Brew kopi dari rumah

 Assalamualaikum, semua...

Saya beli cerek untuk buat kopi di rumah. Nama cerek yang boleh letak atas api ini ialah Tazze Moka Pot. Ramai peminum kopi pakai cerek kopi ini. Cerek ini brew kopi menggunakan vapor pressure dan haba. Saya pun tak faham juga camana mekanisme alat ini. Tapi saya buat carian dulu, macamana cara nak hasilkan kopi sedap dari rumah macam di kedai kopi, dan ini adalah alat paling berpatutan mengikut kemampuan saya. Malah, saya tertengok video seorang rider yang peminum kopi juga menggunakan moka pot ini masa sedang berehat. Dia sedang ride ke Kelantan, berhenti untuk makan. Dia guna moka pot, masak atas dapur yang macam penunu bunsen itu sampai kopi terhasil. Dia lagilah, penunggang motor, mana boleh bawa barang banyak, semua alat jenis compact tapi functional.

Saya pesan moka pot dari shopee. Barang sampai rumah 5 Disember 2025 yang lepas.

Moka pot untuk buat kopi di rumah.
Tadaaa.... inilah dia, moka pot.

Harga RM11. Moka pot ini dibuat dari aluminium. Tapi bukan nipis macam tin aluminium itu. Ia agak tebal supaya dapat tahan haba api. Design moka pot ini mengikut stail klasik Itali dan digunakan untuk membuat kopi seperti espresso. 

Moka pot untuk buat kopi dari rumah
Close-up moka pot, dikeluarkan dari kotak.

Lagi satu sebab kenapa saya beli sebab masa saya buat carian itu, ada barista cakap untuk hasilkan kopi sedap, "You don't boil your coffee. You steam it". 
Cara tradisional yang saya terfikir sebelum ini adalah kita didihkan air dalam periuk, dan masukkan serbuk kopi. Tak salah, tapi mengikut kata pakar kopi, kita sudah cemarkan rasa kopi itu. Rasa kopi itu berbeza bila kita steam.

Tiga bahagian utama dalam moka pot
Terdiri dari 3 bahagian

Ada cawan untuk isi air bawah (kiri sekali dalam gambar di atas). Bahagian tengah, yang ada lubang-lubang penapis itu untuk isi serbuk kopi. Bahagian atas cawan tempat kopi keluar.
Yang penapis tengah itulah yang kita biasa tengok kalau barista buat kopi guna mesin kopi yang besar itu, dia ketuk-ketuk keluarkan serbuk kopi. Sekali isi, sekali hasilkan kopi, dan terus buang serbuknya. 

Cubaan pertama buat kopi guna moka pot
Cubaan pertama buat kopi guna moka pot.

Saya baru ada peluang untuk guna dapur kecil di bahagian tengah. Dapur arwah mak saya ini, ada tiga dapur gas, di kiri kanan yang saiz standard orang guna untuk masak itu. Di tengahnya, ada dapur gas kecil sedikit, yang saya tak pernah guna. Sebab moka pot ini kecil. Lagi kecil dari periuk comel yang guna untuk masak maggi tu, jadi sesuai guna atas dapur gas kecil. Patut makcik rider itu buat kopi guna dapur portable macam penunu Bunsen itu. Hehe.. Tak ambil masa lama pun untuk hasilkan kopi. Bunyi air mendidih, kopi pun keluar.

Saya rekod video masa air kopi sudah hampir siap. 

Saya guna serbuk kopi Acheh yang kak Amie bagi. Kopi tak akan melimpah keluar dari cawan atas, sebab cawan bawah itu, bila kita isi air secukupnya, memang sekadar cukup untuk kopi keluar ke cawan atas. 


Sikit je, sebab ukuran moka pot yang saya beli dari shopee, untuk tiga cawan kopi espresso. Kalau minum macam itu saja, memang kow kopinya, terbeliak biji mata, kome. Jadi, saya tambah air. Baru rasa macam americano yang selalu beli di zus. Wuhuuuu.... Syok dapat buat kopi sendiri dari rumah! Sekarang baru saya faham. Patut kalau beli espresso di kedai kopi, cawannya kecil saja. Itu adalah hasil yang kita dapat bila kita brew kopi. Campur air sikit, barulah rasa macam americano. 

Alhamdulillah. Nikmat. Saya sudah banyak kali guna moka pot ini di rumah untuk buat kopi. Ada sekali suami cadang, guna serbuk Nescafe, boleh juga, jadi... Rasa saja lain, banding guna serbuk kopi. 

Orait. Sekian cerita tentang saya buat kopi dari rumah. 

Jumpa lagi, ye. 

Share:

Sarapan di rumah

 Assalamualaikum, semua...

Cerita pada 6 Disember 2025 yang lepas. Ada hari, memang malas keluar, jadi buat sarapan di rumah saja. Saya buat cucur ketam atau cucur crabstick ya, orang panggil. Pertama kali cuba buat. Jejari crabstick tu, suami tolong potong kecil-kecil dan masukkan dalam adunan. 

Cucur crabstick
Le' cucuq ketam

Sepatutnya, guna lebih banyak potongan crab stick. Baru rasa lebih ketam. Saya cuma cedok seketul potongan crab stick dalam satu ketul cucur. Tak apa, lain kali boleh perbaiki, letak lebih banyak. Habis, Alhamdulillah, makan cicah sos cili dan mayonis.

Nasi goreng ikan rebus
Goreng nasi juga. 

Cucur tu, side dish. Main dish adalah nasi goreng ikan rebus. Saya masukkan isi dari seekor ikan rebus, baki lauk lepas-lepas yang tak habis, ada dalam peti ais. 

Makan nasi goreng ikan rebus dengan sambal tumis petai. Peh! Tak tahu nak cakap camana. 😋 Alhamdulillah, nikmat dan rezeki.

Hari ini adalah hari terakhir persekolahan. Ke, ada yang sudah cutikan anak sekolah awal-awal? Saya sekarang masih tidak percaya yang Sulaiman sudah habis sekolah. Tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk sediakan sarapan untuk Sulaiman. Sulaiman ni, anak bongsu saya. Jadi lepas ni, boleh la bungkus pakaian sekolah lama semua, clearkan mana patut dalam almari. Sulaiman rancang untuk kerja, tahun depan, sementara tunggu keputusan SPM keluar. Banding dua orang abangnya, yang lebih memilih untuk lepak rumah saja, sebelum sambung belajar. 

Oklah. Salam Jumaat yang mulia. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Tiada rotan, Akar pun berguna

Assalamualaikum, semua... harap hari anda hari ini ceria dan anda sihat sejahtera. Semoga dipermudahkan urusan dan tabah pada mereka yang diuji dengan ujian banjir sekarang ini.  

Pada 5 Disember 2025 yang lepas, kami buat pencarian cendol. Sebelum itu, ada baca di beberapa blog, teman bloggers pergi menyendol. Saya pula, rasanya dah bertahun tak makan cendol. Jadi, saya dan suami pun pergi ke tempat yang ada jual cendol. Kedai cendol pertama tutup. Pergi tempat seterusnya, pun tutup! Pergi lagi satu tempat, tutup juga, kome, walaupun google cakap buka. Hari Kedai Cendol Tutup Sedunia kot, pada hari Jumaat itu. Last-last kami pergi Aicha saja.

Oh, sebelum itu, saya baru balik dari temujanji hospital, jumpa doktor. Keputusan ujian darah berkala semakin membaik, walaupun belum normal. Alhamdulillah. Jadi, tiba-tiba rasa nak celebrate la. Celebrate makan benda manis. Hehe... aje gatei, orang Perak cakap.

Sunday Mango dan vanilla cone di Aicha
Tadaaaa.... 

Pernah sekali beli aiskrim Aicha ini, dulu. Kali ini, kami tak bungkus. Kami makan di dalam kedai. Sunday Mango untuk saya, harga RM5. Aiskrim cone vanilla untuk suami, RM1.99.
Ada seorang saja pelanggan yang sedang duduk di meja selain kami. Itu pun, air dia dah habis, tengah buat kerja guna laptop. 

Sunday Mango di Aicha
Nikmatnya! 😋

Gambar close-up sunday mango yang sedap. Terasa jeli perasa mangga di setiap suapan aiskrim vanilla. Masya-Allah... lega rasanya, setelah sekian lama tidak menikmati benda manis. (ye la tu kan.. semalam ko dah makan brownie sejibik). 

Kami suami dan isteri sedang menikmati aiskrim Aicha
Selpiaq sekeping. 

Syok juga makan aiskrim di kedai, sebab tempatnya sejuk dan tidak ramai orang. Alhamdulillah. Sekali-sekala boleh la melayan. 

Tajuk entri bukan main lagi kan. Peribahasa tiada rotan, akar pun berguna membawa maksud sesuatu perkara yang dihajatkan, sekiranya tidak diperolehi, memadai dengan apa yang ada. (Sila baca penerangan peribahasa ini dengan membayangkan gaya ala ala pemberita TV3 dulu, Karam Singh Walia).

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Wordless Wednesday: Perpustakaan Ramen

 Assalamualaikum, semua...

Ramyeon Library, CU Mart
Selalunya perpustakaan buku, ini Ramyeon Library


Ramyeon Library, CU Mart, Teluk Muruh, Lumut, Perak.
Bahagian dalam CU Mart Teluk Muruh, Lumut, Perak, di mana pelanggan boleh pilih ramyeon dan masak sendiri. Kerusi meja pun banyak. 

Jumpa lagi. 💗

Share:

Minum kopi, dapat kalendar

Assalamualaikum, semua...

Lepas makan mi bandung Muor di Pekan Gurney, saya dan suami pergi mengopi di 989 Kopi pula. Port mengopi kegemaran. Tapi tengok keadaan cuaca juga. Sebab tempat mengopinya terbuka.

Dapat kalendar 2026 989 Kopi Lumut
Dapat kalendar 2026.

Comel kalendarnya, dan cantik. Sekeping saja dan embossed. Rasa dengan jari, cetakannya timbul. Saya perhati, tiada nama bulan pun. Oh, dia letak nombor giliran sebagai ganti. Orait. Tarikh cuti am juga dibulatkan. 

Americano dua, satu panas dan satu sejuk, serta brownie seketul.
Americano dua, satu panas dan satu sejuk, serta brownie seketul.

Seperti biasa, kopi kami tiada gula. Sudah biasa. Kan brownie itu dah manis. Sedap pula tu. 😋

Bila mengopi sini, tengok ragam orang la, di taman berhadapan cafe ini. Ada juga beberapa meja jualan menjual permainan budak seperti buih sabun dan sebagainya. Gelagat anak-anak bermain di taman permainan, tengok laut di kejauhan. 

Harga kami mengopi pada petang itu ialah RM20.50. Petang-petang ada menu pizza di sini. Tapi kami tak pesan la, sebab kenyang, sudah makan sebelumnya.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Segmen Refresh Bloglist 2026

 Assalamualaikum, semua...

Saya pun nak memeriahkan suasana, join segment oleh blog Nieza ini.

Segmen Refresh Bloglist 2026
Klik untuk join

Bloglist itu satu tempat kita senang klik untuk ke blog kawan-kawan kita. Lagi-lagi kalau kita pilih untuk display semua dalam widget bloglist kita, info tentang bila kawan kita update, gambar mahupun sedikit ringkasan entri baru di blog kawan-kawan. 

Nieza ingin refresh bloglist di blognya, untuk sertakan 10 blog yang terpilih. 

Marilah kita sertai beramai-ramai, jika anda belum join lagi.

Good luck, semua, dan jumpa lagi. 💗

Share:

Mi bandung Muar

 Assalamualaikum, semua...

Cerita pada 4 Disember 2025 yang lepas. Wak Lat pernah sampai kedai ini. Saya dan suami pertama kali pergi. Lokasi di Pekan Gurney, Sitiawan, Perak. Pekan koboi. Kami pergi petang hari, lepas Asar, untuk makan malam.

Saya kalau teringin makan mi bandung, saya pergi ke kedai tomyam sahaja. Saya tak pernah masak mi bandung di rumah, kerana saya je dalam keluarga yang suka makan mi berkuah seperti mi bandung, mi rebus, dan seumpamanya. Ini pertama kali saya nak mencuba mi bandung Muar ni.

Mi Bandung Muar. Resepi Asli. Sejak 2019
Mi Bandung Muar. Resepi Asli. Sejak 2019

Ambil gambar dari sudut kiri kedai. Kedainya dalam bangunan rumah kedai lama, dari kayu. Klasik.

Mi Bandung Muar, Pekan Gurney, Sitiawan, Perak.
Ambil gambar dari sudut kanan kedai pula.

Udah rupa pelancong, padahal kami duduk daerah sama je. Waktu kami sampai, ada beberapa pelanggan sedang menjamu selera. Ada beberapa meja kosong. 

Ada seorang kakak datang bawa menu, ambil pesanan. 

Kami nak makan Mi Bandung Muar.
Selfie sekeping. 

Pilih meja sebelah kipas. Tak lama pun tunggu pesanan kami siap.

Mi goreng mamak
Suami order mi goreng mamak

Mi goreng mamak dia ada rasa hangus. Saya suka rasa hangus ni. Macam dia masak guna api besar. Suami cakap, mi goreng ada banyak kicap.

Mi bandung Muor
Inilah dia, mi bandung Muor

Saya pesan mi bandung Muor biasa. Macam ni rasanya. Memang lain rasanya, dari mi bandung kedai tomyam. Ada tauhu. Ada udang dua ekor. Sedap pada tekak saya. Alhamdulillah.

Harga makan malam RM25.50. Mi bandung Muor biasa harga RM9.

Menu Signature kedai ini yang autentik Johor, selain mi bandung biasa yang saya pesan, ada mi bandung XL, mi bandung tulang, mi bandung tulang XL dan mi hailam chinese style.

Selain itu, ada masakan panas lain yang goreng-goreng juga. 

Boleh datang lagi, cuba menu lain pula lain kali. 

Restoran Mi Bandung Muar ini dibuka dari pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam. Tutup setiap Isnin.


Sekian perkongsian.

Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Roti jala kuah durian

 Assalamualaikum, semua...

Pada 4 Disember yang lepas, buat pertama kali saya dan suami pergi ke Pasar Sehari Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Kami suami isteri memang suka jalan-jalan pergi pasar tani, pasar pagi atau pasar sehari. Bukan pasar awam tau. Pasar awam tu, tempat orang jual barang basah atau barang dapur. Kalau pasar sehari, macam-macam barang ada dijual. 

Lain lokasi, lain barang kita boleh jumpa. Walaupun makanan yang dijual lebih kurang. Tapi ada tempat, kita boleh jumpa barang yang jarang dijumpai. Pasar Sehari Kampung Koh ini walaupun namanya dalam daftar senarai pasar pagi dan malam di Perak adalah pasar sehari, ianya beroperasi dari 6 hingga 11 pagi sahaja, setiap hari Khamis.

Roti jala dan kuah durian
Roti jala dan kuah durian

Harga RM4. Boleh tahan sedap. 

Di Pasar Sehari Kampung Koh ini, ada banyak jualan pakaian dan periuk belanga. Oleh itu, sangatlah menarik bagi saya. Pelbagai saiz dan design ada. Periuk zaman dulu ada, periuk terkini pun ada, yang jenis pakai elektrik dan jenis multicooker itu. 

Buah-buahan pun banyak juga. Saya nampak banyak buah yang dijual di pasaraya besar, seperti kiwi, delima dan avocado. Pokok-pokok tanaman pun ada dijual. 

Saya ada beli seluar pendek Sulaiman RM35 dua helai. Buat pakai di rumah. Seluar dia banyak yang sudah koyak dan reput kain, sudah tak boleh dijahit lagi. Memang kena beli baru.

Oh, lagi satu, pertama kali saya tengok ada amoi seorang ni, depan dia ada handphone, dia sedang bersiaran secara live, sambil memegang microphone, dia menegur semua orang yang lalu depan dia. Saya pun ditegurnya. Apabila saya membalas sapaan dia dan agaknya muka saya macam musykil, dia kata, dia jual insurans. Haha... pertama kali jumpa orang jual insurans di pasar sehari.

 Jualan durian pun ada. Durian musang king. Wah.... tapi saya tak beli. 

Itulah yang menariknya. Selain jamu mata tengok barang, beli makanan sedap untuk dibawa balik makan di rumah, boleh tengok juga pelbagai ragam orang bila membeli-belah dan mencari barang. 

Kome suka pergi pasar tani atau pasar sehari, tak?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Beli dua pokok bunga

Assalamualaikum, semua...

Ada satu hari tu, suami ikut jalan dalam, pandu kereta melalui taman perumahan di Sitiawan. Bawa slow la, sebab bila lalu kawasan perumahan ada bonggol di jalanraya. Ternampak satu rumah. Rumah teres lot tepi. Cantik rumahnya, sebab penuh bunga berwarna-warni. Ada tanam dalam pasu, ada tanam di tanah. Ada bunga merah, pink, biru, ungu, bermacam-macam warna. Lawa giler, bagi saya. Saya tahu, bukan senang nak membela pokok bunga cantik macam itu. Tapi itulah yang saya nak, impian saya. Penuh bunga-bunga cantik di laman rumah. 

Pada 4 Disember 2025 yang lepas, saya singgah Bujang Garden. Saja, jalan-jalan tengok bunga. Saya mencari pokok yang tahan panas, senang jaga, berbunga, tapi kalau tak berbunga pun tak apa lah, ada daun yang rimbun. Pusing punya pusing, saya pilih dua pokok.

Salvia farinacea
Salvia ungu

Nama saintifik Salvia farinacea. Tanaman yang agak mudah dijaga, menurut Google AI, dan tahan lasak, sesuai untuk iklim panas. Serangga seperti lebah, rama-rama dan burung madu suka pokok ini kerana bunga pokok ini kaya dengan nektar. Ada pelbagai variasi pokok salvia, ada sesetengahnya boleh dimakan dan digunakan untuk perasa. Yang saya beli ini, saya tak tahu la boleh makan ke idok.

Brother yang jaga nursery cakap, tak perlu siram setiap hari. Mengikut AI, siram kira-kira sekali seminggu. Biarkan tanah kering di antara sesi penyiraman untuk elak air berlebihan, kerana ia lebih suka keadaan kering sedikit.

Pemangkasan berkala boleh menggalakkan pertumbuhan yang sihat dan lebih banyak bunga. Daun dari beberapa jenis salvia yang wangi boleh digunakan untuk dibuat potpourri. Saya lupa nak cium pokok salvia yang saya beli ada bau ke idok. Esok la saya tengok. Sekarang pokok ini saya sudah pindahkan ke pasu lebih besar. 

Pokok dahlia
Pokok dahlia

Nama saintifik Dahlia pinnata. Pokok ini tahan panas tetapi sensitif kepada kekeringan melampau. Siram pokok secara mendalam 2 hingga 3 kali seminggu apabila pokok sudah matang dan dalam musim kemarau. 
Elakkan menyiram daun atau bunga untuk mencegah penyakit kulat, sebaliknya siram terus ke paras tanah. Pokok ini masih dalam pasu asal dari nursery, saya belum pindahkan lagi ke pasu lebih besar.
Saya sibuk menebas rumput minggu ini. Hari ini hujan pula, jadi cuti berkebun. 

Sudah 9 hari sejak saya bawa balik dua pokok bunga ini dari nursery. Keduanya masih hidup, setakat ini, Alhamdulillah.  

Harga dua pokok bunga saya beli dari Bujang Garden ialah RM30. Semoga kedua pokok tumbuh dengan sihat dan keluarkan bunga cantik-cantik dengan warna yang terang supaya laman rumah saya tambah ceria dan berseri-seri. 🥰

Saja je, rekodkan di blog. Jadi, saya tahu bila saya beli. Kot umur pokok tak panjang pun, ada rekod saya beli pokok apa. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 💗

Share:

Sarapan di Kafe Kg

 Assalamualaikum, semua...

Entri kali ini, saya nak kongsikan tempat saya dan suami pergi sarapan pada 4 Disember 2025 yang lepas. Kami ada perasan satu tempat ini, kalau tidak ikut highway WCE, lalu jalan lama ikut Ayer Tawar, Perak. Atas sikit melepasi pekan, ada nampak lampu-lampu macam kedai makan tepi jalan. Hari itu, suami saya masih hari off. Jadi, jomlah kita cuba sarapan port baru.

Kafe Kg
Kafe Kg nama tempatnya.

Kg itu, saya rasa singkatan untuk Kampung. Memang suasana dalam kampung kedai makannya. Di tempat parking ada surau. Nampak ayam juga berkeliaran. Masa kami sampai, masih awal. Dalam pukul 7 lebih camtu. Pilih tempat duduk, dan tuan kedai datang bawa menu dan tanya nak makan apa. Masih old school. Hehe..

Kafe Kg Ayer Tawar, Perak.
Tempat makanan disediakan dan kaunter bayaran di sebelah kanan.

Kami duduk di meja berpayung depan kaunter dan tempat masak. Pagi itu agak mendung. Banyak pokok-pokok besar. Rasa redup tempat ini, macam dalam hutan. 

Antara menu yang ada ialah nasi lemak, set roti bakar dan roti arab. Kedai ini dibuka dua sesi, pagi untuk sarapan dibuka dari 7 hingga 11 pagi. Sesi petang pula dari 6.30 petang ke 11.30 malam. Kafe tutup setiap Isnin. Saya rujuk di google, menu malam dia, ada nasi goreng ayam crispy, burger, charkuetiau dan mi kari.

Tempat duduk yang banyak di Kafe Kg Ayer Tawar
Tempat duduk sebelah kiri kami.

Tempat basuh tangan, sinkinya adalah kuali, dalam gambar di atas.

Teh o panas kosong dan kopi ginseng kosong.
Teh o panas kosong dan kopi ginseng kosong.

Pesanan suami sampai dulu.

Nasi lemak telur mata
Nasi lemak telur mata.

Saya makan separuh nasi lemak suami. Cukup aroma nasinya, dari halia. Santan dalam nasi lemak pun ada rasa. Sambal sedap. Macam orang masak untuk makan di rumah, bukan untuk niaga. Ada papadom beberapa keping.

Jambatan kecil di Kafe Kg, Ayer Tawar
Ini laluan pada mereka yang parking di tepi jalan

Di belakang kami ada jambatan kecil.

Tempat makan yang luas di Kafe Kg, Ayer Tawar
Tempat makan di sebelah kanan kami.

Ada tempat makan boleh duduk bersila di pondok bumbung biru itu. Sebelahnya, tempat air disediakan. Boleh nampak telur separuh masak yang saya pesan, ada di situ, belum siap. Dia guna bekas kuning yang letak air panas itu, macam dekat mamak.

Roti bakar telur goyang di Kafe Kg, Ayer Tawar
Saya pesan roti bakar telur goyang.

Sampai saja, suami makan dulu separuh. Alhamdulillah. Tempat makan yang redup dan tenang, di samping makanan yang sedap.

Lain kali boleh cuba yang sesi petang pula kot singgah sini.


Sekian perkongsian.

Jumpa lagi, ye. 💗 

Share: