Memaparkan catatan dengan label Berkebun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berkebun. Papar semua catatan

Wordless Wednesday: Patah tumbuh hilang berganti


Berkebun sambil dengar lagu rancak
Semangat nak berkebun, sudah pasang lagu rancak. Yeh.. 💪


Sabit rumput patah
Baru 5 minit menebas, sabit pula patah. 

Sabit ini, saya beli tahun 2016. Sudah 10 tahun usianya. Terima kasih, sabitku, menjalankan tugas potong rumput dengan kemas selama ini. Goodbye.

P/S: Belum beli lagi sabit baru. Cari di kedai asal beli sabit ini, tapi sudah tidak jual lagi.

Jumpa lagi. 💗

Share:

Pokok ros sakit

 Kejadian pada 29 Julai 2026 yang lepas. 

Bukan semua bunga ros pada pokok terkesan. Kadang ada bunga yang kembang elok, ada juga kudup bunga ros yang langsung tidak kembang, dan berwarna coklat.

Bila jadi begini, memang boleh luntur semangat nak membela pokok ros ini. 

Saya duduk depan pokok ros, dan perhati serangga apa yang ada pada pokok. Saya nampak ada serangga kecil macam labah-labah.

Kudup bunga ros yang tidak mengembang. Ada hama labah-labah
Kudup bunga yang tidak mengembang.

Serangga itu halussss saja, dan ia ada jaringan benang halus seperti sarang labah-labah. Mengikut hasil carian saya, ia adalah hama labah-labah (spider mites).

Hama ini sangat gemar menyerang pokok ros ketika cuaca panas dan kering. Ia menghisap cecair pokok, menyebabkan daun ros bertukar kekuningan, kelihatan kusam berhabuk, dan kudup bunga menjadi kering serta gagal mengembang.

Bunga ros tidak kembang sempurna dan warna keperangan
Bunga kembang sedikit, tapi warna keperangan.

Bunga di atas terjadi pada pokok ros kuning. Kesian tengok. 

Saya buang dan memangkas daun-daun atau kudup bunga yang sudah rosak, kemudian buang terus, supaya hama tidak berpindah ke pokok lain.

Saya sembur dengan neem oil yang ada dijual di kedai Eco. 

Saya ada ternampak orang jual baja ke, racun pokok ros ini di shopee. Di pasar minggu pun ada. Nantilah, saya akan beli. 

Pada waktu kejadian, sebab cuaca panas, saya kurang rajin duduk luar rumah berkebun. 

Dulu rajin juga siram air basuhan beras pada pokok, tapi sekarang memang malas sungguh. 

Semasa saya taip entri ini, keadaan pokok ros semakin pulih. Tapi ada juga pokok yang terkesan teruk, batang utama pokok ada tompok-tompok hitam. Saya baru pegang batang, macam mudah tercabut dari tanah. Bukan saya tarik pun, pokok jadi kering macam hampir mati. Tamat riwayat satu pokok ros. 

Saya biar saja dulu. Tunggu mood berkebun kembali. 

Sekian laporan aktiviti tengok pokok. Baiklah. Semoga segala urusan anda semua pada hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Bunga raya putih

Saya ada beli dan tanam pokok bunga raya. Masa saya beli, kecil saja pokoknya. Saya pindahkan dari polibeg ke pasu seramik yang kosong di rumah. 

Masa saya awal beli, pokok itu tidak berbunga. Saya pun tidak bertanya pada orang di nursery pokok itu, bunganya nanti warna apa. Pakai beli saja. 

Pada hari Ahad, 26 Julai 2026 yang lepas, pokok telah mengeluarkan bunga buat pertama kalinya. 😍

Bunga raya warna putih
Bunga raya warna putih

Gambar di atas saya ambil pada waktu pagi. 

Saya mencari pokok bunga yang tahan lasak terhadap penyakit. Sudah penat mencantas dan menyembur minyak neem pada pokok ros, tapi tetap bunga tidak berkembang dengan baik, macam zaman dulu-dulu. Kembang, tapi terencat kadang-kadang itu, atau layu sebelum mekar. Sementara itu, saya pun belilah pokok bunga raya kampung ini.

Pokok bunga raya ini suka tempat panas terik. Jadi, tak ada masalahlah dengan cuaca panas membahang sekarang. Bila tanah dalam pasu nampak kering, saya pun siramlah.

Bunga raya putih
Gambar ambil waktu petang.

Ada dua kategori utama jenis bunga raya.

1) Bunga raya kampung (Tradisional): Mempunyai kelopak tunggal yang ringkas (seperti warna merah asli bunga kebangsaan, atau warna putih pusat merah seperti bunga raya di atas). 

2) Bunga raya hibrid (Siam/Hawaii): Mempunyai saiz bunga yang jauh lebih besar, kelopak berlapis-lapis seperti bunga ros, dan kombinasi warna hiasan yang unik. Contohnya, campuran oren, ungu, coklat, atau pink. 

Setakat ini, saya ada satu saja pokok bunga raya ini. Sejak tarikh gambar ini diambil, pokok ini sudah 2-3 kali keluar bunga baru. Suka saya menengoknya. Belum bercadang untuk menambah sebarang pokok bunga lagi. 

Tambahan pula, sekarang ini, musim panas. Mood nak berkebun pun jadi kurang, sebab tak tahan bahang cuaca. Setakat siram pokok sajalah, lepas tu cepat-cepat mahu masuk rumah, sebab berpeluh-peluh, okay, buat kerja di luar. Kering tekak. 

Baiklah. Sekian update ringkas aktiviti berkebun di rumah.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Hasil kebun bulan lepas

Tak adalah banyak pun hasil kebun. Tapi saya tulis jugalah di sini, sebagai rekod dan kenangan. Antara yang sempat dikutip semasa akhir bulan Julai adalah seperti berikut.

Limau kasturi

Pokok limau kasturi di rumah saya berbuah dengan lebatnya. Saya ada letak baja sisa dapur dari tong kompos. Saya tanam sikit baja kompos di antara pokok limau kasturi dan pokok serai di bahagian hadapan rumah. Keluar banyak sangat buah limau kasturi pada pokok, sampai gugur ke tanah la, buah yang sudah kuning tapi tidak diambil. 

Suami saya ada ambil buat air limau sekali-sekala. Pada akhir bulan lepas, saya suruh suami kutip buah limau kasturi untuk dibawa ke pejabatnya. 

Itu pun, suami saya kutip separuh pokok dulu.

Kutip buah limau kasturi di pokok yang ada di rumah.
Kutipan limau kasturi pada hari itu.

Bulan Jun punya kutipan limau kasturi pun suami bawa ke pejabat juga. Ada saya tulis entri di sini 👉 Aktiviti Berkebun Jumaat.

Letak saja atas meja di ofis, sekejap saja habis. Bolehlah guna untuk buat sambal belacan, campur dalam minuman, perah atas mi goreng ke, laksa ke. 

Limau kasturi ini termasuk dalam keluarga buah citrus. Ia kaya dengan serat larut pectin, yang membantu turunkan kolesterol jahat low-density lipoproteins (LDL). Hasil carian di google.

Limau kasturi juga ada kandungan vitamin C yang tinggi. Walaupun rasa buah ini masam dan bersifat asidik, tapi limau kasturi ini sama macam lemon juga. Ia boleh singkirkan toksin penyebab lemak berkumpul, dan salah satu detoks semulajadi terbaik.

Alhamdulillah. Memang tak habis kalau kita guna sendiri. Itu yang kongsi dengan kawan-kawan pejabat suamiku.

Bendi

Bendi atau okra
Bendi atau okra atau lady's fingers.

Sebab tidak banyak, sekali tuai, adalah sebiji atau dua biji, saya biasanya campur dengan sayur lain untuk masak sayur campur. Kalau masak kari pun, saya campak juga bendi ini. 

Ingat tak dalam entri saya buat tempat kompos itu, tapi tak jadi, sebab ada pokok terung? 

Terung pipit

Memang confirm bukan saya yang tanam pokok terung ini. Boleh jadi burung punya kerja. Sebab saya tak ada benih terung pipit ini di rumah. 

Ini pertama kalilah saya melihat pokok terung pipit. 

Pokok terung pipit dan bunganya
Bunga pokok terung pipit

Bunganya berwarna putih berbentuk bintang dengan bahagian tengah bunga berwarna kuning.

Buah terung pipit kecil saja, bentuk bulat, dan tumbuh sejambak.

Biasanya, terung pipit ini, orang tambah ke dalam sambal ikan bilis, betul? Boleh juga guna untuk masak lemak cili api.

Pokok terung pipit
Gambar diambil 28 Julai 2026

Kome pernah makan terung pipit tak? Saya tak pernah, tau. 🙈 Tapi saya biasa tengok lauk sambal tumis ada letak terung pipit di dalamnya.

Pokok terung pipit
28 Julai 2026

Elok pula pokok ini tumbuh dengan sihat dan keluar bunga dan buah dengan banyak. Mungkin sebab akar pokok ini dapat khasiat dari sisa kompos yang saya tanam berhampiran pokok ini. 

Pokok yang saya tidak peduli dan tidak tanam sendiri, elok tumbuh subur. Pokok terung yang saya tanam dulu, tak dapat rasa buahnya sebab kera ambil. Yang terung pipit ini, kera tak minat pula makan. Hairan juga saya. 😁

Okaylah. Sekian laporan hasil kebun pada bulan lepas. 

Saya tak dapat lagi blogwalking ke blog kawan-kawan. Sibuk betul la. Tadi teman suami ada urusan nak tukar akaun prepaid telefonnya. Lepas tu, hari ini juga permohonan dermasiswa JPA dibuka, itu yang saya terus isi borang untuk budak Sulaiman. Selamat sudah... semoga diluluskan permohonan bantuan Majlis Agama Islam Negeri dan Dermasiswa JPA ni. 🤲 Malam pula, bateri badan sudah habis. Mata kuyu nak tidur, ini pun saya lawan untuk update entri sikit. Nanti bila lapang sikit, saya cuba blogwalking, ye. Minta maaf. 

Jumpa lagi. 💗

Share:

Bendi, bena putih dan sarapan nasi

Cerita pada hari Isnin, 6 Julai 2026. Suami saya off kerja. Biasanya kalau dia off, kami akan pergi jalan pagi ke mana-mana. Tapi pada hari itu, suami nak berehat di rumah saja. Dia baru habis kerja pukul 12 malam hari itu.  

Saya pun berkebun saja lah di rumah. 

Biasanya sebelum siram pokok, saya akan jalan-jalan dulu, tengok kawasan dalam kebun miniku.

Kutip dua bendi tanam sendiri
Kutip dua bendi

Bendi dan khasiat

Pokok bendi yang saya tanam, semua dalam pasu. Sekali tuai, banyak itu sajalah, dua biji, tiga biji paling banyak. Kalau saya masak kari, bolehlah campak dalam kari. Biasanya, saya stir-fry saja, buat sayur campur. 

Bendi kaya dengan serat, vitamin (C dan K), dan antioksidan yang membantu melancarkan penghadaman, mengawal gula darah, dan mengurangkan keradangan. 

Bagi warga emas yang sakit lutut, pengambilan bendi dikatakan berkesan secara tradisional kerana lendirnya. Lendir ini mengandungi bahan yang boleh membantu mengurangkan keradangan sendi dan menyokong kesihatan urat saraf, walaupun ia tidak boleh menggantikan cecair pelincir. Wallahulam. 

Saya kalau makan bendi ni, sikit bolehlah, dalam tiga ketul. Banyak makan bendi, selalu mengundang cerry berry. Kome suka bendi?

Selepas jalan tengok kawasan dan siram pokok, barulah saya akan mula berkebun. Daun kuning atau bunga yang layu, kena trim buang. Ada kerusi kecil yang saya duduk sambil buat kerja ini. Ada pokok kita boleh nampak terus apa nak buat. Ada pokok lain yang perlu kita perhati dengan teliti dan selak-selak sikit daun, untuk pastikan pokok kita sihat atau tidak.

Jumpa bena putih 

Bila tengok pokok ros jepun, tiba-tiba terjumpalah makhluk yang tidak disukai ini.

Bena putih atau kutu putih atau mealybug
Bena putih atau kutu putih atau mealybug

Menatang ini memang pantang tengok pokok hijau yang sihat. Adeh...

Bena putih ini serangga perosak yang menghisap cecair (sap) daripada batang dan bawah daun pokok. Serangan yang teruk boleh menyebabkan pokok menjadi terbantut, daun berkerut atau kuning, dan akhirnya pokok boleh mati.

Biasanya, kalau ada bena putih ini, mesti ada semut pada pokok kita. 

Saya biasanya trim buang terus batang yang ada bena putih ini, takut ia terbang dan pergi pokok di pasu sebelahnya. Boleh juga sembur dengan racun organik seperti campuran cuka kayu, minyak neem atau sabun pencuci pinggan. 

Saya tidak berkebun lama pun pada hari itu. Suami keluar rumah, ajak pergi sarapan di luar. Hehe.. 

Sarapan apa

Nak tahu tak... semua kedai makan kami pergi tutup. Isnin = Hari-kedai-makan-seluruh-dunia-tutup-kot. 

Restoran Kak Za tutup, Nasi Ulam Lumut pun tutup, Restoran Selero Kito Teluk Muroh tutup, nak cuba tempat baru, Cili Village, pun tutup juga! 😅 

Last-last, kami pergi makan dekat PAKAR (Pasar Komuniti dan Karavan Manjung). Nak makan apa, yek.. sini ada banyak kedai-kedai kecil yang menjual macam-macam jenis makanan dari roti canai ke puri, nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, menu goreng-goreng, sarapan ala western, dan banyak lagilah. 

Saya lalu depan kedai nasi berlauk dan tengok ada masak lemak pucuk ubi. Wah, lama tak makan. 

Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan
Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan.

Sedap! Alhamdulillah. Saya tak pernah masak sendiri lauk masak lemak sayur di rumah. Kalau masak lemak ayam tu, biasalah. Itu yang kalau jumpa, mesti ambil punya. 

Suami saya beli di kedai nasi berlauk lain, yang banyak menu Kelantan punya.

Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal
Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal.

Telan air liur saya waktu taip entri ini. Hehe..

Lepas makan nasi, suami pergi beli pisang dan ubi goreng pula.

Pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap
Cili kicap tertumpah dalam pinggan

Memang sedap, pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap. Beli dua ringgit jer.

Alhamdulillah. Dapat makan sedap-sedap. Hari ini kome makan apa?

Jumpa lagi, ye. 💗

Hari ni hari Jumaat. Esok boleh berjimba-jimba. Hehe...

Share:

Bokashi Bin

Kesinambungan dari misi saya untuk menggunakan sisa dapur sebagai baja, saya telah buat beberapa carian. 

Baca juga 👉 Cerita tempat kompos yang lepas

Saya jumpa alat atau mesin yang beberapa teman blogger ada sebutkan, iaitu mesin kompos sisa makanan (food waste composter). Memang kagum dengan alat tersebut, yang berfungsi dengan mengisar, mengeringkan, dan menguraikan sisa makanan secara automatik dalam masa 2 hingga 24 jam. Hasilnya adalah baja organik kering yang kaya dengan nutrien untuk kesuburan tanaman. Tapi, harganya pun 'kagum' juga. 😁 Patutlah boleh dapat pelepasan cukai kalau ada alat tersebut.

Oleh kerana saya baru nak bermula, tak mahulah keluar bajet yang tinggi. Oh, saya juga ada selidik tentang kaedah tanam sisa dapur dalam tanah, seperti yang teman blogger ada sebutkan, yang ditunjuk oleh seorang pempengaruh di TikTok. Menarik kaedahnya, dan antara pilihan untuk sayalah yang boleh diamalkan.

Satu lagi cara yang berpatutan dengan bajet saya adalah dengan menggunakan bokashi bin. Oleh itu, saya pun beli di shopee. Selamat sampai di rumah. Dalam entri ini, saya nak ceritakan tentang bokashi bin. Kalau ada barang dan alat, boleh buat sendiri di rumah tong ini. Tapi saya kekurangan bahan, itu yang saya beli saja. Harga untuk satu set tong dan alat lain yang saya beli di shopee ini adalah sekitar RM60.

Apa itu Bokashi Bin

Bokashi dalam bahasa Jepun bermaksud "bahan organik yang diperam atau ditapai".

Sistem bokashi bin adalah kaedah pengkomposan dari Jepun yang menggunakan proses penapaian anaerobik (tanpa udara) untuk menukar sisa makanan menjadi baja organik. 

Kaedah ini sesuai untuk kediaman kecil kerana ia tidak berbau busuk dan boleh memproses hampir semua jenis sisa dapur.

Bahan sisa dapur yang boleh dimasukkan dalam bokashi bin
Ada tertera bahan boleh masukkan dalam bokashi bin.

Apa yang boleh dimasukkan (boleh dikompos)

Berbeza dengan kompos biasa, sistem bokashi boleh menerima sisa yang lebih pelbagai:

🌸 Sisa tumbuhan: Buah-buahan (termasuk kulit), sayur-sayuran, dan bunga potong.

🌸 Produk haiwan: Daging, ikan, tenusu (keju/yogurt), kulit telur dan tulang-tulang kecil.

🌸 Karbohidrat: Roti, bijirin, nasi dan pasta.

🌸 Lain-lain: Serbuk kopi, penapis kopi dan uncang teh.

Apa yang TIDAK boleh dimasukkan:

Jangan masukkan bahan bukan organik atau bahan yang boleh merosakkan proses penapaian:

Bahan bukan organik: Logam, kaca, plastik, pita pelekat, getah dan lampin.

Bahan kimia: Minyak, bahan kimia dan styroform.

Sisa tercemar: Makanan yang sudah terlalu berkulat atau busuk (boleh merosakkan bakteria baik dalam tong)

Dalam set bokashi bin yang saya beli, ada 2 lapisan tong (tong di atas ada penapis lubang-lubang, sementara tong di bawah untuk menakung air kompos dan ada lubang untuk dipasang kepala paip), bokashi bran dan kepala paip untuk saya pasang pada tong di bawah. 

