September 2025 - Secawan Kopi, Sekebun Cerita

Tuesday, September 30, 2025

Ikan bakar daun kunyit

September 30, 2025 35 Comments

💙 Tarikh: Ahad, 24 Ogos 2025 💙

Saya berkebun sampai pukul 10 pagi. Berkebun ni pun satu kerja yang tak habis-habis juga. Hari ni, merumput area sini. Esok lusa tengok area sana pula rumput mulai panjang. 😁 Tapi tetap buat juga, sebab suka jaga tanaman dan ia satu aktiviti yang sihat. Berpeluh dan kadang, macam latihan angkat beban juga. Angkat pasu dan tanah ke sana sini. Alhamdulillah.

Biasanya, saya gantung kuali hari Ahad. Aktiviti hari Ahad, terbongkang depan TV sambil baca suratkhabar Ahad. Kena beli Mingguan  Malaysia, yang ada sisipan Pancaindera. Baru tahu gosip artis. 🙈 Kalau masak pun hari Ahad, masak maggi. Tapi sebab nak kurangkan makanan proses, paksa diri masak juga la pada hari itu.

Masak apa tu?

Masak ikan bakar, balut ikan dengan daun kunyit.
Saya balut ikan dengan daun kunyit.

Bakar dalam kuali non-stick. Tak guna minyak. Masa ni la saya terfikir, apasal la aku tak tanam pokok pisang kat rumah. Boleh juga guna daun pisang buat bakar ikan. Tapi bila mengenangkan rumah ini laluan beruks, tak jadilah nak tanam pokok pisang atau apa-apa pokok berbuah. Pokok sayur pun depa boleh curi hasil.

Ikan apa ni yek? Rasanya, nama ikan ni, ikan kerisi. Kalau salah, saya minta maaf. Saya tahu beli ikan je, nama ikan saya tak reti sangat. 

Ikan bakar daun kunyit dan cili kicap
Siap, ikan bakar daun kunyit!

Sungguh wangi bau daun kunyit. Saya buat cili kicap juga.

Ikan bakar, ulam raja, cili kicap dan lauk ayam semalam.
Jemput makan!

Lauk ayam sambal masak semalamnya dalam peti ais masih ada, jadi saya panaskan. Saya kutip ulam raja masa berkebun pagi tadi. Alhamdulillah... rejeki.

Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, September 29, 2025

Suatu Jumaat di bulan Ogos

September 29, 2025 34 Comments

💚 Tarikh: Jumaat, 22 Ogos 2025 💚

Masak siap-siap sebab plan nak ke Ipoh, ambil budak Hafizan (anak kedua). 

Bihun goreng homemade.
Saya masak bihun goreng.

Budak Sulaiman (anak bongsu) tak ikut. Sulaiman hari Jumaat, petang-petang dia selalu pergi main badminton dengan cikgu dan kawan-kawan dia. Itu yang saya sudah siap masak untuk Sulaiman. Saya, Amirul (anak pertama) pergi Ipoh lepas suami balik kerja waktu petang. 

Selepas ambil Hafizan di Poli, kami pergi Aeon Station 18

Tingkat atas, sudah ada Hot&Roll. Yang ini, feveret anak-anak. Kalau pergi Mydin Ipoh, selalu bungkus bawa balik. Bila sudah ada cawangan di sini, ok la. Lebih dekat. 

Hot&Roll di Aeon Mall Station 18.

Bungkus pizza beef prata untuk anak-anak. Jalan-jalan, singgah surau settlekan yang wajib, kemudian kami makan malam di food court. 

Masa nak balik, jumpa kedai baru buka. Aeon Mall Station 18, Ipoh ni, banyak juga kedai menarik, berbanding Aeon Mall dekat rumah kami.

Cafe Chloe.Co
Chloe.Co Cafe

Dari luar, saya tengok, bakerinya sangat cantik. Ia adalah cafe yang ada jual banyak pastries dan pencuci mulut. Saya beli beberapa benda yang jarang jumpa di bakeri dekat rumah saya.

Pandan pistachio kunafa, biscoff caramel cromboloni dan cinnamon danish roll

Merujuk kepada gambar di atas, saya beli:

💛 Seketul pandan pistachio kunafa flan, harga RM7.20

💛 Dua biji biscoft caramel cromboloni, harga RM12 each, jadi harga RM24

💛 Dua biji cinnamon danish roll, harga RM6.80 each, jadi RM13.60

Ya Allah, ke laut dalam terus diet mode-ku. Sambil pejam-pejam mata, menikmati pastries yang jarang jumpa. Share makan anak beranak.

Keratan rentas cinnamon danish roll
Keratan rentas cinnamon danish roll.

Saya dan suami yang makan cinnamon roll tu, sebab anak-anak kurang suka bau kulit kayu manis tu. Sampai rumah, terus makan walaupun sudah pukul 10 malam. Agak manis juga rasanya. Rasa bersalah selepas makan, sebab dah lama tak makan benda manis. 

Nutella hazelnut croissant
Eh, ada lagi.

Beli juga nutella hazelnut croissant, harga RM12.20. 

Alhamdulillah. Rezeki dapat makan pastries sedap-sedap yang jarang jumpa. Agak mahal juga pastries di cafe. Tapi boleh rasa, dibuat dari bahan premium, sedap! Dalam cafe Chloe.co tu, boleh juga makan di situ. Antara menu yang ada adalah segala jenis kopi, pelbagai jenis kek, tart, pasta dan banyak pastries juga dessert.

Nasib baik kedai macam ni tak ada dekat rumah saya. Bahaya, bahaya.

Ok. Itu je la cerita pada hari tersebut.

Jumpa lagi, ye. 💗

Sunday, September 28, 2025

Satu Rabu di bulan Ogos

September 28, 2025 30 Comments

💜 Tarikh: Rabu, 20 Ogos 2025. 💜

Tengok langit, ada awan tebal tapi saya dan suami tetap pergi padang, untuk jalan pagi.

Langit pada suatu pagi, gambar diambil di padang Astaka, Sitiawan.
Langit pada pagi itu.

Best, sebab cuaca tak panas. Jumpa Oyen yang manja di tepi padang.

Jumpa Oyen tepi padang
Halo, Oyen.

Bukan main manja lagi dia. Sempat la tepuk-tepuk dan gosok kepala budak ni sekejap. Selalu juga nampak si Oyen ni. Dia rileks duduk tepi padang, tengok orang ramai berjalan. Kadang nampak Oyen tidor. Kadang nampak dia membersihkan diri dia. Selamba je si Oyen ni, dah biasa dengan orang ramai. Anjing pun dia tak takut. Buat dek je. Tapi anjing pun tak kacau dia, sebab penghuni tetap di situ. 

Kami sempat jalan 2 pusingan padang sebelum hujan turun. 

Citam pun ada, di tepi padang Astaka, Sitiawan.
Citam pun ada juga.

Citam ni, pertama kali nampak. Tapi duduk asing-asing, tak kawan dengan si Oyen. Sempat la berjalan selama lebih kurang 1 jam, dengan jarak 4.55 kilometer. Alhamdulillah. Lepas tu, kami pergi sarapan di Restoran Kak Za. Lepas bakar kalori, tambah kalori balik. 😁

Nasi lauk ayam bakar, makan di Restoran Kak Za, Manjung.
Nasi lauk ayam bakar.


Ambil juga daun salad dan sambal belacan. Alhamdulillah, rejeki pada hari itu. 

Makan tengahari, kami makan di rumah. 

Pukul 3 petang, saya dan suami pergi Taiping. Hari suami off, jadi pergi jalan-jalan jauh sikit. Macam ni la, bila suami kerja shif. Hari orang kerja weekday, hari dia off. Hari orang cuti weekend, suami kerja. Kalau dia off weekend pun, jarang-jarang la berlaku. Hikmahnya, bila pergi berjalan minggu orang kerja, tak ramai orang di mall. So, okay jer.

Makan di foodcourt Aeon Taiping
Makan nasi sizzling lauk ayam black pepper dan telur.


Pergi Aeon Mall Taiping, makan di food court. Nasi sizzlingnya pedas. Atas nasi pun letak lada hitam. Tapi makan habis juga, pastu berpeluh-peluh sebab pedas dan panas badan, makanan banyak lada hitam.

Maaf la, saya selalu cerita di blog tentang benda yang sudah lama berlaku. Macam throwback. Tapi, saya tulis juga la di blog, sebagai rekod saya, kot nak kena recall balik. Saya sibuk, kadang tak cukup masa untuk buat hal sendiri. Hal sendiri tu, maksud saya, macam enjoy main farmville di laptop atau update blog. Kerja berkebun, memasak, workout, lipat kain, lepas satu, satu benda nak kena buat. Bila dah settle kerja rumah baru saya dapat online untuk update blog. Itu pun kalau saya tak rasa nak rehat. Kebanyakan masa, saya rehat je la, sebab lepas kerja settle, baru dapat duduk dan berlunjur kaki. Itu pasal banyak cerita hanya di draft, tak sempat publish. 

Hmmm... itu je la untuk hari ni. Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca sekalian. Yang nak kena hantar anak balik asrama, hati-hati di jalanraya.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Saturday, September 27, 2025

Giveaway Mencari Saham Akhirat 2.0

September 27, 2025 28 Comments

 Assalamualaikum, semua...

Kak Notie bermurah hati lagi, dengan membuat giveaway mencari saham akhirat 2.0.

Masjid 8 kubah di Terengganu
Masjid 8 kubah di Terengganu

Yang pernah join giveaway 1.0 dulu, sudah tidak boleh join, kak Notie cakap. 

Baiklah. Saya memeriahkan giveaway kak Notie ya. Masa versi 1.0 dulu, saya terlepas.

Pada yang ingin turut serta memeriahkan giveaway kak Notie, boleh klik gambar di atas ya.

Jumpa lagi. 💗

Roti krim

September 27, 2025 26 Comments

 Tarikh: 19 Ogos 2025

Anne (perkataan Tamil, maksud abang) Kedai Murugan di Lumut, sudah kenal saya. Mungkin sebab saya selalu singgah beli roti.

Ada sekali tu, saya masuk kedai Murugan, nampak satu kotak roti gardenia quick bite ni, yang perasa durian. 

Saya cakap kat anne tu, "Uit, satu kotak roti durian oooo".

Dia gelak. "Ye la, ramai orang tanya. Saya terus minta sama orang gardenia la. Sekarang kalau sorang beli 5 biji pun tarappa, stok dia kasi banyak".

Hahaha... Waktu tu, memang ramai orang mencari roti durian dan strawberry tu. 

Gardenia quick bite pelbagai perisa
Pelbagai perasa roti gardenia quick bite.

Pada hari tersebut, saya beli perasa coklat, vanilla, jagung, strawberry dan butter sugar. Tak ambil perasa durian, sebab kalau beli, saya yang kena makan. Anak-anak tak suka perasa durian. Saya sedang usaha kurangkan makanan tepung based. Tapi kadang, saya bantai juga makan bila lapor.

Ini antara makanan bila anak-anak lapar dan saya belum siap masak. Saya masak lama. Sejenis buat kerja slow. Bila masak nasi je, air basuhan beras tu, saya simpan dalam dua bekas. Lepas tu, keluar dapur, siram pokok dengan air basuhan beras. Boleh katakan 2 jam kot ambil masa siap kerja di dapur untuk siap masak nasi, lauk satu jenis dan sayur satu jenis. Masak lauk, suka guna api perlahan. Kalau masak gulai, suka bagi dia masak lama atas dapur.  

Kalau kome, ambil masa berapa lama masak di dapur, yang complete meal? Cer citer, cer citer...

Ok. Selamat berhujung minggu, semua. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, September 25, 2025

Air kunyit

September 25, 2025 56 Comments

 Tarikh: Selasa, 19 Ogos 2025

Saya tahu akan khasiat air kunyit ini, dari kakak sulung saya. Dia follow Dr. Zaidul Akbar, seorang pendakwah, konsultan dan pengamal perubatan sunnah dari Indonesia.

Masa PKP dulu lagi la. Masa tu, ramai tak sihat, covid la, influenza la. Saya tak pernah kena covid. Tapi influenza, saya pernah.  

Saya sendiri sudah banyak kali buat dan minum. Sebab itu, saya tahu air ini, elok. 

Saya cerita, ya. Dulu-dulu, ada subsidi dari kerajaan tu, untuk wanita 40 tahun ke atas, untuk buat mamogram. Saya buat, di hospital swasta, lepas tu, jumpa sesuatu. Takut, tau. Gila tak takut, sebab arwah mama saya meninggal sebab kanser payudara. Kena refer ke hospital kerajaan. Antara dapat tahu result mamogram dan temujanji doktor seterusnya, agak lama tempohnya. Jadi, saya amalkan minum air kunyit ni. 

Bila masa jumpa doktor hospital, doktor tak jumpa apa-apa pulak. Dia tengok keputusan mamogram. Puas juga la, dia ultrasound, mencari, takde apa-apa. Alhamdulillah. Allah beri penyakit, dan Dia juga lah menyembuhkan. 

Air kunyit homemade
Air kunyit homemade.

Cara buat air kunyit ni:

Bahan-bahan: 

🌼 Sebatang serai

🌼 Kunyit sebesar ibujari

🌼 Halia, 2 kali saiz kunyit kita guna

🌼 Limau nipis. Saya tak ada limau nipis, saya guna limau kasturi, 3 biji. Lemon pun boleh juga, ambil air sebiji.

Cara-cara:

🌸 Hiris kasar semua bahan, rebus dalam periuk.

