Briskwalk dan cara hilangkan angin meroyan

 Alhamdulillah, sudah dua hari hujan. Sejuk sikit suasana. Jerebu pun semakin kurang. Tinggal 10 kawasan di Sarawak saja yang masih IPU tidak sihat. Bertabah ya, orang Sarawak. 

Cerita saya pergi jalan pagi pada hari Sabtu, 29 Ogos 2026 yang lepas. Pandu kereta pergi ke padang Sitiawan. Anak-anak tiga orang ada di rumah. Suami saya belum balik kerja, shif malam.

Pada pagi itu, saya tidak bawa handphone waktu berjalan. Jadi, tak ambil apa-apa gambar. Kadang tu, memang malas nak pakai pouch di pinggang itu. Ringan sikit nak bergerak.

Aktiviti briskwalk pagi menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 54 minit, dengan jarak 4.58 kilometer.

Kadang hanya berjalan laju. Ada kalanya, saya slowjog. 

Briskwalk sehingga 7 ribu langkah saja
7,064 langkah

Saya pusing padang 2 kali. Saya sempat tiba di rumah sebelum suami habis kerja pukul 8 pagi. Suami tahu saya keluar rumah jalan pagi. Dia yang suruh saya keluar. Ambil angin pagi. Dia tahu kalau saya tak keluar, angin meroyan mulalah merasuk fikiran isteri dia. 🤭 

Lepas suami balik kerja, kami pergi pasar minggu Batu 10, Lekir, cari barang makan dan ikan serta sayur.

Saya nak ceritakan sedikit macamana saya atasi perasaan asyik nak naik angin dan sensitif tak tentu pasal, angkara hormon pra-menopause ini. Saya sudah tidak alami hot flashes itu, dan saya tidak alami masalah sukar untuk tidur malam atau berpeluh waktu malam. Cuma angin meroyan itulah yang selalu melanda, dan saya nak cakap dekat sini, bukan calang-calang anginnya itu, tau. Angkara benda kecil pun boleh terasa nak bertukar hijau, sebab benda kecil pun, airmata meleleh keluar tiba-tiba, tak kira di rumah ke, khalayak ramai ke, bila nak keluar, ia keluar saja. Bagi sayalah. Orang lain, saya tak tahu.  Kena bersyukur banyak-banyaklah, kalau suami atau orang terdekat kita boleh bersabar dengan angin kita ini. Saya tidak hairan bila sudah tua-tua ni, ada pasangan boleh bercerai-berai sebab perubahan hormon wanita ini. Itu tidak termasuk lagi dalam hubungan suami isteri. Yang itu, tak payahlah saya sentuh, sebab nanti jadi kategori 18-SX pula blog saya ini. Hehe.. 

Camana pun, saya cuma nak kongsi apa yang berkesan untuk saya dalam menangani hormon turun naik dan mudah naik angin ini. Mungkin ada pembaca yang alami juga boleh cuba dan berkesan untuk anda. 

1. Jaga solat. 

Letak Allah nombor satu dalam hidup. Solat awal waktu. Cakap memang senang, tapi menjaga solat itu bukanlah semudah kita bercakap, lagi-lagi kalau kita sedang travelling dan tidak berada di rumah. Perbaiki ini dulu. Kualiti solat pun jaga. Perbaiki bacaan. Ambil masa dan jangan kelam kabut nak cepat siap solat. Mesti doa. Walaupun sebenarnya Allah tahu apa dalam hati kita, tapi still cakap saja dengan Dia apa dalam fikiran kita dan minta apa yang kita nak. Minta Dia beri kita kesabaran dan kekuatan. 

2. Mengaji hari-hari.

Ubat la, ayat Quran itu. Boleh hilangkan perasaan melankolia. Serius, tak tipu. Tak penting berapa banyak kita boleh baca. Baca satu muka surat, separuh mukasurat, terpulang. Tapi mengajilah hari-hari. 

3. Banyakkan solat sunat.

Islam itu kan mudah saja. Bila nak kentut, kentut je la. Selalu nak menahan-nahan bila solat, sayang solat batal, terkepit-kepit berdiri menahan kentut, baik lepaskan saja. Lepas tu, pergi ambil wuduk dan solat semula. 

Mengantuk pun sama. Saya lepas maghrib memang selalu mengantuk. Tak payah nak tahan-tahan tunggu Isyak dulu baru nak tidur. Sebab mengantuk sangat, tidur je la. End up solat Isyak tengah malam. Kadang pukul 1 pagi. Kadang pukul 3 pagi. Tapi lepas Isyak lewat tu, cuba buat solat tahajud sekali. Ini lagi satu magik la, solat tahajud ini. Saya tak tipu. Semua benda jadi senang. Kadang rasa pelik sangat, eh, syok nya, benda kita sangka berat, boleh berlaku, magiknya solat tahajud itu.

Solat sunat dhuha pun sama. Kita selalu ingat nanti masa tak cukup, kerja rumah banyak lagi belum siap. Tapi percayalah, bila kita tinggal sekejap urusan dunia, untuk solat, Allah ganti benda lagi baik untuk kita. Saya bersyukur sebab saya suri rumah, boleh ambil waktu untuk dhuha. Kome yang kerja pejabat, jangan buat waktu kerja, tau. Waktu kerja, kena kerja dengan amanah, supaya gaji itu berkat. Boleh buat hujung minggu atau bila hari tak kerja.

4. Ambil masa untuk me time.

Kalau macam saya yang suri rumah ini, memang kena keluar rumah la. Break sekejap dari kerja di rumah. Bukan lama pun dalam sehari. Beza sebenanya, bila kita dapat ambil masa untuk diri sendiri, buat apa kita suka. Shopping barang dapur pun boleh jamu mata. Tengok barang segar di pasar pun, boleh rasa suka. Buatlah apa-apalah yang kita suka, terpulang pada diri masing-masing.

Itu sajalah yang saya amalkan, yang buat saya bertambah okay. Tidaklah nama hidup jika kita tidak diuji, kan. Lagi-lagi orang paling dekat dengan kitalah yang selalu menguji kesabaran dan melukakan hati kita. Kenalah buat sesuatu, gali dalam diri, cari semula semangat yang hilang itu. 

Bagi yang alami fasa seperti saya, saya harap anda bersabar banyak-banyak. Teruskan saja melangkah, pilih untuk gembira. 😊

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan