Telur dadar gulung Korea

 Hari ini, ada gangguna bekalan air di banyak kawasan sekitar daerah Manjung, dari 9 pagi hingga 10 malam. Jadi saya bangun awal pagi tadi, untuk siapkan lauk tengahari dan malam. Bertabahlah kita.

Entri kali ini saya nak ceritakan kejadian briskwalk pada hari Ahad, 30 Ogos 2026 yang lepas. Saya biasanya sebelum keluar rumah, saya akan jenguk anak-anak di bilik, saja tengok dia orang buat apa. Saya akan ajak juga dia orang ikut sekali. Biasanya anak-anak akan menolak tapi pada hari itu, budak Hafizan kata okay. 😊

Jadi, pada pagi itu, saya pergi briskwalk di Esplanade Lumut dengan anak kedua, Hafizan.

Rekod aktiviti briskwalk menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan selama 1 jam 4 minit, dengan jarak 3.95 kilometer.

Selepas berjalan, Hafizan ingin guna peralatan bersenam yang biasanya ada di taman rekreasi. Tapi di Esplanade Lumut, sudah bertukar peralatannya. Monkey bar pun sudah tidak ada. 

Jadi, saya pandu ke taman permainan berdekatan rumah, cari monkey bar supaya Hafizan boleh bersenam.

Selfie sementara anak sedang workout menggunakan monkey bar
Hafizan tengah buat pull-up di belakang

Mama ambil video Hafizan buat pull-up, ya. 😊

Mama tak buat ke? Bertuah mama nak bergayut. Tangan pun tak kuat. Kome boleh bergayut dan menyeberang di monkey bar tak, dari satu hujung ke hujung lagi satu? 

Saya tak boleh, walaupun masa saya kecil dulu. Masa saya belajar di ITM Jengka, saya ada masuk Kesatria, masa ujian kecergasan berkumpulan, saya kena jalan atas monkey bar, bukan bergayut. Hahaha.. adeh...

Sementara budak Hafizan bersenam bahagian upper body, Mama duduk di buaian dan slowjog sekejap di sekeliling taman permainan.

Sambung briskwalk di taman permainan perumahan
Tak sampai 5 minit slowjog, Hafizan sudah siap.

Kami balik rumah. Saya terus siram pokok. Kemudian, masuk dapur, masak. Jom tengok saya masak apa pada hari itu.

Telur dadar gulung korea
Telur dadar gulung korea

Macam-macam sudah menu berasaskan telur saya buat. Dari telur rebus, telur goreng mata, poached egg dan kali ini saya cuba telur dadar gulung style korea pula. Dalam bancuhan telur yang dipukul, saya campur cili merah dan bawang dicincang halus.

Saya kongsikan cara buat telur dadar gulung Korea ini, ya.

Telur dadar gulung Korea

Bahan-bahan
🌷 3 hingga 4 biji telur
🌷 1 batang daun bawang (dihiris halus)
🌷 1/2 batang lobak merah (dicincang atau diparut halus)
🌷 Sedikit garam dan lada putih/hitam secukup rasa
🌷 Sedikit minyak masak untuk disapu pada kuali

Cara-cara
1. Pukul telur: Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Masukkan daun bawang, lobak merah, garam dan serbuk lada putih. Pukul sekata.

2. Panaskan kuali: Panaskan kuali leper anti melekat (non-stick pan) dengan api perlahan. Sapu minyak sedikit.

3. Tuang lapisan pertama: Tuang sesenduk nipis bancuhan telur dan ratakan ke seluruh permukaan kuali. 

4. Gulung perlahan: Apabila bahagian bawah telur mula masak tetapi atasnya masih lembab, gulung perlahan-lahan dari satu sisi ke tengah.

5. Tambah adunan: Tarik gulungan telur ke tepi kuali. Tuang lagi sedikit bancuhan telur di ruang kosong, pastikan ia bercantum dengan hujung gulungan tadi.

6. Ulang proses: Ulang langkah menggulung dan menuang baki telur sehingga habis.

7. Siap dipotong: Angkat gulungan telur dengan berhati-hati ke pinggan, biarkan sejuk sedikit, kemudian potong serong atau melintang ikut saiz kesukaan kita sendiri.

Banyak video di youtube ajar bagaimana nak buat telur dadar gulung korea ini. Kome google saja, ya. Sebab bancuhan telur dadar itu, terpulang pada kita sendiri, nak letak apa. Cuma cara masak saja berbeza. Kena tuang sikit-sikit dan nipis, supaya kita boleh gulung hingga jadi tebal.

Udang goreng kunyit
Udang goreng kunyit

Ini lauk kegemaran saya sejak kecil, selain sotong masak hitam. 😋

Sup suhun, fucuk dan petola
Sup fucuk, suhun dan petola

Saya ada campur sekali terung pipit dalam sup petola di atas. Sup tidak tumis. Rebus air saja dan campur sayur-sayur yang ada.

Budu
Budu


Udang goreng kunyit, sup petola, budu dan telur dadar gulung korea
Lauk kami

Dengan periuk-periuk sup naik atas meja. 🙈 Turut kelihatan dalam gambar di atas, kopi o ais suami. Saya brew sekali kopi di rumah. Alhamdulillah atas rezeki dariNya. 😋

Sesenduk nasi bersama sup petola, udang goreng kunyit dan telur dadar gulung korea
Pinggan saya

Ada sesenduk nasi tau, di bawah sayur itu. Lauk udang kunyit ada, mana boleh tak makan nasi. Yummy.. 

Baiklah. Sekian untuk kali ini.

Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

10 ulasan:

  1. sedap tgk telur dadar gulung korea...udang goreng kunyit fav juga

    BalasPadam
  2. Hahaha bkn nur sorang je x leh gayut kat monkey bar tu..kita pun x kuat tangan mental dan fizikal hahaha🤣🤣

    Wow lauk telur dadar korea menarik..pernah try buat tapi mcm jadi x jadi je hahaa nasib baik la amsih rasa telo dadar nya kan 😜🤣

    BalasPadam
  3. Seremban pun baru lepas siap selenggara. Tapi kawasan rumah saya tak terlibat. Susah takde air ni terutamanya nak memasak tu. Banyak guna air nak membasuh itu ini. Elok juga tu masak awal senang.
    Baguslah ada geng Hafizan nak ikut. So far tak pernah cuba lagi monkey bar tu. Tapi boleh lagi kot nak cuba.
    Ohh zaman ITM pun dah ada ye Kesatria tu. Pernah lah join sem 1 sem2 kat UiTM dulu. Tapi berkawat je lah kot aktiviti dia. Lupa dah.
    sedap telur gulung macam ni. Bagus jugalah pelbagaikan menu telur, taklah bosan makan telur rebus je kan. Sayur petola masak air camtu sedap, tapi saya suka tumis kejap.
    Periuk tu kalau mak-mak kita nampak mesti kena bebel. hihihi...

    BalasPadam
  4. Periuk legend tu sis.Sy pun ada 1 dkt rumah ni. =D

    BalasPadam
  5. Tak boleh dah sekarang nak gayut & move dekat monkey bar tu, badan berat ahaha 🤭
    Sedap menu hari ni Nur. Nak² udang dgn sayoq petola tu. Bertambah nasi la kalau Sy :)

    BalasPadam
  6. Nur dah macam kakak teman adik bersenam tu 😀

    Menarik hasilnya telur gulung-gulung.
    Semalam saya pun masak sup sayur campur, tak tumis sebab malas 😆. Tapi ok je tak tumis pun sedap.

    BalasPadam
  7. yes...ada geng ammi. geng periuk naik meja. kalau nampak kat arwah mama ni memanglah kena marah.

    BalasPadam
  8. Cantik betul kejadian telur gulung Korea itu. KSarie masih berusaha hendak membuatnya dan masih belum berjaya huhuhu. KSarie pun kalau masak letak periuk terus atas meja sebab senang dan malas nak basuh banyak bekas. Molek spesies makanan dalam pinggan Tot. Sihat sungguh

    BalasPadam
  9. sup fucuk, suhun & petola..sedapnya...ralit tengok orang buat telur gulung korea ni...kena ada bekas 4 segi..

    BalasPadam
  10. Uncle kalau try buat macam Hafizan buat tu... mau sebulan demam...

    BalasPadam