Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Cencurut yang bijak

 Cerita ini berlaku pada 7 Julai 2026 yang lepas.

Semasa saya sedang masak, saya ternampak ada sesuatu bergerak dengan ekor mata. Dapur basah saya di luar rumah. Apabila menoleh, saya nampak tikus kecil.

Masa tu, saya sedang goreng ikan kembung. Saya ambil kepala ikan yang telah digoreng, mahu buat umpan dalam perangkap tikus. Ini pertama kali saya pasang perangkap tikus sendiri. Biasanya, suami saya yang buatkan.

Tak boleh jadi, ni. Sebab tikus berani keluar siang-siang hari, jadi saya pun kena beranikan diri pasang perangkap. Saya risau kalau tikus masuk rumah, lagi lah seram. No, no..

Waktu saya keluar hendak sidai tuala selepas mandi, tikus belum masuk perangkap.

Selepas zohor, saya periksa perangkap tikus, baru ada.

Cencurut masuk perangkap guna umpan kepala ikan rebus goreng
Yah! Cencurut masuk perangkap!

Saya teringat dulu-dulu, semasa rumah saya masih ada kucing, kucinglah yang tolong tangkap tikus. Pagi-pagi keluar, ada bangkai tikus atau cencurut dekat garaj, hadiah dari anak bulu. Sekarang ini, kena pasang perangkap sendiri. 

Apa perbezaan antara cencurut dan tikus?

Walaupun rupa mereka nampak hampir sama dari jauh, cencurut (shrew) dan tikus biasa (rat/mouse) adalah dua haiwan yang sangat berbeza dari segi biologi, tabiat dan pemakanan.

Berikut adalah perbezaan utama antara cencurut dan tikus biasa:

1. Rupa Fizikal

🐀 Cencurut mempunyai muncung yang panjang, tajam dan fleksibel. Matanya sangat kecil (hampir buta) dan telinga tersorok di sebalik bulu. Bulunya biasanya berwarna kelabu gelap atau kehitaman.

🐀 Tikus mempunyai muncung yang lebih bulat, mata yang besar dan bulat, serta telinga yang lebar dan tegak.

2. Jenis pemakanan (diet)

🐀 Cencurut merupakan haiwan bukan rodent (bukan jenis mengerat). Cencurut ialah haiwan insectivore (pemakan serangga). Mereka makan lipas, cacing, semut dan ulat. Mereka tidak makan sisa makanan atau kompos Bokashi anda. 

Saya risau tong bokashi yang ada sisa dapur yang diperam yang jadi punca cencurut datang ke rumah. So okay, bukan sebab tong bokashi.

🐀 Tikus merupakan haiwan rodent (pengerat). Tikus ialah haiwan omnivor yang makan apa sahaja termasuk sisa makanan, bijirin, buah-buahan, dan tulang ayam di dalam tong kompos. 

3. Bau dan tabiat

🐀 Cencurut terkenal dengan bau busuk yang sangat kuat (bau tengik) yang dikeluarkan daripada kalenjar badannya untuk menanda kawasan dan mempertahankan diri. Cencurut tidak gemar menggigit barang elektrik atau perabot kerana giginya bukan untuk mengerat.

🐀 Tikus tidak mengeluarkan bau badan yang tersendiri (kecuali bau air kencingnya). Tikus suka mengerat wayar elektrik, plastik, kayu dan kotak untuk menajamkan giginya yang sentiasa tumbuh.

4. Bunyi

🐀 Cencurut sering mengeluarkan bunyi decitan yang sangat nyaring, laju dan bising (chit-chit-chit) terutamanya apabila mereka bergerak atau bergaduh pada waktu malam.

🐀 Tikus mengeluarkan bunyi decitan yang lebih perlahan, berat atau bunyi cakaran pada siling dan dinding.

Cencurut dalam perangkap tikus
Close-up sikit cencurut dalam perangkap

Cencurut rupanya masuk perangkap. Muncung ia panjang.

Cencurut berjaya keluar perangkap

Kerja menghapuskan binatang perosak ini, saya serahkan pada suami la, siapa lagi. Biasanya, suami akan lemaskan haiwan perosak ini di dalam baldi berisi air. Suami saya masih bekerja. Jadi, tunggu petang lah, barulah dia mulakan operasi penghapusan. 

