Thursday, February 27, 2025

Rutin setiap 6 bulan

 Sibuk sikit hari ni. Update blog pun lambat. Tak sempat lagi nak balas komen anda dan blogwalking. Maaf ye. 

Ada temujanji doktor di hospital hari ni. Pada minggu lepas, saya sudah ke hospital untuk ambil darah. Hari ni, jumpa doktor untuk ambil keputusan darah.

Pejam celik, pejam celik, sudah 9 tahun saya jalani pembedahan total thyroidectomy (buang kedua belah kalenjar tiroid).

Keputusan darah saya cantik, syukur Alhamdulillah. Keputusan hormon TSH dan T4 normal. Bacaan kalsium pun okay. Alhamdulillah. 

Doktor suruh saya timbang berat sekali. 58 kg! Heee... suka, suka. 😍

Saya harus kekalkan makan ubat, dos yang sama. Tiada perubahan. Maintain je. 

Jumpa doktor semula selepas 6 bulan.


Ambil ubat. Bayaran jumpa doktor RM1 sahaja. Sebelum ni, di SOPD (Klinik Pakar Hospital), bayaran RM5.

Temujanji pukul 2 petang. Tapi saya pukul 2.20 baru ambil nombor. Lewat sikit. Selesai urusan hospital pukul 4 petang.

Syukur atas nikmat sihat yang Allah beri. Benda yang paling mahal dalam dunia, sihat. 

Balik rumah, ada bungkusan. Hafizan beli mesin timbang digital. Di rumah kami, mesin timbang jenis lama. Tapi masih berfungsi dengan baik. Hafizan nak bawa mesin timbang ni di poli. Esok kena hantar di Ipoh,  sebab Hafizan tak balik minggu ni. Menjawap soalan SK, Hafizan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, sekolah lama Iman. 😁 Pertama kali dia puasa jauh dari family. Eh, jauh juga la, walaupun satu Perak. Bagi saya, mana-mana lokasi yang jarak 2 marhalah dan boleh solat jamak, jauh ler tu. Hihi..


Kena test mesin timbang Hafizan sebab nak review Shopee.

Esok pun ada urusan juga, nanti bila sudah free sikit, baru dapat blogwalking ke rumah kawan-kawan ye. 

Jumpa lagi. 💗

Terjebak sudah

 Beberapa hari sebelum saya berangkat ke KL untuk trip umrah hari tu, saya ada buat strength training, atau latihan kekuatan atau angkat beban.

Saya dah fed-up sebenarnya, sebab berat saya statik lama, dok 60 kg hingga 62 kg. Tak turun-turun pun. Jadi, saya tahu yang saya kena ubah cara senaman saya. Saya pun mula la strength training di rumah.

Saya buat senaman menggunakan kettlebell yang ada di rumah, beratnya 4 kg. 


Saya ikut senaman seperti dalam gambar di atas. Sakit badan juga la. Lepas tu saya pun berangkat trip umrah. Berat sebelum berangkat, 61 kg.

Semasa di Mekah, hotel kami duduk tu, ada mesin timbang berat. Kakak-kakak dok timbang bagasi masing-masing, saya timbang berat saya, 58.5 kg! Bapak, happy giler saya waktu tu. Patut badan rasa ringan je. Tapi dekat sana, memang banyak berjalan pun. 

Hilang 2.5 kg bagi saya, banyak juga la, memandangkan saya tak control sugar intake. Aiskrim saya makan, nasi saya makan, roti dan processed food macam pizza pun saya makan. 

Balik umrah, saya timbang di rumah, masih sama, 58.5 kg. Wow, rasa gembira di hati, sebab akhirnya setelah berkurun lama mencuba, berat saya di paras bawah 60 kg. Yay!

Tapi tak lama la ye, sebab selera makan yang membuak-buak nak nak sebelum puasa ni, semalam  saya timbang, 60.5 kg. Erk!

Oh, saya ada beli kettlebell baru dari shopee. 

 
Berat, 8 kg. 

Saya rasa, ada benarnya apa yang saya baca. Jika berat kita plateau (statik, walaupun ada bersenam dan diet) maka kita kena ubah senaman kita. Buat sesuatu yang intensity lebih tinggi. 

Lagi satu saya baca, kalau tak nak buat senaman berintensity tinggi, boleh puasa. 

Sedikit sebanyak, saya ada terjangkit dari anak kedua, Hafizan, yang kini serius menjaga badannya. Hafizan juga buat weight lifting dan jaga pemakanan. 

Bukan saya saja beli, suami pun beli juga. Dia pun terjangkit sama.


Dua keping weight plates, berat 5kg setiap satu. Dekat rumah sudah ada barbell, jadi boleh tambah berat barbell.