Bokashi bran dan kepala paip untuk dipasang pada tong bawah
Bokashi bran dan kepala paip 

Cara menggunakan tong bokashi

1. Potong sisa: Potong sisa makanan kepada saiz kecil untuk mempercepatkan proses.

2. Tabur dedak (bokashi bran): Setiap kali sisa makanan ditambah, taburkan bokashi bran (dedak yang mengandungi mikrob EM) di atasnya.

3. Padatkan: Tekan sisa makanan untuk mengeluarkan udara.

4. Tutup rapat: Pastikan penutup kedap udara bagi memastikan proses penapaian berjalan lancar.

5. Tuai "teh bokashi": Setiap 2 hari, buang cecair melalui paip di bawah tong. Cecair ini boleh dicairkan dengan air untuk dijadikan baja cecair tanaman.

6. Peram: Setelah tong penuh, biarkan ia tertutup selama dua hingga 3 minggu sebelum menanam sisa tersebut ke dalam tanah untuk penguraian lengkap.

Saya pasang sendiri je, kepala paip itu. Ada getah untuk bahagian luar dan dalam tong, supaya kepala paip yang kita pasangkan pada tong bawah adalah ketat.

Bokashi bin yang sudah siap dipasang
Tadaaa... siap untuk digunakan.

Yang merah atas tong itu, adalah alat buka penutup tong atas. Kalau cuba buka dengan tangan, memang boleh sakit jari sebab ketat. Jadi, ada alat seperti apit-G di atas. 

Saya musykil juga apa sebenarnya kandungan dedak atau bokashi bran itu.

Bokashi bran atau dedak bokashi 

Ia adalah bahan utama dalam sistem kompos bokashi yang berfungsi sebagai "agen penapaian" untuk mengurai sisa makanan tanpa bau busuk. 

Kandungan utama bokashi bran

Dedak bokashi biasanya diperbuat daripada campuran tiga bahan utama:

🍂 Bahan pembawa: Biasanya menggunakan dedak padi atau serbuk gergaji gandum.

🍂 Mikroorganisma Efektif (EM-1): Bakteria baik (seperti bakteria asid laktik, yis, dan bakteria fotosintetik) yang menukarkan sisa makanan menjadi kompos.

🍂 Sumber tenaga: Air dan molasses (gula merah cair) untuk memberi tenaga kepada bakteria tersebut.

Bau bokashi bran ini, macam lebih kurang bau campuran yis yang kita biar atas meja supaya ia berbuih itu, sebelum kita campur ia dalam adunan tepung nak buat donut. 😊

Letak bokashi bin di bahagian belakang rumah
Letak di bahagian belakang rumah

Tiap-tiap hari sebelum maghrib, saya akan masukkan sampah sisa dapur dalam tong bokashi ini. Jika sisa dapur tidak banyak, saya kumpul dua hari, baru masukkan. Sudah lebih seminggu saya buat. Tong sampah di rumah pun jadi tahan lama, maksud saya, tiada semut, sebab sisa dapur saya asingkan. 

Siap sedia tong bokashi dengan penyiram pokok
Siap siaga dengan penyiram pokok

Saya sudah beli penyiram pokok, bila ada air teh bokashi ini, boleh campur air dan siram pada pokok. Tetapi hingga kini, tong ini masih kering. Ye la, baru seminggu lebih. Sisa dapur saya pula jenis kering. Seminggu dua lepas, banyak urusan di luar, dapur pula tidak berasap. Tiada bahan basah. 

Alhamdulillah, tercapai misi saya untuk menggunakan sisa dapur. Walau belum jadi kompos lagi. Masih in progress. Ada rasa seronok, kerana kita menggunakan sisa dapur sepenuhnya. 😊

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Cerita anak dan aktiviti berkebun Jumaat

 Semalam, bapa budak bawa balik ayam Uncle Jack. Dia beli set pula, termasuk air berkarbonat. Alaa... tu la, biasanya bini yang beli. Kalau saya bungkuskan, biasa beli yang ala carte saja. Kita pula jenis tak suka membazir. Lepas minum segelas air coke, sakit kepala terus saya. Macam ni la, bila benda tak elok masuk dalam badan, terus rasa lain macam. 

Urusan budak Sulaiman

Hari ni juga bapa budak bawa Sulaiman pergi bank, nak ambil nombor akaun yang pihak politeknik tolong bukakan. Bila pergi pagi, tak dak karan! Bank tak dak elektrik, wei... Orang bank cakap TNB tengah ada dekat bank CIMB. Lepas settle sana baru TNB mai baiki yang Bank Islam pula. Eh, biasa kan, bank mana boleh tak ada elektrik lama-lama, kan. Dia mesti ada back-up power. Suami kata, mungkin dia nak suruh orang ramai balik, sebab penuh sangat bank pagi tadi. 🙈

Lepas Zuhur, pergi Bank Islam semula. Alhamdulillah, sudah ada bekalan elektrik. Sulaiman kata, penuh kawan-kawan dia saja dalam bank tadi. Semua nak pick-up kad bank. Ye la, hujung minggu ni, nak daftar. Bukan PUO saja, ada kawan Sulaiman dapat politeknik Kedah pun ada juga, daftar sama hujung minggu ni. Bagus juga sebab pihak politeknik sudah tolong bukakan bank akaun pelajar secara berjemaah. Sebab kalau pergi sendiri, Sulaiman belum cukup umur, belum 18. Bila pihak politeknik yang bukakan, lega sikit. Selesai satu masalah.

Bila sudah ada akaun bank sendiri, barulah boleh apply bantuan one-off seperti yayasan perak dan Majlis Agama Islam Perak (MAIP). Yayasan Perak cakap, pemohon kena 18 tahun ke atas, jadi kena tunggu lagi 2 bulan untuk birthday Sulaiman. Tengok website MAIP, untuk permohonan bantuan tergendala sebentar. Hahaha.. baiklah, tengok lain hari. 

Hafizan tak dapat asrama?

