Pergi Pasar Sehari Lambor Kanan
Hari Sabtu, hari ni. Kome pergi nyongket mana tu? Apa khabor? Saya tak ke mana. Suami kerja pula, siap over time sampai ke malam. Maka, di rumahlah saya, buat kerja apa patut.
Entri kali ini, saya nak ceritakan tentang pengalaman pertama kali saya pergi pasar pagi Lambor Kanan, Perak Tengah. Saya panggil pasar pagi, sebab pasar ini sampai pukul 10 pagi saja, setiap hari Khamis. Tapi, penduduk tempatan biasanya menggelar pasar mingguan begini sebagai Pasar Sehari atau Pekan Khamis.
Kami pergi ke sana pada 16 Julai 2026 yang lepas. Biasalah, bila hari suami off kerja saja, memang suka nyongket ke mana-mana tempat yang ada pasar pagi. One stop centre gitu. Boleh beli makan, boleh beli barang dapur juga seperti bawang, telur ke apa, yang telah habis.
Pasar Sehari Lambor Kanan ini bermula seawal jam 7 pagi hingga 10 atau 11 pagi. Lokasinya adalah di Batu 17, Kampung Lambor Kanan, Perak Tengah.
![]() |
| Suasana di Pasar Sehari Lambor Kanan. |
Keunikan pasar ini
Pasar luar bandar ini mempunyai suasana kampung yang sangat tenang. Antara barangan popular yang sering dicari oleh pengunjung termasuklah:
🌸 Hasil sungai dan kampung: Ikan sungai segar, rebung, jering muda, dan cendawan sisir.
🌸 Makanan tradisional: Kuih apam nasi (apam beras) Tok Yang serta jeruk maman.
Macam-macam ada, kome. Saya terbeli cendawan tiram. Geram tengok, besar-besar. Saya rasa yang jual itu, adalah pengusaha cendawan sendiri. Selain cendawan tiram, peniaga yang sama ada juga jual cendawan sisir. Cendawan yang halus itu. Arwah Mak saya dulu, bila beli cendawan sisir tu, selalu buat masak lemak. Peh... sedap, wei!
![]() |
| Hasil membeli-belah di pasar sehari |
Itu tangan saya. Kome belum tengok lagi, tangan suami saya, jinjing beg plastik berapa banyak. 😁 Plastik merah paling besar itu, ada kerepek pisang tanduk. Hehe..
Saya dan suami suka pergi ke pasar minggu atau pasar pagi begini. Ini satu cara kami menyumbang kepada produk ekonomi tempatan dan membantu usahawan kecil di kampung-kampung. Kadang kita tengok tak ada siapa beli apam balik orang itu. Kami pun pergilah beli apam balik besar sekeping. Lepas kita beli, ada je orang ikut beli apam balik peniaga yang sama. Kome selalu jadi macam itu tak? Kita bawa orang, orang kata.
![]() |
| Parkir di tepi jalan saja |
Pasar sehari Lambor Kanan ini, lokasinya di hadapan sekolah menengah. Ramai pengunjung parkir kereta di tepi jalan saja.
Pokok-pokok pun ada dijual. Anak pokok durian ada, macam-macam lah. Saya menahan diri dari membeli pokok. Pokok di rumah itu pun sudah banyak, tak larat nak jaga semua.
Kami beli makanan. Keropok lekor yang keping-keping dan rangup itu, kami habiskan dalam kereta, makan dalam perjalanan balik ke Manjung.
![]() |
| Sarapan saya, beli di pasar sehari. |
Masa lalu di pasar sehari itu, ada peniaga goreng kuetiau di situ. Bukan yang kuali besar. Dia buat bila orang pesan, goreng sikit-sikit mengikut pesanan orang. Bau sedap, iaitu bau hangit masakan dimasak menggunakan kuali wok dengan api yang besar. Itu yang kami menyinggah beli, kuetiau goreng. Letak sekali jeruk cili. Alhamdulillah. Sedap. 😋
![]() |
| Sarapan suami, nasi lemak daun pisang. |
Telur rebus potongan kecil. Di rumah saya memang ada rebus telur, tambah telur rebus sendiri dalam nasi lemak dibeli. Nasi lemak dan sambal cukup rasa, Alhamdulillah.
Okaylah. Sekian cerita membeli-belah di Pasar Sehari Lambor Kanan, Perak Tengah.
Selamat beristirehat di hujung minggu kepada semua pembaca sekalian.
Jumpa lagi, ya. 💗





Kalau ke pasar pagi memang tak cukup tangan kanan kiri. Saya aritu siap bawa beg Ikea biru senang semua sumbat situ, suami la yang sakit bahu bawak beg 😄
BalasPadam