Sunday, June 7, 2026

Pokok buah naga

 Sudah lama saya tak buka laptop dan view blog. Rasa berbeza dan nampak semua besar. Sebelum ini, saya lebih kerap update dan blogwalking menggunakan handphone saja. Barulah nampak lebih jelas gambar-gambar yang kawan-kawan share di blog masing-masing. 😊 Haha.. sudah lupa seronok rasa bila pandangan lebih jelas. Barulah puas tengok. 

Tapi malangnya, semenjak dua menjak ini, saya tak berkesempatan on laptop. Tambahan pula, cuaca panas. Jadi, lebih selesa buat kerja depan TV di ruang tamu yang ada aircond, banding dalam bilik kerja yang cuma ada kipas. 

Sebenarnya, entri ini, saya nak tunggu sampai menjadi buah. Tapi ambil masa juga rupanya. Tak apa, kena sabar. Lagi pun, draft entri saya tak banyak yang tinggal. Yay! Itulah, tak ada agenda menarik nak diceritakan. Tidak ke mana-mana. 

Sejarah tanam pokok buah naga di rumah

Jadi, entri ini saya nak cerita tentang pokok buah naga yang ada di rumah saya ini. Benihnya, adalah melalui keratan batang. Suami bawa balik dari kampung di Tumpat, Kelantan. Ada 2 batang bawa balik. Mulanya, saya cuma cucuk dalam pasu besar. Alhamdulillah, hidup subur dan membesar dengan sihat. Jadi, kami pindahkan dari pasu, ke dalam tanah. 

Klik sini 👉 kalau nak baca cerita kami transfer pokok buah naga ini dari pasu ke tanah.

Entri di atas adalah pada tahun 2024. Dan kini tahun 2026, pokok ini mula berbunga dan berbuah. Alhamdulillah. Saya ada letak baja Caradex Form, Ibu Baja Thai, yang saya beli dari penjual di pasar minggu Kuala Kangsar. Saya beli paket kecil saja. Tak tahu yang baja ini bagus. Tak tahu yang sekali itu saja dapat jumpa penjual baja itu berniaga. Sejak itu, tak jumpa dah. Waktu beli baja itu, saya tertarik sebab tengok pokok cili dia tanam dalam pasu, berbuah dengan lebat dan cantik saja cilinya.

Perkembangan pokok buah naga

Saya ambil gambar tidaklah setiap hari, bila saya teringat waktu berkebun saja. Tujuan ambil gambar untuk rekod saya. Sebab ini pertama kali saya tengok kejadian pokok buah naga ini keluar bunga dan jadi buah.

Ada dua pokok buah naga di rumah. Pokok pertama, ada dua tempat keluar bunga dan berbuah. Jom tengok:

🌱 Lokasi batang tepi dinding

Pokok buah naga berbunga
Mula keluar bunga

Apa kesilapan saya buat dalam gambar di atas? Ya, gambar bawah kanan, saya letak pembalut buah. Sedangkan waktu itu, baru fasa berbunga. Oh jahilnya aku. 😅

Dari bantuan Gemini, memang tidak digalakkan membalut atau menutup bunga pokok buah naga yang sedang berkembang kerana ia memerlukan agen pendebunga seperti lebah, kelulut, atau kelawar untuk hinggap. Proses pemindahan debunga ini amat penting bagi memastikan bunga tersebut berjaya disenyawakan dan bertukar menjadi buah.

Fakta ringkas tentang proses pendebungaan buah naga:

🌸 Masa kembang: Bunga buah naga biasanya kembang sepenuhnya pada waktu malam.

🌸 Peranan serangga: Lebah dan serangga lain akan tertarik dengan debunga ini dan membantu pendebungaan (proses persenyawaan) antara debunga jantan dan stigma betina.

Menyedari kesilapan kami letak pembalut buah terlalu awal, saya buat carian di youtube dan jumpa cara nak bantu pendebungaan bunga buah naga. Saya attach video di sini.


Bunga pokok naga mulai layu
Bunga mulai layu

Suami saya cabut bahagian bunga itu, setelah kami rujuk video di atas. Seterusnya, ia mula jadi buah.

Mula pasang pembalut buah pada buah naga
Mula pasang pembalut buah

Saya tanya suami saya, macamana dia tahu itu jadi buah? Dia kata, dia picit sikit, rasa macam ada isi kat dalam. Ler... bertuah suamiku. 

Buah naga di pokok mulai membesar
Buah semakin membesar dan membulat

Itu sajalah perkembangan terbaru untuk batang di tepi tembok. Ada lagi satu batang, pokok yang sama, turut keluar bunga. Jom tengok...

🌱 Lokasi batang di bahagian tengah pokok

Comel je waktu bunga mula-mula keluar.

Bunga waktu mula keluar
Bunga waktu mula keluar

Kadang tu terkejut juga, sebab pertumbuhan agak cepat. Dari cikenit je, tiba-tiba jadi panjang.

Bunga pokok buah naga semakin panjang
Bunga semakin panjang

Mula kembang. Entah bila dia kembang, tak sedar. Ada hari hujan, ada hari kami sibuk ada urusan luar, tak sempat nak jenguk pokok.

Bunga buah naga sudah kembang dan mulai layu
Sudah kembang dan mulai layu

Yang ini, kami biar saja, tidak letak pembalut buah lagi. Saja nak tengok.

Buah naga mulai terjadi
Sudah mula membentuk buah

Itulah perkembangan pada pokok pertama. Kita tengok pokok kedua pula.

🌱 Pokok kedua

Tiba-tiba saya perasan ada bunga mula berputik, dan hari demi hari, ia sudah kembang pada waktu malam. Esoknya, saya sempat ambil gambar.

Bunga pokok buah naga yang mekar
Gambar 4 Jun

Cantik kan, bunga pokok buah naga ni, bila ia mengembang. Besar pula tu.

Gambar bunga pokok buah naga yang kembang, dari tepi
Gambar dari tepi

Saya berserah pada Allah saja. Kalau ada rezeki, dapatlah kami merasa. Ye la, kome pun tahu akan keadaan rumah saya ini yang sering diganggu beruk liar. Oh, sebelum itu, saya nak kongsi sedikit info lagi tentang buah naga, hasil carian dengan Gemini.

Buah naga bermula dengan warna hijau dan bertukar menjadi merah (atau merah jambu/kuning bergantung pada jenis) apabila ia matang.

Untuk mengetahui bila ia betul-betul sedia untuk dipetik dari pokok, anda boleh perhatikan empat tanda utama ini:

🍓 Perubahan warna kulit: Kulitnya sudah bertukar merah sekata dan tiada lagi tompokan hijau.

🍓 Keadaan sisik (Duri): Sisik pada buah naga akan kelihatan layu sedikit, layur, dan hujungnya bertukar warna kekuningan atau hijau pudar.

🍓 Tekstur buah: Apabila ditekan perlahan, buah terasa sedikit lembut (tidak terlalu keras atau lembik)

🍓 Garis lekuk: Buah naga yang sudah matang dan manis biasanya mempunyai garis lekuk yang lebih rata pada badannya.

Semoga dapat merasa buah naga dari pokok tanam sendiri ni. 🤲

Kome suka makan buah naga tak?

Selamat hari Ahad, kome. Jalan-jalan pergi mana tu? Ke, berehat di rumah saja?

Jumpa lagi, ya. 💗

No comments:

Post a Comment