Saturday, May 2, 2026

Rezeki anak dapat Anugerah

Cerita pada hari Isnin, 20 April 2026 yang lepas. Hafizan dapat Anugerah Ketua Jabatan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Ibubapa tak dijemput pun. Tapi Hafizan ada kongsi gambar. 

Saya pernah kongsi kejayaan Hafizan masa semester 1 di sini 👉 Kejayaan yang Tidak Diduga.

Hafizan ini, anak kedua saya. Masa memang pantas berlalu. Sekarang Hafizan sudah berada di semester 4. Anugerah yang dia dapat ini, untuk keputusan periksa semester 3. Syukur Alhamdulillah.

Tumbler Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Tumbler Anugerah Ketua Jabatan.

Tertera tulisan Anugerah Ketua Jabatan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sesi 2025/2026. Putih suci tumbler-nya. 

Hafizan kata, simpan di rumah. Kalau mama nak pakai, pakailah. Dia punya botol air, besar punya. Yang kecil ini, susah kena refill selalu.

Tumbler Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Elok saya tengok, penutupnya. Sudah simpan dalam almari. Mama pun pakai botol air besar punya. Hehe... kot buat air halia panas ke, bolehlah guna tumbler ni.

Sijil penghargaan Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Ungku Omar
Sijil Penghargaan

Sudah selamat simpan dalam folder sijil.

Gambar masa terima anugerah, tak ada. Gambar beramai-ramai semua penerima ada. Jadi, mama tak kongsilah ya. 

Tapi minggu sebelum berlangsungnya majlis itu, Hafizan minta beli kemeja lengan panjang hitam. Nak buat pakai semasa majlis. Mama pergi kedai Pusat Pakaian Sin Chow, tempat biasa cari barang keperluan sekolah anak. Anak pula tak ikut. 

Bapa budak suruh ambil kemeja saiz M. Mama pula kata, mana muat. Hafizan badan sado. Kena ambil saiz L. Belilah saiz L. Nyonya kedai cakap tak apa, kalau salah saiz, boleh tukar. Jangan buang resit. 

Test baju baru beli

Haaa... muat pun baju kemeja, saiz L. Ambil gambar, tunjuk pada bapa budak yang sudah pergi kerja. Baju raya anak-anak pun mama yang beli. Bapak budak sediakan ongkosnya saja. Saiz-saiz anak semua, mama tahulah. 😜

Alhamdulillah. Semoga anak-anak belajar dengan rajin. Kadang deme ni, kuat main game. Tengah malam berjaga. Siang siang tidur, jadi burung hantu. Bila mama tegur, terkenyup (loghat Perak maksud merajuk) pula. Sabor je la.

Syukur Alhamdulillah. 

Jumpa lagi, ya. 💗

No comments:

Post a Comment