💜 Tarikh: Jumaat, 3 Oktober 2025 💜
Amirul bertolak balik Dungun awal pagi. Semester ketiga Amirul bawa kereta Viva. Sayu rasa di hati, tengok anak reverse kereta keluar rumah. Amirul masuk semester 7 di Uitm. Kursus dia ada 8 semester. Semoga anak mama dilindungi Allah sentiasa, selamat sampai, dan belajar rajin-rajin. Naik semester baru ni, kali pertama dia kena duduk luar. Tak dapat sudah asrama. Sudah bayar sewa rumah sebelum dia cuti hari tu lagi.
![]() |
Kenangan keluar makan satu keluarga beberapa hari sebelum Amirul balik. |
Dari kiri, Hafizan (anak kedua), Sulaiman (anak bongsu), Amirul (anak sulung), Mama dan We. Kena paksa budak-budak keluar rumah sekali-sekala. Kalau tak, bertapa je dalam bilik, main game dan order tapau makanan.
Berkebun
Langit juga mendung, sebagaimana hati mama yang mendung, anak sorang balik U. Anak dah besar pun, rindu dan sayu setiap kali nak melepaskan pergi.
![]() |
Langit mendung pagi itu. |
Saya berkebun sekejap saja, sebab tak lama kemudian, hujan mulai turun. Orang tua cakap, jangan main hujan. Nanti demam.
![]() |
Sempat ambil gambar pink rose yang sedang kembang. |
Apa nak buat ni? Nak berkebun tak boleh. Suami ajak jalan-jalan, sebab dia tak kerja. Jom la kita ke Pekan Sari Manong. Pernah nampak pekan sari atau pasar pagi ini, masa dalam perjalanan ke Kuala Kangsar, nak balik Kelantan. Jom kita jalan-jalan cari makan. Lebih kurang satu jam perjalanan juga untuk sampai, dari rumah kami.
Pekan Sari Manong merujuk kepada Pasar Pagi di pekan Manong, sebuah pekan kecil di bawah pentadbiran Daerah Kuala Kangsar, Perak. Ia dibuka pada setiap Jumaat pagi, dan terkenal dengan jualan makanan seperti putu bambu dan pau Manong. Lokasi Pekan Sari ini adalah di Dataran Amanjaya Manong.
![]() |
Macam-macam gerai ada. |
Dalam gambar di atas, suami tengah beli sate.
Saya geram tengok jualan baju-baju dan tudung. Window shopping je. Tak beli pun.
![]() |
Cuaca mendung juga di Pekan Sari. |
Kami beli makanan untuk tengahari. Gantung kuali. Hari Jumaat, budak Sulaiman balik sekolah pukul 12. Sebelum ke masjid, mesti nak makan dulu. Mesti tak sempat nak masak balik karang. Beli makanan siap-siap.
Ada jualan ikan sungai yang segar-segar, masih hidup, pelbagai sayur dan ulam kampung, makanan, buah-buah, barang rumah, pokok-pokok dan macam-macam lagi.
![]() |
Rekod jalan kaki di Pekan Sari Manong. |
Merujuk kepada peta dalam rekod aktiviti berjalan di atas, Pekan Sari Manong lokasinya di sebelah sungai.
Beli apa di Pekan Sari Manong? Meh tengok...
![]() |
Nasi lemak daun pisang RM2. |
Saya buka intermittent fasting pukul 11 pagi. Makan nasi lemak daun pisang. Nasi cukup rasa. Sambal agak cinonet. Saya tambah 2 biji telur rebus yang sudah siap kukus awal dari rumah.
![]() |
Sate ayam 5 cucuk, sate daging 5 cucuk. |
Makan berdua je. Selain itu, ada beli juga nasi lauk ikan keli untuk Sulaiman, untuk dia makan balik sekolah.
![]() |
Daun apakah ini? |
Masa lalu depan orang jual ulam kampung, kami dok tengok ulam-ulam atas meja jualannya. Ada 3 ulam yang rupa dia lebih kurang. Pakcik tu cakap nama setiap daun, tapi kami bukan dengar sangat, sebab sebelah pakcik jual ulam tu, ada orang jual ubat tradisional tengah bercakap guna microphone kuat. Boleh tangkap bunyi sikit-sikit jer apa pakcik tu cakap. Rupa daun dalam gambar di atas lebih kurang macam pucuk gajus. Tapi bukan. Lagi banyak warna merah. Saya google, pucuk asam gelugur. Kalau salah, minta maaf. Kami buat ulam. Ada satu lagi daun yang hampir sama rupa, ialah pucuk putat, kami tak beli. Ulam pucuk asam gelugur ni, tak ada rasa kelat macam daun gajus tu.
![]() |
Beli juga lauk ayam goreng kunyit buat tambah |
Bila pergi ke pasar pagi begini, dapat sokong ekonomi orang kita. Rasa ayam goreng kunyit di atas, macam orang masak di rumah, bukan macam orang niaga.
![]() |
Ubi jepun |
Suami tak beli nasi di Pasar Sari. Sebab dia sudah kukus ubi ungu sekali dengan telur. Masuk pengukus elektrik saja, senang. Pastu tinggal. Tapi pastikan air di bawah pengukus itu mencukupi dan tidak kering.
![]() |
Ubi keledek ungu |
Purple sweet potato. Dekat pasaraya tempat kami beli ubi ni, dia tulis ubi jepun. Isi dalam warna kuning. Lama tak nampak ubi yang isi dalamnya warna ungu. Ubi ini pun manis juga.
Alhamdulillah. Rezeki pada hari itu.
Jumpa Doktor
Saya rasa, macam baru hari tu jumpa doktor di hospital. Sudah dua bulan berlalu. Cepat betul masa. Tak pernah pula temujanji hospital hari Jumaat. Tapi saya rasa, lebih senang pula. Kurang orang di hospital. Masa menunggu pun kurang. Pukul 3 petang, temujanji jumpa doktor.
Result tiroid naik lagi. Sebelum ni, 15. Hari ni 20. Doktor kurangkan lagi dos ubat tiroid yang saya perlu ambil setiap hari.
Result lain-lain semua ok. Syukur Alhamdulillah. Result kolesterol di-reject oleh makmal. Sebab untuk repeat ujian kolesterol, kena at least 3 bulan. Saya last buat, 2 bulan lepas. Jadi, doktor set temujanji lagi 2 bulan.
Hujan sepanjang di hospital, dari mula sampai hingga habis urusan hospital.
Mengopi di Lotus
![]() |
Americo panas untuk saya dan yang sejuk untuk suami. |
Settle temujanji hospital, kami pergi Lotus. Anniversary Gigi Coffee yang keenam.
![]() |
Comel je cup dia. |
Dulu masa kita kecil, selalu tunjuk kartun Tom and Jerry ni di TV.
![]() |
Mushroom soup dan garlic bread dengan salmon grill. |
Beli kopi Gigi. Minum di food court. Order juga salmon grill, mushroom sup dan roti garlic. Early dinner kami.
Saya tak boleh tidor, malam tu. Gigi coffee too strong, bagi saya. Suami pergi kerja pukul 12 malam. Terkebil-kebil saya bercakap dengan Google Gemini.
Saya buat prompt sendiri je.
![]() |
OMG... 🙈 |
Tiny house dalam hutan betul. Ada kebun sayur betul. Tapi imej saya tak betul. Sebab saya tak pakai tudung macam tu, singkat la. Nampak berisi pula tu. Pandai-pandai je si Gemini ni. First time cuba guna prompt sendiri. Dalam bahasa melayu.
Update Whatsapp dari budak Amirul. Dia selamat sampai rumah sewa pukul 6 petang. Alhamdulillah. Housemate ada 10 orang. Rumah banglo ada 5 bilik dan 3 bilik air. Selamat masuk rumah.
Syukur Alhamdulillah. Sekian cerita satu hari.
Jumpa lagi, ye. 💗
Ubi isi ungu payah nak jumpa. Saya pun kadang duk belek ubi keledek masa masuk pasar raya. Tapi tak jumpa isi ungu.
ReplyDeleteSemoga Allah melindungi anak2 yang berjauhan dengan keluarga.
ReplyDeleteAlhamdulillah,Amirul sampai selamat..risau juga,jauh tu Dr Perak ke ganu.. lain muka Amirul dengan adik² nya..
ReplyDelete