Cerita pada hari Isnin, 6 Julai 2026. Suami saya off kerja. Biasanya kalau dia off, kami akan pergi jalan pagi ke mana-mana. Tapi pada hari itu, suami nak berehat di rumah saja. Dia baru habis kerja pukul 12 malam hari itu.
Saya pun berkebun saja lah di rumah.
Biasanya sebelum siram pokok, saya akan jalan-jalan dulu, tengok kawasan dalam kebun miniku.
![]() |
| Kutip dua bendi |
Bendi dan khasiat
Pokok bendi yang saya tanam, semua dalam pasu. Sekali tuai, banyak itu sajalah, dua biji, tiga biji paling banyak. Kalau saya masak kari, bolehlah campak dalam kari. Biasanya, saya stir-fry saja, buat sayur campur.
Bendi kaya dengan serat, vitamin (C dan K), dan antioksidan yang membantu melancarkan penghadaman, mengawal gula darah, dan mengurangkan keradangan.
Bagi warga emas yang sakit lutut, pengambilan bendi dikatakan berkesan secara tradisional kerana lendirnya. Lendir ini mengandungi bahan yang boleh membantu mengurangkan keradangan sendi dan menyokong kesihatan urat saraf, walaupun ia tidak boleh menggantikan cecair pelincir. Wallahulam.
Saya kalau makan bendi ni, sikit bolehlah, dalam tiga ketul. Banyak makan bendi, selalu mengundang cerry berry. Kome suka bendi?
Selepas jalan tengok kawasan dan siram pokok, barulah saya akan mula berkebun. Daun kuning atau bunga yang layu, kena trim buang. Ada kerusi kecil yang saya duduk sambil buat kerja ini. Ada pokok kita boleh nampak terus apa nak buat. Ada pokok lain yang perlu kita perhati dengan teliti dan selak-selak sikit daun, untuk pastikan pokok kita sihat atau tidak.
Jumpa bena putih
Bila tengok pokok ros jepun, tiba-tiba terjumpalah makhluk yang tidak disukai ini.
![]() |
| Bena putih atau kutu putih atau mealybug |
Menatang ini memang pantang tengok pokok hijau yang sihat. Adeh...
Bena putih ini serangga perosak yang menghisap cecair (sap) daripada batang dan bawah daun pokok. Serangan yang teruk boleh menyebabkan pokok menjadi terbantut, daun berkerut atau kuning, dan akhirnya pokok boleh mati.
Biasanya, kalau ada bena putih ini, mesti ada semut pada pokok kita.
Saya biasanya trim buang terus batang yang ada bena putih ini, takut ia terbang dan pergi pokok di pasu sebelahnya. Boleh juga sembur dengan racun organik seperti campuran cuka kayu, minyak neem atau sabun pencuci pinggan.
Saya tidak berkebun lama pun pada hari itu. Suami keluar rumah, ajak pergi sarapan di luar. Hehe..
Sarapan apa
Nak tahu tak... semua kedai makan kami pergi tutup. Isnin = Hari-kedai-makan-seluruh-dunia-tutup-kot.
Restoran Kak Za tutup, Nasi Ulam Lumut pun tutup, Restoran Selero Kito Teluk Muroh tutup, nak cuba tempat baru, Cili Village, pun tutup juga! 😅
Last-last, kami pergi makan dekat PAKAR (Pasar Komuniti dan Karavan Manjung). Nak makan apa, yek.. sini ada banyak kedai-kedai kecil yang menjual macam-macam jenis makanan dari roti canai ke puri, nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, menu goreng-goreng, sarapan ala western, dan banyak lagilah.
Saya lalu depan kedai nasi berlauk dan tengok ada masak lemak pucuk ubi. Wah, lama tak makan.
![]() |
| Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan. |
Sedap! Alhamdulillah. Saya tak pernah masak sendiri lauk masak lemak sayur di rumah. Kalau masak lemak ayam tu, biasalah. Itu yang kalau jumpa, mesti ambil punya.
Suami saya beli di kedai nasi berlauk lain, yang banyak menu Kelantan punya.
![]() |
| Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal. |
Telan air liur saya waktu taip entri ini. Hehe..
Lepas makan nasi, suami pergi beli pisang dan ubi goreng pula.
![]() |
| Cili kicap tertumpah dalam pinggan |
Memang sedap, pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap. Beli dua ringgit jer.
Alhamdulillah. Dapat makan sedap-sedap. Hari ini kome makan apa?
Jumpa lagi, ye. 💗
Hari ni hari Jumaat. Esok boleh berjimba-jimba. Hehe...





saya suka bendi,kadang buat ulam rebus cicah sambal je
BalasPadamyang membaca ni pun tertelan air liur juga tengok pucuk ubi masak lemak tu...
pagi ni sarapan telur rebus 2biji kak,petang ni ingat nak singgah beli mee celup je..