Tapi ada satu berita dukacita, permohonan asrama Hafizan ditolak untuk semester 5. Dia cuba buat rayuan. Kalau tak lulus, nampak gaya kena sewa rumah untuk Hafizan. Itu la, banyak betul intake PUO kali ini. Kawan-kawan Sulaiman yang satu sekolah pun ada ramai dapat PUO juga. Kenapalah dia terima pelajar ramai-ramai. Lepas tu, bapa budak dapat SMS suruh check status pendaftaran pelajar baru. Bila saya check, pelajar baru diberi pilihan untuk terima atau tolak untuk duduk kamsis dalam. Lagi satu, pelajar boleh bawa kenderaan sendiri. Wah... habislah sesak nanti. Budak semester 1 sudah dibenarkan bawa kenderaan sendiri. Sebelum ini, pelajar yang dapat penempatan di dalam atau asrama luar, tidak dibenarkan bawa kenderaan. Ini mesti kes tak cukup bilik. Haiya... saya pun tak tahulah. Kenapa ambil pelajar ramai, sampaikan tak cukup asrama? Ish.. hairan lah.

Aktiviti berkebun saya

Terus saya update blog pukul 4 petang. Marilah kita redakan ketegangan kepala ini dengan tengok kehijauan pokok. Aktiviti berkebun saya pada 12 Jun yang lepas. 

Bunga pokok mempelas
Eh, bunga apa ni?

Ada pokok liar tumbuh di pokok buluh dekat pagar rumah. Mengikut Google Lens, ini adalah pokok mempelas. Nama saintifik Tetracera indica. 

Daunnya dikenali kerana teksturnya yang sangat kasar, menyerupai kertas pasir. Pokok ini merupakan sejenis tumbuhan memanjat berkayu yang sering dijumpai di kawasan belukar atau pinggir hutan di Asia Tenggara.

Saya baca, ada banyak kegunaan pokok ini. Daun pokok mempelas ini, orang dulu-dulu suka ambil untuk menyental belakang periuk yang hitam. Wah... nanti saya nak cuba test tengok sental kuali legend kat rumah ni. 

Bung pokok mempelas
Gambar close-up bunga pokok mempelas

Dalam perubatan tradisional, bahagian pokok ini kadangkala digunakan dalam penyediaan herba, contohnya air rebusan daun matang untuk darah tinggi atau rebusan batang untuk demam. 

Kadang tu, saya terfikir tumbuhan yang tumbuh liar ini, Allah jadikan banyak kegunaan. Cuma kita saja yang tak tahu. Saya biar saja pokok ini tumbuh di celah-celah pokok buluh. Sebab bunganya saya tengok, cantik. 

Pada hari itu, saya bersihkan kawasan di bawah pokok limau kasturi. Sudah semak sangat dengan daun-daun kering dan anak-anak pokok limau. Teringat arwah mama saya pesan, bawah pokok kena bersih, contohnya bawah pokok pandan. Takut ada ular duduk bawah. Jadi, saya pun potong batang pokok limau kasturi yang bahagian bawah. Biar pokok ini meninggi. 

Dapat kutip buah limau kasturi yang banyak.

Buah limau kasturi
Hasil kutipan dari batang bahagian bawah.

Suami saya sudah bawa semua buah limau di atas ke pejabatnya. Bolehlah ambil, siapa yang nak. Buat air limau ke, dekat ofis. Apa-apa benda pun kalau bawa ke ofis suami, memang semua cepat habis. 😁

Tengah-tengah duduk clear-kan kawasan sekitar pokok limau kasturi, saya perasan di celah-celah batang pokok lengkuas,  ternampak benda warna terang.

Buah naga yang dimakan beruk, tinggal kulit saja.
Apakah itu?

Huh! Bahan bukti! Buah naga yang hilang hari tu, dikerjakan oleh beruk, saya sudah jumpa kulit buahnya. Hahaha... lepas makan, campak merata-rata.

Buah naga yang dimakan beruk, tinggal kulit sahaja
Tinggal kulit

Cantik kejadian buah. Walaupun kulit luar masih hijau, bahagian dalam buah sudah warna ungu terang. Sedap ye, beruk itu makan. 

Selain itu, aktiviti berkebun diteruskan dengan mencucuk gajet berkebun baru sampai, beli dari shopee. Hehehe...

Batang bersabut untuk pokok money plant
Beli batang bersabut untuk pokok money plant.

Pokok money plant ini, dia punya batang ada cangkuk. Kalau kita biarkan, ia akan berjuntai ke bawah atau kalau melintang, ia akan kacau pasu sebelah. Saya jumpa orang jual batang bersabut ini. Terus beli. Jadi, batang pokok money plant akan menjalar menegak bila dia attach pada batang bersabut ini. Sebab ia bersabut, jadi bila kita siram pokok, bahagian sabut itu kekal lembab lebih lama. Jadi, pokok kita segarlah. Ye ke? Harap-harap begitulah. 

Lagi satu, kita boleh sambung-sambung batang ini, mengikut pokok kita. Makin pokok meninggi, boleh attach batang baru, sebab tengah-tengah dia ada lubang. Memang boleh sambung-menyambung. Hehe.. selain untuk pokok money plant, saya tengok seller punya video, sesuai untuk pokok monstera juga.

Geleng kepala suami saya tengok. Kegilaan bila ada shopee di handphone. Kalau tak beli tudung, beli bahan berkebun. Tapi saya sudah uninstall. Bahaya, bahaya. Eh, tapi ada satu lagi benda saya beli di shopee, lain entri saya share, ya. 🤭

Baiklah. Jumpa lagi. 💗

Share:

Sibuk sikit, dan bunga-bunga

 Minta maaf sebab saya tak sempat nak blogwalking ke banyak blog kawan-kawan. Baru sempat singgah 3-4 blog saja. 

Sibuk persiapan Sulaiman

Saya sibuk sikit, dua tiga hari ni. Cari barang Sulaiman nak daftar Poli minggu depan. Sulaiman tu, plus size, sampai ke Ipoh cari seluar saiz dia. Alhamdulillah, dapat juga. Masa pergi jumpa doktor, doktor nasihat suruh jaga makan sikit. Tekanan darah dia tinggi tau, masa pergi klinik pertama. Saya dah risau. Suami kata, itu biasa, bila jumpa doktor, blood pressure pun naik. Yang klinik pertama ni, doktor tak mahulah lengkapkan report kesihatan dan suruh datang semula minggu depan. 

