Wednesday, June 18, 2025

Masak Paru Goreng

 Tarikh 9 Jun 2025. Hari Isnin. Masih cuti sekolah. Saya pergi kedai Ayam Ori. 

Kedai Ayam Ori ni, selain ayam, ada jual daging, paru, bahagian lembu yang lain seperti sirloin, rib, topside, dan beberapa lagi bahagian yang saya pun tak biasa beli dan makan. Kalau nak niaga, senang beli sini, macam untuk chicken chop pun, dia ada sediakan ayam tu dah siap dalam packaging. Kambing pun ada, kena rajin buka peti ais dia. Banyak fridge besar kedai Ayam Ori ni, dan di luar setiap fridge ada tulis barang apa dalam fridge, dan harga semasa. 

Harga pun berpatutan. Ayam pilih sendiri, letak dalam bakul di tempat dia timbang, dan cakap nak potong berapa. 

Selain ayam, saya ada beli paru hari tu. Harga paru, RM7. 


Rebus paru dalam periuk.
Balik rumah, rebus paru bersama beberapa potong halia dalam periuk.

Dah lama tak makan paru goreng. Teringat arwah mama saya dulu, goreng paru, sedap, makan dengan nasi. Silap pula tadi di kedai suruh orang tu potongkan paru untuk masak rendang. Kalau biar besar-besar pun takpe. Tapi, takpelah, sendiri juga nak makan.


Paru yang sudah siap direbus
Sudah siap rebus paru

Lepas rebus, barulah suami tolong potong nipis. Saya perap paru dengan serbuk kunyit, serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, dan garam.


Goreng paru dalam kuali.
Lepas tu, goreng la. 

Saya goreng guna api perlahan, sampai buih minyak hilang. Agak lama juga la.


Paru goreng homemade
Siap! 

Makan dengan nasi. Ada yang rangup, ada yang tidak. Sedap! πŸ˜‹ Selain paru goreng, ada sambal tumis ikan bilis juga dan telur dadar. Lupa ambil gambar.

Oklah, tu je nak cerita.

Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Tuesday, June 17, 2025

Hari-hari tebus voucher Zus

 Tarikh 8 Jun 2025, bersamaan hari kedua Hari Raya Haji.

Masa tu, anak sulung saya, Amirul masih ada di rumah. Dia pun sama juga, layan kopi. Waktu entri ini ditulis, Amirul sudah balik Uitm Dungun. 

Jadi, kita claim voucher lagi di aplikasi Zus. Ayoyo... hari-hari tebus voucher. Harap hujung tahun bila Zus buat recap berapa banyak cawan kita beli, dia bagi saya percutian percuma sebab hari-hari beli. Eh, takdelah hari-hari.

Kali ni, tebus voucher yang penghantaran percuma. Bagus ye, beli kopi tak perlu ke kedai. Rider foodpanda tolong hantarkan. Tiada caj penghantaran. Bayar untuk kopi sahaja.

Sekali-sekala, mama teringin juga minum Spanish Latte. Asyik americano kosong je, selalunya. Peh, nikmat rasanya. πŸ˜‹ Alhamdulillah.


Hot Spanish Latte Zus Coffee
Ayor Spanish latte panas

"Coffee may not solve all your problems but it's a good start"

Bila dapat kopi panas, barulah rasa terbeliak biji mata yang layu. Langsung bersemangat untuk siapkan kerja rumah. Berusaha! πŸ’ͺ

Bahagia ikut cara kita sendiri. Cara saya, inilah dia, kopi. 😍 Orang lain mungkin dengan pergi bercuti, hiking, membaca, menonton KDrama, dan sebagainya. 

Boring ke, baca blog saya ni, kalau tak cerita pokok, cerita kopi. 😁

Kome buat apa tu? Udah makan ke belum?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Monday, June 16, 2025

Pertama kali makan Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang

 Tarikh 7 Jun, bersamaan Hari Raya Haji.

Suami kerja di hari raya. Dia habis kerja petang. Bila balik, suami ajak mengopi. Kami ke Aeon Mall.

Masa beli kopi Zus melalui aplikasi, saya tebus voucher untuk hot meal yang dapat percuma masa harijadi bulan Mei lepas. Sebelum sampai tarikh luput, baik tebus dulu. 

Saya baru tahu yang bukan setiap menu ada pada setiap cawangan. Contoh, untuk kategori Hot Meal, jika saya pilih cawangan dekat rumah, ada Mee Hoon Goreng Siam, Zus Signature Chicken Lasagna, Korean Mac and Cheese, Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang dan Spagetti Carbonara.

Tapi, sebab kami berada di Aeon, maka saya perlulah pilih cawangan di situ. Pilihan Hot Meal yang ada cuma chicken lasagna, nasi lemak ayam rendang atau spagetti carbonara.

Boleh tebus voucher untuk satu saja hot meal, jadi kami pilih nasi lemak rendang ayam. 


Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang Zus
Tadaaa... 

Kami kongsi makan berdua. Comel je nasi lemaknya. Tapi cukup rasa belaka, dari sambalnya ke rendangnya. Ooo.. inilah nasi lemak yang orang naik kapal terbang makan tu, ye.

Pak Nasser's Nasi Lemak Ayam Rendang Zus
Dah makan baru ingat nak ambil gambar.

Patut orang cakap, sedap. Memang sedap, pun. πŸ˜‹πŸ˜

Saya ada terbaca, nasi lemak ini sudah boleh didapati bukan saja di Zus, di Tealive pun boleh, dan beberapa cafe terpilih. 

Harga nasi lemak rendang ayam ini, jika beli melalui aplikasi Zus, ialah RM12.90. Tapi sebab saya tebus voucher, percuma je la hari tu, kami beli ni. Bayar untuk dua cawan kopi sahaja. Alhamdulillah.

Ok la, tu je nak cerita. 

Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Sunday, June 15, 2025

Bunga Merah Ang Ang

Tarikh 7 Jun yang lalu. Hari Raya Haji.

Keluar rumah untuk siram pokok, pagi-pagi.

Bila ada bunga cantik kembang mekar, haruslah ambil gambar.

Jom tengok.

Zinnia warna merah, dahlia warna merah
Zinnia merah

Saya tak pasti nama bunga zinnia dalam bahasa melayu apa. Pernah buat carian dulu, bunga ini tergolong dalam keluarga kekwa. Banyak bunga zinnia yang saya tanam, berwarna jingga bila berbunga. Yang merah, jarang-jarang keluar.


Bunga ros merah, bunga mawar merah yang mulai menguntum dan belum kembang mekar
Bunga ros merah


Pokok ros mini. Dia kecik je. Tak akan meninggi. Saya siram dengan air basuhan beras bila rajin. Tak letak baja. 

Suka tengok bunga warna merah terang ni. Dari jauh boleh nampak.

🌸 Ang Ang dalam dialek Hokkien bermakna merah merah.

🌸 Dalam dialek Pulau Pinang, merah ang-ang bermaksud terlalu merah. Contoh ayat: Baju hang merah ang-ang, baik-baik sikit kalau lalu dekat lembu.

Sekian. Selamat berhujung minggu, semua.

Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Homemade Mempelam Asam Boi

 Pada 6 Jun yang lepas, suami saya ada bawa balik satu plastik buah mempelam. Orang bagi, dari pokok di tempat kerja lama suami. Saya panggil buah mempelam. Korang panggil apa? Mangga, ya? Orang Kelantan panggil, pauh.

Suami saya suka beli buah potong yang ditimbang bila ada Food Fest. Lepas tu, boleh tambah serbuk asam atau kuah rojak. Satu bekas, memang kami boleh habiskan dalam satu masa, sambil nonton tv. πŸ˜‹ Saya sejenis yang suka juga makan buah, tapi malas nak mengupas. πŸ™ˆ

Hari tu, suami saya pun memulakan projek mempelam asam boi dia. Dia buat carian sendiri macamana cara nak buat. Banyak juga la buah mempelam dia bawa balik, lebih 5 biji. Besar-besar pula tu.

Bahan-bahan suami guna untuk buat mempelam asam boi:

  1. Mempelam dipotong
  2. Asam boi (saya panggil asam ko)
  3. Cili padi merah (ikut citarasa sendiri, nak pedas, letak lebih). Diketuk sikit.
  4. Air aiskrim soda. Letak sikit. Tujuan, bagi mempelam rangup.

Jadi, tak perlu masuk gula la. Sebab dapat gula dari air berkarbonat tu.

Banyak dah makan waktu uji rasa. Tak lama pun dapat simpan dalam peti ais. Sudah terliur. 🀀

Homemade mempelam asam boi atau mangga asam boi atau jeruk yang lazat
Balang pertama homemade mempelam asam boi.

Lepas habiskan balang pertama tu, kami macam sibuk sikit, lupa nak makan balang kedua yang disimpan dalam peti ais. 

Selang dua tiga hari, barulah teringat untuk makan bersama. 


Homemade mempelam asam boi atau mangga asam boi yang lazat
Makan lagi mempelam asam boi, guna lidi. Feeling ala-ala beli di kedai, padahal buat sendiri.

Bila makan mempelam asam boi balang kedua ni, rasa dia lebih intense dan pedas. Maklumlah, sudah beberapa hari peram dalam peti ais. Lagi sedap! πŸ˜‹Tak boleh berhenti makan. Masam ada, pedas ada. Semua rasa cukup. 

Itulah ceritanya. Bukan selalu orang sedekah mempelam ni. Alhamdulillah. Rejeki.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Saturday, June 14, 2025

Mi segera untuk orang lapar

 Assalamualaikum semua...

Korang apa khabar? Saya baik baik saja, Alhamdulillah.

Hari ni, hari Sabtu, dapur saya tak berasap. 

Makan pagi dan tengahari sudah beli di pasar pagi Bota.

Anak-anak ada lagi makanan. 

Sulaiman keluar petang tadi. Hafizan pula bertapa dalam bilik main game. Suami kerja.

Mama pun cepat-cepat pergi dapur, masak mi segera.


Maggi tomyam letak sayur dan paru
Mi segera tomyam

Saya masukkan paru yang telah digoreng (lauk tak habis dalam peti ais), potong brokoli, kobis bunga dan lobak merah. Pecah telur sebiji dalam mi segera perasa tomyam.

Alhamdulillah. Kenyang. πŸ˜‹

Ok. Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Tuesday, June 10, 2025

Camana nak kembalikan semangat yang hilang

 Assalamualaikum, semua...

Saya kehabisan idea nak tulis apa di blog. Kehidupan saya tak ada yang menarik sangat. Rutin biasa saja. Ingatkan hari ni, tak mahu update apa-apa. Dari pagi, lepas masak untuk sarapan Sulaiman, saya mengait saja. Siram pokok di luar pun malas. On laptop pun malas. Telefon pun tak tengok.

Tapi lepas balas komen dan baca cerita di blog korang, semangat nak tulis tu, datang perlahan-lahan. Walaupun tak ada cerita. Entah, sekarang ni, saya macam dilanda mood swing. Tiada semangat untuk buat apa-apa. 

Suami yang tolong siramkan pokok pagi tadi. Kalau tunggu saya, memang layu habis dah. 2-3 hari lepas, ada serangan beruk kat rumah. Habis pokok japanese rose yang digantung, jatuh atas tanah. Bertaburan pokok dan tanah atas rumput. Sedih saya tengok. Pokok bunga matahari pun, ada yang batangnya patah. Serius, saya memang sudah hilang semangat untuk bercucuk tanam disebabkan gangguan beruk ni di rumah. Penat pun satu. 

Tapi untuk ceriakan suasana, saya kongsikan gambar bunga matahari yang baru kembang. Semalam tak perasan pula. Hari ni baru nampak pokoknya segar, sebab baru disiram oleh suami.

Bunga matahari jenis dwarf sunflower yang baru kembang.
Bunga matahari yang baru kembang.

Dekat tepi pokok matahari tu, saya ada tanam beberapa pasu ulam raja. Senang je nak tanam ulam raja ni, cuma tabur saja benih dia atas tanah. Paling senang nak tumbuh, banding pokok lain. 

Saya buat carian, macamana nak kembalikan semangat yang hilang. Saya kongsikan di sini, untuk info kita semua. 

🌸Bersyukur. Berdoa dan ucapkan rasa syukur kerana masih hidup dan banyak diberi nikmat dan rezeki oleh Allah.

🌸Fokus pada hal-hal yang disukai. Alihkan fokus kepada perkara yang buat kita rasa bahagia. Antaranya, membaca, mengait, dengar muzik atau hobi yang lain.

🌸Istirehat dan jaga kesihatan mental. Rehat dari rutin harian. 

🌸Fikir tentang kejayaan lalu. Ingat semula bila kita ada masalah dulu, camana kita dapat atasi. Ini dapat jadi sumber motivasi untuk terus maju.

🌸Berfikiran positif. Buang fikiran negatif, untuk lebih ceria dan bersemangat.

🌸Lakukan aktiviti yang menyeronokkan. Lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, berenang, bersenam, dan lain-lain.

🌸Beri diri sendiri masa. Me time. Take your time. Jangan rush.

🌸Cakap dengan famili atau kawan-kawan.

Korang buat apa bila rasa tak ada semangat? 

Mungkin saya nak ambil masa sikit la, dalam dua tiga hari ni. Saya doakan, anda semua sihat-sihat sokmo, dipermudahkan segala urusan dan semuanya baik-baik saja. 

Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Monday, June 9, 2025

Jenis-jenis Durian dan Pertama Kali Makan Durian Kahwin

 Saya dah lama tak makan durian. Lebih kurang setahun kot. Oleh itu, ada rasa teringin. Sebelum ni, waktu suami masih bekerja di lokasi lama, dia selalu bawa balik durian luruh dari pokok durian di ofisnya. Nak tahu apa yang berlaku dengan pokok durian tu? Sudah ditebang, ok. Masya-Allah. Kesian pokok durian. Sebab pihak kontraktor kata, lokasi pokok durian tu, menghalang pandangan CCTV yang dipasang. Huhu.. sudah selamat ditebang pokok duriannya. Dan mereka sudah tanam pokok durian baru. Tapi generasi akan datang la yang berpeluang rasa nanti hasilnya. 

Itu tentang lokasi lama suami saya bekerja. Lokasi baru ni, tak ada pokok durian. Hutan batu dan konkrit belaka. Tiada tanah. 

Sudah beberapa kali saya suarakan keinginan untuk makan durian. Bila kita tak mencari, ada saja penjual tepi jalan yang jual durian dengan isinya dikeluarkan dan sudah dibungkus dalam bekas plastik boleh dilihat. Jadi, kita boleh nampak isi dalam durian macamana. Tapi bila masa kita mencari ni, semuanya hilang entah ke mana. Cuti balik kampung nak raya haji gamaknya.

Tapi minggu lepas, ada 2-3 tempat mula jual durian pelbagai jenis. Saya bukan seorang yang pandai pilih atau beli durian. Suami pun sama. Jadi, jomlah kita tengok dulu jenis-jenis Raja Buah yang ada.

🌸 Fakta menarik: πŸŒΈ

Terdapat lebih dari 200 klon durian berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia. Dan masih banyak lagi yang tidak berdaftar. 

Berikut adalah senarai 8 jenis durian terbaik di Malaysia:

  1. Durian Musang King - Isi keemasan tebal dan kuning, berkrim, manis dan kadangkala pahit rasanya.
  2. Durian Tekka - Ada yang cakap jenis ini lebih baik dari Musang King. Ada juga pendapat mengatakan ini adalah Musang King kedua. Nama lain, Musang Queen a.k.a. D160
  3. Durian D24 - Juga dikenali sebagai Durian Sultan. Durian paling popular sebelum keluarnya Musang King. Harga lebih mesra dompet berbanding Musang King.
  4. Durian Udang Merah - Juga dikenali sebagai D175. Isinya pekat, lembut, kuning jingga kemerahan, lemak berkrim dengan rasa manis.
  5. Durian Black Thorn - Juga dikenali sebagai D200, atau Duri Hitam. Isi warna jingga kuning cerah dan merah jambu. Ia mempunyai teras tebal dan garisan coklat kemerah-merahan di sepanjang bahagian tengah durian. Isi rasa lemak, manis dan berkrim serta ada meninggalkan sedikit rasa pahit selepas makan. Ia tidak ada bau yang kuat. Isi lebih bulat. Harga menyamai atau lebih mahal dari Musang King.
  6. Durian IOI - Rasa buah yang kuat, warna hampir jingga. Juga dikenali sebagai Durian Hajah Hasmah atau Durian Mas Muar. Durian bentuk bulat dan warna coklat kehijauan.
  7. Durian Golden Phoenix - Isi kuning pucat yang sedap dan rasa yang sangat komplex.
  8. Durian Kampung - Lebih ringan dan universal, boleh diterima semua golongan.

Kami jalan-jalan naik kereta, jumpa satu tempat jual durian. Ada pelbagai jenis. Yang banyak, adalah jenis durian kahwin. Durian kahwin ni, durian apa pula? Tak ada pun dalam senarai durian paling popular. Hehe.. kita selidik dulu asal usul durian ye. Eh.. apa la lambat bebenor. Nak beli durian je pun. Panjang pula mukadimahnya. Eh, mestilah. Kalau nak tahu durian kahwin tu apa, sila la baca. πŸ™ˆ

Apa itu Durian Kahwin

Durian saka ialah pokok yang kita tanam guna biji, seterusnya tumbuh, membesar sampai keluar buah. Ini dipanggil durian saka.


Tak kisah baka apa pun, pokok durian saka kelemahannya ialah, ia lambat berbuah, ambil masa 7-10 tahun. Tapi jangka hayat pokok sangat lama, boleh sampai 100 tahun dan lebih tahan penyakit. Semakin lama usia pokok, semakin hebat rasa dan kualiti buah. Kalau kita tanam, nanti anak cucu kita baru boleh rasa buah yang betul-betul sedap dan baik. Hahaha.. tudia la... tanam untuk generasi akan datang la ni.

Durian kahwin (klon) pula, pokoknya ditanam guna biji, biasanya guna benih durian kampung (sebab pokok durian kampung, daya tahan dia kuat). Setelah pokok tumbuh dan tinggi lebih kurang sekaki, pokok dibuat cantuman tunas. Tunas ini diambil dari pokok bermutu contoh D24 (ada dalam senarai durian di atas). Pokok ini akan membesar dan keluar buah dari tunas D24. Batang bawah pokok dan akarnya hanya berfungsi sebagai tapak saja. Buah yang dihasilkan adalah D24.

Pokok jenis kahwin lagi cepat keluar buah. Anggaran ambil masa 4-7 tahun. Isi lebih berkualiti, buah lebat, dan lebih menguntungkan. Jangka hayat pokok tidak lama iaitu sekitar 20-50 tahun. 

Haa... gitu. Itulah maksud durian kahwin. Ada faham? 

Faham, encik! Sudah tahu apa itu durian kahwin. Jom la kita makan durian!

Durian Kami Beli

Sampai di kedai durian, suami diam seribu bahasa. Tuan kedai tanya nak mana satu? Saya tunjuk satu biji buah durian kahwin yang helok kejadiannya. Dia timbang dengan kulit-kulit. Cakap berapa kilo dan harga, RM41. Saya cakap, ok! 

Boleh tolong kopek dan masuk dalam bekas?

Boleh!

Kome jangan gelak, ye. Saya ni nama je orang Perak. Tapi ini pertama kali saya makan durian kahwin. Biasa durian saya makan suami bawa balik dari ofis tu, banyak kelopak boleh kopek dalam sebiji durian. Sebiji durian, boleh dapat lebih 10 ulas, bergantung kepada besar buah.

Durian kahwin kami beli ni, bila dia masuk dalam bekas, seperti berikut:

Durian kahwin A A
Selamat beli, durian kahwin. Durian kahwin AA, orang kedai cakap.  

Masuk dalam kereta, bau harum semerbak! 😍 Saya suka, suami mulai pening.

Suami saya dari kedai tadi dan masuk kereta, muka dia masam campur tak puas hati. Sebab dalam bekas kami beli, dapat berapa ulas durian saja. Dia kata, patut viral dulu, ada orang tu marah, beli musang king sebiji, balik rumah kopek buah, ada satu ulas saja buah dalam. Huhu... 

Entah. Saya tak tahu. Rezeki masing-masing, kan. Itu yang agaknya sekarang bila orang beli durian, lebih suka kopek di kedai, jadi boleh nampak dapat buah camana. Ishh... Tak sabarnya. Jomlah kita balik rumah, nak makan. Suami pi tawaf pekan Lumut dulu, seperti biasa. πŸ˜…

Sedap, tak tau nak habaq, part III

Baca juga πŸ‘‰ Sedap tak tau nak habaq!

Tu la, google dok cakap blog saya ni low value dan thin content, oleh itu saya pun karanglah entri panjang-panjang. Harap berinformasi juga. Sekurang-kurangnya pada saya yang tak pernah beli buah durian ni. Kalau tak ada yang berminat untuk baca panjang-panjang, tak apa. Saya akan tetap tulis, untuk diri sendiri. Bak kata blogger Afeezz yang tajuk blognya ...dan aku menulis untuk diri sendiri. Google ni tak tahu yang saya SPM dulu, kertas Bahasa Malaysia dapat A1. Jadi, kalau bab karang panjang-panjang ni, bagilah kat saya. Tapi harap ada info yang bermanfaat dalam karangan entri saya yang panjang berjela ni. 

Durian kahwin yang isi tebal dan enak
4 ulas durian kahwin yang juicy di dalam.

Nak tahu apa? Suami saya tak makan pun. Dia kata, kenyang. Anak-anak saya, tiga-tiga orang tak makan durian, walaupun tiga-tiga lahir di Perak. Sila rujuk gambar di atas, itu yang suami saya muka tak puas hati dari tadi, sebab bayar RM41 untuk 4 ulas durian. 

Camana rasanya? Pendapat peribadi saya, sangat buttery dan rich! πŸ˜‹πŸ’—Makan durian sambil pejam mata, menikmati isinya yang enak dan agak tebal juga. Biji pun besar, patut ada 4 ulas saja. Itu pun sudah pilih buah besar masa di kedai.

Isi buah durian kahwin yang tebal, kuning, buttery dan rich.
Isi kuning dan tebal. Sedap! πŸ˜‹

Alhamdulillah. Syukur. Dapat juga saya merasa makan durian, setelah sekian lama. Satu biji durian, saya seorang pula tu yang makan, tak perlu nak kongsi-kongsi. Syorga, syorga. 😍 Berbaloi setiap sen. Lagi dua tahun pula la, boleh cari durian. Puas sudah makan. Alhamdulillah, rezeki. 

Untung betul siapa yang ada tanam durian ni, yek. Tiber teringat Wak Warisan Petani. Satu biji beli durian kahwin, sudah harga RM41. Huiii... memang untung. 

Kome suka makan durian? 

Ok, jumpa lagi. πŸ’—

Sunday, June 8, 2025

Mengopi di Bundut Coffee Manjung Point - Port Kopi Sedap dan Kebaikan Minum Kopi untuk Wanita 40an

 Pada petang Khamis lepas, saya pergi mengopi di Bundut Coffee, yang terletak di Manjung Point. Saya pergi bersama suami dan anak sulung, Amirul. 

Rasa bersyukur dan nikmat, dapat luangkan masa dengan orang tersayang. Ye la, lebih-lebih lagi suami saya kini kerap kerja lebih masa. Sesekali kita kena ambil masa untuk slow down dari rutin harian, kan? 🌸

Nikmat mengopi di Bundut Coffee Manjung bersama keluarga
Americano panas kosong, nachos dan sos keju, iced latte kosong dan iced chocolate.

Tentang Bundut Coffee

Bundut Coffee ni, memang port mengopi yang best di kawasan Manjung. Lokasinya mudah diakses, parking pun senang. Suasana kedai, terbuka dan sangat santai. Sesuai untuk lepak dengan kawan atau bawa keluarga. Tempat duduk banyak guna kerusi yang orang bawa berkhemah tu. Tapi ada juga kerusi besi berserta meja untuk orang lebih besar dan keluarga. 

Cara buat pesanan, pergi ke kaunter, nyatakan pesanan anda, buat bayaran, dia bagi buzzer. Bila sudah siap, ambil pesanan di kaunter. Sama untuk pesan makanan juga. Minuman dan makanan di kaunter berbeza. Ada juga menu berat, seperti nasi lemak, chilli pan mee, nasi putih ayam buttermilk, dan lain-lain lagi. Saya belum pernah cuba, setakat ni, saya cuma pesan makanan ringan saja. 

Americano panas dan roti bakar di Bundut Coffee Seri Manjung
Americano panas dan roti bakar

Menu yang kami cuba hari itu:

  • Americano panas (yang dalam paper cup tu, memang padu rasanya!)

  • Iced latte — lemak berkrim, kaw

  • Iced chocolate dengan topping coklat pekat (Amirul cakap sedap)

  • Nachos dengan cheese sauce — ringan, rangup, ngam untuk kudapan

  • Roti bakar - jangkit dari blogger SK. Kalau mengopi, harus ada roti bakar. 😁

  • Nugget - diberi sos cili dan mayonis sebagai sos pencicah.


Set nugget Bundut Coffee Seri Manjung
Set nugget bersama cili sos dan mayonis


Nikmat Kopi dan Kebaikan untuk Kesihatan Wanita 47 tahun seperti saya

Saya memang suka kopi dari dulu. Sekarang, saya sudah boleh kawal jumlah cawan kopi yang diambil dalam sehari, berbanding dulu, memang gila sangat minum kopi sampai 3-4 cawan sehari. Sekarang, kalau tak minum dalam sehari pun, saya boleh je. 

Ramai kata kopi tak elok, tapi sebenarnya kalau diambil secara sederhana, banyak juga kebaikan kopi, terutamanya untuk wanita seusia saya:

Antioksidan tinggi → membantu melawan radikal bebas dalam badan.
Tingkatkan fokus & mood → kadang lepas minum secawan kopi, rasa lebih bertenaga nak uruskan rumah.
Sokongan metabolisme → boleh membantu tingkatkan metabolisme badan.
✅ Ada kajian menunjukkan pengambilan kopi yang berpatutan mungkin kurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes jenis 2.

Nota: Penting minum secara sederhana — untuk saya, 1-2 cawan sehari dah cukup. Elakkan minum lewat malam supaya tidur tak terganggu.

Momen Berharga Bersama Keluarga

Petang tu, duduk bersama suami dan Amirul sambil mengopi dan makan di Bundut Coffee memang rasa sangat nikmat. Harap dapat ulang lagi sesi macam ni. Tengok gelagat orang lalu-lalang. Sembang tentang kerja suami, tentang studies Amirul. 

Tips untuk Pembaca:

  • Kalau anda berada di Manjung atau kawasan sekitar, boleh cuba singgah Bundut Coffee.

  • Bawa sekali keluarga atau kawan — suasana mesra, menu menarik.

  • Untuk ibu-ibu macam saya, jangan takut nak minum kopi — ambil secara sederhana, banyak manfaat untuk kesihatan dan mood.

  • Jangan lupa nikmati saat-saat kecil seperti ini — sangat berharga.

Bundut Coffee Manjung Point
Bundut Coffee Manjung Point. Boleh duduk atas atau bawah.


Lain kali, boleh cuba signature coffee dia, kopi candu.

Bundut Coffee (Seri Manjung)
1, Pusat Perniagaan, PT 10858
Jalan Manjung Point 3
32040 Seri Manjung, Perak.
Masa operasi: Selasa hingga Ahad, 3 petang hingga 12 malam
Tutup setiap Isnin

Baiklah. Jumpa lagi, ye. πŸ’—

#BundutCoffee #NgopiManjung #KebaikanKopi #LifestyleMom #BlogSurirumah

Saturday, June 7, 2025

Hari Raya AidilAdha: Sebuah Kisah Pengorbanan

 Assalamualaikum, semua... Selamat hari raya korban... anda sedang berada di kampung ke tu? Saya tak ke mana-mana. Suami saya bekerja. Jadi, kami beraya di rumah saja.

Hari ni, kita semua menyambut Hari Raya Aidiladha. Ada yang memanggilnya Raya Haji, ada juga yang lebih selesa dengan sebutan Raya Korban. Walau apa pun panggilannya, intinya tetap sama, sebuah perayaan yang mengingatkan kita tentang erti pengorbanan, keikhlasan dan keimanan.

Sejarah Dari Kisah Nabi

Saya suka merenungi kembali kisah Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya, Nabi Ismail a.s. Bayangkan, seorang ayah yang begitu lama menunggu kehadiran cahaya mata, akhirnya diuji oleh Allah swt untuk mengorbankan anak yang sangat disayangi - satu perintah yang amat berat untuk difahami oleh akal manusia biasa.

Namun, atas dasar ketaatan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah, Nabi Ibrahim tetap bersedia melaksanakannya. Dan Nabi Ismail pula, seorang anak muda yang begitu patuh kepada perintah Allah, menerima ketentuan tersebut dengan hati yang redha.

Di saat itu, Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas - simbol bahawa ujian itu bukan tentang darah atau daging yang dikorbankan, tetapi tentang keikhlasan hati dalam menyerahkan sesuatu yang kita cinta demi mentaati perintahNya.

Pengorbanan dalam kehidupan seorang suri rumah

Sebagai seorang suri rumah, kisah ini sangat dekat dengan saya. Kita mungkin tidak perlu menyembelih haiwan setiap hari, tetapi dalam kehidupan seharian, kita juga berkorban dalam pelbagai cara.

πŸ’—Kita korbankan masa tidur untuk bangun awal sediakan sarapan untuk keluarga.

πŸ’—Kita korbankan keinginan peribadi demi memastikan anak-anak membesar dengan kasih sayang.

πŸ’—Kita korbankan cita-cita yang mungkin terpaksa disimpan sementara untuk memberi ruang kepada keluarga

πŸ’—Kita berkorban tenaga, sabar, dan emosi - dan kadang kala semua ini dilakukan tanpa sebarang tepukan, penghargaan atau pengiktirafan. 

Namun, begitulah fitrah pengorbanan - ia dilakukan bukan untuk dilihat, tetapi kerana rasa cinta dan tanggungjawab. Sama macam pengajaran dari Hari Raya Korban ini, pengorbanan yang paling bernilai adalah yang lahir dari hati yang ikhlas.

Rendang daging dalam pressure cooker
Rendang daging dalam pressure cooker, jemput naik atas meja. 

Semalam pergi pasar, saya beli daging. Keadaan di pasar lebih sesak berbanding hari biasa. Beli dua kilo daging, harga RM78. Balik rumah, masak rendang dalam pressure cooker. Sengaja buat rendang berkuah, sebab nak makan dengan nasi. 

Ibadah Korban

Jika balik kampung di Kelantan, orang sana melaksanakan ibadah korban di rumah masing-masing saja. Satu ekor lembu, satu keluarga. Di sini, korban dilakukan di masjid. 

Di saat ramai saudara kita di serata dunia melaksanakan ibadah korban hari ini, marilah kita juga mengambil sedikit masa untuk merenung apa lagi yang boleh kita korbankan — mungkin ego kita dalam hubungan, mungkin masa melayari newsfeed atau reels di media sosial untuk lebih dekat dengan Allah, mungkin sifat malas untuk menjadi insan yang lebih baik.

Hidangan Raya Kami

Lemang
Lemang siap dipotong

Petang semalam, keluar bersama suami, cari lemang. Ada beberapa tempat di Manjung, yang jual lemang. Ada tempat, ramai sangat orang beratur, panjang barisannya. Kami pilih tempat jual lemang yang kami pernah beli masa hari raya puasa yang lepas. Beli dua batang, satu harga RM16, dan sebatang lagi harga RM14. Alhamdulillah, sedap, makan dengan rendang daging homemade.

Hari ni untuk sarapan, panaskan lemang menggunakan pengukus baru beli.

Baca sini πŸ‘‰ Beli pengukus dan Resepi Ayam Kukus Sambal Embe

Masak nasi baru. Nasi semalam licin, habis. Panaskan rendang daging. Dan lauk tambahan baru, walaupun tiada kena mengena dengan menu raya.

Telur dadar dan pop corn chicken
Telur dadar dan popcorn chicken

Suami pun baru balik kerja shif malam. Jadi pagi ni, lepas solat raya, kami sarapan satu keluarga. Alhamdulillah. Tak lama lagi, anak sulung, Amirul, sudah hendak berangkat pulang ke sarangnya di Dungun, lagi 2 hari saja lagi. Rezeki dapat makan sedap dan nikmat terasa bila duduk bersama lima beranak satu meja, sambil menjamu selera, melayan keletah mulut masing-masing yang tidak habis bercerita. 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan:
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua yang membaca.
Semoga setiap pengorbanan, sekecil atau sebesar mana sekalipun, akan menjadi bekalan pahala dan rahmat buat kita semua.
Dan semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk berkorban demi apa yang benar dan baik.

🌸 Salam Aidiladha dari saya, yang masih sedang belajar untuk terus berkorban dengan hati yang ikhlas. 🌸

Jumpa lagi, ye. πŸ’—

Friday, June 6, 2025

Poskad Gate of Salutation, Istanbul: Terima Kasih NA dan Kisah di sebalik poskad

Semalam, saya terima sekeping poskad istimewa dari seorang rakan blogger kita, iaitu NA. Alhamdulillah, rasa sangat seronok bila check peti pos, dan nampak poskad bergambar cantik ni. Tapi waktu saya check peti pos rumah saya, hujan baru lepas reda, waktu petang. Jadi, poskad tu sedikit terjejas. Terima kasih banyak-banyak kepada NA yang susah-susah poskan poskad ini pada saya.

Poskad Istanbul - Gate of Salutation di Istana Topkapi
Poskad Istanbul - Gate of Salutation di Istana Topkapi

Di bahagian hadapan poskad ni, tertera gambar Gate of Salutation, atau dalam bahasa Turki, dikenali sebagai BabΓΌsselam iaitu salah satu pintu utama di Istana Topkapi (Topkapi Palace), Istanbul, Turkiye.

Apa itu Gate of Salutation?

Ia merupakan pintu kedua yang menghubungkan halaman pertama dan kedua Istana Topkapi. Ia dibina sekitar abad ke-15, semasa zaman pemerintahan Sultan Mehmed II, selepas penaklukan Constantinople.

Jika kita berpeluang untuk pergi melawat Istana Topkapi, inilah pintu (refer gambar poskad atas) yang kita akan lalui selepas Imperial Gate (pintu utama luar). 

Gate of Salutation ada dua menara berbentuk kon yang sangat ikonik dan mudah dikenali. Di sebalik pintu ni, dahulunya, para pegawai tinggi kerajaan, duta asing, dan tetamu istana akan dipersilakan masuk untuk urusan rasmi bersama Sultan.

Pintu ini juga melambangkan kemegahan dan kekuatan Empayar Uthmaniyyah, yang memerintah selama lebih 400 tahun dari istana ini.

Kalau ada info yang salah, maafkan saya ye. Gigih saya men-google. Bila dapat poskad dari luar negara, lebih-lebih lagi tempat yang kita tak pernah sampai, rasa seolah-olah kita sampai pula kat sana. At least dapat tengok tempat orang, walaupun melalui gambar poskad. Hehe..

Kisah di sebalik poskad dan harga setem sekarang

Selain suka dapat poskad ni, saya juga tertarik tengok setem yang NA gunakan dan harga setem untuk menghantar poskad di Malaysia. Harga setem lebih mahal banding dulu.

Setem poskad Malaysia
Lawa tulisan NA. 

Saya ingat lagi, sebab dulu pun saya pernah hantar poskad pada kawan-kawan. Tak silap, masa tu, sekolah rendah. Bukan hantar kat boyfriend la, zaman sekolah rendah mana tahu apa-apa lagi. Hantar poskad pada kawan baik yang pindah sekolah. Masa tu, saya guna setem harga 20 sen sahaja. Kalau surat pula, guna setem 30 sen. 

Mengikut poskad yang NA kirimkan, setem yang digunakan adalah 80 sen. Wah, nampaknya poskad semakin jadi satu bentuk kiriman eksklusif! 

Namun bagi saya, walaupun kosnya naik, rasa seronok terima poskad begini buat ianya sangat berbaloi. Ada sentuhan personal dari pengirim. Berbeza la, dari terima mesej melalui Whatsapp atau media sosial.

Kenapa saya suka terima poskad?

Saya memang suka poskad sejak dari kecil. Ada beberapa keping poskad yang saya simpan, tapi merata-rata la dalam rumah. Ada yang saya simpan dalam album gambar. Ada juga yang sudah hilang, masa pindah rumah. Tak tahu mana orang tua saya letak.

Selain poskad, setem pun saya suka juga. Saya ada 3 biji album setem, tau! Hahaha... setiap kali terima poskad dari luar negara, saya simpan sebagai kenangan. Selain tu, sambil belajar sedikit tentang tempat-tempat menarik di dunia.

Poskad bukan sekadar sekeping kertas, tapi penuh cerita dan usaha. Bayangkan ye, pengirim poskad perlu pilih gambar yang cantik, tulis mesej dengan tangan, pergi pejabat pos dan beli setem, dan pastikan ia sampai ke tangan penerima. Dalam dunia digital hari ni, ini satu pengalaman yang sangat dihargai. πŸ’—

Gate of Salutation - Tempat menarik untuk dilawati

Bagi pembaca yang merancang untuk ke Istanbul, Istana Topkapi memang antara destinasi menarik untuk dilawati. Gate of Salutation ini adalah salah satu sudut yang paling banyak diabadikan dalam fotografi, menurut Encik Google.

Selain itu, dalam Istana Topkapi, kita juga boleh tengok:

  • Relik suci umat Islam
  • Barangan peribadi Sultan
  • Pemandangan indah Selat Bosphorus dari balkoni istana

Satu fakta menarik, pada tahun 1985, Istana Topkapi dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penutup

Sekali lagi, terima kasih kepada blogger NA atas kiriman poskad yang sangat istimewa ni. 😍 Semoga satu hari nanti, saya juga dapat jejakkan kaki ke Istanbul dan melawat Gate of Salutation secara depan-depan. Insya-Allah.

Untuk kawan-kawan pembaca yang ada bercuti di luar negara, nanti jangan lupa poskan satu poskad untuk saya, ya. Hehe... 

Jumpa lagi. πŸ’—

Rujukan: https://en.wikipedia.org/wiki/TopkapΔ±_Palace


P/S: Nampak macam skema sikit tak entri saya ni? Saya sedang dalam usaha untuk dapat approval adsense. Itu yang kena taip entri panjang-panjang tu. Ada ke dia kata, blog saya ni low value content? Hahaha.. ye la. Baiklah. Saya sedar blog saya ni masih baru, dan banyak tulis diari surirumah dan tiada info berguna pun yang orang ramai cari. Baiklah. Itu yang saya sedang cuba perbaiki tu. Orait. Mekasih kerana membaca. 

