beli.

Suami pergi Gurun, Kedah, dia ada majlis berbuka di ofis cawangan utara. Amirul keluar jumpa kawan-kawan sekolah lepas maghrib. Sulaiman pun keluar juga, lepak mamak. Itu yang makan ringkas saja. Tak masak nasi. Sudah tak ada selera makan. Lebih nak makan benda yang teringin dan ringkas.

Selamat, ye korang. Jaga diri. Selamat bekerja. Semoga anda semua sihat-sihat selalu dan bersemangat, jaga solat, jaga puasa, kuatkan diri dan usaha dekat pada Allah. 
Jumpa lagi. 💗
Share:

Bersenam Februari

 Saya rasa bila habis sesuatu bulan, saya akan update di blog aktiviti bersenam untuk bulan itu, sebagai rekod saya. Juga, saya boleh buat perbandingan antara bulan sebelumnya.

Aktiviti berlari termasuk yang atas walking pad (jenis aktiviti: Treadmill di jam) dan slowjogging di padang, sebelum masuk bulan puasa (jenis aktiviti: Running di jam).

Jumlah jarak di bulan Februari: 67.5 kilometer

Purata sehari: 2.4 kilometer

Purata mingguan: 16.9 kilometer

Dari gambar rumusan di atas, boleh nampak yang saya tak lari pun hari-hari. 

Aktiviti berjalan tak banyak pun. Cuma 0.4 kilometer dalam bulan Februari 2026.

Aktiviti cardio, strength training (angkat beban atau bodyweight) dan yoga pula adalah selama 3 jam 25 minit di bulan Februari. 

Purata masa sehari: 7 minit 21 saat

Purata masa mingguan: 51 minit 29 saat

Aktiviti ini, saya selalu buat sekurang-kurangnya, 20 minit setiap sesi. Tapi bukan setiap hari pun saya buat.

Senaman cardio yang saya suka buat adalah jenis dynamic cardio bodyweight exercise (senaman cardio dinamik tanpa alat).

Dynamic: Pergerakan berulang dan aktif (jingkit, angkat kaki, clap, turun naik posisi)

Cardio: Heart rate naik dengan cepat sebab melibatkan banyak otot serentak.

Bodyweight: Guna berat badan sendiri, tak guna beban.

Saya buat low impact cardio (tak lompat, jaga lutut). Ada aerobic interval (kerana dibuat berulang dalam set, contohnya 50 kali). Melibatkan functional movement (pergerakan natural seperti angkat kaki, koordinasi tangan dan kaki).

Senaman yang saya buat adalah 

  • Jingkit kaki dan tangan ke atas sebanyak 50 kali.


  • Berdiri dan bawa lutut bertemu siku bertentangan atau standing knee to elbow crunches, 50 kali. 


  • Berdiri dan tepuk bawah lutut, selang seli kiri dan kanan, atau high knee clap, 50 kali.

  • Mountain climbers menggunakan kerusi, 50 kali. 
Tangan pegang kerusi, bawa lutut ke kerusi, silih berganti, kiri dan kanan.

Ulang empat senaman ini sampai cukup 20 minit. 

Okay. Sekian laporan aktiviti bersenam di bulan Februari 2026. 
Jumpa lagi, ye. 💗
Share:

Masak dan beli apa semalam

 Semalam, 11 Ramadan 1447 Hijrah, saya masak ayam goreng berlengas.

Biasanya kalau hari Ahad, dapur cuti. Tapi mengenangkan sudah tiada lauk dalam peti ais, semua makanan licin, jadi saya masaklah satu lauk. Suami saya ada beli sebungkus dada ayam mentah dari kedai Ayam Ori beberapa hari lepas. Saya guna itu, potong bahagian dada ayam jadi ketulan sederhana besar. 

Orang yang jaga badan selalunya suka makan ayam bahagian dada saja. Sebab tidak berlemak. Cuma isi. Protein. Tapi saya rasa kurang suka pula. Macam rasa tak ada selera nak makan. Penat nak mengunyah. 🙈

Lebih suka bahagian ayam yang ada tulang-tulang sikit.

Ini adalah juadah berbuka saya. Salad timun jepun, baby tomato dan daun salad. Saya campur kacang kuda, yang dibeli di bazar ramadan semalam. Pergi bazar ramadan MPM. Letak sikit ceasar salad dressing. Alhamdulillah. Saya boleh hidup tanpa nasi. Sudah banyak hari saya tak makan nasi. Tapi berat saya tak turun banyak pun. Last sekali check, 1 kg je turun. Sebab saya masih minum air kopi 3in1 (air manis). Hehe.. tapi, tak adalah hari-hari. Bila teringin saja dan rasa bila perlukan booster untuk buat sesuatu yang saya kurang suka buat, contohnya lipat kain. Ada masa sebelum masuk Subuh, waktu itulah saya akan lipat kain bersama secawan kopi depan TV.  

Ini kerabu yang suami saya beli. Dulu masa pertama kali beli di bazar ramadan ini, tak ada orang pun. Cuma kami yang beli. Masa itu, beli kerabu perut. Semalam, suami beli somtam. Ramai betul orang beratur beli kerabu di kedai kerabu ni. Ada beberapa jenis. Dan dia punya kerabu, tahan sampai berbuka. Dalam somtam ada betik muda yang belum masak, pedas juga sebab termakan cili api, dan boleh rasa serai, ketulan kacang goreng dan kacang panjang.

Ini pula adalah kulit ayam. Suami suka beli makanan gorengan macam ni. Cepat je habis time berbuka. Sulaiman, Amirul dan suami makan. Saya tak merasa seketul pun. Memang tak elok pun saya makan. Nanti kena marah dengan doktor lagi baru adan uke.. 

Ini cendawan goreng. Deme buat lauk makan dengan nasi. Pun saya tak ambil juga.

Saya makan vadei. 😋 Harga RM2 untuk 4 ketul vadei, saiz comel je. Tak macam vadei mamak buat tu. Tapi boleh la, buat hilang teringin.

Alhamdulillah, atas rezeki dariNya. Anak-anak dan suami cadangkan hari ini untuk berbuka, cari benda yang ringkas, tak mahu nasi. Tengoklah camana. Saya pun macam penat mengunyah makan salad. Mungkin nak buat wrap kot. Tak tahu lagi.

Jumpa lagi, ye. 

Share:

Pergi bazar tapi masak juga

 Semalam, Sabtu, 10 Ramadan 1447 Hijrah, saya dan suami pergi bazar ramadan awal. Awal tu, dalam pukul 4 petang. Biasanya, kalau kami pergi bazar, lepas Asar. Tapi memandangkan semalam hari minggu dan tak mahu bersesak, kami keluar awal.

Bukan nak cari makan sangat. Tapi lebih kepada nak jalan-jalan ke bazar ramadan yang ada paling banyak penyewa antara bazar-bazar lain di daerah Manjung, iaitu bazar ramadan di Manjung Point. Sini juga lokasi bazar raya. Tapi kami tak masuk pun ke bazar raya, cuma bazar ramadan.

Panas. Kulit rasa terbakar bila pergi pukul 4 petang. Beli apa ya? Hmmm... Beli ayam percik dua batang, ikan keli berlada dua ekor, takoyaki, kebab daging, popia basah dan goreng dan lauk paru goreng berlada. 

Ayam percik, ikan keli dan paru terus masuk dalam peti ais, nak buat lauk sahur. Takoyaki, kebab dan popia makan waktu berbuka. 

Sampai di rumah, Asar dulu. Pastu masuk dapur. Suami saya hari off kerja. Dia masak nasi goreng untuk berbuka.

Nasi goreng yang suami saya masak nampak lebih menarik dari yang saya buat. 😁 Habis satu kuali. Jadi, confirm sedap la ye. Amirul makan bertambah. Suami pun. Atau boleh jadi juga dia orang ni sudah bosan makan nasi putih, jadi bila ada nasi goreng, lebih selera nak makan.

Saya tak makan nasi. Jadi, hidangan asing untuk saya, yang saya masak sendiri.

Lapisan paling bawah adalah salad dan tomato. Kemudian ada telur dadar yang ada ketulan daging. Yang hitam-hitam pada telur dadar tu adalah bawang putih hangus. 😅 Ada gangguan sikit je waktu masak, sudah cukup buat benda hangus, lepas tu guna pula api besar. Tapi okay je. Boleh makan. 

Alhamdulillah. Missing Hafizan di rumah. Dia tak balik hujung minggu ni, sebab ada tugasan kena buat.

Iran kena serang dengan US. Seram. Semoga Allah selamatkan semua muslim seluruh dunia. 🤲

Jumpa lagi. 💗

Share: