Friday, May 22, 2026

Bihun goreng dan cerita semalam

 Salam Jumaat yang mulia. Syukur atas nikmat dan rezeki yang diberi olehNya. 

Dalam draf entri ini, ada gambar sekeping saja saya upload, pada 7 Mei yang lepas.

Saya masak bihun goreng
Saya masak bihun goreng.

Walaupun nampak plain saja, sayur pun tak ada, tapi sedap ye, bihun saya masak (suami cakap). Hehe... Kembang lubang hidungku. Adalah letak ketulan ayam sikit, fish cake sikit. 

Tahukah anda, bihun goreng adalah makanan kegemaran saya sejak kecil lagi? Saya suka sangat bihun goreng dan sate. Kalau ibubapa bawa makan luar, dua menu itu saja yang saya akan pesan. 😋

Cerita semalam

Kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi. Yang mengaji pun belum habis lagi. Dia daftar diri dia sendiri, tapi boleh masukkan dua orang ahli keluarga secara percuma.

Itu yang semalam ada kuliah online.  Sejujurnya, saya rasa sedikit berat, kerana malam-malam adalah waktu tidur saya. Semua kelas nanti waktu malam. Aduh.. tapi mujur suami saya offer pergi beli kopi semalam. Alhamdulillah, segar sikit mata ni, nak mengadap ceramah. Ceramah apa?

Ceramah online Ustazah Siti Nor Bahyah

Tajuk: Luahan Cinta Allah disebalik 7 Kalam Agung Alfatihah. 

Oleh pasangan Dato Ustazah Siti Nor Bahyah dan suami beliau, Ustaz Wan Akashah. 

Ramai yang join melalui Google Meet ni. Sudah lama tak guna Google Meet. Saya tengok jumlah kehadiran sampai 500 orang. Masya-Allah.

Setiap makna dalam Al-Fatihah dikupas dengan menarik dan ada juga yang buat saya tersentuh hati. Sikit pun saya tak rasa mengantuk. 

Semoga lepas ni, saya boleh baca perlahan sikit Alfatihah masa solat, dan menghayati dengan kusyuk dan otak boleh fokus. 

Ceramah surah AlFatihah oleh Ustazah Siti Nor Bahyah
Saya buka di laptop

Mula pukul 9 malam, habis pukul 11 malam. Alhamdulillah. 

Minggu lepas saya ada tanya suami saya, macamana nak join ceramah ke, majlis ilmu ke di masjid dekat rumah? Suami pun bagitahu la, kan ada papan kenyataan di masjid, rujuk la situ. Tapi setahu saya, dekat bahagian orang perempuan solat, tak ada papan kenyataan. Kena keluar ke luar tempat orang lelaki masuk itu kot, baru ada. Kadang tu, saya tengok banner ada penceramah atau ustaz dikenali datang, tapi saya selalu terlepas tarikh. Sudah lama tak ikuti majlis ilmu. Tengok-tengok kakak saya daftar saya masuk kelas online lagi satu ini, selain kelas mengaji online yang sudah sedia ada. Syukur Alhamdulillah. 🥰 Dapat juga saya belajar sesuatu. 

Anak-anak saya yang duduk asrama sudah balik. Amirul cuti pertengahan semester sekali dengan cuti raya. Hafizan pun ada, balik cuti raya haji. Alhamdulillah. Meriah rumah.

Harap anda yang sedang baca entri saya ni, sihat sejahtera dan bahagia selalu.

Jumpa lagi. 💗

22 comments:

  1. Pujian sang suami lagi penting dari rasa bihun goreng tu tau.. btw, bestnyer dapat join kuliah online macam ni, semoga istiqamah ya

    ReplyDelete
  2. Nasib baik tidak mengantuk ya waktu ceramah secara talian. Sayapun kadang-kadang dengar ceramah masjid rasa mengantuk. Itulah syaitan ganggu untuk drngar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Syaitan tu memang suka ganggu kita time dengar ceramah. Saya ada juga bangun duduk, bangun duduk, NA. Bagi otot² bergerak, hilang ngantuk.

      Delete
  3. Kita geng Nur, geng peminat bihun goreng & geng tidur awal 😁

    ReplyDelete
  4. misi menuntut ilmu x pernah abis biarpun pada usia senja mcm sy ni...

    ReplyDelete
  5. Best jugak kelas online macam ni.

    ReplyDelete
  6. Memang seronok la kalau suami puji sedap..suami Linda susah nak puji..hahaha..tapi, kalau bertambah tu..sedap lah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puji dalam diam tu, kan, bila menambah.

      Delete
  7. kalau saya masak mihun kan kak, confirm boleh makan sampai tiga hari. makin lama, makin sedap. >_< eh terpuji diri sendiri pula.

    Iyalah tu, sekarang majlis ilmu ni selalu dengar dari kuliah-kuliah lama saja. kalau ke masjid, adalah mendengar kuliah maghrib. cuma takde dah sekerap macam dulu. setiap hari hadiri kuliah agama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe.. siapa lagi nak puji kan, kalau tak diri sendiri. Masak la separuh bungkus, Sofie. Takde la kena makan sampai 3 hari. 😁 Bestnya Sofie dulu, setiap hari ada kuliah agama.

      Delete
  8. Dah lama tak masak bihun goreng. Kes payah bebenor nak siat bihun besar dari paket. Dulu pernah beli bihun Faiza yang seketul-seketul macam megi. Senang masak kalau sorang makan. Tapi payah nak jumpa kat kedai bihun gitu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada BK, kat supermarket besar macam Aeon. Senang macam tu, boleh masak sikit².

      Delete
  9. saya lebih suka mihun goreng berbanding mi goreng hehe

    ReplyDelete
  10. Akak peminat beehoon goreng Dan sate. Bestnya kuliah ustazah dato siti norbahiyah. Dulu suka dengar ceramah dia kat TV. Sekarang dah takde slot macam tu lagi. Camne nak join slot ceramah dia lagi ya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama kita ya, kak.
      Yang saya tengok haritu, ceramah khas sekali saja dia undang sempena kelas. Kelas online ni, Pengajian Luahan Cinta Allah di Sebalik 7 Kalam Agung oleh team iRawda. Bolehlah akak search ya, saya pun tak tahu detail sangat, kakak saya daftarkan.

      Delete
  11. Alhamdulillah tahniah Tot berterusan dan istiqamah belajar secara online. Semoga terus berpanjangan usahanya. Nanti kalau ada kesempatan Tot kongsikan ye sinopsis pengajian Luahan Cinta Allah di sebalik 7 Kalam Agung tersebut ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya-Allah, saya cuba. Nanti ada kesempatan saya akan cuba share. 😊

      Delete