Wednesday, November 12, 2025

Tudung bawal

Assalamualaikum kepada semua pembaca blog yang saya hormati sekalian... 

Ini cerita pada 25 Oktober 2025. Ha ah, saya ni bila masukkan gambar dalam draft entri, mesti tulis tarikh. Untuk rekod sendiri di masa hadapan, gitew.

Sebenarnya, saya masih mencari tudung yang sesuai. Tudung yang senang dipakai. Tudung yang tak perlu gosok. Tudung yang boleh pakai solat. Suka cuba-cuba pelbagai jenis tudung. Masih mencari. Bila blogwalking, saya perati jer tudung kawan-kawan blogger pakai. Tiba-tiba, saya terjangkit dari blogger SA. Saya terbeli tudung bawal. 🙈

Walaupun saya ni, bukan suka sangat tudung yang kena gosok ni. Dulu-dulu, kita semua pakai tudung bawal, kan. Masa tu, tak ada lagi shawl. Tudung empat segi je yang banyak. Tudung sarung pula, style budak sekolah. Tak ada macam sekarang, dari fabrik ringan untuk sukan. Sekarang ni kalau tengok tutorial tudung bawal di youtube, macam-macam cara boleh kita gayakan. Tak perlu lipat separuh dah, boleh lipat jadi segi empat tepat, dan lain-lain lagi. 

Ini kalau pembaca blogger lelaki yang baca, mesti pening. Macam suami saya la, pada dia, tudung semua sama je. Pada kita orang perempuan, mana sama, kan? Kena tengok acara atau agenda apa kita nak buat, keadaan cuaca lagi yang perlu diambil kira. Hehe...

Dulu-dulu memang saya banyak tudung bawal, tapi banyak juga dah sedekahkan. 

Contoh saya pakai tudung bawal
Contoh saya pakai tudung bawal. Yang ini, saya beli kat pasar pagi Kuala Kangsar je.

Saya tak kisah sangat, kalau corak sweet, bunga-bunga kecil, harga RM5, RM10, saya beli je, kalau terjumpa di pasar minggu atau pasar malam.

Berikut adalah yang saya baru beli, brand Shawlpublica dekat shopee. Terpengaruh dengan SA 👉 Wanita dan Tudung Tak Dapat Dipisahkan.

Waktu saya scroll Shopee, tak banyak yang ada stock. Maknanya, laris ye, brand Shawlpublika ni. Ini pertama kali saya cuba beli.

Beli tudung ShawlPublika
Tadaaa... 

Beli whimsical collection, kod adore, RM29.

Beli Maharani Raya, kod kenchana, RM29.

Beli safari chic collection, kod bloomie, RM49

Selamat, sudah beli. Lepas tu, malam yang sama, saya tengok, seller buat live. Yang harga RM29 turun jadi RM10. Alamak... takpe la, takde rezeki nak dapat harga diskaun.

Corak tudung ShawlPublika
Buka tengok corak tudung.

Dari kiri Adore, Bloomie dan Kenchana.

Ok. Boleh gosok tudung dan pakai nanti.

Nak pergi berkebun
Nak pergi berkebun

For safety reason, bila berkebun terpaksa ikat tudung macam tu. Pernah sekali pakai macam biasa ke depan, sangkut daun berduri, kita pula tak perasan. Sedang fokus cabut rumput. Tiber tengok bawah, OMG, my tudung berlubang already! Sejak itu saya tak masuk dah tempat sempit-sempit untuk cabut rumput ni. Kena clear laluan dulu. Tudung baru, pakai berkebun je. Suami cakap comei. Saya pun happy. 😊 Betul la, tudung ShawlPublika ini senang dibentuk, berbanding tudung beli di pasar malam. 

Ok la. Jumpa lagi, ye. 💗

Tengok pokok

Assalamualaikum, semua... Selamat pagi. 😊 

Cerita pada 25 Oktober 2025 yang lepas.

Saya dapat berkebun lama sikit pada hari itu, sebab tidak hujan. Sudah banyak hari tak dapat berkebun sebab hujan dari pagi hingga malam.

Ada terung baru menjadi.
Ada terung baru menjadi.


Tanam kunyit yang sudah keluar tunas

Saya tanam kunyit yang sudah keluar tunas. Yang ini pokok kunyit untuk kutip daun. Tanam empat tunas dalam satu pasu.

Tanam kunyit yang sudah keluar tunas lagi

Yang ini, tanam untuk isi kunyitnya. Satu tunas dalam satu pasu.

Bunga ros kuning
Bunga ros kuning.

Bunga ros oren
Bunga ros oren.

Waktu ambil gambar, kelihatan oren. Nanti, esok lusa dia jadi seakan pink. Bila dah tua nak layu, warnanya memudar jadi putih pula.

Bendi
Bendi

Pokok kunyit tanam untuk daun
Pokok kunyit tanam untuk daun.

Kena standby untuk raya. Nanti masa itu nanti, daun kunyit ini akan jadi barang paling dicari oleh semua orang nak buat rendang. Masa itu, mesti kehabisan di pasar. Kalau ada pun, tinggal yang kecil-kecil dan koyak. Jadi, baiklah saya tanam sendiri sebagai persiapan.

Sekian perkongsian tengok dan tanam pokok pada hari tersebut.

Selamat bekerja, semua! Semangat! 💪

Jumpa lagi, ye. 💗

Tuesday, November 11, 2025

Telur kicap je

Cerita pada 24 Oktober 2025 yang lepas.

Biasanya, kalau suami ada OT dan balik pukul 8 malam, dia tak makan dah di rumah, sebab sudah makan di ofis. Tapi naluri isteri tu lain macam pada hari itu, saya tanya suami melalui whatsapp, dia nak makan malam tak? 

Suami cakap, nak.

Ah sudah. Tapi lauk ayam masak lemak cili api sudah habis. Nasi ada. Jadi, saya pun goreng telur.

Ayam masak lemak cili api tinggal kentang seketul
Licin ayam masak lemak, tinggal kentang seketul.

Sulaiman makan empat ketul ayam. Entri saya masak ayam masak lemak ni, ada di sini 👉 Masak Apa Tu... Lapor bebenor budak Sulaiman.

Telur goreng kicap
Masak telur kicap

Saya tumis cili api hijau dua biji dengan bawang sampai layu. Kemudian, masukkan dua butir telur goreng mata. Tambah kicap manis.

Alhamdulillah. Dinner nasi telur kicap. 😋

Ok. Jumpa lagi, ye. 💗

Mencuba Kopi 7-Eleven

 Assalamualaikum semua... harap pembaca semua hari ini sihat-sihat belaka.

Pada 24 Oktober yang lepas, saya ada pergi 7-Eleven di pagi hari. Nak guna promosi beli kopi 1, percuma 1. Sebelum itu di rumah, saya sempat berkebun sekejap saja, sebab hujan turun.

Tiada orang dalam 7-Eleven. Saya terus tunjuk pada adik belakang kaunter, nak kopi tu, buy 1 free 1, dan cakap kopi apa saya nak.

Dia tanya, kopi nak ada gula tak? 

Dua-dua kopi, saya tak nak gula.

Americano panas 7-Eleven
Americano panas.

Untuk saya. 

Latte ais 7-Eleven
Latte ais.

Untuk suami. Eh, suami dah minum sikit tu, dalam gambar.

Buy 1 coffee, free 1 coffee 7-Eleven
Sempena bulan Kopi Antarabangsa.

Beli 1, percuma 1 kopi. Dah habis sudah promosi ini, pada 31 Oktober yang lepas.

Bayar RM2.90 sahaja, untuk dua cawan kopi kegemaran kami pada hari itu. Alhamdulillah... murah, murah.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, November 10, 2025

Masak apa tu...

 Assalamualaikum, semua... 

Pagi tadi hujan. Sulaiman pergi sekolah naik motor juga. Saya nak hantar dia, tapi dia kata tak perlu, nanti sesak naik kereta. Suruh dia pakai wind breaker ada hooded. Bila pakai macam biasa, dengan beg sekolah di dalam, tak boleh zip di depan. Bila pakai terbalik, maknanya sarung kedua-dua tangan, dan galas beg di depan, baru ok. Dia kata, takpe belakang basah, asalkan beg sekolah tak basah. Nanti nak cari proper baju hujan untuk dia, yang cover atas sampai bawah. 

Tak berkebun saya hari ini, sebab pagi hujan lebat. Alhamdulillah. Hujan rahmat. Sulaiman Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) SPM 2025. 

Saya rasa lantai ruang tamu macam berlengas. Jadi saya vakum, jumpa beberapa pembalut gula-gula. Ini siapa punya kerja ni, macamlah rumah tak ada tong sampah. Bawah sofa juga dia campak. Ini mengundang ceramah percuma ni. Lepas vakum satu rumah, kecuali bilik Sulaiman tak boleh kacau, dan tingkat atas pun saya malas naik, saya mop pula. Giler dekat pukul 12 tengahari baru siap. Dengan pantas masak nasi dan panaskan lauk apa patut yang ada dalam peti ais. 

Panjang mukadimah. Hari ni saya nak cerita benda saya masak pada hari Khamis, 23 Oktober 2025 yang lepas. Tak habis-habis lagi cerita bulan Oktober, walau pun dah masuk bulan November. 😁

Kutip ulam raja dan bendi tengah hujan. Pakai payung.
Kutip ulam raja dan bendi tengah hujan. Pakai payung.

Sebiji, sebiji tuai bendi tanam sendiri. Ulam raja ada banyak kat depan rumah.

Ayam masak lemak cili api.
Ayam masak lemak cili api.

Amik serai tengah hujan sambil pakai payung. Mungkin saya pun kena beli baju hujan. Susah nak amik pokok sambil pegang payung dan pisau. Letak kentang dalam masak lemak ayam.

Tumis pucuk paku dan bendi nan sebatang yang diambil tadi. Sebab bendi ada sebatang je, dia menyorok di dalam gambar. Tu, boleh nampak seketul.

Simple je masak.

Ok. Jumpa lagi. 💗

Sunday, November 9, 2025

Hadiah SA sudah sampai

 Assalamualaikum, semua... 

Sibuk bebenor ler... tak sempat nak tulis entri semalam. Nyongket sana, nyongket sini. Hajat di hati nak update blog dalam kereta guna handphone, tapi apakan daya, mabuk pula tengok handphone dalam kereta. Hari ni barulah free sikit. Nanti-nantilah saya cerita nyongket ke mana, ya.

Semalam hari Sabtu bersamaan 8 November 2025, telah selamat sampai bungkusan dari blogger Suria Amanda (SA). Sukanya! 😍

Terima hadiah dari blogger Suria Amanda
Agak berat juga bungkusannya.

Sampai petang hari, waktu saya nak keluar pergi pasar malam, tengok ada bungkusan di tembok pagar. Sudah tahu dari SA, sebab SA ada maklumkan di email. Saya telah menang hadiah Top Komentator Oktober 2025 di blog beliau. Boleh refer entrinya di sini 👉 Pemenang Top Komentator Oktober 2025

Marilah kita buka tengok.

Blossom Series Insulated Tumbler.
Blossom Series Insulated Tumbler.

Boleh isi air panas atau sejuk. Mengekalkan suhu minuman untuk masa yang lama. Sesuai untuk on the go, guna dalam pejabat atau aktiviti luar.

Dibuat dari bahan premium, senang dicuci dan tahan kebocoran. Lid dia tahan tumpah (spill proof) dan dua lapis dinding penebat vacuum di dalam untuk mengekalkan suhu minuman.

Boleh isi kopi waktu pagi atau teh di petang hari, memberi setiap tegukan minuman pada suhu yang dikehendaki, sesuai untuk kerja, travel atau semasa istirehat.

Info dapat dari kotak tumbler. 😁

Tahan panas selama 6 jam. Tahan sejuk untuk 12 jam. 

Tumbler warna kuning dengan corak bunga-bunga.
Tumbler warna kuning dengan corak bunga-bunga.

Wah... comel sangat ni! Saya tak ada lagi tumbler. Walaupun saya selalu minum kopi. Boleh la guna, bancuh kopi Acheh yang Kak Amie bagi, letak kopi panas-panas dalam tumbler pemberian SA, dan keluar bercucuk-tanam di luar, di kebun sekangkang kera ku. 😁 Barulah semangat nak bercucuk-tanam, yeh! 💪

Gembira rasa di hati. Terima kasih kepada blogger SA, yang menghadiahkan tumbler cantik ini pada saya. Ini pertama kali saya terima hadiah top komentator di blog beliau. Saya sangat salute dengan SA kerana SA rajin update blog, lebih satu entri setiap hari. SA juga menghargai pengomen di blog dengan beri hadiah kepada top pengomen setiap bulan. Cayalah! Semoga SA sihat-sihat dan kuat selalu, dimurahkan rezeki dan bahagia sokmo dengan keluarga tercinta. Terima kasih banyak, tau! Saya sangat hargai pemberian ini. 

Jemput singgah ke blog SA, jika anda masih belum mengenali beliau. 

Baiklah. Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca sekalian.

Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, November 7, 2025

Tinggal dua beranak

Assalamualaikum, semua... Salam Jumaat yang mulia hari ini... Cuti umum negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak. 

Entri kali ini, saya nak tulis cerita pada hari Rabu, 22 Oktober 2025 yang lepas. Hari terakhir cuti sekolah sempena minggu Deepavali yang lepas. 

Hafizan sudah pulang ke Poli, sementara suami saya pula outstation ke Kedah. Saya tak boleh ikut, kerana suami carpool dengan officemate-nya. Tinggallah saya dengan Sulaiman di rumah. Hujan sejak pagi pada hari itu, on and off. Sekejap renyai, sekejap lebat.

First meal of the day saya pada pukul 4 petang. Saya masak burger je.

Dua burger ayam ada cheese, dan satu burger ada telur. Homemade.
Sulaiman punya

Sulaiman nak 3 biji burger. Dua burger ada cheese. Satu burger ada telur. Tiga-tiga burger ayam.

Burger daging homemade ada telur dan caramelized onion
Mama punya burger

Untuk mama, dua burger daging dengan telur, ada bawang yang digoreng. 😋Walau pun ada kurang, iaitu tak ada sayur. Kalau letak tomato dan salad, mesti lagi syok. 

Alhamdulillah, sedap. Saja tukar selera. Tak adalah makan burger banyak sekaligus. Makan sebiji, sebiji sampai ke malam. 

Macam tu la bila tinggal dua beranak saja di rumah. Masak yang ringkas saja.

Entri pendek kali ini. Hari ni, kome nak masak apa? Sudah makan ke?

Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, November 6, 2025

Briskwalk selasa

Assalamualaikum, semua...

Masih cerita semasa cuti hari Deepavali yang lepas. Pada hari Selasa, 21 Oktober 2025, sekolah masih bercuti. Tapi budak-budak Tingkatan 5 tak cuti, ye. Sulaiman pergi sekolah hari-hari. Rajin cikgu buat kelas tambahan. Cuma anak-anak je tak ramai yang hadir. Sebab cikgu upload gambar dalam kelas, boleh la kita nampak. Ye la, cuti long weekend hari tu, ramai yang balik kampung ye, sebab total 5 hari cuti kalau kira dari hari Sabtu.

Pada awal pagi itu, suami saya ada kawad. On the way ke office dia, suami campak saya tepi padang.

Langit pagi di Padang Astaka, Sitiawan
Langit pagi.

Haruslah ambil gambar langit pagi yang cantik. Semasa berjalan pusingan kedua, saya baru saja separuh padang, ada rasa hujan rintik mula turun. Sebelum bertambah lebat, saya pun lajukan langkah.

Aktiviti berjalan menggunakan aplikasi Garmin Connect
Sempat 32 minit je. Tengok waktu saya mula jalan, sebelum pukul 7 tu. Huhu... 

Tengok lah awan tebal dalam gambar di atas. Tiba-tiba hujan mulai lebat. Saya tukar gear 4, kome,  terus masuk pace 7. Masuk bawah court basketball yang ada bumbung. Nasib baik lutut ok. Tengok keadaan sekeliling. Sebelah basketball court, ada court bola tampar. Deme punya aktiviti ni, memang sentiasa bawah bumbung, jadi hujan pun masih on.

Ada nyonya menari pakai kipas. Kipas tangan besar. Kadang tutup, kadang terbuka. Bila terbuka kipas tu bunyi kuat, prak prak bunyinya...

Ada group lain menari poco-poco.

Ada group taichi sambung buat taichi bawah bumbung.

Ada uncle jalan kat court. Jadi, saya buat senaman cardio setempat je la.


Lepas buat cardio 15 minit, hujan macam sudah reda. Saya sambung briskwalk semula. Sempatlah berjalan selama 30 minit sebelum suami saya datang ambil, dia sudah habis aktiviti.

Masa semangat ada, layan je mood tu. Bila malas, kita duduk rumah diam-diam ye.

Selamat bekerja kepada semua pembaca sekalian. Harap segala urusan kome dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, November 5, 2025

Brisk walk hari cuti umum

 Assalamualaikum semua... harap kome semua sihat sejahtera dan ceria-ceria selalu. 

Entri kali ini, saya nak cerita tentang saya dan suami pergi briskwalk pagi Isnin, 20 Oktober yang lepas. Hari cuti umum, iaitu Hari Deepavali. Hari sebelumnya, hujan. Guruh dan kilat berdentam dentum. Waktu tengah malam pukul 12, bunga api dan mercun meletup atas bumbung rumah. Meriah sungguh deme beraya, ya. Masa orang nak tidur la, deme pergi bakor mercun. 

Pagi itu, saya pergi briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan. Cuaca mendung macam nak hujan. Baguslah, tak panas.

Kucing lepak tepi padang
Kucing lepak tepi padang

Langit pagi di Padang Astaka, Sitiawan
Gambar diambil hujung padang

Lawa langit pagi itu. Cuti umum, ramai juga orang berjalan di padang. Yang bawa seisi keluarga pun ada. 
Rekod aktiviti briskwalk menggunakan aplikasi Garmin Connect
Briskwalk selama 1 jam 18 minit, jarak 6.11 km.

Dua setengah pusingan padang, saya berjalan, sampai cukup 10 ribu langkah.

Ada dengar bunyi guruh di kejauhan. Balik ke tempat parking kereta, suami saya tengah tidur dalam kereta. Dia baru habis kerja pukul 6 pagi tapi teman saya briskwalk juga. Cuma tak perasan bila dia hilang di padang. Mula-mula jalan sama-sama. Lepas tu, dia berjalan sambil tengok handphone. Dia slow, saya makin laju. Lepas tu dah hilang.  

Suami kata, dia jalan 3 km juga.

Saya order kopi melalui aplikasi Zus. Pickup di cawangan Sitiawan.

Zus cawangan Sitiawan
Zus cawangan ni besar. Refuel dengan kopi.

Boleh lepak sini lain kali. Tak ada orang pun, pagi-pagi hari cuti.

Sedap minum americano panas Zus
My daily dose of coffee

Alhamdulillah. Sudah 2 hari minum kopi hazelnut. Hari ni, kembali ke americano kosong.

Saya tengok kalendar, hari Jumaat ni, cuti umum negeri Perak, sempena Hari Keputeraan Sultan Perak. Long weekend la orang Perak. Jangan jeles... hehe.

Jumpa lagi, ye. 💗

Tuesday, November 4, 2025

Peliks

 Ada 'S' di situ. Plural. Sebab dua kejadian pelik berlaku dalam satu hari.

Pelik #1

Sudah terbangun pukul 4 pagi semalam, untuk ke bilik air, sebab rasa sakit perut. Selesai saja, saya sambung tidur. Saya rasa, saya letak kepala sekejap je. Rasa perut sakit sesaat. Lepas tu, rasa pelik, apa benda keluar dari aku ni? Astaghfirullahalazim... aku tercirit dalam kain. Tak pernah-pernah terjadi. Biasa kan ada sudden urge untuk ke tandas itu, kan. Ini, tidak. Saya tak rasa apa pun. Very watery ler. Sorry ye, kalau pembaca cuba imagine apa yang saya tulis ni. Ya Allah Ya Tuhan... dah kena mandi pagi-pagi buta sambil mencuci segala pakaian yang tercemar dalam bilik air. Suami saya pun pelik sebab biasanya kalau satu keluarga sakit perut, saya adalah orang yang paling tahan tidak sakit perut. Kira, perut paling lasak la. Ini, dah la saya keluar masuk tandas banyak kali. Itu yang bila pergi klinik tu, doktor tengok saya, terus dia kata, kena cucuk ni. Menyesal juga saya bangun pertama kali ke tandas itu, tidak stay up terus. Kalau cuba untuk tahajud pun, mesti tak sampai kena bersihkan cadar. 

Pelik #2

Benda ini berlaku pada hari Ahad, tapi Sulaiman baru cerita hari Isnin, iaitu semalam. So ok ceritanya, saya dan suami pergi hantar Hafizan balik Poli di Ipoh. Sulaiman tinggal seorang. Tengah on the way ke Ipoh, Sulaiman whatsapp tanya, boleh tak dia ajak kawan datang rumah. Datang la. Sekarang ni, kadang dia keluar study dengan kawan. Kalau study rumah pun, ok jer. Kami balik rumah dalam pukul 9 malam hari Ahad.

Semalam, Isnin, Sulaiman cerita. Waktu petang, hampir maghrib, pintu dapur terbuka sendiri. Pintu dapur tu buat bunyi mengeriut tu la. Takde angin takde apa, pintu terbuka. Seorang kawan Sulaiman boleh lari keluar rumah dengar pintu belakang terbuka. Yang ini saya ok lagi. Sebab biasalah, mungkin dia orang tak tutup pintu depan rapat. Kalau pintu depan terbuka ditiup angin, memang pintu bilik atau pintu dapur pun boleh terbuka sekali. Sebab pernah terjadi. 

Lagi satu benda pelik, Sulaiman cakap dia nampak 'benda'. Dia tunjuk video waktu benda tu keluar. Dia kata, sesaat dua je, lepas tu hilang. Saya pun tengok la video Sulaiman. Ya Allah Ya Tuhan.... penampakan sesuatu. Betul. Astaghfirullahalazim. Pertama kali, penampakan hantu dalam rumah. Benda warna putih bergerak. Dalam video tu, Sulaiman ada carut sikit, dia carut pada telefon dia, sebab masa dia tengah recording video, tiba-tiba jadi blur dan tidak fokus. Memang kalau entiti biasanya kan kita susah nak tengok jelas-jelas. Kalau nampak jelas, kalau tak CGI, AI la yang buat video tu. Ini memang betul. Serius la. Saya takut! Pertama kali saya takut, semalam. Benda putih tu keluar depan bilik air. Masa tu, masih dalam waktu maghrib. Sulaiman bagi salam kat benda tu. Tapi waktu tu, Sulaiman duduk di sofa. Agak jauh, tapi video dia zoom-in ke bilik air, memang nampak hantu tu. 

Terus semalam hari Isnin, satu hari saya on audio bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bilik kerja saya pula sebelah bilik air je. Saya memang niat nak kemas bilik kerja. Dalam keadaan perut tak selesa tu, saya kemas bilik juga la. Itu yang saya minta cuti berblogging semalam, sebab nak kemas bilik kerja.

Semalam saya nak solat di tingkat atas pun rasa takut. Saya tak share la video Sulaiman tu, saya tak mahu kot ada pembaca yang lemah semangat kang tak boleh tidur ke. Kena anxiety ke. Tak mahu la saya. Biar saya seorang la yang takut. Pelik sangat la. Awat tiba-tiba dia keluar ni? Pergi la rumah kosong kat sebelah, kiri kanan rumah kosong takde orang duduk. Rumah ni ada orang. Ke, dia kacau sebab si Sulaiman pukul 8 malam belum sembahyang maghrib? Tak pasal-pasal dah kena tazkirah dengan saya, si budak Sulaiman. Tu la, hantu memang suka kacau budak tak sembahyang. Kalau tak sembahyang, camana Allah nak tolong Sulaiman nak SPM, dan berbakul-bakul lagi la saya bagi kat budak tu.

Rumah ni, rumah peninggalan arwah Mama saya. Rumah lama la. Bunyi-bunyian itu biasa. Sulaiman pernah dengar orang panggil dia, tapi dia tak menyahut. Kome pernah tak alami dengar orang panggil nama kome tengah-tengah malam? Kome nyahut tak? Saya pun pernah dengar suami saya balik kerja, enjin kereta Wira lama tu, memang itu la dia, kereta lain bunyi tak sama. Memang confirm sejibik bunyi suami balik kerja, saya buka pintu, tengok-tengok takde pun suami saya. Bunyi-bunyi tu, saya boleh terima. Tapi bila dia mula muncul diri, Allahuakbar.... berikan aku kekuatan ya Allah.... menyesal pula saya minta Sulaiman forward video penampakan itu. Dah terbayang-bayang sampai ke malam. Mesti la nak tahu kan, benda berlaku kat rumah kita. Kalau tak tahu rupa, takde la kita terbayang-bayang. Tapi mesti nak tahu juga la. Rumah kita kot.

Hari Ini 

Hari ni, saya sudah ok. Alhamdulillah. Walaupun perut rasa kembung dari aktiviti cirit-birit semalam. 

Dari segi perasaan, saya rasa lebih berani. Semalam saya mengaji juga kat atas lepas maghrib, walau pun ada rasa macam diperhatikan je. Perasaan je kot. Saya kuatkan hati dan terus buat macam biasa, solat dan mengaji. Mungkin ini ujian dari Allah. Apa yang berlaku sudah tentu atas izinNya. Mungkin dari mengaji seminggu 2 kali, Allah nak suruh saya mengaji setiap hari, ke. Tak tahulah. Saya dok menyembang dengan suami saya. Memang pelik la. Sebab selama ini, kami dah duduk rumah ni 12 tahun, tak pernah nampak makhluk-makhluk halus ni ke, hantu ke, apa. Kome tolong doakan saya kuat, tau. Kuat untuk buat bodoh dan tidak mempedulikan benda ini semua. Ini rumah saya kot, kan. Dia mana boleh apa-apakan kita, kan. Kalau terjadi kat rumah kome, ada penampakan benda, kome buat apa?

Tu je la cerita. Minta maaf kalau entri saya kali ini agak menyeramkan. 

Nanti saya blogwalking slow-slow ya. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, November 3, 2025

Ter-cherry

 Cuti satu hari, ye. Tak sempat blogwalking ke blog kawan-kawan lagi. Sakit perut sejak awal pagi. Sudah minum teh o pekat takde gula. Sudah makan pil chi kit tech aun. Dua-dua tak jalan. Masih keluar sampai pedih la, sebab banyak kali ke bilik air.

Pergi klinik sebab cirit-birit
Serah diri pi klinik.

Suami pun sama, tapi dia tak seteruk saya. Kena cucuk sedas oleh doktor. 🥴

Ok. Jumpa lagi ye. ♥️

Sunday, November 2, 2025

Yasin dan solat hajat

Assalamualaikum, semua... Hari Ahad hari ini, selamat beristirehat kepada semua pembaca sekalian.  

Pada hari Khamis lepas, bersamaan tarikh 30 Oktober 2025, ada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat sekolah Sulaiman. Kami pergi anak beranak naik kereta ke masjid. 

Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat SMK Seri Samudera
Kain rentang Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat

Lokasinya adalah Masjid Salahuddin Seri Bayu, Seri Manjung. Ini masjid taman sebelah. Masjid ini paling dekat dengan sekolah. Semua ibubapa pelajar Tingkatan 5 digalakkan hadir. Awal-awal sudah RSVP dan beri sumbangan kepada pihak sekolah supaya senang bajet jumlah makanan untuk majlis.

Kami tiba dalam 5.50 petang. Saya terus pergi ke meja cikgu untuk kehadiran, di ruang legar masjid. Tapi senarai kehadiran belum siap. Walaupun sudah pukul 6 petang, mengikut aturcara majlis bermula. Biasalah tu, orang kita tidak pernah punctual dari dulu. Duduk sebentar di luar menunggu tepi mesin air penapis. Dalam 10 minit, suami signal dari jauh, suruh saya masuk. Lagi pun situ, macam panas. Saya pun masuk dalam ruang solat, solat tahiyatul masjid dulu.

Orang mulai ramai masuk ke ruang solat. Pelajar perempuan duduk belah kanan, parents belah kiri. 

Majlis bermula beberapa minit sebelum maghrib. Solat maghrib berjemaah dulu.

Lepas tu, baca yassin dan doa selamat. Diikuti ucapan pengerusi masjid. Terlajak sampai masuk waktu isyak. Kemudian ucapan pengetua. Pengetua baru. Pertama kali saya tengok pengetua baru sejak pengetua lama bersara 2 bulan lepas. 

Dalam Masjid Salahuddin Seri Bayu, Seri Manjung.
Penuh masjid, para muslimah sampai solat kat luar ruang solat.

Pertama kali saya masuk masjid ini selepas selesai di-renovate. Waktu bulan puasa, saya pergi terawih di masjid taman saya. Masjid ini jarang pergi. 

Solat Isyak, diikuti solat hajat.

Bacaan solat hajat:

🌸 Rakaan pertama, Al-Fatihah, ayat Qursi dan surah al-Kafirun.

🌸 Rakaan kedua, Al-Fatihah, ayat Qursi dan surah al-Ikhlas.

Imam doa panjang lepas solat hajat, untuk anak-anak SPM.

Saya rasa seronok dalam hati, sebab dapat solat berjemaah di masjid. Last solat berjemaah waktu bulan puasa yang lepas. Ampunkan hambaMu ini, ya Allah. 😢

Selesai Majlis pukul 9 malam. Anak-anak yang kena ambil nasi. Makanan adalah sumbangan ibubapa dan orang perseorangan yang tidak mahu dikenali, ada yang sumbang nasi tomato 100 bungkus, selain nasi minyak dan bihun goreng singapore. Dapat air yassin juga. Syukur Alhamdulillah. 

Suami ajak beli kopi. Saya order kopi Zus melalui app. 

Ambil kopi di Zus
Saya dan Sulaiman tunggu dalam kereta.

Zus sederet dengan Wedrink, 7-Eleven, Family Mart dan Ai-Cha belah kiri. Belah kanan ada Subway, Tealive dan Mixue. Sungguh hidup kawasan ini walau pukul 9 malam. Kami jarang-jarang mengopi malam ni.

Suami saya suka beli kopi Zus
Pakcik happy dapat kopi.

Sesekali ya. 

Nasi minyak

Pukul 10 malam, makan nasi masjid. Saya baru teringin nasi minyak, tapi takde yang menjemput kenduri kahwin. Tengok-tengok Allah beri rezeki nasi minyak ayam merah masa pergi baca yassin sekolah anak ni. Alhamdulillah... syukur. 

Semoga anak-anak yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi ni, bulan November ini, dapat hadapi periksa dengan hati yang tenang dan segalanya dipermudahkan. Jaga kesihatan anak-anak juga. Rilek-rilek je, jangan tension ya, anak-anak dan mak bapak sekali. Harus tenang. Insya-Allah, semua akan baik-baik je.

Jumpa lagi, ye. 💗

Saturday, November 1, 2025

Hadiah teka berat mangga udang sudah sampai

 Assalamualaikum, semua... 

Semalam, 31 Oktober 2025, hadiah dari Kak Amie selamat sampai. Pada bulan lepas, saya ada menang dalam entri Jom Teka Berat Mangga Udang. Boleh rujuk pengumuman pemenang di sini 👉 Pemenang Jom Teka Berat Mangga Udang

Bungkusan mengandungi kotak besar. Dibalut dengan kertas minyak. Bila unwrapped bungkusan, ada beg.

Beg tangan
Wah... cantiknya! 😍

Lawa beg tangan bersulam, dan saiznya agak besar juga.

Bahagian dalam beg tangan
Bahagian dalam bag

Tengok, boleh letak banyak barang. Sukanya! 🥰

Waktu pertama kali buka beg, ada 3 lagi hadiah di dalam beg.

Kopi Arabica Gayo
Kopi Arabica Gayo

Masya-Allah, ada kopi! 😍 Suka, suka! Dah la saya ni hantu kopi. Kopi ini dari Gayo Highlands di Aceh, Sumatra, Indonesia. Ada lagi...

Wallet atau beg duit
Wallet!

Ada wallet atau beg duit bersulam! Cantik pattern sulamannya.

Bahagian dalam wallet
Bahagian dalam wallet

Banyak compartment juga, termasuk compartment berzip untuk letak duit syiling. Butang magnetik. Lagi hadiah...

Sehelai T-Shirt

Mari kita buka tengok...

T-Shirt souvenir dari Aceh
Muat saya pakai. 😊

Tulisan the Great Aceh di hadapan baju. Alhamdulillah. Kak Amie kata, kesemua barang adalah dari Acheh. Masya-Allah. Sukanya saya. Terima kasih banyak pada kak Amie. Susah-susah je, pos banyak hadiah ni, untuk saya. Semoga Kak Amie sihat-sihat selalu, murah rejeki dan berbahagia sokmo bersama keluarga. Jemput singgah ke blog Kak Amie, jika anda masih belum kenal beliau 👉Amie's Little Kitchen.

Bercerita tentang mangga udang, saya tak pernah tengok depan-depan. Saya suka-suka sertai sebab saya teringat dekat tepi jalan di Sitiawan, ada peniaga jual mangga. Ada tertulis 4 kilo, RM10. Ke... RM20. Saya pun dah terlupa. Saya cakap dekat suami, kenapa nak jual mangga sampai 4 kilo? Kenapa dia tak jual mangga sekilo je? Suami kata, mangga dia besar, entah-entah sebiji mangga pun dah berat sekilo lebih. Itu lah yang saya teka, saya bajet sebiji mangga udang, berat 1.8 kg. Sebab ada dua mangga, jadi berat, 3.6 kg. Tak sangka pula betul. Eh, bukan betul. Jawapan paling dekat dengan berat sebenar dua biji mangga tersebut, iaitu 3.557 kg.

Ok. Seronoknya, dapat hadiah dari jauh. Syukur Alhamdulillah.

Selamat hujung minggu, semua...
Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, October 31, 2025

Awan rendah

Assalamualaikum, semua... Salam Jumaat yang mulia...

Tempat saya ni, biasanya panas saja. Tapi minggu lepas, ada dua tiga hari hujan turun berpanjangan hingga banjir di sesetengah kawasan. Waktu itu, rasa nyaman dan ikutkan hati, nak selubung dengan selimut je, kan. 

Saya nak kongsikan gambar awan rendah yang saya ambil masa musim hujan hari tu. Gambar di bawah diambil pada 19 Oktober 2025 yang lepas, semasa kami on the way pergi pasar pagi Kuala Kangsar melalui highway WCE.

Awan atas pokok kelapa sawit
Awan atas pokok kelapa sawit

Sedap jalan dalam cuaca yang malam sebelumnya hujan. Turunkan tingkap, tak perlu on aircond kereta. Ada sesetengah kawasan, dari jauh boleh nampak rendahnya awan. 

Entering zon awan rendah di hadapan
Entering zon awan rendah di hadapan

Keluar rumah awal pagi, hari Ahad. Tak banyak kereta pun. Depa tangan keluar tingkap. Udara sejuk saja.

Gambar awan atas pokok kelapa sawit
Lagi awan atas kelapa sawit.

Awan rendah tutup puncak bukit
Awan rendah tutup puncak bukit

Saya buat carian sikit. Pada paras 2 kilometer ke atas permukaan bumi, awan yang terbentuk dikelaskan sebagai awan rendah.
Awan pertengahan berada setinggi 6 kilometer ke atas permukaan bumi.
Awan tinggi sehingga 18 kilometer ke atas permukaan bumi.

Awan yang saya ambil gambar di atas, saya rasa, namanya adalah awan stratus kerana ia kelihatan macam kabus yang tidak sampai ke tanah.

Jarang-jarang sekali dapat tengok awan rendah macam ni, bagi saya la. Itu pasal saya ambil gambar.

Kome suka tak ambil gambar langit dan awan?

Tiba-tiba rasa macam nak nyanyi lagu Awan Nano pula.

Hehe... ok, jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, October 30, 2025

Mengopi di X Siap Kape, Kampung Gajah

 Assalamualaikum, semua... 

Saya tukar template blog lagi. Alkisah template sebelum ni, saya biasa buka blog guna laptop. Si Adsense ni, iklan dia keluar sesuka hati. Sekali hari tu, saya boleh view bahagian komen tu, cinonet je. Me don't like it, macam susah kita nak balas komen kawan-kawan. Jadi, itu pasal saya tukar template lagi. Kali ini, ambil yang simple sahaja. Orait, harap lepas ni, tiada masalah kemudian hari.

Entri hari ini, saya nak cerita tentang aktiviti saya dan suami pergi jalan-jalan cari kopi pada 18 Oktober 2025 yang lepas. Kami mengopi di Kampung Gajah. Nama cafe ini agak lain dari yang lain. Kalau ikut tafsiran saya sebagai orang Perak, X tu, kita sebut sebagai Tak. Kape tu pula, Cafe la. Jadi, maksud nama dia, Cafe tak siap, gitu. Hahaha... eh, itu tafsiran saya sendiri, tau. Saya tak sempat nak tanya tuan kedai, tentang nama cafe dia. Sebab saya pergi hari tu, yang ambil order dia, yang bancuh kopi dia, tukang masak pun dia. Orang sibuk, kita jadi malas nak mengganggu. Lepas tu, bila rasa nak tanya, ada pelanggan lain pula masuk cafe-nya. Jadi, takdelah saya bertanya, ya, sampai ke sudah.  

X Siap Kape
Banner X Siap Kape

Seperti biasa, saya jumpa cafe ini apabila saya menggunakan google maps, dengan carian kopi near me.

X Siap Kape
Kecik je kedai dia. Dalam Arked Mara.

Ada dua buah meja dalam cafe. Kami duduk dalam. Ada aircond. Sebab hari panas. Boleh duduk luar juga.

Dalam X Siap Kape
Dalam kedai

Masuk kedai saja, kami tuju ke kaunter untuk buat pesanan. Kemudian, terus bayar.

Kami pesan: 
🥤 Latte ais
🥤 Hazelnut latte panas 
🥤 Mushroom soup dan garlic bread
🥤 Mi kari

Total harga RM36.60

Bayar guna QR Code. Boleh guna cash, tetapi tuan kedai tiada wang kecil.

Mushroom soup with garlic bread
Roti dia walaupun lama sampai, masih lembut.

Sebelum makan, camera makan dulu. Boleh pula layan whatsapp sekejap, ada perkara penting berbangkit, tentang ofis. Jadi, suami tak terus makan. Biasanya kalau roti lambat makan, dia jadi liat. Tapi tidak liat pula. Roti dia macam healthy sikit. Macam roti wheat germ.
Semalam suami makan menu sama juga. Entah apa sudah berjangkit dengan suami saya ni. Suka bebenor dia garlic bread dengan mushroom soup.

Mi kari
Mi kari

Tak nampak pula mi. Kejap.

Mi kari
Haa... baru nampak. Kuah dia pekat

Ayam dalam kuah pun besar, dan seketul dia bagi. Telur rebus pun sebiji.

Hazelnut latte panas dan latte ais
Kopi kami

Sedap kopi dia. Tak puas minum. Kalau lah hazelnut latte tu duduk dalam cawan besar, boleh minum dalam kereta. Patut lain kali, saya pesan untuk bawa pulang, walau pun nak minum dalam cafe.

Oyen atas meja
Oyen kat meja luar

Dia tengah sedap tidur. Kita datang dekat, dia pun say Hi.

X Siap Kape
XSiap Kape, di Arked MARA, Kg Gajah, sebelah pasaraya Borong Sakan.

Alhamdulillah. Jumpa lagi port kopi sedap. Macam ni la kami, bila suami hari off kerja. Di samping dapat minum kopi sedap, dapat juga menyokong perniagaan orang kita. Tempat besar ke, tempat kecil, kami pergi je, saja mencuba.

X Siap Kape
Lot B8, Arked MARA, Kampung Gajah, Perak.

Waktu operasi: 1 petang hingga 11 malam.
Tutup setiap Selasa

Rating kat Google Review, 5 bintang. 

Baik. Jumpa lagi, ye. 💗