Muat, bila masukkan pada barbell di rumah. Jadi, total berat barbell ini sekarang adalah 21kg (10.5 di setiap kiri dan kanan). Setakat ni, tak nampak lagi suami angkat barbell ni. Hafizan ada angkat masa dia cuti hari tu. Rumah kami ni dah macam gym dah. 



Jadi, inilah senaman saya sekarang. Di rumah, minimum 30 minit. Saya selang seli, set pertama guna kettlebell 4kg, dan set berikutnya, guna 8kg. Atas yoga mat tu, ada kesan basah, itu peluh saya, menitik-nitik, lagi-lagi bila guna yang 8kg. 

Dah tua-tua, over 45 years old, kenapa sekarang baru mula strength training?

  • Sebab bila umur 40 hingga 60 tahun, badan kita akan mula hilang otot sebanyak 3 peratus setiap tahun. Pergerakan kita ada kemungkinan makin terbatas apabila tua nanti. Jadi, fokus untuk bina otot mulai sekarang. Kalau tak mula hari ini, bila lagi..

  • Kalau kita tak buat strength training untuk bina otot, ia akan ganggu metabolisme kita.

  • Kalau kita bina otot, ia bantu kawal seimbang tahap gula darah dan lipid.

  • Kalau jisim otot bertambah, tubuh kita akan aktif bakar lemak, walaupun kita dalam keadaan rehat.

  • Kalau otot banyak dalam badan, tiada masalah naik turun tangga. Duduk dan bangun pun senang.

  • Metabolisme badan lebih tinggi. Berat badan terkawal.

  • Kekuatan otot beri impak pada kesihatan mental kita. Makin padu kekuatan otot, makin tinggi paras hormon cytokines dan myokines (hormon pelindung dari depression).

  • Orang yang aktif bersenam, nampak lebih awet muda. 


Ok. Saya buat strength training ni, niat untuk sihat. Supaya tiada masalah untuk solat. Kalau berat makin turun tu, Alhamdulilah. 

Sebelum ni, saya ada masalah sakit di bahagian bahu. Bila saya nak tengok benda di belakang, saya kena toleh sekali dengan badan-badan kena pusing sekali. Sejak saya buat strength training ni, sakit bahu saya sudah hilang. Malah, saya boleh tergantung di monkey bar tu, selama 30 saat. Sikit-sikit la ye, kita kuatkan otot lengan. 

Saya bersenam ni, selang sehari. Seminggu, 3 atau 4 kali. Alternate days. Hari ni saya workout, esoknya, saya rehat. Alhamdulillah atas nikmat sihat.

Orait. Jumpa lagi. 💗

Wednesday, February 26, 2025

Sarapan di Makcik Cucuq Sitiawan

 Saya la yang panggil dia, Makcik Cucuq. Tapi nama sebenar tempat makan adalah Kantin JPS Sitiawan, lokasi berdekatan Padang Astaka, Sitiawan.

Dah lama tak makan sini. Rindu. 😊


Rindu mee rebus makcik yang sedap! 😋


Suami pula pesan mee kari.


Pesan juga cucuq, 4 ringgit. Cucuq dia sedap, rangup di luar, lembut di dalam. Walaupun cucuq dia tak ada udang, tapi sedap, cicah dengan kuah kacang.

Dekat nak puasa ni, selera makan bukan main lagi, membuak-buak. Masya-Allah. Konon baik makan sekarang, nanti bulan puasa, dah tak boleh makan. Heee... sabor je la.


Bukti mee rebus makcik sedap!

Lokasi Kantin JPS Sitiawan, 45 Jalan Datuk Ahmad Yunus, 32000 Sitiawan, Perak.

Buka: 7.30 pagi hinga 12 tengahari. 

Tutup Sabtu dan Ahad

Ok. Jumpa lagi. 💗

Mengopi di Route 100 Cafe

 Saya ingat lagi dulu, cafe ni, takde orang pun. Beberapa kali saya datang, saya sorang je customer. Berkat kesabaran tuan cafe ya, baru-baru ni saya pergi satu family, nah... penuh dengan pelanggan. Sampai tak ada tempat duduk. Terpaksa duduk atas sofa dulu. 

Route 100 Cafe terletak di BHPetrol Lumut. Sebuah cafe di stesen minyak.


Sofa menghadap dinding. 

Keluarga kami lengkap hari tu, tanggal 20 Februari 2025. Anak sulung, Amirul, sudah balik cuti semester lepas habis final exam. Anak kedua, Hafizan, cuti mid semester politeknik. 

