Thursday, June 18, 2026

Cerita anak dan aktiviti berkebun Jumaat

 Semalam, bapa budak bawa balik ayam Uncle Jack. Dia beli set pula, termasuk air berkarbonat. Alaa... tu la, biasanya bini yang beli. Kalau saya bungkuskan, biasa beli yang ala carte saja. Kita pula jenis tak suka membazir. Lepas minum segelas air coke, sakit kepala terus saya. Macam ni la, bila benda tak elok masuk dalam badan, terus rasa lain macam. 

Urusan budak Sulaiman

Hari ni juga bapa budak bawa Sulaiman pergi bank, nak ambil nombor akaun yang pihak politeknik tolong bukakan. Bila pergi pagi, tak dak karan! Bank tak dak elektrik, wei... Orang bank cakap TNB tengah ada dekat bank CIMB. Lepas settle sana baru TNB mai baiki yang Bank Islam pula. Eh, biasa kan, bank mana boleh tak ada elektrik lama-lama, kan. Dia mesti ada back-up power. Suami kata, mungkin dia nak suruh orang ramai balik, sebab penuh sangat bank pagi tadi. 🙈

Lepas Zuhur, pergi Bank Islam semula. Alhamdulillah, sudah ada bekalan elektrik. Sulaiman kata, penuh kawan-kawan dia saja dalam bank tadi. Semua nak pick-up kad bank. Ye la, hujung minggu ni, nak daftar. Bukan PUO saja, ada kawan Sulaiman dapat politeknik Kedah pun ada juga, daftar sama hujung minggu ni. Bagus juga sebab pihak politeknik sudah tolong bukakan bank akaun pelajar secara berjemaah. Sebab kalau pergi sendiri, Sulaiman belum cukup umur, belum 18. Bila pihak politeknik yang bukakan, lega sikit. Selesai satu masalah.

Bila sudah ada akaun bank sendiri, barulah boleh apply bantuan one-off seperti yayasan perak dan Majlis Agama Islam Perak (MAIP). Yayasan Perak cakap, pemohon kena 18 tahun ke atas, jadi kena tunggu lagi 2 bulan untuk birthday Sulaiman. Tengok website MAIP, untuk permohonan bantuan tergendala sebentar. Hahaha.. baiklah, tengok lain hari. 

Hafizan tak dapat asrama?

Tapi ada satu berita dukacita, permohonan asrama Hafizan ditolak untuk semester 5. Dia cuba buat rayuan. Kalau tak lulus, nampak gaya kena sewa rumah untuk Hafizan. Itu la, banyak betul intake PUO kali ini. Kawan-kawan Sulaiman yang satu sekolah pun ada ramai dapat PUO juga. Kenapalah dia terima pelajar ramai-ramai. Lepas tu, bapa budak dapat SMS suruh check status pendaftaran pelajar baru. Bila saya check, pelajar baru diberi pilihan untuk terima atau tolak untuk duduk kamsis dalam. Lagi satu, pelajar boleh bawa kenderaan sendiri. Wah... habislah sesak nanti. Budak semester 1 sudah dibenarkan bawa kenderaan sendiri. Sebelum ini, pelajar yang dapat penempatan di dalam atau asrama luar, tidak dibenarkan bawa kenderaan. Ini mesti kes tak cukup bilik. Haiya... saya pun tak tahulah. Kenapa ambil pelajar ramai, sampaikan tak cukup asrama? Ish.. hairan lah.

Aktiviti berkebun saya

Terus saya update blog pukul 4 petang. Marilah kita redakan ketegangan kepala ini dengan tengok kehijauan pokok. Aktiviti berkebun saya pada 12 Jun yang lepas. 

Bunga pokok mempelas
Eh, bunga apa ni?

Ada pokok liar tumbuh di pokok buluh dekat pagar rumah. Mengikut Google Lens, ini adalah pokok mempelas. Nama saintifik Tetracera indica. 

Daunnya dikenali kerana teksturnya yang sangat kasar, menyerupai kertas pasir. Pokok ini merupakan sejenis tumbuhan memanjat berkayu yang sering dijumpai di kawasan belukar atau pinggir hutan di Asia Tenggara.

Saya baca, ada banyak kegunaan pokok ini. Daun pokok mempelas ini, orang dulu-dulu suka ambil untuk menyental belakang periuk yang hitam. Wah... nanti saya nak cuba test tengok sental kuali legend kat rumah ni. 

Bung pokok mempelas
Gambar close-up bunga pokok mempelas

Dalam perubatan tradisional, bahagian pokok ini kadangkala digunakan dalam penyediaan herba, contohnya air rebusan daun matang untuk darah tinggi atau rebusan batang untuk demam. 

Kadang tu, saya terfikir tumbuhan yang tumbuh liar ini, Allah jadikan banyak kegunaan. Cuma kita saja yang tak tahu. Saya biar saja pokok ini tumbuh di celah-celah pokok buluh. Sebab bunganya saya tengok, cantik. 

Pada hari itu, saya bersihkan kawasan di bawah pokok limau kasturi. Sudah semak sangat dengan daun-daun kering dan anak-anak pokok limau. Teringat arwah mama saya pesan, bawah pokok kena bersih, contohnya bawah pokok pandan. Takut ada ular duduk bawah. Jadi, saya pun potong batang pokok limau kasturi yang bahagian bawah. Biar pokok ini meninggi. 

Dapat kutip buah limau kasturi yang banyak.

Buah limau kasturi
Hasil kutipan dari batang bahagian bawah.

Suami saya sudah bawa semua buah limau di atas ke pejabatnya. Bolehlah ambil, siapa yang nak. Buat air limau ke, dekat ofis. Apa-apa benda pun kalau bawa ke ofis suami, memang semua cepat habis. 😁

Tengah-tengah duduk clear-kan kawasan sekitar pokok limau kasturi, saya perasan di celah-celah batang pokok lengkuas,  ternampak benda warna terang.

Buah naga yang dimakan beruk, tinggal kulit saja.
Apakah itu?

Huh! Bahan bukti! Buah naga yang hilang hari tu, dikerjakan oleh beruk, saya sudah jumpa kulit buahnya. Hahaha... lepas makan, campak merata-rata.

Buah naga yang dimakan beruk, tinggal kulit sahaja
Tinggal kulit

Cantik kejadian buah. Walaupun kulit luar masih hijau, bahagian dalam buah sudah warna ungu terang. Sedap ye, beruk itu makan. 

Selain itu, aktiviti berkebun diteruskan dengan mencucuk gajet berkebun baru sampai, beli dari shopee. Hehehe...

Batang bersabut untuk pokok money plant
Beli batang bersabut untuk pokok money plant.

Pokok money plant ini, dia punya batang ada cangkuk. Kalau kita biarkan, ia akan berjuntai ke bawah atau kalau melintang, ia akan kacau pasu sebelah. Saya jumpa orang jual batang bersabut ini. Terus beli. Jadi, batang pokok money plant akan menjalar menegak bila dia attach pada batang bersabut ini. Sebab ia bersabut, jadi bila kita siram pokok, bahagian sabut itu kekal lembab lebih lama. Jadi, pokok kita segarlah. Ye ke? Harap-harap begitulah. 

Lagi satu, kita boleh sambung-sambung batang ini, mengikut pokok kita. Makin pokok meninggi, boleh attach batang baru, sebab tengah-tengah dia ada lubang. Memang boleh sambung-menyambung. Hehe.. selain untuk pokok money plant, saya tengok seller punya video, sesuai untuk pokok monstera juga.

Geleng kepala suami saya tengok. Kegilaan bila ada shopee di handphone. Kalau tak beli tudung, beli bahan berkebun. Tapi saya sudah uninstall. Bahaya, bahaya. Eh, tapi ada satu lagi benda saya beli di shopee, lain entri saya share, ya. 🤭

Baiklah. Jumpa lagi. 💗

1 comment:

  1. Betul tu kalau bawak opis gerenti habis. Kureng asam cik nyet dah makan tak reti buang kat tong sampah.

    ReplyDelete