Saturday, January 11, 2025

Tot adalah Nur

Bismillahirrohmanirrohim...

Saya nak buat pengakuan ni.

Ingat tak dulu, ada blogger Nur, dengan blognya Kait dan Lari?


Itu saya, la. 😊 

Lama kan, saya senyap. 

Meh saya cerita. Saya sudah delete blog Kait dan Lari. Ini adalah kerana, saya tidak lagi boleh mengait dan berlari. 

Saya sakit lutut bila berlari. Doktor cakap, saya early arthritis. Cuba anda bayangkan, benda yang selama ini saya enjoy buat, tapi saya dah tak boleh buat. Saya dinasihatkan oleh doktor untuk buat senaman lebih low impact, seperti berenang, yoga, berjalan, atau berbasikal. 

Kredit gambar Smartpix

Gambar di atas semasa marathon terakhir saya, di Ipoh, tarikh 15 September 2024. Dengan jarak 42 kilometer, saya berjalan dari mula hingga akhir. Masa 7 jam 20 minit, saya sampai garisan penamat. Cut off time, 8 jam. Masa ni, saya dah 'berperang' dah dengan diri sendiri. Masa ni juga, saya dah senyap di blog. 

Saya hargai ada beberapa blogger yang email saya, SK, Afzan, NA, dan Ujie yang tanya saya di komen, kenapa saya senyap. Tapi saya tak boleh jawap. Saya depressed. Sejenis introvert, yang lebih suka pendam segala dan nak lari jauh masuk hutan, jauh dari orang ramai. Maafkan saya ye. 

On top of that, mengait pun saya dah tak boleh buat. Rabun makin teruk. Bila tak pakai cermin mata, kabur segala. 

Ada lagi satu ujian besar, yang tak dapat saya ceritakan di sini, rasa macam terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Benda tu, di luar kawalan saya. Saya cuma berserah je. Bak kata blogger Cuya, hati itu milik Allah. Saya tambah ye, bukan hati je, semua benda kat badan kita ni pun, bukan milik kita, Allah bagi pinjam sekejap je untuk kita. Bila-bila masa, dia boleh tarik balik. 

Saya perlu masa sendiri. Sebab itulah saya senyap. Saya masuk gua la sekejap. 

Masa tu, saya selalu fikir, kenapa, Allah uji saya macam ni. Salah sebenarnya fikiran macam tu. Siapa the best planner? Manusia ke, Allah? Ambil masa lama juga la untuk saya sedar diri. Saya mula terima keadaan diri seadanya. Saya belajar untuk berlapang dada. Apalah sangat ujian Allah beri pada saya ni, sedangkan ada orang lagi susah, macam orang Palestin tu, kena bom. Saya masih ada rumah, ada suami, ada anak-anak. Cukup makan pakai, masih boleh berjalan dan berdiri atas kaki sendiri. Sepatutnya, saya harus bersyukur banyak-banyak dan bukan persoalkan apa yang terjadi.

Dipendekkan cerita, beberapa bulan kemudian, saya ambil keputusan untuk bangkit kembali. Saya lebih suka untuk mula dari mula. Dari kosong, sebab saya kira, saya nak start fresh. Saya dah tak macam dulu. Nur tu, hanya pada nama. Tapi saya yang dulu, dah tak ada. 

Begitulah ceritanya. Jadi, kalau blog Kait dan Lari tu, masih dalam senarai blog yang anda follow, bolehlah klik unfollow pada senarai Reading List di halaman blogger anda. 

Oh, Tot tu, nama panggilan family saya pada saya. Oleh itu, saya nak pembaca yang baca blog saya ni, dekat macam family saya. Salam hujung minggu. 💗

0 comments:

Post a Comment