Rabu, 15 Julai 2026

Cencurut yang bijak

 Cerita ini berlaku pada 7 Julai 2026 yang lepas.

Semasa saya sedang masak, saya ternampak ada sesuatu bergerak dengan ekor mata. Dapur basah saya di luar rumah. Apabila menoleh, saya nampak tikus kecil.

Masa tu, saya sedang goreng ikan kembung. Saya ambil kepala ikan yang telah digoreng, mahu buat umpan dalam perangkap tikus. Ini pertama kali saya pasang perangkap tikus sendiri. Biasanya, suami saya yang buatkan.

Tak boleh jadi, ni. Sebab tikus berani keluar siang-siang hari, jadi saya pun kena beranikan diri pasang perangkap. Saya risau kalau tikus masuk rumah, lagi lah seram. No, no..

Waktu saya keluar hendak sidai tuala selepas mandi, tikus belum masuk perangkap.

Selepas zohor, saya periksa perangkap tikus, baru ada.

Cencurut masuk perangkap guna umpan kepala ikan rebus goreng
Yah! Cencurut masuk perangkap!

Saya teringat dulu-dulu, semasa rumah saya masih ada kucing, kucinglah yang tolong tangkap tikus. Pagi-pagi keluar, ada bangkai tikus atau cencurut dekat garaj, hadiah dari anak bulu. Sekarang ini, kena pasang perangkap sendiri. 

Apa perbezaan antara cencurut dan tikus?

Walaupun rupa mereka nampak hampir sama dari jauh, cencurut (shrew) dan tikus biasa (rat/mouse) adalah dua haiwan yang sangat berbeza dari segi biologi, tabiat dan pemakanan.

Berikut adalah perbezaan utama antara cencurut dan tikus biasa:

1. Rupa Fizikal

🐀 Cencurut mempunyai muncung yang panjang, tajam dan fleksibel. Matanya sangat kecil (hampir buta) dan telinga tersorok di sebalik bulu. Bulunya biasanya berwarna kelabu gelap atau kehitaman.

🐀 Tikus mempunyai muncung yang lebih bulat, mata yang besar dan bulat, serta telinga yang lebar dan tegak.

2. Jenis pemakanan (diet)

🐀 Cencurut merupakan haiwan bukan rodent (bukan jenis mengerat). Cencurut ialah haiwan insectivore (pemakan serangga). Mereka makan lipas, cacing, semut dan ulat. Mereka tidak makan sisa makanan atau kompos Bokashi anda. 

Saya risau tong bokashi yang ada sisa dapur yang diperam yang jadi punca cencurut datang ke rumah. So okay, bukan sebab tong bokashi.

🐀 Tikus merupakan haiwan rodent (pengerat). Tikus ialah haiwan omnivor yang makan apa sahaja termasuk sisa makanan, bijirin, buah-buahan, dan tulang ayam di dalam tong kompos. 

3. Bau dan tabiat

🐀 Cencurut terkenal dengan bau busuk yang sangat kuat (bau tengik) yang dikeluarkan daripada kalenjar badannya untuk menanda kawasan dan mempertahankan diri. Cencurut tidak gemar menggigit barang elektrik atau perabot kerana giginya bukan untuk mengerat.

🐀 Tikus tidak mengeluarkan bau badan yang tersendiri (kecuali bau air kencingnya). Tikus suka mengerat wayar elektrik, plastik, kayu dan kotak untuk menajamkan giginya yang sentiasa tumbuh.

4. Bunyi

🐀 Cencurut sering mengeluarkan bunyi decitan yang sangat nyaring, laju dan bising (chit-chit-chit) terutamanya apabila mereka bergerak atau bergaduh pada waktu malam.

🐀 Tikus mengeluarkan bunyi decitan yang lebih perlahan, berat atau bunyi cakaran pada siling dan dinding.

Cencurut dalam perangkap tikus
Close-up sikit cencurut dalam perangkap

Cencurut rupanya masuk perangkap. Muncung ia panjang.

Cencurut berjaya keluar perangkap

Kerja menghapuskan binatang perosak ini, saya serahkan pada suami la, siapa lagi. Biasanya, suami akan lemaskan haiwan perosak ini di dalam baldi berisi air. Suami saya masih bekerja. Jadi, tunggu petang lah, barulah dia mulakan operasi penghapusan. 

Tapi nak tahu apa jadi? Mungkin sebab cencurut ini masih kecil, ia boleh menyelinap keluar dari perangkap tikus. Hahaha... terlepas sudah!

Cubaan kali kedua

Menggunakan sangkar yang sama, suami saya pasang umpan untuk perangkap tikus yang sama. Juga cencurut berjaya keluar. Ini mengesahkan yang cencurut ini boleh mengecilkan badannya keluar melalui pintu perangkap tikus. Terer kan, menatang ini. Kita tengok badan ia gemuk dan berisi. Tapi ia boleh slide keluar menerusi lubang kecil.

Cubaan kali ketiga

Suami pasang umpan menggunakan perangkap tikus jenis sepit. Juga gagal. Umpan hilang, tapi cencurut tidak terperangkap. Terer tak, ia boleh makan umpan tanpa mengelakkan diri sendiri tersepit pada perangkap. Bijak, bijak.

Cubaan kali keempat

Suami menggunakan perangkap jenis sepit juga tambah cara baru. Kami beli perangkap tikus jenis gam yang kuat, dibeli di Daiso.

Cencurut melekat pada perangkap tikus jenis gam kuat yang dibeli di Daiso
Tadaa... berjaya menangkap cencurut yang bijak

Itu pun, sipi-sipi. Cencurut itu sudah berada di tepi perangkap gam. Makna, ia telah mengesut perlahan-lahan untuk lepaskan diri dari gam itu. Peh... kuat betul. Nasib baik juga suami saya periksa perangkap tengah-tengah malam. Kalau tunggu pagi baru nak periksa, rasanya, cencurut itu pasti terlepas lagi sekali. Hahaha... akhirnya, tewas juga.

Namun begitu, dua tiga hari kemudian, saya terdengar bunyi decitan tikus lagi di belakang rumah. Kali ini, suami pasang perangkap tikus biasa.

Mak cencurut pula masuk perangkap

Pada 13 Julai Julai 2026, cencurut lebih besar saiznya, dipercayai mak cencurut kecil yang bijak itu, berjaya masuk perangkap. 

Kali ini, sebab saiz badan yang lebih besar, cencurut tidak berjaya lepaskan diri.

Cencurut lebih besar masuk perangkap
Mak cencurut masuk perangkap.

Begitulah ceritanya. 

Haiwan perosak seperti tikus dan cencurut tidak boleh dibiarkan membiak di dalam atau di sekitar rumah kerana mereka adalah pembawa pelbagai jenis kuman, bakteria, dan virus yang boleh membawa maut kepada manusia.

Penyakit kencing tikus atau leptospirosis adalah ancaman paling besar di Malaysia kerana ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, hati dan boleh membawa maut jika lambat dirawat.

Sekian. Beginilah lumrah rumah atas tanah ini. Selain itu, saya risau kalau tidak ditangkap dan dihapuskan, boleh mengundang pemakan haiwan ini iaitu cik U yang menyusur itu datang ke rumah. Sebab pernah berlaku dulu. Rumah saya pula terletak berhampiran hutan paya bakau. Huiii... minta simpang malaikat 44... 🙈🤲

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Tiada ulasan:

Catat Ulasan