Tuesday, February 18, 2025

Day 8: Ziarah Luar Mekah dan malam ke Jabal Nur

 Hari ni, kami akan dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah di Kota Mekah. Sebelum keluar bilik, check dulu pitih riyal tinggal berapa. 

Dalam buku panduan umrah, kami dinasihatkan bawa duit riyal dalam 1 ribu sahaja. Sudah siap tukar di Malaysia. Dari sini, duit riyal yang saya bawa dalam note 100 riyal, 10 keping. 

Saya sudah beli barang-barang untuk keluarga seperti sejadah, jubah dan minyak wangi di Madinah. Di Mekah, saya tak ada shopping apa-apa, kecuali bayar duit makan dan duit dobi.

Note 5, 10, 20 dan 100 riyal.

Duit 5 riyal simpan, untuk bagi sedekah pada orang yang room service dan pada tukang sapu masjidilharam. 

Dekat Madinah, 1 kali guna khidmat dobi, sekaligus hantar pakaian kotor untuk satu bilik. Share bayar. Di Mekah, 2 kali guna khidmat dobi. Di Mekah, banyak berpeluh. Lepas umrah dan tawaf, dan lepas ziarah, memang pakaian jadi kurang bersih sudah.

Syiling 1 dan 2 Riyal

Saya tak tahu tentang orang lain. Tapi, saya, ikut recommendation dari travel agency untuk bawa wang tunai 1 ribu riyal, sudah cukup. Tidak sekali pun saya perlu keluar duit dari ATM di sana. Bawa 1 ribu riyal, masa saya balik Malaysia, cuma tinggal 40 riyal dalam beg saya. 😊 

Barang saya tak banyak pun. Timbang beg saya, 19 kg. Untuk check-in luggage penumpang kelas perniagaan, boleh sampai 40 kg. Itu yang saya check-in bag extra, tolong kawan kok, itu pun lepas, tak sampai had pun, Alhamdulillah. Deme saya tengok, beli kurma dah berkilo-kilo, coklat pun berkilo-kilo. Peh... 

Tengok la saya melalut. Padahal patut cerita pasal aktiviti ziarah luar Mekah hari ni. Ok.

Meja sarapan

Saya selalu jadi tukang kena chop meja masa sarapan. Masa ni memang awal. Pukul 6 pagi, lepas subuh, dewan makan dah buka. Tak lama, memang penuh tempat dengan orang.

Makan setengah jam saja. Biasa bila kakak-kakak sedang sarapan, saya minta diri naik bilik, sebab nak makan ubat dan buang air ke, apa.

On channel live Masjidilharam

Hari-hari tengok channel live tu. Bila hari-hari kita perati, boleh nampak pattern yang setiap kali lepas solat fardu, memang penuh orang tawaf. Jam tv di atas, pukul 7.08 pagi. Kalau nak kurang sikit orang, pergi pukul 8-9 pagi. Time matahari tegak atas kepala pun kurang orang. Tapi kena laju la, sebab zohor masuk jam 12.34.

Pukul 7.30 pagi tu, kena turun bawah sudah, nak naik bas pergi ziarah.

Mula-mula, kami pergi Jabal Rahmah. 

Jabal Rahmah

Apakah Jabal Rahmah ni? Ia adalah bukit yang letaknya di Arafah, Mekah. Di sinilah tempat pertemuan Nabi Adam dan isterinya, Hawa, setelah diperintah Allah turun ke bumi dari syurga.

Di puncak bukit Jabal Rahmah ini juga, Rasulullah SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda kepada seluruh muslim yang menunaikan ibadah haji bersama baginda sebelum baginda wafat.

Di bukit inilah juga Nabi Ibrahim diperintah untuk mengorbankan putera kesayangannya, Nabi Ismail.

Masa kami datang, bukit ini ditutup untuk didaki. Jadi, kita tengok dari jauh saja. Ramai orang ziarah di sini. Cuaca pun agak panas.


Video sekitar Jabal Rahmah

Masa nak pergi ke bukit ini, kami ada lalu kawasan yang lebih kurang macam pasar malam, ada banyak orang jual macam-macam benda, dari pakaian ke buah, ke topi, air, dan lain-lain.

Semasa nak balik, mutawwif kami dah janji dalam bas, nak belanja aiskrim. 😁

Sebut pasal aiskrim je, **nyerongin sampai ke telinga. 

** nyerongin - dialek Perak, maksudnya senyum. 😊

Maklumlah, cuaca masa tu pun agak terik panasnya.

Mutawwif kami, Ustaz Fazly standby kira orang dan aiskrim.

Aiskrim saya tinggal banyak tu, baru ingat nak ambil gambar. 

Tempat seterusnya yang kami ziarah, adalah kawasan Muzdalifah, Mina dan Kompleks Jamarat (Mina). Tapi, kami hanya dibenarkan berada dalam bas sahaja.

Arafah, Mina dan Muzdalifah adalah tempat wajib dijejaki bagi mereka yang menunaikan haji.

Pada 9 Zulhijjah, jemaah haji akan berwukuf di padang Arafah. Berkumpul di Bukit Arafah dari tengahari hingga matahari terbenam. Wukuf ini adalah salah satu rukun haji setelah ihram, ye.

Setelah wukuf di Arafah, jemaah haji menuju ke Muzdalifah saat matahari terbenam. Di samping berdoa dan berzikir, di sini juga jemaah kumpul batu untuk melontar jamrah di Mina. Dulu memang ye, kena kutip batu sendiri. Tapi mutawwif kami cerita sekarang, batu-batu yang diperlukan sudah siap di-pack, dan diberi pada jemaah haji. Kalau salah info, minta maaf ye. Atau mungkin tak semua kot, ikut pakej haji.

Pada tanggal 10 Zulhijjah, jemaah haji menuju ke Mina dari Muzdalifah. Di Mina, mereka melaksanakan ibadah melontar. Gitulah ceritanya. Lepas balik umrah ni, menjadi impian saya untuk tunaikan haji pula. Kalau boleh, kali ni, biarlah bersama suami pula. Pergi umrah dengan kakak-kakak. πŸ’—

Seterusnya, kami ke tempat miqat, iaitu Masjid Ja'ranah. Bagi jemaah yang ingin mengerjakan umrah boleh bermiqat di sini. 

Kami 3 beradik, depan Masjid Ja'ranah.

Balik hotel, masuk waktu solat zuhur dan makan tengahari.

Nampak macam spagetti goreng, daging masak apa lupa dan timun.

Rupa macam spagetti, tapi rasa macam maggi goreng. Daging masak kicap kot. 

Hari yang sama, lepas Isyak, ada ziarah Jabal Nur.

Di sinilah letaknya Gua Hira', iaitu tempat Rasulullah SAW dapat wahyu pertama, semasa baginda berusia 40 tahun. Gua Hira' ini juga adalah tempat di mana Rasulullah SAW selalu menyendiri dan bermunajat, selama 3 tahun. Tempat baginda selalu pergi la, untuk menghindari masyarakat Jahiliyah yang pada masa itu masih belum beriman kepada Allah, sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar.

Masa mutawwif cerita ni, saya rasa macam lebih kurang je macam Rasulullah. Sebab saya pun kalau rasa serabut dengan orang, terus shut-down masuk gua, malas keluar rumah, blog tak update, apa-apa handphone pun malas buka. Rasa bukan saya seorang kot, macam ni. 😊


Itulah Jabal Nur, Gua Hira' terletak di puncak Jabal Nur. Masa ambil gambar ni, cer tengok, ada bulan di balik bukit. Masya-Allah, cantik sangat malam tu.

Kalau tak nak naik bukit, ada muzium dibawah yang boleh dikunjungi. Tempat makan pun ada banyak. 

Masa mula mendaki

Kering dan berbatu, dia punya jalan nak mendaki. Kalau tak nak ikut jalan tanah, ada tangga di belah kanan, ada kira-kira 600 anak tangga untuk sampai ke puncak.

Saya naik dengan Kok.

Kelihatan Clock Tower di kejauhan.

Nasib baik bawa air. Nasib baik pakai kasut sukan. Yang kurang best, sebab waktu malam. Semasa di awal pendakian, ada kawasan berlampu. Bila sudah makin tinggi, tak ada lampu. Kami naiki sambil suluh lampu handphone.

Makin lama juga, laluan tangga makin sempit. Orang pula ramai. Sebab malam, jadi pendakian semakin sukar. Kita bukan familiar dengan tempat tu.

Bila hampir nak sampai puncak, boleh terserempak dengan orang Malaysia. Dia baru turun dari tengok gua. Dia kata, ramai sangat, tak boleh nampak sangat. 

Lagi-lagi ada jemaah Turki. Dia orang ni, walaupun ada yang bertongkat naik bukit, tapi kuat, sebab boleh sampai atas. Dan dia orang tak lari atau beri laluan, kita yang kena elak dia orang. 

Saya cakap pada Kok, saya tak sampai atas la. Lagi pun, saya gayat. 

Kok di tepi lereng bukit

Kok ni memang berani. Dia pi panjat bukit sampai atas, tanpa ikut laluan yang disediakan. Dia ikut batu-batu bukit. Jadi, kena merangkak la, ada tempat curam. Ha, Kok tu, dah naik Kinabalu, dia pula semua gunung di Malaysia, kerja dok naik je, bila-bila cuti.

Kok cerita, banyak orang di gua tu. Dia orang sembahyang la, ceramah la, kat atas puncak tu. Memang tak boleh ambik gambar, tak nampak apa, sebab gelap. 

Bila saya baca wasap, mutawwif cakap, bas akan tunggu sampai pukul 12 tengah malam, untuk orang yang naiki Jabal Nur. Kami pun apa lagi, berdesup turun balik.

Bila kami sampai bawah, sempat beli kebab untuk Atam, yang on the way turun juga. Kami jumpa Atam dan jemaah lain di tengah bukit. 

Sampai hotel, dah pukul 1 pagi. Memang penat, tapi sangat seronok, dapat jejaki tempat tinggalan Rasulullah SAW. 

Sekian program pada 3 Februari 2025, sambung lain entri. πŸ’—

3 comments:

  1. Jauh tapi mesti puas hati jugak dapat naik bukit tu.

    Hotel dengan Jabal Nur berapa jauh jaraknya?

    ReplyDelete
  2. Kepenatan tapi menyeronokkan. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  3. Doakan juga agar saya dan keluarga sampai di sana suatu hari nanti.

    ReplyDelete