Memaparkan catatan dengan label Surirumah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Surirumah. Papar semua catatan

Teringin ikan jaket sumbat

 Cerita pada hari Rabu, 12 Ogos 2026 yang lepas. 

Pagi-pagi sudah berlarian di padang.

Rekod aktiviti briskwalk menggunakan aplikasi Garmin Connect
Briskwalk selama 55 minit, dengan jarak 4.51 kilometer.

Selepas itu, saya ke pasar. Beli ikan dan daging.

Balik dari pasar, singgah rumah, simpan bahan mentah yang dibeli dalam peti ais, ambil budak Amirul, dan kami pergi sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut.

Selepas sarapan, pergi kedai aksesori kereta sekejap, radio kereta Viva tak betul, sekejap nyala, sekejap gelap saja. Nasib baik ada waranti lagi, jadi, ganti baru.

Balik rumah, saya masuk dapur, masak. Saya terpengaruh dengan cerita KSarie makan Ikan Jaket Terangkat di PJ. Jadi, masa di pasar tadi, saya beli beberapa ekor ikan cencaru. Nak masak cencaru sumbat. Yehh... sambil buat kerja di dapur, macam nak melejeh pula air liur saya ni. Padahal belum masak lagi. Cer tengok, cer tengok...

Ikan cencaru atau ikan jaket, sumbat sambal
Sudah sumbat ikan jaket dengan sambal

Allahuakbar.. tak sabor la, nak makan! Saya ikut resepi Khairul Aming (KA). Nak ke, resepinya? Saya kongsikan di sini, ya. Seperti biasa, dari video resepi itu, saya catat isi penting dalam buku resepi saya terlebih dahulu. Barulah senang rujuk semasa memasak.

Resepi Ikan Cencaru Sumbat KA.

1. Kelar ikan cencaru. Kelar dari belakang sampai kepala.

Bahan kisar:

🐟 1 biji bawang merah

🐟 Halia besar ibu jari

🐟 5 ulas bawang putih

🐟 1 sudu pes asam jawa

🐟 Belacan sikit

🐟 4 sudu cili boh

🐟 3 biji cili padi merah

🐟 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil gula, 1/2 sudu kecil ajinomoto

2. Letak bahan kisar dalam mangkuk.

3. Tambah 2 biji bawang merah yang dicincang (pakai chopper pun boleh) ke dalam mangkuk.

4. Campur dan gaul. 

5. Tabur garam dalam ikan yang dicuci.

6. Masukkan inti sambal, kasi penuh!

7. Goreng ikan dalam minyak panas.

Sambal untuk sumbat dalam ikan cencaru
Ada baki sambal lagi. 

Boleh guna untuk masak menu lain esok lusa. Jangan membazir, simpan dalam peti ais dulu.

Ikan cencaru sumbat siap digoreng
Siap goreng ikan jaket.

Hitam-hitam dia punya serdak tu. Sambal memang akan terkeluar-terkeluar masa kita goreng ikan. Ceduk keluar guna sudip berjaring. Nanti nak makan, gaul dengan nasi. 😋

Ikan cencaru sumbat, siap digoreng
Ikan cencaru sumbat, ambil gambar dari sudut menegak pula.

Lawa tengok ikan ni. Sendiri buat, sendiri puji.

Ulam daun selom
Ulam daun selom

Kita buat budu. Budu adalah sejenis probiotik. Bukan saja sedap, malah bagus kalau makan setiap hari. 😁👍

Budu campur bawang dihiris, perah limau kasturi, timun potong dan cili padi
Budu campur bawang dihiris, perah limau kasturi, timun potong dan cili padi.

Jemput makan, naaa.... Sedapnya! Tambah nasi. Hahaha... gendang gendut tali kecapi, kenyang perut, suka hati.

Nikmat sungguh masak dan makan di rumah ini. Syukur Alhamdulillah.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Hari malas briskwalk, baik pergi makan

 Ini cerita pada hari Khamis, 6 Ogos 2026 yang lepas.

Saya marah sebab anak sulung, Amirul, cakap nak balik semalamnya. Saya sudah simpan nasi goreng petai dengan sayur dan telur atas meja. Tengok-tengok sampai ke sudah dia tak balik. Bila suami balik kerja tengah malam, tengok Amirul belum sampai, dia whatsApp tanya Amirul. Amirul cakap dia tidur rumah kawan di KL. Saya tak suka tengok makanan tunggu atas meja, tiada siapa makan. Suami saya kerja long hours untuk cari rezeki saya dan anak-anak makan. Jadi saya tak suka pembaziran makanan. Suami simpan makanan dalam peti sejuk. Amirul patutnya bagitahu atau mesej, supaya kami tidak risau tapi dia diam saja. Dia kata rileks la. Kan dia sudah cakap dia singgah KL sebelum balik Manjung. Ye, tapi dia tak bagitahu dia nak tidur KL. 😒

Waktu pergi briskwalk pagi, hati saya rasa sakit. Saya tahu perasaan ini tak elok. Saya sebagai ibu harus redha dengan anak-anak. Saya istighfar banyak-banyak. Tiada mood untuk briskwalk. Baik pergi makan, bagi happy. 

Rekod briskwalk semasa hari malas
Rekod berjalan pada hari tersebut.

Satu pusingan saja pusing padang. Biasanya, saya buat dua pusingan. Gambar pun tak ambil. Kalau tak, saya ambil gambar padang atau langit waktu briskwalk.

Jomlah pergi makan. Peduli hape aku, esoknya ada ujian darah. Lantak pi la tak payah IF. Not in the mood.