🌸 Sampai air menggelegak, boleh tutup api.

🌸 Tunggu sejuk, bolehlah minum. Eh, tapis la dulu, masuk dalam bekas minuman.

Air kunyit untuk minuman kesihatan.
Dapat setengah botol.

Boleh la amalkan. Lelaki dan wanita. Untuk wanita, tak boleh minum setiap hari. Pernah dulu saya minum setiap hari, boleh datang bulan semula, walaupun baru habis period. Kalau rasa badan lain macam je, macam lemah je, selalu tak larat, boleh lah cuba.

Kalau setengah botol (botol saya boleh muat 2.2 liter) macam di atas, saya boleh habiskan dalam sehari. Rasa air kunyit ni, ok. Boleh la telan. 

Kunyit ada sifat anti radang. Halia dan serai pun sama. Limau kasturi ada vitamin C tinggi, boleh mengawal paras gula dan kolesterol dalam darah.

Kesimpulannya, air ni bagus. Tapi, janganlah minum air kunyit ini semata-mata. Kena juga jaga makan dan bersenam, ye. 

Jumpa lagi. 💗

Thursday, September 18, 2025

Morning walk Selasa

September 18, 2025 46 Comments

Tarikh: Selasa, 19 Ogos 2025

Berjalan pagi. Di tempat biasa, iaitu Padang Astaka, Sitiawan

Banyak hari bersenam di rumah. Tapi kalau ada hari suami tak kerja, kami pergi berjalan di padang. Saja, ambil angin. Nak kata briskwalk, tak laju pun. Lebih kepada jalan-jalan makan angin tengok orang, pokok, langit dan pada hari tu, dapat tengok burung bangau putih

Burung bangun putih di tengah padang Astaka, Sitiawan, Perak.
Bangau putih di tengah padang.

Burung bangau ni, bila dia duduk diam, kita boleh ingat dia macam patung. Kan ada patung bangau, orang selalu letak tepi kolam ikan. 

Burung bangau mula terbang
Bangau putih mula terbang.

Memang selalu macam ni. Bila kita ambil gambar je, dia terbang pergi. Pemalu, macam memerang juga. Kalau morning walk di Esplanade Lumut, kadang boleh nampak sekeluarga memerang. Bila kita bawa keluar handphone dari pouch, nak ambil gambar, laju je, masuk dalam air laut. 


Burung bangau terbang pergi
Bangau terbang pergi.

Bye, burung bangau yang cantik. Nanti kita jumpa lagi...


Pagi itu, sempat berjalan selama 1 jam 18 minit, dengan jarak 5.9 kilometer. Alhamdulillah.

Esok, sudah hari Jumaat. Cepat betul rasanya seminggu cuti sekolah ni. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, September 17, 2025

Gulai ikan tongkol

September 17, 2025 30 Comments

 Tarikh: Isnin, 18 Ogos 2025

Sarapan, suami beli di Restoran Kak Za. Bungkus, makan di rumah.

Nasi dagang, lauk ikan tongkol
Nasi dagang, lauk ikan tongkol.

Sedap nasi dagang. Nasinya banyak. Gendut dibuatnya.

Masa pergi pasar hari Ahad, jumpa pucuk ketereh atau janggus atau gajus.

Ulam pucuk ketereh, atau pucuk gajus
Ulam, pucuk gajus.

Ada banyak khasiat makan ulam macam ni. Walaupun bila makan, ada rasa kelat sikit, daunnya. Kalau ada ulam macam ni, dan saya malas tumbuk sambal belacan, kami biasanya makan dengan budu je. Dalam budu, ada cili padi, bawang dihiris sikit, dan perah limau. Macam ni, 👍 rasa dia. 

Boleh nampak pelangi dalam gambar di bawah?

Ada pelangi dalam gambar
Tak berapa jelas pula, pelanginya.

Gambar ambil hari yang sama, dari dalam kereta.

Lepas suami pergi kerja pukul 10 pagi, saya masuk dapur dan masak gulai ikan tongkol. Hehe.. baru lepas sarapan ikan tongkol. masak pun ikan tongkol juga. Tapi kita masak di rumah, mana sama macam beli di kedai. 

Gulai ikan tongkol
Gulai ikan tongkol

Saya guna ikan tongkol seekor je. Lepas tu, malas rebus dulu ikannya. Masuk terus dalam gulai. Tapi saya masak lama, api perlahan, sampai isi ikan lembut.

Keesokannya, ikan tongkol tinggal sepotong je. Jadi, saya tambah telur rebus dalam gulai.

Gulai telur campur ikan
Jadi gulai telur campur ikan.

Ikan pun tak kelihatan dalam gambar. Alhamdulillah. Kalau saya yang dulu, sanggup pergi kedai, beli roti gardenia, untuk cicah dengan gulai. Tapi saya yang sekarang ni, sejak kena jaga makan sebab kolesterol tinggi, dah kurang makan benda dari tepung seperti roti dan biskut. Rindunya nak makan roti bakar, cicah gulai. Sedap, tau. Hehe... 

Ok la. Jumpa lagi, ye. 💗

Tuesday, September 16, 2025

Suka matcha atau kopi?

September 16, 2025 35 Comments

Kome suka matcha ke, kopi? Hehe.. ada lagu, kan. Penyanyi baru nyanyi, saya pun tak kenal, tapi pernah dengar di radio.

Bulan lepas, pertama kali saya cuba minum matcha. Tak tahu kenapa selama ni, saya tak pernah cuba. Mungkin sebab saya dah addicted dengan kopi. Tapi, bila saya dalam tempoh berhenti kopi selama 9 hari hari tu, saya telah mencuba memesan air matcha panas

Apa itu matcha

Teh matcha adalah teh hijau jepun yang diproses menjadi serbuk halus, bukan hanya daun teh kering yang direndam. Matcha dapat dinikmati sebagai minuman dengan dilarutkan dalam air panas, atau digunakan sebagai bahan perasa dalam makanan dan minuman lain seperti latte atau kek. 

Apa beza matcha dengan teh hijau biasa?

☕ Dari segi bentuknya, matcha adalah serbuk daun teh utuh, manakala teh hijau biasa adalah daun teh yang direndam dalam air.

☕ Dari segi nutrisi, matcha mempunyai konsentrasi nutrient yang lebih tinggi, termasuk antioksidan, berbanding teh hijau biasa.

☕ Dari segi warna dan rasa, matcha mempunyai warna hijau yang lebih cerah dan rasa yang lebih pekat, kadang-kadang dengan sentuhan rasa pahit dan manis.

☕Dari segi manfaat, kandungan nutriennya yang lebih tinggi dapat memberikan manfaat kesihatan yang lebih besar, seperti peningkatan fungsi otak, perlindungan jantung dan detoksifikasi.

First time cuba matcha

Saya pesan matcha panas, manakala suami pesan americano ais kosong. Seperti biasa, kami mengopi (atau mengeteh) di 989 Kopi, Lumut.

Pada mulanya, saya tak pasti nak pesan apa, selain kopi. Sebab masa tu, tengah fasa berhenti minum kopi. Saya perati je menu minuman yang ada. Ternampak matcha. Dan saya request tanpa gula.

Americano ais dan match panas
Americano ais dan matcha panas.

Tapi, dia letak susu dalam matcha panas. Tak pastu apakah art di atas cawan matcha itu. Nampak macam kuntum bunga belum mekar pun ada. 

Rasanya? Macam minum teh tarik kurang manis. Ok la, bagi saya. 

Tapi, saya lebih suka Ahmad green tea lagi, yang saya bancuh sendiri di rumah. Hehe.. sori.

Lain kali, pergi supermarket, nak tambah lagi stok Ahmad green tea. Mungkin nak beli yang jasmine green tea pula. 

Tahukah anda, green tea (teh hijau) dapat membantu menurunkan kolesterol, terutama kolesterol jahat (LDL), dan meningkatkan kolesterol baik (HDL).

Namun, untuk hasil yang berkesan, teh hijau harus diambil secara rutin sebagai sebahagian dari gaya hidup sihat yang meliputi makanan seimbang dan bersenam.

Ok la. Repeat lagi order matcha? Hmmm... tak, kot. 🙈 Ini pendapat peribadi saya sendiri. Lain orang, lain lah citarasa kan.

Misi berhenti kopi

Hari tu, saya cuma bertahan selama 9 hari, kemudian saya mula kemurungan. Baik. Kali ni, saya cuba lagi. Takpe. Walaupun orang perlekehkan dengan berkata,"Berapa banyak kali daaa... nak berhenti, berapa banyak kali daaa... uninstall app Zus, lepas tu install balik". Haha... takpa. Sekali jatuh, seratus kali, seribu kali, saya akan bangun, dan terus mencuba. 

Setakat entri ini ditulis, saya sudah sehari tanpa kopi. Yay! Jalani hidup one day at a time. Makan real food. Saya cuba. Insya-Allah. 💪

Ok. Jumpa lagi, ye. 💗

Sunday, September 14, 2025

Jalan petang

September 14, 2025 38 Comments

 Tarikh: Khamis, 14 Ogos 2025

Jarang sekali pergi jalan di padang waktu petang. Biasanya, pergi waktu pagi. Pada hari itu, kami pergi lepas Asar. Jalan-jalan di padang Astaka, Sitiawan.

Kasut baru briskwalk
Suami pakai kasut baru

Fuiyo... ALX ni, merchandise dari Al-Ikhsan Sports. Ofis suami tempah kasut sukan untuk semua staff. Wow... beruntung betul kerja dengan majikan yang ambil berat akan perihal kesihatan kakitangannya. Bahagian tapak kasut nampak tebal. Nampak selesa. Tanya suami, ok tak, pakai kasut baru buat jalan. Dia kata, ok sangat. 

Ramai juga orang riadah waktu petang. Bagus betul dia orang ni.

Berjalan selama 55 minit di waktu petang di Padang Astaka, Sitiawan, Perak.
Sempat berjalan 55 minit pada petang itu, dengan jarak 4.59 km.

Langit mendung. Tak berapa panas. Rumput di padang pula, macam baru dipotong. Jalan petang, ada angin petang bertiup. Jadi, rasa nyaman dan selesa berjalan.

Bila saya sudah cuba buat beberapa jenis senaman ni, pada pendapat saya, senaman berjalan ni la yang paling senang. Pakai kasut sukan, dan boleh terus pergi. Cuma kita nak atau tak nak je.

Antara jalan petang atau jalan pagi, saya lebih suka keluar berjalan waktu pagi. Sebab dah biasa kot. Tapi saya selalu dalam dilema pagi-pagi, sama ada nak berkebun atau pergi berjalan. Biasanya kalau saya seorang dan suami pula bekerja, saya berkebun saja di rumah. Malas bebenor nak drive pergi ke padang. 

Selamat bercuti kepada semua pembaca sekalian. Semoga dapat menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak. Stay safe bila driving.

Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, September 12, 2025

Masak ayam bakar

September 12, 2025 38 Comments

 Tarikh: Khamis, 14 Ogos 2025

Saya guna serbuk perapan ayam madu Adabi. Baru pertama kali nak cuba. Beli satu paket kecil, harga RM3 di kedai runcit dekat rumah.

Bahan-bahan nak masak ayam bakar
Bahan-bahan nak masak ayam bakar.

Lepas ayam dicuci, saya perap ayam dengan olive oil dan serbuk perapan ayam madu Adabi.

Siap gaul rata ayam dengan serbuk perapan ayam madu Adabi
Siap, gaul rata ayam.

Masih ada lagi baki serbuk perapan. Tak guna ayam seekor pun. Saya beli ayam siap dipack di Supermarket Aeon, beberapa ketul ayam harga RM9.30.

Guna periuk non stick untuk masak ayam bakar
Guna periuk non stick je

Ada dapur old fashion, guna arang. Tapi saya macam malas nak buat api. Kalau ada tenaga orang lelaki di rumah, boleh juga suruh. Lain kali. Saya masak ayam dalam periuk non stick. Tak letak apa-apa minyak. Air ayam keluar sendiri.

Siap, ayam bakar dimasak dalam periuk non stick
Sudah siap!

Sedap. Warna merah, macam ayam bakar kedai nasi berlauk kelantan. Isi ayam lembut. Puas hati masak ayam dalam periuk. Saya tak pandai guna air fryer, ayam jadi kering. Senang ada serbuk perapan begini. Memudahkan kerja di dapur.

Masak sayur campur pula
Masak sayur campur pula

Masak campuran sayur brokoli, kobis bunga, carrot dan baby tomato, guna kuali sama.  Saya tak tambah minyak, guna lebihan sisa masak ayam sebelum itu. Saya tambah black pepper dan serbuk perasa sikit. Patutnya, tumis bawang putih dulu kot. Tapi hari itu, hari malas saya, nak potong bawang pun malas. 

Ringkas je masak pada hari itu. 

Saya kalau beli nasi kerabu, suka pilih lauk ayam bakar. Walaupun ayam bakar masak hari ini tak ada aroma arang, tapi boleh la, buat rasa-rasa.

Ok. Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, September 11, 2025

Mengopi bertiga

September 11, 2025 39 Comments

 Tarikh: Khamis, 14 Ogos 2025

Budak Amirul (anak sulung) ada di rumah. Dia tengah cuti akhir semester. Bila dia ada, kami suami isteri tak boleh dating. Sebab dia selalu nak ikut, especially pergi mengopi. 😅 Anak bertuah.

Mengopi di tempat mengopi kegemaran kami, iaitu 989 Kopi, pekan Lumut, Perak. Nak kata pagi tu, tak adalah pagi sangat. Mengopi lepas makan sarapan di rumah. Cuaca baik, tidak panas.

Tiga cawan kopi, dan tiga makanan, di 989 Kopi, Lumut, Perak.
Tiga cawan kopi, dan tiga pencuci mulut.

Amirul order chocolate chips cookie. Mama order brownies dan red velvet soft cookie. Tak tau ada apa atas soft cookie tu. Marshmallow kot. Kongsi-kongsi makan seorang sedikit. Sekadar nak merasa.

Saya dan suami seperti biasa americano tanpa gula. Suami versi kopi ais, dan saya kopi panas. Amirul minum vanilla latte ais.

Alhamdulillah. Anak sulung balik, maka pok pek pok pek, mulut dok bercerita perihal anak dan yang berkaitan pelajarannya. 

Red velvet soft cookie, bahagi separuh
Red velvet soft cookie, bahagi separuh.

Ok rasanya. Tak adalah manis sangat. Secukup rasa. Pertama kali mencuba. Sekali-sekala. 

Eh, saya tak cerita pun di blog, yang saya ada cuba berhenti minum kopi. Ada, tau. Saya dapat bertahan 9 hari tanpa kopi. Rekod paling lama lah, saya pernah buat, lebih seminggu. Lepas tu, saya dilanda kemurungan. Hahaha... memang saya akui, bagus bila berhenti minum kopi ni. Kulit kering di muka dan tapak kaki, semua hilang. Badan kita cukup air kan, berbanding jika minum kopi, kita selalu buang air kecil jadi banyak hilang air. Tapi peduli la semua itu! Biarlah muka ku kering pun, asalkan saya bersama kopi yang amat ku cintai! ☕😋 Jangan ikut perangai saya, ya. Tapi limit la, satu hari, satu cawan saja, sudah cukup. Alhamdulillah...

Budak Amirul ni pun, dah tak rupa budak dah. Saya perati je anak sulung saya ni. Muka pun dah bertukar macam orang dewasa. Dah bermisai, dah berjanggut. Masya-Allah, kenapalah anak ku ini membesar dengan begitu cepat.. 

Gambar masa anak kecil
Hafizan dan Amirul masa kecil.

Anak mama dah besar
Anak mama dah besar.

Seronok bila anak-anak sedang cuti, dan ada di rumah. Dapat cipta kenangan bersama. Walaupun tak pergi bercuti jauh-jauh, pergi mengopi sama-sama pun, dah cukup nikmat. Ada minggu Hafizan balik, contohnya masa long weekend merdeka hari tu, kami pergi menonton wayang satu famili. Alhamdulillah.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, September 8, 2025

Cerita Isnin

September 08, 2025 36 Comments

 Tarikh: Isnin, 11 Ogos 2025

Saya bangun sahur, sebab nak puasa pada hari tersebut. Puasa sunat Isnin je.

Nasi lauk ayam rebus dan sayur campur
Nasi lauk ayam rebus dan sayur campur.

Simple je lauk sahur. Kuah pun takde. Cekik, aku makan. Kalau puasa, saya perlu bangun sahur. Makan sesuatu. Tak boleh kalau tak sahur. 

Pada pagi itu, cuaca hujan. Lepas subuh, nak buka pintu pagar yang berkunci. Ternampak la, ada kabel depan rumah. Kabel telefon atau talian tetap la tu, orang curi kabel. Buat projek malam-malam. Dia potong, lepas tu terbiar je depan rumah orang. 

Kabel curi di hadapan rumah.
Kabel melintang di hadapan rumah.

Saya tak sentuh. Takut la nak sentuh time baru lepas hujan. Walaupun bukan kabel elektrik. Tunggu suami saya balik kerja shif malam, barulah dia alihkan. Saya tak keluar rumah pun pada hari itu. 

Dulu-dulu, beberapa tahun lepas, pernah nampak orang curi kabel telefon ni, siang-siang hari, waktu hari Ahad, dia boleh panjat tiang telefon. Macam spiderman dia panjat tiang tu. Perlu kemahiran memanjat yang tinggi juga ye, nak jadi pencuri kabel ni. 

Dulu juga, selalu kena telefon TM, sebab bila kabel kena curi je, haruslah laporkan, sebab telefon rumah tak boleh pakai. Sekarang, sudah lama tak pakai telefon rumah. Apa taknya, kalau dah tiap-tiap minggu kena report kabel hilang, telefon rumah tak boleh pakai, tapi bil tetap kena bayar. 

Mujur juga sekarang sudah tukar kabel fiber, elok, tiada kecurian macam kabel talian tetap yang ada tembaga di dalam tu. 

Hari tu, saya masak lauk ayam masak lemak cili api.

Ayam masak lemak cili api
Letak daun kunyit, you.

Saya tak goreng dulu ayamnya. Alhamdulillah, satu lauk je buat berbuka pada hari itu.

Ok la. Jumpa lagi, ye. 💗

Sunday, September 7, 2025

Tak sempat pergi kenduri

September 07, 2025 42 Comments

 Tarikh: Sabtu, 9 Ogos 2025

Suami nak pi kenduri di Pantai Remis. Kami bertolak lepas zohor. Kenduri sampai pukul 3 petang. Bajet sempat sampai, sebab kalau trafik lancar, setengah jam boleh sampai, biasanya. Tiba-tiba jalan sesak selepas simpang Pelabuhan Lumut.

Ambil masa dalam 20 minit juga untuk sampai ke tempat kejadian. Untuk tahu apa jadi.

Tahu ada kemalangan, tapi suami tak ikut waze. Waze suruh u-turn arah jauh. Google maps suruh go straight. 6 minit delay. Tapi lebih sebenarnya.

Kemalangan lori treler merentasi jalan berhampiran Pelabuhan Lumut.
Tudia la, lori treler terbalik merentasi jalan.

Ada lori terbalik tengah jalan. Ada kesan tayar atas jalanraya. Cuma satu lorong boleh dilalui pada satu masa. Gilir-gilir, dia bagi kenderaan lalu.

Polis mengawal lalulintas di tempat kemalangan jalanraya.
Polis mengawal lalulintas.

Sebelum sampai tempat kejadian, ada ambulans keluar. Jadi, ada orang cedera la.

Kecil saja laluan yang boleh dilalui pada satu masa.
Kecil saja laluan yang boleh dilalui pada satu masa.

Lori tu bawa muatan tanah hitam. Penuh atas jalanraya. Terbalik.

Lori treler membawa muatan tanah hitam terbalik di tengah jalanraya.
Ish ish ish.. camana boleh terbalik ni.

Nak lepas dah. 

Tanah hitam membukit atas jalanraya
Penuh tanah hitam atas jalanraya. Membukit.

Bila sudah lepas kesesakan, sudah 2.45 petang. Teruskan perjalanan juga.

Sampai ke destinasi di Pantai Remis, pukul 3.30 petang, call tuan rumah, nak check location kenduri. Tiada balasan. Sibuk bungkus katering gamaknya. Undangan melalui whatsapp je. Jadi, kami pun singgah kedai makan terdekat. Sebab perut lapor, belum makan tengahari.

Majlis pertunangan sebenarnya. Tak de rezeki pergi.

Restoran Kota Kulit Kerang
Restoran Kota Kulit Kerang

Singgah restoran ni. Gambar di atas ni, saya ambil sebelum pulang selepas makan. Kerusi dah naik atas meja, dia pun nak tutup.

Pinggan makan tengahari
Pinggan suami

Nasi suami. Dia ambil lauk ikan keli berlada, kerabu taugeh dan sambal belacan.

Ikan siakap bakar
Ambil juga ikan siakap bakar.

Murah juga. Saiz kecil je. Dia bungkus ikan bakar dengan plastik.

Pinggan makan tengahari
Pinggan saya.

Nasi saya. Ambil ulam. Sebab nak makan dengan ikan bakar je. Saya memang macam ni, tak reti makan banyak-banyak lauk.

Air asam cicah ikan bakar
Air asam.

Air asam dia ok, agak pedas tapi cukup rasa. Lepas basuh tangan, ada bau belacan lagi. 

Dalam restoran, tempat kaunter bayaran
Dalam kedai, tempat kaunter bayaran.

Pertama kali makan di kedai makan, kedai dah nak tutup. Dia tengah kemas lauk, angkat kerusi naik atas meja, akak cashier tengah kira duit.

Ok bagi saya. Alhamdulillah, tak sempat nak makan kenduri, dapat makan di restoran sedap, ok juga. 

Pernah nampak restoran ni, bila on the way ke Taiping, ikut Pantai Remis. Tapi, tak pernah singgah. Lauk dia banyak, cuma waktu kami sampai banyak yang sudah habis.

Restoran Kota Kulit Kerang

Alamat: No. 4B, Selekoh Pengkalan Baru, Kg Ujong Pasir, 34900 Pantai Remis, Perak.

Waktu operasi: 9 pagi hingga 4 petang

Tutup setiap Isnin.

Saya tengok di Google, review restoran ini, 4.4 bintang. Menu nasi campur dengan pelbagai lauk kampung.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