Isnin, 6 Julai 2026

Raintree Walk Taiping

 Cerita pada 30 Jun 2026 yang lepas. Saya dan suami ke Taiping lagi. Sebelum ini, kami ada pergi Taiping juga, tapi pergi untuk makan nasi kandar semata-mata, lepas tu balik. Hehe.. Sebenarnya, nak berjalan-jalan pagi. Mula-mula ingat nak ke Taman UTP di Tronoh, tapi rasanya by the time sampai sana, mesti sudah panas cuaca. Nak kata dekat, tak berapa dekat. Tapi berlainan daerah dengan tempat tinggal saya. 

Jadi, lokasi mana yang kalau kita sampai agak lewat pun, tapi tak panas? Taiping la, yang terlintas di fikiran, sebab sana banyak pokok besar. Ajom!

Hari Selasa. Suami saya off kerja. Ramai juga orang beriadah di Taman Tasik Taiping. Cuaca baik. Tidaklah panas sangat, masa kami baru sampai. 

Walaupun ramai orang beriadah, tapi ada ruang parking yang banyak untuk orang ramai. 

Sampai di Taman Tasik Taiping
Yay, sampai juga kami ke Taman Tasik Taiping.

Ini kali kedua la, kami sampai sini. Maksud saya, jalan-jalan di Lake Garden Taiping ini. Dari pemerhatian kami semasa jalan-jalan, rasanya malam sebelumnya, mesti hujan lebat. Sebab ada tempat yang dinaiki air dan lecah. Laluan orang berjalan melalui kawasan berumput pun ada banjir sikit. Boleh dilalui, tapi nanti kasut basah pula.

Raintree di Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping
Saya suka pokok besar 😍

Raintree Walk

Raintree Walk ialah satu laluan pejalan kaki sepanjang 650 meter yang terletak di pesisiran Taman Tasik Taiping, Perak. Laluan ikonik di Jalan Pekeliling ini terkenal dengan keindahan barisan pokok hujan (rain trees) berusia lebih 100 tahun yang dahan-dahannya melentur unik ke arah permukaan tasik.

Dekat sini, orang ramai boleh berjogging dan berjalan santai. Laluan ini mesra pejalan kaki dan bebas daripada kenderaan bermotor, menjadikannya sangat selamat untuk aktiviti kecergasan.

Selain itu, kita boleh juga sewa basikal biasa atau basikal keluarga untuk mengelilingi kawasan tasik.

Saya suka sebab pihak berkuasa di sini ada ambil langkah inisiatif menyokong pokok besar ini, dengan letak batang besi penyokong di bawah pokok. 

Ini berbeza dengan di kawasan saya tinggal, pihak berkuasa tempatan (PBT) menebang habis semua pokok di tepi-tepi jalan. Kawasan yang selama ini redup dan ada pokok besar, sekarang sudah panas. Sudahlah kawasan tempat tinggal saya berdekatan dengan laut. Lagilah panas dan bahang terasa sebab pokok besar semua sudah ditebang. 

Tapi pandang dari sudut positif, mungkin pihak PBT mahu elak kejadian pokok tumbang atau dahan pokok jatuh dan kena orang ramai, mungkin. Wallahualam...

Raintree Walk, Taman Tasik Taiping
Ambil gambar sini pula

Cantik pemandangan di sini. Saya suka. 

Pemandangan di Taman Tasik Taiping
Cantik dan tenang 🥰

Pantulan pokok dalam air tasik. Boleh piknik dan santai, sebab ada kawasan rumput hijau dan bangku taman untuk berehat menikmati udara segar. 

Semasa berjalan, ada kalanya boleh dengar bunyi harimau mengaum sebab taman ini terletak bersebelahan dengan Zoo Taiping dan Night Safari.

Burung bangau
Burung bangau

Saya lalu dekat sangat dengan burung bangau ini. Sebelah saja. Saya tunggu melepasi burung ini jauh sikit, baru saya berani ambil gambar burung. Takut kita ambil gambar dekat dia, dia patuk kang.. eh, burung ini patuk orang ke? Hehe..

Bunga dari pokok peluru meriam atau cannonball tree
Jumpa bunga cantik

Bunga ini dari Pokok Peluru Meriam atau Pokok Buah Kanon (Cannonball Tree). Bunganya punya bau wangi. Pokok ini dinamakan sempena buahnya yang besar, bulat dan keras seperti peluru meriam yang boleh mencecah berat sehingga 11 kg. Pokok ini sering ditanam sebagai pokok hiasan di taman-taman awam seperti Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Cyberjaya dan Taman Botani Pulau Pinang. Info dari Google Lens.

Buah dari Cannonball Tree atau Pokok Peluru Meriam
Itu buahnya, bulat macam peluru meriam.

Hehe.. seronok dapat tengok pokok yang jarang dijumpai di tempat saya.

Sambil jalan santai, saya berhenti ambil gambar pemandangan yang menarik untuk kenangan dikongsikan di blog.

Pantulan pada tasik yang tenang di Taman Tasik Taiping
Pantulan pada tasik yang tenang.

Baru nak ikut laluan berumput, tapi kami terpaksa patah balik, sebab ada laluan pejalan kaki dinaiki air. Jadi, kami kembali semula ke kawasan pokok hujan.

Suami saya jalan laju tinggalkan saya
Laju betul pakcik tu jalan

Saya pula ambil masa, tengok pemandangan bukit berdekatan, iaitu Bukit Larut. Bilalah nak naik Bukit Larut ni. Kome pernah naik Bukit Larut tak? Saya pernah terbaca, di puncak Bukit Larut, ada taman bunga yang cantik dan banglo kolonial lama. Nantilah, satu hari. 

Taman Botani Perak
Melencong ke Taman Botani Perak

Dekat tempat saya berdiri di atas, ada orang buang roti sudah expired, saya rasa untuk bagi kera makan. Tidak lama lepas saya ambil gambar di atas, ada pekerja Taman Botani yang menyapu kesemua roti. 

Sebenarnya, kita tidak boleh biasakan beri makan pada haiwan liar ini. Tapi orang memang cukup suka campak makanan untuk haiwan-haiwan.

Kami masuk pintu yang salah untuk ke Taman Botani. 

Laluan ke pencawang TNB, di Taman Botani Taiping
Laluan menghala ke pencawang TNB

Patutlah laluan seperti tidak terjaga, penuh daun-daun. Rupanya, tak ada apa pun di atas, cuma ada pencawang. Kami turun semula dan baru jumpa pintu masuk yang betul ke Taman Botani. Ada pok guard. Kena beli tiket masuk. Oh, ada bayaran. Sebab ada bayaran, kami tak jadilah masuk. Lain kali, ye. Kali ini, kami jalan di tempat percuma saja. Hehe.. kami berjalan semula memasuki laluan taman tasik.

Pokok beringin
Pokok Beringin

Ini adalah Pokok Beringin atau Banyan tree. Pokok ini boleh hidup beratus-ratus tahun juga. Info dari Google Lens. Nak tahu apa saya fikir waktu melintas depan pokok ini?

Saya panggil pokok ini, pokok hantu. Sebab pokok inilah yang ada  pada muka depan buku Bercakap dengan Jin oleh Tamar Jalis. Nanti kejap, saya cari dalam almari buku kat rumah ni sekejap.

Mana ke dianya... alamak.. sat, sat... haaa.... jumpa...

Bercakap dengan Jin. Cetakan kedua. September 1984
Haa... buku klasik ni. Cetakan tahun 1984

Kan, sama tu, pokoknya macam pokok beringin tu, kan. Huhu... orang tua dulu-dulu cakap, jangan main kat pokok ni. Nanti kena sembunyi dengan hantu ko**k. 🙈

Eh, apedaaa.... dah lari topik ni. Kembali kepada cerita berjalan di Taman Tasik Taiping.

Berjalan selama 1 jam 37 minit.

Dapat jarak 5.26 kilometer. Lawa daun berguguran atas jalan berhampiran Taman Botani Perak. Bentuk heart. Itu yang saya ambil gambar.

Berjalan di Taman Tasik Taiping
Peta aktiviti berjalan kami

Alhamdulillah. Seronok dapat berjalan tengok pokok-pokok besar dan pemandangan yang cantik. Kalau anda belum pernah sampai sini, silalah datang, rasai sendiri. Tiada bayaran masuk dikenakan. (Bukan macam Teluk Batik tu, nak masuk pun kena bayar 😝). 

Tandas awam ada, laluan berbasikal, kawasan permainan kanak-kanak, tempat letak kereta percuma. Bagus ada tempat riadah macam ni. 

Baiklah. Sekian cerita kami jalan pagi di Taman Tasik Taiping.

Jumpa lagi, ya. 💗

1 ulasan:

  1. Cantiknya view. Lama sangat tak ke tepeng. Makcik husband duk sana. Kalau ada kelapangan selalu kami ziarah dia di sana.

    BalasPadam