Jumaat, 10 Julai 2026

Bendi, bena putih dan sarapan nasi

Julai 10, 2026 0 Comments

Cerita pada hari Isnin, 6 Julai 2026. Suami saya off kerja. Biasanya kalau dia off, kami akan pergi jalan pagi ke mana-mana. Tapi pada hari itu, suami nak berehat di rumah saja. Dia baru habis kerja pukul 12 malam hari itu.  

Saya pun berkebun saja lah di rumah. 

Biasanya sebelum siram pokok, saya akan jalan-jalan dulu, tengok kawasan dalam kebun miniku.

Kutip dua bendi tanam sendiri
Kutip dua bendi

Bendi dan khasiat

Pokok bendi yang saya tanam, semua dalam pasu. Sekali tuai, banyak itu sajalah, dua biji, tiga biji paling banyak. Kalau saya masak kari, bolehlah campak dalam kari. Biasanya, saya stir-fry saja, buat sayur campur. 

Bendi kaya dengan serat, vitamin (C dan K), dan antioksidan yang membantu melancarkan penghadaman, mengawal gula darah, dan mengurangkan keradangan. 

Bagi warga emas yang sakit lutut, pengambilan bendi dikatakan berkesan secara tradisional kerana lendirnya. Lendir ini mengandungi bahan yang boleh membantu mengurangkan keradangan sendi dan menyokong kesihatan urat saraf, walaupun ia tidak boleh menggantikan cecair pelincir. Wallahulam. 

Saya kalau makan bendi ni, sikit bolehlah, dalam tiga ketul. Banyak makan bendi, selalu mengundang cerry berry. Kome suka bendi?

Selepas jalan tengok kawasan dan siram pokok, barulah saya akan mula berkebun. Daun kuning atau bunga yang layu, kena trim buang. Ada kerusi kecil yang saya duduk sambil buat kerja ini. Ada pokok kita boleh nampak terus apa nak buat. Ada pokok lain yang perlu kita perhati dengan teliti dan selak-selak sikit daun, untuk pastikan pokok kita sihat atau tidak.

Jumpa bena putih 

Bila tengok pokok ros jepun, tiba-tiba terjumpalah makhluk yang tidak disukai ini.

Bena putih atau kutu putih atau mealybug
Bena putih atau kutu putih atau mealybug

Menatang ini memang pantang tengok pokok hijau yang sihat. Adeh...

Bena putih ini serangga perosak yang menghisap cecair (sap) daripada batang dan bawah daun pokok. Serangan yang teruk boleh menyebabkan pokok menjadi terbantut, daun berkerut atau kuning, dan akhirnya pokok boleh mati.

Biasanya, kalau ada bena putih ini, mesti ada semut pada pokok kita. 

Saya biasanya trim buang terus batang yang ada bena putih ini, takut ia terbang dan pergi pokok di pasu sebelahnya. Boleh juga sembur dengan racun organik seperti campuran cuka kayu, minyak neem atau sabun pencuci pinggan. 

Saya tidak berkebun lama pun pada hari itu. Suami keluar rumah, ajak pergi sarapan di luar. Hehe.. 

Sarapan apa

Nak tahu tak... semua kedai makan kami pergi tutup. Isnin = Hari-kedai-makan-seluruh-dunia-tutup-kot. 

Restoran Kak Za tutup, Nasi Ulam Lumut pun tutup, Restoran Selero Kito Teluk Muroh tutup, nak cuba tempat baru, Cili Village, pun tutup juga! 😅 

Last-last, kami pergi makan dekat PAKAR (Pasar Komuniti dan Karavan Manjung). Nak makan apa, yek.. sini ada banyak kedai-kedai kecil yang menjual macam-macam jenis makanan dari roti canai ke puri, nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, menu goreng-goreng, sarapan ala western, dan banyak lagilah. 

Saya lalu depan kedai nasi berlauk dan tengok ada masak lemak pucuk ubi. Wah, lama tak makan. 

Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan
Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan.

Sedap! Alhamdulillah. Saya tak pernah masak sendiri lauk masak lemak sayur di rumah. Kalau masak lemak ayam tu, biasalah. Itu yang kalau jumpa, mesti ambil punya. 

Suami saya beli di kedai nasi berlauk lain, yang banyak menu Kelantan punya.

Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal
Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal.

Telan air liur saya waktu taip entri ini. Hehe..

Lepas makan nasi, suami pergi beli pisang dan ubi goreng pula.

Pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap
Cili kicap tertumpah dalam pinggan

Memang sedap, pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap. Beli dua ringgit jer.

Alhamdulillah. Dapat makan sedap-sedap. Hari ini kome makan apa?

Jumpa lagi, ye. 💗

Hari ni hari Jumaat. Esok boleh berjimba-jimba. Hehe...

Khamis, 9 Julai 2026

Lepas jalan, makan dan makan lagi

Julai 09, 2026 11 Comments

Cerita pada hari Rabu, 1 Julai 2026 yang lepas. Akhirnya, masuk entri cerita bulan Julai. 😊 Tarikh Islam, 15 Muharram 1448 H.

Bulan di langit jam 6.30 pagi
Bulan di langit jam 6.30 pagi.

Suami ajak pergi jalan pagi di padang. Marilah kita. Masa mula berjalan, saya lupa nak tekan butang 'Start' pada jam. Sudah berjalan melebihi separuh padang baru teringat. Adeh... faktor usia. Cuaca yang cerah dan baik.

Aktiviti berjalan pagi di padang menggunakan jam Garmin Instinct.
Aktiviti berjalan pagi di padang.

Jarak yang direkodkan cuma 3.9 kilometer. Tapi jarak berjalan pagi itu, rasanya lebih. Jalan pagi selama 51 minit. Jalan lenggang kangkung itik pulang petang.

Selepas aktiviti jalan pagi, kami balik rumah sekejap untuk sidai kain yang telah siap dibasuh dan siram pokok. 

Selepas settle kerja apa patut, kami keluar semula pergi sarapan.

Makan di Restoran Selero Kito di Teluk Muroh.

Nasi kerabu lauk daging
Saya makan nasi kerabu.

Ambil lauk daging. Lembut bebenor daging bakor. Kalau makan di kedai ini, memang confirm gendut, sebab portion besor. Tapi, saya sudah minta nasi kerabu separuh je. Ater.. camana nak kurus ni. 

Lupa ambil gambar nasi kerabu suami. Dia ambil lauk ikan aye (ikan tongkol).

Harga sarapan kami pada pagi itu adalah RM18.

Alhamdulillah. Udahlah sedap, harga pula berpatutan. Tak boleh makan sini hari-hari. Bahaya, seminggu sekali boleh. Hehe..

Selepas makan nasi kerabu, kami pergi pick-up kopi Zus dan beli kuih sikit.

Tak sedar diri, kan. Udah melantak nasi, beli kuih pula.

Saya cadang kita pergi Esplanade Lumut, supaya boleh juga jalan-jalan bagi nasi turun. Suami okay je. 

Kami duduk mengadap laut sambil makan kuih dan menikmati kopi.

Anak siapa ni, ngendeng kuih.

Bagi dia kulit karipap. Dia makan sikit saja. Bukan nak makan, tapi nak manja. Kucing-kucing di Esplanade ni, pagi-pagi depa kenyang, sebab ada makcik regular jalan sini sambil bagi kucing jalanan makan. 

Ajak budak bulu tu selfie together, tapi dia tidur pula
Ajak budak bulu tu selfie together, tapi dia tidur pula.

Tepuk-tepuk sikit belakang budak bulu tu, terus dia tidur. 

Sekian cerita pada hari tersebut. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Rabu, 8 Julai 2026

Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)

Julai 08, 2026 14 Comments

 Assalamualaikum, semua...

Saya ingin turut serta dalam segmen pencarian bloglist blog Cie. 

Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)
Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)

Walaupun saya pernah join segmen Cie sebelum ini, tapi saja jer, nak memeriahkan segmen kawan-kawan. Terpilih atau tidak, tolak ke tepi dulu. 

Segmen ini berlangsung 6 hari saja, jadi siapa yang nak join, silalah cepat-cepat. 😊

Kalau kita rajin check sumber trafik kita, kita boleh tahu pembaca datang ke blog kita dari mana. Melalui Google Search Console contohnya, jika anda hendak check, boleh klik ke menu Links di menu sebelah kiri, dan di bawah Top linking site, kita boleh tengok sumber trafik blog kita. Bagi blog saya yang sendu ini dan masih kurang diindeks di google, saya banyak bergantung pada bloglist teman-teman blogger. 

Top linking sites blog saya di Google Seach Console
Top linking sites blog saya di Google Seach Console

Blog Cie adalah antara penyumbang trafik tinggi kepada blog picisan saya ini. Jadi, saya amat berterima kasih kepada beliau.

Jadi, kepada kawan-kawan yang ingin turut serta memeriahkan segmen ini, bolehlah klik banner segmen di atas, ya. Semoga silaturrahim antara semua bloggers berkekalan, dan kita sama-sama memeriahkan segmen anjuran kawan-kawan.

Baik. Jumpa lagi, ya. 💗

Selasa, 7 Julai 2026

Sarapan di Roti Bakar Arang Fadzil House

Julai 07, 2026 20 Comments

 Bersambung cerita hari yang sama, selepas kami pergi jalan pagi di Taman Tasik Taiping, waktu itu, sudah jam 10 pagi. Perut minta diisi. Saya buat carian tempat makan sedap dekat lokasi kami. Restoran berikut termasuk dalam senarai hasil carian. Ini pertama kali kami cuba makan sini.

Roti Bakar Arang Fadzil House ialah kedai sarapan pagi yang popular dan tular di Taiping. Kalau anda google kedai ini, ada artis dan pempengaruh buat video makan di kedai ini. Juga, kedai ini pernah dipaparkan dalam Jalan-Jalan Cari Makan dan disyorkan dalam artikel pelancongan makanan oleh media utama seperti Astro Awani sebagai salah satu "port breakfast wajib singgah" jika berada di Perak.

Waktu saya dan suami sampai, agak ramai orang. Tapi, sebab tempatnya luas, banyak tempat duduk. Kami datang hari bekerja, jadi, okaylah. Tempat ini sangat sibuk pada hujung minggu. Datang awal digalakkan sebelum menu popular habis. Tudiaa...

Roti Bakar Arang Fadzil House
Gambar ini diambil waktu sudah nak balik, dari kereta. 

Segan nak ambil gambar dekat-dekat. Sebab ada orang makan di luar tu, waktu kami tiba.

Menu Pilihan Utama

🍞 Roti Bakar: Roti bakar telur goyang special (roti bakar arang dengan telur separuh masak), roti kahwin (kaya dan mentega), serta roti kukus yang lembut.

🍞 Makanan Berat: Nasi lemak ayam rendang, nasi lemak ayam goreng, mee kari sambal sotong, lontong, dan soto ayam.

🍞 Sampingan dan minuman: Cucur udang rangup bersama kuah kacang, dipadankan dengan teh tarik atau kopi panas.

Jom tengok kami pesan apa...

Nasi lemak paru
Suami pesan nasi lemak paru

Nasi lemak dia sedap. Sambal cukup rasa. Lauk paru pula lembut. 😋

Roti bakar telur goyang
Suami pesan roti bakar telur goyang juga.

Oh, ada kacang panggang juga dalam set ini. Keunikan di sini, roti dibakar guna arang. Rangup waktu kita makan. Nyum nyum...

Roti bakar
Saya pesan roti bakar

Roti bakar biasa, bahagian dalam disapu mentega. Kami kongsi-kongsi makan semua hidangan. Alhamdulillah, sedap. Kami berdua pesan air suam saja. Sebab nanti rancangnya, dalam perjalanan balik Lumut, kita pick-up kopi Zus la.

Dalam kedai, ada papan hitam memaparkan menu tambahan
Dalam kedai, ada papan hitam memaparkan menu tambahan bersama harga.

Menu tambahan yang ada:

Cucur udang RM7

Lontong RM7.50

Roti jala RM7

Tauhu kuah kacang RM5 (Alamak, saya tak nampak ni! Sudah makan baru perasan. Lain kali datang, mahu pesan ini la)

Soto ayam/daging RM8

Mantou sambal/kaya RM7

Mee rebus daging RM8

Mee/kuetiau/bihun goreng daging RM8

Nasi lemak ayam pandan RM10

Nasi lemak sotong kering RM7.50

Nasi lemak daging rendang RM7.50

Saja, saya rajin hari ini, tolong taip apa tertulis di papan hitam dalam gambar di atas, untuk rujukan.

Lepas makan, kami pun beransur pulang. Jumlah harga sarapan kami ialah RM16. Wah, sangat berpatutan harga. Syukur. Alhamdulillah. Sedap semua. Boleh ulang datang lain kali.

Roti Bakar Arang Fadzil House

Alamat: Bangunan IKS MP, 1, Jalan Perusahaan 2, Kampung Sungai Tupai, 34000 Taiping, Perak.

Masa operasi: Sabtu hingga Khamis, dari 7 pagi hingga 12 tengahari. Tutup setiap Jumaat.

Sekian laporan. Jumpa lagi, ya. 💗

Isnin, 6 Julai 2026

Raintree Walk Taiping

Julai 06, 2026 18 Comments

 Cerita pada 30 Jun 2026 yang lepas. Saya dan suami ke Taiping lagi. Sebelum ini, kami ada pergi Taiping juga, tapi pergi untuk makan nasi kandar semata-mata, lepas tu balik. Hehe.. Sebenarnya, nak berjalan-jalan pagi. Mula-mula ingat nak ke Taman UTP di Tronoh, tapi rasanya by the time sampai sana, mesti sudah panas cuaca. Nak kata dekat, tak berapa dekat. Tapi berlainan daerah dengan tempat tinggal saya. 

Jadi, lokasi mana yang kalau kita sampai agak lewat pun, tapi tak panas? Taiping la, yang terlintas di fikiran, sebab sana banyak pokok besar. Ajom!

Hari Selasa. Suami saya off kerja. Ramai juga orang beriadah di Taman Tasik Taiping. Cuaca baik. Tidaklah panas sangat, masa kami baru sampai. 

Walaupun ramai orang beriadah, tapi ada ruang parking yang banyak untuk orang ramai. 

Sampai di Taman Tasik Taiping
Yay, sampai juga kami ke Taman Tasik Taiping.

Ini kali kedua la, kami sampai sini. Maksud saya, jalan-jalan di Lake Garden Taiping ini. Dari pemerhatian kami semasa jalan-jalan, rasanya malam sebelumnya, mesti hujan lebat. Sebab ada tempat yang dinaiki air dan lecah. Laluan orang berjalan melalui kawasan berumput pun ada banjir sikit. Boleh dilalui, tapi nanti kasut basah pula.

Raintree di Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping
Saya suka pokok besar 😍

Raintree Walk

Raintree Walk ialah satu laluan pejalan kaki sepanjang 650 meter yang terletak di pesisiran Taman Tasik Taiping, Perak. Laluan ikonik di Jalan Pekeliling ini terkenal dengan keindahan barisan pokok hujan (rain trees) berusia lebih 100 tahun yang dahan-dahannya melentur unik ke arah permukaan tasik.

Dekat sini, orang ramai boleh berjogging dan berjalan santai. Laluan ini mesra pejalan kaki dan bebas daripada kenderaan bermotor, menjadikannya sangat selamat untuk aktiviti kecergasan.

Selain itu, kita boleh juga sewa basikal biasa atau basikal keluarga untuk mengelilingi kawasan tasik.

Saya suka sebab pihak berkuasa di sini ada ambil langkah inisiatif menyokong pokok besar ini, dengan letak batang besi penyokong di bawah pokok. 

Ini berbeza dengan di kawasan saya tinggal, pihak berkuasa tempatan (PBT) menebang habis semua pokok di tepi-tepi jalan. Kawasan yang selama ini redup dan ada pokok besar, sekarang sudah panas. Sudahlah kawasan tempat tinggal saya berdekatan dengan laut. Lagilah panas dan bahang terasa sebab pokok besar semua sudah ditebang. 

Tapi pandang dari sudut positif, mungkin pihak PBT mahu elak kejadian pokok tumbang atau dahan pokok jatuh dan kena orang ramai, mungkin. Wallahualam...

Raintree Walk, Taman Tasik Taiping
Ambil gambar sini pula

Cantik pemandangan di sini. Saya suka. 

Pemandangan di Taman Tasik Taiping
Cantik dan tenang 🥰

Pantulan pokok dalam air tasik. Boleh piknik dan santai, sebab ada kawasan rumput hijau dan bangku taman untuk berehat menikmati udara segar. 

Semasa berjalan, ada kalanya boleh dengar bunyi harimau mengaum sebab taman ini terletak bersebelahan dengan Zoo Taiping dan Night Safari.

Burung bangau
Burung bangau

Saya lalu dekat sangat dengan burung bangau ini. Sebelah saja. Saya tunggu melepasi burung ini jauh sikit, baru saya berani ambil gambar burung. Takut kita ambil gambar dekat dia, dia patuk kang.. eh, burung ini patuk orang ke? Hehe..

Bunga dari pokok peluru meriam atau cannonball tree
Jumpa bunga cantik

Bunga ini dari Pokok Peluru Meriam atau Pokok Buah Kanon (Cannonball Tree). Bunganya punya bau wangi. Pokok ini dinamakan sempena buahnya yang besar, bulat dan keras seperti peluru meriam yang boleh mencecah berat sehingga 11 kg. Pokok ini sering ditanam sebagai pokok hiasan di taman-taman awam seperti Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Cyberjaya dan Taman Botani Pulau Pinang. Info dari Google Lens.

Buah dari Cannonball Tree atau Pokok Peluru Meriam
Itu buahnya, bulat macam peluru meriam.

Hehe.. seronok dapat tengok pokok yang jarang dijumpai di tempat saya.

Sambil jalan santai, saya berhenti ambil gambar pemandangan yang menarik untuk kenangan dikongsikan di blog.

Pantulan pada tasik yang tenang di Taman Tasik Taiping
Pantulan pada tasik yang tenang.

Baru nak ikut laluan berumput, tapi kami terpaksa patah balik, sebab ada laluan pejalan kaki dinaiki air. Jadi, kami kembali semula ke kawasan pokok hujan.

Suami saya jalan laju tinggalkan saya
Laju betul pakcik tu jalan

Saya pula ambil masa, tengok pemandangan bukit berdekatan, iaitu Bukit Larut. Bilalah nak naik Bukit Larut ni. Kome pernah naik Bukit Larut tak? Saya pernah terbaca, di puncak Bukit Larut, ada taman bunga yang cantik dan banglo kolonial lama. Nantilah, satu hari. 

Taman Botani Perak
Melencong ke Taman Botani Perak

Dekat tempat saya berdiri di atas, ada orang buang roti sudah expired, saya rasa untuk bagi kera makan. Tidak lama lepas saya ambil gambar di atas, ada pekerja Taman Botani yang menyapu kesemua roti. 

Sebenarnya, kita tidak boleh biasakan beri makan pada haiwan liar ini. Tapi orang memang cukup suka campak makanan untuk haiwan-haiwan.

Kami masuk pintu yang salah untuk ke Taman Botani. 

Laluan ke pencawang TNB, di Taman Botani Taiping
Laluan menghala ke pencawang TNB

Patutlah laluan seperti tidak terjaga, penuh daun-daun. Rupanya, tak ada apa pun di atas, cuma ada pencawang. Kami turun semula dan baru jumpa pintu masuk yang betul ke Taman Botani. Ada pok guard. Kena beli tiket masuk. Oh, ada bayaran. Sebab ada bayaran, kami tak jadilah masuk. Lain kali, ye. Kali ini, kami jalan di tempat percuma saja. Hehe.. kami berjalan semula memasuki laluan taman tasik.

Pokok beringin
Pokok Beringin

Ini adalah Pokok Beringin atau Banyan tree. Pokok ini boleh hidup beratus-ratus tahun juga. Info dari Google Lens. Nak tahu apa saya fikir waktu melintas depan pokok ini?

Saya panggil pokok ini, pokok hantu. Sebab pokok inilah yang ada  pada muka depan buku Bercakap dengan Jin oleh Tamar Jalis. Nanti kejap, saya cari dalam almari buku kat rumah ni sekejap.

Mana ke dianya... alamak.. sat, sat... haaa.... jumpa...

Bercakap dengan Jin. Cetakan kedua. September 1984
Haa... buku klasik ni. Cetakan tahun 1984

Kan, sama tu, pokoknya macam pokok beringin tu, kan. Huhu... orang tua dulu-dulu cakap, jangan main kat pokok ni. Nanti kena sembunyi dengan hantu ko**k. 🙈

Eh, apedaaa.... dah lari topik ni. Kembali kepada cerita berjalan di Taman Tasik Taiping.

Berjalan selama 1 jam 37 minit.

Dapat jarak 5.26 kilometer. Lawa daun berguguran atas jalan berhampiran Taman Botani Perak. Bentuk heart. Itu yang saya ambil gambar.

Berjalan di Taman Tasik Taiping
Peta aktiviti berjalan kami

Alhamdulillah. Seronok dapat berjalan tengok pokok-pokok besar dan pemandangan yang cantik. Kalau anda belum pernah sampai sini, silalah datang, rasai sendiri. Tiada bayaran masuk dikenakan. (Bukan macam Teluk Batik tu, nak masuk pun kena bayar 😝). 

Tandas awam ada, laluan berbasikal, kawasan permainan kanak-kanak, tempat letak kereta percuma. Bagus ada tempat riadah macam ni. 

Baiklah. Sekian cerita kami jalan pagi di Taman Tasik Taiping.

Jumpa lagi, ya. 💗

Ahad, 5 Julai 2026

Om nom nom

Julai 05, 2026 38 Comments

 Masa untuk entri memuatkan gambar makanan saja. Berikut adalah koleksi gambar makanan yang saya sempat ambil baru-baru ini. Campur-campur, ada yang saya masak di rumah, ada juga yang saya makan di luar. Jom tengok... 😊

Nasi goreng masak di rumah
26 Jun 2026

Bersamaan dengan 10 Muharram. Hari Asyura. Tapi saya tak puasa. Adeh.. teruk betul, kan. Pada hari itu, saya masak nasi goreng.

Tapi saya boleh pula IF, makan pukul 11 pagi. Dasar hantu betul.

First meal of the day
First meal of the day
Saya ambil nasi goreng sikit, bersama sup petola suhun yang saya masak hari sebelumnya dan saya panaskan. Tak cukup telur dalam sup, ada buat telur separuh masak, juga saya pecahkan dalam pinggan yang sama.
Nasi berlauk daging kerutuk
Makan malam hari yang sama

Ini, makan luar, di Restoran Mek Kelate. Saya makan nasi berlauk daging kerutuk. Sedap juga. Daging lembut. Sambal lada je sedikit pedas. Berpeluh-peluh makan dalam kedai.
Lepas makan malam nasi berlauk, suami ajak cari durian.

Durian black thorn
Durian black thorn

Akhirnya, lepas keinginan untuk makan durian. Kami makan dua tiga ulas di tempat jual durian itu. Lepas tu baki durian, minta dia letak dalam bekas dan bawa balik, makan di rumah. Campur-campur, beli durian black thorn dan musang king. Dekat sini, durian black thorn harga RM20 sekilo dan musang king pula RM15 sekilo. Alhamdulillah. Isi durian yang kuning, memang sedap betul.

Nasi goreng ikan rebus, beli di pasar pagi Bota Kanan
27 Jun 2026

Beli nasi goreng ikan rebus di Pasar Pagi Bota Kanan. Ini beli dari orang yang masak dalam kuali besar tu. Nasi goreng saja ada dua jenis, satu seperti yang saya beli di atas, satu lagi warna merah sikit nasi gorengnya. Selain itu, ada juga mee, bihun dan kuetiau goreng kuali besar. 
Nasi goreng ikan rebus yang saya beli, sedap rasanya. Ada diberi sambal belacan sekali. Kenyang sampai ke petang. 

Apam Perak atau apam Kuale
Ini apam Perak

Beli di pasar Bota juga. Apam Perak atau juga dikenali sebagai apam Kuala Kangsar, mempunyai tekstur gebu, manis berlemak, dan dihidangkan bersama kelapa parut kukus.

Putu Perak
Putu Perak

Putu Perak ni, ada dua jenis. Yang saya beli di atas, dalamnya inti gula merah. Satu jenis lagi, inti kelapa manis. Cara masak, macam putu piring juga, iaitu dikukus. Satu ketul, harga 50 sen.

Bihun goreng masak di rumah
28 Jun 2026

Saya masak bihun goreng. Masak sebungkus, dan habis. Sulaiman balik, lepas selesai orientasi. Mula-mula dia tak pasti nak balik atau tidak minggu itu. Tapi dia kata, roommates dia semua balik, dia pun balik ler. Juga, Hafizan pun balik. Saya bekalkan bihun goreng untuk anak-anak bawa balik makan di poli. Seronok sebab bila masak, semua habis, tak ada makanan disimpan bila anak-anak ada. Baru berbaloi mama masuk dapur. 
Bila tinggal berdua dengan bapa budak, kita pun jadi malas masak. Itu yang keluar one pot meal itu. Makan itu saja, tak masak nasi pun. 

Nasi lauk ikan keli dan sayur acar
Sarapan pukul 10 pagi, 2 Julai

Sarapan dengan suami di Restoran Nasi Ulam Lumut Ala Thai. Saya ambil ikan keli masak berlada dan sayur acar. 
Lepas makan sarapan, pergi mengopi pula, di tempat biasa.

Mengopi di 989 Kopi Lumut
Mengopi lepas sarapan

Mana lagi, kalau tak 989 Kopi Lumut. Suami minum latte panas, saya americano panas. Dua-dua kopi tanpa gula. Ambil brownie sepotong dan scones. Sedap! Menikmati kopi panas sambil termenung. Kita tengok dia, dia tengok handphone. Tengok laut. Tengok pokok. Tengok playground yang tiada seorang pun. Ye la, pergi hari orang bekerja.
Okay. Sekian rangkuman gambar makanan yang saya sempat ambil minggu ini. Alhamdulillah, rezeki dariNya, dapat makan sedap-sedap. 😋
Salam hujung minggu untuk semua pembaca sekalian.
Jumpa lagi, ya. 💗

Sabtu, 4 Julai 2026

Lemau dan sup suhun petola

Julai 04, 2026 24 Comments

Assalamualaikum dan hai semua.... 

Lemau

Saya ada saja ni, cuma lemau. Tiada motivasi untuk berbuat apa-apa. Hanya duduk depan TV, menonton Netflix. Itu pasal sudah beberapa hari tidak update blog. 

Cuaca panas pun main peranan juga, kot. Bilik kerja saya cuma ada kipas meja, tiada aircond. Kipas siling yang berbunyi kuat dan selalu buat saya risau yang ia boleh jatuh tiba-tiba atas kepala saya, akhirnya telah berhenti berfungsi. Bukan proper punya kipas siling tu. Kipas siling yang ada 5 bilah  yang beli di DIY saja. Lama juga ia berfungsi, sejak sebelum PKP, beli pula murah. Cakap sajalah malas update blog kan, ini kipas dijadikan alasan. 

Duduk depan laptop tapi tak update blog pun
Macam inilah saya. Dah duduk depan laptop tapi tak update blog pun. 

Imej oleh chatGPT di atas. Tapi macam tak ada muka saya pun. Tapi lebih kurang macam di atas lah ye. Berangan yang saya pindah duduk dalam hutan, ada tiny house sendiri. Kalau tak berangan, browse tudung nak shopping, tapi tak jadi, window shopping saja, online. Ada kucing tidur pula di situ. 

July, please be kind to me

Sudah masuk bulan Julai. Bulan ketujuh untuk tahun ini. Apabila saya buka planner bulanan saya, ada satu tarikh yang buat saya gerun, iaitu temujanji dengan doktor gigi, yang saya sudah tempah melalui aplikasi MySejahtera, dua bulan yang lepas. Melihat tarikh itu, jantung saya mula berdebar-debar dan terasa macam nak lari sembunyi dalam almari, tak mahu keluar-keluar dah. Bila kali terakhir saya pergi jumpa doktor gigi? Tahun 2016. 10 tahun yang lepas. 😅

Akhirnya boleh eat clean

Ye ke? Boleh percaya ke? Jangan percaya. Kerana hati ini memang mudah berbolak-balik. Satu hari saja boleh. Esok lusa melantak kek dan brownie pula. Adeh, iman senipis kulit bawang. 

Tapi saya tetap nak kongsikan juga apa menu saya masak pada 24 Jun 2026 yang lepas. 

Saya suka masak one pot meal. Guna satu periuk saja. Protein dan sayur, campur sekali. Sebenarnya, malas, tapi nak makan sedap di rumah. 

Sup suhun petola
Sup suhun petola

Beli sepaket suhun dan fucuk. Masukkan dalam periuk, bersama petola. Tidak tumis pun. Masukkan air secukupnya bersama kiub pati ayam yang dikerat separuh. Biar semua lembut, saya pecahkan empat biji telur. Tinggal berdua saja dengan suami. Saya makan dua biji telur, suami makan dua biji. Tapi makan sayur petola bersama suhun saja pun sudah kenyang, sebenarnya. Besar, petola yang saya beli dari pasar. Sampai penuh periuk. Oh, saya ada letak kentang juga. Tu dia, cukup karbohidrat, protein dan sayur dalam satu periuk. Memang dasar pemalas masak. Saya perasakan dengan garam secubit, dan lada putih dan hitam. Sedap. Seperti yang saya mahu. Alhamdulillah.

Mengaji

Orang lain boleh khatam Quran semasa di bulan puasa. Saya ini, mula pada awal tahun, dan masih belum khatam-khatam. Tapi sudah sampai juzuk 26. Slowly but surely. Bergerak dengan pace sendiri. Bior lambat asal selamat. Baca sikit pun tak apa, asalkan konsisten. Ayat penyedap hati sendiri. 

Dan Allah tahu apa yang ada dalam hati kita, dalam kepala kita. Walaupun kita tak cakap pada Dia secara lisan. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran kita. Ayat di bawah sampai pada saya pada waktu yang tepat, di kala perasaan melankolia melanda di sanubariku.

ayat 13, Surah Al-Ahqaf
Tak ada sebab untuk kita bersedih hati, ayat 13, Surah Al-Ahqaf

Kita memang mengakui yang Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa. Kita patuhi perintahNya dan kita jauhi laranganNya, secara berterusan sepanjang hayat. Kita buat benda ini saja, hati akan tenang, tiada ketakutan pada masa hadapan (termasuk hari kiamat) dan tiada kesedihan atau penyesalan terhadap masa lalu. 🥰

Makan sup suhun petola dan telur pun sudah kenyang
Makan macam ni je pun dah kenyang.

Tak lawa betul rupa telur dalam sup itu. Lebih kurang macam poached egg. Tapi macam overcooked pula. Tapi bolehlah. Sendiri juga mahu makan. 

Orait. Nanti saya akan blogwalking dan balas komen sikit-sikit ya. Maafkan saya, sebab mood saya sudah hilang. Angin syahdu sedang melanda.

Jumpa lagi. 💗