Sarapan di Ana yang Punya

Ini entri sebelum bulan puasa ya. Saya belum habis lagi cerita ni. Sikit jer lagi, baru nak masuk cerita terkini. Mohon maaf ya, sekiranya gambar makanan buat kome terliur. Sabor, sabor, nanti dah nak buka puasa dah.  

Jumaat, 6 Februari 2026 - Saya rasa malas nak pergi jogging. Saya ajak suami jjcm jer. Dia bila orang ajak jjcm, laju je bersiap. 😁 Kami tuju ke arah Taiping. Tak jauh pun Manjung dengan Taiping, lagi-lagi kalau ikut highway WCE. Saya jumpa tempat ini, menerusi google Maps.

Kali pertama kami datang sini. Ater.. jom la kita masuk. 

Kedai makan di bawah pokok besar. 

Ada banyak kereta parking tepi jalan, untuk makan di kedai ini. Kalau gambar dalam entri ini nampak kecil, kome klik saja gambar ya, untuk paparan lebih jelas.

Papan tanda kedai Ana yang Punya

Kalau tengok penerangan di google, tertulis Warung pelbagai hidangan melayu.

Papan tanda dalam kedai.

Kami pilih tempat betul-betul depan dinding ada papan tanda ini. Banyak tempat boleh duduk. Waktu kami masuk kedai, ada ramai orang juga, tapi tempat kosong pun banyak.

Ini menunya.

Menu dicetak macam surat khabar, tertulis Utusan Ana. Antara menu yang ada termasuklah nasi goreng pelbagai jenis, nasi dagang, nasi minyak, roti bakar, puri, tempek nyor bersama sambal ikan bilis (lempeng), nasi lemak pelbagai lauk, ada juga set kombo seperti set kembong, set keli, nasi ayam gepuk, nasi kerabu pelbagai lauk, nasi lemuni, bihun/mee/kuetiau sup atau goreng atau kari, laksa johor, eh... banyaklah makanan ada. 

Menu set nasi berserta lauk dan air

Pilih punya pilih, berikut apa kami pilih untuk makan pada hari tu.

Suami pesan nasi kerabu

Sedap, nasi kerabunya. Cukup rasa.

Tempek nyor dan sambal ikan bilis

Atau dikenali juga dengan nama lempeng kelapa. Sambal dia sedap. Mungkin lain kali datang sini, kena cuba nasi lemak dia, sebab sambal sedap. Macam orang tua dulu-dulu masak.

Air lemon ais kosong dan teh o panas kosong.

Gatal pi order lagi satu hidangan.

Roti scrambled egg

Alaaa... dia letak sos atas scrambled egg. Kalau telur kosong je pun dah okay. Tak payah sos, sebab bukan semua orang suka sos. 

Kenyang makan sini. Alhamdulillah, sedap. Boleh datang lagi lain kali untuk cuba menu lain pula.

Jumlah harga sarapan kami ialah RM21.30.

Sekian laporan. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Photobook sampai

 Saya punya storage di google sudah hampir penuh. Jadi, selalu dapat notifikasi suruh clearkan storage atau beli storage tambahan. Beli? Tidak lah, kan. Storage di email, saya delete yang lama-lama. Di Google Drive paling banyak kerja, sebab saya simpan semua gambar dari handphone ke situ. 

Jadi, saya ambil keputusan untuk print out jadi photobook. Guna servis Pixajoy. Buat pertama kalinya, ya. Allah... berat juga rupanya nak edit gambar jadi photobook ni. Makan masa satu hari, bagi saya. Saya beli 3 photobook hardcover, dan 1 photobook softcover. Ada offer hari tu. Itu yang cepat-cepat rebut peluang. 

Peduli la bila dia kata, ada gambar low quality. Asalkan saya transfer sebanyak yang mungkin, untuk clearkan storage di Google Drive. 

Order photobook pada 27 Januari 2026.

Photobook selamat sampai di rumah pada 5 Februari 2026.

Yeh! Berat juga 4 photobook.

Pertama kali beli kan. Excited terlebih, nak tengok gambar jadi album. 

4 photobook.

Yang kulit tebal, dia letak dalam kotak. Puas hati dengan pembungkusan.

