Sarapan di Warung Nelayan Kg. Permatang

Tarikh: Khamis, 12 Jun 2025

Pergi sarapan bersama suami di Kampung Permatang, Seri Manjung. Suami off kerja. 

Sudah lama tak pergi Warung Nelayan. Di sini, ada hidangan goreng-goreng waktu pagi. 

Bila kita pesan, barulah dia masak. Lagi pun, warung ini dibuka awal pagi. Kalau malas pergi morning walk, ini salah satu tempat makan yang boleh dituju.

Jalan nak ke Warung ni, kecil saja. Kalau selisih kenderaan, salah satu kena ke tepi dan beri laluan. 

Sini juga ada chalet kecil, dan juga tempat orang sewa bot untuk pergi memancing di laut. 

Tempat parking terhad. Kena hati-hati juga, takut kita parking depan rumah orang, menghalang tuan rumah nak keluar. Ada juga yang letak tong-tong di tepi jalan, tak bagi orang ramai yang datang sini untuk letak kenderaan. Jadi, kena parking jauh sikit. Kalau nak senang, naik motor saja, senang cerita.


Menu Warung Nelayan Permatang, Kampung Permatang, Seri Manjung
Menu Warung Nelayan Permatang.

Ada nasi goreng pelbagai jenis, mee goreng, bihun goreng, mee atau bihun hailam, mee rebus, mee kari, mee bandung,  nasi putih, dan macam-macam lagi dalam menu Warung Nelayan Permatang ini.

Ada akak datang ke meja, tanya nak makan apa. Lepas ambil pesanan kami, saya pun bangun pergi tengok meja kuih, kuih apa yang ada.


Popia sira dan karipap
Eh, tadi ambil kuih 4 biji, waktu nak ambil gambar, sudah tinggal 3. 

Oh, suamiku lapar. Hilang satu popia sira. Satu kuih berharga 50 sen.

Saya pesan mee rebus. 


Mee rebus Warung Nelayan Permatang, Kampung Permatang, Seri Manjung
Sedap! Lama tak pekena. 😋

Sementara suami pula pesan nasi putih bersama kari ikan kembung dan telur dadar.


Nasi putih bersama lauk kari ikan kembung dan telur dadar di Warung Nelayan Permatang, Kampung Permatang, Seri Manjung.
Dia bagi ikan kembung 2 ekor dalam kari.

Kari dia, style kari utara. Saya suka! 😋

Bungkus juga kuetiau goreng tak ada sayur sebungkus, untuk anak kedua, Hafizan yang ada di rumah. 

Jumlah harga sarapan termasuk makanan dibungkus adalah RM26.

Alhamdulillah. Allah beri rezeki dapat makan sedap-sedap. 

Kami suami isteri memang suka makan di tempat kecil-kecil, warung masuk kampung, macam ni. Boleh tengok aktiviti orang kampung. 

Selain kami, ada 2-3 meja, suami isteri warga emas, yang sarapan berdua je. Hehe.. seronok tengok. 

Warung Nelayan Kg Permatang, Seri Manjung.

Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari

Tutup setiap Jumaat

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Brunch Nasi Kerabu

Tarikh 11 Jun 2025.

 Brunch: Hidangan yang diambil lewat pagi yang merupakan kombinasi sarapan lewat dan makan tengahari awal.

Soalnya, bukannya tak sarapan hari itu. Sudah sarapan pun. 

Lepas sarapan, dessert pula aiskrim.

Lepas pencuci mulut, nampak gerai jual nasi kerabu, pergi beli pula sebungkus. Aduh...


Nasi kerabu daging yang enak di Lumut
Nasi kerabu daging

Berkongsi makan dengan suami. Nasi kerabu daging. Ambil sekali telur masin. Ada keropok dalam nasi kerabu dia. 

