Hasil kebun bulan lepas

Tak adalah banyak pun hasil kebun. Tapi saya tulis jugalah di sini, sebagai rekod dan kenangan. Antara yang sempat dikutip semasa akhir bulan Julai adalah seperti berikut.

Limau kasturi

Pokok limau kasturi di rumah saya berbuah dengan lebatnya. Saya ada letak baja sisa dapur dari tong kompos. Saya tanam sikit baja kompos di antara pokok limau kasturi dan pokok serai di bahagian hadapan rumah. Keluar banyak sangat buah limau kasturi pada pokok, sampai gugur ke tanah la, buah yang sudah kuning tapi tidak diambil. 

Suami saya ada ambil buat air limau sekali-sekala. Pada akhir bulan lepas, saya suruh suami kutip buah limau kasturi untuk dibawa ke pejabatnya. 

Itu pun, suami saya kutip separuh pokok dulu.

Kutip buah limau kasturi di pokok yang ada di rumah.
Kutipan limau kasturi pada hari itu.

Bulan Jun punya kutipan limau kasturi pun suami bawa ke pejabat juga. Ada saya tulis entri di sini 👉 Aktiviti Berkebun Jumaat.

Letak saja atas meja di ofis, sekejap saja habis. Bolehlah guna untuk buat sambal belacan, campur dalam minuman, perah atas mi goreng ke, laksa ke. 

Limau kasturi ini termasuk dalam keluarga buah citrus. Ia kaya dengan serat larut pectin, yang membantu turunkan kolesterol jahat low-density lipoproteins (LDL). Hasil carian di google.

Limau kasturi juga ada kandungan vitamin C yang tinggi. Walaupun rasa buah ini masam dan bersifat asidik, tapi limau kasturi ini sama macam lemon juga. Ia boleh singkirkan toksin penyebab lemak berkumpul, dan salah satu detoks semulajadi terbaik.

Alhamdulillah. Memang tak habis kalau kita guna sendiri. Itu yang kongsi dengan kawan-kawan pejabat suamiku.

Bendi

Bendi atau okra
Bendi atau okra atau lady's fingers.

Sebab tidak banyak, sekali tuai, adalah sebiji atau dua biji, saya biasanya campur dengan sayur lain untuk masak sayur campur. Kalau masak kari pun, saya campak juga bendi ini. 

Ingat tak dalam entri saya buat tempat kompos itu, tapi tak jadi, sebab ada pokok terung? 

Terung pipit

Memang confirm bukan saya yang tanam pokok terung ini. Boleh jadi burung punya kerja. Sebab saya tak ada benih terung pipit ini di rumah. 

Ini pertama kalilah saya melihat pokok terung pipit. 

Pokok terung pipit dan bunganya
Bunga pokok terung pipit

Bunganya berwarna putih berbentuk bintang dengan bahagian tengah bunga berwarna kuning.

Buah terung pipit kecil saja, bentuk bulat, dan tumbuh sejambak.

Biasanya, terung pipit ini, orang tambah ke dalam sambal ikan bilis, betul? Boleh juga guna untuk masak lemak cili api.

Pokok terung pipit
Gambar diambil 28 Julai 2026

Kome pernah makan terung pipit tak? Saya tak pernah, tau. 🙈 Tapi saya biasa tengok lauk sambal tumis ada letak terung pipit di dalamnya.

Pokok terung pipit
28 Julai 2026

Elok pula pokok ini tumbuh dengan sihat dan keluar bunga dan buah dengan banyak. Mungkin sebab akar pokok ini dapat khasiat dari sisa kompos yang saya tanam berhampiran pokok ini. 

Pokok yang saya tidak peduli dan tidak tanam sendiri, elok tumbuh subur. Pokok terung yang saya tanam dulu, tak dapat rasa buahnya sebab kera ambil. Yang terung pipit ini, kera tak minat pula makan. Hairan juga saya. 😁

Okaylah. Sekian laporan hasil kebun pada bulan lepas. 

Saya tak dapat lagi blogwalking ke blog kawan-kawan. Sibuk betul la. Tadi teman suami ada urusan nak tukar akaun prepaid telefonnya. Lepas tu, hari ini juga permohonan dermasiswa JPA dibuka, itu yang saya terus isi borang untuk budak Sulaiman. Selamat sudah... semoga diluluskan permohonan bantuan Majlis Agama Islam Negeri dan Dermasiswa JPA ni. 🤲 Malam pula, bateri badan sudah habis. Mata kuyu nak tidur, ini pun saya lawan untuk update entri sikit. Nanti bila lapang sikit, saya cuba blogwalking, ye. Minta maaf. 

Jumpa lagi. 💗

Share:

5 ulasan:

  1. Sayapun belum pernah makan terung pipit.
    Hehe saya pula baru habis makan buka puasa. Mata segar, bolehlah jalan ke blog sementara tunggu makanan turun.

    BalasPadam
  2. seronoknya dapat banyak buah limau kasturi. teringat masa kecil dulu pun ada satu pokok limau depan rumah. apa2 senang saja petik ambil setiap kali nak buat sambal belacan.

    Punyalah banyak limau ni sampaikan makan apa pun cicah limau. Paling best makan limau kasturi cicah gambar dengan asam boi sambil layan sukan komanwel masa tu.

    Memang terigau sampai sekarang.

    Meriah kebun kecil kak tot. kecil kecil pun banyak hasil. Alhamdulillah

    BalasPadam
  3. Sekarang dah jarang nak makan terung pipit, puas dah makan masa zaman kanak². Rumah mak ada dulu pokoknya. Biasa tambah dalam sambal atau.dikukus buat ulam.

    BalasPadam
  4. Dekat rumah kampung memang ada pokok terung pipit ni, dari kecik dah biasa nampak..tapi budak kecik tak makan sayur yang pahit² sikit ni.. hahaha.. bila dah berumah tangga, baru la kalut nak makan..
    Limau tu, kalau berbuah memang meriah.. dulu ada pokok nya dekat kampung, tapi sekarang dah takde..

    BalasPadam
  5. Elok buah-buah limau kasturi. Elok jugalah dikongsi bersama daripada tak terguna gitu kan. Dapatlah juga mereka buat apa yang patut. Seronok tengok tanaman menjadi je. Bendi tu kalau ada 2-3 macam tu buat ulam atau tambah dalam masakan pun berbaloi. Terung pipit saya tak pernah makan. Kurang gemar terung bulat. Suka terung ungu tu lagi. Tapi kalau buat sambal ikan bilis campur terung pipit ni mungkin boleh makan kot.

    BalasPadam