Selepas makanan dan kopi siap, suami cakap, jom pindah meja, ke tempat lebih selesa. Di sofa ni, kalau nak makan, kena tunduk-tunduk, sebab meja rendah. Kebetulan, ada meja makan sudah available. 

Kami semua sudah makan malam di rumah. Waktu tu, keluar mengopi pukul 6 petang.

Hafizan seorang pesan makanan, sebab dia tak makan nasi di rumah.


Hafizan pesan fish and chips. 

Biasanya cafe yang kedai kopi ni, ada jual cake dan pastries sahaja. Tapi di Route 100 Cafe, ada juga jual masakan panas, termasuklah buttered rice with salmon, macaroni cheese, lamb chop, chicken chop, spagetti, buttered chicken with rice dan macam-macam lagi la.

Takkan tengok Hafizan seorang makan. Pesan 1 hidangan, yang boleh share makan ramai-ramai.


Pesan nachos cheese. Bapak budak pesan Americano ice, mama pesan hazelnut latte panas, Amirul pesan vanilla milkshake dan Sulaiman pesan matcha frappe. Hafizan tak minum air manis, minum air suam sahaja. Sungguh berdisplin Hafizan. Makan pun protein je, nasi tak makan. Dia tengah bina badan (weight lifting).

Sambil mengopi, sambil berborak dengan anak-anak. Macam-macam hal. 


Alhamdulillah. Makanan dan minuman sedap. Harga kesemuanya adalah RM71. Eh, mama ada tambah coklat kek tau, satu piece. Tapi lupa ambil gambar. Kongsi makan anak beranak, meraikan Hafizan punya harijadi pada 4 Februari yang mama tak ada waktu tu, pergi umrah, dan meraikan juga budak Sulaiman baru lulus lesen motosikal.

Syukur rezeki Allah bagi.

Jumpa lagi, ye. 💗

Tuesday, February 25, 2025

Sarapan di Basa Lamo

 Masa saya rajin brisk walk sebelum ni di Esplanade Lumut, boleh dikatakan hari-hari juga lalu depan Basa Lamo ni. Selalu tengok orang sarapan sini. Tapi tak pernah cuba.

Baru-baru ni, rasa macam nak makan roti canai melayu. Jadi, saya dan suami pun pergilah. Biasa nampak orang buat roti canai di tepi kedai, jadi tahu yang restoran ni ada menu roti canai.

Ingat kedai orang nogori. Eh, salah. Yang nogori tu, Biso Bonar.

Yang ni, Basa Lamo. Kedai ore Kelate la! Basa tu, bangsal, suami saya cakap. Lamo tu, lama la. Kalau salah, minta ampun ya. Takut ada maksud lain Basa Lamo tu. 

Tapi kedai ni, klasik dekorasinya. Marilah kita tengok.


Ada majalah Wanita lama tergantung kat dinding dia. Gila-gila pun ada. Memang bertahun punya koleksi ni.

Kedai Basa Lamo ni, buka untuk sarapan dan makan tengahari juga. Untuk makan tengahari, dia ada set.


Makanan tengahari dia, termasuklah gulai kawah, budu tempoyak, petai jeruk, sayur lemak, ulam-ulaman, ikan singgang, gulai ikan patin, patin goreng, sambal, dan ike bekok (ikan lebih kurang macam ikan kering, tapi ia tidak kering sepenuhnya seperti ikan kering. Isi ikan mengandungi air itulah yang dinamakan bekok dalam bahasa kelantan).


Dalam tempat rokok Dunhill di dinding tu, ada banyak handphone lama. Kejap, nak close-up.


Eh, ada Nokia 3310. Siapa dulu ada, model tu, boleh main ular? Hihi.. bawah koleksi handphone lama tu, ada kaset. Kat rumah saya pun ada banyak. Tak tau apa nak buat dengan kaset ni sekarang, sebab kaset player pun dah jahanam.  


Sisi lain kedai. Ada gramophone.


Tempat duduk pelanggan di bahagian dalam kedai. Boleh nampak, di dalam tu, ada gerobok lauk orang dulu-dulu? 😁

Bawah tudung saji tepi gerobok tu, macam ada benda menarik. Meh kita pi dekat.


Suami saya cakap, inilah permainan orang dulu pi kedai runcit kampung, main tikam-tikam. Ooo... saya tak tahu ni. Time saya sekolah rendah, saya pi kedai runcit, beli mamee monster je, 2 kupang harga waktu tu. Suami cakap, satu tiket, 10 sen. Kalau menang, boleh menang duit, macam main loteri. Hadiah dia takdelah mahal, 10 ringgit je kot, kalau menang yang paling tinggi. Ada yang menang hadiah robot, pistol mainan, kalau nak dekat raya, menang mercun pun ada. Aik, macam dia biasa beli je waktu dia kecik dulu. 

Banyak yek, barang lama di kedai ni. Baiklah. Cara pesan makan, duduk je di tempat yang kita mahu. Nanti ada orang kedai datang ambil pesanan.

Saya pesan roti telur kuah kari. Suami pesan nasi lemak telur mata tambah lauk daging.

Tunggu agak lama juga untuk makanan kami sampai.


Alas meja dia, tikar mengkuang. Sampai dah roti telur. Alhamdulillah. Rasa roti, ok. Rasa roti telur la. Takkan rasa murtabak pulak. Hihi.


Macam gelap pulak gambar. Walaupun kami duduk di bahagian luar, tapi cuaca hari tu mendung. Gambar di atas, nasi lemak suami. Ada 2 biji telur puyuh. Pada pendapat saya, kalau dia kupas telur puyuh tu terlebih dulu, lagi elok, kot. Nasi lemak dia sedap. Sambal nasi lemak tu, macam sambal orang masak di rumah. Bukan sambal yang orang niaga buat. 


Depan kedai, laut. Di depan sana tu la, laluan saya brisk walk dulu. Sekarang saya dah malas brisk walk. Dah tukar ke strength training (latihan beban). Hihi, ni lain entri saya cerita.

Alhamdulillah. Kenyang sarapan di sini. Lain kali, mungkin boleh datang untuk makan tengahari pula. Nak cuba ikan singgang cicah budu. Baik. 

Lokasi Kedai Makan Basa Lamo: Pekan Lumut, tepi hotel Orient Star

Masa operasi: Pagi hingga 5 petang

Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, February 24, 2025

Bunga matahari

 Saya ada banyak kali cuba tanam pokok bunga matahari. Benih, saya beli dari pasaraya. Benih dia, adalah biji kuaci tu. Tapi, semua tak pernah berjaya tumbuh jadi pokok. 

Ada sekali, saya beli benih dari shopee. Cuba tanam. Keluar tunas. Suka sangat! 😍

Baru-baru ni, lepas balik umrah, pokok pertama sudah keluar bunga. Saya ada ambil gambar, sebagai rujukan saya. Sebab pertama kali tanam berjaya. Saya nak tengok pokok ni punya life cycle macamana. Mari, saya kongsikan, gambar dari belum kembang hinggalah dah layu, dan tarikh gambar diambil pada setiapnya.


Yang menariknya, bunga dia mengadap matahari. Bila pagi, bunga dia mengadap matahari naik. Bila petang, bunga dia mengadap ke arah lain pula, arah matahari jatuh. Seriously, kagum saya, tengok kejadian Allah. 

Maklumlah, saya sebelum ni tanam sayur je banyak. Baru berjinak-jinak nak tanam bunga. Luar pagar rumah, ada pokok bunga ros. Dalam pagar, ada satu pokok bunga kertas besar. Ada satu pasu, pokok bunga tahi ayam.


Lokasi pokok bunga matahari ni, di tengah halaman rumah. Bila kita lalu depan dia je, mesti rasa nak tersenyum. Pokok ni ada aura happy, tau! Ceria sungguh! 

Saya guna baja lebihan dapur seperti kulit bawang dan kulit telur untuk pokok ni. Time rajin, saya ada siram guna air basuhan beras. Tak guna baja bunga yang dijual di nursery tu. Saja, nak tengok kalau tak letak baja bunga, dia keluar bunga tak. Ha, keluar. Alhamdulillah. Seronok kita tengok dia.


Sayang  camera telefon saya zaman tok kadok. Kalau ipong ke, mesti boleh capture bahagian tengah bunga tu, lebih jelas. Anda boleh perhatikan ye, bahagian tengah bunga ni, hari-hari lain rupa dia. Subhanallah.

Hari ni, 24 Februari, pokok ni dah layu. Saya kena pegang dengan tangan untuk ambil gambar bunga. Tak pasti sama ada sudah tiba masa ia layu, atau sebab semalam hujan lebat ke, atau sebab kera ada lompat atas dia ke, sebab pokok kacang selang beberapa pasu dari pokok ni, batang buluh sokongan ada senget. Jadi, saya tahu, ada kera lintas, cuma saya tak nampak je.

Saya berhajat untuk tanam lebih bunga-bunga di halaman rumah. Nak kurangkan tanam sayur. Penat kita tanam kacang panjang, kacang botor, tomato, bawang, tembikai, jagung, tapi semua kera liar curi hasil. Jadi, baik saya tanam bunga je, sebab setakat ni, kera liar yang melintas rumah saya, tak de lagi yang kacau pokok bunga.

Suka saya, dapat tengok bunga matahari tanam sendiri kembang mekar. Alhamdulillah. 