Thursday, June 5, 2025

Mencari diri yang hilang

 Awal pagi ni, boleh sakit perut pula. Sampai 4 kali pergi tandas. Sebab nak makan ubat, saya sarapan la awal. 

Scrambled egg atau telur hancur
Buat scrambled egg

Cerry berry la pulak. Saya seorang je. Rasanya, sebab saya makan pulut kuning dengan rendang ayam semalam. Tapi masa makan, ok je rasa. 

Teh o pekat tanpa gula dan pil chi kit teck aun penawar cirit birit
Buat teh o pekat dan makan pil chi kit teck aun.

Lega sikit lepas tu. Jadi, tak berani la nak pergi ke padang untuk morning walk. Siram pokok di rumah saja.

Yellow rose atau ros kuning
Bunga ros kuning

Ini pokok ros yang saya pindahkan dari luar pagar ke dalam pasu dalam kawasan rumah. Sebab ada orang curi bunganya dulu. Alhamdulillah, tumbuh sihat dan sudah keluarkan bunga.

Siapa ada tengok drama Our Unwritten Soul? 




Dalam cerita tu, dia ajar boyfriend dia crochet atau mengait span cuci pinggan. 
Dulu saya pun mengait. Tapi dah lama berhenti. 

Atas meja kerja saya pun ada unfinished project mengait. Saya buka balik kaitan, dan gulung semula benang.

frogging a crocheted project
frogging = the act of unraveling a crocheted project and rolling back the yarn = undo the work and return the yarn to its original state

Sepatutnya, saya nak kait projek di atas jadi beg, tapi tak jadi la. Dah lama terbengkalai. Hilang sudah mood mahu kait jadi beg. 

Afghan squared or granny square blanket crochet project
Tapi saya sambung semula projek selimut empat segi, atau granny square blanket.


Mengait sekejap, lepas tu masuk dapur untuk masak.

Masak kicap ikan kembung rebus
Ikan kembung rebus, digoreng dan tambah kicap.

Lepas makan tengahari, saya sambung mengait.

Progress sehingga petang

Saya lupa kesan mengait ni pada saya. Saya berhenti mengait sebab power spek saya tiap-tiap tahun bertambah bila saya mengait setiap hari. Bila kena buat spek baru, harga RM1 ribu, kanta bifocul, rabun jauh dan dekat. Jadi, nak jimat tak mahu buat spek baru setiap tahun, saya pun berhenti mengait. 
Tapi saya lupa yang suatu waktu dulu, saya suka mengait sebab satu terapi bagi saya, macam bercucuk-tanam juga. Ingat nak sambung balik projek ni. Tapi, tengok la camana. Mungkin tak boleh mengait untuk jangka masa waktu yang lama, kena rehat-rehatkan mata juga kot. 
Bila kait granny square ni, ada effect therapeutic, kerana pattern dia berulang, kita boleh jadi lost bila mengait. 

Ok la. Terima kasih kerana membaca. 

Jumpa lagi. πŸ’—

Tuesday, June 3, 2025

Jalan, pokok, masak

 Cuti sekolah ni, mood malas sangat. Seronok bermalas-malasan dalam bilik. Tergolek-golek. Makan pun banyak juga. Hilang sudah IF, pi mana, tak tau. Takde diet-diet, semua benda makan. Huuu...

Atas dasar itu, saya gagahkan diri juga pergi morning walk pagi tadi.  

Morning walk di Padang Astaka Sitiawan Perak
Pusing 3 pusingan padang pagi tadi. 

Jalan selama 1 jam 33 minit, sambil dengar lagu. Macam-macam pikir dalam kepala.

Sebelum balik rumah, singgah kedai runcit.

Siram pokok.

Cili padi hijau tanam sendiri
Kutip cili padi.

Bunga zinnia oren tanam sendiri
Tengok bunga zinnia baru kembang

Portulaca grandiflora, bunga pukul 10 pagi atau bunga ros jepun
Bunga ros jepun pun baru kembang sekuntum

Yang ini, saya baru cucuk ke pasu baru. Sebab dah terkeluar-keluar dari pokok induk yang digantung.

Gymnocalycium mihanovichii, kaktus bulan atau moon cactus
Kaktus bulan pun dah jadi macam ni. 

Dah tak bulat rupa dia. Macam senget sikit pun ada.

Zinnia elegans atau bunga zinnia, keluarga daisy
Bunga zinnia yang lain pula.

Lepas tengok pokok, mandi, masuk dapur. 

Nasi goreng atau fried rice
Masak nasi goreng

Banyak, kan, nasi goreng. Tapi waktu saya taip entri ni, dah tinggal secoet dah, portion untuk seorang makan. Itu pun budak-budak belum makan malam. Bila anak-anak ada di rumah. Deme makan banyak. Kerja saya dok masak je. Yang dimasak semua habis. 

Ok la. Sekian cerita seorang surirumah. Tiada yang menarik pun. 

Alhamdulillah, hari ni dapat berjalan waktu pagi, dan makan homecooked meal. 

Jumpa lagi. πŸ’—

Monday, June 2, 2025

Pak Anjang meninggal

 3 petang

Suami baru balik ofis. Patutnya, shif dia habis pukul 4 petang. Nak pergi Kati, tengok Pak Anjang meninggal.

Pak Itam, Mak Uda, Mak Lang dan Mak Ngah tolak pagi tadi dari Johor. Saya pula ada bincang dengan suami bila dia habis kerja petang ni, nak pi Taiping, melawat Pak Anjang di hospital.

Semalam hospital Kuala Kangsar dah release Pak Anjang balik. Malam semalam, Pak Anjang macam penat, Mak Anjang panggil ambulans. Pi Hospital Taiping, kata ada jangkitan kuman. 

Tapi kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Pukul 12 dapat whatsapp, Pak Anjang dah takde. 

4.16 petang

Saya dah suami berada di lebuhraya WCE, nak pi Kati. Jenazah sudah sampai di masjid. 

Van jenazah persatuan kebajikan masyarakat islam taiping
Foto kredit Pakcik


Lepas solat Asar, solat jenazah. 

Sementara tunggu green light dari pihak kubur, saya sempat jumpa adik beradik papa, iaitu Mak Lang, Mak Uda, Mak Ngah, Pakcik, Pak Itam. Lama gila, tau, tak jumpa mak dan bapa saudara belah bapa ni. Majoriti tinggal di Johor.

Pak Anjang adalah adik papa saya. Ada beberapa kali Pak Anjang bagi saya baja tahi ayam, dikirim melalui papa yang selalu melawat rumah Pak Anjang di Kati.

Menanti di dalam masjid, sebelum dibawa ke kubur.

Dalam pukul 6 petang, baru lah jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Suami saya salah seorang tolong angkat jenazah ke van. Takde orang laki pi mana, oh depa pi tenguk orang gali kubur. 

Bacaan talkin dan tahlil sekali.

Dalam sedih Pak Anjang pergi, rasa gembira dapat jumpa bapak dan mak saudara saya yang sudah lama tak jumpa. ♥️

Selesai pukul 7. Saya terus gerak balik. Harap dapat jumpa lagi. Nak balik raya Segamat la, rumah arwah tok segamat, sekarang Mak Ngah duduk. Bukan raya haji. Raya puasa. Tengok la camana. Kena plan elok².

Selamat jalan, Pak Anjang. Tunggu kami, kami akan menyusul. Semoga roh Pak Anjang dicucuri rahmat, semoga kubur Pak Anjang cerah dan luas. Terbayang-bayang dulu Pak Anjang ni suka sakat arwah mama saya, time balik kampung. Kenangan terindah. Alfatihah... 

Jumpa lagi. ♥️

Sunday, June 1, 2025

Makan kenduri di Sungai Siput

 Salam Ahad, kome. Apa khabor? Harap semua pembaca sekalian sihat-sihat belaka. Duduk mana tu? Tengah bercuti ke, atau kat rumah?

Pagi tadi seperti biasa, saya pergi morning walk bersama suami. Sometimes, saya rasa kesian kat suami saya. Dia setia menemani saya jalan pagi, walau pun saya dah cakap, saya boleh pergi sendiri. Dia balik kerja semalam pun jam 12 tengah malam. Jadi, tidur pun tak cukup. 

Bila berjalan, walau pun kami jalan langkah seiringan, tapi diam seribu bahasa. Kadangkala je bercakap, bila ada benda timbul. Bila sudah kawin lama, tak borak pun takpe, cukup dengan kehadiran di sisi. 

Morning walk padang astaka sitiawan perak
Morning walk 6km, durasi 1 jam 16 minit.

Alhamdulillah. Sempena masuk bulan baru, Jun, saya nak nyatakan di sini, misi saya untuk lengkapkan 10 ribu langkah setiap hari. Saya akan maklumkan sampai bila bertahan.

Hidup kena ada target. Jadi kita akan stay focus, dan tidak hanyut.

Balik rumah, sarapan, mandi, siap-siap. Ada jemputan kenduri officemate suami, di Sungai Siput. Anak sedara officemate suami punya kenduri kahwin. Kenalan kami juga, sejak zaman bujang lagi.

On the way to Sungai Siput, singgah Seri Iskandar, beli kopi. Anak sulung, Amirul, pun ikut juga. Amirul sudah beberapa hari sampai, dari Dungun. Uitm sedang cuti mid-sem.

Keychain percuma zus coffee beli lebih rm25
Dapat keychain Zus free.

Sebab beli kopi sampai 3 cawan, melebihi RM25, melayakkan kami dapat keychain percuma. Kami takde yang pesan teh. Kalau ada, layak dapat sticker Zus juga.

Teruskan perjalanan ke Sungai Siput. Sampai di rumah kenduri betul-betul time orang makan tengahari, pukul 1 lebih.

Betul-betul dalam kampung rumah kenduri. Dari jalan besar, pemanduan lebih 2km juga untuk sampai. Lorong kecil. Bila selisih dengan kereta arah bertentangan, kena berhenti, beri laluan sebab jalan sempit.

Bukit hijau hutan kampung sungai siput perak
Tepi bukit, kome, rumah pengantin.

Kami parking di tapak ke depan sikit, bukan tempat yang Rela sedang berkawal. Tepi bukit kome. Kami masuk pun ikut dapur rumah pengantin. Lalu tepi kawah periuk orang masak. Kenduri orang kampung masak, wei. Tak pakai katering. Dari nasi, lauk, kuih, semua orang kampung buat. Hebat!

Salam-salam tuan rumah. Paraga... Beratur amik nasi minyak. Tempat tak dak takpa, kawan baik tuan rumah. Amik kerusi 3 biji, kami duduk makan di meja kuih. πŸ™ˆ Member cakap, senang mau amik kuih lepas makan nasi. Muhahaha...

Nasi minyak kenduri kawin masak sendiri
Nasi minyak dikelilingi lauk

Banyak lauk, wei. Nasi ambil satu senduk. Lauk pun amik sikit-sikit. Itu pun, ada yang tak amik lauk. Ada ayam merah, kurma daging, kambing kerutuk, sambal belacan tempoyak, kerabu umbut kelapa. Alhamdulillah. Masa lepas settle makan nasi, apam balik sudah habis. Jadi, ambil kuih putu perak, kek marble, cucur badak, dan kek butter.

Makan sambil sembang dengan bapa officemate suami, iaitu tukang masak. Umur 67 tahun, masih kuat masak untuk kenduri. 

 Ada photo booth kome, dengan deko ala kampung, gitu. Apa lagi, jom bergambor..

Belakang dari kiri, Amirul, suami dan Encik Nizam. Depan, Kak Ros dan saya.

Free style, satu!

Kami kawan baik sejak zaman bujang. Sejak zaman nakal, sampai dah kahwin, sampai anak-anak dah besar sekarang. Terima kasih atas undangan. Semoga tuan rumah semakin murah rejeki dan anak saudaranya iaitu pasangan pengantin, berkekalan jodohnya. Amin...

Bunga telor dan door gifts kenduri kahwin
Bunga telor dan door gifts

Ada telur rebus kome. Dalam beg tu pun, ada kotak. Ingat dalam ada coklat. Telur rebus juga, wei. Alhamdulillah. Rare ni. 

Eh, apa tu, kat bunga telur tu? Cer kita close-up sikit.

Fuzzy wire atau wire buku bunga telur kenduri kahwin
Bunga telor wire bulu ke apa nama benda ni?

Terus teringat kat seorang rakan blogger kita, yang pandai buat bunga telor macam ni. Siapa? Siapa? Tak lain tak bukan, Puan Linda kita. 😁 Linda, akak promote part time business Linda ni. Nanti ada order masuk, nak komisen 10%. 🀭

Ok la. Sekian cerita makan kenduri di Sungai Siput. 

Jumpa lagi. ♥️