Alhamdulillah... 😍

Suka tengok. Dulu orang ada album gambar. Ambil gambar guna kamera, cuci kodak di kedai gambar, dan simpan dalam album. Sekarang sudah begini, caranya, ya. Kualiti cetakan sangat baik. Sudah selamat simpan dalam kabinet, untuk kenangan anak cucu. 

Kome ada pernah buat photobook tak?

Baik. Jumpa lagi. 💗

Share:

Kukus jer

 Sejak kena tegur dek doktor mengenai kolesterol tinggi hari tu, saya pun jadi insaf. Saya tak dapat buat semua yang doktor suruh. Tapi saya buat mana yang saya mampu. Saya makan ubat. Saya cuba kawal pemakanan. Benda sudah terhidang di depan mata, tidaklah saya menolak. Tapi saya cuba kawal portion.

Pada hari Rabu, 4 Februari 2026 yang lepas, saya masak guna kaedah kukus saja. Senang saja nak makan secara sihat ni. Saya pula ada pengukus elektrik. Cuma perlu top-up air dalam periuk paling bawah, tekan suis dan biarkan hingga masak.

Pada hari itu, saya nak masak menu sayur, ikan dan telur. Ya, telur rebus, saya masukkan dalam pengukus elektrik. Ada tiga tingkat pengukus. Rupanya, tingkat paling atas, sayur, tidak masak sempurna. Jadi, saya masak setingkat demi setingkat dulu la. Barulah makanan dilihat masak elok. Ape la, pengukus elektrik saya ini. Huhu... jom tengok...

Sayur campur.

Ada kobis bunga, brokoli, kobis bulat sikit dan lobak merah. Gaul-gaul dengan sos tiram dan lada hitam. Letak juga bawang putih dan cili merah dihiris. Gaul-gaul sebati, letak dalam pengukus elektrik. Letak masa memasak 10 minit. Alhamdulillah. Cukup rasa, tidak tawar, sebab ada letak sos tiram. Tidak guna minyak untuk menumis seperti biasa. 

Ikan kukus limau

Yang ini, saya gaul ikan dengan sos masak stim limau, yang saya beli dari kedai. Letak daun limau purut. Letak cukup rasa sikit. Perah limau kasturi 2-3 biji. Set masa kukus 25 minit. Alhamdulillah, pun sedap. 

Sejujurnya, saya lebih suka masak begini. Tapi, nak tahu tak? Sulaiman tak makan pun lauk ikan. Saya dah cakap elok-elok pada dia, mama nak masak secara sihat. Dia kata okay je. Tapi tengok la, bila saya masak, dia tak makan. Last-last, saya goreng telur untuk dia, baru lah dia makan nasi hari tu. 

Huuu.. tak tahulah. Kena masak cara sihat dan masak menu asing la, untuk anak-anak kot. Kalau tak, dia kurang suka jenis masakan kukus dan rebus-rebus ni. 

Alahai, anak... okaylah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Slowjogging Isnin

 Lagi cerita jalan pagi. Kali ini, aktiviti jalan pagi pada hari Isnin, 2 Februari 2026 yang lalu. Tempat yang sama, iaitu Padang Astaka, Sitiawan. Masa pusingan pertama, masih awal pagi. Orang tak ramai.

Jalan pagi di Padang Astaka, Sitiawan.
Ambil gambar masa langit sudah cerah.

Ramai orang di padang masa pusingan kedua padang. Perak cuti ganti Thaipusam. Saya jalan sambil slowjogging sekali-sekala. 

Rekod aktiviti jalan pagi 2 Februari 2026

Solo hari ni. Suami belum balik kerja, dia kerja shif malam. Terlaju sikit. Sebab bila saya keluar seorang, ada rasa macam nak balik rumah cepat. Cepat siap berjalan, cepatlah boleh balik rumah. Kalau suami ada teman berjalan, biasanya akan jalan santai-santai sambil berborak. Hehe...

Berjalan selama 56 minit. Dapat jarak sejauh 5.02 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat. 