Satu je, saya musykil, mana datang benih dia yang rupa kuaci tu? Sebab bila tanam sayur kacang contohnya, benihnya dari biji dalam kacang tu. Yang kuaci tu, mana letaknya pada pokok bunga matahari ni?

Saya pun buatlah carian google.

Rupa-rupanya...

Kredit foto: Sirap Limau

yang bahagian tengah bunga tu la, akan jadi kuaci. Gitu rupanya. Baru saya tahu. 😁

Ok. Kalau pokok bunga matahari saya ni ada keluar kuaci, saya share, ya. 

Jumpa lagi. 💗

Sunday, February 23, 2025

Masak dan makan apa

 Sepanjang saya di Tanah Suci, kesian suami dan anak-anak, makan nasi bungkus. 😁 Suami kadang time mood rajin dia datang, ada juga hasilnya. Tapi dia cakap, dia banyak OT masa saya tiada. Jadi, Sulaiman (anak bongsu) kena cari makan sendiri. Mujur juga Sulaiman sudah lulus lesen motor. 

Jadi, kita pun kembali masak-memasak bila dah balik ni. Mari kita tengok, saya nak share gambar makanan je dalam entri ni. 


Spagetti goreng ni, saya masak pada 10 Februari lepas. Goreng style goreng mee. Bubuh kicap bagai. 


Pada 11 Februari, suami ajak pi makan kedai makan tepi sawah di Bota. Nama kedai makan, Restoran Hamizi Selera Utara. Lokasi di tepi jalan utama nak ke Ipoh, tepi sawah padi. Lauk pauk dia pelbagai.

Penerangan dalam gambar di atas, kami makan nasi lauk ikan bakar. Ambil air asam dan ulam-ulaman. Tak perlu ambil lauk lain. Makan macam ni je, selera dan nikmat. Kalau lepas basuh tangan, lepas tu cium tangan, ada bau belacan lagi dari air asam tu, sedap ler tu! 😁


Pada 12 Februari, sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut Ala Thai. Saya ambil lauk ayam gulai, sambal belacan dan sayur jelatah.


Suami ambil nasi kerabu, ada lauk daging kunyit dan telur masin.

Kat restoran ni, layan diri. Ada pelbagai nasi dan lauk pauk juga. Selain nasi kerabu, ada nasi putih, nasi lemak dan nasi dagang. Ada laksam, lontong, dan lain-lain lagi.


Pada 13 Februari, ada pergi pasar, beli bahan mentah. Saya masak daging goreng kunyit. Saya masak dulu daging dalam pressure cooker. Lepas tu, goreng dengan bawang, cili, serai dan serbuk kunyit sikit. Tak berapa nak kuning daging kunyit saya. Tapi rasanya, tidaklah mengecewakan. Alhamdulillah.


Ada goreng telur dadar juga, lauk tambahan.


Pada 14 Februari, saya goreng ikan mabong. Besar saiz dia, saya potong 2 seekor ikan. Ada 3 beranak je di rumah, saya, suami dan Sulaiman. Goreng sekadar berapa nak makan.


Daging goreng kunyit yang dimasak semalam, sudah pun tinggal banyak ni je. Suka ye, ambil gambar dalam kuali. Takde nya saya nak hidang dalam pinggan lawa-lawa. Senang nak panaskan. Dengan kuali-kuali saya letak atas meja makan, lapik coaster gabus. Periuk dan kuali masakan, saya tak boleh biarkan di luar. Sebab dapur saya, dapur luar dan open. Kalau tinggal luar, nanti kera liar yang buat lauk, depa makan. 


Bila ada ikan goreng, kena ada budu. Minta tolong suami, tolong ambilkan ulam raja di luar pagar. Kita malas nak keluar rumah, kena sarung tudung bagai. Suami ambik punyalah banyak ulam raja, bagaikan tiada hari esok. Bertuah sungguh suamiku. Dalam budu, ada letak cili padi, bawang dan kacang panjang (hasil tanam sendiri). Alhamdulillah.

Eh, ok la ye. Nanti kita kumpul banyak-banyak gambar makanan, kita share lagi. 😁💗

Saturday, February 22, 2025

Home remedy untuk batuk

 Masa saya balik dari umrah, saya ada alami batuk. Batuk berkahak mak ko hijo.

Satu minggu, makan ubat batuk, masih tak baik batuknya. Bila batuk bagi orang ada asma macam saya, mudah semput juga. 

Jadi, saya pun buatlah air halia.


Saya guna halia muda. Guna apa yang ada di rumah. Saya tak pasti sama ada beza tak, guna halia muda ke, halia tua ke. Tapi, yang penting, halia amat sarat dengan sifat antiradang. Ia boleh bantu kurangkan keradangan pada saluran pernafasan sekaligus melegakan gejala batuk.

