Wednesday, June 3, 2026

Hadiah dari Faa

June 03, 2026 2 Comments

 Saya telah menjadi top pengomen bulan Mei di blog Faa. Alhamdulillah. Saya jenis yang kalau anda tinggal komen, saya akan balas kunjungan ke blog orang yang mengomen. Begitu cara saya. Cuma bila saya ada masa lapang, barulah saya dapat mengunjungi blog kawan-kawan lain. 

Klik sini 👉 Entri saya menjadi top pengomen Mei di blog Faa 

Faa ada beritahu nombor rujukan bungkusan, jadi saya sudah sedia maklum yang hadiah on the way. 

Hadiah Faa sampai semalam. Waktu Amirul keluar rumah petang, tak ada lagi atas tembok. Waktu suami pergi Ipoh dan balik malam pun dia tak perasan. Lepas tu, hujan ok, semalam. Sini sudahlah jarang-jarang hujan.

Pagi ini, suami saya balik kerja barulah dia nampak ada bungkusan besar di tembok pagar. Jadi, kotak bungkusan basah satu bahagian. Mujur luar kotak ada plastik. 

Jom kita buka bungkusan.

Air purifier hadiah dari kawan blogger
Air Purifier! 😍

Kelihatan basah kotak, ditimpa hujan semalam. Tapi ada plastik yang balut kotak. Kotak pula agak tebal. Alhamdulillah, barang di dalam selamat dan kering.

Swiss Thomas Air Purifier
Tadaaa...

Swiss Thomas Air Purifier. Masya-Allah.. 🥰 rumah saya tak ada alat ini. Diffuser adalah. Diffuser tu buat udara wangi. Air purifier pula membersihkan udara dalam rumah, ada filter di bahagian dalam. Maaf, gambar di atas agak gelap. rumah saya lampu romantik, malap saja. 

Air purifier membersihkan udara dalam rumah
Berfungsi dengan baik.

Wah... Alhamdulillah... Terasa lebih segar udara dalam rumah. 

Saya ambil video sekali.

Suka saya. Terharu pun ada. Terima kasih banyak kepada blogger Faa, atas hadiah yang berharga ini. Semoga Faa sihat-sihat selalu, murah rezeki dan dirahmati Allah serta bahagia hidup dengan suami di Australia tu. 🤲

Bagi yang belum mengenali Faa, jemput singgah ke blog beliau 👉 my name is faa

Syukur Alhamdulillah. 😊

Jumpa lagi, ya. 💗

Tuesday, June 2, 2026

Pengesahan dokumen

June 02, 2026 8 Comments

 Cerita pada 29 Mei 2026 yang lepas. Ada salinan dokumen perlu pengesahan. Sukacita dimaklumkan, anak bongsu saya, Sulaiman, dapat tawaran memasuki Politeknik Ungku Omar (PUO), sama tempat dengan anak kedua, Hafizan. Syukur Alhamdulillah. 

Sekarang tengah buat persiapan sikit-sikit. Hari itu, perlu dapatkan cop dan pengesahan salinan dokumen diakui sah oleh pegawai kerajaan. Seperti yang lepas-lepas, saya suka pergi ke sekolah saja, untuk dapatkan tandatangan pengetua.

Sekolah anak
Sekolah Sulaiman

Ambil gambar dari dalam kereta. Aci guard cakap, tunggu pukul 8 ya, baru naik pejabat. Baiklah. Pukul 8 pagi, saya masuk pejabat sekolah. Kerani sekolah kata, hari sebelumnya, Hari Raya Kedua AidilAdha, Pengetua ada datang. Hari Jumaat itu, raya ketiga, dia pun tidak pasti siapa akan masuk pejabat. Kalau nak, boleh tunggu. Saya bertanyakan tentang sijil SPM Sulaiman. Sijil SPM pun belum ready. Jadi, saya pun blah dulu.

Curi selipar surau sekolah, gagal SPM
Lintas depan surau

Masa on the way ke kereta dari pejabat sekolah, saya lalu surau. Ternampak selipar surau, tertulis Curi Gagal SPM. Hehe.. saya rasa ini surau guru dan kakitangan. Ada surau murid-murid di blok asing dekat kantin. Sekolah ini sekolah dua sesi.

Bagitahu suami akan ketiadaan pengetua. Suami cadang kami pergi Pejabat Penghulu pula. Ajom...

Pejabat Penghulu Mukim Lumut
Buka, Pejabat Penghulu

Pejabat Penghulu Mukim Lumut. Giliran suami pula masuk. Dari pengalaman lepas-lepas, selalu Penghulu dan kerani semua lelaki. Tengok-tengok, penghulu sudah bertukar. Penghulu baru, perempuan. Suami saya boleh ingat yang Puan Penghulu tu kerani. Hehe.. kami pun tak tahu langsung yang perempuan boleh jadi Tok Penghulu. Puan Penghulu yang cop, dia yang tandatangan. Settle, Alhamdulillah. Peramah, Puan Penghulu. Siap bercerita, sebelum itu, pelajar UniKL dah datang. Ini pelajar Politeknik pula (Sulaiman). Ye la, musim budak-budak masuk intake baru universiti dan kolej.

Selesai urusan pengesahan dokumen, kami ke pejabat pos pula, untuk pos dokumen yang sudah disahkan ke pihak politeknik.

Kita buat persiapan sikit-sikit. Nak beli laptop untuk Sulaiman, pakaian nak pergi kelas, dan sebagainya. Kurang 3 minggu lagi untuk pendaftaran. Kadang tu, saya sudah mula rasa sedih. Sebab lepas ni, mama tinggal seorang la, dekat rumah. Tak ada kawan dah. Anak sulung, Amirul, belum habis UiTM Dungun, Hafizan dan Sulaiman di Ipoh. Walaupun satu negeri, tapi 2 jam lebih juga kalau ke Ipoh. 🥹 Takpe la, mestilah sambung belajar, takkan sampai ke tua bawah ketiak mak. 

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Monday, June 1, 2026

Makan malam harijadi

June 01, 2026 17 Comments

 Cerita pada 20 Mei 2026 yang lepas. Sebab kita sudah claim kek dari Zus, tak perlulah beli kek lagi. Kita makan di kedai tomyam sajalah, untuk makan malam.

Saya dan suami pergi ke Restoran Nurhayati Maju. Dekat saja dengan rumah. Senang. Anak-anak masa ini belum balik lagi. Amirul bertolak petang dari Dungun, dan awal pagi baru dia selamat tiba di rumah. Kami makan berdua je. Sulaiman pun ada hal. Jom tengok.

Nasi goreng biasa Restoran Nurhayati Maju
Nasi goreng biasa untuk saya

Banyak bahan di dalam nasi goreng, ada ayam, sotong. Nasi pun membukit.

Nasi goreng kampung Restoran Nurhayati Maju
Nasi goreng kampung untuk suami

Kegemaran suami, kalau makan yang goreng-goreng, mesti dia pesan nasi goreng kampung. Sedap nasinya, cukup rasa segala.

Udang goreng tepung Restoran Nurhayati Maju
Udang goreng tepung

Saja, buat tambah lauk. Udang segar, rangup cicah sos cili thai.

Sambal belacan dan telur dadar Restoran Nurhayati Maju
Sambal belacan dan telur dadar

Itu kali terakhir kami makan di kedai Nurhayati Maju sebelum kedai ditutup, cuti Raya Haji. Orang kedai kata, deme nak balik Pattani. Kedai siam ni kalau tutup, lama kan, mau sebulan juga. Alaa.. hilang sementara port makan sedap kami. 

Alhamdulillah. Lepas makan, rasa perut gendut. Itu cerita makan malam masa harijadi saya yang lepas.

Hari ni, cuti umum. Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang Dipertuan Agong. Kome pergi jalan mana tu? Ke, balik kampung?

Selamat bercuti, teman-teman bloggers semua. Saya doakan anda semua berbahagia selalu. Stay safe. Jumpa lagi, ya. 💗

Sunday, May 31, 2026

Pokok- pokok di rumah

May 31, 2026 29 Comments

Rasa macam sudah lama saya tak kongsikan gambar-gambar pokok. Ater.. jomlah kita tengok...

Pokok lidah buaya

Dekat rumah saya memang banyak pokok lidah buaya. Ada yang sampai melimpah-ruah keluar dari pasu. Oleh itu, hari itu, saya ambil anak pokok lidah buaya dan saya tanam dalam polibeg. Kalau kawan-kawan blogger nak pokok lidah buaya, meh la datang rumah saya di Lumut. Saya nak bagi free je. Saya tak boleh pos, sebab pokok ini, daunnya mudah patah. 

Anak pokok lidah buaya
Sudah pindah anak pokok lidah buaya

Nama lain bagi pokok lidah buaya ialah aloe vera. Daunnya tebal berduri dan mengandungi gel jernih yang kaya dengan vitamin dan antioksidan. Pokok lidah buaya ini sangat mudah dijaga dan terkenal sebagai penawar semulajadi untuk merawat luka kecil, melegakan kulit yang kena sunburn, serta sebagai bahan kecantikan.

Pokok lidah buaya atau aloe vera
Close-up pokok lidah buaya

Manfaat utama pokok lidah buaya:

🌱 Penjagaan kulit: Gelnya bersifat anti radang dan melembapkan. Sesuai digunakan untuk merawat kulit terbakar akibat cahaya matahari dan membantu memudarkan jeragat.

🌱 Penyembuhan luka: Digunakan secara tradisional untuk meredakan ekzema, gatal-gatal, dan kesan melecur.

🌱 Kesihatan dalaman: Jika diproses dengan betul, jus lidah buaya dikatakan membantu melancarkan sistem penghadaman.

Cara penjagaan pokok lidah buaya:

🌷 Pendedahan cahaya: Memerlukan cahaya matahari yang banyak tetapi elakkan daripada terus terdedah kepada terik matahari yang terlalu ekstrem.

🌷 Siraman air: Siram hanya apabila lapisan tanah atas kelihatan kering. Jangan terlalu kerap menyiram kerana akarnya mudah reput.

🌷 Tanah: Gunakan tanah yang mempunyai saliran yang baik untuk mengelakkan air bertakung.

Tips berguna:

Jika ingin guna gelnya, potong bahagian daun yang paling luar. Pastikan anda buang bahagian getah kuning yang terletak di bawah kulit daun kerana ia boleh menyebabkan kerengsaan atau cirit-birit jika tertelan.

Ha, kot ada yang sampai ke daerah Manjung dan nak pokok aloe vera, bolehlah rujuk page Contact untuk hubungi saya. 

Jom tengok pokok lain pula, yang saya ada ambil gambar.

Pokok keladi merah

Macam batik pun ada, corak daun pokok keladi di atas. Pokok ini suka tempat teduh, jadi ia duduk di bawah bumbung. Saya sudah beli pasu lebih besar di kedai Eco, dan selamat sudah pindahkan. 

Pokok kenanga

Bunga tradisional yang baunya harum semerbak. 

Ulam raja

Saya petik ulam raja, buat ulam, makan dengan nasi, cicah budu. Bila malas nak masak sayur, memang petik saja ulam raja. Sedap juga makan dengan sambal belacan atau tempoyak. 😋

Pokok ros kampung

Bunganya kecik saja. Spesies ros ini lebih tahan panas dan mudah dijaga berbanding ros dari tanah tinggi.

Ceri barbados dan daun limau purut

Nama lain, ceri cina atau ceri Terengganu. Rasanya, macam rasa buah cermai. Saya pun confuse juga ada sekali dulu saya petik, rasa manis, yang warna merah gelap dan masak ranum. Yang saya petik di atas, rasa masam pula. Hehe.. 

Selalunya memang tak sempat bertukar warna merah. Beruk akan ambil makan. Tapi entah beruk di perumahan ini macam sudah bertukar haluan, depa guna jalan lain, tidak lalu tepi rumah saya. Bagus sangatlah tu, selamat pokok-pokok di rumah saya. Alhamdulillah. 

Daun limau purut pula saya ambil buat masak lauk ayam padprik. Alhamdulillah, kalau nak guna lengkuas, halia dan kunyit, saya sudah tak perlu beli di kedai. Saya cuma perlu korek saja. Setiap kali nak guna pun, ambil sikit saja, lebih kurang seinci. Kalau pokok kunyit tu, daunnya sudah bertukar warna kuning, bermakna kita sudah boleh ambil kunyitnya. Ada sekali saja dulu, saya korek ambil kunyitnya dan tanam banyak tempat. Bila malas, saya biarkan saja. Pokok kunyit akan mati. Tapi jika kita tetap siram, nanti akan naik daun baru, sebab kunyit dalam tanah masih ada. 

Okay. Sekian perkongsian pokok-pokok di rumah. Lain kali, saya akan kongsikan pokok-pokok lain pula.

Selamat berehat di hujung minggu. Jumpa lagi, ya. 💗

Saturday, May 30, 2026

Jalan pagi Teluk Batik

May 30, 2026 25 Comments

 Cerita pada 14 Mei 2026 yang lepas. Saya dan suami pergi jalan pagi di Teluk Batik. Lama tak datang sini. Tukar-tukar tempat. Biasanya kami jalan pagi di Padang Astaka Sitiawan. Ini kali, kita pergi tengok laut pula.

Ada masanya beruk ini keluar satu keluarga. Waktu kami baru nak mula jalan, ada satu keluarga besar beruk baru keluar, mengerumuni seluruh jalan laluan kami. Satu keluarga beruk diketuai beruk paling tua, ibu beruk bawa anak, dan banyak la ye. Kami tak mahu ambil risiko, sebab pagi itu, kami tak bawa kayu. Jadi, kita u-turn sajalah, cari jalan masuk lain untuk ke pantai.

Kucing Teluk Batik
Halo.. kucing

Tak ada ramai orang pun di Teluk Batik, pagi-pagi. Beruk lagi banyak dari orang. 😁

Cuaca agak mendung di Teluk Batik
Cuaca agak mendung

Kami bukan jalan laju pun. Santai-santai saja, melawat kawasan, tengok keindahan laut.

Kawasan camp site di Teluk Batik

Tak ada satu pun yang berkhemah. Hari bekerja, kan. Hujung minggu mungkin ada. Saya ambil video ombak.

Bunyi ombak agak kuat. Pantai pun sudah tidak seperti dahulu. Banyak terjadi hakisan. Lambat laun pihak berwajib kena letak batu-batu penahan ombak rasanya. 

Jalan pagi menggunakan Garmin
28 minit saja berjalan.

Dapat jarak 1.63 kilometer. Tempat pun suram, kita pun malas nak buat looping. Banyak beruk. Banyak anjing. 

Petting zoo pun dah lama mati. Dan jam saya pun turut mati. Banyak itu sajalah sempat rekod aktiviti berjalan kami pada pagi itu.

Sekian aktiviti berjalan pagi di kawasan Teluk Batik. Kalau nak cari tempat bercuti boleh mandi laut dan berkelah, saya rasa, Teluk Senangin lebih okay sikit kot, dari Teluk Batik. Tapi ada sekali kami ke Teluk Senangin, ombak besar juga. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, May 29, 2026

Sarapan di Omak Den Cafe Batu Gajah

May 29, 2026 30 Comments

 Cerita pada 13 Mei 2026 yang lepas. Saya dan suami dalam perjalanan nak ke Ipoh, ambil Hafizan di PUO. 

Mula-mula memang ingat nak teruskan IF. Tapi masa masih banyak, nak habiskan masa hingga waktu Hafizan habis kelas, jadi ambil keputusan untuk lepak pekena sarapan dulu la. Hehe.. 

Jomlah kita cari tempat yang kita tak pernah pergi. Jalan-jalan cari makan. Yeh.. 

Buat carian google, dan tempat ini termasuk dalam senarai port sarapan sedap di Batu Gajah. Jom kita...

Banner Omak Den Cafe
Moh ler sarapan di Omak Den Cafe.

Nama kedai makan, Omak Den Cafe. Masya-Allah, lokasinya di tengah kampung, jauh dari jalan besar. Kami yang sudah biasa dengan pekan Batu Gajah tu pun, tak pernah sampai sini, dan tidak tahu akan kewujudan kampung dan penempatan tersembunyi di tempat pejabat kerajaan dan lebih kurang dekat taman awam itu.

Waktu operasi: 7 pagi hingga 12.30 tengahari. Isnin hingga Sabtu.

Nasi berlauk Kelate pun ada di Omak Den Cafe
Nasi berlauk Kelate pun ada

Berhadapan dengan Omak Den Cafe ini, penuh dengan kenderaan orang makan di sini, jadi kami pun parking agak jauh sikit dari depan kedai. 

Menu yang popular adalah roti canai, mee kari, teh tarik, mee goreng, nasi lemak ayam panggang, roti telur, roti bakar telur goyang, dan banyak lagi. 

Waktu kami sampai, penuh orang dalam kedainya. Tapi ada je tempat kosong. 

Nasi kerabu bihun
Suami pesan nasi kerabu

Meriah kan, nasi kerabu dia. Suami ambil lauk daging. Warna pink tu, bihun.

Di Kelantan, bihun goreng biasanya berwarna merah atau merah jambu, dihidangkan bersama nasi kerabu. 

Nasi kerabu di atas lengkap dengan ulam-ulaman, sambal kelapa, kuah tumis, bila gaul-gaul, rasa padu! 😋

Mee rebus di Omak Den Cafe
Saya pesan mee rebus

Okay la rasa mee rebus dia. Tapi kuah macam masin sikit, bagi saya. Tapi tak boleh lawan mee rebus makcik bawah pokok padang Astaka, Sitiawan. Hehe..

Nasi kerabu suami harga RM10.

Total sarapan kami pagi itu, RM19.50.

Alhamdulillah. Sedap. Boleh datang lagi sini lain kali, kalau nak sarapan lagi di Batu Gajah, Perak. Boleh cuba menu lain pula.

Sekian perkongsian. Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, May 27, 2026

Salam Aidiladha

May 27, 2026 26 Comments

 Selamat Hari Raya Korban kepada semua pembaca sekalian. 😊

Pagi tadi, saya masak nasi lemak untuk hidangan hari raya. Orang masak rendang ke apa, saya masak nasi lemak. 

Hidangan pagi raya
Hidangan pagi raya

Penerangan gambar di atas, dari kiri ada ikan bilis yang digoreng garing, tauhu goreng, ikan belanak masam, ayam goreng baki Texas Chicken semalam, sambal tumis ikan bilis dalam periuk, telur rebus, timun dan masak padprik lauk baki dalam peti ais.

Semalam, kakak sulung saya belanja hidangan buka puasa kami lima beranak, dia pesan GrabFood untuk kami, ayam Texas Chicken. Ada baki 5 ketul lagi, saya panaskan pagi tadi.

Hidangan buka puasa semalam, ayam Texas Chicken
Hidangan buka puasa semalam

Berbalik kepada hidangan hari raya hari ini iaitu nasi lemak, laris ya... Alhamdulillah.. 

Sarapan nasi lemak homemade di pagi raya Korban
Sarapan saya

Sampai saya ulang masak nasi lemak di waktu tengahari untuk makan malam pula, sebab lauk masih ada, nasi habis.

Suami makan bertambah, saya makan bertambah. Sedapnya, nasi lemak homemade. 😋

Pada yang turut serta melakukan ibadah korban, semoga amalan korban diterima, semoga anda semua bergembira di musim cuti hari raya ini. 

Apa yang kita lakukan, niat untuk mencari redha Allah. Bukan soal besar atau kecil pengorbanan kita, tapi ikhlasnya hati kita dalam melakukan  pengorbanan tersebut tanpa mengharapkan ganjaran.

Ucapan selamat hari raya dari kakak sulung saya.

Salam Aidiladha pada semua... 

Jumpa lagi, ya. 💗

Tuesday, May 26, 2026

Pertama kali beli pokok online

May 26, 2026 28 Comments

 Jadi, oleh kerana sudah tahu akan khasiat pokok belalai gajah yang saya ceritakan dalam entri sebelum ini, saya pun usahalah mencari anak pokoknya untuk ditanam di rumah.

Dulu-dulu memang ada pokok belalai gajah di rumah, tapi mati pokoknya, tak lama lepas mama saya meninggal. 

Saya ada jumpa anak pokok belalai gajah di Pasar Minggu Bota Kanan. Saya beli, harga RM7. Sudah selamat pindahkan dari polibeg dan tanam di tepi rumah. Pokok ini boleh besar, jadi itulah yang saya tak tanam dalam pasu. Biar atas tanah saja.

Tapi saya being me, suka ada back-up plan, beli lagi satu anak pokok belalai gajah dari shopee. Harga RM6. Kos pos percuma. Pertama kali saya beli pokok online. Tapi saya baca dulu review kedai pokoknya, ramai review pokok selamat sampai dan pembungkusan terbaik. Jom tengok...

Beli anak pokok belalai gajah dari shopee
Inilah pokoknya.

Suka dan teruja, beli pokok. 😍 Tak sabar tunggu sampai. Penjual pokok lokasinya di Perak juga. Hari ini saya pesan, esoknya bungkusan pun sampai.

Pembungkusan yang bagus dan selamat
Pembungkusan yang bagus dan kemas.

Ada ditampal sticker 'Pokok Hidup' @ 'Live plant' pada kotak.

Penghantaran pantas. Alhamdulillah, selamat sampai. Jom buka kotak.

Anak pokok dalam.kotak
Elok terletak anak pokok tu.

Memang kotak khas yang betul-betul muat saiz anak pokok. Jadi pokok itu tidak bergerak-gerak. Saya keluarkan anak pokok dari kotak dengan hati-hati.

Anak pokok dalam keadaan baik
Pokok dalam keadaan baik.

Saya rasa dengan jari, tanah masih lembab. Wah... 👍

Saya sudah selamat tanam anak pokok ini di tepi rumah juga. Hingga saya tulis entri ini, Alhamdulillah, kedua pokok belalai gajah yang saya baru tanam hidup sihat.

Ok... Lepas ni nak beli pokok apa pulak? Hehe.. tak, tak, saya gurau saja. 

Bagus penjual pokok ini, pandai membalut pokok. Sekian cerita pertama kali saya beli pokok hidup dari shopee. Sebelum ini, pernah beli biji benih saja.

Baik. Selamat berpuasa kepada yang puasa sunat hari ini, Hari Arafah. Jangan lupa doa banyak-banyak. Jumpa lagi. 💗

Monday, May 25, 2026

Cerita Papa dan Kami

May 25, 2026 24 Comments

Cerita Papa 

Pada 8 Mei yang lepas, harijadi bapa saya. Kakak sulung bawa Papa pergi sarapan di Kedai Atok Legacy di Rawang. Saya pun pernah sarapan sini, kakak yang bawa, ada saya cerita di entri ini 👉 Sarapan di Kedai Atok Legacy.

Harijadi Papa saya pada 8 haribulan, sementara harijadi saya pula 20 Mei. 😊 Papa saya memang menetap di Rawang. Selepas pemergian Mama saya, Papa saya berkahwin dengan makcik. Lepas tu, ada tinggal di Teluk Intan, kemudian di Chenderong Balai, juga di Perak. Tapi berpindah ke Rawang, untuk memudahkan urusan rawatan makcik di hospital Serdang.

Papa menyambut harijadi yang ke-79 tahun baru-baru ini. 

Papa sarapan lontong darat
Papa pesan lontong darat

Kegemaran Papa saya, antaranya, lontong. Minuman pula, teh tarik. Kakak beli tiramisu juga untuk Papa. Pertama kali Papa cuba makan tiramisu. Kakak siap ambil video. 😁

Beberapa minit kemudian...


Kali terakhir masa saya berkesempatan sembang dengan Papa di rumahnya, saya ada bertanya khabar dia, dan sebagainya. Saya tanya keputusan ujian darah di hospital dia macamana. Dia kata, semua ok. Doktor siap puji lagi dia, cakap very good la result pakcik! Hehe.. padahal bapa saya suka minum teh tarik kalau keluar bersarapan di luar.

Ini membangkitkan rasa jeles dan musykil di hati saya. Saya ini, dah la tak makan dan minum benda manis, tapi result kolesterol saya tinggi, tapi bapa saya yang suka makan benda manis ni, result boleh okay saja. Ye, saya tahu, banyak faktor yang boleh buat kolesterol kita tinggi. Inflamation dalam badan, tabiat pemakanan yang suka ambil makanan berproses, dan banyak faktor lain. Tapi saya sajalah, sekadar berborak dengan Papa. Saya pun tanya Papa, camana result kolesterol Papa boleh normal?

Papa pun cerita, seminggu sebelum appoinment nak jumpa doktor, hari-hari dia minum air rendaman daun pokok belalai gajah. Hehe.. lepas tu, saya pun teringat la pada arwah Mama saya dulu pun ada buat benda sama. Waktu pagi, Mama rendam cawan air panas ada 2-3 helai daun pokok belalai gajah. Tapi tengahari atau petang baru dia minum. Sebab Mama tak suka air itu ada rasa kurang sedap, setiap kali lepas minum, Mama akan makan coklat macam kitkat, untuk hilangkan rasa tak sedap dalam mulut tu. Hehe.. jadi, tak jadilah ya. Sebab ambil benda manis. 

Bapa saya boleh tahan, minum saja, dia kata hari-hari. Itu yang result darah dia semua normal. Wah... menarik untuk dicuba, petua ini. Saya tulis di sini sebagai perkongsian sesama pembaca blog ini. Minum air daun pokok belalai gajah, ya. 

Papa masih pandu kereta 3 kali seminggu ke pusat dialisis di bandar Rawang, untuk bawa Makcik buat dialisis. Sesekali waktu pagi, Papa ke masjid. Cuma Papa sudah tak memandu jarak jauh. Sebab kami melarang Papa, risau keselamatannya. Tapi Papa kadang senyap-senyap saja, pergi kenduri di Segamat, drive sendiri, pergi beraya di Taiping, waktu raya puasa hari tu. Steady bapakku, semoga Papa terus sihat dan kuat. 

Cerita kami

Itu cerita Papa. Cerita saya dan suami di Perak pula, pada hari tersebut, kami pergi sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut ala Thai di Pekan Lumut. Jom tengok kami makan apa. 

Pinggan sarapan saya
Pinggan saya

Nasi putih sesenduk bersama ikan masak pindang, acar timun (acar nasi dagang) sebab lauk sayur dia belum siap, itu aje sayur yang ada, begedil dan sambal belacan. Begedil celup telur yang dipukul dan digoreng sungguhlah sedap. Lepas tu, saya boleh pula musykil camana kolesterol boleh tinggi, sedangkan suka makan makanan bergoreng, ye tak? Hehe.. teruk betul saya ni. 

Pinggan sarapan suami saya
Pinggan sarapan suami

Nasi putih tenggelam di bawah lauk daging goreng kunyit yang banyaknya dia ambil, dengan acar timun juga, dan sambal belacan. 

Alhamdulillah, sedap sarapan di sini. Lauk semua ada rasa.

Balik rumah, berkebun, menebas dan siram pokok sekejap sebelum cuaca panas. 

Daun pokok belalai gajah, rendam dengan air panas
Rendam air daun pokok belalai gajah

Saya minum secawan teh daun belalai gajah. Gambar di atas, pertama kali saya cuba minum. Saya tak terus minum, sebab saya guna air panas. Tunggu suam airnya, baru saya cuba. Ha ah, ada rasa kurang sedap sikit. Tapi demi khasiatnya, saya telan juga, dengan daun-daun sekali. Hahaha... pengaruh Papa saya.

Sekian cerita pada 8 Mei yang lepas.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Saturday, May 23, 2026

Pertama kali cuba Kopi Rakyat

May 23, 2026 41 Comments

Cerita pada 8 Mei yang lepas. Baru buka, kedai Kopi Rakyat di Aeon Mall Seri Manjung. Kopi Rakyat ini adalah jenama tempatan. 

Biji kopinya berasal dari Johor. Saya ada perasan juga bila datang ke sini, tapi tak pernah cuba. Pada hari itu, suami off kerja, jadi bolehlah kami lepak-lepak mencuba kopi.

Kopi Rakyat Aeon Mall Seri Manjung
Ada seorang saja pekerja

Kedainya ada jual pelbagai jenis kopi, minuman non-coffee, pelbagai roti dan pastries. Lepas buat pesanan di kaunter, kami pun duduk. Tak ada pelanggan lain, kami saja, pukul 10 pagi sudah terpacak di mall. 

Hadiah cabutan bertuah Kopi Rakyat
Hadiah motor

Kalau belanja cecah RM30, layak untuk masuk cabutan bertuah. Kena upload video menikmati kopi dan upload di Instagram atau TikTok. Peraduan hingga 31 Mei. Kami tak layak masuk sebab kami cuma belanja RM18.

Sementara tunggu kopi siap, main handphone dulu
Suamiku sementara tunggu kopi siap

Patutnya kena ambil di sudut Pick-up di kaunter. Tapi adik tu hantar sampai ke meja kami, sebab tengok kami ni dah tua kot. Masa nak pesan kopi sebelum tu pun, lama berdiri depan dia, tak tahu nak pesan kopi apa. 😅

Kopi Rakyat pesanan kami
Kopi siap! 

Suami pesan latte ais dan saya pesan.. sebenarnya saya lupa saya pesan kopi apa. Resit sudah hilang, tapi rasanya saya pesan kopi klasik O. Dua-dua tanpa gula. Lawa dia punya cawan. 

Pesan pau perasa ayam bbq juga.

Kongsi makan sebiji pau dengan suamiku. Kopi dia sangat pekat. Sudahlah kosong. Memang terbeliak biji mata saya sampai ke malam. 😂 Pada pendapat saya, rasa kopinya ada sedikit persamaan macam kopi Saigon.  Lain kali bolehlah cuba pesan kopi lain pula. Sebab pesan kopi kosong, memang tak sedap. Americano saya biasa minum di kedai lain, semuanya sedap ditelan walau tanpa gula. Yang ini, rasa terseksa sikit nak habiskan secawan. Ada pilihan untuk kita bila beli kopi di sini, sama ada nak gula extra, normal, half atau slight. 

Sekian cerita pertama kali kami mengopi di Kopi Rakyat. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗 Selamat berehat di hujung minggu.

Friday, May 22, 2026

Bihun goreng dan cerita semalam

May 22, 2026 28 Comments

 Salam Jumaat yang mulia. Syukur atas nikmat dan rezeki yang diberi olehNya. 

Dalam draf entri ini, ada gambar sekeping saja saya upload, pada 7 Mei yang lepas.

Saya masak bihun goreng
Saya masak bihun goreng.

Walaupun nampak plain saja, sayur pun tak ada, tapi sedap ye, bihun saya masak (suami cakap). Hehe... Kembang lubang hidungku. Adalah letak ketulan ayam sikit, fish cake sikit. 

Tahukah anda, bihun goreng adalah makanan kegemaran saya sejak kecil lagi? Saya suka sangat bihun goreng dan sate. Kalau ibubapa bawa makan luar, dua menu itu saja yang saya akan pesan. 😋

Cerita semalam

Kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi. Yang mengaji pun belum habis lagi. Dia daftar diri dia sendiri, tapi boleh masukkan dua orang ahli keluarga secara percuma.

Itu yang semalam ada kuliah online.  Sejujurnya, saya rasa sedikit berat, kerana malam-malam adalah waktu tidur saya. Semua kelas nanti waktu malam. Aduh.. tapi mujur suami saya offer pergi beli kopi semalam. Alhamdulillah, segar sikit mata ni, nak mengadap ceramah. Ceramah apa?

Ceramah online Ustazah Siti Nor Bahyah

Tajuk: Luahan Cinta Allah disebalik 7 Kalam Agung Alfatihah. 

Oleh pasangan Dato Ustazah Siti Nor Bahyah dan suami beliau, Ustaz Wan Akashah. 

Ramai yang join melalui Google Meet ni. Sudah lama tak guna Google Meet. Saya tengok jumlah kehadiran sampai 500 orang. Masya-Allah.

Setiap makna dalam Al-Fatihah dikupas dengan menarik dan ada juga yang buat saya tersentuh hati. Sikit pun saya tak rasa mengantuk. 

Semoga lepas ni, saya boleh baca perlahan sikit Alfatihah masa solat, dan menghayati dengan kusyuk dan otak boleh fokus. 

Ceramah surah AlFatihah oleh Ustazah Siti Nor Bahyah
Saya buka di laptop

Mula pukul 9 malam, habis pukul 11 malam. Alhamdulillah. 

Minggu lepas saya ada tanya suami saya, macamana nak join ceramah ke, majlis ilmu ke di masjid dekat rumah? Suami pun bagitahu la, kan ada papan kenyataan di masjid, rujuk la situ. Tapi setahu saya, dekat bahagian orang perempuan solat, tak ada papan kenyataan. Kena keluar ke luar tempat orang lelaki masuk itu kot, baru ada. Kadang tu, saya tengok banner ada penceramah atau ustaz dikenali datang, tapi saya selalu terlepas tarikh. Sudah lama tak ikuti majlis ilmu. Tengok-tengok kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi satu ini, selain kelas mengaji online yang sudah sedia ada. Syukur Alhamdulillah. 🥰 Dapat juga saya belajar sesuatu. 

Anak-anak saya yang duduk asrama sudah balik. Amirul cuti pertengahan semester sekali dengan cuti raya. Hafizan pun ada, balik cuti raya haji. Alhamdulillah. Meriah rumah.

Harap anda yang sedang baca entri saya ni, sihat sejahtera dan bahagia selalu.

Jumpa lagi. 💗

Thursday, May 21, 2026

Pinjam buku lagi

May 21, 2026 30 Comments

 Pada 24 April yang lepas, saya ada pergi ke Perpustakaan Komuniti Aeon Mall Seri Manjung. Kadang memang ada rasa nak membaca, jadi saya pinjam buku. 

Banyak buku ada. Tak tahu mana satu menarik untuk dibaca. Oh, dalam perpustakaan itu macam panas sikit, aircond tak berapa kuat. Patutlah meja pustakawan itu ada letak kipas meja. Masa sedang belek-belek, mencari buku, ada terfikir untuk isi borang aduan yang ada disediakan di bahagian supermarket Aeon. Tapi bila keluar perpustakaan saja, terus terlupa.

Pada hari itu, saya pinjam buku bertajuk Perempuan Limited Edition.

Karya Izzati Elya, Rizki Ayu Amaliah dan Ummu Kalsum Iqt. 

Buku ini kategori Bantu Diri atau Self-Help.

Entah kenapa saya kurang berminat baca buku cerita atau fiksyen.

Muka depan buku Perempuan Limited Edition
Muka depan

Kulit belakang buku Perempuan Limited Edition
Kulit belakang buku

Buku ini membawa kisah-kisah inspiratif dan pelbagai pesanan untuk menjadi perempuan yang mahal dan diredhai Allah.

Antara bab, ada ilustrasi yang saya kira, lukisan menggunakan watercolor yang cantik. 

Antara isi menarik

Perempuan ini sering dikaitkan dengan sifat malu. Tapi perempuan zaman sekarang, ramai yang sudah hilang sifat malu itu. Ada juga hujah yang berkait rapat dengan wanita zaman sekarang. Pakai tudung pun, ikut fesyen, menampakkan bentuk leher, dan macam-macam lagilah.

Ada juga yang kena atas batang hidung saya sendiri. Tapi baguslah, itu sebab saya pinjam buku sebegini, supaya saya sedar diri dan beringat. Ye la, kita kan mudah lupa. 

Saya sudah pun pulangkan buku ini pada 9 Mei yang lepas. Saya pinjam sebuah buku saja pada satu masa. Nak habiskan baca sebuah pun ambil masa pada saya. Tapi saya cuba juga baca sekurang-kurangkan sehelai sebelum tidur. 

Buat masa ini, saya belum pinjam lagi buku. Tunggu seru membaca datang lagi, barulah saya akan pergi.

Sekian perkongsian tentang buku kedua yang saya pinjam dari perpustakaan ini. Saya tulis di blog buat rekod saya.

Jumpa lagi. 💗

Wednesday, May 20, 2026

Sudah tua

May 20, 2026 36 Comments

 Saya tak berkebun pun hari ni. Hujan sejak sebelum subuh lagi. Allah beri cuti sempena harijadi saya hari ini, 20 Mei. 

Zus bagi voucher sempena harijadi
Notifikasi dari app Zus

Zus bagi voucher kek, beli 1 percuma 1. Ada juga voucher makanan panas percuma.

Sudah claim voucher kek beli 1, percuma 1, dari Zus

Dengan pantas, saya pergi claim. 😁

Saya pilih Biscoff Baked Cheesecake dan Summer Berries Cheesecake.

Bab makan sedap memang efficient sungguh.

Summer berries cheesecake dari Zus
Summer berries cheesecake

Sedapnya! 😋

Hari ini, umur saya 48 tahun. Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki tak terhitung banyaknya dariNya.

Semuanya saya sudah ada. Saya tak minta apa-apa lagi. Semuanya sudah cukup dalam hidup saya. Kecuali nak pergi haji saja. Nak dekatkan diri padaNya. Mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. 

Semoga hari anda semua ceria hari ini, dan kalian semua berbahagia dunia akhirat. 

Jumpa lagi, ye. 💗