Kesinambungan dari misi saya untuk menggunakan sisa dapur sebagai baja, saya telah buat beberapa carian.
Baca juga 👉 Cerita tempat kompos yang lepas
Saya jumpa alat atau mesin yang beberapa teman blogger ada sebutkan, iaitu mesin kompos sisa makanan (food waste composter). Memang kagum dengan alat tersebut, yang berfungsi dengan mengisar, mengeringkan, dan menguraikan sisa makanan secara automatik dalam masa 2 hingga 24 jam. Hasilnya adalah baja organik kering yang kaya dengan nutrien untuk kesuburan tanaman. Tapi, harganya pun 'kagum' juga. 😁 Patutlah boleh dapat pelepasan cukai kalau ada alat tersebut.
Oleh kerana saya baru nak bermula, tak mahulah keluar bajet yang tinggi. Oh, saya juga ada selidik tentang kaedah tanam sisa dapur dalam tanah, seperti yang teman blogger ada sebutkan, yang ditunjuk oleh seorang pempengaruh di TikTok. Menarik kaedahnya, dan antara pilihan untuk sayalah yang boleh diamalkan.
Satu lagi cara yang berpatutan dengan bajet saya adalah dengan menggunakan bokashi bin. Oleh itu, saya pun beli di shopee. Selamat sampai di rumah. Dalam entri ini, saya nak ceritakan tentang bokashi bin. Kalau ada barang dan alat, boleh buat sendiri di rumah tong ini. Tapi saya kekurangan bahan, itu yang saya beli saja. Harga untuk satu set tong dan alat lain yang saya beli di shopee ini adalah sekitar RM60.
Apa itu Bokashi Bin
Bokashi dalam bahasa Jepun bermaksud "bahan organik yang diperam atau ditapai".
Sistem bokashi bin adalah kaedah pengkomposan dari Jepun yang menggunakan proses penapaian anaerobik (tanpa udara) untuk menukar sisa makanan menjadi baja organik.
Kaedah ini sesuai untuk kediaman kecil kerana ia tidak berbau busuk dan boleh memproses hampir semua jenis sisa dapur.
![]() |
| Ada tertera bahan boleh masukkan dalam bokashi bin. |
Apa yang boleh dimasukkan (boleh dikompos)
Berbeza dengan kompos biasa, sistem bokashi boleh menerima sisa yang lebih pelbagai:
🌸 Sisa tumbuhan: Buah-buahan (termasuk kulit), sayur-sayuran, dan bunga potong.
🌸 Produk haiwan: Daging, ikan, tenusu (keju/yogurt), kulit telur dan tulang-tulang kecil.
🌸 Karbohidrat: Roti, bijirin, nasi dan pasta.
🌸 Lain-lain: Serbuk kopi, penapis kopi dan uncang teh.
Apa yang TIDAK boleh dimasukkan:
Jangan masukkan bahan bukan organik atau bahan yang boleh merosakkan proses penapaian:
❌ Bahan bukan organik: Logam, kaca, plastik, pita pelekat, getah dan lampin.
❌ Bahan kimia: Minyak, bahan kimia dan styroform.
❌ Sisa tercemar: Makanan yang sudah terlalu berkulat atau busuk (boleh merosakkan bakteria baik dalam tong)
Dalam set bokashi bin yang saya beli, ada 2 lapisan tong (tong di atas ada penapis lubang-lubang, sementara tong di bawah untuk menakung air kompos dan ada lubang untuk dipasang kepala paip), bokashi bran dan kepala paip untuk saya pasang pada tong di bawah.
![]() |
| Bokashi bran dan kepala paip |
Cara menggunakan tong bokashi
1. Potong sisa: Potong sisa makanan kepada saiz kecil untuk mempercepatkan proses.
2. Tabur dedak (bokashi bran): Setiap kali sisa makanan ditambah, taburkan bokashi bran (dedak yang mengandungi mikrob EM) di atasnya.
3. Padatkan: Tekan sisa makanan untuk mengeluarkan udara.
4. Tutup rapat: Pastikan penutup kedap udara bagi memastikan proses penapaian berjalan lancar.
5. Tuai "teh bokashi": Setiap 2 hari, buang cecair melalui paip di bawah tong. Cecair ini boleh dicairkan dengan air untuk dijadikan baja cecair tanaman.
6. Peram: Setelah tong penuh, biarkan ia tertutup selama dua hingga 3 minggu sebelum menanam sisa tersebut ke dalam tanah untuk penguraian lengkap.
Saya pasang sendiri je, kepala paip itu. Ada getah untuk bahagian luar dan dalam tong, supaya kepala paip yang kita pasangkan pada tong bawah adalah ketat.
![]() |
| Tadaaa... siap untuk digunakan. |
Yang merah atas tong itu, adalah alat buka penutup tong atas. Kalau cuba buka dengan tangan, memang boleh sakit jari sebab ketat. Jadi, ada alat seperti apit-G di atas.
Saya musykil juga apa sebenarnya kandungan dedak atau bokashi bran itu.
Bokashi bran atau dedak bokashi
Ia adalah bahan utama dalam sistem kompos bokashi yang berfungsi sebagai "agen penapaian" untuk mengurai sisa makanan tanpa bau busuk.
Kandungan utama bokashi bran
Dedak bokashi biasanya diperbuat daripada campuran tiga bahan utama:
🍂 Bahan pembawa: Biasanya menggunakan dedak padi atau serbuk gergaji gandum.
🍂 Mikroorganisma Efektif (EM-1): Bakteria baik (seperti bakteria asid laktik, yis, dan bakteria fotosintetik) yang menukarkan sisa makanan menjadi kompos.
🍂 Sumber tenaga: Air dan molasses (gula merah cair) untuk memberi tenaga kepada bakteria tersebut.
Bau bokashi bran ini, macam lebih kurang bau campuran yis yang kita biar atas meja supaya ia berbuih itu, sebelum kita campur ia dalam adunan tepung nak buat donut. 😊
![]() |
| Letak di bahagian belakang rumah |
Tiap-tiap hari sebelum maghrib, saya akan masukkan sampah sisa dapur dalam tong bokashi ini. Jika sisa dapur tidak banyak, saya kumpul dua hari, baru masukkan. Sudah lebih seminggu saya buat. Tong sampah di rumah pun jadi tahan lama, maksud saya, tiada semut, sebab sisa dapur saya asingkan.
![]() |
| Siap siaga dengan penyiram pokok |
Saya sudah beli penyiram pokok, bila ada air teh bokashi ini, boleh campur air dan siram pada pokok. Tetapi hingga kini, tong ini masih kering. Ye la, baru seminggu lebih. Sisa dapur saya pula jenis kering. Seminggu dua lepas, banyak urusan di luar, dapur pula tidak berasap. Tiada bahan basah.
Alhamdulillah, tercapai misi saya untuk menggunakan sisa dapur. Walau belum jadi kompos lagi. Masih in progress. Ada rasa seronok, kerana kita menggunakan sisa dapur sepenuhnya. 😊
Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗





No comments:
Post a Comment