Potong halia lebih kurang besar ruas ibu jari.

Buang kulit. Hiris kepada beberapa keping.


Saya buat air halia untuk satu periuk sederhana besar seperti di atas. Terpulanglah pada anda. Kalau nak buat sukatan cawan, memadai ambil air panas, dan rendamlah beberapa keping halia. Biar lama sikit halia dalam cawan, supaya mesra. 

Jangan campur gula pula, nak bagi sedap punya pasal. Gula jahat, tau. 


Saya yang buat sukatan periuk ni, biar air dalam periuk menggelegak, barulah saya padamkan api.


Saya tutup dengan tudung periuk. Biar air halia sejuk. Biar jus-jus halia tu meresap masuk, "mesra", bak kata Bob AF2.

Bila sudah sejuk, tapis air halia, masuk dalam botol, senang nak minum.


Botol kiri, air halia. Botol kanan, plain water biasa.

Lepas saya minum satu hari, esoknya, batuk saya semakin berkurangan. Kahak mak ko hijo pun tiada lagi. Alhamdulillah.

Saya repeat buat lagi satu periuk air halia.

Dua hari saya minum, terus tak batuk dah. Alhamdulillah. 

Sedap ke air halia ni? Ada rasa pedas halia la. Tu je. Saya memang tak minum air sejuk atau berais. Itu pun membantu juga kot.

Bagi yang malas pergi klinik macam saya, boleh la cuba petua ni. Satu cara ikhtiar. Apa-apa pun, dengan izin Allah.

Baik. Selamat mencuba. 💗

Friday, February 21, 2025

Hari ke 11: Hari terakhir di Mekah

 Cerita umrah disambung dengan apa yang berlaku pada hari Khamis, 6 Februari 2025. 

Selepas sarapan, saya pergi melakukan tawaf wida, atau tawaf selamat tinggal. Kok dan Atam pergi terus selepas subuh. Saya berhajat nak cuba tawaf di tingkat 1. Saya masuk ke Masjidilharam ikut pintu paling dekat yang dibuka. Saya tak tahu jalan, jadi saya bertanya kepada tukang sapu Masjidilharam. Masuk ke ruang solat, dan ada laluan ke tempat melakukan tawaf.

Saya buat seorang saja, tawaf wida. Alhamdulillah, berjalan lancar. Boleh nampak Kaabah di sesetengah tempat. Ada sesetengah tempat, ada pembinaan sedang berjalan. Boleh terjumpa ahli rombongan bas kami beberapa orang. Walaupun pusingan tawaf lebih besar di tingkat 1, banding jika kita buat tawaf di bawah dekat Kaabah, tapi saya sentiasa berjalan tanpa henti. Orang kurang di atas, banding di bawah. Tiada tolak-tolak, lancar sahaja.

Saya nampak ada 2 orang cacat penglihatan, buat tawaf, solo je. Masya-Allah. 

Di tingkat 1 ni juga, adalah tempat orang yang upah orang tolak wheel chair mereka. Orang yang diupah tolak wheel chair ni, semua kurus-kurus. Ye la kan, kerja dia, satu hari, berapa kali pusingan tawaf la. Berpeluh baju orang yang kerja tolak wheel chair ni. Bila dia belakang kita, sebab dia tolak laju, dia akan cakap kalau perempuan,"Hajah, hajah", suruh kita ketepi. Kalau lelaki, dia jerit dari belakang,"Haji, haji," suruh orang beri laluan. 

Masa tawaf wida pusingan terakhir, saya ada doakan lagi sekali, agar pembaca blog yang saya kasihi sekalian, dijemput menjadi tetamu Allah. Aminnn....

Alhamdulillah, lepas selesai tawaf wida, saya masuk ke ruang solat wanita dalam Masjidilharam, untuk solat sunat tawaf. Cantik sangat dalam Masjidilharam tu. Selesa dan ber-aircond, sejuk je tempat solat. 

Lepas tawaf wida ni, kita tidak digalakkan selfie atau ambil gambar, atau pergi shopping (kecuali beli makanan) dan lain-lain aktiviti yang seperti melengah-lengahkan masa di Masjidilharam. 

Saya kembali ke bilik hotel. Jemaah diminta meletakkan bagasi masing-masing di luar pintu bilik. Semua bebas melakukan aktiviti sendiri, sementara menunggu waktu dibawa ke Lapangan Terbang Jeddah untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Saya mandi, salin pakaian, tidur, dan makan di bilik. Kok dan Atam ada belikan murtabak dan roti telur dari Safwa Tower. Juga, kemas barang apa patut. 

Pukul 12 tengahari, kami check-out bilik, serahkan kunci bilik pada reception hotel. Lepas tu, berkumpul di parking bas di tingkat minus 2 Clock Tower.

Selesai semua orang naik bas, kami pun bertolak ke Jeddah.

Lebih kurang jam 1.30 tengahari, kami tiba di Hentian Bas Jeddah Airport. Solat dan makan tengahari packed meal yang telah disediakan oleh agensi. Di tempat ini, kami kena sidai lamaaaa sangat. 


Nama pun waiting hall. Berjam-jam kami menunggu di sini. Tapi sini lengkap ada tempat solat, bilik air yang selesa, vending machine, dan dapat teh percuma sorang satu.

Bila perhati cuaca di luar masa di Jeddah, sejuk dan angin kuat. Bila jalan, kena pegang tudung, takut terselak.

Pukul 6 petang, barulah kami bertolak ke Airport Jeddah. Kami melalui proses check-in dan masuk bangunan satellite ke gate penerbangan. Masa tengah check-in bagasi tu, azan maghrib pun berkumandang.


Masa dalam tren ke tempat pelepasan antarabangsa. Luas train dia. Takde orang mungkin sebab time tu, waktu maghrib.

Sesampai saja kami di Plaza Premium Lounge, yang untuk tiket kelas perniagaan, Kok jaga bag, manakala Atam dan saya pergi solat di tempat solat. 


Gambar dalam lounge. Tapi, lounge di Malaysia lebih cantik dan luas, banding lounge di Jeddah ni. Makanan buffet dia kurang. Dan makan guna sudu garfu plastik pulak tu. Errr...


Dapat berehat di sini, lunjur kaki, Alhamdulillah. Kok dan Atam lepas tu keluar sekejap, pergi shopping chocolate. Tempat duduk sini semua ada tempat charge handphone. Yang tempat duduk yang ada meja makan pun ada. Banyak ruang kosong waktu kami ada di sana.


Saya ambil nasi sikit, meatball, shepherd pie sikit, lauk ayam stim sikit. Simpan perut, nanti dalam kapal terobang nak makan lagi. Dah la waktu malam flight, time tidor disuruh makan. Huhu..


Tiket, tiket. Jam 10.05 malam, kami berlepas dari Jeddah. Sedih rasa dalam hati. Sudah mau balik. 

Pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya, dapat mengerjakan umrah dengan kakak-kakak saya. Syukur, Alhamdulillah. Rasa macam mimpi pun ada, saya first time travel ke luar negara. Sangat happy dan bersyukur atas segala nikmat Allah beri.


Video pendek trip umrah. Kredit Kok.

Terima kasih, sudi baca cerita sepanjang saya mengerjakan umrah. Saya tulis berturut-turut setiap hari, kalau lengah, takut saya lupa. Untuk kenangan dan rujukan di masa hadapan. 

Jumpa lagi di lain entri. Salam Jumaat yang berkah, kome... 💗

Thursday, February 20, 2025

Day 10: Ziarah Kota Taif

 Cerita umrah disambung lagi, dengan kejadian yang berlaku pada hari Rabu, 5 Februari 2025.

Seawal 7.30 pagi, sudah turun bawah, naik bas, nak ziarah Kota Taif. Dah sarapan, lepas subuh lagi. 😊


Gambar dalam bas. Jalanraya dia, 3 lorong pergi, 3 lorong balik. Tak ada trafik light. Tak ada tol. Jalan pun cantik, takde kopak kapik lubang sana sini, macam di Malaysia, ye. Hihi..

Eh, ada trafik light, tapi jarang jumpa, kat bandar ada.

Saya biasa duduk barisan kedua, dengan Atam.

Sampai saja, kami jalan kaki sedikit, menuju ke Masjid Saidina Abdullah ibnu Abbas. On the way ke masjid ini, ada banyak gerai-gerai jualan, jual buah strawberry, jus delima, banyak lagi, la. Cuaca di Taif sedikit sejuk banding di Mekah.

Saidina Abdullah bin Abbas ini, adalah sahabat kelima yang banyak meriwayatkan hadis selepas Saiditina Aisyah, dan beliau juga adalah sepupu Rasulullah SAW.


Lepas solat sunat dalam masjid, tengok ada budak bulu tunggu luar, bagi makan jap. Ha, nak habiskan makanan kucing dalam simpanan. 

Ada je peniaga kecil-kecilan datang ke tempat rombongan kami, bawa kopiah, bawa minyak wangi. Mutawwif kami menolak dengan baik. 

Ada juga budak kecil arab, berniaga dengan cara bawa mesin timbang berat. Dia cakap melayu pada orang lalu depan dia, "Timbang, 1 riyal, timbang 1 riyal!" Hehe... timbang berbayar.

Lepas tu, kami pergi tempat jual madu. Ada beberapa jenis madu yang mutawwif terangkan. Dan di tempat dia bawa tu, boleh percaya yang madunya, madu asli. Ada beberapa jenis madu yang khas untuk beberapa penyakit. Saya pun dah lupa apa nama. 


Gambar depan kedai madu.


Macam ni la, dalam kedai madu. "Halal, halal", dia bagi try makan roti arab yang diletakkan madu di atasnya. Ada juga manisan lain yang dia bagi cuba percuma. Orang dalam gambar tu, sedang masukkan madu dalam botol jualan. 

Saya cuba makan madu dia, tak manis. Maksud saya, bukan macam madu kita, ada rasa manis gula. Dia punya madu, pure punya. Tak tau nak cakap camana. 

Kok ada beli 2 botol, tapi 1 botol pecah masa buka beg dah sampai Malaysia. Nasib baik pecah dalam bekas dia, ada plastik. Takde la kena pakaian dalam bagasi. Ok la tu, dapat merasa 1 botol, Alhamdulillah.

Lepas tu, kami naik bas semula. Kami dibawa ziarah Masjid Saidina Addas dan Masjid Siku. Kedua masjid ni, mutawwif cerita dalam bas je, kami tak turun pun.

Siku? Mana dapat nama Masjid Siku? Sebab ada kesan lekuk pada batu pada masjid tu, ketika Rasulullah SAW berteleku dengan siku baginda di situ. Masjid ini, tidak digunakan lagi. Lokasi dia betul-betul tepi jalan.

Lepas tu, kami dibawa ke kilang proses pati wangian rose (perfume). Sini, ramai orang, jalan pun sempit, dipenuhi dengan bas yang parking di kiri kanan jalan di kilang. Saya dan Atam tak turun. Kok je turun. Masa Kok naik bas semula, dia bagi hidu sample perfume ros pada lengan, haa... wangi. 

Seterusnya, masa yang ditunggu. Makan time! Kami dibawa makan tengahari di restoran nasi mandy Yemen. Yay!


Makan dalam dulang ye. Satu dulang, share 4 orang. Mutawwif cerita, orang Arab kan, satu dulang ni, dia boleh makan 2 orang je. Peh.... heee... tak mampu kita, group saya, kami berlima, sebab masing-masing perut kecik, takut membazir, tak habis.

Makan bersila. Yang tak boleh duduk bawah, diberi kerusi dan makan guna tray kecil.

Nasi mandy lauk ayam bakar sampai 2, kau, dan kambing, berserta sambal nasi mandy tu sedap! Saya suka! 😋 Nak kata sambal bukan sambal la. Salad tu, dia letak dalam apa nama dia? Salatah ke? Lebih kurang macam jelatah kita, tu. Dia bagi sekali cili hijau. Saya tak makan, sebab tengok cili dia kecik, kalau cili hijau besar tu, ok gak. Atam cakap, cili dia pedas.


Video masa nasi mandy sampai.

Saya rasa, itulah nasi mandy paling sedap saya pernah makan, seumur hidup saya.


Pencuci mulut, kunafa. Sedap dan mild, tak terlalu manis, just nice.


Inilah luar restoran nasi mandy. Alamak, gambar pun kelabu asap. Sori.


Ini pemandangan depan lorong restoran. Cuaca di Taif mendung je.

Lepas selesai makan, kami dibawa ke Masjid Qarnul Manazil. Bagi jemaah yang ingin mengerjakan umrah, boleh bermiqat di sini. 


Di masjid ni, habis semua makanan kucing saya bawa. Alhamdulillah. Lapor-lapor kucing, dok berteduh bawah pokok, di tempat-tempat redup.

Lepas tu, kami terus balik ke hotel. Tapi, tak naik bilik lagi. Atam nak belanja aiskrim di tempat turun bas.


Asal naik bas nak pergi ziarah je, mesti nampak kedai aiskrim ni. Sebelum kita balik Malaysia, jom la kita test sekali. Selalu tengok ramai orang. Qais Ice Cream, nama kedai. Lokasi, tingkat minus 2 bangunan Clock Tower. Selain aiskrim, dia ada jual juice juga.


Aiskrim saya. 😋 Dah lupa harga berapa.


Aiskrim Atam harga 5 riyal. Alamak, ada pak janggut belakang Atam.

Baiklah, sekian perkongsian program pada 5 Februari. Terima kasih kerana membaca.

Esoknya, kami dah nak balik Malaysia dah, sudah kena pi airport. Alahai... sambung lain entri. 💗