Kami pergi sarapan di Warung Pak Wan, Ayer Tawar. 

Roti banjir special di Warung Pak Wan, Ayer Tawar
Roti banjir special

Kami makan kongsi-kongsi, supaya sama-sama dapat merasa. Saya rasa, roti canai Warung Pak Wan ini, yang paling sedap la, saya pernah rasa. Kalah kedai-kedai lain. Patutlah Warung Pak Wan ini selalu ramai orang. 

Air lemon suam kosong di Warung Pak Wan
Air lemon kosong suam, dua.

Nasi lemak spesial di Warung Pak Wan
Nasi lemak spesial

 Masa pertama kali datang sini, ada pesan nasi lemak spesial ni. Ulang pesan. Suami pula nak makan.

Roti bakar telur goyang di Warung Pak Wan
Roti bakar telur goyang

Jumlah harga sarapan kami ialah RM19.80. Alhamdulillah. Semua sedap.

Sebab saya seorang ibu yang selalu sediakan makanan bila anak-anak nak balik. Jadi, anak-anak macam ambil mudah. Mungkin saya perlu jadi ibu yang tak peduli anak-anak lapar atau tak. Buat apalah saya susah-susah masak sampai berpeluh di dapur tu. Buat penat je. Nak tahu tak... kalau saya kurangkan sikit kerja domestik saya sebagai surirumah ni, saya boleh update 2-3 entri sehari dekat blog. Dari zaman anak-anak sekolah lagi. Dia orang tak pernah pergi sekolah dalam keadaan lapar. Saya hari-hari bangun awal sediakan sarapan. Saya ada baca, ada budak kurang bernasib baik, pergi sekolah, lapar perut. Waktu rehat baru dapat makan. Tapi anak-anak saya mana tahu, sebab dia orang sentiasa bernasib baik.

Entah kenapa saya sakit hati sangat, tak tahulah. Padahal anak sulung sudah 23 tahun. Patut saya boleh lepas dah. Malas fikir dah. Mungkin sebab dia belum habis belajar, kot. Kalau dia sudah habis belajar dan sudah bekerja, lainlah cerita. Ini, kita tanggung dia lagi. Inilah ups and down jadi seorang ibu di rumah ini. 

Memang lepas itulah, saya mula masuk gua tu. Barulah sejuk sikit hati. Kena selalu mengaji. Bila terjaga malam, solat. Barulah saya okay. Kena let go beberapa benda dalam kepala otak. Serahkan pada Allah saja, dan berdoa. Anak-anak bila sudah besar, ada pemikiran deme sendiri. Cuma saya harap dia orang tak membelakangkan kami. Semoga Allah beri saya kekuatan dan ketabahan dalam menangani karenah anak-anak. Semoga kome, pembaca yang sedang membaca ini pun baik-baik saja, tidak alami sebagaimana saya alami. 

Itu yang kakak saya cadang saya pergi bercuti tu. Sebab saya sentiasa ada. Kena bagi suami dan anak-anak merasa saya tak ada di rumah. Bila last sekali ya? Oh, waktu saya pergi umrah, awal tahun 2025, itulah kali terakhir saya cuti. Entahlah.... 

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Briskwalk, tengok pokok dan masak apa

 Selamat bercuti kepada semua pembaca sekalian. Cuti sekolah seminggu. Anak-anak saya di politeknik pun cuti juga seminggu. Cukup korum di rumah. Riuh-rendah dalam kereta semalam, sebab ambil Hafizan dan Sulaiman dari Ipoh. Alhamdulillah. 

Entri kali ini, saya nak kongsikan cerita pada hari Isnin, 3 Ogos yang lepas. 

Jalan pagi

Pagi-pagi, pergi briskwalk dengan suami di Padang Astaka, Sitiawan.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan, Perak, sejauh lebih kurang 4 kilometer
Rekod aktiviti dari jam

Jarak berjalan: 4.33 kilometer

Masa: 51 minit 48 saat

Saya briskwalk dengan handswing sekali. Semangat! Bila berjalan dengan hayunan tangan, kita jadi lebih laju, banding jalan lengkang kangkung itik pulang petang. 😁

Selfie lepas morning briskwalk
Pakcik tu sedang bersihkan rumput dari kasut jalan.

Kita orang memang ada standby berus untuk bersihkan rumput yang melekat pada kasut sukan. Ada orang memang kurang suka berjalan di padang, sebab kasut jadi mudah kotor. Tapi bagi kami, sini tempat paling lembut pada lutut, berbanding tempat jalan yang lain.

Singgah stesen minyak

Lepas briskwalk, nak balik rumah, tapi singgah stesen minyak sekejap, suami sakit perut.

Dekat stesen minyak, ada Family Mart. Ambil gambar di bawah.

Promosi waktu membeli di FamilyMart
Saya tepek di sini, untuk rujukan saya. 

Ada adik pekerja FamilyMart cawangan Lumut selalu bagitahu saya, waktu terbaik untuk beli onigiri. Tapi saya selalu lupa. End up beli onigiri bila harga dia mahal, RM5. Kalau kita beli ikut waktu dalam promosi, ada potongan harga.

Jadual promosi FamilyMart "All Day Jimat Deals":
🌸 6 hingga 10 pagi (waktu sarapan): Sandwich & Breakfast Muffin pada harga RM4.90
🌸 10 pagi hingga 2 petang (waktu makan tengahari): Onigiri terpilih pada harga RM3.90
🌸 2 hingga 6 petang (waktu minum petang): Lemonade & Ice Lemon Tea serendah RM1.90
🌸 6 petang hingga 10 malam (waktu makan malam): Onigiri terplih pada harga RM3.90
🌸 10 malam hingga 2 pagi (waktu supper): Diskaun 20% untuk pembelian roti atau biskut yang kedua.

Jenguk kebun kecil

Sampai di rumah, sebelum masuk rumah, tengok pokok-pokok di halaman dulu.

Bunga raya putih kembang lagi
Bunga raya putih kembang lagi.

Silih berganti kembang. Layu sekuntum, esoknya kembang baru. Ada sekali, sampai 3 kuntum bunga raya kembang sekali. Suka tengok. 😍

Saya ada ikut nasihat dari Puan Ujie, tentang pokok bunga rain lily. Boleh baca sini 👉 Eksperimen Potong Daun Rain Lily

Sebelum ini, pokok rain lily di rumah sudah lama tinggal daun saja, lama tidak keluarkan bunga. Daunnya pula rupa macam daun bawang. Saya potong bahagian atas, dan betul, memang pokok ini mula keluar bunga.

Pokok rain lily keluar bunga setelah dipotong daun atas separuh
Gambar diambil 3 Ogos


Bunga rain lily keluar lebih banyak setelah dicantas daunnya
Gambar pada 5 Ogos

Alhamdulillah. Terima kasih pada Puan Ujie yang kongsikan tentang pokok rain lily ini. Saya bercadang untuk pindahkan pokok ini ke pasu lebih besar atau tanam atas tanah terus. Insya-Allah. Tapi belum buat lagi. Sebab cuaca panas, agak malas berkebun.

Terung pipit
Terung pipit

Banyak sangat keluar terung pipit ni.

Pokok terung pipit di rumah
Inilah pokok terung pipit

Pokok ini lebih tinggi dari saya. Huhu... kutiplah semua terung pipit yang ada.

Kutip terung pipit untuk sedekah pada officemates suami
Kumpulkan dalam plastik

Sedekah pada kawan-kawan pejabat suami saya. Bukan terung pipit saja, ada lagi kutipan...

Kutip limau kasturi untuk sedekah pada officemates suami
Limau kasturi

Rezeki sama-sama dikongsi. 

Saya ada bertanya pada seorang brother penjual di pasar, berkenaan limau kasturi. Boleh letak di kedainya lain kali, tapi dia nak yang warna hijau saja. Limau kasturi hijau boleh tahan 3 hari di kedai. Itu pun kalau lain kali nak cuba nasib jual hasil kebun di pasar. Hehe, saja bertanya. 

Masak apa

Sayur sawi dan cendawan
Sayur sawi dan cendawan

Saya masak sayur saja. Lauk sup ayam masih ada. Lauk sambal petai ikan bilis pun ada. Panaskan saja. 

First meal of the day, break IF, makan sayur dan lauk saja, tanpa nasi
Pinggan saya

First meal of the day. Break IF pukul 10 pagi. Ada sambal tumis, ayam dan kentang dari sup, dua biji telur rebus, dan sayur. Alhamdulillah. 

Salam hari Sabtu. Selamat berehat di hujung minggu kepada semua pembaca blog yang saya kasihi sekalian. Hati-hati di jalanraya, jika dalam perjalanan balik kampung atau pergi bercuti.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Masak apa Jumaat terakhir di bulan Julai

 Akhirnya saya sudah sampai entri terakhir cerita di bulan Julai. Bulan Ogos punya cerita belum masuk, tapi sekarang pun sudah penghujung Ogos. Acaner tu? Ni punca sebab hilang masuk gua hari tu la, bertapa. Huhu.. Takpelah, walaupun cerita sudah lama berlalu, saya share juga ya, di blog, sebagai rekod dan kenangan. 😊

Entri kali ini, saya nak cerita tentang apa saya masak, pada hari Jumaat, 31 Julai yang lalu. Eh, kebetulan sama pula dengan hari saya nak publish, hari ini pun hari Jumaat. Hehe... jom tengok.

Sayur sawi tumis
Sayur sawi tumis

Sebenarnya, saya jarang sekali masak sayur berdaun ini. Kebanyakan sayur yang saya beli adalah sayur jenis keras yang tahan lama seperti brokoli, kobis bulat dan lobak merah. Tapi sebab saya ada terbaca, yang kita kena lebihkan pengambilan sayur hijau lebih banyak, jadi itulah, saya pun belilah sawi dekat pasar. 

Pada hari itu, saya tumis ikan bilis dengan bawang putih guna olive oil. Kemudian masukkan sayur sawi. Letak sos tiram sesudu kecil dan garam bukit secubit. Siap! Senang je, masak sayur.

Sup ayam
Sup ayam

Saya tak tumis pun. Saya cuma didihkan air dalam periuk, letak perencah sup siam. Lepas tu, saya masukkan ayam, kentang, tomato. Biar je sampai masak. Pun senang masak juga sebab sup tanpa tumis. Nak kurangkan penggunaan minyak.

Sambal tumis ikan bilis petai
Sambal tumis ikan bilis petai

Masak sambal kena guna minyak juga. Takpelah, untuk satu lauk ini saja kita guna. Ha ah, ada beli petai. Itu yang masak sambal tumis dengan bilis. Campur sekali kacang panjang sikit, dalam sambal. Sedap, sedap, Alhamdulillah! 😋

Pinggan saya

Itu yang suami saya larang saya masak sambal tumis tu. Sebab kalau ada sambal petai, dia makan nasi bertambah. Hehe.. Yor lantak perut dia maju ke hadapan. Alaaa.. nanti kita pergi briskwalk ya, abeku cayang. 

Saya je yang tak makan nasi. Bila di rumah sajalah boleh tak ambil nasi. Saya ada rebus telur juga. Tapi ada karbohidrat juga dalam pinggan saya, itu ada ambil kentang. Okaylah. 

Walaupun demikian, saya tidaklah konsisten tidak ambil nasi. Kadang saya ambil juga, sesenduk. Ikut mood. Huhu...

Bila masak di rumah, kita boleh kawal portion makanan dan cara kita memasak. Rasa seronok tengok ahli keluarga selera makan hasil air tangan kita. Alhamdulillah. 

Saya tidak nafikan, bila angin meroyan saya datang, jadi malas gila untuk memasak. Ada hari, rasa rindu nak merasa air tangan orang tua. Tapi kena paksa diri jugalah untuk memulakan. Sama macam jalan pagi pun ada hari kita rasa malas, kan. Tapi bila sudah melangkah keluar rumah, okay je bila berjalan. Macam tu juga untuk memasak. Bila malas, buatlah apa-apa untuk menaikkan mood kita. Hidup kita, kita je yang boleh switch on mood tu. Nak pasang lagu ke di dapur. Kadang saya berlakon konon saya depan camera, dan saya sedang jadi host rancangan masakan. "Kemudian kita masukkan garam dan perasa ya, dalam masakan kita, puan-puan". Haha... gila, cakap sorang-sorang kat dapur. Lantak pi la. Asalkan happy, dan dapur berasap. 

Baiklah. Salam hari Jumaat yang mulia kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Sabar dan terus bertahan

 Entri terakhir saya pada 9 Ogos yang lepas. Sudah 12 hari blog ini sunyi tanpa update. Bagi pembaca yang sudah kenal lama saya, terutama dari blog lama saya, mesti tahu kot, yang saya kadang-kadang akan ada masa saya senyap di blog. Masa untuk saya 'bertapa, masuk gua'. 

Benda ini berulang. Selagi situasi ini saya hadapi, selagi itulah masa itu akan terus tiba dan memaksa saya memencilkan diri. Tapi sebab sudah alami beberapa kali, saya cuba hadapi situasi yang berlaku dari sudut berbeza. Perasan tak, saya guna perkataan situasi, dan bukan masalah. Sebab ia lebih kepada perkara yang akan berlalu. Kalau masalah, kena selesaikan. 

Tapi, agak sulit untuk saya ceritakan di sini. Sebab ia melibatkan aib. Tapi sebab saya perlu keluarkan dari fikiran, saya pun buatlah carian tentang situasi yang saya hadapi ini. 

Rupanya, bukan saya seorang yang alami. Ramai lagi yang hadapi situasi macam saya. Jadi, agak membantulah, bila mana saya boleh membaca pendapat pakar atau orang yang lebih arif dalam hal ini. Alhamdulillah. 

Saya tak boleh tukar situasi itu. Ia akan terus berulang. Tapi saya boleh tukar cara saya respond terhadap perkara itu. 

Macam aircond yang bocor, selalu ada air keluar dari aircond, kan. Kita pun tadah guna baldi, tempat air menitik jatuh itu. Setitik demi setitik, lama-lama baldi pun hampir penuh. Kita kena keluarkan air dari baldi itu, dan kembali letakkan baldi kosong semula di tempat air bocor. Macam itulah situasi yang saya alami. Saya perlu 'masuk gua' sebentar untuk redakan gelodak perasaan yang hampir meletup supaya saya boleh teruskan hidup saya dengan aman dan kembali normal.

Sudah lama saya alami benda ini. Benda berulang. Bila saya ambil masa bertapa sekejap, saya akan okay. 

Saya hanging on
Ok, kenapa tangan kiri tu nampak pelik? Pakaian pula macam agak ketat. Seluar tidak longgar. Imej oleh chatGPT

Saya sudah lama bertahan, dengan kudrat yang ada, hanging on. Saya tak boleh pergi ke atas, sebab saya tak ada sayap. Saya boleh lepaskan tangan saya dan jatuh ke bawah. Sebab bawah sana, ada lagi dahan lain yang lebih kuat, untuk saya berpaut. Atau boleh jadi juga ada jaring macam orang sarkas main trapeze tu, ada jaring keselamatan yang boleh tangkap saya dari jatuh sampai ke bawah. Macam-macam kemungkinan ada di bawah. Kita mana tahu kan, semuanya kuasa Allah.

Sejujurnya, saya pernah lepaskan tangan saya dulu. Tapi tengok-tengok ada dahan lebih kuat di bawah untuk saya bergayut, dan itulah saya sedang buat sekarang. 

Dari hasil carian saya juga, seorang ustaz ada bagitahu, yang situasi saya alami itu, ada jalan keluar. Tak salah pun untuk saya pilih jalan keluar itu. Sebab dalam situasi tersebut, bukan tanggungjawab saya pun. 

Jadi, sekarang ada dua benda saya kena buat hari-hari. Pertama, sebab saya sudah tak ada kalenjar tiroid macam orang normal, saya bergantung pada ubat untuk badan saya fungsi dengan normal macam orang lain, supaya metabolisme dan hormon berjalan dengan baik. Ini sangatlah sukar bagi saya. Tambahan pula, saya sedang masuk fasa pra-menopause. Sudah 6 bulan saya tak datang bulan. Dia punya emosi tu, macam orang meroyan la! Fikiran suka fikir jauh dan bukan-bukan. Perkara kedua, situasi yang saya alami inilah. Sebenarnya, ia perkara kecil, tapi besar.

Walaupun ia kecil bagi sesetengah orang, kumpul hari-hari jadi banyak juga. Jadi itulah saya kena tutup mata, dan fikir benda yang ada, bukan benda yang tidak ada. Syukuri benda lain yang ada, rezeki dalam banyak perkara dalam hidup. Banyak sangat, tak terhitung rezeki dariNya.

Ustaz itu juga kata, kalau boleh bersabar, sabarlah. 

Dalam Al-Quran, perkataan sabar itu disebut sebanyak 90 kali. Ia adalah ujian dari Allah. Orang yang bersabar akan mendapat ganjaran di akhirat nanti. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153, yang bermaksud, "Bersabarlah, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar."

Sayangnya Allah pada kita, sehinggakan orang yang sabar dijamin tidak akan rugi. 

Itulah satu hikmah situasi ini berlaku pada saya. Sebab iman kita turun naik, bila rasa macam nak terpesong saja, seolah satu peringatan dari Dia, tarik saya semula ke jalan yang betul. 

Itulah yang saya buat. Berserah padaNya. Doa, hari-hari doa. Sampai mati, doa, Ustaz cakap. Fokus perbaiki diri sendiri, jadi diri sendiri versi terbaik yang kita boleh capai. Insya-Allah.

Saya tak boleh cerita benda ini pada orang. Saya pernah hadapi dan suarakan pada pihak berkenaan. Terus terjadi konflik. Sejak itu, saya ambil pendekatan berdiam diri dan berdoa saja. Eh, tapi ada seorang hamba Allah tahu akan situasi yang saya hadapi ini. Bukan saya yang cerita pada dia. Tapi Allah izinkan dia nampak dengan mata dia. Orang itu kata pada saya,"Beratnya ujian Allah bagi pada hang, Tot." 

Nasib baik waktu itu di khalayak ramai. Airmata dah bertakung, tapi sebab orang ramai, dia jadi tertahan sikit nak keluar. Kalau berdua saja dengan orang itu, mahu berjurai hujan lebat keluar sampai banjir. Huk huk... please help me. Ish, saya 48 tahun. Saya nak hidup happy juga. 

Sebenarnya, sepanjang saya tidak update blog, rasa ringan sikit kepala saya. Kurang satu benda nak fikir. Hehe.. sori. 

Tak apa, jangan risau saya, ya. Saya okay je. Saya nak jadikan Al-Quran kawan baik saya. 

Macam aircond bocor tadi. Bila sudah cukup duit nak baiki, selesailah masalah bocor. Kalau mampu, siap boleh beli baru. Kalau belum cukup pitih, terpaksalah guna baldi dulu tadah air.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Hantar Sulaiman

 Semalam, 20 Jun 2026, kami pergi hantar anak bongsu, Sulaiman, daftar masuk Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh. Sulaiman punya sesi pendaftaran adalah pada pukul 10.30 pagi hingga 12 tengahari. Pihak PUO sudah tetapkan beberapa sesi pendaftaran untuk pelajar diploma, mengikut kursus. Kalau semua daftar sekaligus, mahu sesak juga kan, dalam tu. 

Dari Lumut, kami bertolak pukul 8 pagi lebih. Sampai dalam 15 minit sebelum 10.30 pagi. Walaupun banyak kereta di hujung minggu, tapi berjalan je trafik. Itu pun, ada singgah toilet break di stesen minyak.

Hantar Sulaiman daftar PUO
Lepas parking kereta, ambil gambar dulu, kenangan.

Untuk pelajar lelaki, rambut kena pendek. Atas no mata mesin - 3, belakang no mata mesin - 2. Bagi yang tidak mengikut piawaian, kena beratur, dia tolong potong pendek sebelum dibenarkan daftar. 

Ini pengalaman kedua kami hantar anak masuk PUO. Masa Hafizan (anak kedua) dulu, memang panjang barisan budak kena potong rambut, tapi semalam nampaknya ramai sudah cakna akan peraturan PUO ni. Ada yang kena, tapi tak panjang macam zaman daftar Hafizan dua tahun lepas.

Macam rekruit nak masuk askar pula, ya. Tapi sekejap saja, nanti lepas minggu orientasi habis, pelajar lelaki boleh rambut seperti biasa, asalkan pendek.

Daftar untuk pendaftaran mengikut kursus
Beratur nak masuk dewan untuk daftar mengikut kursus.

Masa selesai daftar tu, Sulaiman cerita, ada pegawai yang jaga salah satu stesen pendaftaran tanya Sulaiman, "Kenapa dengan rambut awak?" 

Sulaiman jawap,"Bapa saya botak, sejak muda. Saya ikut gen bapa". Tergelak orang tu. 

Ibubapa yang hantar anak daftar PUO
Sementara pelajar masuk dewan untuk daftar, ibubapa duduk di khemah ibubapa.

Ada taklimat sikit dan soal jawap antara ibubapa dan pihak PUO. Pelajar baru yang daftar diploma saja ada lebih 2 ribu orang. Rupanya, ada pelajar yang hanya ditawar belajar tanpa dapat asrama. Tapi pihak PUO usahakan juga agar semua pelajar baru semester 1 ini dapat penempatan asrama. Itu yang pelajar lama seperti Hafizan ditolak keluar dari asrama lama seberang jalan tu. Malah, budak MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) pun kena sewa luar juga. Gitu, ceritanya.

Lepas selesai daftar, ibubapa boleh teruskan hantar anak ke asrama, tapi cuma diberi masa 3 minit untuk drop-off barang anak. Pemandu kereta tidak dibenarkan turun untuk membantu. Sebab kereta perlu bergerak, nak beri ruang pada kereta ibubapa lain yang dalam barisan.

Alhamdulillah, rezeki Sulaiman, dapat bilik tingkat bawah. Peh.. tak payah naik-naik tangga. Baru saja ingat Sulaiman boleh bersenam kot dapat tingkat tinggi macam Hafizan dulu, masa dia duduk asrama dalam, dapat tingkat 2. Selain itu, pihak PUO sudah tetapkan nombor katil, jadi tak boleh nak chop chop tempat siapa sampai awal, ambil katil tepi tingkap dulu ke apa. Semua telah ditetapkan tempat. 

Mama dan ada urusetia tolong angkat barang dari kereta ke lobi asrama. 

Selfie dengan anak bongsu yang daftar PUO
Selpiaq sekeping, sebagai kenangan.

Masa Sulaiman sibuk angkut barang bilik, sempat ada ibu ni mengadu dengan saya, "Dulu tak ada pun had masa ni". Ye betul, dua tiga tahun lepas zaman Hafizan, kami siap boleh lepak cafe lepas anak masukkan barang ke bilik. Sempat lah makan nasi dulu dengan anak. Tapi baru berdiri sekejap, urusetia datang, tolong alih kereta, pakcik. 

Sebelum kami berlalu pergi, sempatlah group hug kami satu keluarga. Babai anak mama. Belajar rajin-rajin, sembahyang, tau. 

Kami pun berlalu keluar kawasan. Masa sampai di Taman Botani, masih di Ipoh, sebab kami singgah Zus, beli kopi, Sulaiman cakap, boleh outing, masuk sebelum 6 petang. Aik... jadi kami suruh Sulaiman tunggu dekat pagar gate B. Ibubapa bila keluar memang tak boleh masuk dah, sebab lepas tengahari, ada sesi kursus lain pula untuk mendaftar.

Lepas ambil Sulaiman, kami ke Aeon Mall Kinta City. Bolehlah singgah supermarket beli sabun cuci baju. Itu je barang dia belum cukup. Sempat makan tengahari bersama di medan selera.

Nasi goreng daging
Saya makan nasi goreng daging

Ada sup kosong diberi sekali. Saya dan suami baru break IF, first meal of the day, pukul 1. Alhamdulillah. Sedap, makanan beli di sini. Orang pun ramai. Memang meriah Aeon sini. 

Lepas beli sabun cuci baju, kami pun balik, hantar Sulaiman ke PUO semula. Tak adalah nak tunggu sampai pukul 6 petang. Orait la tu, rezeki dapat makan bersama. 

Masa hantar dekat pintu pagar B itu, ada kereta ibubapa lain yang hantar anak baru masuk. Kereta depan ni, nampak mak dia lap airmata, lepas anak berlalu pergi. Alamak... tapi saya control je, tolonglah tolonglah, janganlah jangkit kat aku. Depan anak kena beri dia sokongan dan galakan. Kita nangis dalam hati je, okay.

Insya-Allah, Sulaiman akan baik-baik saja. Lepas balik bilik, Sulaiman kemas barang dia, pasang cadar apa semua. Sebab kami ada pengalaman dulu, cadar kena beli saiz super single. Kalau cadar single biasa, memang tak muat sebab tilam asrama jenis tebal. Semua okay. Beg travel pula, saya bagi Sulaiman pakai beg umrah je. Sulaiman pun okay dia kata, tak perlu beli beg travel baru sebab beg mama tu pun besar, boleh muat banyak barang dan ada roda empat tayar. Lagilah senang, tolak je, beg berjalan.

Saya dan suami masih borak dengan Sulaiman melalui whatsapp, sambil berhenti solat jamak di surau stesen minyak Shell. Masih di Ipoh.

Dia letak emoji budak nangis pula 😢

Tipulah kalau tak sedih, wei. Baby saya paling kecil, budak Sulaiman ni.

Sulaiman masa baby, dengan arwah Opah
Sulaiman masa baby, dengan arwah Opah. Gambar tahun 2009.

Ini pertama kali baby mama ni duduk jauh. Kesemua tiga-tiga anak saya, masa lanjutkan pelajaran lepas SPM, baru tinggalkan rumah. Mereka tidak masuk asrama waktu sekolah menengah. Sunyi dan rindu rasa malam semalam. Hafizan yang waktu ini sedang cuti sebelum masuk semester baru, pun kata pagi ini, rumah nampak pelik. Sebab selalu kalau bangun pagi, mesti ada Sulaiman duduk dekat komputer di ruang tamu itu. Pagi ini, cuma nampak kerusi kosong. Huwaaa..... mama nangis dalam hati. Semoga Allah beri saya ketabahan dan redha, Sulaiman pun kuat dan tabah, belajar berdikari dan boleh belajar dengan baik. Semangat! 💪

Insya-Allah, dia okay. Sulaiman pandai cari makan, dan dia tidak cerewet. Lain anak, lain perangai. Semalam pun dia ada whatsapp pukul 8 malam, dia di cafe, dengan kawan-kawan. 

Kucing dekat cafe
Sulaiman hantar gambar kucing dekat cafe

Insya-Allah, semua akan baik-baik saja. Selamat sudah, hantar anak bongsu sambung belajar. Syukur Alhamdulillah.

Baik. Semoga hari minggu anda semua ceria dan selamat beristirehat di samping keluarga.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Sibuk sikit, dan bunga-bunga

 Minta maaf sebab saya tak sempat nak blogwalking ke banyak blog kawan-kawan. Baru sempat singgah 3-4 blog saja. 

Sibuk persiapan Sulaiman

Saya sibuk sikit, dua tiga hari ni. Cari barang Sulaiman nak daftar Poli minggu depan. Sulaiman tu, plus size, sampai ke Ipoh cari seluar saiz dia. Alhamdulillah, dapat juga. Masa pergi jumpa doktor, doktor nasihat suruh jaga makan sikit. Tekanan darah dia tinggi tau, masa pergi klinik pertama. Saya dah risau. Suami kata, itu biasa, bila jumpa doktor, blood pressure pun naik. Yang klinik pertama ni, doktor tak mahulah lengkapkan report kesihatan dan suruh datang semula minggu depan. 

Keesokannya, pergi klinik kedua la, klinik lain. Pun blood pressure Sulaiman tinggi. Tapi doktor ni pandai, dia check Sulaiman bahagian lain dulu, sambil sembang-sembang, santai-santai. Last sekali baru dia kembali semula ambil blood pressure Sulaiman. Elok, normal. Alhamdulillah. Akhirnya siap laporan kesihatan Sulaiman nak dibawa masa daftar. 

Saya nasihat Sulaiman untuk jaga pemakanan. Dia seorang ikut gen belah keluarga saya, semua adik beradik arwah mama saya badan besar-besar. Sulaiman cakap, Insya-Allah, dia cuba. Saya pun harap begitu la. Tapi biasanya bila duduk asrama ni, jalan kaki banyak, kan. Semoga badan dia bolehlah mengecil sikit, sebab susah nak cari pakaian untuk saiz besar ini.

Hari ni pula, ada urusan nak ke pejabat penghulu bahagian kedua. Hehe.. nak lengkapkan dokumen perlu hantar waktu daftar nanti. Insya-Allah, nanti free, slow-slow saya blogwalking ya. 

Buah naga hilang

Oh, lupa nak cerita. Dua hari lepas, sampai saja rumah dari Ipoh, tengok pasu kaktus saya terbalik. Habis keluar pokok dan tanah. Kerja si beruks la, siapa lagi, kan. Dia ingat kaktus tu, ada buah kot. Sungguhlah pelik, sebab masa suami saya nak kembalikan kaktus ke pasu dan kambus semula, dia terkena bulu kaktus halus, itu pun dia pakai sarung tangan. Kome bayangkan mulut si beruk tu camana. Tahan menatang ni, kena duri kaktus. Buah-buah naga yang saya cerita dalam entri Pokok Buah Naga itu pun, sudah selamat dicuri dan dimakan oleh beruks. Ada kesan atas simen. Buah naga warna purple terang dan berbiji halus warna hitam. Elok kejadian buah naga kami, kome wei... sedaplah si beruks tu makan. Rezeki beruk. Sampailah nak lagi, itu yang sampai pokok kaktus pun terbalik. Sangat bijak kan, dia boleh kenal spesies pokok yang sama.

Sementara itu, jomlah kita tenangkan hati kita di hari Khamis ini, dengan melihat bunga-bunga yang kembang di halaman rumah. 😊

🌷 Ros pink

Ros pink
Wangi bau ros ni. 🥰 

Gambar bunga ros pink yang sama, ya. Boleh klik gambar untuk lihat lebih jelas. 

Pink rose

Bahagian tengah bunga ros yang berwarna coklat dan bertekstur kasar itu mengandungi organ pembiakan pokok tersebut, sila rujuk gambar di atas. Komponen utama yang terdapat di bahagian tengah itu:
🌹 Stamen: Organ pembiakan jantan yang terdiri dari anter (bahagian yang menghasilkan debunga) dan filamen (tangkai halus). 
🌹 Pistil: Terletak di tengah-tengah stamen, ini adalah organ pembiakan betina yang terdiri dari stigma, stil dan ovari. Stigma berfungsi untuk menerima debunga.

🌷 Bunga ulam raja

Bunga ulam raja
Comel pula saya tengok

Bunga ini apabila sudah kering di pokok, kelopak bunganya akan gugur dan meninggalkan struktur panjang warna hitam atau coklat tua. Itulah biji benih ulam raja yang bersedia untuk disemai.

Bunga pokok ulam raja

🌷 Ros kampung

Ros kampung warna merah pekat
Merah pekat warna dia.

Ros merah ini, saiz dia lebih kecil dari ros pink di atas. Belalang kecil cukup suka makan daun pokok ros kampung ini. Saya lupa nak bau bunga dia. 

Biasalah tu, kan. Patutlah ada perumpamaan Inggeris berbunyi, "stop and smell the roses". Berhenti sejenak dari kesibukan hidup kita ini untuk menikmati dan menghargai keindahan hidup. 

Jangan terburu-buru atau stress mengejar sesuatu sampai lupa menikmati hal-hal kecil yang berharga.

Semoga urusan anda semua hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Bulan, lari, masak

 Cerita pada 1 Jun yang lepas. Tak ada benda menarik yang nak diceritakan. Kami tak pergi bercuti ke mana-mana, waktu cuti sekolah ini. Jalan dekat-dekat saja.

Kena jimat-jimat juga. Sebab nak pakai banyak pitih, anak nak masuk politeknik. Sudah ada pengalaman dari anak nombor dua, jadi roughly sudah ada idea berapa nak belanja. 

1 Jun yang lepas bersamaan dengan 15 Zulhijjah. Bulan mengambang penuh.

Bulan di langit pada 15 Zulhijjah 1447H.
Pagi hari, lepas subuh, ambil gambar bulan.

Lawanya bulan di langit. 🥰 Suami ajak jogging di padang. Kalau ikutkan saya, memang malas, nak berkebun saja di rumah. Tapi, bolehlah, layan kaki kejap.

Jogging dan rekod guna Garmin Connect.
58 minit saja berjogging.

Dapat jarak 5 kilometer. Alhamdulillah. Letih rasa hari itu. Lama tak lari di padang. Suami kata, cuba berjalan laju saja, lain kali, macam dia. Saya tak boleh, bila datang padang, automatik rasa nak lari. Itulah, lahir tahun kuda. Jumpa padang, jadi lupa diri, lupa lutut terpeleot, ingin lari jauh tinggalkan segalanya, kalau boleh. 

Balik rumah tu, saya masuk dapur, masak. 

Sayur campur
Sayur campur lagi.

Besar-besar potongan tomato saya letak. 

Ayam goreng Ayamas
Ayam goreng Ayamas.

Ada budak tidak makan daging. Jadi, goreng ayam juga sikit. 

Inilah yang saya masak daging goreng kunyit guna daging korban orang kasi. Itu hari entri baki lauk ini keluar dulu. Silap teknik, tidak mengikut tarikh kejadian. Takpe la ya. 

Daging goreng kunyit
Daging goreng kunyit

Saya rebus dalam periuk atas dapur saja. Kalau daging import, kena masuk pressure cooker. Alhamdulillah, lembut daging. Anak-anak ambil banyak, makan dengan nasi. Sulaiman cakap sedap. Esoknya pun dia bertanya lagi, daging kunyit ada lagi tak? 

Saya rasa macam dapat lebih sekilo daging korban ni. Sebab dari pengalaman beli daging sekilo di pasar, tak adalah banyak macam ni. Saya pun tak pasti. Apa pun, rezeki anak-anak, Alhamdulillah.

Hari ni hari Sabtu, kome. Cuti sekolah dah nak berakhir. Selamat berehat di hujung minggu, semua.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Pengesahan dokumen

 Cerita pada 29 Mei 2026 yang lepas. Ada salinan dokumen perlu pengesahan. Sukacita dimaklumkan, anak bongsu saya, Sulaiman, dapat tawaran memasuki Politeknik Ungku Omar (PUO), sama tempat dengan anak kedua, Hafizan. Syukur Alhamdulillah. 

Sekarang tengah buat persiapan sikit-sikit. Hari itu, perlu dapatkan cop dan pengesahan salinan dokumen diakui sah oleh pegawai kerajaan. Seperti yang lepas-lepas, saya suka pergi ke sekolah saja, untuk dapatkan tandatangan pengetua.

Sekolah anak
Sekolah Sulaiman

Ambil gambar dari dalam kereta. Aci guard cakap, tunggu pukul 8 ya, baru naik pejabat. Baiklah. Pukul 8 pagi, saya masuk pejabat sekolah. Kerani sekolah kata, hari sebelumnya, Hari Raya Kedua AidilAdha, Pengetua ada datang. Hari Jumaat itu, raya ketiga, dia pun tidak pasti siapa akan masuk pejabat. Kalau nak, boleh tunggu. Saya bertanyakan tentang sijil SPM Sulaiman. Sijil SPM pun belum ready. Jadi, saya pun blah dulu.

Curi selipar surau sekolah, gagal SPM
Lintas depan surau

Masa on the way ke kereta dari pejabat sekolah, saya lalu surau. Ternampak selipar surau, tertulis Curi Gagal SPM. Hehe.. saya rasa ini surau guru dan kakitangan. Ada surau murid-murid di blok asing dekat kantin. Sekolah ini sekolah dua sesi.

Bagitahu suami akan ketiadaan pengetua. Suami cadang kami pergi Pejabat Penghulu pula. Ajom...

Pejabat Penghulu Mukim Lumut
Buka, Pejabat Penghulu

Pejabat Penghulu Mukim Lumut. Giliran suami pula masuk. Dari pengalaman lepas-lepas, selalu Penghulu dan kerani semua lelaki. Tengok-tengok, penghulu sudah bertukar. Penghulu baru, perempuan. Suami saya boleh ingat yang Puan Penghulu tu kerani. Hehe.. kami pun tak tahu langsung yang perempuan boleh jadi Tok Penghulu. Puan Penghulu yang cop, dia yang tandatangan. Settle, Alhamdulillah. Peramah, Puan Penghulu. Siap bercerita, sebelum itu, pelajar UniKL dah datang. Ini pelajar Politeknik pula (Sulaiman). Ye la, musim budak-budak masuk intake baru universiti dan kolej.

Selesai urusan pengesahan dokumen, kami ke pejabat pos pula, untuk pos dokumen yang sudah disahkan ke pihak politeknik.

Kita buat persiapan sikit-sikit. Nak beli laptop untuk Sulaiman, pakaian nak pergi kelas, dan sebagainya. Kurang 3 minggu lagi untuk pendaftaran. Kadang tu, saya sudah mula rasa sedih. Sebab lepas ni, mama tinggal seorang la, dekat rumah. Tak ada kawan dah. Anak sulung, Amirul, belum habis UiTM Dungun, Hafizan dan Sulaiman di Ipoh. Walaupun satu negeri, tapi 2 jam lebih juga kalau ke Ipoh. 🥹 Takpe la, mestilah sambung belajar, takkan sampai ke tua bawah ketiak mak. 

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share: