Pada 16 Mac 2026 yang lepas, saya perbaharui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) saya, yang tarikh tamatnya, pada hari tersebut.
PERKESO itu, bukan hanya untuk orang bekerja. Suri rumah pun boleh buat caruman juga.
PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) atau SOCSO ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menyediakan perlindungan sosial dan insurans wajib kepada pekerja di Malaysia.
Skim SKSSR ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Keilatan dalam konteks PERKESO bermaksud keuzuran yang kekal, tidak boleh diubati, atau tidak mungkin sembuh, yang menyebabkan seseorang pekerja hilang upaya (sekurang-kurangnya 1/3 daripada keupayaan normal) untuk mencari nafkah melalui kerja yang berpadanan dengan kekuatannya.
Bila dekat tarikh nak tamat tu, saya dapat email notifikasi dari PERKESO, peringatan untuk renew.
Saya ingat lagi, masa mula-mula Skim SKSSR ini diperkenalkan, dan masa saya pergi buat pertama kali di pejabat PERKESO Manjung, lepas selesai urusan isi borang semua, staf di situ minta saya tunggu sebentar. Dia nak panggil bos dia di dalam, nak ambil gambar dengan saya, sebab saya suri rumah pertama di Manjung yang mencarum dalam skim ini. 😁 Entah dekat mana dia upload, tak tahu pula saya.
Alhamdulillah, saya renew secara online saja. Saya bayar sekaligus untuk setahun.
Caruman
Caranya, caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut yang perlu dibayar terlebih dahulu. Caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.
Perlindungan
SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga. SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran.
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) oleh PERKESO (berkuat kuasa 1 Dis 2022) meliputi faedah perubatan, hilang upaya, pencen penakat, dan pengurusan mayat bagi wanita berumur bawah 55 tahun yang mengurus rumah tangga.
Faedah:
🌼 Faedah Perubatan & Pemulihan: Rawatan fizikal/dialisis.
🌼 Faedah Hilang Upaya Kekal: Pampasan sekiranya hilang upaya kekal.
🌼 Elaun Layanan Sentiasa: RM500 sebulan jika terlantar.
🌼 Faedah Pengurusan Mayat: RM3,000 (one-off).
🌼 Pencen Penakat: RM300 sebulan kepada waris jika meninggal dunia.
Masa mula-mula dulu, saya tanya pendapat suami terlebih dahulu. Dia setuju je. Kerja seorang suri rumah ni, keluar masuk rumah, ambil dan hantar anak sekolah, pergi tuition, pergi pasar, pergi supermarket, ke hulu ke hilir bawa kereta, urus rumah tangga. Sedang memasak pun, kemalangan boleh berlaku. Minta dijauhkan la ye. Tapi kemalangan tidak berbau, orang kata. Baru saja hari tu, tengok berita, ada kejadian tong gas meletup, suri rumah cedera, kejadian berlaku waktu awal pagi, nak sediakan juadah sahur. Allahuakbar.
Sekian serba sedikit info yang saya kongsikan. Kot ada pembaca yang juga suri rumah seperti saya, yang berminat.
Baik. Jumpa lagi. 💗

No comments:
Post a Comment