Tapi nak tahu apa jadi? Mungkin sebab cencurut ini masih kecil, ia boleh menyelinap keluar dari perangkap tikus. Hahaha... terlepas sudah!

Cubaan kali kedua

Menggunakan sangkar yang sama, suami saya pasang umpan untuk perangkap tikus yang sama. Juga cencurut berjaya keluar. Ini mengesahkan yang cencurut ini boleh mengecilkan badannya keluar melalui pintu perangkap tikus. Terer kan, menatang ini. Kita tengok badan ia gemuk dan berisi. Tapi ia boleh slide keluar menerusi lubang kecil.

Cubaan kali ketiga

Suami pasang umpan menggunakan perangkap tikus jenis sepit. Juga gagal. Umpan hilang, tapi cencurut tidak terperangkap. Terer tak, ia boleh makan umpan tanpa mengelakkan diri sendiri tersepit pada perangkap. Bijak, bijak.

Cubaan kali keempat

Suami menggunakan perangkap jenis sepit juga tambah cara baru. Kami beli perangkap tikus jenis gam yang kuat, dibeli di Daiso.

Cencurut melekat pada perangkap tikus jenis gam kuat yang dibeli di Daiso
Tadaa... berjaya menangkap cencurut yang bijak

Itu pun, sipi-sipi. Cencurut itu sudah berada di tepi perangkap gam. Makna, ia telah mengesut perlahan-lahan untuk lepaskan diri dari gam itu. Peh... kuat betul. Nasib baik juga suami saya periksa perangkap tengah-tengah malam. Kalau tunggu pagi baru nak periksa, rasanya, cencurut itu pasti terlepas lagi sekali. Hahaha... akhirnya, tewas juga.

Namun begitu, dua tiga hari kemudian, saya terdengar bunyi decitan tikus lagi di belakang rumah. Kali ini, suami pasang perangkap tikus biasa.

Mak cencurut pula masuk perangkap

Pada 13 Julai Julai 2026, cencurut lebih besar saiznya, dipercayai mak cencurut kecil yang bijak itu, berjaya masuk perangkap. 

Kali ini, sebab saiz badan yang lebih besar, cencurut tidak berjaya lepaskan diri.

Cencurut lebih besar masuk perangkap
Mak cencurut masuk perangkap.

Begitulah ceritanya. 

Haiwan perosak seperti tikus dan cencurut tidak boleh dibiarkan membiak di dalam atau di sekitar rumah kerana mereka adalah pembawa pelbagai jenis kuman, bakteria, dan virus yang boleh membawa maut kepada manusia.

Penyakit kencing tikus atau leptospirosis adalah ancaman paling besar di Malaysia kerana ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, hati dan boleh membawa maut jika lambat dirawat.

Sekian. Beginilah lumrah rumah atas tanah ini. Selain itu, saya risau kalau tidak ditangkap dan dihapuskan, boleh mengundang pemakan haiwan ini iaitu cik U yang menyusur itu datang ke rumah. Sebab pernah berlaku dulu. Rumah saya pula terletak berhampiran hutan paya bakau. Huiii... minta simpang malaikat 44... 🙈🤲

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Rumah sewa Amirul

 Khamis, 22 Januari 2026 - Amirul lepak di bilik hotel kami beberapa ketika. Sebab hari Khamis dan sudah petang, saya cadangkan kami cari makan di pasar malam saja. Semua cakap ok. Kami naik kereta Viva yang Amirul bawa. 

Amirul sudah jadi orang Dungun. Dia lalu ikut jalan celah-celah bangunan dan bawa kereta laju je. Beberapa kali saya ingatkan cer bawa slow sikit. Hee... budak ni. Lepas tu, lampu minyak sudah blink blink, bapak budak sudah mulai risau. Apehe ni... biar kereta tak ada minyak macam tu. Orang kalau tinggal dua bar paling kurang, elok la pergi isi terus. Pok pek pok pek bapak budak membebel. Amirul jawap kalau lampu minyak blink blink kan ada 5 kilometer lagi dalam tangki boleh pergi. Jauh tu. Ya Allah, anak bertuah...

Pergi stesen minyak dulu, isi minyak kereta. Dia tutup pintu kereta hempas je. Pong sana, pang sini, tutup tempat isi minyak kereta tu. Kasor bebenor ler... lepas tu komplen kenapa kereta tu keluar bunyi itu, keluar bunyi ini. Masa saya bawa kereta Viva tu, di Perak, saya pakai pergi jalan pagi dan ke pasar je. Elok kereta tu. Dapat dekat budak Amirul, Allahuakbar... 

Lepas isi minyak kereta, pergi singgah rumah sewa Amirul dan kawan-kawan. Dia nak angkat kain jemuran.

Pokok ros depan rumah
Depan rumah sewa, ada pokok ros

Tuan rumah tanam. Tapi sebab budak-budak student yang duduk, tak terjaga pokoknya. Tengoklah motor bersusun beratur di garaj rumah. Ada 20 orang ok, duduk di rumah ini. Bilik tak silap, ada 5 ke, 6 buah. Tapi memang besar rumahnya, rumah banglo. Amirul pun tinggal lagi 2 semester nak habis di Uitm, Insya-Allah, semester kedua dia kena duduk luar, tak dapat dah duduk dalam.

Melawat anak di rumah sewa
Anak bujang nuuu... tengah angkat kain

Sudah besar anakku ini. Dah tak ada rupa budak dah. Rupa orang dewasa sudah. Umur pun sudah 23 tahun. Saya waktu umur 23 tahun, dah nikah dah. Huhu..

Saya tak masuk dalam rumah sewa Amirul pun. Duduk luar je. Tengok-tengok, ada ulat bulu besar ok, di luar rumah Amirul!

Kucing gebu
Ni ha, ulat bulunya! 😁

Budak-budak bujang ni, bagi makan dan bela, seekor kucing. Tengok-tengok, beranak pula. Anak kucing ada 3 ekor, semua gebu gebas. 

Anak kucing comel
Eh eh.. tak takut orang budak ini.

Mana leher awak? Dari muka terus ke badan ni. Sangat fluffy. Udah rope ulat bulu, membulat jer, bila berjalan main-main di celah-celah rak kasut di luar rumah.

Lepas Amirul angkat kain jemuran, kami pergi pasar malam di bandar Dungun. Suami beli nasi dagang ler.. ish ish.. beratur waktu membeli. Tapi worth it sangat, tak sama, ok, nasi dagang tempat kita dengan nasi dagang jual di Terengganu ni. Huuu.... Amirul beli makanan dia la. Murah la, harga makanan di pasar malam. Tiga mangkuk benda cucuk-cucuk Amirul beli. 3 mangkuk, bukan 3 lidi, seperti kulit ayam, paru ayam dan apa entah satu lagi dia beli. Ish ish ish... saya cakap jangan makan selalu, kolesterol tinggi belaka tu. Amirul cakap, waktu muda lah nak enjoy makan. Huh..

Maaf, tiada gambar makanan beli di pasar malam. Kerana kami semua lapar dan tak dapat menahan sabar, makan, tak ingat dah nak ambil-ambil gambar ni. Huhu. Oh, kerepok lekor sana terbaikkkkkk! 👍😋 Rasa ikan, takde rasa tepung macam keropok lekor sini. Saya terbeli dua helai baju di pasar malam. Satu baju, RM10 je. Hehe.. 

Amirul makan bersama kami di bilik hotel. Selesai makan nak maghrib, dia pun balik. Tak tidur dengan kami pun. Dia ada assignment kena siapkan untuk hantar esok. 

Alhamdulillah... sambung lain entri pula ya. 

Hujung minggu ini, long weekend ya, cuti berganda Hari Thaipusam dan Hari Wilayah bagi yang kerja di KL. Ada yang nak pergi bercuti ke tu, atau balik kampung? Semoga dipermudahkan urusan pembaca sekalian dan jaga diri dan keluarga. 

Jumpa lagi. 💗

Share:

Siti kembali

 Assalamualaikum semua...

Pada 27 Disember 2025 yang lalu, Siti telah kembali ke rumah. 

Siti mana la pula ni kan...

***

****

*****

Si Tikus!

Tikus dalam perangkap tikus
Selamat, terperangkap di dalam perangkap tikus.

Sebenarnya, cencurut. Sebab muncungnya panjang. Sudah seminggu dengar bunyi menatang ini di bahagian belakang rumah. Itu yang suami pasang perangkap. Guna umpan tulang ayam goreng.

Cencurut dalam perangkap
Gambar dekat sikit, si cencurut.

Gemuknya. Kita risau kalau biar menatang ini lama-lama. Takut pemakan dia, yang pak panjang menyusur itu datang. Sebab pernah terjadi dulu. Hui.. simpang malaikat 44! 

Cencurut masuk perangkap
Aktif dia, cuba keluarkan diri

Kome geli tak dengan menatang cencurut ini? Bahaya, membawa penyakit, air kencingnya. Padahal di belakang rumah sudah banyak barang saya sudah clearkan. Masih ada sikit barang yang tidak boleh dikeluarkan, sebab bukan barang kita. Itulah, rumah peninggalan orang tua. Cukup masa, kita keluar, kakak saya pula akan masuk.
Sudah selamat ke alam seterusnya cencurut ini. Suami lemaskan ia dalam baldi. Sudah ditanam sejurus selepas itu.

Sekian perkongsian.
Jumpa lagi ya. 💗
Share:

Wordless Wednesday: Kucing gemuk

Gambar diambil pada 7 November 2025, dari dalam kereta, sambil menunggu suami bungkus maggi goreng mamak. 

Kucing comel
Rileks je dia, tengok orang kat kedai mamak.

Kucing comel
Geram rasa nak tepuk-tepuk bila kucing duduk macam ni.
Share:

Anak angkat balik

 🐱 Tarikh: Sabtu, 30 Ogos 2025 🐱

Masih cerita semasa minggu long weekend cuti hari Merdeka akhir Ogos hari tu.

Kucing bengal melawat kawasan
Melawat kawasan

Video budak bulu usha burung.



Budak ni kacau waktu saya sedang berkebun. Manja sangat. Duduk lama kat rumah saya. Main dengan Amirul (anak sulung). Dah macam anjing gaya si bengal ni. Bila Amirul tak gosok kepala dia, dia panjat Amirul. 

Sondol-sondol. Purrr purr. Tangan dia nak picit. Tapi dia bawa keluar kuku. Takut pula bila si bengal ni tengah galak. 

Ini last visit dari budak bulu ni. Sejak tu, tak jumpa dia lagi. Agaknya, tuan dia dah kurung dia di rumah, tak bagi keluar merayap. Kesian. Hehe.. tapi baguslah. Merayap kang, nanti kena kidnap pula.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Tiger comei kembali

Tarikh: 23 Julai 2025

Pagi hari. Waktu saya sedang siram pokok.  

Kucing bengal atas awning rumah
Tudiaa... dia naik atas bumbung kita...

Saya perati je menatang ni. Walaupun waktu itu mentari pagi sudah muncul dan agak silau untuk tengok lama-lama benda kedudukan tinggi ni. 

Kucing bengal atas bumbung rumah
Dia punya gaya, macam dubuk pun ada.

Dia usha burung. Pagi-pagi memang banyak burung berkicau. Pantang ada burung pipit bertenggek sekejap atas bumbung, laju je si bengal ni pergi.

Sambil siram pokok, saya panggil juga dia turun. Ala, macam panggil kucing biasa, yang kita tak tahu nama. Dia turun juga. 

Kucing bengal nak gigit daun pokok nanas
Dia boleh nak gigit pokok nanas yang keras dan berduri tu.

Memang confirm la, ni kucing orang. Cuma tak tahu jiran mana satu bela dia ni, tapi jenis lepas. Ini kali kedua si bengal ni datang rumah. Masa pertama kali saya tengok dia, ada di entri ini. Kucing jantan. 

Dia tak macam kucing biasa yang jinak. Kalau jenis tak takut orang, akan datang dekat kaki kita, minta manja, kan. Si bengal ni, dia datang slow-slow. Lepas tu, lari, lepas tu datang dekat semula, lepas tu pergi balik pokok pula. Jinak-jinak merpati, lebih kurang.

Kucing bengal yang manja.
Kali ni, dia bagi saya pegang kepala dia.

Dia tak purrr purrr, tapi dia tunduk kepala depan kita, suruh gosok. Kita pun dapatlah gosok kepala dia. Pandai minta manja.

Kucing bengal tunduk, suruh gosok kepala
Tunduk, tunduk, suruh gosok kepala

Hok aloh, menatang ni. Dok layan dia, tak siap kerja kita. Saya suruh dia balik rumah. Saya nak sambung siram pokok. Saya pun pergi la ke depan rumah semula, sambung kerja menyiram. Saya toleh belakang, dia dah takde. Pandai budak ni, dengar kata. 😁

Macam-macam binatang orang bela. Saya tak kisah kalau kucing jiran datang bertandang. Tapi agak menjengkelkan bila dia melepas atas rumput atau tepi pasu. Tempiasnya, atau tempat najis tu, boleh mati tumbuhan kita. Dulu ada kucing kencing atas selipar depan rumah. Sekarang, dah takde. Alhamdulillah. 

Hari-hari masa saya siram pokok, saya selalu dengar bunyi angsa. Dekat taman perumahan ye, bela angsa. Kalau kat kampung tu, ok ler. Dengar je bunyi, angsanya saya tak pernah nampak. Bagus la, pandai bela, pandai simpan. Jangan sampai menjahamkan harta jiran tetangga, sudah la.

Saya pernah tengok video, kucing dia suka bawa balik selipar atau kasut jiran tetangga ke rumah. Naya je, jiran bila keluar rumah, selipar tak dak. Macam-macam.

Ok. Sekian cerita tiger comei datang bertandang.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Anak siapa ni

 Tarikh: Jumaat, 27 Jun 2025

Pada hari itu, suami tidak bekerja, hari off. Suami menyuarakan hasrat untuk berhenti bela ikan. Kami ada akuarium di luar rumah, lokasi bersebelahan pintu masuk. Tapi, suami sudah semakin sibuk bekerja lebih masa akhir-akhir ni. Jadi, tiada masa untuk cuci akuarium.

Ikan-ikan hiasan pun sudah lama mati. Tinggal ikan bandaraya, seekor, yang masih panjang umur. 


Ikan bandaraya besar, sudah bela bertahun-tahun
Ini ikannya.

Ikan bandaraya atau ikan pleco. Lebih dikenali dengan nama ikan bandaraya sebab ikan ini punya mulut seakan penyedut yang digunakan untuk melekat pada permukaan. Ikan ini popular sebagai ikan hiasan akuarium kerana kemampuannya membersihkan alga.

Sudah cuci akuarium besar, dan transfer ikan ini ke akuarium kecil. Suami nak sedekah pada kawan sepejabatnya, yang ada kolam belaan ikan di rumah.  

Ikan bandaraya tidak boleh dibuang ke dalam sungai kerana ia boleh mengganggu ekosistem dan menjejaskan biodiversiti. Ikan ini bersifat invasif dan boleh memakan telur ikan tempatan, mengorek tebing sungai, dan menyebabkan hakisan. Ikan ini juga boleh bersaing dengan ikan tempatan untuk mendapatkan makanan dan habitat.

Pernah disiarkan dalam rancangan Majalah 3, tentang usaha menjala ikan bandaraya di sungai untuk menjaga populasi ikan-ikan asal dalam sungai. 

Sementara itu, rumah kami telah didatangi seekor kucing hutan entah dari mana. 

Kucing spesies bengal
Dia usha ikan bandaraya.. 

Kucing spesies bengal ni. Mula-mula, dia duduk di tepi rumah kami, lepas tu, rasa kesian pula kat dia, sebab dia mengiau. Saya kata pada suami, ada lauk ikan sardin lagi seekor, cuba bagi kat dia. Tengok-tengok, dia lambung-lambung ikan sardin tu, buat mainan. Macam kucing tempatan main mengkarung.

Saya buat carian kemudiannya, kucing bengal makan ayam, daging, ikan (salmon dan tuna) dan organ haiwan. Memang pure karnivor.  

Tak pernah nampak kucing ni. Mana dia datang. Tak sayang kucing betul. Kucing mahal macam ni, boleh dibiar lepas. Silap-silap nanti dah kena print out poster Cat Missing

Kucing tu kurang mesra alam. Dia tak datang dekat kami. Muka dia pun muka terkejut dan curious akan persekitaran dia. Kami syak, kucing ni terlepas dari rumah.


Kucing bengal yang tiba-tiba datang rumah
Awak datang dari mana ni?

Badan dia sangat lean. Sekali pandang, macam anak harimau cheetah pun ada. Cantik corak pada badan dia. Kami biarkan saja dia, jalan-jalan. Tak lama pun kucing ni ada di rumah kami. 

Lepas dia tinjau-tinjau kawasan pokok di rumah, hilang sudah entah ke mana. Semoga awak temui jalan pulang ye, kucing bengal yang cantik. 

Rumah kami sudah tiada kucing, sejak hari raya puasa lepas. Dulu, ada kucing pendatang yang tinggal di luar rumah. Kami beri makan, dan sediakan tempat litter di luar. Yang terakhir, kucing tu menjauhkan diri. Memang sudah 2-3 ekor kucing menjauhkan diri, mungkin jumpa tuan baru yang lebih beri makanan sedap. Atau sudah mati. Wallahualam.

Tengahari itu, sudah selamat hantar ikan bandaraya ke rumah kawan suami. Seronok la ikan tu nanti, ada rumah baru lebih luas. 

Sekian cerita ikan dan kucing. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Kucing comei

 Nak share juga. Kucing memang suka kat suami saya. Dari dulu. Kalau makan, ada je kucing datang kat kaki dia, nak manja dengan dia. Dekat saya, takde pun. Kalau saya panggil kucing pun, belum tentu kucing datang. Buat dek je. 

Masa kami makan di Lumut Hotspot, ada kucing jantan kelabu ni, comei je. Dok kat meja kami. Tuan dia panggil dah ke belakang, kejap lagi, dia datang semula ke meja kami. Lepas tu, ada sekali kucing tu datang dekat pada encik suami, sampai naik meja. Cepat-cepat tuan kedai ambik kucing tu, cakap dia dah makan banyak dah. Ha, makna kucing tu nak manja la. 

Sebab kucing comei, meh saya share. Walaupun kucing suka kat dia, tapi dia suka sangat buli kucing.




Muka pasrah je, kucing comei kena buli. Kiki...💗

Share:

Bagi kucing makan

 Ada sorang kakak ni, selalu bagi kucing-kucing jalanan di tempat rekreasi dekat rumah ni, makan. Dia takde 2 hari, pergi kenduri anak sedara di Kedah. Oleh itu, aku amik alih tugas kak Siti, hari ni. 

Mula-mula, bagi si ekor kembang makan.


Pastu jumpa tompok di bahagian tengah taman.

Panggil dia, tapi dia penakut. Letak je cat food kat tepi. Bila dah jauh, tompok datang makan.


Lepas tu, jumpa Blackie pulak.


Tempat Blackie duduk ni, banyak nyamuk. Banyak pokok besar, macam hutan. Aku pulak, pakai baju hitam. Cepat-cepat tinggal makanan kucing. Jinak budak ni, manja.

Pastu, jalan jauh sikit, sampai ke hujung taman. Jumpa si ekor sakit.


Goncang je bekas cat food, berlari dia datang kat aku. Kesian, lapar. Memang ekor dia camtu, dalam gambar. Kak Siti hari-hari bawa spray, beli kat kedai vet. Makin baik dah tu. Kalau tak, bulu pun takde kat pangkal ekor dia tu. 

Pastu, nampak seekor anak kucing tengah duduk tepi tandas di medan selera. Bila dekat, ada lagi 2 ekor, sembunyi di belakang meja.


Anak-anak ni pun takut orang. Biar je. Lepas tu bila dah jauh sikit, baru nampak depa makan.


Lepas tu, kembali ke bahagian tengah taman rekreasi. Jumpa budak bulu sakit ni. 


Dia ni memang slow motion, tapi manja. Duduk setempat je.

Jalan semula, kembali ke starting point. Jumpa budak ekor kembang. Bagi lagi dia makan, 2 round dia hari ni.


Itu je la yang sempat. Kena balik rumah, sebab anak nak bertolak balik asrama. Jam dapat rekod aktiviti berjalan sejauh 2 kilometer. Alhamdulillah. Sambil bagi kucing jalanan makan, dapat juga keluar peluh. 💗

Share: