Friday, May 22, 2026

Bihun goreng dan cerita semalam

 Salam Jumaat yang mulia. Syukur atas nikmat dan rezeki yang diberi olehNya. 

Dalam draf entri ini, ada gambar sekeping saja saya upload, pada 7 Mei yang lepas.

Saya masak bihun goreng
Saya masak bihun goreng.

Walaupun nampak plain saja, sayur pun tak ada, tapi sedap ye, bihun saya masak (suami cakap). Hehe... Kembang lubang hidungku. Adalah letak ketulan ayam sikit, fish cake sikit. 

Tahukah anda, bihun goreng adalah makanan kegemaran saya sejak kecil lagi? Saya suka sangat bihun goreng dan sate. Kalau ibubapa bawa makan luar, dua menu itu saja yang saya akan pesan. 😋

Cerita semalam

Kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi. Yang mengaji pun belum habis lagi. Dia daftar diri dia sendiri, tapi boleh masukkan dua orang ahli keluarga secara percuma.

Itu yang semalam ada kuliah online.  Sejujurnya, saya rasa sedikit berat, kerana malam-malam adalah waktu tidur saya. Semua kelas nanti waktu malam. Aduh.. tapi mujur suami saya offer pergi beli kopi semalam. Alhamdulillah, segar sikit mata ni, nak mengadap ceramah. Ceramah apa?

Ceramah online Ustazah Siti Nor Bahyah

Tajuk: Luahan Cinta Allah disebalik 7 Kalam Agung Alfatihah. 

Oleh pasangan Dato Ustazah Siti Nor Bahyah dan suami beliau, Ustaz Wan Akashah. 

Ramai yang join melalui Google Meet ni. Sudah lama tak guna Google Meet. Saya tengok jumlah kehadiran sampai 500 orang. Masya-Allah.

Setiap makna dalam Al-Fatihah dikupas dengan menarik dan ada juga yang buat saya tersentuh hati. Sikit pun saya tak rasa mengantuk. 

Semoga lepas ni, saya boleh baca perlahan sikit Alfatihah masa solat, dan menghayati dengan kusyuk dan otak boleh fokus. 

Ceramah surah AlFatihah oleh Ustazah Siti Nor Bahyah
Saya buka di laptop

Mula pukul 9 malam, habis pukul 11 malam. Alhamdulillah. 

Minggu lepas saya ada tanya suami saya, macamana nak join ceramah ke, majlis ilmu ke di masjid dekat rumah? Suami pun bagitahu la, kan ada papan kenyataan di masjid, rujuk la situ. Tapi setahu saya, dekat bahagian orang perempuan solat, tak ada papan kenyataan. Kena keluar ke luar tempat orang lelaki masuk itu kot, baru ada. Kadang tu, saya tengok banner ada penceramah atau ustaz dikenali datang, tapi saya selalu terlepas tarikh. Sudah lama tak ikuti majlis ilmu. Tengok-tengok kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi satu ini, selain kelas mengaji online yang sudah sedia ada. Syukur Alhamdulillah. 🥰 Dapat juga saya belajar sesuatu. 

Anak-anak saya yang duduk asrama sudah balik. Amirul cuti pertengahan semester sekali dengan cuti raya. Hafizan pun ada, balik cuti raya haji. Alhamdulillah. Meriah rumah.

Harap anda yang sedang baca entri saya ni, sihat sejahtera dan bahagia selalu.

Jumpa lagi. 💗

No comments:

Post a Comment