Esok sudah mula puasa. Rasanya, tak pergi berjalan dah. Kalau rajin, mungkin pergi jalan waktu petang. Jalan di pasar ramadhan. Hehehe.. tengok la camana. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Jalan pagi pertama di bulan Februari

 Esok, kita sudah mula berpuasa. Selamat berpuasa kepada semua pembaca blog yang saya hormati sekalian. Semoga kita dapat perbaiki amalan kita banding tahun lepas-lepas. Insya-Allah, mari kita cuba, ya.

Boleh tak saya nak update entri banyak-banyak? Tak apalah kalau tak ada yang membaca, sebab orang pun sedang bercuti. Baru masuk cerita bulan Februari ni. Saya upload juga, sebagai rekod saya. 

Ahad, 1 Februari 2026 - Saya pergi jalan pagi di padang Astaka, Sitiawan.

Langit pagi
Langit pagi

Matahari baru nak naik di hujung sana. 🥰 Tenang rasa di hati. Syukur.. 

Rekod berjalan pagi

Jalan campur slowjogging, selama 55 minit. Dapat jarak sejauh 4.52 kilometer.

Alhamdulillah. Saya tak tahu bagi orang lain. Tapi bagi saya, kalau saya berjalan semasa batuk, ia membantu clearkan paru-paru. Biasa ada banyak kahak, bila bersenam pagi, jadi kurang kahak, jadi kuranglah batuk. Apa pun, Allah juga yang menyembuhkan semua penyakit.

Baik. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Walimatul Urus Syafiq dan Syarihah

Sabtu, 31 Januari 2026 - Dari rumah papa, bawa papa sekali. Makcik tak ikut, kurang sihat. Sampai di hotel, kakak ikut sama naik bilik, tukar baju nak ke kenduri. Suami tunggu bawah dengan papa.  

Selfie kenangan di hotel Rawang
Selfie sekeping, kenangan di hotel.

Kami check out hotel dulu, lepas tu kami ke Kenangan Coffee, yang letaknya selang beberapa kedai dari situ. Beli kopi, beli karipap sebiji untuk papa. Tidak minum kopi sampai habis, sebab kopi panas. Bawa balik. Ini pertama kali saya cuba Kenangan Coffee. Orait juga. 

Lepas mengopi, kami naik satu kereta, kereta kakak, terus pergi ke lokasi kenduri. Lokasinya betul-betul seberang jalan dari hotel saja, tapi kena drive dalam sikit.

Lokasi kenduri, KT Dewan Orkid Batu 16, Kampung Melayu Batu 16, Rawang. Kenduri belah pengantin lelaki. Kenduri belah keluarga saya, pengantin perempuan, di Segamat, kami tak dapat hadir tahun lepas waktu Sulaiman SPM. 

Mak Uteh adalah ibu saudara saya. Adik papa saya. Jadi, pengantin perempuan adalah sepupu saya. Kami sampai awal di dewan. Tapi kena tunggu ahli keluarga yang lain sampai, baru masuk semua sekali. Rombongan pengantin perempuan. Hantar menantu la  ni.

Kami satu famili
Kami satu famili. 

Sebelum masuk ke dewan, ambil gambar dulu satu keluarga yang hadir. Kredit gambar, terima kasih sepupu saya, Syarihah. Tema mint green. Tapi saya pakai je la baju hijau apa yang ada di rumah. Cuaca baik, panas.

Berjalan masuk ke dewan
Beratur dua-dua, satu baris.

Rombongan keluarga pengantin perempuan, beratur dan berjalan masuk ke dewan di belakang pengantin. 

Pengantin berjalan masuk ke dewan
Berjalan masuk ke dewan

Pertama kali saya sampai ke dewan ni. Cantik dihias. Besar juga. Berhawa dingin. 

Pasangan mempelai di atas pelamin
Pasangan mempelai di atas pelamin.

Kami ambil tempat di bahagian keluarga pengantin. Makan berhidang, Alhamdulillah, rezeki.

Suami saya
Suami saya.

Belakang tu, pengacara majlis. Anak-anak seperti biasa, mana mahunya ikut, pergi majlis kenduri macam ni. 

Pasangan pengantin bersama Pak Uteh dan Mak Uteh.

Mak Uteh adalah ibu saudara saya yang paling cantik. Idola saya sejak saya kecil lagi, zaman sekolah rendah. Walaupun waktu zaman kecil, dia orang tak melayan saya macam budak kecil. Kalau saya menyibuk di dapur rumah tok di Segamat, dia orang akan tanya, nak tolong ke? Hehe.. sesetengah orang tua kan tak suka budak kecil main di dapur. Jadi, masa saya pergi Segamat la, saya belajar buat kuih siput. Mak Ngah dan Mak Uteh ajar. 

Mak Ngah dah takde, baru juga la, dalam tahun lepas. Jadi adik beradik papa, sudah 2 orang yang dah takde, iaitu Pak Anjang dan Mak Ngah. 

Saya dan suami
Saya dan suami

Minum air manis, hari tu, air sirap. Takpe la, sekali sekala.

Nasi kenduri
Nasi kenduri

Ada papadom, daging hitam, acar buah dan ayam masak merah. Sedang makan, ada ahli keluarga belah pengantin lelaki datang, beritahu, kalau nak kuih muih, apam balik, ada di luar. Baik.

Nama pengantin pada skrin besar di dewan
Syafiq dan Syarihah

Nama pengantin tertera di skrin besar. Nama pengantin pun lebih kurang sama. Semoga kekal hingga ke jannah. 

Acara memotong kek
Acara memotong kek

Semoga silaturrahim antara keluarga belah Segamat terus terjalin, walaupun jarak yang jauh. Sudah lama sangat tak balik Segamat, sejak kedua-dua tok belah sana sudah tiada.

Kakak sulung, papa dan saya
Kakak sulung, papa dan saya.

Lepas makan, kami solat di masjid yang lokasinya bersebelahan saja dengan dewan kenduri. Masa di masjid, kakak saya cari saya tak jumpa. Saya bukan solat di dewan solat orang perempuan, saya solat di ofis masjid, ada satu ruang, semua sepupu-sepupu saya solat situ. Sebab antara ruang wuduk dan ke ruang solat wanita, terbuka, kena pakai tudung proper. Lebih mudah solat di ofis saja, sepupu saya ajak masuk. Hehe.. orait sangat. Boleh sembang-sembang dengan anak-anak Mak Uteh, baru nak kenal-kenalan. Comel-comel belaka, saling tak tumpah macam muka mak dia orang juga, muda-muda dulu.

Tak perasan Mak Uteh solat sebelah saya, sebab dia tanggal niqab. Saya selalu rasa sejuk dan damai tengok orang pakai niqab. Selain Mak Uteh, ada dua orang lagi sepupu saya, belah keluarga mama, pakai niqab, sedari saya sekolah rendah. Idola saya juga. Saya kagum tengok orang pakai niqab ni. Saya selalu tertanya-tanya, bilalah aku nak pakai niqab ni. Suka, tapi saya rasa saya tak kuat. 

Kakak saya mencari, sebab nak ajak ambil gambar di photo booth.

Gambar kami
Gambar kami 😍

Bukan semua kenduri ada photo booth ni. Kenduri yang selama ini saya dan suami pergi, satu pun tak ada. Ini baru jumpa. Siap boleh print out hardcopy gambar kita on the spot.  

Gambar kami lagi
Tak sedar jurugambar rasmi majlis ada ambil gambar kami di photo booth.

Missing on the picture, kakak tengah, Atam, yang tinggal di Kuching. Dia tak dapat balik. 

Kami adik beradik dan papa
Kami adik beradik dan papa.


Saya dan suami
Me and my other half

Syukur Alhamdulillah, dapat jumpa family Mak Uteh, dapat makan nasi kenduri yang sedap. Insya-Allah, panjang umur, kita jumpa lagi. Habis kenduri, hantar papa balik ke rumahnya. Lepas tu, kami pun bertolak balik Lumut.

Goodies bag

Untuk kakak sulung satu, untuk papa pula dua goodies bag. Ambil untuk makcik. Saya dan suami, diberi sampai 5 goodies bag, jadi untuk anak-anak pun ada. Alhamdulillah. Yang ini bag untuk family pengantin perempuan, ada banyak lebih. Dia pun bagi extra pada kami.

