October 2025 - Secawan Kopi, Sekebun Cerita

Wednesday, October 1, 2025

Cerita Petola

October 01, 2025 2 Comments

💜 Tarikh: Selasa, 26 Ogos 2025 💜

Risiko tanam pokok sayur ini adalah, besar kemungkinan beruk akan curi. Tapi, saya berserah saja. Kalau ada rezeki kami makan hasil tanam sendiri ni, adalah. Kalau tak ada, rezeki beruk, tak mengapa, niat sedekah bagi binatang makan. Saya suka menganggap yang saya ni, dalam fasa belajar menanam. Cita-cita suatu hari, nak makan hasil ternakan dan tanaman sendiri je. Tak perlu beli di kedai. Jadi, saya haruslah belajar dari sekarang, tanam pelbagai jenis sayur. 

Ada sayur, saya semai dari biji sayur itu sendiri, macam tomato. Ada juga, benihnya, saya beli dari pasaraya atau kedai Eco. Benih petola ni, saya beli di Kedai Eco. Elok, tumbuh. Jom, tengok gambar buah yang keluar.

Petola
Tadaaa... 

Petola di balik daun
Suka sembunyi balik daun

Kena telek dan selak-selak daun pokok petola ni. Yang bersembunyi tu, bagus juga, jadi beruk tak nampak. Tapi dalam kes kedua-dua petola dalam gambar di atas, beruk ambil. Kalau hilang tu, kerja dia la. Walaupun kita tak perasan bila hilang. Tengok pokok pagi-pagi je. Hari ni ada, esoknya dah hilang.

💜 Tarikh: Sabtu,13 September 2025 💜

Petola
Cak!

Petola
Elok dia duduk bawah.

Laluan beruk adalah di tembok antara rumah. Jadi kalau petola duduk bawah, tersembunyi sikit dari beruk. Melainkan beruk tu turun dari tembok dan masuk rumah. 

Petola
Yang ni dok celah-celah kehidupan daun

Ketiga-tiga petola di atas, rezeki beruk juga. Kami pernah rasa makan 2 buah sulung sahaja dari pokok yang sama, setakat tarikh tersebut. Buah sulung tu, saya boleh lupa nak ambil gambar pula.

💜 Tarikh: Sabtu, 27 September 2025 💜

Petola
Pokok dah mulai tua dah.

Daun banyak yang mulai tukar kuning. Kalau masih muda, daun kebanyakan warna hijau gelap.

Petola
Boleh terbaring pula posisi petola ni

Petola
Yang ni dok celah daun pandan

💜 Tarikh: Ahad, 28 september 2025 💜

Menuai petola tanam sendiri
Ambil petola walaupun tak berapa besar lagi.

Alhamdulillah. Suami cakap kalau nak tunggu lagi besor, nanti beruk ambil. Baik kita ambil dulu. Dulu masa arwah mak mentua masih ada, selalu nampak dia celur sayur muda-muda, cicah budu. Kita nak masak apa ni? Masak lemak putih ke? Ke, buat sup campur suhun dan fucuk

💜 Tarikh: Isnin, 29 September 2025 💜

Masak petola yang ditanam sendiri.
Stir fry je la, dengan brokoli, carrot dan baby corn, pastu pecah telur.

Saya masak sayur campur guna petola yang ditanam sendiri. Alhamdulillah. 😍

Bila masak nasi, saya simpan air basuhan beras tu, dan siram pada pokok-pokok tanaman. Saya tak letak baja. Untuk semut yang suka duduk di pokok, saya guna Neem's Oil, penghalau serangga dari daun semambu. Tentang neem's oil ni, saya akan cerita di lain entri. 

Sebab pokok petola ni sayuran menjalar, kenalah letak penyokong untuk pokok ni berjalan. Tali ke, kayu ke. Saya letak buluh, sebab luar rumah saya, ada pokok buluh, yang bila batangnya panjang je, saya selalu cantas. Dari campak, saya guna batang buluh ni sebagai penyokong tumbuhan yang batang lembut.

Ok la. Jumpa lagi, ye. 💗