Sudah seminggu kita berpuasa. Cepat betul, kan. Kalau kita tak rebut masa yang ada untuk banyak-banyak buat pahala di bulan yang mulia ini, rugilah kita. Setan iblis semua dah kena rantai, jadi kalau kita malas tu, makna kita memang malas la ya, secara semulajadi tanpa dihasut setan, sibuk je dengan urusan dunia.🙈 Nak mengaji pun tangguh-tangguh. Ya Allah... tak tahulah. Semoga kita dapat sedar diri dan bangkit! 💪
Sebelum itu, terima kasih blogger Bola Katok, kerana maklumkan tentang saya terpilih sebagai Top Commentator January 2026 di blog beliau. Yay! 😁
Jom tengok lauk berbuka saya bersama Amirul dan Sulaiman. Suami kerja shif petang, jadi dia bekerja semasa berbuka, tapi ada di rumah waktu sahur, itu pun kalau dia tak masuk overtime.
![]() |
| Salad telur rebus |
Saya tahu daun salad sudah habis dalam peti ais. Cuma saya nak habiskan sayur yang ada. Jadi, sayur semalam adalah timun jepun dan tomato bersama telur rebus 2 biji. Saya guna Kewpie caesar salad dressing. Saya sedikit menyesal guna sebab antara kandungan dressing ini adalah gula. Yikes! Tapi sebab saya sudah beli, baiklah saya habiskan. Jangan membazir. Lain kali tak payah dah la beli, mungkin boleh perah lemon dan letak garam dan lada hitam saja dalam salad.
Saya okay, buka puasa dengan salad saja. Tak makan nasi. Cadangnya, masa sahur pun nak buat macam ni. Tapi malas nak potong salad pagi-pagi.
![]() |
| Nasi kerabu ikan |
Ini, pinggan Amirul. Beli nasi kerabu Kelapa Sawit. Nama kedai ni Kedai Nasi Kerabu Kelapa Sawit. Dulu, tempatnya ada pokok kelapa sawit sebatang. Tapi, pokoknya sudah ditebang! 😂 Tapi, nama itu terus digunakan. Pada pendapat saya, nasi kerabu sinilah yang terbaik paling sedap di daerah Manjung! Betul, saya sudah cuba banyak kedai nasi kerabu. Ada je yang tak cukup rasa. Yang sayur sikit, dan sebagainya. Sini memang okay. Dulu, jauh lebih sedap, dia punya ayam bakar, rasa macam sate. Tapi rasanya mak orang niaga ni dah takde kot, mengikut suami saya la, sebab dia yang tukang beli. Tapi masih sedap la. Harga nasi kerabu lauk ikan ada telur masin, RM10.
![]() |
| Nasi goreng ayam |
Bersegi rupa nasi goreng di atas. Hehe... Baru terbalikkan dari bekas polisterin ke pinggan. Ini pinggan Sulaiman. Beli dari Restoran Biriyani Manjung (mamak). Bawah nasi goreng, ada telur mata. Kegemaran Sulaiman, nasi goreng mamak. Mamak letak sayur, dia boleh makan. Kalau mama masak sayur, Sulaiman tak makan pula. Huhu.. Harga nasi goreng ayam mamak RM8.
![]() |
| Cakoi |
Cakoi beli RM5. Share makan tiga beranak. Dia bagi kuah kacang, tapi kami tak guna pun. Makan begitu saja.
Tak masak ke? Beli jer ni.. Masak, dua hari lepas, lauk ayam kicap masih ada, buat sahur. Habiskan itu dulu, baru masak lain.
Alhamdulillah. Rezeki. Saya nak keluar sekejap, nak cari sayur. Nanti bila free, saya blogwalking, ya. Itu pun nanti lepas zohor ada kelas mengaji. Lepas kelas, cadang nak masak burger pula. Budak-budak request nak berbuka dengan burger.
Baik, jumpa lagi ya. 💗




No comments:
Post a Comment