Saya undur diri sekejap

 Assalamualaikum...

saya cuti sekejap dari berblog, ye.

Esok, Sabtu, saya akan berangkat ke KL. Hari Isnin, saya akan terbang untuk menunaikan umrah.


Dengan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya ada tulisan di blog saya sama ada yang baru ini, atau blog yang lama, yang ada buat anda terasa atau tersinggung. Juga, jika ada antara komen saya di blog anda yang salah atau mengguris hati. Maafkan saya, ya.

Stay safe kepada semua pembaca yang sedang bercuti, hati-hati di jalanraya. 

Jumpa lagi selepas 2 minggu, Insya-Allah. 💗

Dinner semalam di Bangtawa Seafood

 Semalam, hari Rabu, makan malam di Sri Bangtawa Seafood. Dah jadi feveret spot. Lebih suka macam ni. Sebab orang kurang waktu petang. Lagi satu, dia masak cepat. Sedap pun, sedap. 


Suami tak jemu-jemu pesan nasi goreng kampung. Telur dadar mesti ada. Lagi satu, dia tambah lauk ayam goreng kunyit. Sambal belacan dia bagi.

Gambar dekat nasi goreng kampung.

Saya tak rasa macam nak makan nasi semalam, jadi saya pesan chicken chop.


Sedap, chicken chop dia. 😋

Kedai tomyam feveret

Sri Bangtawa Seafood ni, lokasinya senang je nak jumpa, jika nak pergi Pangkor ikut jeti Lumut. Mesti lalu punya, di jalan utama, belah kanan arah ke jeti.

Di Lumut ni, ada je beberapa kedai tomyam dan makanan laut sedap. Cuma nak cari harga berpatutan tu, susah juga bagi yang tak familiar di kawasan sini. Ada satu kedai seafood ni, tak jauh dari sini, sekali makan je, mesti cecah RM100, selalu ramai orang. 

Tapi kat sini, harga dia berpatutan. Itu sebab kami lebih prefer makan sini. 💗

Sarapan Khamis

 Lepas subuh dan mengaji, turun bawah dan masuk dapur. Rebus air dalam periuk, nak buat telur tiga suku masak. 

Tengok ada secoet nasi dalam rice cooker. Cukup untuk seorang makan. Suami simpan dalam peti ais. Keluarkan, dan buat nasi goreng bebola ikan.


Nampak banyak la pulak bila dah goreng. Tutup api kuali, dan masukkan kacang botol yang ambil semalam, dipotong kecil. Tuaian pertama. 😍

Semalam petik.

Takde la besar mana. Memang saya suka makan kacang botol yang kecil. Kalau dah tua, dia keras.

Tunggu suami balik kerja pukul 8 pagi, barulah pecah telur yang telah diletak dalam alat rebusan telur tu.


Tambah kicap manis jalen dan lada sulah dalam telur.


Makan bersila depan tv, bersama suami. Alhamdulillah. 

Kome sarapan apa, pagi tadi? 💗

Oh, Jamal

 Pagi tadi, sarapan nasi lemak paru. Depan TV. Sambil layan movie lama, Azura. 

Alamak, sori, gelap.

Cuaca pagi tadi pun mendung. Dalam rumah pun romantik la sikit, redup je. Nasi lemak suami bawa balik, dia habis kerja shif malam. Sedap, wei, nasi lemak paru dia. Harga RM7. Nasi banyak, paru pun banyak. 😋

Handsome-nya Jamal Abdillah waktu muda.

Oppss.. astaghfirullahalazim... 🙈

Terus saya teringat arwah mak saya. Ada satu hari tu, masa tu dalam tahun 2002 kot, sebab saya ingat, saya tengah mengandung anak sulung. Keluar makan dengan kakak sulung dan mama. Makan malam di kedai tomyam di Kampung Baru, KL. Sekali tengok, ada Jamal Abdillah, makan di kedai yang sama. 

Saya yang mula perasan dulu. Masa Jamal baru keluar kereta dan berjalan ke kedai tu, saya dah kenal. Saya cakap, "Eh, tu macam Jamal Abdillah."

Dia keluar makan dengan seorang perempuan waktu tu. Kakak sulung saya cakap, "Ha ah, la." 

Lepas tu, mama selamba bangun pergi jalan sebelah meja Jamal, dia jalan lurus melepasi kedai. Lepas tu, dia patah balik, supaya boleh berhadapan dengan Jamal Abdillah. Mama boleh jalan slow-slow je, sampai semula ke meja kami.

"Ha ah, confirm Jamal Abdillah", katanya. Hihi... 

Jamal ni, memang ada aura tersendiri la. Dia stand out di khalayak ramai. Mungkin sebab pakaian dia kot. Huhu.. kenangan manis, sampai sekarang saya ingat.

Oh, balik kepada movie Azura yang saya tonton tu.

Masa scene Jamal nyanyi lagi Azura tu, last sekali si pengacara majlis yang mengumumkan pemenang juara pop 1984, jatuh pada kumpulan Amir dan Zack. Ish ish... tahun 1984 ye, movie ni.

Lantas saya teringat, tahun 1984, saya tengah sekolah tadika, di tadika MADA CI, Kangar, Perlis.

Gambar tadika 1984. 

Cer teka, cer teka... saya mana satu? Takde hadiah la. Saja suka, suka. 😁

Kome tahun 1984, tengah buat apa? Sekolah tahun berapa? Ke, dah sekolah menengah? Ke, belum lahir? Hihi.... 

💗

💜

💚

💛

💙

Saya yang berdiri barisan kedua. Pakai tudung hitam, anak tudung putih.💗

Love and hate relationship

 Balik dari pekena roti canai, saya dan encik suami meronda naik kereta. Makan angin. 😁 Dari Sitiawan, pergi Lekir, masuk WCE, keluar ikut tol Changkat Chermin, masuk Ayer Tawar, balik semula ke Manjung. 

Saya ada love and hate relationship terhadap beberapa benda. Antaranya, adalah...

On the way nak balik, dalam kereta, saya install semula aplikasi Zus. Sebab rasa nak minum kopi, tapi kedai kopi di Lumut tutup hari ni hari Selasa, nak beli richiamo pula, belum buka, baru pukul 9 pagi. Macam ni la, sekejap install, sekejap uninstall. Install sebab senang nak beli, tak buang masa, boleh terus pick-up kopi bila siap.

Sama macam app Shopee, sekejap ada, sekejap buang balik. Rasa nak beli barang, saya install. Bila dah dapat barang dan bagi review, uninstall semula. Bahaya duduk dalam handphone lama-lama. 

❤ Monologue ❤

"Dear aku yang bernama Tot, I am sorry, sebab mungkir janji tak mahu minum kopi. Tapi kita perlu minum juga hari ni, sebab nak kerja berat sikit. Please forgive me, hari ni kita ambil gula sikit. Esok kita mula balik."

🙈

Dapat sampul raya cina kaler kuning.

Cafe latte ice untuk encik suami. Hazelnut latte panas, less sweet untuk saya.

Tak adalah kerja berat sangat macam kerja buruh tu. Tapi alasan nak beli kopi. 😅

Encik suami memotong rumput.

Perut pun dah kenyang. Kopi pun dah beli, sebagai booster. Apa lagi, marilah kita potong rumput. Suami guna mesin potong rumput. Saya pula guna sabit, potong di bahagian yang tidak boleh dilalui oleh mesin, contohnya, di tepi-tepi tembok, celah-celah kerusi batu, dan lain-lain. 

Rumput yang dipotong harus dikumpul dan dimuatkan dalam plastik hitam heavy duty, letak di luar rumah. Nanti ada lori datang ambil. Tak boleh bakar rumput, elakkan pembakaran terbuka yang mencemar udara sekitar. Tapi kalau nak bakar pun tak boleh, sebab rumput tak sempat nak kering pun, hujan setiap hari.

Fuh... letih, wei....

Hampir pukul 12 tengahari barulah siap kerja. Puas hati tengok halaman yang bersih dan rumput panjang tiada lagi. 😍 

Kalau kita tak jaga rumah sendiri, siapa lagi. Nak bayar orang potong rumput boleh juga, tapi upah dia RM60, halaman tak adalah besar mana. RM60 boleh beli makan sedap, ok. Jimat sikit. Kita buat sendiri di samping dapat keluarkan peluh.

Selesai kerja di luar rumah, encik suami masuk dapur, dia nak masak telor kicap. Katanya, dia nak cuba resepi yang lalu di newsfeed fb dia. Peh, pucuk dicita ulam mendatang. Orang nak masak, sungguh gembira rasa di hati.

Telor kicap, siap!

Mmmmm... sedapnya. Betul ni. Tak tipu. Alhamdulillah. 😋💗

Sarapan di Roti Canai Pak Tam

 Sudah banyak hari first meal of the day pukul 11 pagi. Hari ini, kita pergi sarapan awal. Encik suami off kerja. 

Lama juga tak pekena roti canai. Jadi, marilah kita ke Kampung Sitiawan.

Roti canai sorang sekeping, nasi lemak sorang sebungkus dan popia sira.

Jemput makan... 😋

Nasi lemak daun pisang yang comel. 

Tak ada telur. Sambal ikan bilis, cukup pedas.

Alhamdulillah. Menikmati pagi yang indah, di kampung nelayan. Ramai juga orang datang makan sini, tapi banyak tempat duduk.

Matahari naik

Jemput singgah..

Cuaca pun cantik. Tak panas. Alhamdulillah. 💗

Lauk simple

 Lepas mandi selepas berkebun, masuk dapur pula. Sulaiman sorang yang ada di rumah. Antara ketiga-tiga anak, Sulaiman la yang paling kurang cerewet. Masaklah apa saja, semua dia makan. Takde komplen-komplen. 

Bawang merah, bawang putih dihiris, bersama cili api, diketuk.

Masak sardin je hari ni. Tumis-tumis bahan dalam mangkuk, dan masukkan sardin.

Lama tak makan sardin. Last makan, masa pergi berkhemah dengan kakak. Bila camping, masak apa pun sedap. Hihi.

Dah siap. Ada 4 ketul ikan sardin dalam tin sardin kecil.

Sardin dan telur dadar berpisah tiada.

Telur dadar.

Alhamdulillah. 💗

Kerja berkebun 3 hari

 Dah 3 hari berturut-turut saya tak pergi briskwalk. Bercucuk-tanam di rumah saja. Lebih menenangkan jiwa, dan boleh tahan jumlah langkah terkumpul lepas habis berkebun.

6,950 langkah, pagi Ahad.

Walaupun tak cukup 10 ribu langkah, tapi masih pukul 10 pagi, hari masih panjang. Kehulu, kehilir, boleh capai, macam semalam.

Lepas encik suami pergi kerja pukul 7.30 pagi lebih kurang, saya pun mula bercucuk-tanam. Habis, pukul 10 lebih, baru masuk rumah. Yang buat lambat siap tu, sebab saya menebas rumput. Saya clearkan laluan saya ke pokok-pokok.

Sudah clear, laluan ke bougainvillea dan pokok limau kasturi. 

Yang lain-lain tempat tu, biar encik suami buat guna mesin rumput. Saya malas nak set-up mesin tu. Sebab mesin rumput elektrik, kena sambung guna extension heavy-duty, barulah boleh sampai ke seluruh halaman rumah. Saya lebih suka guna sabit je, untuk menebas. Old school sangat, kan?

Perkenalkan, inilah sabit saya... 

Walaupun rupa dia dah tak cantik, tapi ia sangat tajam. Habis guna je, saya selalu asah depan dan belakang. Kalau terjadi apocalypse ke, atau zaman zombie ke, saya rasa, saya guna sabit ni je untuk bunuh zombie. Hihi... rindunya nak tengok the Walking Dead. 

Tengok, membukit rumput yang ditebas.

A good workout untuk biceps. 💪 


Selain menebas, saya sambung kerja hari sabtu iaitu memindahkan anak pokok cili dari pasu kecil ke tempat lebih besar. Settle hari ni, ada 2 anak pokok saya tanam atas tanah je. Nanti kita boleh tengok ada beza tak, pokok cili merah yang kita tanam dalam pasu dan atas tanah. Mana lebih subur ke, atau sama je ke. Eksperimen.

Suka saya kongsikan di sini, pokok kacang botol sudah keluar hasil pertama!

Yay! Suka, suka! 😍

Tapi, ternampak kumbang hitam di tempat lain.

Banyak, wei...

Black bean bug atau kumbang hitam. Ia adalah sejenis serangga perosak. Ia akan menghisap nutrien yang ada pada tanaman kita. Jahat, kan? Dia hisap dan hisap, lalu pokok boleh jadi terbantut atau mati.

Saya guna google lense. Ambil je gambar sesuatu, upload di google lense. Boleh identify apa yang kita tak tahu, boleh kenal pasti sama ada ianya bahaya pada tanaman kita atau tak.

Saya punya penghalau serangga homemade sudah lama habis. Tapi, saya ada beli baru, yang di shopee. Saja, nak cuba.
Ni dia...

Dah guna pagi tadi, sembur di mana ada serangga perosak. 

Sayuran selamat dimakan selepas disembur.

Kalau penghalau serangga homemade saya tu, bau kuat bawang putih dan cili, penghalau serangga shopee ni pula, ada bau macam balm atau minyak angin. Hmmm... kita tengok camana, sama ada serangga perosak berkurang atau tak. 

Sekian cerita gardening hari ni. 💗

Nasi goreng kedai tomyam

 Semalam, tak masak. Tak dapat nak pi pasar malam, sebab awan gelap tebal, macam nak hujan sangat. Tukar rancangan, makan malam di kedai tomyam Bangtawa Seafood.

Berdua je. Sulaiman tak nak ikut. 


Saya pesan nasi goreng daging merah.


Encik suami pesan nasi goreng kampung, peberet dia.


Ada sup untuk setiap hidangan nasi goreng. Telur dadar, pesan juga, bersama sambal belacan. Saya suka sup dia. Walaupun kosong, ada rasa masam, macam tomyam.


Tak de orang pun, selain kami, ada lagi satu meja ada pelanggan. Makan malam awal, pukul 6 petang. Bungkuskan nasi pad kra pao untuk Sulaiman di rumah.  Alhamdulillah. 💗

Birthday encik suami

 Pukul 12 tengah malam, Hafizan (anak kedua) wasap group family, untuk wish bapaknya happy birthday.

Ucapan atas foto bapaknya, edited by Hafizan.

Hafizan baru masuk semester 2 di politeknik ungku omar, Ipoh. Kalau ada pembaca yang masih ingat, ni la anak yang buat saya termenung banyak, sebab tak hadir paper Add Maths pada trial SPM, dan dia juga kurang suka ke sekolah. Tiap-tiap bulan ada je hari dia tak pergi sekolah. 

Sebelum masuk semester baru hari tu, dia terkejut berukkan kami anak beranak, sebab keputusan semester pertama dia, 4 flat! Siapa sangka. Alhamdulillah, syukur.

Balik kepada tajuk utama, harijadi encik suami hari ni.

Penjelasan gambar, We tu, panggilan anak-anak pada bapaknya. Wan dalam bahasa rasmi. We (sebutan 'where is my golok' dalam bahasa kelantan). 

Saya sangat bersyukur kerana dapat suami yang penyayang pada anak-anak. Kadang-kadang masa bawa kereta, dia suruh saya wasap Amirul, cer tanya, dah makan ke belum, buat apa tu? Tapi dia suka suruh saya. Saya pulak akan suruh dia wasap la sendiri. 😁

Time melepak ke, dia suruh wasap Hafizan pula, tanya buat apa, ada kelas ke? Ish, orang tua ni. Asyik suruh kita je, rasa dalam kepala dia, lebih banyak fikir pasal anak dari fikir pasal bini dia ni. Eh! 🙈

Tak kisah la tu. Saya juga bersyukur kerana encik suami beri keizinan pada saya untuk pergi menunaikan umrah. Dia cakap, jangan risau, anak-anak dah besar, dah pandai cari makan sendiri. 

Selamat harijadi pada encik suami. Terima kasih kerana mencari rejeki untuk saya dan anak-anak makan. Alhamdulillah, cukup makan pakai. 

Nanti petang, lepas abe ku balik kerja, kita gi dating ke pasar malam ye. 💗

Kerja hari Sabtu

 Hari Sabtu. Cuti sekolah! Yay! Kalau encik suami tak kerja, mesti dah nyongket pi pasar Bota. Tapi dia korje, jadi kita pun masuk kebun kecik la. Dah 2 hari tak tengok pokok.


Ada 6 anak pokok cili merah, nak pindahkan ke pasu lebih besar.

Dalam kepala, saya sudah ada susunan langkah kerja yang biasa saya ikut. Mula-mula, saya akan tengok tanaman di sebelah kanan rumah dulu. Cabut rumput dalam pasu. Sudah pindahkan 3 anak pokok cili ke pasu tiada tanaman.

Settle tanaman di kanan rumah, saya akan keluar rumah tengok pokok ros luar pagar. Cabut rumput jika ada. 

Lepas tu, saya akan tengok tanaman di bahagian kiri rumah pula. Dimulai dengan pokok bunga kertas. Tapi rumput panjang. Masa musim hujan ni, rumput memang cepat meninggi. Saya kurang suka, sebab ada rumput yang bunga (agen penyebaran) dia akan melekat di seluar, bila kita lalu. Jadi, saya pun clearkan laluan ke pokok bunga kertas, ambil sabit dan mula menyabit rumput panjang. Saya menebas di laluan saya saja. Supaya mudah nak siram pokok bunga kertas, atau nak pergi ke pokok limau kasturi nak ambil buah, senang, tak perlu lalu rumput panjang.

Hari ni, tak sempat nak siap kerja.


Masih ada baki 3 anak pokok, belum pindahkan. Sambung esok. Hari sudah mulai panas. Walaupun hari ni tak siram pokok sebab malam semalam hujan, tapi kerja tak sempat siap juga, sebab sibuk menebas rumput. 💗

Ujian amali lesen motor

 Semalam anak bongsu saya, Sulaiman, ada test JPJ, untuk lesen motor. Bapaknya tolong hantarkan ke institut memandu. Hujan pagi semalam. Jadi, ujian tu JPJ buat lambat, nak tunggu hujan reda.

Tengah beratur, tunggu giliran.

Mana satu Sulaiman? Cer teka, cer teka. 😁

Sulaiman yang kedua la, dalam gambar di atas. Walaupun budak Sulaiman ni anak bongsu, dia la yang paling besar dan tinggi banding dua orang abang-abang dia. Kalau mama peluk Sulaiman, sampai paras dada je, kepala mama ni. 

Kalau kita tak cakap, orang pun tak kan perasan yang budak Sulaiman ni baru 16 tahun. Janggut pun dah ada. 😁

Berbalik kepada cerita test JPJ tadi, bapaknya tak boleh ikut tengok di bahagian belakang sekolah, semasa ujian sedang berlangsung. Tapi, boleh la dengar orang jpj tu panggil nama, dan arahan yang diberi.

Untuk ujian amali motor, ujian litar adalah

Ujian 1, ujian rutin pemeriksaaan motosikal dan pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan

Ujian seterusnya, naik titi

Ujian berikut, kon.

Ujian seterusnya, brek kecemasan.

Yang lain-lain, lalu jalan tidak rata (berbonggol), pusingan 8 dan selekoh Z.

Betul ke ni? Saya pun google je. Sebab saya tak ambil lesen motor. Anak yang lain pun tak ambil, deme ambil lesen kereta je. Yang ada lesen motor, bapaknya je. Korang ada lesen motor?

Sulaiman 

Masa ujian titi tu, bapaknya cerita kat saya. Berlintas langsung melalui wassap. Ater, saya kat rumah, tak ikut. Orang jpj tu baru panggil nama Sulaiman. Tak sampai 5 saat, dia sebut nama Sulaiman lagi, dan suruh Sulaiman tunggu di tepi. Jadi, bapaknya rasa, Sulaiman gagal la ye, ujian titi tu. Tak tahu la dia jatuh titi ke, atau terlaju atas titi ke, atau berhenti lepas garisan putih ke, tak pasti.

Alahai, cian dia. Udah dapat tarikh baru untuk repeat test JPJ. Sabor je la, ye. Praktis lagi, praktis lagi. You can do it! Jangan gabra, kena tenang-tenang je. 💪

Tarikh yang dia kena ulang ujian ni, mama belum balik umrah lagi time tu. Semoga dipermudahkan urusan anakku yang paling kecik tapi paling besor ni. Aminn...

Harijadi dia

 Hari ni, harijadi Amirul (anak sulung) yang ke 22.

Gambar masa Amirul darjah 5.

Pejam celik, pejam celik, dah besor dah budak Amirul ni. 

Dia duduk jauh nun, kat Dungun. Dah semester 5 dia di uitm. 

Semoga dilindungi Allah selalu, dan tamat belajar dengan jayanya. 

Berani dia, bawa kereta dari Dungun balik Perak. Mama dulu sebaya Amirul, terketor-ketor bawa kereta di Kolumpo tu. 

Dah ada awek pulak tu. Budak bertuah. 

Nanti bila Amirul balik, kita pi makan-makan satu family ye. 💗

Sahur dan berbuka

 Sahur pagi tadi, goreng telur dadar dan tofu cheese.


Pakai kuali yang ada minyak banyak untuk goreng telur dadar dapat seperti di atas. Habis la, kolesterol level. Lepas goreng tu, kan bentuk dia bulat, telur dadarnya. Saya suka potong macam potong pizza. Mula-mula, potong kepada 4 bahagian. Lepas tu, setiap 4 bahagian, bahagi 2, jadi, semuanya ada 8 bahagian bentuk segi tiga. Hehe. Sulaiman pun nak makan juga, sebelum dia pi sekolah.

Tofu cheese Sulaiman amik satu pinggan, mama ambil 1 ketul. Letak sambal atas nasi. Sambal semalam bila panaskan, jadi makin pedas. 

Hari ni, ada banyak urusan di luar. 

Pergi klinik, sebab mata saya bengkak sebelah kiri. Allergik makan, doktor cakap. Saya tak tahu apa yang saya allergik tu. Nak kata belacan, saya tak letak pun dalam sambal. Bukan salah supplements juga, sebab doktor kata, ok. Tapi saya lupa cakap yang saya ada makan roti butter gula. Tak tahu la, dah tua-tua ni, boleh allergik dengan gluten pula ke, atau macamana. 

Lama jumpa doktor. Rasa bersalah pada pesakit-pesakit lain yang sedang tunggu di luar.

Lepas habis urusan klinik, pergi ke farmasi drive-through, ambil ubat hospital pula, buat bekalan, hingga tarikh jumpa doktor hospital pada akhir Februari nanti. 

Masa cepat berjalan, tengok-tengok dah hampir pukul 10 pagi. Jadi, macam malas sudah mau masak. Singgah Baker's Cottage.

Apa ada di dalam?

Portugis egg tart

Uit, Sulaiman sudah ambil 1. Pantang buka kotak.

Juga beli ayam barbeku seekor

Sudah siap potong, supaya mudah diambil.

Itu je la. Selamat berpuasa ye, hari ni hari ketiga puasa hari putih. 💗

Wordless Wednesday: Kecik

 

Timun

Tomato

😁💗

Ayam bakar dan sambal

 Ada separuh ekor ayam sudah bawa keluar dari freezer dan sedia untuk dimasak.

Saya ada terbaca orang bakar ayam guna perencah nasi goreng Adabi. Nampak macam sedap, oleh itu hari tu pi kedai, saya pun beli la perencah nasi goreng tu.

Saya guna 2 paket, untuk separuh ayam.

Lumurkan perencah nasi goreng Adabi pada ayam. 

Perap lebih kurang 1 jam.

Saya bakar dalam oven.

Bakar guna air fryer pun boleh, terpulang.

Sudah siap! Ayam bakar perencah nasi goreng Adabi.

Selain tu, saya masak sambal. Inspirasi dari sambal Cuya


Cili hijau takde, saya guna cili merah. 

Jadilah, lauk buka puasa hari ni, ayam bakar dan sambal ikan bilis. 

Baik, kerja semua dah siap, barulah boleh terbongkang depan tv. 💗

Pages (23)1234567 Next »
Powered by Blogger.