Nasi kerabu: Hidangan nasi yang berwarna biru (warna diperolehi daripada bunga telang), biasanya dihidangkan bersama ulam-ulaman, kelapa parut yang disangai, dan pelbagai lauk-pauk seperti ikan goreng, ayam goreng atau dibakar, atau daging bakar, solok lada dan telur masin. Nasi kerabu berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia, terutamanya Kelantan dan Terengganu, dan juga popular di selatan Thailand. Sos budu, iaitu sos ikan yang diperam, merupakan antara perisa yang sering digunakan dalam nasi kerabu.

Pendapat saya, nasi kerabu di atas, sangat sedap! 😋

Lokasi: Warung nasi kerabu, di Persiaran Venice Sutera 8, Lumut, Perak. Berhadapan Rich Khalifah Family Mart. Nama warung jual nasi kerabu ni, tak tahu, sebab suami yang belikan. Baru dibuka juga. Dulu, tak ada. Tak silap, sejak Hari Raya Haji hari tu, mula nampak.

Harga nasi kerabu di atas: RM10

Portion banyak, membukit. Kena kongsi makan dua orang.

Ok. Sekian cerita makan brunch. Lepas tu, tak makan tengahari dah. Kenyang sampai ke petang. Alhamdulillah.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Pertama Kali Makan Aiskrim Ai-cha

Tarikh 11 Jun 2025.

 Sekarang ni, macam-macam kedai kopi, kedai minuman, kedai teh, kedai aiskrim, buka di pelbagai lokasi, macam cendawan tumbuh selepas hujan. Saya tak pernah cuba. Saya bukan peminat benda manis. 

Tapi sekali-sekala, teringin juga bila tengok orang keluar masuk kedai. Ada satu deretan kedai di tempat saya selalu beli kopi ni, iaitu Zus cawangan Taman Lumut Indah. Di situ, ada WeDrink, Mixue, Aicha, Family Mart dan 7-Eleven Cafe. Kenapa dia orang ni suka duduk dekat-dekat yek? Pelik juga kita. Dah penuh parking kat situ. 

Oleh itu, pada hari tersebut, saya pun masuk la ke Aicha, untuk mencuba.

Ai-scream cone Chocolate Aicha
Saya sudah jilat baru ingat untuk ambil gambar. 

Saya beli Ai-Scream Cone Chocolate Mix Vanilla, harga RM2.50. Ejaan Ai-Scream tu, mengikut menu dia tau. 

Sementara untuk suami pula, Ai-Scream Cone Chocolate. Sama dengan saya, lain sikit je, harga sama. 

Cone dia ada bijan hitam. Satu kelainan.

Saya masuk seorang, beli dalam kedai. Dua-dua belah tangan pegang aiskrim. Lepas tu, takde tangan nak buka pintu. Pekerja tu keluar dari belakang kaunter, bukakan pintu untuk saya. Mekasih, ye. 

Memang begitu. Kadang tu, penat juga. Beli kopi, kita kena ambilkan. Beli aiskrim pun, kena belikan. 😝

Pendapat saya, aiskrim dia sedap! 😋 Tinggi pula tu. Saya suka.

Tapi, saya tak boleh makan selalu. Jaga makan. Sekali-sekala, boleh.

Ok. Tu jer nak cerita.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Sarapan dan Jalan Tepi Sungai

 Tarikh 11 Jun 2025. 

Awal pagi, dalam pukul 7 lebih, lepas Sulaiman pergi sekolah. Saya dan suami pergi sarapan di kedai Roti Canai Pak Tam Kg. Sitiawan. Sudah dua kali saya cerita kami sarapan di tempat ini.

Baca juga 👉 Sarapan Semalam

Baca juga 👉 Sarapan di Roti Canai Pak Tam

Nak buat camana, nasi lemak dia sedap. 😋 Haruslah repeat makan berulang kali. Kami pesan makanan yang sama je. Mari tengok.


Roti canai Pak Tam Kg Sitiawan, nasi lemak daun pisang yang sedap, popia sira pun sedap.
Roti canai 2 keping, nasi lemak 2, popia sira dan kuih-muih.

Kami minum air suam je. Roti canai, seorang sekeping. Nasi lemak, seorang sebungkus. Popia sira kegemaran suami. Kuih pula, ambil kuih puteri ayu, lepat pisang dan kuih lapis. Yang bahagian kanan tepi di atas, adalah kuah roti canai. Dalam kuah kari, ada ikan kecil.

Nasi lemak, kuih muih dan roti canai Pak Tam Kg Sitiawan yang enak
Gambar lebih dekat.

Sudah lama tak makan kuih-muih tradisional ini. Semua kuih rasa sedap dan cukup rasa. 


Kuah kari cicah roti canai Kg. Sitiawan yang ada ikan kecil di dalamnya.
Gambar lebih dekat kuah kari untuk cicah roti canai. Ada ikan kecil dalam kari.

Nasi lemak kegemaran, sudah tentu nasi lemak yang sudah dibungkus dalam daun pisang. Walaupun saiznya kecil, tapi sebab sudah makan roti canai sekeping, jadi cukup kenyang. Sambal nasi lemak cukup rasa dan pedas. Nasinya ada sambal dan ikan bilis saja. Tiada telur.


Nasi lemak daun pisang di kedai Roti Canai Kg. Sitiawan
Nasi lemak feveret

Burrp..! Alhamdulillah. Rezeki dapat sarapan sedap. Harga sarapan kami ialah RM9.80. Murah tak? Haa... saya rujuk buku kira-kira saya. Rekod dari tahun 2017. 

Baca sini 👉Buku kira-kira

Nak tahu tak harga sarapan di kedai roti canai Pak Tam untuk dua orang pada tahun 2017? 

Tarikh 4 Januari 2017, saya sarapan di situ juga, harga RM9.30

Haaa.... nampak tak.. Itu gunanya ada buku rekod kira-kira. Jadi, kalau kome cari tempat sarapan dengan makanan sedap dan harga berpatutan untuk dua orang, marilah sini ye. Tak jauh beza pun kenaikan harga. Tetap bawah RM10, boleh makan kenyang sini. Alhamdulillah.

Lepas sarapan, saya jalan sekejap di kawasan tepi kedai roti canai ini. Ada laluan boleh jalan kaki dan memancing. 

Laluan jalan kaki Kg. Sitiawan
Laluan jalan kaki di Kg. Sitiawan

Rasa, dia baru perbaiki laluan jalan kaki ni. Dulu, tak macam ni. Kawasan sini, muara sungai. Ramai nelayan atau orang yang nak pergi memancing laut dalam, naik bot di sini. 

Pemandangan muara sungai Kg. Sitiawan
Sampan dan bot tangkap ikan

Ada jeti yang nelayan bayar untuk parking sampan atau bot deme di sini. Cantik pemandangan pagi waktu itu. Cuaca tak berapa panas. Ada awan mendung di langit. 

Di tepi laluan jalan kaki ini, ada tangga atau tempat duduk dibina. Dulu-dulu, waktu arwah mama saya masih ada, suami saya selalu juga duduk lepak di tangga ini, sambil mancing. Sekarang, suami dah hilang minat memancing dah. 

Mural nelayan di Kg. Sitiawan
Lukisan mural di tangga tepi laluan jalan kaki, gambar nelayan sedang menjala.



Anak tangga di laluan jalan kaki Kg Sitiawan
Anak tangga dari laluan jalan kaki ke atas. 



Lukisan mural nelayan Kg Sitiawan
Lukisan mural nelayan lagi.

Saya berjalan slow saja, sambil ambil gambar mural yang ada.


Lukisan murah Kg. Sitiawan
Lukisan mural orang memancing dapat ikan.



Lukisan mural Kg Sitiawan
Aik, gajah pun ada. 


Walaupun saya tak faham apa kaitan gajah dengan Kg. Sitiawan ni. 

Tempat permainan kanak-kanak di laluan jalan kaki Kg. Sitiawan
Ada tempat permainan kanan-kanak di hujung sana.

Sampai ke hujung laluan jalan kaki, ia membelok ke kiri. Kalau jalan terus, masuk sungai pula kang. 


Pemandangan di laluan pejalan kaki Kg. Sitiawan
Denai Sungai Kebangsaan. We love Kg. Sitiawan. Simbol love sudah MIA.


Cantik langit pagi tu. Sungai yang tenang dan damai. Boleh layan perasaan duduk sini pagi-pagi.

Ok la. Sekian cerita.
Jumpa lagi, ye. 💗
Share:

Buku kira-kira

 Tarikh 10 Jun 2025.

Saya ambil keputusan untuk rekodkan belanja harian keluarga. Dulu, saya pernah buat. Tahun 2017. Setahun juga saya simpan rekod, sampai 2018. Lepas tu, dah malas. 

Saja, nak tahu duit tu habis dekat mana. Akaun mudah je, duit masuk dan duit keluar. Asas.

Kelebek bilik kerja, cari kalkulator lama, sudah rosak pulak. Jadi, beli kalkulator baru, kat kedai Eco. Tak syok la pakai kalkulator dalam handphone atau komputer. Nak tekan-tekan juga. Orang lama. 


Buku kira-kira perbelanjaan harian keluarga.
Comel tak kalkulator baru saya? Warna pink, you...

Buku pun, pakai buku yang ada di rumah. Buat garisan sendiri. Nanti habiskan buku ni, barulah beli buku lejer pula. Guna apa yang ada. 

Dulu, semasa saya ada simpan rekod belanja harian keluarga ni, saya boleh keep track duit yang ada dalam tangan, perbelanjaan apa paling besar, dan rujukan harga bahan mentah.

Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya berjaya istiqomah rekodkan setiap hari. Dari sekecil-kecil duit bagi anak sekolah, sampai belanja dapur, makan luar dan sebagainya.

Saya belek-belek la juga, rekod tahun 2017. Banding dengan tahun kini, banyak dah meningkat. Contoh, dulu saya boleh shopping barang dapur bawah RM50. Sekarang, nan ado. 

Dulu, bancuh kopi di rumah. Sekarang, kerja mengopi je kat luar. Acaner tu? 😁 Itulah yang saya nak tengok, dan bolehlah ambil tindakan selanjutnya. 

Ok. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Masak Paru Goreng

 Tarikh 9 Jun 2025. Hari Isnin. Masih cuti sekolah. Saya pergi kedai Ayam Ori. 

Kedai Ayam Ori ni, selain ayam, ada jual daging, paru, bahagian lembu yang lain seperti sirloin, rib, topside, dan beberapa lagi bahagian yang saya pun tak biasa beli dan makan. Kalau nak niaga, senang beli sini, macam untuk chicken chop pun, dia ada sediakan ayam tu dah siap dalam packaging. Kambing pun ada, kena rajin buka peti ais dia. Banyak fridge besar kedai Ayam Ori ni, dan di luar setiap fridge ada tulis barang apa dalam fridge, dan harga semasa. 

Harga pun berpatutan. Ayam pilih sendiri, letak dalam bakul di tempat dia timbang, dan cakap nak potong berapa. 

Selain ayam, saya ada beli paru hari tu. Harga paru, RM7. 


Rebus paru dalam periuk.
Balik rumah, rebus paru bersama beberapa potong halia dalam periuk.

Dah lama tak makan paru goreng. Teringat arwah mama saya dulu, goreng paru, sedap, makan dengan nasi. Silap pula tadi di kedai suruh orang tu potongkan paru untuk masak rendang. Kalau biar besar-besar pun takpe. Tapi, takpelah, sendiri juga nak makan.


Paru yang sudah siap direbus
Sudah siap rebus paru

Lepas rebus, barulah suami tolong potong nipis. Saya perap paru dengan serbuk kunyit, serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, dan garam.


Goreng paru dalam kuali.
Lepas tu, goreng la. 

Saya goreng guna api perlahan, sampai buih minyak hilang. Agak lama juga la.


Paru goreng homemade
Siap! 

Makan dengan nasi. Ada yang rangup, ada yang tidak. Sedap! 😋 Selain paru goreng, ada sambal tumis ikan bilis juga dan telur dadar. Lupa ambil gambar.

Oklah, tu je nak cerita.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Hari-hari tebus voucher Zus

 Tarikh 8 Jun 2025, bersamaan hari kedua Hari Raya Haji.

Masa tu, anak sulung saya, Amirul masih ada di rumah. Dia pun sama juga, layan kopi. Waktu entri ini ditulis, Amirul sudah balik Uitm Dungun. 

Jadi, kita claim voucher lagi di aplikasi Zus. Ayoyo... hari-hari tebus voucher. Harap hujung tahun bila Zus buat recap berapa banyak cawan kita beli, dia bagi saya percutian percuma sebab hari-hari beli. Eh, takdelah hari-hari.

Kali ni, tebus voucher yang penghantaran percuma. Bagus ye, beli kopi tak perlu ke kedai. Rider foodpanda tolong hantarkan. Tiada caj penghantaran. Bayar untuk kopi sahaja.

Sekali-sekala, mama teringin juga minum Spanish Latte. Asyik americano kosong je, selalunya. Peh, nikmat rasanya. 😋 Alhamdulillah.


Hot Spanish Latte Zus Coffee
Ayor Spanish latte panas

"Coffee may not solve all your problems but it's a good start"

Bila dapat kopi panas, barulah rasa terbeliak biji mata yang layu. Langsung bersemangat untuk siapkan kerja rumah. Berusaha! 💪

Bahagia ikut cara kita sendiri. Cara saya, inilah dia, kopi. 😍 Orang lain mungkin dengan pergi bercuti, hiking, membaca, menonton KDrama, dan sebagainya. 

Boring ke, baca blog saya ni, kalau tak cerita pokok, cerita kopi. 😁

Kome buat apa tu? Udah makan ke belum?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Pertama kali makan Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang

 Tarikh 7 Jun, bersamaan Hari Raya Haji.

Suami kerja di hari raya. Dia habis kerja petang. Bila balik, suami ajak mengopi. Kami ke Aeon Mall.

Masa beli kopi Zus melalui aplikasi, saya tebus voucher untuk hot meal yang dapat percuma masa harijadi bulan Mei lepas. Sebelum sampai tarikh luput, baik tebus dulu. 

Saya baru tahu yang bukan setiap menu ada pada setiap cawangan. Contoh, untuk kategori Hot Meal, jika saya pilih cawangan dekat rumah, ada Mee Hoon Goreng Siam, Zus Signature Chicken Lasagna, Korean Mac and Cheese, Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang dan Spagetti Carbonara.

Tapi, sebab kami berada di Aeon, maka saya perlulah pilih cawangan di situ. Pilihan Hot Meal yang ada cuma chicken lasagna, nasi lemak ayam rendang atau spagetti carbonara.

Boleh tebus voucher untuk satu saja hot meal, jadi kami pilih nasi lemak rendang ayam. 


Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang Zus
Tadaaa... 

Kami kongsi makan berdua. Comel je nasi lemaknya. Tapi cukup rasa belaka, dari sambalnya ke rendangnya. Ooo.. inilah nasi lemak yang orang naik kapal terbang makan tu, ye.

Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang Zus
Dah makan baru ingat nak ambil gambar.

Patut orang cakap, sedap. Memang sedap, pun. 😋😁

Saya ada terbaca, nasi lemak ini sudah boleh didapati bukan saja di Zus, di Tealive pun boleh, dan beberapa cafe terpilih. 

Harga nasi lemak rendang ayam ini, jika beli melalui aplikasi Zus, ialah RM12.90. Tapi sebab saya tebus voucher, percuma je la hari tu, kami beli ni. Bayar untuk dua cawan kopi sahaja. Alhamdulillah.

Ok la, tu je nak cerita. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Bunga Merah Ang Ang

Tarikh 7 Jun yang lalu. Hari Raya Haji.

Keluar rumah untuk siram pokok, pagi-pagi.

Bila ada bunga cantik kembang mekar, haruslah ambil gambar.

Jom tengok.

Zinnia warna merah, dahlia warna merah
Zinnia merah

Saya tak pasti nama bunga zinnia dalam bahasa melayu apa. Pernah buat carian dulu, bunga ini tergolong dalam keluarga kekwa. Banyak bunga zinnia yang saya tanam, berwarna jingga bila berbunga. Yang merah, jarang-jarang keluar.


Bunga ros merah, bunga mawar merah yang mulai menguntum dan belum kembang mekar
Bunga ros merah


Pokok ros mini. Dia kecik je. Tak akan meninggi. Saya siram dengan air basuhan beras bila rajin. Tak letak baja. 

Suka tengok bunga warna merah terang ni. Dari jauh boleh nampak.

🌸 Ang Ang dalam dialek Hokkien bermakna merah merah.

🌸 Dalam dialek Pulau Pinang, merah ang-ang bermaksud terlalu merah. Contoh ayat: Baju hang merah ang-ang, baik-baik sikit kalau lalu dekat lembu.

Sekian. Selamat berhujung minggu, semua.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Homemade Mempelam Asam Boi

 Pada 6 Jun yang lepas, suami saya ada bawa balik satu plastik buah mempelam. Orang bagi, dari pokok di tempat kerja lama suami. Saya panggil buah mempelam. Korang panggil apa? Mangga, ya? Orang Kelantan panggil, pauh.

Suami saya suka beli buah potong yang ditimbang bila ada Food Fest. Lepas tu, boleh tambah serbuk asam atau kuah rojak. Satu bekas, memang kami boleh habiskan dalam satu masa, sambil nonton tv. 😋 Saya sejenis yang suka juga makan buah, tapi malas nak mengupas. 🙈

Hari tu, suami saya pun memulakan projek mempelam asam boi dia. Dia buat carian sendiri macamana cara nak buat. Banyak juga la buah mempelam dia bawa balik, lebih 5 biji. Besar-besar pula tu.

Bahan-bahan suami guna untuk buat mempelam asam boi:

  1. Mempelam dipotong
  2. Asam boi (saya panggil asam ko)
  3. Cili padi merah (ikut citarasa sendiri, nak pedas, letak lebih). Diketuk sikit.
  4. Air aiskrim soda. Letak sikit. Tujuan, bagi mempelam rangup.

Jadi, tak perlu masuk gula la. Sebab dapat gula dari air berkarbonat tu.

Banyak dah makan waktu uji rasa. Tak lama pun dapat simpan dalam peti ais. Sudah terliur. 🤤

Homemade mempelam asam boi atau mangga asam boi atau jeruk yang lazat
Balang pertama homemade mempelam asam boi.

Lepas habiskan balang pertama tu, kami macam sibuk sikit, lupa nak makan balang kedua yang disimpan dalam peti ais. 

Selang dua tiga hari, barulah teringat untuk makan bersama. 


Homemade mempelam asam boi atau mangga asam boi yang lazat
Makan lagi mempelam asam boi, guna lidi. Feeling ala-ala beli di kedai, padahal buat sendiri.

Bila makan mempelam asam boi balang kedua ni, rasa dia lebih intense dan pedas. Maklumlah, sudah beberapa hari peram dalam peti ais. Lagi sedap! 😋Tak boleh berhenti makan. Masam ada, pedas ada. Semua rasa cukup. 

Itulah ceritanya. Bukan selalu orang sedekah mempelam ni. Alhamdulillah. Rejeki.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share: