Saya sambung cerita umrah. Ini cerita pada 31 Januari hingga 1 Februari 2025.
Check-in hotel pun sudah malam, lama tau, masa nak buat umrah wajib ni. Lepas anda baca entri ini, anda akan faham kenapa ambil masa lama.
Masa check-in bilik di hotel, yang ambil pakej makan, diberi sekali bar code.
![]() |
Scan saja barkod di restoran, barulah boleh masuk makan. |
Mutawwif ada beritahu, Madinah memang rasa tenang. Di Mekah, ada rasa serabut sikit. Betul la tu, cakap dia. Untuk sarapan, kami kena turun ikut lift hotel ke dewan makan.
Untuk makan tengahari dan malam, kami kena turun ikut lift Clock Tower, untuk ke restoran luar hotel, tapi masih di bangunan yang sama.
Bawah hotel, di level 4 ke bawah, adalah shopping mall.
Lift Clock Tower tu banyak yang lambat bila kita tunggu. Ada 8 buah lif dekat hotel, 8 belah sana. Each lift ada level yang dia boleh pergi, dan boleh muat ramai orang, pernah sampai 2 wheel chair boleh masuk, dengan orang ramai lagi.
Untuk turun ke Masjidil Haram, level 0.
Ruang solat (prayer hall) untuk jemaah wanita, level 10.
Ruang solat untuk jemaah lelaki, level 9.
Dari dalam bilik hotel ada speaker, boleh dengar imam Masjidilharam baca setiap kali solat fardu. Boleh ikut dalam bilik. Tentang ini, kami ada kemusykilan, lepas tu kami tanya mutawwif. Sebab tengok ada orang solat dalam bilik, ikut suara speaker. Kat tv dalam bilik pun ada live masjidil haram, tapi ada delayed sikit. Mutawwif cakap, tak salah ikut, cuma tak dapat yang ganjaran 100,000 solat di masjidil haram tu, sebab tak ikut belakang imam. Tapi jika di prayer hall, tingkat 9 dan 10 pun boleh dapat seolah-olah kita solat di masjidil haram. Situ memang kerajaan arab saudi bina untuk memudahkan orang yang kurang upaya ke, ada masalah ke untuk ke masjidil haram untuk solat. Wallahulam ye. Saya tulis sini apa yang mutawwif cakap. Kalau salah, saya minta maaf, betulkan saya, ya.
Saya jadi kagum dengan orang tua yang badan sudah bongkok, tapi datang suami isteri je, mengerjakan umrah. Bukan senang, tau. Kita yang muda ni pun, ada rasa serabut nak ingat banyak benda. Kadang kala saya rasa, alangkah baiknya jika tiada clock tower ni, sebab benda akan jadi lebih simple seperti di Madinah, keluar hotel, jalan kaki pi masjid. Tak perlu la bangunan tinggi-tinggi pencakar langit ni. Itu pendapat saya saja tau, apa lah yang saya tahu, lagi pun saya sejenis old school, lebih suka tempat kurang orang dan kurang serabut.
Hotel kami, Hotel Pullman Zamzam Mekah ni, seakan last minit terima kedatangan kami. Bilik kami standard size untuk 2 orang, tapi memuatkan 4 orang, jadi katil disusun sebelah menyebelah, tiada ruang untuk solat dalam bilik, itu pasal saya selalu turun ke tingkat 10 di dewan solat wanita, jika tak sempat ke masjid. Tak perlu tunggu lif juga, sebab ada eskalator, turun 1 tingkat sudah sampai. Kalau di Madinah perlu keluar 1 jam sebelum masuk waktu solat fardu, kat Mekah kena lebih awal jika nak solat di masjidil haram. Orang sangat ramai waktu kami pergi.
Program umrah wajib bas 1, adalah pada 10.30 malam. Tunggu sekali jemaah yang naiki bas sampai, baru kami akan pergi sekali bersama mutawwif, Ustaz Fazly.
Saya semasa masuk bilik, saya dapati pad saya bersih, dan tiada darah keluar masa buang air, saya pun apa lagi, terus mandi wajib. Tak keringkan rambut lepas mandi, sebab risau terlanggar 13 pantang larang semasa dalam ihram tu, yang mencabut atau memotong rambut. Bila dalam keadaan ihram, tak mahu ambil risiko, deodorant pun pakai yang tanpa wangian.
Bila jemaah naiki bas sampai, kami pun berkumpul di lobi hotel, dalam keadaan berwuduk, bawa uncang kasut, bawa botol spray wuduk, pakai name tag, bawa tisu untuk bersihkan tapak selipar.
Dalam hati saya, tidak henti berdoa supaya Allah izinkan saya habiskan tawaf. Bagi lepas tawaf saja, ya Allah, izinkanlah aku, ya Allah, Kau permudahkanlah, ya Allah.
Tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Bila semua jemaah sudah berkumpul, kami turun level 0, ke masjidil haram. Kena jalan jauh sikit, sebab pintu utama masjidil haram tidak dibuka. Masa 2-3 hari nak balik, baru dia buka. Bila pintu tu dibuka, keluar saja Clock Tower, straight je, boleh nampak Kaabah.
Masya-Allah, saya tak tahu nak gambarkan perasaan saya masa pertama kali tengok Kaabah depan mata. Allah je yang tahu. Orang banyak dosa macam saya ni pun, Allah boleh jemput. Terasa sangat dalam hati, gembira, bersyukur, penuh pengharapan, terharu, sedih, rasa yang Allah sayang kita, walaupun kita jahat, solat pun bukan di awal waktu semasa di rumah, semua perasaan ada, la.
![]() |
Lebih kurang macam ni la, keadaan di Kaabah masa kami buat umrah wajib tu. |
Ramai dan penuh orang. Sebelum nak mula tawaf, ikut mutawwif baca niat tawaf, sayangnya, saya dan Atam (kakak kedua) terpisah dari group kami, masa pusingan pertama lagi, sudah hilang bayangan mutawwif.
Jemaah dari Turki paling dasyat lah, kalau kena himpit dia orang. Dia orang punya jemaah masa tawaf, keliling formasi dia adalah lelaki, yang perempuan duduk di dalam. Dia orang pakai langgar je. Kuat tau, deme ni. Geng hijau, geng merah (refer gambar di atas, boleh cuba zoom-in), itu jemaah Turki la tu.
Kami cuba sebaik yang kami mampu. Bila sampai di lampu hijau, hajarul aswad, ucap salam dan kucup dari jauh,"Bismillahi Allahuakbar, walillahilham". Tiada bacaan khusus yang wajib kita baca, kita boleh baca apa saja zikir yang kita nak, doa apa yang kita nak, sepanjang kita tawaf.
Saya bahagi-bahagikan doa untuk diri sendiri semasa pusingan pertama, untuk suami pusingan kedua, doa untuk anak-anak semasa pusingan ketiga, dan gitulah seterusnya. Dan ada doa untuk pembaca blog (ye, anda!) yang minta doakan diberi rezeki untuk dijemput ke sini, saya sampaikan di pusingan akhir tawaf. Alhamdulillah. Syukur, saya sayang anda semua. Kita semua bersaudara, sesama Islam.
Saya tak sangka sepanjang tawaf tu, boleh terpijak botol plastik waktu melangkah, ada kain tercicir, ada tisu, ada kasut tawaf tercicir. Mungkin sebab hari sudah malam. Bila sudah banyak hari baru saya dapati, aktiviti pembersihan keliling Kaabah dibuat waktu pagi dan siang. Pakailah stokin 2 lapis. Sebab masa tawaf dan saie, rasa tekanan di tumit dan lutut (bagi sayalah ye). Atau mungkin effect lari laju kejor tren di siang hari. Tak perlu pakai kasut tawaf yang ada padded di bawah tu pun takpe, yang itu mudah terlucut, bila tawaf, orang belakang akan pijak kaki kita, dah lari fokus kita, nak betulkan kasut pula.
Dan badan saya juga sakit-sakit, kena tolak dan himpit orang yang lebih besar. Nak jaga kedudukan bahu kiri agar tidak lari menghadap Kaabah, agak sukar, tapi saya sudah cuba yang terbaik.
Alhamdulillah, walaupun terpisah dari group kami, kami berjaya habiskan tawaf 7 pusingan keliling kaabah, keluar secara perlahan-lahan, dan cari tempat yang kurang orang untuk solat sunat tawaf.
![]() |
Gambar diambil lepas solat sunat tawaf |
Selepas tu, kami perlu cari ahli jemaah yang lain. Mesej di wasap kami baca, dan kami cuba cari dia orang semula. Berkumpul untuk mula saie pula. Oh, untuk makluman, kami ambil masa hampir 2 jam untuk siapkan tawaf kami. Ramai manusia. Jalan langkah kecil, banyak tempat berhenti, ada tempat rasa lapang, ada tempat rasa sesak. Jadi, anda boleh bayangkan ye, betapa ramai manusia pada masa itu.
![]() |
Waktu jumpa ahli jemaah kami, jam Clock Tower sudah menunjukkan jam 1.15 pagi, tanggal 1 Februari 2025. |
Masya-Allah, cantiknya Masjidil Haram.
Tunggu jemaah yang lain yang terpisah juga, untuk datang ke tempat berkumpul, Kaabah, sisi berhadapan pancur emas.
![]() |
Kami 3 beradik, berjalan ke tempat nak buat saie. |
Kami saie di tingkat 2. Yang ground floor tu, agak membukit, mutawwif cakap. Ada juga jemaah yang naik buggy, dan ada yang guna khidmat tolak wheel chair. Ada bayaran tertentu, dan perlu tunggu di tempat tertentu, mutawwif ada tunjukkan.
Ambil masa lebih 1 jam untuk kami habiskan saie. Kami bertiga kali ini, dapat lakukan bersama dari awal. Jalan agak laju juga. Semasa berulang-alik antara Safa dan Marwah itu, masa banyak berjalan laju tu dan usaha tidak hilang Kok di hadapan di celah-celah orang ramai, saya boleh rasa yang ada darah haid keluar, Ya Allah, gembiranya saya waktu tu. Ko nak turun sampai bocor underwear pun, lantak lah, sebab waktu saie, boleh buat tanpa wuduk dan dalam keadaan hadas datang bulan pun sah. Cuma waktu tawaf je yang perlu ada wuduk dan bersih dari hadas besar.
Jadi sekarang bagi yang tiada pengalaman umrah, dan pergi pula waktu musim panas dan bukan waktu peak, di mana masa untuk tawaf lebih singkat, walaupun anda uzur datang bulan, kalau ada gap je, boleh diusahakan. Sebab Allah bagi kita tau, apa yang kita minta. Tengok lah saya, Allah banyak tolong. Dia makbulkan doa saya, di masa yang tepat dan sekadar perlu. Ya Allah, Memang Maha Berkuasa. Tiada daya kita, melainkan dengan izinNya dan Dia tidak menzalimi hambaNya. Syukur, Alhamdulillah. Rezeki Allah bagi. Kok cerita masa dia buat umrah pertama kali dulu dengan arwah Mama, dia habis tawaf setengah jam saja. Untung juga waktu sampai Mekah, haid saya sudah hujung-hujung nak habis, jadi, banyak gap, jarang-jarang keluar. Sikit-sikit ni, lambat habis, tapi saya terima, segalanya adalah ujian.
Selesai saie, mutawwif beritahu, jemaah perempuan boleh balik ke bilik, dan tahalul di bilik saja. Perempuan senang, cuma gunting rambut dalam 3 helai, besar ruas jari. Yang lelaki, mutawwif bawa ke kedai gunting rambut untuk bercukur.
Alhamdulillah. Saya rasa sangat bersyukur saya selesai umrah wajib. Rezeki Allah beri. Sangat special waktu buat umrah tu. Tak tahulah nak cakap. Allah permudahkan urusan kita, rasa sangat bertuah Allah izinkan saya. 💗💗
Memang penat habis umrah wajib, sakit badan, sakit kaki, tapi rasa gembira di hati. Sambung di lain entri. 💗
betul ammi pun rasa benda yang sama masa buat umrah wajib. mungkin sbb perjalanan yang lama dari madinah ke mekah, pastu kita buat umrah diwaktu tidur kita di Malaysia. Tapi apa pun alhamdulillah, Allah maha mendengar, pemurah dan Dia yang maha mengetahui segalanya
ReplyDelete*Utusan Diraja*
ReplyDeleteKehadapan tuan hamba,
Beta , Permaisuri Cuya Wal Kelapa menjemput tuan hamba untuk
hadirkan diri ke majlis giveaway beta yang sedang berlangsung.
Kedatangan tuan hamba sangatlah beta nantikan. Ayuh, ke teratak beta.
Beta menanti!
https://nasuha-itsmyessay.blogspot.com/2025/02/giveaway-kerajaan-kelapa.html
I feel you....
ReplyDeleteUncle pernah terserempak dengan orang buta tawaf... Sorang tau! Jalan lek-lek je slow and steady....