Keesokannya, pergi klinik kedua la, klinik lain. Pun blood pressure Sulaiman tinggi. Tapi doktor ni pandai, dia check Sulaiman bahagian lain dulu, sambil sembang-sembang, santai-santai. Last sekali baru dia kembali semula ambil blood pressure Sulaiman. Elok, normal. Alhamdulillah. Akhirnya siap laporan kesihatan Sulaiman nak dibawa masa daftar. 

Saya nasihat Sulaiman untuk jaga pemakanan. Dia seorang ikut gen belah keluarga saya, semua adik beradik arwah mama saya badan besar-besar. Sulaiman cakap, Insya-Allah, dia cuba. Saya pun harap begitu la. Tapi biasanya bila duduk asrama ni, jalan kaki banyak, kan. Semoga badan dia bolehlah mengecil sikit, sebab susah nak cari pakaian untuk saiz besar ini.

Hari ni pula, ada urusan nak ke pejabat penghulu bahagian kedua. Hehe.. nak lengkapkan dokumen perlu hantar waktu daftar nanti. Insya-Allah, nanti free, slow-slow saya blogwalking ya. 

Buah naga hilang

Oh, lupa nak cerita. Dua hari lepas, sampai saja rumah dari Ipoh, tengok pasu kaktus saya terbalik. Habis keluar pokok dan tanah. Kerja si beruks la, siapa lagi, kan. Dia ingat kaktus tu, ada buah kot. Sungguhlah pelik, sebab masa suami saya nak kembalikan kaktus ke pasu dan kambus semula, dia terkena bulu kaktus halus, itu pun dia pakai sarung tangan. Kome bayangkan mulut si beruk tu camana. Tahan menatang ni, kena duri kaktus. Buah-buah naga yang saya cerita dalam entri Pokok Buah Naga itu pun, sudah selamat dicuri dan dimakan oleh beruks. Ada kesan atas simen. Buah naga warna purple terang dan berbiji halus warna hitam. Elok kejadian buah naga kami, kome wei... sedaplah si beruks tu makan. Rezeki beruk. Sampailah nak lagi, itu yang sampai pokok kaktus pun terbalik. Sangat bijak kan, dia boleh kenal spesies pokok yang sama.

Sementara itu, jomlah kita tenangkan hati kita di hari Khamis ini, dengan melihat bunga-bunga yang kembang di halaman rumah. 😊

🌷 Ros pink

Ros pink
Wangi bau ros ni. 🥰 

Gambar bunga ros pink yang sama, ya. Boleh klik gambar untuk lihat lebih jelas. 

Pink rose

Bahagian tengah bunga ros yang berwarna coklat dan bertekstur kasar itu mengandungi organ pembiakan pokok tersebut, sila rujuk gambar di atas. Komponen utama yang terdapat di bahagian tengah itu:
🌹 Stamen: Organ pembiakan jantan yang terdiri dari anter (bahagian yang menghasilkan debunga) dan filamen (tangkai halus). 
🌹 Pistil: Terletak di tengah-tengah stamen, ini adalah organ pembiakan betina yang terdiri dari stigma, stil dan ovari. Stigma berfungsi untuk menerima debunga.

🌷 Bunga ulam raja

Bunga ulam raja
Comel pula saya tengok

Bunga ini apabila sudah kering di pokok, kelopak bunganya akan gugur dan meninggalkan struktur panjang warna hitam atau coklat tua. Itulah biji benih ulam raja yang bersedia untuk disemai.

Bunga pokok ulam raja

🌷 Ros kampung

Ros kampung warna merah pekat
Merah pekat warna dia.

Ros merah ini, saiz dia lebih kecil dari ros pink di atas. Belalang kecil cukup suka makan daun pokok ros kampung ini. Saya lupa nak bau bunga dia. 

Biasalah tu, kan. Patutlah ada perumpamaan Inggeris berbunyi, "stop and smell the roses". Berhenti sejenak dari kesibukan hidup kita ini untuk menikmati dan menghargai keindahan hidup. 

Jangan terburu-buru atau stress mengejar sesuatu sampai lupa menikmati hal-hal kecil yang berharga.

Semoga urusan anda semua hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Making my own compost tapi hati berbolak-balik

Terpengaruh dengan siri This Is A Gardening Show oleh Zach Galifianakis di Netflix, saya rasa macam nak buat kompos sendiri.

Ape ke jadahnya kompos ini?

Kompos ialah bahan yang terhasil dari proses pereputan bahan organik (daun-daun, rumput kering, sisa makanan seperti kulit bawang, kulit buah, dan sisa buangan dapur yang bukan dari makanan berminyak dan sebagainya). Kompos adalah bagus untuk tumbuhan kerana ia dapat membaiki tanah menjadi lebih subur.

Kompos adalah asas kepada amalan pertanian organik secara kecil-kecilan atau komersial. Adakala, kompos digelar sebagai emas hitam oleh petani yang biasa menggunakannya.

Cerita pada 19 Mei yang lepas

Pelangi separa di langit pagi
Eh.. ada pelangi la, di langit. 😍

Beberapa minit kemudian...

Pelangi penuh di langit
Bertambah penuh pelangi di langit.. 🥰

Pelangi membangkitkan perasaan ceria dan semangat untuk berkebun. 

Sebenarnya, ini bukan pertama kali saya cuba buat kompos ini. Dulu-dulu saya pernah asingkan sampah dapur dan letak di pokok sebagai baja. Boleh klik sini kalau nak baca 👉 Sampah dapur.

Semangat betul pada hari itu untuk memulakan projek kompos, sebab saya sudah beli jaring PVC di kedai Eco. 

Memasukkan buluh pada jaring PVC untuk dibuat pagar tempat kompos
Memasukkan buluh pada jaring PVC untuk buat pagar tempat kompos

Ada satu bahagian di kebun kecil saya ini, memang tempat khas untuk saya letak rumput dan daun kering. Situlah saya buat tempat kompos.

Sudah siap pagar kawasan kompos, separuh saja
Sudah siap separuh kawasan kompos dipagarkan

Merujuk kepada gambar di atas, kenapa pula ada pokok terung di situ? Entah! Dia tumbuh sendiri, tau, kat situ. Bukan saya tanam. Boleh jadi juga saya tercicir biji benih terung di situ. Padahal itu tempat buangan rumput dan sampah kebun saya. Tak sampai hati saya nak cabut pokok itu. Duduklah engkau di situ, wahai pokok terung yang boleh tahan besar, daunnya. Subur pula dia. 

Letak dinding dari rak buku yang sudah reput
Letak dinding dari rak buku sudah reput.

Nampak okay kan? Semua guna bahan kitar semula. Kecuali jaring PVC itu saja, saya beli. Kenapa pula nak letak pagar di sekeliling tempat kompos? Supaya tak bersepah, dan setempat saja. 

Dalam siri This Is A Gardening Show tu, dia punya tempat kompos cantik, bertutup, macam tong sampah besi yang besar. Dia boleh ceduk guna tangan je, kompos dia tu. Padahal kompos tu penuh ulat kecil, huhu... kalau saya, idok ler... kena pakai sarung tangan, tapi kalau boleh, ceduk guna penyodok tanah kecil ke, kan.

Berbalik kepada projek kompos saya, tak cukup jaring PVC. Bersambung selepas trip ke Kedai Eco sekali lagi, untuk tambah pembelian bahan tak cukup.

Progress projek kompos
Progress projek kompos setakat 19 Mei.

Saya tutup kompos tu, sebab kawasan belum berpagar sepenuhnya. Jika saya tidak tutup, dikhuatiri kucing jiran akan berak di situ, lalu mencemari bahan kompos. Najis kucing adalah toksik.

Cerita pada 21 Mei

Saya siap pasang pagar keliling kawasan kompos.

Kawasan kompos di kebun miniku
Tadaaa.... siap projek kompos.

Hati berbolak-balik

Saya sempat tiga empat hari buang sisa dapur di situ. Selepas letak sisa dapur, saya akan cover dengan rumput kering di atasnya. 

Lepas tu, nak tahu tak, sebab kawasan rumah saya berdekatan hutan paya bakau. Malam-malam, kelibat haiwan liar bukanlah asing, ya. Contoh, ada binatang macam musang tu. Saya tak tahu nama menatang tu. Alaa.. nak kata musang, dia macam memerang. Tapi memerang tu, gemuk. Tapi menatang ni, panjang sikit, berbulu. Mukanya seakan musang atau kucing. Sekejap, nak tanya Gemini...

Haaa... jumpa dah... binturong, namanya.

Binturong
Suami pernah nampak menatang ni dekat tembok pagar rumah.

Hidupan liar nokturnal (aktif waktu malam)

Kalau sampai rumah lewat malam, nampak mata bersinar je bila kena suluh lampu kereta, kalau menatang ni ada. Sekali tengok, macam kucing. Dua kali tengok, eh.. macam musang. Tapi bukan, dia lah ya, binturong.

Dia boleh bau sisa dapur di kawasan kompos saya tu, kot. Hehe.. adoi... macam-macam binatang la. Oleh sebab saya takut, saya tak jadilah buat kompos itu. Sebab kawasan itu tidak bertutup. Haiwan liar boleh bau. Sehingga saya mampu buat tempat kompos yang lebih proper, tergendala sekejap projek kompos ini sehingga masa yang akan diizinkan kelak. 

Lepas tu, saya teringat Mek, arwah mak mentua saya dulu. Sebab rumah dia kat kampung, tiada lori sampah datang ambil sampah. Sisa dapur, Mek akan kumpulkan dan bakar. Lepas tu, bila dia gembur-gembur dengan tanah, Mek akan tabur dekat tanaman sayur dia. Ini lagi satu cara baja kompos juga, cuma melibatkan pembakaran. 

Saya tak mahu bakar, sebab ada pokok terung di situ. Pokok tu, benda hidup. Saya tak sampai hati nak bakar benda hidup. Tunggulah kot pokok terung itu mati ke, barulah saya boleh bakar kot. Lagi satu cara yang saya fikir, kena beli tong hitam besar macam tong sampah itu, jenis bertutup dan kera tak boleh buka (kera pandai buka tong sampah, tau. Saya pernah nampak. Ye, kera adalah binatang yang bijak). 

Tak jadi buat kawasan kompos
Gambar 23 Mei. 

Saya buka semula pagar keliling kawasan kompos. Letak baja dekat pokok terung situ. Selagi pokok itu ada di situ, saya tangguh dulu la, projek kompos.

Tunggulah ilham datang untuk mula semula projek kompos ini macamana. 

Kelakar tak, cerita saya ni? Geleng kepala suami saya, tengok perangai saya. Sekejap pasang pagar. Sekejap, pergi buka balik pagar. Entah apa-apa, kan. Nantilah, saya buat kajian mendalam dulu. Susah juga kalau rumah ni banyak binatang liar. I is takut, you know...

Baik. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Pokok buah naga

 Sudah lama saya tak buka laptop dan view blog. Rasa berbeza dan nampak semua besar. Sebelum ini, saya lebih kerap update dan blogwalking menggunakan handphone saja. Barulah nampak lebih jelas gambar-gambar yang kawan-kawan share di blog masing-masing. 😊 Haha.. sudah lupa seronok rasa bila pandangan lebih jelas. Barulah puas tengok. 

Tapi malangnya, semenjak dua menjak ini, saya tak berkesempatan on laptop. Tambahan pula, cuaca panas. Jadi, lebih selesa buat kerja depan TV di ruang tamu yang ada aircond, banding dalam bilik kerja yang cuma ada kipas. 

Sebenarnya, entri ini, saya nak tunggu sampai menjadi buah. Tapi ambil masa juga rupanya. Tak apa, kena sabar. Lagi pun, draft entri saya tak banyak yang tinggal. Yay! Itulah, tak ada agenda menarik nak diceritakan. Tidak ke mana-mana. 

Sejarah tanam pokok buah naga di rumah

Jadi, entri ini saya nak cerita tentang pokok buah naga yang ada di rumah saya ini. Benihnya, adalah melalui keratan batang. Suami bawa balik dari kampung di Tumpat, Kelantan. Ada 2 batang bawa balik. Mulanya, saya cuma cucuk dalam pasu besar. Alhamdulillah, hidup subur dan membesar dengan sihat. Jadi, kami pindahkan dari pasu, ke dalam tanah. 

Klik sini 👉 kalau nak baca cerita kami transfer pokok buah naga ini dari pasu ke tanah.

Entri di atas adalah pada tahun 2024. Dan kini tahun 2026, pokok ini mula berbunga dan berbuah. Alhamdulillah. Saya ada letak baja Caradex Form, Ibu Baja Thai, yang saya beli dari penjual di pasar minggu Kuala Kangsar. Saya beli paket kecil saja. Tak tahu yang baja ini bagus. Tak tahu yang sekali itu saja dapat jumpa penjual baja itu berniaga. Sejak itu, tak jumpa dah. Waktu beli baja itu, saya tertarik sebab tengok pokok cili dia tanam dalam pasu, berbuah dengan lebat dan cantik saja cilinya.

Perkembangan pokok buah naga

Saya ambil gambar tidaklah setiap hari, bila saya teringat waktu berkebun saja. Tujuan ambil gambar untuk rekod saya. Sebab ini pertama kali saya tengok kejadian pokok buah naga ini keluar bunga dan jadi buah.

Ada dua pokok buah naga di rumah. Pokok pertama, ada dua tempat keluar bunga dan berbuah. Jom tengok:

🌱 Lokasi batang tepi dinding

Pokok buah naga berbunga
Mula keluar bunga

Apa kesilapan saya buat dalam gambar di atas? Ya, gambar bawah kanan, saya letak pembalut buah. Sedangkan waktu itu, baru fasa berbunga. Oh jahilnya aku. 😅

Dari bantuan Gemini, memang tidak digalakkan membalut atau menutup bunga pokok buah naga yang sedang berkembang kerana ia memerlukan agen pendebunga seperti lebah, kelulut, atau kelawar untuk hinggap. Proses pemindahan debunga ini amat penting bagi memastikan bunga tersebut berjaya disenyawakan dan bertukar menjadi buah.

Fakta ringkas tentang proses pendebungaan buah naga:

🌸 Masa kembang: Bunga buah naga biasanya kembang sepenuhnya pada waktu malam.

🌸 Peranan serangga: Lebah dan serangga lain akan tertarik dengan debunga ini dan membantu pendebungaan (proses persenyawaan) antara debunga jantan dan stigma betina.

Menyedari kesilapan kami letak pembalut buah terlalu awal, saya buat carian di youtube dan jumpa cara nak bantu pendebungaan bunga buah naga. Saya attach video di sini.


Bunga pokok naga mulai layu
Bunga mulai layu

Suami saya cabut bahagian bunga itu, setelah kami rujuk video di atas. Seterusnya, ia mula jadi buah.

Mula pasang pembalut buah pada buah naga
Mula pasang pembalut buah

Saya tanya suami saya, macamana dia tahu itu jadi buah? Dia kata, dia picit sikit, rasa macam ada isi kat dalam. Ler... bertuah suamiku. 

Buah naga di pokok mulai membesar
Buah semakin membesar dan membulat

Itu sajalah perkembangan terbaru untuk batang di tepi tembok. Ada lagi satu batang, pokok yang sama, turut keluar bunga. Jom tengok...

🌱 Lokasi batang di bahagian tengah pokok

Comel je waktu bunga mula-mula keluar.

Bunga waktu mula keluar
Bunga waktu mula keluar

Kadang tu terkejut juga, sebab pertumbuhan agak cepat. Dari cikenit je, tiba-tiba jadi panjang.

Bunga pokok buah naga semakin panjang
Bunga semakin panjang

Mula kembang. Entah bila dia kembang, tak sedar. Ada hari hujan, ada hari kami sibuk ada urusan luar, tak sempat nak jenguk pokok.

Bunga buah naga sudah kembang dan mulai layu
Sudah kembang dan mulai layu

Yang ini, kami biar saja, tidak letak pembalut buah lagi. Saja nak tengok.

Buah naga mulai terjadi
Sudah mula membentuk buah

Itulah perkembangan pada pokok pertama. Kita tengok pokok kedua pula.

🌱 Pokok kedua

Tiba-tiba saya perasan ada bunga mula berputik, dan hari demi hari, ia sudah kembang pada waktu malam. Esoknya, saya sempat ambil gambar.

Bunga pokok buah naga yang mekar
Gambar 4 Jun

Cantik kan, bunga pokok buah naga ni, bila ia mengembang. Besar pula tu.

Gambar bunga pokok buah naga yang kembang, dari tepi
Gambar dari tepi

Saya berserah pada Allah saja. Kalau ada rezeki, dapatlah kami merasa. Ye la, kome pun tahu akan keadaan rumah saya ini yang sering diganggu beruk liar. Oh, sebelum itu, saya nak kongsi sedikit info lagi tentang buah naga, hasil carian dengan Gemini.

Buah naga bermula dengan warna hijau dan bertukar menjadi merah (atau merah jambu/kuning bergantung pada jenis) apabila ia matang.

Untuk mengetahui bila ia betul-betul sedia untuk dipetik dari pokok, anda boleh perhatikan empat tanda utama ini:

🍓 Perubahan warna kulit: Kulitnya sudah bertukar merah sekata dan tiada lagi tompokan hijau.

🍓 Keadaan sisik (Duri): Sisik pada buah naga akan kelihatan layu sedikit, layur, dan hujungnya bertukar warna kekuningan atau hijau pudar.

🍓 Tekstur buah: Apabila ditekan perlahan, buah terasa sedikit lembut (tidak terlalu keras atau lembik)

🍓 Garis lekuk: Buah naga yang sudah matang dan manis biasanya mempunyai garis lekuk yang lebih rata pada badannya.

Semoga dapat merasa buah naga dari pokok tanam sendiri ni. 🤲

Kome suka makan buah naga tak?

Selamat hari Ahad, kome. Jalan-jalan pergi mana tu? Ke, berehat di rumah saja?

Jumpa lagi, ya. 💗

Share: