Tuesday, May 26, 2026

Pertama kali beli pokok online

May 26, 2026 1 Comments

 Jadi, oleh kerana sudah tahu akan khasiat pokok belalai gajah yang saya ceritakan dalam entri sebelum ini, saya pun usahalah mencari anak pokoknya untuk ditanam di rumah.

Dulu-dulu memang ada pokok belalai gajah di rumah, tapi mati pokoknya, tak lama lepas mama saya meninggal. 

Saya ada jumpa anak pokok belalai gajah di Pasar Minggu Bota Kanan. Saya beli, harga RM7. Sudah selamat pindahkan dari polibeg dan tanam di tepi rumah. Pokok ini boleh besar, jadi itulah yang saya tak tanam dalam pasu. Biar atas tanah saja.

Tapi saya being me, suka ada back-up plan, beli lagi satu anak pokok belalai gajah dari shopee. Harga RM6. Kos pos percuma. Pertama kali saya beli pokok online. Tapi saya baca dulu review kedai pokoknya, ramai review pokok selamat sampai dan pembungkusan terbaik. Jom tengok...

Beli anak pokok belalai gajah dari shopee
Inilah pokoknya.

Suka dan teruja, beli pokok. 😍 Tak sabar tunggu sampai. Penjual pokok lokasinya di Perak juga. Hari ini saya pesan, esoknya bungkusan pun sampai.

Pembungkusan yang bagus dan selamat
Pembungkusan yang bagus dan kemas.

Ada ditampal sticker 'Pokok Hidup' @ 'Live plant' pada kotak.

Penghantaran pantas. Alhamdulillah, selamat sampai. Jom buka kotak.

Anak pokok dalam.kotak
Elok terletak anak pokok tu.

Memang kotak khas yang betul-betul muat saiz anak pokok. Jadi pokok itu tidak bergerak-gerak. Saya keluarkan anak pokok dari kotak dengan hati-hati.

Anak pokok dalam keadaan baik
Pokok dalam keadaan baik.

Saya rasa dengan jari, tanah masih lembab. Wah... 👍

Saya sudah selamat tanam anak pokok ini di tepi rumah juga. Hingga saya tulis entri ini, Alhamdulillah, kedua pokok belalai gajah yang saya baru tanam hidup sihat.

Ok... Lepas ni nak beli pokok apa pulak? Hehe.. tak, tak, saya gurau saja. 

Bagus penjual pokok ini, pandai membalut pokok. Sekian cerita pertama kali saya beli pokok hidup dari shopee. Sebelum ini, pernah beli biji benih saja.

Baik. Selamat berpuasa kepada yang puasa sunat hari ini, Hari Arafah. Jangan lupa doa banyak-banyak. Jumpa lagi. 💗

Monday, May 25, 2026

Cerita Papa dan Kami

May 25, 2026 14 Comments

Cerita Papa 

Pada 8 Mei yang lepas, harijadi bapa saya. Kakak sulung bawa Papa pergi sarapan di Kedai Atok Legacy di Rawang. Saya pun pernah sarapan sini, kakak yang bawa, ada saya cerita di entri ini 👉 Sarapan di Kedai Atok Legacy.

Harijadi Papa saya pada 8 haribulan, sementara harijadi saya pula 20 Mei. 😊 Papa saya memang menetap di Rawang. Selepas pemergian Mama saya, Papa saya berkahwin dengan makcik. Lepas tu, ada tinggal di Teluk Intan, kemudian di Chenderong Balai, juga di Perak. Tapi berpindah ke Rawang, untuk memudahkan urusan rawatan makcik di hospital Serdang.

Papa menyambut harijadi yang ke-79 tahun baru-baru ini. 

Papa sarapan lontong darat
Papa pesan lontong darat

Kegemaran Papa saya, antaranya, lontong. Minuman pula, teh tarik. Kakak beli tiramisu juga untuk Papa. Pertama kali Papa cuba makan tiramisu. Kakak siap ambil video. 😁

Beberapa minit kemudian...


Kali terakhir masa saya berkesempatan sembang dengan Papa di rumahnya, saya ada bertanya khabar dia, dan sebagainya. Saya tanya keputusan ujian darah di hospital dia macamana. Dia kata, semua ok. Doktor siap puji lagi dia, cakap very good la result pakcik! Hehe.. padahal bapa saya suka minum teh tarik kalau keluar bersarapan di luar.

Ini membangkitkan rasa jeles dan musykil di hati saya. Saya ini, dah la tak makan dan minum benda manis, tapi result kolesterol saya tinggi, tapi bapa saya yang suka makan benda manis ni, result boleh okay saja. Ye, saya tahu, banyak faktor yang boleh buat kolesterol kita tinggi. Inflamation dalam badan, tabiat pemakanan yang suka ambil makanan berproses, dan banyak faktor lain. Tapi saya sajalah, sekadar berborak dengan Papa. Saya pun tanya Papa, camana result kolesterol Papa boleh normal?

Papa pun cerita, seminggu sebelum appoinment nak jumpa doktor, hari-hari dia minum air rendaman daun pokok belalai gajah. Hehe.. lepas tu, saya pun teringat la pada arwah Mama saya dulu pun ada buat benda sama. Waktu pagi, Mama rendam cawan air panas ada 2-3 helai daun pokok belalai gajah. Tapi tengahari atau petang baru dia minum. Sebab Mama tak suka air itu ada rasa kurang sedap, setiap kali lepas minum, Mama akan makan coklat macam kitkat, untuk hilangkan rasa tak sedap dalam mulut tu. Hehe.. jadi, tak jadilah ya. Sebab ambil benda manis. 

Bapa saya boleh tahan, minum saja, dia kata hari-hari. Itu yang result darah dia semua normal. Wah... menarik untuk dicuba, petua ini. Saya tulis di sini sebagai perkongsian sesama pembaca blog ini. Minum air daun pokok belalai gajah, ya. 

Papa masih pandu kereta 3 kali seminggu ke pusat dialisis di bandar Rawang, untuk bawa Makcik buat dialisis. Sesekali waktu pagi, Papa ke masjid. Cuma Papa sudah tak memandu jarak jauh. Sebab kami melarang Papa, risau keselamatannya. Tapi Papa kadang senyap-senyap saja, pergi kenduri di Segamat, drive sendiri, pergi beraya di Taiping, waktu raya puasa hari tu. Steady bapakku, semoga Papa terus sihat dan kuat. 

Cerita kami

Itu cerita Papa. Cerita saya dan suami di Perak pula, pada hari tersebut, kami pergi sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut ala Thai di Pekan Lumut. Jom tengok kami makan apa. 

Pinggan sarapan saya
Pinggan saya

Nasi putih sesenduk bersama ikan masak pindang, acar timun (acar nasi dagang) sebab lauk sayur dia belum siap, itu aje sayur yang ada, begedil dan sambal belacan. Begedil celup telur yang dipukul dan digoreng sungguhlah sedap. Lepas tu, saya boleh pula musykil camana kolesterol boleh tinggi, sedangkan suka makan makanan bergoreng, ye tak? Hehe.. teruk betul saya ni. 

Pinggan sarapan suami saya
Pinggan sarapan suami

Nasi putih tenggelam di bawah lauk daging goreng kunyit yang banyaknya dia ambil, dengan acar timun juga, dan sambal belacan. 

Alhamdulillah, sedap sarapan di sini. Lauk semua ada rasa.

Balik rumah, berkebun, menebas dan siram pokok sekejap sebelum cuaca panas. 

Daun pokok belalai gajah, rendam dengan air panas
Rendam air daun pokok belalai gajah

Saya minum secawan teh daun belalai gajah. Gambar di atas, pertama kali saya cuba minum. Saya tak terus minum, sebab saya guna air panas. Tunggu suam airnya, baru saya cuba. Ha ah, ada rasa kurang sedap sikit. Tapi demi khasiatnya, saya telan juga, dengan daun-daun sekali. Hahaha... pengaruh Papa saya.

Sekian cerita pada 8 Mei yang lepas.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Saturday, May 23, 2026

Pertama kali cuba Kopi Rakyat

May 23, 2026 33 Comments

Cerita pada 8 Mei yang lepas. Baru buka, kedai Kopi Rakyat di Aeon Mall Seri Manjung. Kopi Rakyat ini adalah jenama tempatan. 

Biji kopinya berasal dari Johor. Saya ada perasan juga bila datang ke sini, tapi tak pernah cuba. Pada hari itu, suami off kerja, jadi bolehlah kami lepak-lepak mencuba kopi.

Kopi Rakyat Aeon Mall Seri Manjung
Ada seorang saja pekerja

Kedainya ada jual pelbagai jenis kopi, minuman non-coffee, pelbagai roti dan pastries. Lepas buat pesanan di kaunter, kami pun duduk. Tak ada pelanggan lain, kami saja, pukul 10 pagi sudah terpacak di mall. 

Hadiah cabutan bertuah Kopi Rakyat
Hadiah motor

Kalau belanja cecah RM30, layak untuk masuk cabutan bertuah. Kena upload video menikmati kopi dan upload di Instagram atau TikTok. Peraduan hingga 31 Mei. Kami tak layak masuk sebab kami cuma belanja RM18.

Sementara tunggu kopi siap, main handphone dulu
Suamiku sementara tunggu kopi siap

Patutnya kena ambil di sudut Pick-up di kaunter. Tapi adik tu hantar sampai ke meja kami, sebab tengok kami ni dah tua kot. Masa nak pesan kopi sebelum tu pun, lama berdiri depan dia, tak tahu nak pesan kopi apa. 😅

Kopi Rakyat pesanan kami
Kopi siap! 

Suami pesan latte ais dan saya pesan.. sebenarnya saya lupa saya pesan kopi apa. Resit sudah hilang, tapi rasanya saya pesan kopi klasik O. Dua-dua tanpa gula. Lawa dia punya cawan. 

Pesan pau perasa ayam bbq juga.

Kongsi makan sebiji pau dengan suamiku. Kopi dia sangat pekat. Sudahlah kosong. Memang terbeliak biji mata saya sampai ke malam. 😂 Pada pendapat saya, rasa kopinya ada sedikit persamaan macam kopi Saigon.  Lain kali bolehlah cuba pesan kopi lain pula. Sebab pesan kopi kosong, memang tak sedap. Americano saya biasa minum di kedai lain, semuanya sedap ditelan walau tanpa gula. Yang ini, rasa terseksa sikit nak habiskan secawan. Ada pilihan untuk kita bila beli kopi di sini, sama ada nak gula extra, normal, half atau slight. 

Sekian cerita pertama kali kami mengopi di Kopi Rakyat. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗 Selamat berehat di hujung minggu.

Friday, May 22, 2026

Bihun goreng dan cerita semalam

May 22, 2026 22 Comments

 Salam Jumaat yang mulia. Syukur atas nikmat dan rezeki yang diberi olehNya. 

Dalam draf entri ini, ada gambar sekeping saja saya upload, pada 7 Mei yang lepas.

Saya masak bihun goreng
Saya masak bihun goreng.

Walaupun nampak plain saja, sayur pun tak ada, tapi sedap ye, bihun saya masak (suami cakap). Hehe... Kembang lubang hidungku. Adalah letak ketulan ayam sikit, fish cake sikit. 

Tahukah anda, bihun goreng adalah makanan kegemaran saya sejak kecil lagi? Saya suka sangat bihun goreng dan sate. Kalau ibubapa bawa makan luar, dua menu itu saja yang saya akan pesan. 😋

Cerita semalam

Kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi. Yang mengaji pun belum habis lagi. Dia daftar diri dia sendiri, tapi boleh masukkan dua orang ahli keluarga secara percuma.

Itu yang semalam ada kuliah online.  Sejujurnya, saya rasa sedikit berat, kerana malam-malam adalah waktu tidur saya. Semua kelas nanti waktu malam. Aduh.. tapi mujur suami saya offer pergi beli kopi semalam. Alhamdulillah, segar sikit mata ni, nak mengadap ceramah. Ceramah apa?

Ceramah online Ustazah Siti Nor Bahyah

Tajuk: Luahan Cinta Allah disebalik 7 Kalam Agung Alfatihah. 

Oleh pasangan Dato Ustazah Siti Nor Bahyah dan suami beliau, Ustaz Wan Akashah. 

Ramai yang join melalui Google Meet ni. Sudah lama tak guna Google Meet. Saya tengok jumlah kehadiran sampai 500 orang. Masya-Allah.

Setiap makna dalam Al-Fatihah dikupas dengan menarik dan ada juga yang buat saya tersentuh hati. Sikit pun saya tak rasa mengantuk. 

Semoga lepas ni, saya boleh baca perlahan sikit Alfatihah masa solat, dan menghayati dengan kusyuk dan otak boleh fokus. 

Ceramah surah AlFatihah oleh Ustazah Siti Nor Bahyah
Saya buka di laptop

Mula pukul 9 malam, habis pukul 11 malam. Alhamdulillah. 

Minggu lepas saya ada tanya suami saya, macamana nak join ceramah ke, majlis ilmu ke di masjid dekat rumah? Suami pun bagitahu la, kan ada papan kenyataan di masjid, rujuk la situ. Tapi setahu saya, dekat bahagian orang perempuan solat, tak ada papan kenyataan. Kena keluar ke luar tempat orang lelaki masuk itu kot, baru ada. Kadang tu, saya tengok banner ada penceramah atau ustaz dikenali datang, tapi saya selalu terlepas tarikh. Sudah lama tak ikuti majlis ilmu. Tengok-tengok kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi satu ini, selain kelas mengaji online yang sudah sedia ada. Syukur Alhamdulillah. 🥰 Dapat juga saya belajar sesuatu. 

Anak-anak saya yang duduk asrama sudah balik. Amirul cuti pertengahan semester sekali dengan cuti raya. Hafizan pun ada, balik cuti raya haji. Alhamdulillah. Meriah rumah.

Harap anda yang sedang baca entri saya ni, sihat sejahtera dan bahagia selalu.

Jumpa lagi. 💗

Thursday, May 21, 2026

Pinjam buku lagi

May 21, 2026 26 Comments

 Pada 24 April yang lepas, saya ada pergi ke Perpustakaan Komuniti Aeon Mall Seri Manjung. Kadang memang ada rasa nak membaca, jadi saya pinjam buku. 

Banyak buku ada. Tak tahu mana satu menarik untuk dibaca. Oh, dalam perpustakaan itu macam panas sikit, aircond tak berapa kuat. Patutlah meja pustakawan itu ada letak kipas meja. Masa sedang belek-belek, mencari buku, ada terfikir untuk isi borang aduan yang ada disediakan di bahagian supermarket Aeon. Tapi bila keluar perpustakaan saja, terus terlupa.

Pada hari itu, saya pinjam buku bertajuk Perempuan Limited Edition.

Karya Izzati Elya, Rizki Ayu Amaliah dan Ummu Kalsum Iqt. 

Buku ini kategori Bantu Diri atau Self-Help.

Entah kenapa saya kurang berminat baca buku cerita atau fiksyen.

Muka depan buku Perempuan Limited Edition
Muka depan

Kulit belakang buku Perempuan Limited Edition
Kulit belakang buku

Buku ini membawa kisah-kisah inspiratif dan pelbagai pesanan untuk menjadi perempuan yang mahal dan diredhai Allah.

Antara bab, ada ilustrasi yang saya kira, lukisan menggunakan watercolor yang cantik. 

Antara isi menarik

Perempuan ini sering dikaitkan dengan sifat malu. Tapi perempuan zaman sekarang, ramai yang sudah hilang sifat malu itu. Ada juga hujah yang berkait rapat dengan wanita zaman sekarang. Pakai tudung pun, ikut fesyen, menampakkan bentuk leher, dan macam-macam lagilah.

Ada juga yang kena atas batang hidung saya sendiri. Tapi baguslah, itu sebab saya pinjam buku sebegini, supaya saya sedar diri dan beringat. Ye la, kita kan mudah lupa. 

Saya sudah pun pulangkan buku ini pada 9 Mei yang lepas. Saya pinjam sebuah buku saja pada satu masa. Nak habiskan baca sebuah pun ambil masa pada saya. Tapi saya cuba juga baca sekurang-kurangkan sehelai sebelum tidur. 

Buat masa ini, saya belum pinjam lagi buku. Tunggu seru membaca datang lagi, barulah saya akan pergi.

Sekian perkongsian tentang buku kedua yang saya pinjam dari perpustakaan ini. Saya tulis di blog buat rekod saya.

Jumpa lagi. 💗

Wednesday, May 20, 2026

Sudah tua

May 20, 2026 36 Comments

 Saya tak berkebun pun hari ni. Hujan sejak sebelum subuh lagi. Allah beri cuti sempena harijadi saya hari ini, 20 Mei. 

Zus bagi voucher sempena harijadi
Notifikasi dari app Zus

Zus bagi voucher kek, beli 1 percuma 1. Ada juga voucher makanan panas percuma.

Sudah claim voucher kek beli 1, percuma 1, dari Zus

Dengan pantas, saya pergi claim. 😁

Saya pilih Biscoff Baked Cheesecake dan Summer Berries Cheesecake.

Bab makan sedap memang efficient sungguh.

Summer berries cheesecake dari Zus
Summer berries cheesecake

Sedapnya! 😋

Hari ini, umur saya 48 tahun. Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki tak terhitung banyaknya dariNya.

Semuanya saya sudah ada. Saya tak minta apa-apa lagi. Semuanya sudah cukup dalam hidup saya. Kecuali nak pergi haji saja. Nak dekatkan diri padaNya. Mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. 

Semoga hari anda semua ceria hari ini, dan kalian semua berbahagia dunia akhirat. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Monday, May 18, 2026

Taik kucing dan cara mengatasi

May 18, 2026 34 Comments

Pagi-pagi keluar rumah sepatutnya hirup udara segar. Tapi pagi itu, tanggal 6 Mei 2026, bau sungguhlah busuk, bau taik kucing. Eh, itu ejaan pasar. Tahi atau najis kucing. Baru bunyi lebih sopan.

Kucing zaman sekarang, tidak macam kucing zaman dulu. Kalau berak, mesti di pasir dan kambus tutup taiknya. Tapi kucing sekarang, atas rumput pun boleh melepas. 

Bukan kucing saya. Saya tak bela kucing. Kucing jiran tetangga. 

Tengoklah bagaimana keadaan taik kucing itu. Kalau elok kejadiannya, boleh diambil guna cangkul, dan buang ke kawasan luar rumah. Tapi kalau taik cirit, bau dia memang kuat la... mencemar betul dan buat mood rasa nak marah je. 

Saya biasanya ambil tanah di dalam longkang, dan kambus taik itu. Ini boleh menghilangkan bau taik serta- merta. Kita juga boleh nampak lebih jauh dan tak lah terpijak bila kita melalui kawasan tersebut. 

Taik kucing atas rumput yang dikambus dengan tanah
Kawasan onar

Dekat pokok limau kasturi, ada beberapa buah yang gugur ke tanah. Saya ambil buah limau kasturi itu dan kupas kulitnya, dan tabur di sekeliling kawasan taik kucing itu, untuk hilangkan bau kalau kucing datang lagi ke kawasan itu dan cuba buat onar lagi di kawasan yang sama. Inilah langkah paling pantas untuk saya. Macamana pun, di sini saya kongsikan hasil carian saya untuk mengatasi masalah taik kucing di rumah kita.

Minta maaf kalau entri ini banyak bahasa pasar dan perkataan kurang sopan yang anda bayangkan, jadi imej yang kurang enak. 

Cara atasi kucing berak atas rumput

🍄 Untuk menghalang kucing berak atas rumput, cuci kawasan tersebut untuk menghilangkan bau, kemudian gunakan bahan berbau kuat seperti campuran cuka/air, serai, bawang putih, atau kopi yang tidak disukai kucing. 

🍄 Cara fizikal seperti botol air merah, pagar penghadang, atau menanam pokok berduri juga berkesan.

🍄 Hilangkan bau terlebih dahulu. Kucing akan kembali ke tempat sama jika ada bau lama. Cuci kawasan tersebut dengan sabun atau bahan pencuci enzim.

🍄 Semburan DIY: Campur cuka, air dan sabun. Kemudian sembur di keliling perimeter rumah.

Kucing jiran yang datang berak rumah orang
Yang disyaki

🍄 Serai dan bawang putih: Kisar 2 labu bawang putih dan 3-4 batang serai, campur air dan tapis. Sembur air tapisan di kawasan kucing berak.

🍄 Tabur serbuk kopi atau kulit limau kasturi/nipis yang berbau tajam pada rumput.

🍄 Tabur sedikit serbuk lada hitam atau lada sulah pada kawasan tumpuan.

🍄 Botol air merah: Isi botol plastik lutsinar dengan air dan sirap merah (atau pewarna makanan), susun di sekeliling rumput.

🍄 Pasang pagar rendah atau cat spike mat (tikar berduri plastik) di atas tanah.

🍄 Tabur sedikit makanan kucing di kawasan tersebut (kucing tidak berak di tempat makan).

🍄 Hidung kucing 14 kali lebih kuat derianya berbanding hidung manusia. Bau citrus yang wangi pada kita, sebenarnya menjadi 'Biohazard Area' pada kucing. Tabur kulit lemon atau buah oren di kawasan sepatutnya.

🍄 'Scaredy cat plant' atau 'Coleus canina' adalah tumbuhan yang mengeluarkan bau yang kucing tidak suka, tetapi tidak berbau apa-apa bagi manusia. Silalah cari tumbuhan ini.

🍄 Tabur serbuk kopi yang sudah digunakan. Serbuk kopi adalah baja yang bagus tapi baunya sangat menyengat bagi kucing. Baiklah. Lain kali saya brew kopi atas dapur, saya akan ingat untuk simpan serdak kopinya.

Untuk hasil terbaik, pastikan anda menggunakan bahan-bahan di atas secara konsisten, terutamanya selepas hujan.

Botol air sirap berkesankah?

Saya selalu nampak orang letak botol air sirap di tembok antara rumah. Berkesan ke kaedah botol air sirap itu?

Kucing tak takut pun botol air sirap
Gambar dari carian google

Memang tak berkesan pun! Ceh! 😂 Mitos semata-mata. Saya buat kajian sikit lebih mendalam dan berikut info yang saya dapat.

Kucing sebenarnya rabun warna, dan tidak dapat melihat warna merah dengan jelas. Walaupun begitu, ramai yang masih menggunakan petua botol air sirap ini kerana dipercayai pantulan cahaya daripada air dalam botol tersebut boleh menakutkan kucing, terutamanya pada waktu malam. 

Selain isi botol dengan air sirap, ramai pengguna mendapati botol berisi air kosong tanpa label juga berkesan kerana ia memantulkan imej kucing itu sendiri, membuatkan mereka berasa terancam. 

Kaedah penghalang fizikal seperti tikar berduri plastik (cat spike mat) atau susun batu-batu kecil/kerikil di atas rumput juga didapati lebih berkesan. Kucing tidak suka memijak permukaan yang tidak rata atau tajam untuk berak.

Penyembur air automatik juga salah satu alternatif jika kita punyai bajet lebih. Cuba pasang motion-activated sprinkler yang akan menyembur air secara automatik apabila mengesan pergerakan kucing.

Cerita saya

Ada satu hari tu, saya sudah siap menggembur tanah untuk semai benih sayur sawi. Bila kita nak tanam sayur kan, kita buat macam batas. Kita semai biji benih atas batas itu. Nak dijadikan cerita, esoknya, saya dapati ada taik kucing atas batas sayur saya. Gila betul! Kurang ajor punya kucing! Sebab tanah yang digembur kan lembut. Tapi kucing tu berak tak kambus, elok taik terletak atas batas sayur. 

Suami saya pun ambil taik tu dan buang luar rumah. Saya tutup batas sayur saya dengan pagar hiasan kecil yang saya pernah beli dari Daiso. Ia supaya kawasan semaian masih boleh disiram tapi kucing tak boleh pijak. Saya juga tabur kulit limau kasturi di sekeliling tempat kejadian. 

Begitulah ujian bercucuk-tanam di rumah saya ini. Selain beruk yang curi buah, kucing pun selalu buat onar juga. Hmmm.. sabar je la. 

Sekian perkongsian. 

Selamat berpuasa pada yang puasa sunat. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Sunday, May 17, 2026

Gambar makanan saja

May 17, 2026 26 Comments

Bila hari Sabtu dan Ahad, macam senyap sunyi saja blog. Hehe.. tak ramai yang blogwalking hujung minggu ni. 

Entri ini, saya kongsi gambar makanan saja, dari merata-rata tempat. Biasalah, kita kan seorang blogger, semua benda nak ambil gambar, nak kongsikan di blog. Hehe.. jom tengok...

Set nasi ayam padprik
Set nasi ayam padprik.

Hidangan di atas, semasa kami pergi Aeon Mall Station 18, Ipoh. Pergi ambil anak kedua, Hafizan. Kalau pergi Ipoh, tak ambil Hafizan, pergi hantar dia balik politeknik. Itu jer la. Pi mai pi mai. Makan tengahari, set nasi ayam masak padrik, ada telur dadar sekali. Telur dadar dia ada bawang juga. Harga berpatutan. Rasa boleh tahan. 

Telur dadar sayur
Telur dadar sayur

Tumis dulu sayuran seperti kobis dan lobak merah dengan bawang putih dan bawang merah. Tumis guna extra virgin olive oil. Kemudian, tuang dua biji telur yang telah dipukul. Makan malam saya pada 12 Mei yang lepas. Tak sedap di tekak saya, tapi telan saja. Saya lebih prefer makan oat dengan buah daripada telur dadar sayur. 

Set nasi ikan bawal
Set nasi ikan bawal

Hidangan di atas, saya punya makan malam di Aeon Mall Manjung pada 14 Mei. Set ikan bawal. Ada tauhu dan tempe, tapi tidak kelihatan dalam gambar, ada di bawah ikan. Macam nasi penyet atau geprek juga. Tapi ada kicap. Kicap pedas dituangnya atas ikan bawal yang digoreng. Sedap! 😋 Licin ikan bawal. Sambal dia pun sedap! Harga RM16.90.

Masa hari itu, bawa anak-anak berjalan. Asyik memerap di rumah saja. Lepas makan, singgah Madam Croffle. Pesan pencuci mulut. Hehe.. Lagipun anak-anak tak pernah merasa. Mak bapak pernah merasa sekali dulu, ada saya kongsikan di sini 👉 Pertama kali makan di Madam Croffle.

Tiramisu croffle
Tiramisu croffle

Tiramisu croffle di atas, harganya RM11.90. Anak-anak kongsi makan berdua. Tapi mak ada juga mencelah makan 2-3 suap. Crofflenya lembut di dalam, rangup bila kita gigit. Bila mengunyah dalam mulut rasa syurga! 😋😍 Diet letak tepi kejap. Hidup untuk dinikmati.

Oat and berry croffle
Oat and berry croffle.

Oat and berry croffle di atas pula harganya RM11.90 juga. Sedap!!! Yang ini lebih sedap dari perasa tiramisu. Nyum nyum... senyum lebar dapat makan benda sedap. Alhamdulillah...

Ayam masak sup siam
Ayam masak sup siam

15 Mei, saya masak sup siam ayam. Saya tidak tumis supnya. Rebus air je, masukkan perencah sup siam, ayam potongan kecil sikit dari biasa, letak sayur sekali seperti kobis, lobak merah dan bendi kutip dari kebun kecilku. Saya masukkan juga jus dari limau kasturi, dalam 3-4 biji, bagi tambah masam. 

Telur rebus dan sayuran
Telur rebus dan sayuran.

Ini pula makan malam saya 15 Mei. Ada telur rebus sebiji. Saya ambil lauk ayam sup siam di atas berserta sayur-sayuran yang ada dalam sup. Saya tambah timun potong dan ulam raja dari kebun kecilku. 

Memang nak eat clean. Tapi bila keluar jalan-jalan, terbabas juga. Iman tak kuat. Terinspirasi dari cerita Kak Amie yang suaminya makan yang rebus-rebus saja. Saya pun nak tukar pemakanan saya macam itu juga. Nak sihat. Saya nak keputusan ujian darah saya baik. Semoga saya kuat. Tapi memang kena makan di rumah la. Kalau keluar, banyak makanan yang... alaa, kome faham-faham sajalah. 

Baik. Sekian rangkuman beberapa gambar makanan yang saya ambil semenjak dua menjak ini. 

Selamat berehat di hujung minggu. 

Jumpa lagi. 💗

Saturday, May 16, 2026

Hilang dan Masak apa

May 16, 2026 32 Comments

Hilang

Waktu pagi, saya berkebun. Bila pusing kawasan, tengok buah naga hilang! Eh, sebenarnya, belum jadi buah, baru bunga la. Kalau nak tengok rupa dia sebelum hilang ada di entri ini 👉 Kemaskini entri lama dan bereksperimen.

Buah naga hilang, ambil dek beruk
Elok dia petik 😅

Lapar betul la, beruk-beruk ni semua. Saya jumpa kulit bunga buah naga tu, di bawah pokok sakura malaysia. Memang kalau saya tanam pokok buah, tak pernah merasa. Dari pengalaman, buah yang pernah keluar tapi kami tak pernah merasa kerana dicuri dek beruk termasuklah terung, tembikai, tomato, dan bawang pun dia tarik keluar dari tanah. Sayur yang beruk tak ambil cuma cili, bendi dan sayur sawi jepun atau pak choi.

Memang kami tanam untuk sedekah bagi haiwan makan la. Tapi saya dapat juga pengalaman tanam dan tengok pokok saya membesar, cuma tak boleh kutip hasil lagi. Kawasan sekarang tidak sesuai tanam pokok buah. Nasib baik saya belum beli pokok mulberi. 

Hilang satu, ada lagi dua tempat, keluar putik bunga di pokok buah naga. Nanti, saya akan update perkembangannya. Oleh itu, saya sudah bersiap sedia beli pembalut buah. 

Beg jaring nilon untuk balut buah
Tadaa...

Masa ini, saya belum uninstall lagi di telefon saya. Sempat beli dekat TikTok. Beg jaring nilon sebagai pembalut buah. 

Beg jaring nilon untuk balut buah, beli di TikTok

Gitu kaedahnya, seperti gambar di atas. Beli yang murah-murah je. Harga pembalut buah lebih murah dari harga pos. Hehe.. pembalut buah harga seringgit, kos pos harga 4 ringgit. 

Masak apa tu?

Telur goreng kicap

Masak lauk mudah saja pada hari itu, telur goreng kicap. 😋

Masak sayur kobis dan lobak

Goreng sayur kobis dan carrot. Ada juga lauk baki, keluarkan dari peti ais dan panaskan.

Lauk mudah masak di rumah.

Ada telur rebus. Ada kari ayam juga. Sedap, suami kata, telur goreng kicap tu. Lama tak masak. Alhamdulillah. 

Hari ini, kome masak apa? Ke, gantung kuali, beli di luar? Hujan dari malam semalam lagi di kawasan saya ini. Alhamdulillah, sejuk sikit suasana. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, May 15, 2026

Segmen Satu Kata ChatGPT Tentang Blog Saya

May 15, 2026 26 Comments

 Assalamualaikum...

Saya join sekali, ya. Saya tengok, ramai juga kawan-kawan blogger sudah join.

Saya pun musykil juga, apa kata chatGPT mengenai blog saya, dalam satu perkataan. Ater... Jomlah kita tengok.

Satu kata chatGPT mengenai blog saya
Warm, kata si ChatGPT

Warm atau hangat. Bila baca, rasa sweet jer. Hehe.. bolehlah klik infografik di atas untuk tahu lebih lanjut kenapa perkataan Warm dipilih untuk blog saya.

Segmen ini sudah nak berakhir. Saya pun baru saja join. Penganjur segmen ini adalah blog #JMBELOG.

Baik. Jumpa lagi, ye. 💗

Pagi di Kuala Kangsar, petang di Ipoh

May 15, 2026 26 Comments

Cerita pada hari Ahad, 3 Mei 2026 yang lepas. Pagi-pagi, sudah mengunjungi pasar terpanjang Kuala Kangsar. Saja, jalan-jalan cari makan dan jamu mata. Pasar ini setiap hari Selasa petang dan pagi Ahad. Saya tak pernah pergi Selasa petang. Jauh nak jalan waktu petang ke Kuala Kangsar. Kalau pagi-pagi tak apa. 

Jarak antara Manjung ke Kuala Kangsar lebih kurang 86 kilometer. Kalau ikut Lebuhraya Pantai Barat, WCE, lebih kurang 1 jam 20 minit masa perjalanan.  Sudah banyak entri saya berkenaan Pasar Kuala Kangsar. Jika berminat untuk baca, bolehlah klik link berikut:

🌷 Suatu Pagi di Pasar Terpanjang Kuala Kangsar

🌷 Makan di Kedai Sup

🌷 Pergi Pasar Pagi Kuala Kangsar

Saya dan suami memang suka pergi jalan-jalan di pasar hujung minggu. Macam-macam benda kita boleh jumpa. Selain beli barang dapur, beli makanan juga, dan jamu mata tengok tudung, baju, buah-buah, sayur-sayur, produk IKS, dan macam-macam lagi.

Pada hari tersebut, kami singgah sarapan di kedai nasi kerabu yang kami pernah makan di lokasi pasar.

Nasi berlauk ayam bakar
Nasi berlauk ayam bakar. 

Memang kegemaran saya ni. 😋 Nasi itu, sudah minta separuh. Masih nampak banyak. Suami saya pula makan nasi kerabu. Tak ambil pula gambar nasi suami. Sebab lapar, tak ingat dah nak ambil gambar. Hehe..

Nasi Kerabu Tumis Khaiwani, Kuala Kangsar
Ini kedainya.

Kedai Nasi Kerabu Tumis Khaiwani. Ada nasi kerabu, nasi dagang, laksam, nasi berlauk dan nampaknya sudah tambah menu baru, nasi kukus ayam berempah. 

Pagi, saya makan nasi berlauk. Tengahari, di rumah, saya makan pasembor yang dibeli di pasar di pagi hari. Kongsi makan dengan suami.

Pasembor
Pasembor untuk makan tengahari.

Pasembor ini, asalnya makanan dari Pulau Pinang, dan terdiri daripada bahan-bahan seperti timun yang dimayang, kentang, tauhu, taugeh, dan cucur yang dihidangkan bersama kuah kacang yang pekat. Boleh tahan sedap. Cucurnya pun masih rangup, walaupun kami bungkus dan makan di rumah waktu tengahari.

Selepas Asar, kami hantar anak kedua, Hafizan, balik PUO di Ipoh.

Singgah maghrib di surau stesen minyak Shell. Malam, saya makan bihun tomyam. Sebelum tu, kami singgah stesen minyak Petron yang ada Mynews. Beli kopi. Pertama kali saya beli kopi Maru. Kurang sedap, pada pendapat saya. Huhu... singgah stesen minyak Petron tu, sebab nak ke tandas. Tandas di stesen minyak kami singgah maghrib sebelum itu, rosak. Biasanya, MyNews ini ada di shopping mall. Ini, di stesen minyak. Saya dapati di dalamnya, selain minuman, ada makanan juga, macam mini cafe. Oh, memang ini laluan perjalanan kalau orang dari Simpang Pulai, atau Cameron Highland, nak ke daerah Perak Tengah. 

☕ Americano Ais harga RM6.49

☕ Americano panas harga RM5.99

Kalau tak cuba, tak tahu. Sudah cuba, baru tahu. 

Bihun tomyam dan kopi untuk makan malam.
Lama tak makan bihun tomyam. 

Kami singgah makan di kedai tomyam dekat Siputeh, Perak. Sudah lepas Batu Gajah, tapi sebelum sampai Tronoh. Bihun tomyam sedap. 😋 Dulu waktu zaman bujang, asal ke kedai tomyam saja, mesti pesan bihun tomyam. Kombinasi rasa masam dan pedas memang buat berpeluh bila kita makan. Lega rasanya. 

Alhamdulillah. Syukur, rezeki dapat makan sedap-sedap dan berjalan-jalan sambil hantar anak di Ipoh.

Selepas ini, kalau pergi Ipoh lagi untuk hantar Hafizan, kena gerak dari rumah lebih awal. Pihak politeknik sudah wajibkan kereta ibubapa boleh masuk ke kolej penginapan sebelum jam 7 malam. Ini berikutan kes pelajar kolej yang mati ditikam 61 kali itu. Sebelum ini, boleh saja masuk walaupun selepas jam 7 malam. Undang-undang baru. Semoga anak-anak kita selamat sentiasa, janganlah bagi keluar seorang-seorang, mesti berteman ke mana-mana. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, May 14, 2026

Dua kali makan nasi arab

May 14, 2026 28 Comments

Aha... sudah masuk cerita bulan Mei. Pada 2 Mei 2026 yang lepas, saya makan nasi arab. Suami bawa balik dari ofis dia. Dia la yang kata nasi arab, mengikut kata staf yang suruh masing-masing bawa balik. Tapi saya tengok, ada lauk macam kenduri je. Boleh la tu, nasi arab ke, nasi kenduri ke, nak panggil.

Ayam masak merah kenduri

Masya-Allah, lauk yang ini, memang rasa ayam merah yang orang hidang di kenduri kahwin tu. Sedap bebenor! 😋 Saya masak sendiri lauk ayam merah pun tak ada rasa macam ni. Nanti lah bila mood mari, nak google resepi ayam masak merah kenduri kahwin. Mesti ada rempah ratus yang lain dari yang kita biasa guna untuk masak ayam merah biasa di rumah. 

Ini pula lauk gulai daging

Pekat sungguh kuahnya. Ada kentang. Daging pun lembut. Selalu jumpa gulai pekat macam ni, kat kedai nasi kandar je. Saya memang tak reti masak gulai pekat-pekat.

Nasi arab.

Lembut nasi. Memang selera makan, orang dah kasi. Hehe..

Sebenarnya beberapa hari sebelumnya, saya sudah makan nasi arab juga, yang dibawa balik oleh anak kedua, Hafizan. Kawan dia buat makan-makan terlajak raya masa minggu pertama Mei. Ye la, masa cuti long weekend Hari Buruh tu. Kawan Hafizan sendiri yang masak semua menu. Bila saya dengar budak umur 20 tahun masak, memang saya kagum la ya. Hafizan telah bawa balik set nasi arab juga, dengan lauk pauk ayam, sup daging, salatah dan makaroni goreng. Sayang saya lupa ambil gambar. Hafizan cerita, kawan dia masak sampai 15 jam nak siapkan semua hidangan. Masya-Allah... kalau dah minat memasak, ye. Lepas tu, tak banyak pula tetamu yang datang, banyak terlebih, itu yang kawan dia siap jemput di rumah, pergi bungkus segala juadah yang masih banyak. Alhamdulillah. Rezeki juga tu. Semua sedap-sedap belaka. 😋

Saya suka nasi arab. Tapi sebab saya seorang yang suka makan, jadi jarang-jaranglah dapat peluang makan di restoran arab ni. 

Alhamdulillah. Rezeki di awal Mei. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, May 13, 2026

Laporan bersenam April

May 13, 2026 34 Comments

Saya sudahi cerita bulan April dengan rangkuman aktiviti bersenam di bulan tersebut. 

Bulan April saya rajin kumpul steps. Kalau tidak pergi jogging di padang, saya akan gunakan walking pad bila ada masa di rumah. Jom tengok...

Aktiviti berlari di bulan April 2026 menggunakan aplikasi Garmin Connect
Larian di bulan April

Jumlah jarak berlari: 155.7 kilometer

Purata lari dalam sehari: 5.2 kilometer

Purata lari dalam seminggu: 36.3 kilometer

Alhamdulillah. Jarak paling tinggi dalam sebulan yang berjaya dicapai sejak sekian lama, sejak saya pencen masuk mana-mana event larian atau ikuti apa-apa challenge di Bookdoc, Garmin Connect atau ikuti Runliga.

Aktiviti berjalan di bulan April 2026 menggunakan aplikasi Garmin Connect
Berjalan di bulan April

Eh, ada dua hari saja saya rekod aktiviti berjalan.

Jumlah jarak berjalan: 8.1 kilometer

Purata jalan dalam sehari: 0.3 kilometer

Purata jalan dalam seminggu: 1.9 kilometer

Aktiviti cardio dan angkat beban menggunakan Garmin Connect
Cardio dan latihan beban di bulan April

Ada 4 hari saja saya rajin buat.
Jumlah masa bersenam: 1 jam 10 minit
Purata bersenam sehari: 2 minit 21 saat
Purata bersenam seminggu: 16 minit

Jumlah langkah untuk 12 bulan

Merujuk kepada laporan di atas, jumlah steps atau langkah saya di bulan April adalah sebanyak 352,947. Paling tinggi sejak sekian lama. 

Alhamdulillah. Allah bagi nikmat sihat. 

Okay la tu. Untuk bulan Mei ini, saya sudah kurang pergi jogging, banyak berkebun di rumah saja pagi-pagi. 

Sekian laporan bersenam. Semoga kita semua dapat peruntukkan waktu walaupun sibuk dengan kerja seharian, untuk bersenam dalam 20 minit, 3 kali seminggu paling kurang. Badan kita akan terima kasih pada kita bila mula rasa kesan baik aktiviti keluar peluh. Kekalkan bersederhana, senam ikut kemampuan diri sendiri, don't overdo dan recovery juga penting.

Jumpa lagi. 💗