Isi kandungan doorgift untuk famili

Ada popcorn, mineral water, sejadah mini, tisu dan kerepek bawang. Popcorn dia sedap. Saya makan, tak ada rasa kembung perut pun. Popcorn di TGV tu, selalu buat perut saya kembung.

Alhamdulillah. Sekian cerita kami pergi makan kenduri di Rawang.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Sarapan di Kedai Atok Legacy, Rawang

 Sabtu, 31 Januari 2026 - Pagi pagi lepas subuh, kakak sulung sudah whatsapp ajak pergi breakfast. Rumah kakak di Subang. Dia datang ambil saya dan suami dekat hotel di Rawang. Lebih kurang jam 7 pagi.

Sejenis suka tengok video TikTok dan IG. Dia bawa ke sebuah kedai yang agak tersembunyi. Kalau yang tak familiar dengan kawasan Rawang, susah kot nak jumpa. Lokasi dekat pekan Rawang lama. 

Parking kereta dekat barisan kedai tidak jauh dari situ. Sebab laluan masuk ke kedai macam agak sempit. Kami jalan kaki sikit. Sebenarnya, kakak suruh suami pergi cari. Tahu somewhere di belakang area parking, tapi tak pasti exact location.

Tempat makan di kawasan banyak pokok
Tadaaa....

Kami datang dari belakang. Jadi, tak nampak papan tanda kedai. Nampak tempat duduk berpayung banyak seperti di atas. Jadi, jom kita...

Ruang makan di Kedai Atok Legacy Rawang
Cantik, kan, tempatnya...

Nak masuk ikut mana la ni. Sebab tempat dikelilingi pokok teh renek yang bertindak seperti pagar kecil. Kami jalan menyusuri deretan pokok teh kecil dan sampai ke bahagian depan kedai.

Kedai Atok Legacy, Rawang.
Kedai Atok Legacy, Rawang.

Kalau saya dan suami saja cari tempat makan, memang tak jumpa la ya, tempat-tempat macam ni. Sebab kakakku ini rajin tengok TikTok, jadi sampailah kami di sini.

Pergi saja dekat kaunter, tengok lauk-pauk nasi lemak yang ada. Nasi lemak dia dikukus. Special dapur kukus dia. Malu pula nak ambil gambar. Sebab periuk bertingket-tingket. Kita dari luar boleh nampak.

Lontong darat dan nasi lemak boleh terus ambil di kaunter, dan terus bayar. Ada juga menu yang kita boleh order tapi ambil masa untuk siap, bayar dulu, dan dia akan hantar ke meja. Menu yang ada selain nasi lemak berlauk dan lontong darat, ada juga roti telur, nasi kerabu, sate ayam dan daging, roti kukus, soto, juadah western, makanan tengahari ada menu lain pula seperti nasi ayam penyet, nasi bujang, nasi ayam, bakso dan pelbagai jenis roti.

Lontong darat
Saya ambil lontong darat.

Kakak suruh ambil menu lain-lain. Jadi dapat merasa sikit-sikit. Passing-passing pinggan. 

Nasi lemak paru
Suami saya ambil nasi lemak paru

Besar portion makanan di sini. Nasi lemak Kedai Atok ni, mengingatkan kami akan nasi lemak Dang Wangi, KL. Nasi peroi, diberi sekali kangkung. Peh.. rindu pula nasi lemak Dang Wangi yang dekat Kampung Baru dulu. Entah wujud lagi ke tidak kedainya. 

Murtabak singapore
Kakak order murtabak singapore

Murtabak singapore ambil masa nak buat, order di kaunter, dia hantar ke meja bila dah siap. Kalau tengok gambar diambil dari atas dan makanan nampak full, itu saya ambil. Kalau tengok gambar murtabak singapore di atas, close-up lain macam, itu kakak saya ambil. Dia tegur saya ambil gambar old fashion. Mestilah close-up, baru boleh upload kat IG. Haha.. ye la. Dia geng IG dan TikTok. saya geng blogger. Media sosial semua sudah uninstall daaa... cukuplah aktif di blog saja.

Murtabak singapore
Ini gambar saya ambil, dari atas. 😁

Tebal, okay, murtabaknya. Kenyang makan. Nasib baik share-share kami bertiga. Sebab sedap, kakak suruh suami orderkan sekeping lagi, bungkus untuk papa kami.

Makan di Kedai Atok Legacy, Rawang
Jemput makan...

Minum teh o panas kosong.

Kami makan di Kedai Atok Legacy, Rawang
Suka ya, selpiaq senget-senget ni.

Sejuk je tempatnya. Sebab banyak pokok besar. Jadi redup. Alhamdulillah, semua makanan sedap-sedap belaka. Pinggan besar, portion besar. 😋👍


Atok punya campervan ke tu?
Atok punya campervan ke tu..

Lawa dinding dia. Lepas sarapan, dan murtabak dibungkus pun siap, kami pergi rumah papa. Besar juga kawasan Rawang ni. Jalan pun sesak. Ambil masa juga nak sampai rumah papa.

Bunga kesidang
Bunga kesidang

Ada bunga kesidang di laman rumah papa. Tanam dalam pasu pun berbunga. Wangi juga bau bunganya. Papa saya terkejut, sebab saya tak bagitahu saya nak datang. Dia ingat, kakak saja yang datang bawa sarapan. Hehe... saja, surprise. 

Okay. Sambung lain entri, cerita pergi makan kenduri.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Makan malam di Nasi Kukus Ulek Mayang

 Jumaat, 30 Januari 2026 - Lepas check-in hotel dan solat jamak, kami turun bilik, cari tempat makan malam. Tanya orang hotel, dia kata keliling restoran ada banyak restoran, seberang jalan pun ada banyak kedai makan. Ha ah, betul dia kata. Kami jalan kaki saja.

Paling dekat dengan lokasi hotel, ada kedai mamak. Belakang kedai mamak, kami jumpa kedai ini.

Nasi Kukus Ulek Mayang, Rawang
Nasi Kukus Ulek Mayang, Rawang.

Ada orang makan di dalam. Kami duduk di meja luar. Kedai makan lot tepi, jadi luas dan banyak tempat.

Nasi kerabu pun ada
Nasi kerabu pun ada, selain nasi kukus

Menu yang ada, nasi kukus pelbagai lauk, contohnya ayam dara, ayam berempah, ayam kampung, ikan keli, ayam cincang, ikan bawal, udang galah, burung puyuh dan sotong. Ada juga mee celup. Ada air tuak atau nira kelapa, dari Kelantan. Suami saya beli sebotol. Dia kata, ha ah, sama macam air nira kelapa di kampungnya.

Dekat dalam restoran, ada jual barang-barang dari Kelantan juga seperti keropok pelbagai jenis, rempah ratus dari sana, macam dekat atas pasar Siti Khadijah tu, rempah kari, kerutuk, dan lain-lain. Sos-sos, bahan dari Thailand, yang biasa kita jumpa dekat pasar tu la, ada dijual di restoran ini.

Nasi kukus ikan keli
Pinggan saya

Saya makan nasi kukus lauk ikan keli. Pertama kali makan nasi kukus ada lauk taugeh. Minta maaf cakap, kuah kari rasa kureng sikit. Kuat rasa rempah.

Pinggan suami

Suami makan nasi kerabu lauk daging. Nasi kerabu dia lebih sedap dari nasi kukus. 😋

Minuman kami
Minuman kami

Suami minum nescafe o ais kosong, saya minum air suam. 

Alhamdulillah, rezeki makan malam, dekat hotel saja. Lepas makan, kami jalan ambil angin keliling blok hotel. Rupanya belakang itu, ada banyak lagi kedai makan menarik. Ceh... kalau tahu, kita buat tawaf dulu keliling kemudian pilih makan tempat paling menarik. Tapi tak apa lah, lain kali. Dekat sangat dengan Lotus's Rawang. Saya nampak dari luar ada kedai Jalan Jalan Japan dalam Lotus. Tapi kami tak pergi la. Jalan kaki satu pusingan dan kembali ke hotel penginapan kami.

Masuk bilik, saya bancuh kopi, tapi belum minum sudah tertidur. 

Okay. Jumpa lagi. 💗

Share: