Tuesday, March 24, 2026

Somerset Damansara Uptown

 Semasa entri 29 Ramadan yang lepas, saya ada sebut yang saya sekeluarga beraya di KL tahun ini, kan. Alhamdulillah, pada 20 Mac bersamaan 30 Ramadan yang lepas, trafik lancar sepanjang perjalanan. Memang berlawanan dengan trafik berlawanan di sebelah, memang penuh, bumper to bumper, orang nak ke utara. Walaupun Waze suruh ikut lebuhraya utara selatan, tapi suami lebih suka ikut jalan Tanjung Karang. Okay jer. Bukan kelam kabut pun nak sampai. 

Semua orang pakat dok tidur dalam kereta. Saya bila tersedar je, tanya suami okay ke. Takut dia mengantuk bawa kereta waktu puasa. Dia kata dia okay. Ye la, dia buat kopi waktu sahur. Alhamdulillah, kami selamat sampai lokasi hotel lebih awal. 

Apa-apa cari tandas dulu, hotel ini lokasinya di atas Starling Mall. Masuk mall untuk ke tandas. 

Eh, bukan hotel sebenarnya, service apartments. Kakak sulung saya tempah 2 rumah. Satu rumah kecil, satu rumah besar. Somerset Damansara Uptown Petaling Jaya adalah bangunan 24 tingkat service apartment, diuruskan oleh The Ascott Limited.

Kakak sulung suruh saya dan suami duduk asing. Ye la, kalau kami duduk sekali, dia kena pakai tudung sepanjang masa, sebab suami saya ada. Itulah dia tempah dua rumah. Rumah jenis studio apartment, tak ada bilik pun yang saya dan suami duduk ni. Jom tengok...

Almari besor

Itu beg saya, sudah letak, baru ingat nak ambil gambar almari. Ada bathrobe untuk dua orang, sepasang slippers dan mesin timbang berat. Berat masa puasa, 58kg. Berat masa raya, 60kg. Kih kih kih...

Katil saiz King

Besor katilnya. Orang sebelah menguit atau beralih kedudukan, kita tak rasa. Bantal empuk. Pengsan bila baring je atas katil ni. Tak sedar diri tidur. Alhamdulillah. Kedut cadar, suami sudah landing, baru saya ingat nak ambil gambar katil. Suami sambil membebel, bangun juga sekejap, dia kata ape entah saya ni, semua benda nak ambil gambar. 😁

Bilik ayor

Besor la, bilik ayor dia. Pengudaraan tiptop.

Shower

Shower atas dan shower pegang. Ayor kuat. Puas mandi. Sabun ada, syampoo ada. Tulisan pada botol kecil, mata rabun. Lantak la pakai syampoo ke, sabun kaa... dua-dua wangi.

Buka pintu rumah, masuk dapur dulu.

Beg Amirul dalam gambar. Saya tanya reception, boleh tak check-in awal, baru sampai dari Perak. Baik orang reception tu cakap, boleh. Walaupun baru pukul 2.30 waktu itu. Sebab rumah ini kakak saya tempah di bawah nama saya, jadi, boleh check-in. Anak-anak duduk serumah dengan aunty dia orang. Kakak saya belum sampai, jadi anak-anak lepak rumah kami dulu.

Kaunter dapur ada bekal yang saya bawa dari Perak. Juadah buat berbuka. Dapur ada microwave, ada dapur jenis induction. Periuk ada, semua alat memasak seperti senduk, sudu, garfu, semua lengkap. Cerek ada, toaster ada. 

TV duduk tengah-tengah antara katil dan ruang tamu.

Studio apartment tiada bilik. TV besar. Aircond kuat.

Meja kerja

Ruang tamu ada sofa.

Ironing board dan iron.

Semua benda tersembunyi dalam almari. Masa kakak saya dah masuk rumah sebelah, pukul 5 pagi dia hantar Amirul pinjam kami punya ironing board. Sebab kakak tak jumpa ironing board depa duduk mana. Kita ingat dinding cermin. Tapi cermin boleh buka, sebagai tempat storage. Kena explore, raba-raba dinding, baru tahu ada nampak benda yang disimpan dalam. 

Selain ironing board, hari terakhir baru kakak saya jumpa coffee machine, dok sembunyi dalam kabinet dapur. Haha... hadoi... saya okay, sebab saya suka explore benda, itu yang saya jumpa toaster dalam dapur kami. Rumah kakak sebelah, ada mesin basuh yang ada dryer. Tudia laaa... 24 jam kakak saya dok basuh kain. 😅

Apa tu... pandangan dari tingkap apartment?

Itulah dewan sekolah saya, Sekolah Menengah Damansara Utama. Sekarang nama dia dah jadi Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama. Saya sekolah sini dari 1990-1995. Dewan sekolah di atas, tempat saya jawap soalan SPM. Masa saya mula pindah sekolah ke sini dari Aloq Setaq, saya alami kejutan budaya, tau! Sebab semua orang cakap English kat sini.. saya mana reti speaking London. Jawap periksa reti. Nak cakap, tergagap-gagap. Tapi pelan-pelan saya belajar. Kalau tak speaking, kang takde kawan. Sampai paper English SPM dapat A1 la. Tapi sekolah saja lah kat Damansara Utama, saya dan keluarga tinggal di rumah kawasan kampung di Kampung Sungai Kayu Ara. Nanti saya cerita lagi tau, sejarah tempat ini dalam hidup saya, di lain entri. Ini entri nak cerita pasal rumah kami duduk masa raya ni. Hehe...

Hall di laluan antara apartment.

Berkarpet. Kedengaran muzik latar di speaker, lagu-lagu raya berkumandang dengan lembut, volume minimum, tidak kuat. Di dinding, ada banyak hasil seni tergantung sepanjang dinding laluan. Nak naik ke apartment, ada kad yang kena tap yang bawa kita ke tingkat kita saja, selain tingkat lobi, parking dan shopping mall. 

Mesin penapis air

Ambil air minum di sini. Tiada diberi air mineral botol dalam bilik. Hotel ini mesra alam. Dia bagi jug kaca besar di setiap rumah untuk isi air minum sendiri. Lampu dan aircond dalam apartment pun, walaupun tak cabut kad kuasa di bilik itu, akan padam sendiri, bila tak ada orang dalam sekian waktu. Kalau keluar sekejap, power still on. Ada sekali kami keluar beraya, power off. 

Ambil gambar sekolah saya dari cermin hujung hall.

Sekolah saya sudah berubah. Kantin sudah jadi 2 tingkat. Pokok besar banyak. Dulu, tak ada pokok antara blok. Kenangan bila tengok sekolah tempat saya belajar selama 5 tahun. Orang lain semua lepas PMR masuk asrama penuh, saya stay di sekolah ini, tak kemana. Huhu...

Mesin kopi
Mesin kopi dalam apartment kakak yang dia baru jumpa di hari terakhir duduk. 😅 Katrij kopi (katrij ke, orang panggil? Macam printer pulak). Entah, yang kita letak di mesin untuk hasilkan kopi itu pun banyak. Aduhh... kalau tahu, dari hari pertama udah bancuh kopi, guna sampai habis. Walaupun cute, kena masukkan air di belakang. Kopi dia boleh tahan sedap. 

Cafe tempat sarapan

Minta maaf, sebab sepanjang duduk sini, saya tak ada ambil gambar makanan waktu sarapan. Standard sarapan di hotel la ye, semua ada, seperti English breakfast, sarapan melayu macam nasi goreng, bihun, mee, bubur, bijirin, roti dan pastries, sama macam hotel-hotel lain. Alhamdulillah. Penginapan termasuk sarapan.

Hari terakhir baru ambil gambar kenangan.

Apartment kakak, ambil extra bed, jadi sarapan untuk 6 orang. Hari pertama kakak kedua join, hari terakhir, kakak sulung yang turun. Sarapan turun juga, sebab sudah termasuk. Lepas sarapan bawah, naik atas rumah, makan lagi, lauk raya. Mana tak gendut.

Alhamdulillah. Di sinilah kami menginap dari 20-22 Mac 2026 yang lepas. Bapa kami pun tinggal di Rawang. Itu yang kami beraya di bandar. Senang nak tengok orang tua. Syukur Alhamdulillah. Somerset Damansara Uptown ini memang lokasi strategik, keliling ada banyak kedai kopi dan port makanan sedap. 

Baik. Jumpa lagi. 💗

1 comment:

  1. Ooo family Nur kebanyakkan di KL..kalau kami pulang beraya di kampung, Nur pulang beraya di bandar...ok la tu...at least best kan complete family

    ReplyDelete